Wednesday, July 24, 2019

Cara Mengenali Penagih Syabu

Cara Mengenali Penagih Syabu

Syabu adalah dadah yang popular di masa kini dan membelenggu ramai anak muda yang tidak menyangka kesan ketagihannya amatlah teruk sekali sehingga boleh membuatkan mereka bertindak aggresive untuk mendapatkannya.

Penagih Syabu
Gambar hiasan.

Malangnya, ada tokan-tokan syabu ini yang sengaja memujuk mangsa untuk mencuba buat pertama kali agar mereka ketagih dan akan mengulangi pembelian syabu melaluinya (repeat order).

Syabu memang dadah yang patut diperangi dan dihapuskan. Harganya yang mahal (100miligram lebih kurang RM50 ke RM70) membuatkan ramai penagih syabu sanggup melibatkan diri dengan jenayah seperti ragut, rompak dan mencuri untuk memenuhi kehendak mereka. Ada juga yang sanggup membunuh keluarga sendiri.

Jadi, anda perlu tahu serba sedikit maklumat mengenai syabu untuk mengenalpasti sama ada orang terdekat terlibat dengan ketagihan syabu ataupun tidak.

Tanda ketika awal kesan pengambilan syabu

Antara tanda awal seseorang itu menghisap syabu ialah self-confident yang tinggi, menjadi sangat ramah, orang yang tidak kenal pun boleh jadi kawan untuk pertemuan kali pertama.

Anda mulakanlah bicara tentang apa-apa topik pun, pasti mereka juga sama arif setanding dengan pengetahuan anda.

Perasaan ceria dan gembira dicampur dengan mulut yang ramah pasti membuatkan anda senang bersama mereka, namun ia hanya untuk seketika.

Tanda hujung-hujung kesan pengambilan syabu (di jalanan orang gelar sebagai 'kong')

Mereka akan bertukar dari seorang yang ceria kepada orang yang sangat resah. Riak wajah pun boleh terlihat seakan-akan ada seribu masalah menimpa mereka sekelip mata.

Dalam situasi ini, penagih akan berasa tidak selesa dan tidak senang. Buka kipas dengan kelajuan nombor 5 pun boleh membuatkan mereka berpeluh. Ditambah pula sekiranya stok syabu sudah tiada, bertambah resahlah mereka.

Ada juga tabiat rutin bergantung kepada individu. Ada sesetengah orang akan mengetap gigi, ada sesetengah akan membasuh muka kerapkali, ada sesetengah tu mengesat-ngesat mata dan muka.

Hal-hal ini terjadi kerana muka mereka akan terasa sedikit kebas dan tabiat ini akan berulang untuk mengurangkan perasaan kebas yang tidak menyelesakan itu.

Pada saat "kong" ini, emosi mereka akan jadi tidak stabil. Mereka boleh mengamuk tak tentu pasal ataupun boleh jadi terlalu sedih secara tiba-tiba.

Masa inilah tiba-tiba keluar kisah cinta lamalah, sedih dengan masyarakatlah, kawan-kawan aniaya dialah dan bermacam-macam lagi cerita penuh emosi yang akan keluar dari mulut mereka.

Tanda-tanda fizikal

Ini diceritakan oleh ramai orang yang pernah mengambil syabu bahawa syabu sangat membantu dalam menambah tempoh berjaga dan tidak tidur.

Disebabkan hal ini, penagih syabu akan berubah menjadi kurus dalam tempoh yang amat singkat.

Ada juga yang boleh dilihat pada wajahnya seperti dibawah mata menjadi kehitaman (eye-bag), muka bertambah jerawat dan lemak di pipi menjadi kurang (wajah cekung).

Kesan jangka masa panjang

Berdasarkan cerita daripada orang yang selalu menguruskan penagih syabu dan rakan-rakan sendiri, untuk tempoh jangka masa panjang syabu boleh merosakkan gigi dan mengakibatkan tulang menjadi rapuh.

Ada juga kes dimana seorang penagih syabu ini jatuh basikal secara perlahan, namun kakinya boleh patah.

Diantara kesan jangka masa panjang yang lain ialah, penyakit mental seperti halusinasi, paranoia, perubahan pada struktur otak dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, penagih syabu yang 'extreme' ni boleh jadi gila terus.

