Sunday, February 02, 2014

Kamlari, Sistem Jual Anak Untuk Dijadikan Hamba!

Kamlari, Sistem Jual Anak Untuk Dijadikan Hamba!

Manjita Chaudhary tidak menyangka bapanya sendiri tergamak menjualnya ketika usianya baru mencecah sembilan tahun. Lebih menyedihkan hatinya, pada usia semuda itu dia dijual kepada polis Nepal dengan harga RM80!

Jujri Tharu
Jujri Tharu (tengah) menceritakan kisahnya selepas diselamatkan.

Dia meninggalkan keluarganya di Barat Nepal dan berhijrah sejauh 200 kilometer untuk tinggal di rumah majikannya yang terletak berhampiran sempadan India.

Sebaik tiba di rumah majikannya, maka bermula episod hidup yang amat sukar bagi Manjita. Mana tidaknya, ketika kanak-kanak lain masih lena berselimut, jam 4 pagi dia sudah bangun untuk memulakan tugasnya sebagai pembantu rumah.

Dia dikehendaki menyapu, mencuci pinggan mangkuk dan memasak. Lebih memeritkan dia diarahkan melakukan tugas sama di rumah saudara-mara majikannya dan selepas jam 12 tengah malam baru Manjita dapat berehat.

“Apabila kerja saya tidak seperti yang diharapkan, isteri majikan akan memukul saya dengan periuk dan kuali, sambil mengancam hendak menjual saya pada lelaki lain,” cerita Manjita yang kini berusia 22 tahun.

“Ketika itu saya rasa amat takut, tetapi saya tidak boleh menangis di depan mereka. Saya hanya boleh menangis dalam bilik air, itupun perlahan-lahan supaya keluarga majikan tidak dengar,” katanya.

Apabila dia bertemu semula dengan ayahnya setahun kemudian, dia merayu supaya dibawa pulang. Namun ayahnya yang bekerja sebagai buruh kontrak berkata, keluarga tidak mampu untuk menyara Manjita dan adiknya.

Itu sebabnya mereka berdua dijual kepada orang kaya untuk dijadikan hamba domestik yang melakukan kerja pembantu rumah.

Hamba domestik atau gadis kamlari dalam bahasa Nepal adalah golongan yang paling lemah. Pada usia muda, ada yang semuda enam tahun mereka sudah dijual untuk dijadikan hamba domestik. Mereka juga sering menjadi mangsa keganasan fizikal dan seksual, malah ada yang dikurung oleh majikan masing-masing.

Pada Januari setiap tahun, ketika masyarakat Tharu di Nepal menyambut perayaan Maghi yang menandakan berakhirnya musim sejuk, keluarga yang miskin akan menandatangani kontrak bernilai serendah 2,500 rupee (RM80) setahun, untuk meminjamkan anak perempuan mereka menjadi pembantu rumah.

Tradisi tahunan ini sememangnya satu budaya atau amalan pelik walaupun di Nepal sendiri di mana kes perhambaan haram secara kontrak dan buruh kanak-kanak semakin meningkat. Malah, pemandangan kanak-kanak bekerja di restoran dan tapak pembinaan adalah satu perkara biasa.

Seabad lalu, keturunan Tharu yang dikatakan keturunan Buddha memiliki tanah ladang sendiri dan hidup agak terasing di dataran Terai. Walaupun ketika itu malaria melanda dataran Terai, tetapi kaum Tharu seolah-olah kebal terhadap penyakit itu yang menyerang kasta lebih tinggi dan dapat menikmati kehidupan yang baik.

Kamlari
Sebahagian daripada gadis kamlari yang diselamatkan 
dan dibebaskan daripada dunia perhambaan.

Tetapi apabila malaria dapat dihapuskan dari kawasan subur itu pada 1960, kaum Tharu yang menjadi mangsa apabila petani daripada kasta tinggi menyisihkan mereka. Akhirnya mereka hidup susah dan menjadi hamba di tanah sendiri.

