Wednesday, February 14, 2018

Kajian Pakar Sahkan Ketum Tidak Berbahaya

Kajian Pakar Sahkan Ketum Tidak Berbahaya

Pakar perubatan bersetuju bahawa hasil kajian setakat ini menunjukkan, ketum tidak membawa mudarat kepada individu yang mengamalkannya bagaimanapun, Pakar Psikiatri Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC) Dr Rusdi Abd Rashid memberitahu penanaman atau penghasilan ketum masih perlu dikawal agar ia tidak disalah guna.

Ketum tidak bahaya

Katanya lagi, berdasarkan pengalamannya bekerja di Kedah selama enam tahun serta menjalankan tinjauan di sebuah negeri di utara tanah air, pengguna ketum yang tidak dicampur sebarang dadah tidak menunjukkan tanda-tanda agresif, sebaliknya mereka menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Malah, Dr Rusdi memberitahu, hasil tinjauan juga mendapati, daripada 100 responden yang ditemui, 24 peratus daripadanya pengguna ketum dan 15 peratus berhenti mengambil heroin.

“Pengalaman saya sendiri yang kerja di Alor Setar empat tahun dan di Yan dua tahun, saya tak pernah didatangi individu yang ada masalah (ketagihan) ketum, kecuali mereka yang ada masalah dadah dan pada masa sama guna ketum.

"Kebanyakan mereka hanya mengadu pasal dadah bukan pasal ketum.

“Apabila ditanya kenapa guna ketum, mereka kata nak hilangkan ketagihan pada dadah seperti (dadah jenis) pil kuda, heroin," katanya.

Dr Rusdi menjelaskan kajiannya mendapati pengguna ketum juga tidak bermasalah dan boleh bekerja seperti biasa dan bukannya gagal berfungsi dalam masyarakat seperti penagih dadah.

Bahkan katanya selepas mengambil ketum, mereka boleh bekerja kerana bahan itu memberi tenaga.

Berdasarkan pemerhatian, kata Dr Rusdia, dia merumuskan tiada akibat negatif terhadap pengguna ketum kerana ramai daripada mereka yang mengambilnya ialah orang tua bagi mengatasi masalah sakit sendi.

Dr Rusdi berkata demikian ketika menyampaikan ceramah ‘Ketum - Use or abuse di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Boleh ganti Metadon

Selain itu, beliau juga memberitahu, isu salah guna ketum boleh berlaku apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mencampurkannya dengan dadah atau bahan lain - seperti ubat nyamuk - untuk mendapatkan kesan yang lebih kuat.

Namun katanya, untuk mengklasifikasikan ketum sebagai dadah berbahaya adalah tidak wajar.

Justeru, Dr Rusdi meminta agar ketum tidak diletak di bawah Akta Dadah Berbahaya bagi membolehkan pengkaji menjalankan penyelidikan lebih mendalam terhadap tumbuhan berkenaan.

Ini kerana, menurutnya, ketum boleh menjadi ubat alternatif kepada metadon bagi merawat pesakit yang mengalami ketagihan opioid seperti heroin.

“Saya rasa kita perlu ada alternatif kepada metadon dan mungkin ketum ini alternatifnya.

"Orang yang mengambil ketum mereka tak mengantuk macam orang yang ambil metadon," katanya.

Justeru Dr Rusdi berkata ada kemungkinan ketum boleh menjadi satu daripada bahan mengubat masalah psikiatri.

Jika ketum di letakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya, kata Dr Rusdi, pengkaji tidak lagi dapat membuat penyelidikan lebih mendalam mengenainya.

Dari sisi lain Dr Rusdi juga mengingatkan sesuatu tumbuhan yang dicipta Tuhan pasti mempunyai kegunaan tertentu.

"Kita ada ramai penagih dadah, mungkin kita boleh guna ketum untuk rawat mereka.

"Kalau kita boleh tangguhkan dulu untuk letak ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya, kita boleh buat kajian tanpa batasan," katanya.

Lagi bahaya berbanding ketum

Langkah itu juga kata Dr Rusdi boleh menjimatkan perbelanjaan apabila kerajaan tidak lagi perlu mengimport metadon dari luar negara yang dijual pada harga mahal.

