Saturday, August 10, 2013

Ketua Mafia Sicily Cosa Nostra Berjaya Ditangkap Selepas Diburu Selama 20 Tahun

Ketua Mafia Sicily Cosa Nostra Berjaya Ditangkap Selepas Diburu Selama 20 Tahun

Setelah hampir dua dekad diburu, akhirnya seorang ketua mafia Itali berjaya ditahan pihak berkuasa di London.


Polis Metropolitan London berkata, Domenico Rancadore, 64, telah ditahan Rabu lalu berdasarkan waran Eropah yang dikenakan ke atasnya.

Dianggap sebagai ahli penting dalam kumpulan mafia Sicily Cosa Nostra, Rancadore dikehendaki polis Itali selama 19 tahun dan turut berada dalam senarai penjenayah paling berbahaya di Rom.

Malahan Rancadore turut mempunyai hukuman penjara tujuh tahun yang masih belum dilaksana di Itali untuk aktiviti mafia berkaitan, berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan.

"Beliau telah diambil ke dalam jagaan polis dan dijadualkan untuk hadir di mahkamah Westminster majistret hari ini (semalam)," kata polis dalam satu kenyataan.

Rancadore, yang dikenali dengan nama samaran "u profissuri" (guru) dalam mafia, mempunyai seorang isteri berbangsa British dan dua orang anak.

Dia juga menguruskan sebuah agensi pelancongan yang berjaya di Britain sebelum dia ditangkap, menurut laporan media Itali.

Waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya adalah hukuman penjara berkaitan aktiviti mafia antara tahun 1987 dan 1995 di Palermo, bandar utama di pulau Sicily.

Waran tangkap antarabangsa untuk Rancadore telah dikeluarkan pada tahun 1998.

-SinarOnline