Ramai ibu bapa miskin termasuk ibu bapa Manjita yang terpaksa menjual anak perempuan mereka untuk menjadi hamba domestik.

Kemiskinan ini yang akhirnya memantapkan budaya kamlari. Walaupun undang-undang sudah mengharamkan budaya ini pada 2006 tetapi ia masih berleluasa di seluruh Nepal.

Manjita sendiri menjadi gadis kamlari selama tiga tahun. Selama itu dia menahan penderitaan keganasan dan gangguan seksual, sebelum aktivis sosial dari Yayasan Belia Nepal berjumpa ayahnya dan menawarkan bantuan sokongan serta pendidikan untuk adik-beradik perempuan Manjita jika dia bersetuju menamatkan kontrak perhambaan mereka.

Hanya pada usia 12 tahun Manjita mula belajar menulis dan membaca. Kini mahasiswa perniagaan ini menjadi lebih yakin, ada keterampilan dan boleh bertutur dalam tiga bahasa.

Namun parut psikologi yang dialaminya ketika kecil terus melekat dalam dirinya. Ini membuatkan Manjita tekad untuk menjadi sukarelawan bagi membantu dan memperjuangkan hak gadis kamlari.

“Zaman kanak-kanak saya dirobek dan diragut. Itu saat yang paling buruk dalam hidup saya dan saya akan lakukan apa saja untuk menamatkan amalan yang tidak berguna ini. Saya mahu bebaskan gadis-gadis lain yang menerima nasib serupa,” katanya.

Sebenarnya budaya kamlari berasal dari barat daya Nepal dan ia masih bertahan kerana adanya permintaan daripada keluarga kaya.

Pegawai perundangan di Hak Asasi Manusia dan Perkhidmatan Sosial Kanak-kanak-Wanita Nepal (CWISH), Kamal Guragain menganggarkan ada sekurang-kurangnya 1,000 gadis kamlari di Nepal dan hampir separuh bekerja di Kathmandu.

Manjita
Manjita tekad mahu menghapuskan budaya kamlari di Nepal.

Sehingga kini tiada majikan yang dihukum kerana mengupah atau menganiaya gadis kamlari, walaupun Guragain menerima banyak gesaan untuk mendakwa majikan dan tuntutan supaya mangsa diberikan pampasan atau bayaran ganti rugi.

“Sampai sekarang kamlari masih wujud kerana majikan tidak didakwa atau dipenjarakan walaupun secara terang-terangan mereka melanggar undang-undang,” kata Guragain.

Insiden seorang gadis kamlari berusia 12 tahun meninggal dunia akibat terbakar ketika berada di rumah majikannya Mac tahun lalu, mencetuskan kemarahan banyak pihak yang menggesa kerajaan menghentikan amalan itu. Namun selepas hampir setahun berlalu, tidak banyak perubahan yang berlaku.

Ram Prasad Bhattarai, jurucakap Kementerian Wanita, Kanak-kanak dan Kebajikan Sosial sebaliknya berkata, aktivis kini terlalu provokatif dan mendesak menuntut hak.

“Kami sekarang memberi fokus kepada usaha memperkasakan gadis kamlari dengan menawarkan pendidikan dan peluang latihan sebagai jurusolek dan tukang jahit selepas kontrak mereka tamat. Tetapi kami tidak bercadang membuat serbuan dari rumah ke rumah di Kathmandu,” katanya.

Dalam satu serbuan yang dilakukan di Kathmandu, aktivis menyelamatkan seorang remaja, Jayarani Tharu, yang tidak ingat bila dia meninggalkan rumah keluarganya kerana sudah terlalu lama menjadi hamba domestik.

Majikannya yang menjalankan perniagaan perabot dan restoran membayar 6,000 rupee (RM192) setahun kepada bapanya. Ketika aktivis membantu Jayarani mengemas barang-barangnya, isteri majikannya, Ramba Uprety menangis teresak-esak.