Cerita kebiasaan berdasarkan pengalaman

Ramai penagih syabu ni sebenarnya meronta-ronta untuk cuba meninggalkan dadah ini tapi tidak berhasil kerana kesan ketagihannya adalah amat kuat sekali.

Kerana malu diketahui orang ramai, biasanya penagih syabu akan mengaitkan masalah kesihatan dan masalah mental mereka dengan perkara-perkara mistik seperti gangguan jin dan hantu.

Kebanyakan ibu bapa terpedaya dengan tipu muslihat anaknya berkaitan jin dan hantu ini dan pada ketika inilah anda boleh melihat bomoh dan pawang-pawang diluar sana diperbodohkan oleh penagih syabu.

Antara perkara yang patut diperhatikan

Sekiranya anak anda selalu keluar rumah dan pulang dalam keadaan mencurigakan, cuba elak dan tahan mereka dari keluar rumah untuk satu tempoh tertentu, contohnya antara 4 ke 5 hari.

Lihat reaksi mereka kalau tiba-tiba aggresive lain macam, kena bagi 'extra care'lah nampak gayanya.

Kebarangkalian tinggi dia akan mengamuk kalau tak dapat 'topup' syabu dalam badan mereka. Menggigil-gigil mereka nanti sebab itu mengamuk adalah jalan mudah bagi mereka untuk keluar rumah.

Hisap syabu menggunakan foil secara terus

Salah sangka dikalangan ibu bapa bila anak-anak mereka terlibat dengan ketagihan syabu, mereka menyembunyikan hal ini kerana takut dimalukan atau mungkin kerana terlalu sayangkan anak mereka.

Ramai yang takut ahli keluarga mereka ditangkap polis sehingga sanggup menyembunyikan hal sebenar.

Sebenarnya, membiarkan anak anda tidur di lokap buat beberapa hari boleh memberi sedikit kesedaran kepada mereka (bagi pengguna syabu yang baru), namun kalau sudah extreme agak susah juga nak sedarkan mereka.

Ada juga sesetengah ibu bapa, menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan hantar mereka keluar dari daerah/negeri bagi mengelakkan mereka dapat membeli syabu dari tokan yang dikenali mereka.

Namun bagi penagih syabu tegar, selagi duduk dalam Malaysia, mereka akan cari syabu walau ke lubang cacing sekalipun.

Kalau nak hantar anak keluar kawasan, pastikan hantar terus ke luar negara. Solusi ini sangat berkesan dan terbukti dapat mengubati ketagihan syabu bagi sesetengah orang.

Dan apabila mereka pulang ke Malaysia, elakkan mereka berkawan dengan rakan-rakan atau teman-teman lama yang disyaki terlibat sama dalam najis dadah ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, June 21, 2019

Kisah Rafael Caro Quintero, Raja Dadah Paling Berkuasa Kartel Guadalajara

Kisah Rafael Caro Quintero, Raja Dadah Paling Berkuasa Kartel Guadalajara

Rafael Caro Quintero adalah salah seorang ketua kartel dadah Mexico pertama yang paling berkuasa dan dianggap sebagai Raja Dadah, "Narco of Narcos", sentiasa dahagakan darah kerana berasakan bahawa dia tidak dapat disentuh.

Raja Dadah Kartel
Rafael Caro Quintero.

Namun, Rafael akhirnya telah melampaui batas apabila membunuh seorang agen Amerika Syarikat dengan begitu kejam.

Berjaya keluar daripada penjara atas alasan teknikal, Rafael sehingga kini masih bebas dan dikehendaki oleh FBI.

Ini adalah kisah sebenar Rafael Caro Quintero

Rafael Caro Quintero dilahirkan pada Oktober 1952 di Sinaloa, Mexico. Tarikh lahirnya yang sebenar tidak diketahui, dikatakan pada bulan Oktober, November atau Mac 1952.

Rafael memiliki 12 orang adik beradik dan bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 14 tahun dan sebagai anak sulung, tanggungjawab untuk membantu ibunya dan 11 saudara kandung berada di atas bahunya.

Selepas bekerja sebagai penternak lembu dan bekerja di ladang jagung serta kacang tanah, Rafael menyedari bahawa terdapat cara mudah untuk mendapatkan lebih banyak wang melalui tanaman yang kurang tradisional.

Dia mula melibatkan diri dengan ganja yang berkembang di bawah bimbingan seorang raja dadah Mexico yang sangat sukar diberkas, Pedro Avilés Pérez.

