Thursday, April 27, 2017

Sepanyol Paling Ramai Penderma Organ Di Dunia

Sepanyol Paling Ramai Penderma Organ Di Dunia

Sepanyol menjadi peneraju dunia dalam arena pemindahan organ sejak 25 tahun lalu dengan setiap hari pembedahan pemindahan organ dijalankan di negara itu.

penderma organ

Menurut Pertubuhan Transplan Nasional (ONT) negara itu, sejumlah 4,818 pembedahan pemindahan organ dikendalikan pada tahun 2016 yang lalu dengan 2,994 daripadanya melibatkan buah pinggang.

Sepanyol merekodkan kadar 43.4 pendermaan per sejuta (pmp) penduduk pada tahun 2016 meningkat daripada 40.2 berbanding tahun sebelumnya memecah rekod dunia sebagai negara berpopulasi penderma organ tertinggi.

Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat mencatat 28.2pmp diikuti, Perancis 28.1 pada tahun yang sama. Malaysia sendiri hanya mencapai kadar 0.6pmp pada tahun 2016.

Penyelaras

Pelaksanaan operasi pemindahan organ yang dilakukan mengikut sistem berpusat, model sama ditiru Portugal dan Croatia selain memberi inspirasi kepada negara-negara lain di sekitar Eropah.
Setiap hospital mempunyai penyelaras pemindahan. Mereka terdiri daripada seorang doktor serta jururawat yang pakar dalam rawatan rapi dan berkebolehan mengenal pasti pesakit yang berisiko mengalami serangan jantung atau kematian otak.

Dalam kes sedemikian, organ seperti buah pinggang, hati, paru-paru, pankreas dan kadangkala jantung masih boleh berfungsi dengan baik untuk diberi kepada mereka yang memerlukan.

Maklumat pendermaan organ akan disalurkan dengan pantas kepada ONT yang kemudiannya akan mencari padanan bersesuaian untuk individu yang berada dalam senarai menunggu.

Jika pesakit tinggal di lokasi jauh, organ yang disimpan sejuk akan dihantar menggunakan kapal terbang dan dimuatkan di kokpit bersama juruterbang.

Kos rawatan adalah percuma kerana ditanggung sepenuhnya Jabatan Kesihatan Awam Sepanyol. Ia hanya disediakan kepada rakyat negara itu bagi mengelakkan eksploitasi atau penyeludupan organ.

Pegawai dari jabatan etika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Marie-Charlotte Bouesseau menjelaskan, di seluruh dunia, hanya kira-kira 10 peratus pesakit yang perlu menjalani pemindahan organ dapat berbuat demikian.

Baki 90 peratus lagi berkemungkinan menemui ajal ketika dalam proses menunggu. Apa yang boleh memperbaiki keadaan ini adalah jaringan kerjasama dan organisasi berpusat. Itu kuncinya.

Kehidupan baharu

Pada tahun 2016 lalu, di Sepanyol, sekitar empat hingga enam peratus daripada pesakit meninggal dunia ketika mereka berada dalam senarai menunggu organ penting seperti hati, jantung dan paru-paru.

Bagi penerima organ, ia bagaikan mendapat kehidupan baharu. Cuma perlu makan ubat bagi memastikan tubuh tidak menolak buah pinggang yang didermakan.

BACA INI JUGA: Kekeliruan Derma Organ, Islam Mengharuskan, Kemuncak Sedekah

sumber: kosmo

Saturday, September 05, 2015

Kekeliruan Derma Organ, Islam Mengharuskan, Kemuncak Sedekah

Kekeliruan Derma Organ, Islam Mengharuskan, Kemuncak Sedekah

Apabila organ diberikan kepada orang lain, fizikal penderma itu semasa dibangkitkan kelak di padang mahsyar berada dalam keadaan tidak sempurna.

Derma Organ

Sekiranya mata didermakan, maka berjalanlah dia untuk mengharungi hari perhitungan sama ada menjadi penduduk syurga atau neraka, dalam keadaan mata sebelah. Jika buah pinggang dan jantung didermakan - maka cacatlah fizikalnya nanti.

Satu lagi yang membuatkan orang Islam terpaksa memikirkan beribu kali sama ada meneruskan hasratnya itu atau sebaliknya ialah penderma bakal menerima tempias dosa sekiranya penerima organ itu kembali sihat dan meneruskan kehidupannya yang bergelumang dengan dosa.

Kononnya jika penerima itu tidak sembahyang, berzina, minum arak atau lebih tepat lagi melakukan perkara maksiat, secara automatiknya penderma bakal menerima saham dosanya.

Stigma lain ialah apa hukumnya sekiranya penerima organ itu merupakan penganut agama lain. Tidakkah nanti penderma itu bakal menanggung dosa sekiranya penerima organ bukan Islam yang kembali sihat itu bertambah teguh pegangan agama mereka?

Jawapan Bagi Kekeliruan

Tanggapan ini silap kerana perbuatan mulia menderma organ boleh disifatkan sebagai kemuncak sedekah yang digalakkan Islam kerana ia melibatkan anugerah nyawa kurniaan Allah.

Walaupun hanya sebahagian organ didermakan kepada yang memerlukan, namun ia secara tidak langsung memberi sekelumit nyawa untuk sebuah penghidupan.

Al-Quran menyatakan sedekah yang hendak diberikan mestilah daripada perkara yang paling disayangi.

Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 92 yang bermaksud, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Hukum pendermaan organ sebenarnya bukan isu baharu di negara ini. Fatwa asas mengenainya telah dibuat pada tahun 1970 lagi.

Jawatankuasa Fatwa Bagi Majlis Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam mesyuaratnya yang pertama pada 23 dan 24 Jun 1970 memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung daripada orang mati kepada orang hidup hukumnya harus.

Mengenai tempias dosa atau perkongsian saham maksiat, jawapannya adalah begini, Islam itu amat indah dan Allah tidak akan sesekali menzalimi hamba-Nya.

Organ yang didermakan bakal menjadi saham akhirat sekiranya penerima memanfaatkan organ yang diterima pada jalan kebaikan. Tempias kebaikan akan turut dinikmati oleh pemilik pertamanya. Namun, sekiranya penerima melakukan maksiat, dosanya tidak akan ditanggung oleh penderma.

Allah yang Maha Adil menetapkan seseorang itu tidak akan menanggung dosa yang dilakukan oleh orang lain. Firman-Nya: “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.” (al-An’am [6:164], al-Isra’ [17:15] dan Fatir [35:18]).

Berhubung kebarangkalian penerima organ daripada kalangan bukan beragama Islam. Sedekah dan pendermaan menurut Islam adalah buta agama dan warna kulit.

Islam tidak pernah membataskan agama dalam isu sedekah kerana sedekah adalah tanggungjawab manusia manakala hidayah kepada Islam adalah hak mutlak Allah.

Orang yang terbantut hajat sedekahnya perlu memahami bahawa hak Allah dalam memberikan hidayah tidak boleh dicerobohi sama sekali.

Firman Allah, “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan (al-Baqarah [2:272]).

Ayat ini diturunkan bagi menegur sebahagian sahabat nabi SAW yang berasa berat hati untuk bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang masih kufur (Tafsir Ibn Kathir).

Nas ini jelas menunjukkan Islam tidak menghalang sedekah diberikan kepada golongan bukan Islam kerana pahala sebarang ibadah sedekah dan pendermaan organ sudah dijanjikan Allah berdasarkan umumnya nas sedekah pada ayat terdahulu.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan