Thursday, January 20, 2022

Ayahanda Stroke Selepas Vaksin Booster, Mufti Perlis 'Perli' Pihak Berkuasa!

Ayahanda Stroke Selepas Vaksin Booster, Mufti Perlis 'Perli' Pihak Berkuasa!

Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin berkata, KKM dan kerajaan Malaysia tidak seharusnya menafikan kesan mudarat serius yang menimpa orang ramai susulan mengambil suntikan penggalak vaksin Covid-19.

Bapa Dr Asri Kena Strok Selepas Vaksin Booster

Katanya, dia tidak menafikan peranan vaksin sebelum ini yang telah mengurangkan penularan wabak Covid-19 dan mereka yang mengalami kesan buruk adalah golongan minoriti tetapi menegaskan kerajaan harus bertanggungjawab terhadap keselamatan setiap nyawa.

"Banyak aduan tentang kesan yang serius selepas dos ketiga. Ia bukan kisah dongeng tapi memang ramai yang mengalami atau melihat sahabat atau ahli keluarga alami. Tidak guna untuk menafikan.

"Benar, majoriti yang ambil tiada masalah. Saya dah ambil dos ketiga, tiada masalah. Ibu saya pun ambil, tiada masalah. Alhamdulillah.

"Namun ramai juga yang datang jumpa saya cerita kesan yang mereka alami. Ada mendakwa kematian berlaku mengejut selepas dos ketiga. Oleh kerana mereka orang kampung, mereka tiada saluran aduan rasmi," katanya.

Justeru, Dr Asri mencadangkan penangguhan pemberian dos ketiga sehingga dikeluarkan garis panduan dengan jelas mengenai siapa yang tidak wajar mengambil dos ketiga atau penggalak itu.

"State of denial (berada dalam penafian) tidak berfaedah jika masyarakat melihat realiti sebenar di hadapan mata mereka. Biar ada panduan jelas siapa yang layak dan siapa tidak layak ambil dos ketiga ini," katanya.

KKM Siasat Bapa Mufti Perlis Diserang Strok Selepas Vaksin Penggalak (Booster)

KKM Bohong Kesan Bahaya Vaksin

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kesan adverse - mudarat - susulan kes imunisasi (AEFI) membabitkan bapa Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin.

Dr Asri sebelum itu menyatakan kebimbangan kerana bapanya telah dimasukkan ke hospital selama lebih seminggu selepas keadaan kesihatannya menjadi lebih teruk selepas mendapat dos penggalak vaksin Covid-19.

"Pihak NPRA telah menghubungi hospital yang berkenaan dan mereka dalam proses menyiasat dan menyediakan laporan AEFI," kata Program Perkhidmatan Farmasi KKM pada satu kenyataan ringkas.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (singkatan NPRA) bertanggungjawab terhadap ujian, kelulusan dan pengawasan produk kesihatan termasuk penggunaan vaksin di Malaysia.

Dr Asri berkata bapanya muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang ketiga.

Menurutnya, seorang doktor menyatakan bapanya sekali lagi diserang angin ahmar di bahagian sensitif kepalanya.

Menulis di Instagram, asri membangkitkan soalan jika ia ada kaitan dengan vaksin.

"Punca masih tidak jelas. Apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau tidak? Saya tidak pasti.

"Hanya pakar yang dapat menjelaskan," kata mufti itu pada hantaran gambar dia menziarahi bapanya di hospital.

Dr Asri tidak menyatakan bila bapanya menerima dos penggalak atau jenis vaksin yang diterimanya.

Dia juga menggesa KKM supaya mengambil aduan yang serius mengenai AEFI dan menjalankan siasatan mengenai kesan sampingan vaksin terutamanya melibatkan kes vaksin didapati tidak sesuai kepada penerima.

Menurut Dr Asri, dia bimbang selepas mengetahui beberapa kes penerima vaksin meninggal dunia selepas mendapat dos penggalak.

Apa Harapan Yang Ada?

Negara Rasuah

Ahli politik yang mencuri terang-terangan didepan seluruh rakyat pun boleh terlepas dari hukuman, inikan pula setakat nyawa warga yang hina.

Lagipun, KOMISEN dari bisnes nyawa ini sangatlah lumayan.