Rafael dengan begitu pantas mengumpulkan wang yang cukup untuk membeli ladangnya sendiri, didedikasikan sepenuhnya untuk menghasilkan dadah, dan tidak lama kemudian, seluruh ahli keluarganya terlibat dalam perniagaan haram ini.

Bapa saudara, adik-adik lelakinya dan keluarga isteri Rafael terlibat dalam perdagangan dadah.

Digambarkan oleh ejen DEA, James Kuykendall sebagai "produk sebenar penyeludupan dadah Sinaloa dan keperibadian pengedar dadah Sinaloa", ketika Rafael berusia 29 tahun, dia adalah bintang yang semakin meningkat naik dalam dunia jenayah Mexico.

Pada tahun 1970-an, Rafael Caro Quintero bersama dengan pengedar dadah Mexico, Felix Galardo dan raja dadah Ecuador, Ernesto Fonseca Carillo terlibat dalam kerjasama tiga penjuru yang sangat dahagakan darah.

Mereka mengasaskan Kartel Guadalajara, yang akan menjadi prototaip bagi organisasi dadah yang masih melanda Mexico sehingga ke hari ini.

Bersama-sama, mereka dikenali sebagai "Grandfather of Mexican Drug Trafficking", "El Padrino" atau "The Godfather" dan Don Neto.

Rafael Caro Quintero sendiri digambarkan oleh pegawai FBI sebagai salah seorang pembekal utama heroin, kokain dan ganja ke Amerika Syarikat pada tahun 1970an dan 1980-an.

Kejatuhan Rafael Caro Quintero

Dalam siri Narcos, kejatuhan Rafael Caro Quintero bermula apabila dia sendiri mula mengambil kokain dan menjadi semakin paranoid serta tidak dapat diramal.

Pada hakikatnya, sarang dadah Rafael mula terbongkar pada November 1984, ketika pihak berkuasa Mexico menyerang ladang ganja "Buffalo Ranch" di Chihuahua yang menyebabkan kerugian kepadanya antara RM10.3 bilion dan RM20.6 bilion.

Pihak berkuasa menerima maklumat mengenai ladang tersebut melalui seorang ejen DEA yang menyamar.

Rafael yang sangat berang dengan kerugian itu dengan segera mula merancang untuk membalas dendam.

Pertama, pada tahun 1985, Rafael dengan sekutunya didakwa membunuh dua warga Amerika, John Clay Walker dan Alberto Radelat.

Kesilapan membunuh 2 nyawa ini disebabkan oleh Rafael yang semakin paranoid dan tersalah anggap bahawa mereka adalah ejen DEA.

Sementara itu, dipercayai bahawa Enrique "Kiki" Camarena Salazar, seorang ejen kelahiran Mexico yang menyamar untuk DEA, adalah individu yang menyalurkan maklumat tentang ladang Buffalo Ranch tersebut.

Akibatnya, pada 7 Februari 1985, Enrique diculik dari jalanan di Guadalajara pada waktu siang.

Tubuh badan Enrique dan juga juruterbangnya, Kapten Alfredo Zavala Avelar, ditemui terbungkus di dalam plastik hampir sebulan kemudian pada 5 Mac dan Rafael Caro Quintero serta krunya adalah suspek utama.

Enrique dan Alfredo dikatakan tidak mati dengan cara yang mudah dan cepat kerana sepanjang 30 jam, tulang wajah dan trakea Enrique didapati hancur, tulang rusuknya patah dan kepalanya digerudi.

Paru-paru ejen DEA itu didapati mengandungi kesan ubat-ubatan yang diberikan oleh penculiknya untuk memaksa Enrique berada dalam keadaan sedar ketika ditangkap oleh penculik untuk memaksanya terus terjaga ketika diseksa.

Kematian Enrique Camarena menimbulkan kemarahan yang dahsyat di Amerika Syarikat dengan orang ramai terkejut dengan penyeksaannya dan pihak berkuasa berang betapa mudahnya ejen mereka diculik.

Beberapa pegawai penguatkuasa undang-undang Mexico kemudiannya didakwa atas bantuan kepada kartel dalam pembunuhan itu.

Amerika Syarikat kemudiannya mula mempertimbangkan dengan serius untuk menutup sempadan kedua-dua negara ini dan Presiden Ronald Reagan meletakkan tekanan besar terhadap presiden Mexico, Miguel de la Madrid, untuk membawa pembunuh Enrique Camarena ke muka pengadilan.