"Apa salahnya kita guna produk sendiri? Selain dapat merawat penagih, kita juga boleh eksport ubat sirap (cairan) ketum dan menjana ekonomi negara kita,” katanya sambil menambah, terdapat banyak manfaat daripada pokok ketum sekiranya ia diproses dengan betul.

Dalam sesi soal jawab pula, Dr Rusdi menjelaskan gula lebih memudaratkan berbanding ketum kerana bahan itu boleh menyebabkan seseorang diserang penyakit kencing manis.

Pada masa sama katanya ada pesakit kencing manis mengambil ketum sebagai bahan sampingan bagi merawat masalah kesihatan mereka.

“Sekarang pihak Risda nak berbincang untuk dikomersialkan. Saya rasa, apa salahnya?

"Penoreh getah pun sekarang hidup susah, mungkin apabila dibenarkan (mengkomersialkan) ketum, mereka boleh eksport ketum yang telah dijadikan sabun.

"Ia boleh membantu peladang kecil dalam keadaan ekonomi tak baik sekarang ini,” katanya lagi.

Pada April 2015, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2014) untuk menyenaraikan daun ketum dalam jadual pertama akta berkenaan.

Turut berada dalam jadual itu ialah pokok ganja, kanabis, popi dan koka.

Lampu hijau buat ketum

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya membentangkan cadangan pindaan itu sehingga ke peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, laporan Bernama pada November 2015 menyatakan pembentangan itu ditarik balik kerana terdapat bantahan terhadap cadangan takrifan penyalahgunaannya.

Antara lain langkah itu dikhuatiri boleh menyebabkan penganiayaan kepada penduduk kampung yang menanam dan menggunakan bahan itu untuk tujuan perubatan serta kesihatan sendiri.

Dalam laporan itu juga, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dipetik berkata kerajaan memerlukan masa untuk menyediakan takrifan perundangan baru bagi daun ketum.

Sementara itu, doktor di Jabatan Patologi UMSC, Prof Dr Mustafa Ali Mohd menggesa kerajaan memberi kebenaran serta geran kepada pihak-pihak yang ingin lakukan kajian terhadap pokok ketum.

Beliau yang juga pakar dalam bidang farmakologi dan ubat-ubatan tradisional berkata Malaysia mempunyai segala kepakaran untuk membuat kajian terhadap tumbuhan tersebut namun ia berdepan kekangan apabila tidak mendapat 'lampu hijau'.

“Jika kerajaan beri kebenaran (untuk lakukan kajian) dan geran, kita boleh lakukan dan menjadikannya satu minuman sirap tradisional untuk meningkatkan tenaga, kesihatan. Kita boleh eksport.

“Kita boleh lakukannya tetapi lampu hijau tak ada. Kita telah ada orangnya (untuk buat kajian), kita ada pengalaman, kita ada mesin tetapi lesen tidak ada.

“Kita telah cuba (untuk dapatkan kelulusan buat kajian terhadap ketum) beberapa tahun yang lalu," ujarnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Manfaat Dan Mudarat Daun Ketum

sumber: malaysiakini

Monday, January 15, 2018

Manfaat Dan Mudarat Daun Ketum

Manfaat Dan Mudarat Daun Ketum

Pokok ketum (Malaysia) ataupun Kratom (Thailand) merupakan pokok berdaun hijau yang sangat mudah tumbuh di dalam iklim tropika. Nama saintifik untuk ketum adalah Mitragyna speciose, salah satu ahli di dalam keluarga tumbuhan yang dikenali sebagai Rubiaceae di mana pokok kopi dan gardenia adalah juga di dalam keluarga yang sama.

Manfaat Dan Mudarat Daun Ketum

Pokok ketum pertama kali dikenal pasti pada tahun 1839 oleh pakar botani Belanda, Pieter Korthalsdan dan penulisan tentang tumbuhan ini telah disiarkan semenjak tahun 1897.

Pokok ketum selalunya boleh tumbuh sehingga ketinggian 12-30 kaki, malah ada yang boleh mencapai ketinggian sehingga 60 kaki.

Batang pokok ketum boleh membesar sehingga 15 kaki dan daunnya boleh membesar sehingga 7 inci panjang dan 4 inci lebar.