Kerajaan haram tidak akan pernah peduli nyawa rakyat. Apa sangatlah kalau setakat 2-3 nyawa.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Tuesday, September 03, 2019

Bantu Beli Produk Muslim, Bukannya Boikot Produk Bukan Islam

Bantu Beli Produk Muslim, Bukannya Boikot Produk Bukan Islam

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyeru umat Islam agar mengetengahkan kempen untuk membantu ekonomi sesama Muslim di Malaysia dan bukannya melalui kempen memboikot barangan bukan Islam yang hanya merugikan ramai pihak.

Beli Produk Muslim

Biarpun sikap anti-Islam di kalangan sesetengah bukan Islam begitu ketara terutamanya ahli politik "parti tertentu", Asri berpendapat kempen memboikot barangan bukan Islam bukanlah satu seruan yang bijak.

"Ada mereka (bukan Islam) yang baik hubungan dan penghormatan mereka kepada masyarakat Muslim. Islam tidak mengajar kita memusuhi orang yang tidak memusuhi kita.

"Kedua, produk Muslim sendiri tidak merangkumi seluruh keperluan kehidupan pada masa kini.

"Maka, sangat sukar untuk berjaya jika memboikot keseluruhannya selagi kita masih bergantung kepada sumber produk bukan Muslim dalam sebahagian keperluan.

"Saya percaya kempen yang lebih baik ialah kempen membantu ekonomi sesama Muslim, dalam ertikata lain, kita berusaha dengan pelbagai cara menguatkan ekonomi sesama kita," katanya.

Menurut Asri, antara perkara yang boleh dilakukan untuk membantu mencapai perkara tersebut adalah dengan membeli dan mengutamakan produk muslim, berkongsi kepakaran, membantu meningkatkan hasil perniagaan, serta membantu berkempen barangan Muslim.

Katanya, biarpun orang Islam mempunyai kuasa membeli yang tinggi selaku kaum majoriti, malangnya golongan itu bukan peniaga mahupun pengeluar, tetapi hanya berfungsi sebagai pembeli dan pengguna dalam banyak hal.

"Hal ini perlu diatasi. Kuasa membeli kita mesti dimanfaatkan," katanya.

Tambahnya, pengeluaran sebahagian produk keperluan merupakan fardu kifayah dan membeli daripada peniaga Muslim sebagai usaha memperkukuh ekonomi umat Islam.

"Jika gagal sehingga umat ini boleh diperkotak-katikkan, maka semua kita berdosa," katanya lagi.

Cabaran peniaga Muslim

Mohd Asri berkata, kelemahan masyarakat Muslim menguasai rantaian bekalan (supply chain) menyebabkan peniaga Muslim menghadapi cabaran yang kuat dari sudut persaingan.

"Contohnya, agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh Muslim atau memasarkan barangan keluaran Muslim.

"Demikian juga untuk memperolehi bahan mentah yang baik dan berpatutan. Ini berlaku disebabkan faktor-faktor tertentu, antaranya pihak lain telah lama melancarkan usaha bantu membantu ekonomi sesama sendiri. Tiada siapa pun menyatakan itu 'rasis'.

"Demikianlah kita semua masyarakat Muslim. Kita semua berusaha memajukan masyarakat Muslim kita terutama dalam menghadapi situasi yang ada seperti sekarang," katanya lagi.

Tambah beliau, jika setiap rumah Muslim membeli barangan keperluan makanan dari produk Muslim, berbilion ringgit dapat digerakkan dalam ekonomi umat Islam dan akan menggalakkan lebih banyak produk dan syarikat perniagaan Muslim muncul.

Pada masa yang sama beliau menegaskan peniaga Muslim perlulah memastikan kualiti produk dan urusan perniagaan ditingkatkan dan bebas daripada penipuan.

Di media sosial, muncul gerakan kempen bagi menggesa golongan Bumiputera memboikot produk yang dihasilkan oleh bukan Bumiputera.

Beberapa NGO turut tampil menyeru pengguna memboikot produk halal yang dihasilkan oleh bukan Islam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, July 19, 2019

Cara Menghadapi Gangguan Was-was Dalam Islam

Cara Menghadapi Gangguan Was-was Dalam Islam

Soalan: Saya selalu was-was. Kalau saya ambil wuduk, saya selalu rasa tidak puas. Saya selalu syak rasa macam wuduk saya batal. Saya buat seperti diajar kepada saya agar saya mengurut kemaluan selepas membuang air kecil supaya pastikan habis air kencing.