Walaupun Rafael Caro Quintero memiliki kuasa dan pengaruh yang besar dalam kerajaan Mexico yang dipenuhi rasuah, dia tidak mampu menandingi kemarahan Amerika Syarikat.

Pada April 1985, 2 bulan selepas pembunuhan Enrique Camarena, pemerintahan bebas dan berdarah Rafael Caro Quintero selama hampir dua dekad di Mexico, berakhir.

Dia ditangkap di sebuah mahligai di Costa Rica di mana dia menyembunyikan diri dan diekstradisi ke Mexico lalu dijatuhkan hukuman 40 tahun kerana disyaki sebagai perancang pembunuhan Enrique Camarena.

Penangkapan Rafael Caro Quintero menyebabkan Kartel Guadalajara runtuh dari dalam.

Kisah Rafael Caro Quintero pada mulanya kelihatan seolah-olah satu contoh keadilan yang jarang berlaku terhadap salah satu pemimpin kartel Mexico paling berkuasa, yang kebanyakannya, seperti El Chapo, berjaya melarikan diri sekalipun dipenjarakan.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2013, Rafael tiba-tiba dibebaskan dari penjara selepas 28 tahun menjalani hukuman.

Mahkamah persekutuan Mexico telah mengarahkannya untuk dibebaskan selepas membatalkan sabitannya atas sebab teknikal iaitu dia telah diadili di mahkamah persekutuan untuk jenayah negara.

Pada usia 53 tahun, "Narco of Narcos" dibebaskan daripada penjara yang mencetuskan kemarahan di kalangan pegawai Amerika Syarikat.

White House mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa, "kami tetap komited pada hari ini apabila melihat Quintero dan orang lain yang terlibat dalam jenayah ini menghadapi keadilan di Amerika Syarikat sama seperti ketika berlakunya pembunuhan Enrique Kiki Camarena."

Bagi Rafael pula, dia mendakwa bahawa telah bersara secara rasmi daripada perniagaan dadah.

Rafael Caro Quintero wawancara
Rafael Caro Quintero ketika wawancara.

Dalam wawancara pada tahun 2016 dengan wartawan Mexico, dia bersumpah dengan mengatakan, "Saya adalah pengedar dadah 31 tahun yang lalu dan dari saat itu saya memberitahu anda bahawa apabila saya kehilangan hasil tanaman saya (Buffalo Ranch), saya tidak lagi melakukan aktiviti itu."

Amerika Syarikat bagaimanapun agak berwaspada tentang hakikat Rafael yang mahu meneruskan hidupnya dengan tenang dan aman.

Pada tahun 2017, DEA mengenal pasti Rafael Caro Quintero sebagai salah seorang pemimpin kartel Sinaloa yang bertanggungjawab menyeludup beratus-ratus tan syabu, ganja dan kokain ke Amerika Syarikat.

Pada April 2018, FBI menambah nama “Grandfather of Drug Trafficking” berusia 58 tahun itu ke dalam senarai "10 Individu Paling Dikehendaki", menawarkan ganjaran RM84 juta kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat lokasi Rafael, jumlah ganjaran ini adalah antara yang tertinggi dalam sejarah FBI.

Setakat ini, tiada siapa yang tampil ke hadapan untuk menuntut ganjaran itu dan dikatakan bahawa Rafael Caro Quintero hidup bebas di utara Mexico.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, June 16, 2019

Sejarah Penciptaan Dadah Syabu

Sejarah Penciptaan Dadah Syabu

Dahulu, methamphetamine digunakan rawatan perubatan bagi penyakit narcolepsy, asma dan ubat untuk turunkan berat badan malah, ia juga digunakan ketika Perang Dunia Kedua di mana kedua-dua pakatan Allies dan Axis memberikan dadah ini kepada tentera mereka supaya sentiasa segar dan berjaga.

Pencipta Syabu
Syabu.

Namun, penggunaannya menjadi semakin meluas dan disalahgunakan sehinggalah ia diharamkan di Amerika Syarikat menjelang tahun 1970.

Namun, dari mana datang syabu? Siapa yang mula-mula menghasilkannya dan mengapa?