Daun ketum digunakan untuk banyak tujuan termasuk untuk tujuan pengubatan dan terdapat lebih 40 jenis compound ataupun bahan kimia yang terdapat di dalam daun ketum termasuk alkaloid seperti mitragynine, mitraphylline, 7-hydroxymitragynine dan mitragynine pseudoindoxyl. Lain-lain bahan kimia aktif adalah raubasine, yohimbe, rhynchophylline dan sebagainya.

Alkaloid adalah sekumpulan bahan kimia yang mempunyai atom nitrogen dan terdapat banyak jenis alkaloid yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk untuk tujuan perubatan, menghilangkan sakit, merawat batuk, membunuh kuman, demam, antimalaria, penyakit arythmia, cirit-birit dan tidak kurang juga yang mempunyai kesan psikotropik.

Psikotropik bermaksud bahan kimia yang boleh merubah fungsi otak dan menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan juga kesedaran seseorang.

Sebab itu ianya seringkali digunakan untuk tujuan menghilangkan stress dan untuk tujuan berkhayal. Pendek kata di dalam daun ketum ini terdapat banyak bahan kimia yang boleh memberi kesan yang pelbagai daripada kesan fizikal hinggalah kesan psikologi termasuk ketagihan dan kebergantungan (dependency).

Salah satu compound penting dalam daun ketum yang dikategorikan sebagai alkaloid adalah mitragynine.

Ia adalah salah satu bahan alkaloid yang paling banyak terdapat di dalam daun ketum. Dipercayai bahan inilah yang menjadi sebab ramai penggemar ketum mengambil daun ketum.

Apa yang menarik adalah kepekatan mitragynine di dalam daun ketum bergantung kepada banyak faktor, salah satu faktor paling penting adalah tempat di mana pokok ketum ini membiak.

Pokok ketum yang tumbuh di negara-negara Asia Tenggara mempunyai kandungan mitragynine yang tinggi, manakala jika tumbuh di tempat lain dan di bawah rumah hijau, kepekatannya menjadi rendah.

Mitragynine ini dikatakan 13 kali lebih poten dari morfin. Ia bertindak ke atas reseptor mu dan delta-opioid, reseptor serotonin di otak serta reseptor noradrenergic di saraf tunjang.

Kajian analisis LC-ESI-MS menunjukkan bahawa peratusan kandungan mitragynine di dalam daun ketum adalah pada tahap 1-6%.

Di dalam dos rendah, daun ketum boleh memberi kesan ransangan (stimulant) sehingga seseorang itu merasa bertenaga, lebih ceria dan mesra tetapi di dalam dos yang tinggi, ia boleh memberi kesan mengantuk dan kesan narkotik termasuk depresi sistem saraf pusat.

Dos rendah ketum adalah daun seberat 1-5 gram manakala dos tinggi pula adalah dari 5-15 gram.

Jika diambil pada dos melebihi 15 gram, seseorang akan mengalami kesan sedatif yang melampau (mengantuk dan lali), malah boleh menjadi stupor (hampir tidak sedar diri).

Terdapat juga laporan kejadian sawan selepas mengambil daun ketum melebihi 15 gram.

Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79 mg (0.078 gram) mitragynine.

KEGUNAAN

Hampir kesemua manfaat yang dikaitkan dengan pengambilan daun ketum ini adalah berasaskan kepada dakwaan pengamalnya kerana daun ketum tidak digunakan oleh perubatan moden.

Malah, kesan farmakologi daun ketum ke atas tubuh badan manusia juga tidak dikaji dengan mendalam dan tidak ada maklumat terperinci mengenainya.

Secara tradisionalnya, daun ketum diambil dengan mengunyah daunnya di dalam bentuk mentah seperti yang diamalkan oleh penduduk selatan Thailand dan juga utara Malaysia.

Ada juga yang menjadikan ia seperti minuman teh, merebus serta diambil airnya dan menghisap asap daun ketum (merokok).

Jika diambil seperti minuman teh, jus limau dicampurkan supaya ia dapat mengekstrak bahan alkaloid, gula dan madu dicampurkan untuk menghilangkan rasa pahit.

Ia seringkali diambil oleh pekerja-pekerja untuk tujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan mood serta mengurangkan kesakitan dan anti keradangan (inflammatory).

Lain-lain kegunaan adalah seperti dinyatakan di atas yang dikaitkan dengan kegunaan kompoun alkaloid.

