Sunday, June 05, 2022

Bagaimana Dron Tempur Bayraktar TB2 Buatan Turki Mengubah Haluan Perang Moden?

Bagaimana Dron Tempur Bayraktar TB2 Buatan Turki Mengubah Haluan Perang Moden?

Libya. Syria. Nagorno-Karabakh dan terbaharu Ukraine. Dron TB2 buatan firma pertahanan Turki, Baykar Aviation, terbukti menjadi duri dalam daging kepada pihak musuh sehingga mengubah haluan peperangan memihak kepada pemiliknya.

Dron TB2
Bayraktar TB2.

Dron tempur Bayraktar TB2 yang dibina oleh firma Baykar pada asalnya digunakan dalam operasi menentang PKK tetapi ia menjadi popular selepas terlibat menentang rejim Syria yang disokong oleh Rusia.

Tetapi bagaimana semua ini bermula? Semuanya gara-gara tindakan Amerika Syarikat melarang eksport dron ke Turki sekitar tahun 2014. AS bimbang dron yang dieksport akan digunakan terhadap kumpulan pemisah Kurdis (PKK) yang bukan saja berada di Turki tetapi di luar negara terutamanya Syria dan Iraq.

Bukan sekali Presiden Recep Tayyip Erdogan yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri Turki melobi AS untuk menjual dron Predator kepada Ankara sejak 2009.

Bagaimanapun, Kongres AS ketika itu bertegas untuk tidak meluluskan penjualan dron tersebut kepada Turki.

Berang, Turki mula membangunkan program dronnya sendiri diketuai oleh CTO Baykar dan menantu Erdogan, Selcuk Bayraktar.

Keupayaan TB2 mula terbukti menerusi ujian penerbangannya pada Disember tahun 2015, yang menerusi ujian tersebut, TB2 berjaya melepaskan roket ke arah sasaran buat kali pertama melalui sistem penghantaran Hornet.

TB2 juga turut dilengkapi senjata dan bom mini, bertujuan untuk tidak memberi terlalu banyak beban kepada dron semasa penerbangan. Sejak itu, dron TB2 mula menunjukkan prestasi memberangsangkan di setiap medan perang yang disertainya.

Konflik Nagorno-Karabakh menyaksikan lebih 500 serangan Azerbaijan ke atas semua aset pertahanan Armenia buatan Rusia seperti kereta kebal, sistem pertahanan peluru berpandu dan artileri.

Malah, wakil Republik Nagorno-Karabakh ke Amerika Syarikat, Robert Avetisyan turut mengakui Armenia kalah dalam konflik itu akibat kekuatan TB2, yang menjadi duri dalam daging kepada Armenia setiap kali ia beroperasi.

Walaupun ia terbang perlahan dan kipasnya mudah dilihat, Armenia seolah-olah tiada jawapan terhadap keberkesanan dron itu di medan Nagorno-Karabakh.

Hal ini merungsingkan diaspora Armenia di luar negara terutama AS sehingga mendorong mereka melobi Kongres AS agar menghalang semua jualan komponen TB2 daripada diperoleh Baykar.

Namun, perkara ini sudah disedari oleh Baykar terutama selepas pendedahan akhbar The Guardian berkenaan TB2 pada tahun 2019.

Dalam kenyataan mereka di Instagram, firma Turki memberitahu 93% komponen dron kini dibuat secara domestik.

Malah, jika ada sekatan sekalipun, ramai pakar pertahanan percaya langkah tersebut tidak akan berjaya kerana sifat pembuatan dron yang modular dan boleh diganti dengan komponen lain.

Pantsir-S1
Pantsir-S1.

Jika Rusia merasakan kejayaan TB2 di Nagorno-Karabakh didorong oleh nasib, semuanya berubah di Libya.

Pada tahun 2019, wujud konflik antara kerajaan sementara Libya yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Turki (GNA) dengan Jeneral Khalifa Haftar yang disokong Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kontraktor swasta Rusia, Wagner Group.

Pada awalnya, momentum memihak kepada Haftar dan sekutu-sekutunya terutama dengan sokongan dron buatan China, Wing Loong, yang dikawal juruterbang-juruterbang UAE. Tetapi semua itu berubah apabila GNA membawa masuk dron-dron TB2 pada Disember 2019.