Sejarah awal amphetamine dan methamphetamine (Syabu)

Manusia pertama yang mengsintesis amphetamine, adalah Lazar Edeleanu, seorang ahli kimia Romania, pada tahun 1887 di Universiti Berlin, bagaimanapun ia tidak digunakan secara klinikal.

Stimulan jenis amphetamine ini dihasilkan sebagai alternatif kepada tumbuhan ephedra, sejenis tumbuhan renek yang mana ekstraknya digunakan dalam perubatan tradisional Cina lebih daripada 5,000 tahun.

Dan pada tahun 1885, seorang ahli kimia yang berasal dari Jepun, Nagai Nagayoshi, telah menemui bahan kimia yang aktif dalam ephedra ketika beliau sedang menuntut di Jerman.

Bahan kimia jenis stimulan tersebut dikenali sebagai ephedrine dan susulan penemuan ini, Nagai telah berjaya mengsintesis methamphetamine buat pertama kali di dunia, daripada ephedrine, di Jepun.

Namun, methamphetamine (syabu) sangat sukar untuk dhasilkan, sehinggalah seorang lagi ahli kimia Jepun, Akira Ogata, memperkemaskan proses penghasilan methamphetamine.

Beliau telah menggunakan fosforus dan iodin untuk mengurangkan ephederine menjadi bentuk kristal dan telah menghasilkan "crystal meth" pertama di dunia.

Perbezaan amphetamine dan methamphetamine (syabu)

Ramai yang menganggap kedua-dua jenis dadah ini adalah sama. Tidak, ia dua dadah yang berbeza, walaupun mempunyai banyak persamaan.

Pertama, amphetamine adalah dadah yang bagus dan mempunyai pelbagai kegunaan, termasuklah dalam perubatan seperti pil diet, namun telah diharamkan kerana disalahgunakan.

Amphetamine juga mampu meningkatkan fokus dan memanjangkan kejelasan mental dan oleh sebab itu ia digunakan dalam rawatan pesakit ADHD.

Bagi methamphetamine (syabu) pula, ia adalah amphetamine yang telah di-metilkan sebanyak dua kali (ampthetamine di-metilkan hanya sekali).

Dan disebabkan methamphetamine dimetilkan sebanyak dua kali, ia lebih cepat bertindak, lebih berkesan dan menyebabkan ketagihan yang kuat, membuatkan ia menjadi lebih bahaya.

Methamphetamine (syabu) paling banyak digunakan sebagai dadah rekreasi yang digunakan untuk mendapatkan rasa khayal.

Namun, methamphetamine hidroklorida digunakan dalam penghasilan ubat Desoxyn yang juga untuk merawat pesakit ADHD dan masalah obesiti oleh kanak-kanak dan orang dewasa, seperti amphetamine.

Methamphetamine (syabu) adalah toksik kepada neuron otak dan juga telah terbukti merosakkan neuron serotonin dalam otak, manakala amphetamine tidak.

Kedua-dua amphetamine dan methamphetamine tidak selamat untuk digunakan, tapi amphetamine digunakan dalam beberapa ubat ubat preskripsi.

Amphetamine boleh diambil secara oral HANYA apabila ia digunakan BETUL-BETUL seperti apa yang diarahkan oleh doktor dan dibawah pengawasan doktor.

Manakala bagi methamphetamine (syabu) pula TIDAK SELAMAT untuk diambil secara oral dan tidak harus digunakan walau dengan alasan apa sekalipun.

Penggunaan awal methamphetamine dan Benzedrine

Pada tahun 1932, syarikat farmaseutikal Amerika seperti Smith, Kline dan French mula memasarkan "inhaler amphetamine" bagi pesakit asma dan masalah hidung tersumbat.

Inhaler tersebut yang diberi nama Benzedrine pada mulanya boleh didapati tanpa preskripsi doktor dan orang mula mengetahui ia boleh memberikan "feel" dan rasa bertenaga.

Untuk mengatasi masalah ini, syarikat farmaseutikal mula menukarkan penghasilan Benzedrine dalam bentuk pil untuk merawat narcolepsy iaitu masalah tidur.

Pengunaan methamphetamine ketika Perang Dunia Ke-2

Syarikat farmaseutikal Jerman, Temmler, pula telah memasarkan pil methamphetamine (syabu) sebagai ubat tanpa preskripsi dibawah jenama Pervitin ketika Perang Dunia Kedua.