“Saya melayannya seperti anak sendiri. Sebab itu saya tidak rasa bersalah,” kata Uprety.

Jayarani sendiri mengakui majikannya adalah orang baik, tidak pernah berkasar atau melakukan keganasan terhadapnya. Bagaimanapun, hatinya tetap terkilan setiap kali melihat guru datang ke rumah untuk mengajar dua anak majikannya, sedangkan dia terpaksa bertungkus-lumus menyelesaikan tugasan di rumah berkenaan.

“Mulanya saya sedih juga tidak dapat ke sekolah, tapi lama-kelamaan sudah jadi biasa. Saya selalu fikir, mereka bayar untuk saya buat kerja, bukan belajar. Kini saya tidak tahu apa saya boleh lakukan perubahan dalam hidup ini. Saya sudah hilang banyak masa,” katanya sedih. -AFP

BACA INI JUGA: Kanak-kanak Paling Berani Dalam Sejarah

Monday, January 27, 2014

Minum Susu Anjing Kerana Terlalu Miskin

Minum Susu Anjing Kerana Terlalu Miskin

Apabila manusia itu dibelenggu kemiskinan, apa sahaja cara akan digunakan demi untuk mencari makanan untuk mengenyangkan perut yang sedang lapar.

Shakil Ahmed Minum susu Anjing

Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di Bangladesh, menjadikan ruang internet gempar apabila fotonya sedang meminum susu dari seekor ibu anjing tersebar luas.

Kejadian itu berlaku di sebuah daerah di bahagian utara Bangladesh yang dikenali sebagai Gaibandha.

BACA INI JUGA: Masyarakat Yang Hidup Dalam Timbunan Sampah

Shakil Ahmed dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin dan dia sering kelaparan apabila ibunya meninggalkannya di rumah untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Tabiat Shakil bermula dengan meminum susu daripada ibu anjing peliharaannya sendiri, walaupun ditegur ibu bapa dan jiran, Shakil tetap melakukannya.

Biarpun kini, anjing peliharaannya itu telah mati, Shakil masih tidak dapat berhenti daripada meminum susu anjing.

Dia kini meminum susu anjing daripada ibu anjing yang ditemuinya di jalanan.

Ibu Kesal Diarah Susukan Anak Dalam Tandas

Leanna Donaldson Dennis, 18

Sementara itu, seorang ibu muda, Leanna Donaldson Dennis, 18, kesal apabila dia diarahkan untuk menyusukan bayinya di dalam tandas orang kurang upaya (OKU) sewaktu berada di Restoran Singapore Buffet Express di Clydebank, West Dunbartonshire, Scotland, baru-baru ini.

Dia yang pada ketika itu sedang menikmati makanan tengahari bersama rakannya memohon kebenaran dari pengurus restoran tersebut untuk menyusukan Pete yang berusia dua bulan.

“Bayi saya jelas kelaparan dan saya bertanya kepada pengurus tersebut, adakah saya boleh duduk di satu sudut untuk menyusukan Pete. Tetapi, dia berkata ‘tidak’ dan mengarahkan seorang pekerjanya untuk membawa saya ke tandas OKU.

“Saya berada di situ selama 20 minit dan kemudiannya keluar kerana merasakan keadaan sangat tidak bersih untuk menyusukan Pete. Kami kemudiannya membayar bil tanpa menghabiskan makanan dan menuju ke pusat membeli-belah Clyde yang lebih ‘mesra’ kepada ibu seperti saya,” ujarnya.

Di negara itu, adalah menjadi hak seorang ibu untuk menyusukan bayi di bawah usia dua tahun di tempat awam dan sebarang percubaan untuk menghalangnya dikira sebagai kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, pengurus restoran tersebut kemudiannya menjelaskan kejadian tersebut hanyalah salah faham dan memohon maaf atas perkara itu.