Ada juga yang menggunakannya untuk tujuan mengurangkan ketagihan dan kebergantungan kepada dadah seperti opiod.

Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa kesan menghentikan batuk oleh mitragynine ini hampir sama dengan kodein, manakala 7-hydroxymiragynine ini pula dikatakan mempunyai kesan mengurangkan sakit yang lebih poten dari morfin.

Pada asalnya pengambilan daun ketum dianggap sebagai budaya orang kampung dan diamalkan oleh semua golongan sehingga ianya dianggap bukan kesalahan dan baik untuk kesihatan.

Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79mg (0.078 gram) mitragynine.

Di samping dalam bentuk daun mentah, produk daun ketum ada juga dihasilkan di dalam bentuk serbuk, kapsul, resin dan pes (paste).

Banyak produk daun ketum ini dapat dibeli dengan mudah dari internet, malahan ianya sangat mudah ditanam di sekitar rumah.

Di selatan Thailand, cocktail daun ketum ais yang dihasilkan di rumah pernah popular satu masa dahulu, ia dikenali sebagai “4X100”, dikatakan memberi kesan seakan-akan arak.

Cocktail ini terdiri dari daun ketum, minuman ringan yang mengandungi kafein (contoh: coca cola) dan ubat batuk yang dicampurkan dengan kiub ais, ubat penenang, ubat antidepresi ataupun ubat penahan sakit.

KESAN SAMPINGAN

Seperti yang dinyatakan tadi, daun ketum mengandungi banyak jenis bahan kimia ataupun phytochemicals (fitokimia) yang mempunyai nisbah berbeza sehingga sukar untuk dibuat kajian.

Secara umumnya, kesan pengambilan daun ketum ke atas manusia bergantung kepada berapa banyak ianya diambil ataupun “dose-dependent”.

Pada kadar dos yang rendah, ia boleh meransang seperti pengambilan kokain, manakala di dalam dos yang tinggi ia boleh memberi kesan mengantuk dan khayal seperti morfin.

Selepas mengambil beberapa gram daun ketum kering, kesan khayal dan keseronokan mula dialami dalam masa 10 minit dan kesannya boleh berakhir sehingga 1-1.5 jam.

Pengamal daun ketum mendakwa lebih bertenaga, lebih bersedia dan ada juga yang mengatakan nafsu seks meningkat.

Kajian ke atas sebilangan kecil manusia yang mengambil 50 mg mitragynine menunjukkan rangsangan otot, diikuti dengan pening, hilang keseimbangan badan dan mengeletar. Mekanisma aktiviti rangsangan ini masih tidak dapat diterangkan dengan jelas.

Daun ketum kering yang diambil sebanyak 10-25 gram pada peringkat awalnya boleh menyebabkan berpeluh, pening, loya dan perasaan tidak selesa.

Kemudian, kesan ini akan bertukar menjadi tenang, seronok dan seperti bermimpi yang boleh mengambil masa sehingga 6 jam.

Kesan-kesan ini disebabkan oleh dua jenis alkaloid yang disebutkan tadi iaitu mitragynine dan 7-hydroxymitragynine.

Pengambilan daun ketum secara tetap boleh menyebabkan ketagihan dan kebergantungan (dependence). Kesan withdrawal ke atas manusia adalah ringan dan seringkali akan hilang di dalam masa satu minggu.

Ketagihan, lemah badan, risau, gelisah, berhingus, lemah otot, loya, berpeluh, kejang otot, gangguan tidur dan halusinasi boleh berlaku.

Lain-lain kesan sampingan yang dikesan ke atas pengamal daun ketum yang kronik adalah hipotiroidism (kurang hormon tiroksin) dan kerosakan hati.

Terdapat kes kematian akibat pengambilan ketum dalam dos yang terlalu tinggi dan ujian post-mortem menunjukkan kandungan mitragynine di dalam darah sehingga 1.20 mg/l.

Jika daun ketum digabungkan dengan bahan-bahan lain seperti ubat-ubatan tertentu boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius.

Kes kematian telah dilaporkan ke atas seorang penagih daun ketum yang mencampurkan pati daun ketum dengan ubat fentanyl, ubat batuk, kopi dan morfin (ianya dijual sebagai ubat herba).