Pil ini memberikan respon kepada badan sama seperti adrenalin yang memberikan rasa fokus dan berjaga-jaga, serta kesanggupan untuk mengambil risiko.

Tentera-tentera Jepun, Amerika Syarikat, British dan juga Jerman dikatakan mengambil pil ini bagi meningkatkan ketahanan serta menangguhkan keletihan ketika perang berlangsung.

Malah, juruterbang Jepun yang diarahkan untuk "kamikaze" juga diberikan dos Pervitin yang tinggi sebelum melakukan misi bunuh diri itu. Pekerja Jepun di kilang-kilang turut mengambil pil ini untuk bekerja lebih masa.

Bagi tentera Jerman yang berada di barisan hadapan dan juruterbang jet pejuang, diarahkan mengambil stimulan yang mengandungi gabungan methamphetamine dan kokain.

Makmal penghasilan dan penularan methamphetamine (syabu)

Pada tahun 1980-an, Amerika Syarikat mula mengetatkan peraturan terhadap penjualan dan penggunaan epherine yang digunakan untuk menghasilkan meth kristal.

Ia membuatkan makmal haram yang menghasilkan meth, mencari alternatif lain iaitu pseudoephedrine, sejenis bahan kimia yang terkandung dalam kebanyakan ubat selesema.

Menjelang awal tahun 1990-an, penggunaan meth kristal naik dengan mendadak dan di antara tahun 1994 dan 2004, penggunaan meth di kalangan orang dewasa di Amerika Syarikat meningkat daripada 2% kepada 5%.

Dan pada tahun 2006, Laporan Dadah Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggelarkan meth (syabu) sebagai dadah yang paling banyak disalahgunakan di atas muka bumi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Thursday, November 22, 2018

Apa Itu Heroin Dan Morfin?

Apa Itu Heroin Dan Morfin?

Heroin dan morfin adalah dadah dalam kumpulan opiate. Morfin adalah alkaloid yang diperolehi dari pokok poppy, Papaver somniferum dan biasanya digunakan sebagai ubat tahan sakit, manakala heroin adalah dadah sintetik yang dihasilkan dengan menambah dua kumpulan acetyl pada struktur morfin, juga dikenali sebagai diamorphine.

Heroin Dan Morfin

Morfin boleh didapati secara meluas untuk digunakan sebagai ubat penahan sakit, biasanya diberikan melalui mulut.

Heroin dan mofin adalah dadah yang biasa disalahguna di Malaysia. Heroin dan morfin tersenarai dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952, yang menghalang penanaman, pengeluaran, import, export, pemilikan dan penyalahgunaan.

Nama Jalanan Heroin;
  • Fit
  • Fun
  • Cik Puteh
  • Barang

Nama Jalanan Morfin;
  • M
  • Monkey
  • Dreamer
  • Morpho
  • Tab
  • Cubes
  • Emsel
  • Melter

Kesan Penggunaan Heroin dan Morfin

Morfin bergabung pada reseptor opioid yang terdapat dalam otak dan di lain-lain bahagian badan. Penggunaan kronik boleh mengakibatkan ketagihan dan pergantungan fizikal.

Gejala Penggunaan Heroin dan Morfin;
  • Tidak rasa sakit
  • Keghairahan
  • Rasa tenang
  • Loya
  • Muntah
  • Mata berair
  • Hidung berair
  • Letih

Kesan Penyalahgunaan Heroin dan Morfin pada Kesihatan

Penyalahgunaan dadah boleh mengakibatkan penurunan berat badan, kesesakan nafas dan jangkitan hepatitis dan HIV akibat perkongsian jarum. Dos berlebihan boleh menyebabkan kematian.

Metabolisma Heroin dan Morfin

Heroin dan morfin biasa dimasukkan ke dalam badan melalui suntikan. Heroin boleh juga dihisap, disedut, dimasukkan ke dalam dubur atau diambil secara oral.

Heroin diserap ke dalam plasma darah dalam masa beberapa minit selepas pengambilan. Kadar metabolisma berbeza mengikut jenis dadah dan cara pengambilan ke dalam badan.

Metabolisma heroin dan morfin berlaku dalam hati yang menukarkan dadah asal kepada metabolit.

Heroin ditukarkan kepada 6–acethylmorphine (6-MAM) yang kemudiannya di metabolisma kepada morfin. Morfin boleh dikesan dalam plasma darah dalam masa lebih kurang 45 minit selepas pengambilan.