Sejak itu, TB2 bukan saja membantu tentera-tentera GNA mara, malah menjadi duri dalam daging kepada aset-aset pertahanan Haftar termasuk sistem pertahanan anti-pesawat buatan Rusia, Pantsir-S1. Sekurang-kurangnya sembilan unit Pantsir-S1 musnah di tangan TB2.

Bantuan TB2 turut membolehkan GNA merampas semula bandar-bandar Libya yang dikawal pasukan Haftar sebelum ini.

Ini menjelaskan mengapa Rusia mengamuk kepada Turki selepas Ukraine menggunakan dron TB2 dalam konflik Ukraine-Rusia. Puluhan kereta perisai dan artileri menjadi sasaran dron tersebut sejak konflik bermula.

Malah, ramai penganalisis pertahanan percaya TB2 digunakan sebagai cara mengalihkan perhatian kapal perang Rusia Moskva sebelum ia dikaramkan dengan serangan peluru berpandu Neptune pada April 2022.

Setakat ini, tiada negara yang dapat mencapai apa yang diusahakan oleh Bayraktar dan bagi penasihat industri pertahanan yang berpangkalan di Turki, Arda Mevlutoglu, Bayraktar berjaya mencapai keseimbangan dari segi harga produk, teknologi dan prestasi di lapangan. Firma tersebut turut membantu menambahbaik pengeluaran dron pada kadar yang pantas dan mudah.

Secara tidak langsung, TB2 juga membantu mengukuhkan dasar luar Turki pimpinan Erdogan.

Misalnya pada Mac tahun 2020, gabungan dron TB2 dan Anka-S menakutkan angkatan tentera Syria yang dihantar ke Idlib. Serangan bertubi-tubi dua dron itu memaksa Syria bersetuju memeterai gencatan senjata sehingga kini yang telah memasuki tahun kedua.

Selain membekalkan dron, Turki turut menghantar juruterbang, tenaga pengajar dan jurutera diperlukan bagi melatih klien-klien Baykar menggunakan TB2.

Baykar turut membina kilang-kilang TB2 di luar negara termasuk Ukraine, yang menurut Mevlutoglu, dengan cara ini ia dapat mengeratkan lagi hubungan luar yang terjalin antara Turki dengan negara-negara pembeli dan mempengaruhi dasar luar di sesebuah rantau baik di Afrika, Timur Tengah atau Eropah Timur.

Dari segi ekonomi, tidak diketahui jumlah sebenar TB2 dijual di luar negara, tetapi jika dijual sebahagiannya pun, ia amat menguntungkan kepada industri pertahanan Turki.

Eksport industri senjata Turki telah meningkat dari AS$250 juta (RM1.1 bilion) pada 2002 kepada AS$3 bilion (RM13.15 bilion) pada tahun 2021. Dan ramai menjangkakan angka itu boleh mencecah AS$4 bilion (RM17.5 bilion) pada akhir tahun 2022.

Jualan TB2 bukan saja merangkumi jualan produk dan alat ganti tetapi juga dari segi latihan dan penyelenggaraan.

Walaupun eksport TB2 dikawal oleh kerajaan dan perlu mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan dan Pejabat Presiden Turki, hakikatnya ia boleh dibeli oleh mana-mana negara yang berminat.

Selain Ukraine dan GNA, Maghribi, Poland dan Kuwait juga merupakan pembeli dron Turki untuk TB2. Cuma bezanya untuk dron-dron TB2 mereka ialah jenis sistem turet yang digunakan.

TB2 Bayraktar Akinci
TB2 Bayraktar Akinci.

Sebelum ini, Baykar menggunakan sistem turet MX-15D buatan firma Kanada, Wescam, tetapi akibat pendedahkan akhbar The Guardian pada tahun 2019, sistem tersebut tidak lagi dibekalkan kepada mereka. Ini memaksa Baykar beralih kepada firma pertahanan Turki, Aselsan, untuk membangunkan sistem CATS FLIR sebagai alternatif kepada MX-15D.

Tetapi, bagi para pengguna Baykar, mereka lebih suka mendapatkan TB2 sebelum memasang MX-15D pada dron mereka, kerana sistem tersebut lebih ringan daripada sistem CATS FLIR buatan Aselsan dan menunjukkan prestasi lebih baik di lapangan.

Dan kini, Baykar telah memperkenalkan generasi terbaharu TB2 iaitu Bayraktar Akinci, yang berupaya terbang pada altitud lebih tinggi dan membawa lebih banyak roket dan bom berbanding TB2.