Satu kajian "case series" kematian akibat pengambilan daun ketum telah dijalankan di Sweden yang melibatkan 9 kematian dalam satu tahun akibat mengambil daun ketum yang dicampurkan dengan ubat tramadol (ubat kategori opioid untuk melegakan kesakitan), campuran ini dikenali sebagai “Krypton”.

Untuk mendapat rasa bersemangat dan seronok atau khayal, 1 hingga 3 helai daun ketum segar dikunyah serentak. Selepas mengunyah dan menelan, pengamal akan meminum air suam ataupun kopi. Penagih daun ketum akan mengunyah 3 hingga 10 kali di dalam satu hari.

Kesan sosial pengambilan daun ketum adalah membimbangkan. Walaupun ketagihan daun ketum tidak seberat ketagihan dadah yang lebih kuat seperti heroin dan ganja, tetapi kesan sosialnya tidak boleh dipandang ringan kerana pengambilan daun ketum dianggap sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat tertentu.

Ianya juga diamalkan oleh golongan-golongan agamawan yang akan menjadi tauladan kepada ahli-ahli masyarakat.

Dengan berumpankan kesan positif terhadap tenaga, boleh merawat kesakitan, cirit-birit dan lain-lain dakwaan yang mungkin sengaja ditokok tambah, individu yang mengambil daun ketum ini lama kelamaan akan mula mengalami ketagihan dan kebergantungan sama seperti ketagihan dadah berbahaya dan ubat batuk.

Daun ketum juga boleh menjadi alternatif (pilihan) lain kepada penagih morfin,heroin dan lain-lain yang kurang berkemampuan kerana harganya yang murah dan mudah diperolehi.

Dengan kelonggaran peraturan dan undang-undang berkaitan dengan penggambilan daun ketum, kita tidak boleh bayangkan apakah kesan jangka panjang terhadap masyarakat jika budaya ini dibiarkan berkembang.

Tidak hairan mengapa ia bakal memberi kesan sosial yang lebih serius dari penyalahgunaan dadah-dadah yang lain.

UNDANG-UNDANG PENGAMBILAN DAUN KETUM

Tidak ada alkaloid yang diambil dari tumbuhan termasuk mitragynine yang tersenarai di dalam mana-mana jadual ubat di dalam United Nations Drug Conventions.

Daun ketum, dan atau mitragynine dan atau 7-hydroxymitragynine adalah bahan terkawal di banyak negara Eropah seperti Denmark, Latvia, Lithuania, Poland, Romania dan Sweden.

Lain-lain negara yang mengawal penggunaan daun ketum di bawah undang-undang narkotik adalah Australia, Myanmar dan Thailand.

Di negara Thai, kerajaan Thailand telah meluluskan Kratom Act 2486 di mana ianya mengharamkan penanaman pokok ketum.

Di New Zealand, daun ketum dan mitragynine diletakkan di bawah Medicines Amendment Regulations.

Walau bagaimanapun di Amerika, daun ketum tidak dikawal tetapi dianggap sebagai “drug of concern”.

Pada bulan Jun 2015, FDA telah membuat pengumuman amaran pengimpotan produk daun ketum disebabkan oleh kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan produk ini, FDA membuat kenyataan bahawa “Pengambilan daun ketum boleh menyebabkan beberapa kesan masalah kesihatan termasuk depresi sistem pernafasan, perasaan takut, agresif, agitasi, gangguan tidur, halusinasi, delusi, menggigil, hilang nafsu seks, sembelit, hiper pigmentasi kulit, loya, muntah dan gejala withdrawal yang berat“.

Disebabkan ketum tidak pernah diterima penggunaannya dari sudut undang-undang, ia tidak pernah mendapat pengiktirafan sebagai bahan pengubatan oleh perubatan moden.

Di Malaysia, daun ketum dan Mitragynine disenaraikan dalam jadual ketiga (Section 30) Psychotropic Substances Akta Racun 1952.

Sesiapa yang mengimport, mengekspot, mengilang, membekal, menjual dan memiliki ataupun menggunakan bahan psikotropik secara haram (tanpa dibenarkan mengikut undang-undang) adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 ataupun penjara 4 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdapat ura-ura untuk meminda akta ini kepada akta dadah berbahaya 1952 yang sabit kesalahan akan dipenjara seumur hidup dan sebatan 6 kali ataupun hukuman mati mandatori.