Gangguan Was-was

Tapi sejak itu pula was-was datang. Saya selalu rasa macam ‘terkencing’ atau ‘keluar angin’ masa solat. Sehingga saya selalu risau apabila hendak beribadah. Saya selalu berulang wuduk dan cuba memastikan tiada air kencing di pakaian saya. Apakah penyelesaiannya?

JAWAPAN DR MAZA:

Semoga Allah membaiki urusan saudara. Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian;

1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan

Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

2. Antara sebab utama berlakunya was-was

Tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi s.a.w yang mudah dan senang dalam ibadah, terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, dan juga terlalu melayan gangguan perasaan. Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah s.a.w” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing

Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar. Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan

Dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94)

Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis Al-Hakam bin Sufyan:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ثُمَّ نَضَحَ فَرْجَهُ

“Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Ahmad, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dll. Sekurang-kurang hasan kerana syawahid).

Nabi s.a.w melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita untuk mengelakkan was-was.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat

Nabi SAW mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?

Jawab Nabi SAW:

لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

“Jangan berhenti sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira.

Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini

Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita:

إنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا

“Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua?

Jika ia untuk Allah SWT maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah.

Ikutilah arahan Allah SWT dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah

Firman Allah:

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَاآدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى (120) فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى

Maksudnya, “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: "Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan. (Surah Taha: 120-121)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: facebook

Wednesday, February 27, 2019

Maknyah Pukul Wanita Sama Seperti Lelaki Memukul Wanita!

Maknyah Pukul Wanita Sama Seperti Lelaki Memukul Wanita!

Itu penegasan Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, justeru beliau berkata, jika masyarakat melihat seorang maknyah memukul wanita mereka perlu bertindak seperti mana melihat lelaki memukul wanita.

Maknyah pukul wanita

Menurut Dr. Mohd. Asri , dalam Islam jantina bidaah yang dinamakan 'maknyah' atau 'saudarai' tidak dibenarkan berleluasa.

Ini kerana dikhuatiri atas nama jantina palsu tersebut, maka ramai lelaki boleh mengambil kesempatan menzalimi wanita.

"Masyarakat pula tidak akan sensitif apabila melihat maknyah menzalimi wanita seperti sensitifnya mereka apabila mereka melihat lelaki memukul wanita.

"Masyarakat hanya akan kata 'maknyah' pukul perempuan. Padahal hakikatnya lelaki memukul perempuan.

Memperagakan pakaian perempuan dan bergaya seperti perempuan tidak mengubah hakikat mereka itu lelaki!" kata Dr. Mohd. Asri.

Dr. Asri berkata, jika masyarakat tidak menangani kewujudan golongan terkenaan akan banyak banyak hak wanita bahkan hak lelaki yang akan dicerobohi.

"Maka jika melihat maknyah memukul perempuan bertindaklah seperti mana kita melihat lelaki memukul perempuan. Jangan dikelirukan oleh penampilan yang palsu," kata Dr. Mohd. Asri.

Sebelum ini pernah tular di media sosial, video seorang individu yang bekerja sebagai perunding kecantikan mendakwa telah diserang dan ditampar oleh beberapa orang maknyah sehingga berlaku pergelutan di pusat membeli belah di Kuala Lumpur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Sunday, April 15, 2018

Politik Adalah Untuk Memilih Parti Yang Paling 'Kurang Najisnya'

Politik Adalah Untuk Memilih Parti Yang Paling 'Kurang Najisnya'

Dalam persaingan politik kepartian yang sedang kita saksikan sekarang di Malaysia, sebenarnya bukanlah percaturan untuk memilih dan mengundi antara parti yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Politik di malaysia

Sebaliknya, kita diberi ruang untuk memilih parti politik yang paling kurang mudarat di antara yang sangat mudarat. Itulah realiti yang ada.

Jika kita cuba 'beriman' dengan segala dakwaan dan janji mereka, maka itu sebenarnya satu kesilapan yang besar.

Cumanya, kita sedang mencari antara yang kurang temberang dalam kalangan yang temberang.

Sesiapa yang bersemangat mempercayai sepenuhnya apa yang dibawa mana-mana parti, maka dia akan kecewa.