Dadah Yang Disalahguna

Morfin adalah candu yang aktif serta utama dan digunakan untuk meringankan kesakitan bagaimanapun, ia menduduki tempat kedua selepas heroin sebagai dadah yang disalahgunakan.

Morfin disalahgunakan secara meluas oleh penagih terutama sekali apabila heroin susah hendak didapati.

Sulfat morfin ialah cairan yang tidak berwarna dan tidak berbau. Morfin juga berbentuk empat segi, ringan dan berwarna putih. Selain itu, morfin juga terdapat dalam bentuk tablet-tablet putih kecil atau kapsul.

Di Malaysia cata yang biasa untuk membungkus Morfin adalah dalam bungkusan-bungkusan kertas kecil.

Cara Morfin digunakan

Morfin boleh dimakan dalam bentuk tablet atau kapsul, tetapi cara penggunaan yang sangat kerap ialah dengan cara suntikan ke dalam pembuluh (intravenus) dengan menggunakan jarum-jarum hipoderma.

Kesan Morfin

Sebaik sahaja dadah ini digunakan, penagih akan berasa mengantuk serta rnenunjukkan kecacatan keseimbangan dan tindakbalasnya.

Tindakbalas-tindakbalas yang awal adalah amat tidak menyenangkan orang tetapi diikuti dengan perasaan tenang.

Pertuturan penagih itu menjadi tidak nyata, mata hitamnya mengecil, kemudian dia tidur dan dalam keadaan tidak sedar, jaga semula, berkhayal semula dan sentiasa mengelamun.

Walaupun morfin jarang membuat seseorang itu berasa gembira kerana fikirannya yang terganggu, tidak boleh membuat pertimbangan dengan betul, tekanan darah turun, pernafasan dan peredaran darah menjadi lambat dan kurang selera makan.

Bahaya Morfin

Sama seperti heroin, pertimbangan kawalan, tumpuan dan perhatian merosot dengan cepat ketika perasaan pengguna itu tidak lagi tenteram.

Hilangnya selera makan menyebabkan pengguna dadah mendapat sembelit, kurang selera makan dan turun berat badan.

Pengguna sangat mencuaikan diri sendiri menyebabkan dia mudah diserang penyakit dan akhirnya menjadi ahli masyarakat yang tidak bertanggungjawab.

Morfin mewujudkan kedua-dua pergantungan fizikal dan jiwa dengan cepatnya dan daya tahan (tolerance) terhadap dadah ini dibina dengan cepat pula.

Oleh itu, dos-dosnya mestilah selalu ditambah untuk mendapatkan kesan, akibat yang sama dengan dos yang pertama.

Penagih tidak tahu berapa kuatnya dos yang diambilnya itu dan ini membawa bahaya dos berlebihan dan boleh menyebabkan kejang dan kematian.

Jarum yang kotor boleh merebakkan penyakit seperti sakit kuning, kancing gigi dan keracunan darah.

Oleh kerana morfin boleh menimbulkan ketagihan jenis fizikal, apabila penagih itu cuba berhenti mengambil dadah dan membebaskan diri dari cengkamannya, dia mengalami penyakit-penyakit pengunduran diri (sindrom putus dadah) dengan teruknya sama seperti seorang penagih heroin.

Dia akan berasa resah, cemas, sugul, bercelaru, takut, menggeletar, berpeluh berlebih-lebihan, mata hitam membesar, mata dan hidung berair, tidak boleh tidur, mual dan muntah-muntah, tegang perut dan cirit-birit.

Kesemua tanda ini akan sampai ke kemuncaknya selepas 48 jam yang pertama sesudah dadah ini berhenti diambil dan ini berterusan sehingga sepuluh hari.

Bagaimanapun, masa yang panjang adalah diperlukan untuk badan penagih itu kembali kepada keadaan sediakala.

Walaupun seseorang itu menderita akibat pengunduran dari dadah, disebabkan pergantungan jiwanya atau ketagihan yang terlalu kuat, penagih itu mungkin boleh memulakan kembali tabiatnya itu pada suatu masa yang dia rasa lemah dan cuai.

Kesan-kesan Fisiologi Heroin dan Morfin

Tubuh badan kita mempunyai deria-deria yang dikawal oleh otak menerusi urat saraf.