Sehingga rencana ini ditulis, daun ketum masih lagi di bawah Akta racun 1952.

KESIMPULAN

Daun ketum mengandungi lebih 40 jenis bahan kimia dan di antaranya terdapat beberapa jenis bahan yang dikategorikan sebagai alkaloid.

Bahan alkaloid yang paling utama adalah Mitragynine yang mempunyai ciri-ciri Psikotropik bermaksud bahan kimia yang boleh merubah fungsi otak dan menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan juga kesedaran seseorang.

Disebabkan oleh terlalu banyak bahan kimia yang terdapat di dalam daun ketum, kesan pengambilan daun ketum dalam bentuk mentah samada basah ataupun kering boleh menyebabkan pelbagai kesan kepada fizikal dan juga mental seseorang.

Walaupun ianya mempunyai kesan-kesan pengubatan tetapi kesan sampingan yang dibawa olehnya tidak boleh dipandang ringan terutamanya yang berkaitan dengan kesan ke atas otak ataupun psikotropik sehingga pengamal mengalami masalah ketagihan, kesan withdrawal dan berpotensi mengancam nyawa jika daun ketum ini dicampurkan dengan bahan-bahan lain.

Daun ketum ini bolehlah diumpamakan sejenis daun yang di dalamnya mengandungi bahan-bahan kimia untuk merawat beberapa jenis penyakit tetapi juga ada racun tersembunyi yang boleh memudaratkan pengamalnya di dalam jangkamasa panjang.

Malahan, jika pengamalnya mengambil pada dos yang tinggi ataupun mencampurkannya dengan bahan-bahan kimia yang lain termasuk ubat-ubat dari kategori opioid, boleh menyebabkan kesan sampingan serius jangkamasa pendek termasuk kematian.

Jika ianya hendak digunakan untuk tujuan pengubatan, maka ahli sains perlu mengambil ataupun mengekstrak bahan-bahan ubatan tersebut satu persatu dan ditentukan dos serta kaedah pengambilan yang sesuai, sama seperti ubat-ubatan moden yang lain.

Kesimpulannya, pengambilan daun ketum tanpa kawalan boleh berpotensi menyebabkan bermacam masalah kesihatan fizikal, ketagihan dan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

Ketagihan daun ketum boleh menjadi tapak permulaan kepada ketagihan dadah-dadah lain yang lebih kuat dan memudaratkan.

Daun ketum jelas mengandungi bahan kimia yang memudaratkan jika dimakan secara mentah tanpa melalui proses pengubahsuaian.

Kita berharap ahli-ahli sains akan membuat kajian saintifik yang lebih mendalam ke atas potensi manfaat dan mudarat daun ketum di masa hadapan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Khasiat Daun Ketum Untuk Kesihatan

sumber: faktasains

Saturday, January 06, 2018

Khasiat Daun Ketum Untuk Kesihatan

Khasiat Daun Ketum Untuk Kesihatan

Pokok Ketum, juga dikenali sebagai Pokok Biak (bahasa Inggeris: Kratom), ialah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand.

Khasiat Daun Ketum Untuk Kesihatan

Di Thailand, pokok ini dipanggil Kakuam, Ithang atau Thom, di Amerika Syarikat pula sebagai Kratom.

Nama botaninya Mitragyna speciosa korth, telah lama menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru lepas bersalin.

Daun Ketum direbus dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, juga bagi rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan bagi merawat sakit belakang.

Khasiat Dan Kegunaan Ketum

Daun ketum sememangnya di akui herba yang menpunyai khasiat untuk melancarkan perjalanan darah dan penawar sakit urat.

Minum air ketum telah dijadikan amalan orang tua dulu, tetapi amalan dan khasiat daun ketum sebagai penawar diabetis tidak begitu dikenali seperti herba mas cotek dan misai kucing.

Selain itu daun ketum adalah herba yang paling mujarab diantara herba ubatan alternatif yang digunakan dalam mengawal kadar gula dalam darah.

Herba lain mungkin mempunyai kelebihan dengan cara tindak balas yang berlainan, tetapi daun ketum amat mujarab dalam menurunkan kadar gula dalam darah pada masa yang singkat.