Dan pada April tahun 2022, Akinci digunakan buat kali pertama untuk operasi anti-PKK di Iraq. Pengenalan Akinci dijangka akan menambah pening Barat terhadap dron buatan Turki selepas TB2.

Dengan TB2 telah mengubah haluan peperangan di seluruh dunia, ia bukan sekadar dron bersenjata di medan perang, tetapi secara tidak langsung ia turut menonjolkan semangat inovasi dan kelicikan dasar luar Turki dalam dunia yang semakin mencabar hari ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, February 07, 2018

Dubai Bakal Perkenal Perkhidmatan Dron Sebagai Teksi Terbang!

Dubai Bakal Perkenal Perkhidmatan Dron Sebagai Teksi Terbang!

Perkhidmatan teksi dron merupakan inisiatif baharu yang sedang dirancang untuk menjadi daya tarikan baru pelancongan di Dubai, yang dibuat oleh syarikat Jerman, Volocopter.

Dubai Bakal Perkenal Perkhidmatan Dron Sebagai Teksi Terbang!

Dron Volocopter mempunyai dua tempat duduk dan dikendalikan oleh 18 rotor yang boleh menggerakkan dron ini secara mendatar atau menegak.

Dron ini mampu terbang secara auto dan mampu dikendalikan oleh sesiapa saja.

Dubai Bakal Perkenal Perkhidmatan Dron Sebagai Teksi Terbang!

Ia boleh terbang di udara selama 30 minit dan sangat sesuai untuk pengangkutan henti-henti di bandar. Atas sebab itulah dron ini bakal digunakan sebagai teksi udara pertama di dunia.

Idea kenderaan terbang telah menjadi penting dan telah diangkat sebagai cara pengangkutan yang maju di masa hadapan.

Dubai Bakal Perkenal Perkhidmatan Dron Sebagai Teksi Terbang!

Rancangan teksi terbang Uber turut menghangatkan lagi proses pembangunan kereta terbang pertama dunia menjelang tahun 2020.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Proton Bakal Cipta Kereta Terbang!

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, November 02, 2017

'Pilot' Dron Perlu Ada Ilmu Dan Memahami Peraturan Asas Penerbangan

'Pilot' Dron Perlu Ada Ilmu Dan Memahami Peraturan Asas Penerbangan

Dikenali sebagai aktiviti rekreasi mahupun hobi, menerbangkan dron adakalanya boleh menjejaskan keselamatan jika sewenang-wenangnya dipandu tanpa asas betul.

Dron

Justeru pemandu dron atau ‘pilot’ perlu mempunyai ilmu serta memahami selok-belok penerbangan kapal terbang mini terbabit supaya tidak menjejaskan reputasi mahupun penggiat industri fotografi udara.

Itu disaran dua penggiat ‘tegar’ model kapal terbang mini terbabit, Sharif Zulkepele Harun dan Soffre Sukiman.

Kedua-duanya sangat teratur serta cekap mengendalikan dron masing-masing yang sesekali terbang rendah untuk mempel­bagaikan sudut gambar subjek yang ingin diambil.

Mereka turut ditemani Mohamad Faezzuddin Osman selaku pembantu Sharif yang turut me­ngambil peluang mempelajari serta memahami cara pengendalian kerana untuk memiliki spesifikasi model terbabit menelan kos tinggi sehingga mampu mencecah belasan ribu ringgit.

Shariff berkata, dia terbabit dalam pengendalian dron kerana komitmen terhadap pelanggan mengharapkan mutu visual menerusi pandangan sudut tinggi (high angle) mendesak dia memiliki model berkenaan.

Mengakui cabaran ketika itu sangat besar kerana dia terpaksa menghadiri kelas tertentu sebelum mengendalikan dron.

“Dulu pemilik dron perlu me­ngambil inisiatif sendiri, termasuk menghadiri kelas khas dalam memahami cara pemanduan dan pengendaliannya.

"Ia bukan sewenang-wenangnya boleh dikawal alat kawalan jauh kerana model saya pakai berkualiti sederhana.

“Maksudnya, saya di peringkat ‘medium range’ yakni model dron saya memerlukan talian akses kepada sistem satelit membolehkan dia terbang.