BACA INI JUGA: Penemuan Saintifik Susu Ibu Bukti Kebenaran Al-Quran

Sumber: Clydebankpost/Mynewshub

Thursday, January 09, 2014

Lelaki Budiman Bunuh Diri Angkara Orang BODOH!

Lelaki Budiman Bunuh Diri Angkara Orang BODOH!

Seorang lelaki yang sepatutnya diberi penghargaan kerana membantu mangsa langgar lari, dilaporkan membunuh diri kerana dituduh bertanggungjawab menyebabkan kemalangan berkenaan.

Bunuh diri

Tidak cukup dengan itu lelaki terbabit juga dituntut membayar pampasan kepada mangsa kemalangan itu.

Media tempatan semalam melaporkan Wu Weiqing, 46, dari Dongyuan di wilayah Guangdong, terlihat seorang lelaki warga emas yang cedera dilanggar ketika menaiki motosikalnya pada malam tahun baru lalu.

Isterinya berkata, Wu membantu mangsa malah membawa lelaki terbabit ke klinik berhampiran serta membayar yuran perubatan berjumlah 3,500 yuan (RM1,894).

“Wu terkejut apabila dia pula dituduh melanggar mangsa dan didesak membayar ganti rugi dalam jumlah yang tinggi,” katanya.

(Baca: Pengantin Wanita Silap Tiduri Pengapit Lelaki Di Malam Pertama)

Anak perempuannya, Wu Haiyan memberitahu bapanya memaklumkan keluarga mangsa menuntut wang untuk ‘yuran perubatan.’ “Ayah menghubungi saya mengatakan rasa tertekan dan lebih rela mati daripada terus diganggu.

“Ayah terkilan apabila orang yang dibantu menyusahkannya pula,” katanya.

Dalam keadaan tertekan, kata Haiyan, Wu memilih untuk membunuh diri bagi membuktikan dia tidak bersalah,” katanya. Mayat Wu ditemui dalam kolam berhampiran bandar itu beberapa jam kemudian.

Sementara itu, keluarga warga emas berkenaan menafikan mereka menuntut jumlah ganti rugi terlalu tinggi.

Anak sulung lelaki terbabit juga mempertikaikan mengapa Wu membawa bapanya ke hospital.

“Jika bukan dia yang mencederakan ayah saya, kenapa pula dia bersusah payah membawanya ke hospital dan membayar kos perubatannya?” soalnya. -AFP

Monday, January 06, 2014

 Keluarga Melayu Terpaksa Kongsi Hidup Dengan Ayam!

Keluarga Melayu Terpaksa Kongsi Hidup Dengan Ayam!

“Saya tidak tahu apa nasib kami sekeluarga esok kerana tanah di tepi tali air tempat kami berteduh ini pun milik orang lain.”

Keluarga Melayu Terpaksa Kongsi Hidup Dengan Ayam!

Demikian kata Azman Ahmad, 44, isteri serta anak perempuannya yang terpaksa menumpang teduh di sebuah bangsal buruk di pinggir sawah di Kampung Behor Mentaloon, di sini, selepas terpaksa keluar dari rumah pusaka keluarganya berikutan selisih faham, dua tahun lalu.

Malah, nasib Azman pada hari mendatang juga tidak menentu kerana mendakwa pemilik tanah tempat mereka menumpang juga pernah meminta mereka keluar dari situ.

Selain tinggal di bangsal yang buruk dan tidak berdinding, Azman serta isteri, Noor Azah Abdullah, 43, serta anak perempuan mereka, Nur Fatiha, 16, terpaksa berkongsi hidup dengan ayam kampung yang turut berteduh di situ.

(Baca: Adakah Anda Memiliki Budi Pekerti Dan Menghormati Orang Lain?)

Malah, sudut yang dijadikan ruang memasak di pondok itu juga hanya berlantai pasir dan berselut selain tompokan najis ayam.