Kemanpuan untuk menurunkan kadar gula dengan pantas dalam darah adalah penting terutama untuk pesakit yang menpunyai luka dan bengkak (diabetes feet) untuk menbantu memulihkan tisu dan mencegah jangkitan (infection).

Terdapat dua jenis daun ketum yang boleh dibezakan melalui warna daun, bentuk kedua-dua daun lebih kurang sama.

Satu adalah berwarna hijau dan satu lagi menpunyai urat daun berwarna merah yang boleh dilihat jelas dibelakang daun. Spesis berwarna belang merah ini dikatakan lebih berkhasiat dan mujarab.

Masyarakat juga mengunakan daun ketum untuk membantu menambahkan tenaga atau mengembalikan kesegaran selepas penat berkerja. Daun ketum dimakan segar seperti mengunyah daun sirih.

Daun ketum juga digunakan untuk merawat ketagihan dadah, tetapi penggunaan yang berlebihan boleh memberi kesan ketagihan terhadap Ketum.

Daun ketum yang dikeringkan dan direbus juga digunakan untuk mengembalikan tenaga batin.

Selain dikunyah segar, rebusan daun kering juga digunakan sebagai tonik untuk menghilangkan rasa lesu selepas berkerja, lenguh-lenguh, radang, kejang otot sakit-sakit sendi dan lelah.

Rebusan daun kering dan akarnya pula digunakan bagi melegakan penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Kesan buruk pengambilan air ketum berlebihan

Pengambilan ketum yang berlebihan dan tidak terkawal akan menyebabkan pengamalnya berasa sakit pada urat saraf dan sendi apabila mereka tidak mengambil atau minum air ketum, selepas dos yang ada di dalam badan telah berkurangan.

Disebabkankan kesakitan yang tidak dapat kita digambarkan inilah mereka yang mengamalkan air ketum terpaksa mengambil air ketum dua atau tiga bungkus setiap hari untuk menghilangkan rasa sakit atau sengal badan berpunca daripada mengamalkan air Ketum secara tidak terkawal.

Jadi, hindari tabiat buruk mengamalkan air Ketum secara tidak terkawal sehinga menyebabkan ketagihan.

Masa depan pokok Ketum

Dengan pengistiharkan daun Ketum sebagai bahan larangan mulai Januari 2003, ini bererti pokok Ketum mungkin akan pupus akibat aktiviti penghapusan oleh pihak berkuasa.

Nasib pokok Ketum ternyata berbeza dengan pokok Kola yang berasal dari Amerika Syarikat.

Air rebusan daun Kola telah dijadikan sebagai bahan utama Coca-cola.

Bagaimanapun, setelah didapati daun Kola mempunyai bahan ketagihan yang sama, syarikat Coca-cola telah menukar bahan asal dalam daun Kola kepada bahan sintetik yang tidak menyebabkan ketagihan.

Apakah mungkin ada pengusaha daun Ketum yang mampu menjalankan penyelidikan bagi menyingkirkan bahan mitragynine dari ramuannya untuk dipasarkan? Mungkin akan terhasil Ketum Kola? Hanya masa akan menetukannya.

Bagaimanapun, penyelidikan oleh luar negara untuk memajukan pokok Ketum menunjukkan hasil yang menggalakkan.

Kajian oleh Ridley 1897 di Malaya dan di New Zealand mendapati kandungan mitraginin dalam daun ketum dos rendah boleh digunakan sebagai ejen dalam rawatan detoksifikasi dadah (pemulihan penagih dadah).

Dengan itu, daun Ketum dipercayai boleh membantu dalam rawatan detoksifikasi atau terapi gantian dan khasiat dalam perubatan tradisional tetapi kajian lebih saintifik perlu dilakukan bagi memastikan aspek keselamatan serta keberkesanan daun ketum digunakan dalam rawatan itu.

Oleh itu, jangan terkejut sekiranya suatu hari nanti, Malaysia akan mula mengimport daun Ketum dari New Zealand dan Australia sebagai bahan perubatan.

Bahan Aktif Daun Ketum

Mengandungi banyak alkaloid psikoaktif, lebih daripada 25, tetapi Mitragynine merupakan alkaloid yang utama.

Mitragynine memberi kesan-kesan stimulan, sedatif dan euforik, oleh itu ia berfungsi sebagai drug narkotik seperti candu.