Apa yang sedang kita saksikan dari ahli politik yang berserban sehingga yang ke kelab malam, berbohong itu seakan rukun mereka dalam berpolitik.

Tuntutan agama ialah kita hendaklah berpegang dan berdiri atas prinsip, sementara orang politik bicara mereka berubah berdasarkan musim undian dan kuasa yang ingin diperolehi.

Semalam mereka halalkan, hari ini mereka haramkan.

Semalam mereka nerakakan , hari ini mereka beri lebel syurga.

Semalam mereka bantah, hari ini mereka sokong.

Bukan sahaja berita media mereka putar, nas-nas agama juga mereka pusing mengikut kehendak semasa mereka.

Justeru, apa yang kita perlu lakukan ialah memilih yang paling kurang bahaya iaitu yang lebih dekat untuk mencapai urustadbir negara yang lebih cekap dan telus.

Memang, sepatutnya kita mencari yang paling cemerlang dalam kalangan yang terbilang untuk diberikan tanggungjawab pentadbiran negara.

Malangnya, yang tinggal kini ialah kita terpaksa mencari siapakah yang dijangka kurang merosakkan urustadbir negara jika diberikan kuasa.

Parti-parti yang kita lihat bergegar dengan pelbagai slogan dan manifesto itu, jika kita selami dalaman mereka, kesemuanya sarat dengan pelbagai ketidaktelusan dan kerakusan terhadap kuasa.

Individu-individu yang memimpin setiap parti itu mempunyai pelbagai kehendak dan kepentingan diri.

Walaupun kita tidak menafikan di sana ramai juga yang ikhlas dalam pelbagai parti yang ada namun, mereka itu 'ghuraba' (orang asing) dalam lautan cita-cita politik yang sering kali mempunyai 'kehendak peribadi' yang dihiasi dengan ungkapan 'demi kepentingan rakyat'.

Kepada Allah kita mengadu.

Semoga Allah pelihara kita dari ketaksuban yang bodoh.

Semoga Allah mengurniakan kita mata nurani yang dapat membuat pemilihan yang betul.

Kita kena memilih yang paling cekap dan amanah.

Jika tiada, yang mendekati kecekapan dan yang lebih dekat kepada amanah.

Jika tiada, yang paling kurang korupsi dan paling kurang dangkal dalam urustadbir.

Namun, dalam masa yang sama, kita tidak akan mempercayai segala slogan mereka dengan sepenuh hati.

Kita tahu di musim ini, bukan sahaja harta dunia mereka janjikan, syurga dan neraka pun mereka beri jaminan seperti mana mereka menjamin geran tanah di dunia!

Pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat.

Jadilah insan yang berprinsip dan dapat membezakan apa yang kita lihat di pentas kehidupan ini.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA)
Mufti Perlis

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 'Wang Nadi Politik Yang Menjengkelkan'

sumber: fb/DrMAZA

Monday, September 25, 2017

Kedai 'Dobi Islam' Amalan Agama Sempit

Kedai 'Dobi Islam' Amalan Agama Sempit

Tindakan pengusaha sebuah kedai dobi di Muar, Johor, yang hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja adalah satu amalan agama yang sempit, kata Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Dobi Islam

Beliau berkata, amalan itu bertentangan dengan Islam yang memudahkan penganutnya, pada masa sama tidak sesuai dalam masyarakat yang pelbagai agama dan budaya.

"Semua pandangan yang sempit seperti ini akan membawa negara kita ke arah ekstremisme dan hilang imbangan untuk hidup dalam masyarakat pelbagai agama dan budaya.

"Islam itu agama yang hidup dan beraksi dengan persekitaran secara seimbang. Fikah itu ke arah memudahkan bukan menyusahkan," kata Dr. Asri.

Kedai dobi itu mula diperkatakan selepas tular di laman sosial 23 September lalu.

Menurut gambar yang tersebar, kedai tersebut meletakkan papan tanda tertera "Dobi ini hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja atas faktor kesucian".

Fikah yang mudah

Perkara itu disokong Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Nooh Gadut yang berkata, orang Islam dan bukan Islam perlu menjamin pakaian yang dicuci di kedai dobi layan diri dalam keadaan bersih daripada najis mughallazah (najis berat).