Nur Fatiha yang juga satu-satunya anak mereka tidak lagi bersekolah selepas Azman tidak mampu menampung perbelanjaan harian keluarga, gagal menyediakan belanja persekolahan.

Azman berkata, pendapatannya RM200 sebulan hasil mengutip dan menjual barang lusuh dan mengambil upah menabur baja padi tidak cukup untuk menyara keluarga dan menyekolahkan anaknya.

“Di sinilah kami mandi, tidur, tukar baju malah masak pun atas tanah, Kami makan sekali saja sehari, iaitu pada waktu tengah hari, itu pun nasi lauk ikan kering. Kalau ada rezeki lebih boleh kami beli sayur dan ikan,” katanya.

Ditanya mengenai anak perempuannya, Azman berkata Nur Fatiha sudah lama tidak ke sekolah kerana kesempitan wang dan kali terakhir anaknya itu ke sekolah ialah ketika belajar di Tahun Enam.

“Kami bernasib baik sebab ada juga orang kampung yang datang membantu, ada yang bagi beras, perkakas dapur, sekurang-kurangnya ringan sikit beban kami sekeluarga,” katanya.

Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi mengesahkan keadaan keluarga terbabit sememangnya berada dalam pemerhatian mereka dan pihaknya kini sedang menyiapkan laporan mengenai bentuk bantuan yang bersesuaian untuk disalurkan.

Sumber: Berita Harian

Monday, December 16, 2013

Lelaki Sanggup Curi Kain Kapan Nak Jadi ‘Superman’!

Lelaki Sanggup Curi Kain Kapan Nak Jadi ‘Superman’!

Misteri pembongkaran beberapa kubur di daerah di Jawa Timur ini akhirnya terjawab apabila polis Cilacap menahan seorang pemuda yang mengaku ingin belajar terbang seperti Superman dan menjadi halimunan.

Resi Rookiswana @ Pamungkas
Resi dan kain kafan yang dicurinya.

Resi Rookiswana @ Pamungkas mengaku memerlukan kain kafan dari sejumlah kubur atas arahan seseorang bernama ‘ratu’ untuk menguasai ilmu itu.

“Ini untuk dibuat ilmu terbang. Saya sendirian mengambil kain kafan di kubur atas arahan ratu di Srandil,” katanya.

Antara mangsa Resi ialah Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini. Resi didakwa memenggal kepala mayat Endah selepas membongkar kubur anak dara itu.

(Baca: Kenapa Rakyat Indonesia Marah Di Panggil INDON?)

Lelaki itu semalam berdegar-degar mengakui mampu menghilangkan diri, namun apabila diminta polis menunjukkan bakatnya itu dia sekadar ketawa dan memberi alasan cuma boleh melakukannya di tempat sunyi.

“Saya mampu menghilangkan diri, tahu-tahu sudah berada di tempat lain.

“Bukan sebarang orang boleh buat begitu,” dakwanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Cilacap AKP Agus Turyadi berkata, pihaknya menahan suspek selepas mengekorinya beberapa jam.

“Kami mengekorinya sepanjang malam sebelum menahannya di tepi landasan kereta api.

“Bahan bukti termasuk peralatan digunakannya juga dirampas di situ berikutan tempat itu dijadikan rumahnya,” katanya.

(Baca: Pelik! Tradisi Membiarkan Mayat Reput Dibawah Pokok)

Menurutnya, polis merampas tulang tangan, rusuk, baju dan tali kain kafan milik seorang bayi yang juga diselongkar kuburnya.

Batu dan senjata tajam turut ditemui di rumah suspek.

Sementara itu, ketika dibawa ke balai polis, keluarga wanita yang kuburnya dibongkar suspek menyerang Resi.

Bagaimanapun mereka berjaya dihalang anggota polis bertugas.

Menurut Agus, Resi pernah dipenjara pada 2010 dan 2012 kerana mencuri motosikal. -Agensi

Friday, December 06, 2013

Wanita Ditangkap Selepas Menelefon Polis 15,000 Kali!