Ada sejenis enzim semula jadi dikenali sebagai endomorfin yang dikeluarkan oleh buli-buli pituituari yang sentiasa dikeluarkan secara spontan kepada sel-sel deria sehinggalah kepada sel-sel otak (grey matler).

Dalam keadaan normal sel-deria ini berfungsi secara spontan dengan kehadiran enzim endomortin, tetapi apabila seseorang menghisap heroin atau morfin yang berlebihan, buli-buli pitituarinya akan terjejas.

Kehadiran Endomorfin dari heroin atau morfin yang dihisap secara berterusan melemahkan keupayaan sel-sel dalam pitituari untuk mengeluarkan enzim Endomorfin secara spontan.

Lama-kelamaan sel-sel ini akan mati dan begitu juga sel-sel otak (grey matter) tidak dapat berfungsi dengan betul.

Kegagalan pitituari mengeluarkan Endomorfin menyebabkan pergantungan pengguna kepada bekalan yang berterusan hingga menjadi penagih.

Sel-sel deria yang rosak dan mati mengakibatkan seseorang penagih menjadi pelupa dan kurang keseimbangannya.

Walaupun tubuh badan kelihatan sihat tetapi pemikirannya tidak normal kerana kebanyakan sel otak (grey matter) telah rosak dan mati.

Oleh yang demikian penyalahgunaan heroin dan morfin membahayakan kerana boleh menjadikan seseorang itu tidak waras dan jika terperangkap, sukar untuk sembuh seperti manusia yang normal.

Di samping itu, kesan fisiologi morfin dan heroin ialah merendahkan kesanggupan sumsum tulang (bone marrow) untuk mengeluarkan hemoglobin.

Oleh yang demikian ia akan membawa kepada pesakit anaemia di mana darah merah seorang pengidap kurang daripada biasa.

Pembuangan Heroin dan Morfin

Metabolit utama dalam urin selepas pengambilan heroin dan morfin adalah 6-monoacethylmorphine (6-MAM) dan morphine glucuronide.

Heroin jarang dikesan dalam urin individu yang mengambil dadah ini. 6-MAM adalah indikator pengambilan heroin.

Urin adalah spesimen yang biasa digunakan untuk mengesan penyalahgunaan heroin dan morfin kerana kepekatan metabolit dalam urin adalah tinggi.

Masa pemungutan urin yang sesuai adalah mustahak untuk menentukan pengesanan dadah dan masa paling sesuai untuk mengesan morfin dalam urin adalah diantara 48 hingga 72 jam selepas pengambilan.

Pengesanan Penyalahgunaan Heroin dan Morfin

Penyalahgunaan heroin and morfin boleh dikesan melalui ujian dadah. Terdapat dua kategori ujian dadah iaitu saringan dan pengesahan.

Ujian Saringan

Ujian saringan adalah ujian permulaan dan merupakan ujian kualitatif yang digunakan untuk mengenalpasti kelas dadah yang terkandung dalam urin.

Teknik yang digunakan adalah immunoassay berdasarkan prinsip competitive binding. Kit ujian saringan dadah boleh didapati dalam bentuk ujian di lokasi atau analisis di makmal.

Ujian pantas biasa digunakan sebagai ujian di lokasi dan digunakan di klinik dan oleh pihak berkuasa. Keputusan ujian saringan bergantung pada paras cut off.

Cut-off adalah kepekatan yang digunakan untuk membezakan ujian positif dan negatif.

Spesimen yang mengandungi kepekatan dadah pada atau lebih dari nilai cut-off akan dianggap sebagai positif manakala spesimen dengan kepekatan dadah kurang dari nilai cut-off akan dianggap negatif.

Cut-off ujian saringan bagi morfin dalam urin adalah 300 ng/ml. Ujian saringan tidak spesifik dan oleh itu bagi kes yang melibatkan perundangan, spesimen positif ujian saringan hendaklah disahkan dengan ujian pengesahan yang dilakukan oleh makmal.

Ujian Pengesahan

Ujian pengesahan digunakan untuk mengesahkan keputusan positif ujian saringan dan boleh mengesan dadah dalam urin secara spesifik. Ujian pengesahan biasa dilakukan dengan menggunakan teknik kromatografi.

Teknik kromatografi yang biasa digunakan untuk mengesahkan morfin adalah Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS) dan Liquid Tandem Mass Spectrometry (LC/MS/MS).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth | apaitudadah