"Penjual model dron ketika itu tidak menyediakan perkhidmatan mengajar pengendalian, menyebabkan saya terpaksa menghadiri beberapa kelas anjuran agensi tertentu seperti Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk terbangkannya.

“Ia jauh lebih sukar berbanding mereka yang mahu mempelajari dron pada ketika ini yang sedia de­ngan sesi pembelajaran asas penjual model alat terbang terbabit,” kata­nya.

Mengakui sukan berkenaan dalam kelas tersendiri, Shariff berkata, peminat fotografi udara tidak perlu gusar kerana mereka boleh mulakan hobi memiliki dron bermula dengan model pada kualiti asas.

“Memang dengar saja harga model untuk julat sederhana dan tinggi, tidak terjangkau memiliki permainan mencecah ribuan ringgit, tetapi mereka ada opsyen memulakan hobi dalam fotografi udara dengan ‘spec’ asas.

“Mereka boleh menggunakan model tanpa Global Positioning System atau GPS (Sistem Kedudukan Sejagat) hanya boleh terbang sekitar lima meter ke bawah dan tidak lebih 200 meter jauh­nya.

“Mereka boleh belajar dengan kualiti kamera lebih rendah belajar untuk terbangkan dengna baik sebelum menaik taraf kualiti dron serta kamera digunakan untuk tujuan fotografi sudut tinggi.

“Ini membantu mereka untuk mengelak berlaku isu tertentu, termasuk dron rosak mahupun diculik’ atau didakwa atas kesalahan tertentu.

"Mula perkemaskan diri asas teknikal, penerbangan dan memahami undang- undang,” katanya yang turut menyediakan kursus sama di pusat latihannya, Infra Minda di Pinggiran Subang, Selangor.

Rakannya, Soffre pula berkata, ‘pilot’ baru perlu jelas de­ngan etika penerbangan mengelak berlaku impak negatif terhadap pemilik dron lain akibat cetek pengetahuan dalam sesetengah hal perundangan membabitkan pengendalian itu.

Dia turut aktif bersama dengan kumpulan komuniti alat terbabit sentiasa berharap kesempatan diberi pihak berkuasa dalam aktiviti berkenaan dapat difahami sewajarnya kalangan penggiat baru.

Ada kes membabitkan penerbang ‘gelap’ yang tidak peka dengan situasi membabitkan kawasan dilarang terbang.

Sikap mereka dikhuatiri mengheret pemilik dron yang lain andainya pihak berkuasa mula menetapkan sekatan terhadap memiliki dron seperti dilaksanakan negara jiran kita di Singapura dan Thailand.

Ia akan memberi kesan kepada peminat fotografi udara mahupun penggiat seni visual yang berdepan kekangan memiliki gambar baik.

“Sebelum ini kami terpaksa menggunakan khidmat helikopter, kos jauh lebih mahal tetapi kualiti termasuk gegaran dan bunyi rasa­nya tidak berbaloi.

"Jadi dron pilihan terbaik ketika ini untuk merakam gambar mahupun visual dari pandangan sisi atas,” katanya.

Perbezaan antara penggiat komersial dengan hobi berdasarkan beberapa kriteria. Kata Soffre, perbezaan mengikut tahap ketinggian dan jauh jarak.

“Kami selaku individu merakam visual serta gambar korporat, kami mendapatkan permit dari DCA dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sebelum melaksana­kan sebarang kerja penggambaran. Ini prosedur wajib dan masih ada beberapa peraturan kami perlu patuhi.

“Begitu juga dengan mereka yang berjinak-jinak dengan aktiviti ini perlu peka dengan peraturan tertentu,”katanya sambil memaklumkan, komuniti boleh dirujuk seperti Quadcopter Malaysia, Malaysia Aerialphotography dan Malaysia Cinemafotography.

Sementara itu, Faezuddin berkata, dia sebelum ini hanya me­ngetahui mengenai fotografi udara mahupun dron menerusi YouTube. Mengakui teruja dapat melihat secara dekat menyimpan harapan memiliki model berkenaan sendiri.

“Saya meminati bidang grafik dan fotografi. Sudah tentu impian memiliki dron sendiri. Mungkin saya perlu belajar dulu daripada Shariff sebelum bersedia menggerakkan dron.

"Barangnya bukan murah dan kendaliannya sedikit kompleks, oleh itu saya perlu memahami teknikalnya,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Bagaimana Hendak Menjadi Seorang Juruterbang Pilot?

sumber: hmetro