"Yang Islam perlu pandang isu najis mughallazah sebaab najis dan kotor lain (berbeza), kotor boleh buat sembahyang.

"Sebab itu mesti dibersihkan dulu (pakaian) dan baru boleh masuk dalam mesin basuh," katanya dipetik Harian Metro.

Malah ia juga disokong Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin dan berkata dobi itu tidak sepatutnya menimbulkan tanggapan buruk di kalangan orang bukan Islam.

Katanya, Islam memang mementingkan kebersihan dan kewujudan dobi itu boleh membuang perasaan ragu-ragu berhubung aspek kesucian pakaian mereka.

Berbeza pandangan dengan pandangan itu, Mohd Asri menasihatkan umat Islam agar memilih hukum fikah yang mudah dan praktikal, selain jangan membuat andaian berlebihan sehingga menyusahkan kehidupan mereka

"Jika asal sesuatu bahan itu bersih, tidak zahir padanya najis sama ada dari segi warna, bau ataupun rasa, maka ia dikira bersih.

"Andaian yang berlebihan sehingga menyusahkan kehidupan bukan ajaran Nabi Muhammad yang mudah dan memudahkan kehidupan manusia," katanya.

Jika berterusan, katanya lagi, ia akan membawa kepada lebih banyak kepada hal pemisahan antara orang Islam dan bukan Islam yang tidak wajar.

"Saya bimbang nanti ada menggesa orang Islam tidak boleh guna duit yang telah digunakan orang bukan Islam. Ini kerana mereka mengandaikan mungkin ada najis semasa duit itu bertukar tangan.

"Kemudian perlu diasingkan pula bekas makanan yang digunakan orang bukan Islam di restoran. Takut nanti ada kesan khinzir di mulut mereka," katanya lagi.

Pemilik

Pengendali dobi itu, 40, memberitahu sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa beliau sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam.

Beliau berkata orang Cina dan orang India yang beragama Islam dialu-alukan ke kedai dobinya, dan orang bukan Islam boleh menggunakan kedai dobi lain.

Pengendali itu bagaimanapun enggan menjelaskan mengapa beliau mengenakan syarat itu kepada pelanggan.

Pengendali itu juga enggan mengulas apabila ditanya apakah kerana beliau bimbang ada unsur “tidak bersih” seperti bulu anjing pada pakaian yang dibawa orang bukan Islam ke kedai dobinya.

Beliau juga tidak mahu gambarnya diambil.

BACA INI JUGA: Siapa Untung Jika Umat Islam Dan Kristian Bergaduh?

sumber: malaysiakini

Tuesday, August 15, 2017

Anak Lahir Kurang 6 Bulan Boleh Bin Binti Kepada Suami Ibunya

Anak Lahir Kurang 6 Bulan Boleh Bin Binti Kepada Suami Ibunya

Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin yang bermesyuarat pada September 2008 telah memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibubapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut;

Bin Binti Suami Ibu

“Anak yang lahir kurang daripada 6 bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami.”

Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn DYMM Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

Maksud Fatwa

Seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang kurang daripada tempoh 6 bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya.

Senario

Di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di ‘bin’ kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam ertikata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’.

Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut.

Pihak ibu bapa pula, amat sukar untuk menerangkan masalah tersebut kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka ‘aib yang telah cuba ditutup.

Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibubapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga.

Atas keadaan tersebut maka, isu ini dibincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis, setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai, maka keputusan tersebut dibuat.

Antara Asas Alasan

Dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi SAW, “Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini disebutkan oleh Nabi SAW apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah.

Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya.

Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah.

Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi SAW, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d.

Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda, “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut).”

Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah SAW memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina.

Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi SAW yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas.

Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti berbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga.

Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya.

Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi, “Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”. (lihat: islamonline.net).

NAMUN: Keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan, dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.

Kebaikan Fatwa Ini
  • Menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat.
  • Menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurang tempoh perkahwinan.
  • Membantu ibubapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

Kesannya

Pihak pendaftaran hendaklah memberikan hak berbinkan suami ibu (bapa) kepada anak yang lahir sama ada kurang atau lebih daripada enam bulan tempoh perkahwinan ibunya, dengan syarat si suami tidak membantah.

Yang benar,
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
(Mufti Kerajaan Negeri Perlis)

BACA INI JUGA:

sumber: drmaza