Alkaloid Mitragynine diasingkan (isolated) pada tahun 1907 san struktur kimianya ditentukan pada tahun 1964.

Strukturnya berkait dengan alkaloid yohimbin dan voakangin (voacangine).

Terdapat kaitan dengan ‘tryptamine-based psychedelic drugs’ seperti yohimbin, psilosibin dan LSD.

Cara-cara menanam pokok ketum

Pokok Ketum juga boleh di tanam melalui biji benih, iaitu dengan menyemai biji Ketum ke dalam medium semaian.

Kemudian, biarkan beberapa minggu sehingga anak benih Ketum tumbuh. Apabila sudah cukup sedia, pokok Ketum kemudian dipindahkan ke tempat penanaman.

Selain itu, pokok ketum juga boleh ditanam melalui kaedah keratan batang, dengan memotong bahagian batang yang sudah cukup matang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Daun Ketum, Herba Penawar Mujarab Penyakit Kencing Manis

sumber: petua

Wednesday, April 29, 2015

Daun Ketum, Herba Penawar Mujarab Penyakit Kencing Manis

Daun Ketum, Herba Penawar Mujarab Penyakit Kencing Manis

Daun ketum sememangnya di akui herba yang mempunyai khasiat untuk melancarkan perjalanan darah dan penawar sakit urat. Minum air ketum telah dijadikan amalan orang tua dulu dulu, tetapi amalan dan pengetahuan khasiat air ketum mula dilupai.

Daun Ketum Hijau

Namun, khasiat daun ketum sebagai penawar diabetes adalah tidak begitu dikenali seperti herba mas cotek dan misai kucing.

Pokok Ketum, juga dikenali sebagai Pokok Biak (bahasa Inggeris: Kratom) atau nama saintifiknya Mitragyna Speciosa adalah , ialah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand.

Di Thailand, pokok ini dipanggil Kakuam, Ithang atau Thom, di Amerika Syarikat pula sebagai Kratom. Nama botaninya Mitragyna speciosa korth.

Sekarang ini daun ketum lebih popular dengan isu negatif - air rebusan daun ketum telah di salah guna sebagai minuman ketagihan.

Tapi bezanya air ketum yang mengkhayalkan adalah telah dicampur dengan bahan bahan asing seperti ubat nyamuk malah ada perkatakan tahi lembu adalah salah satu ramuan untuk mendapatkan "kick" atau kepekatan yang amat tinggi.

Daun ketum adalah herba yang paling mujarab diantara herba ubatan alternatif yang dicuba dalam mengawal kadar gula dalam darah.

Herba lain mungkin punyai kelebihan dengan cara tindak balas yang berlainan, tapi daun ketum amat mujarab dalam menurun kadar gula darah dalam masa yang cepat.

Kemampuan untuk menurunkan kadar gula dalam darah secepat mungkin adalah penting terutama untuk pesakit yang mengalami luka dan kebengkakan (diabetes feet) untuk membantu pemulihan tisu dan mencegah jangkitan (infection).

Terdapat 2 jenis daun ketum yang boleh dibezakan melalui warna daun, bentuk kedua daun adalah lebh kurang sama.

Satu adalah yang berwarna hijau dan satu lagi mempunyai tulang daun berwarna merah yang boleh dilhat jelas di belakang daun. Spesies berwarna belang merah ini dikatakan lebih berkhasiat dan mujarab.

Pengambilan pertama segelas air rebusan daun ketum pada waktu malam dan kadar gula pada paras 9.1 pada keesokan harinya menunjukkan penurunan kadar gula yang banyak. Ujian pada waktu pagi selepas sarapan menunjukkan kadar gula pada paras 5.7

Rebus 7-8 helai daun ketum untuk 2 liter air, minum rebusan air tersebut sebanyak 3 kali sehari. Baki air ketum hendaklah dipanaskan dari masa ke semasa.

Air rebusan yang telah masam dan berbuih tidak lagi boleh digunakan dan hendaklah dibuang.

Daun Ketum telah lama menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru lepas bersalin.

Daun ini direbus dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, juga bagi rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan bagi merawat sakit belakang.

Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin.

Mitraginin telah disenaraikan dalam Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952.

Dengan itu, pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: saripetua