Wanita Ditangkap Selepas Menelefon Polis 15,000 Kali!

Polis Jepun semalam berkata, mereka menahan seorang wanita kerana menghubungi pihak berkuasa itu lebih 15,000 kali sepanjang tempoh enam bulan.

Woman arrested after calling police 15,000 times
Gambar hiasan.

Pihak berkuasa berulang kali mengunjungi kediaman wanita berusia 44 tahun itu dan memintanya agar menghentikan perbuatannya berkenaan.

Polis akhirnya terpaksa menahan wanita terbabit apabila pujukan itu tidak diendahkan.

Pegawai polis di Sakai, dekat Osaka berkata, wanita terbabit membuat 927 panggilan kecemasan dalam sehari dan perbuatannya mengganggu tugas polis.

Woman arrested after calling police 15,000 times

“Kami pergi ke kediamannya 60 kali untuk memujuknya agar tidak menghubungi kami lagi tetapi gagal.

“Akhirnya kami tidak mempunyai pilihan kecuali menahannya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pegawai polis itu berkata mereka percaya wanita terbabit mengalami kesunyian melampau.

Wanita itu menghadapi tuduhan mengganggu tugas polis yang jika disabitkan bakal berdepan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda 500,000 yen (RM15,815). -AFP

Sunday, December 01, 2013

Penjara Yang Membenarkan Anak Dan Isteri Tinggal Bersama!

Penjara Yang Membenarkan Anak Dan Isteri Tinggal Bersama!

Penjara San Pedro adalah penjara terbesar di La Paz, Bolivia dengan tahanan seramai 1,500 di dalamnya.

Penjara San Pedro

Namun, apa yang membuatkannya unik bukanlah kerana jumlah banduan di dalamnya tetapi kerana banduan di penjara ini dibenarkan untuk menjalankan kerja mereka atau bekerja di dalam penjara.

Malah, Penjara San Pedro mempunyai undang-undangnya sendiri, tanpa warden di dalamnya!.

Banduan di penjara San Pedro tinggal di dalam penjara yang mempunyai komuniti persekitaran tersendiri.

Sama seperti kehidupan biasa di luar penjara, di dalam penjara San Pedro terdapat restoran, pasar, pasar raya, salon rambut, malah hotel yang diuruskan sendiri oleh para banduan.

Banduan juga boleh mengajak keluarga mereka, isteri dan anak-anaknya untuk tinggal di dalam penjara bersama mereka.

Warden di Bolivia tidak akan campur tangan walau apapun yang terjadi antara para banduan di dalam penjara.

Seorang banduan akan dipilih secara demokrasi dan menjadi pemimpin di penjara San Pedro. Anda juga tidak akan menemui banduan yang tinggal di dalam bilik jeriji besi.

Namun, di dalam penjara ini, para tahanan perlu membayar untuk sel mereka tidak kira betapa kecil dan kotornya sel yang mereka diami.

Penjara San Pedro terbahagi kepada 8 sektor, dari yang paling kotor hinggalah yang paling mewah untuk didiami.

Banduan yang sanggup membayar dengan harga yang mahal boleh tinggal di bahagian yang mewah dalam penjara ini.

Di ruangan penjara yang mewah, para banduan boleh tinggal di dalam sel yang selesa yang dilengkapi dengan bilik mandi, dapur, TV kabel, malah jacuzzi dengan bayaran yang mahal.

Banduan yang ingin tinggal di dalam sel mewah seperti ini perlu membayar kira-kira USD$1,000 hingga USD$1,500 sepanjang penahanan mereka. Namun, ramai juga banduan miskin yang tinggal beramai-ramai dalam sebuah sel.

Banduan yang tidak memiliki wang dibenarkan bekerja seperti biasa supaya mereka mempunyai wang untuk terus tinggal di dalam penjara.

Makanan juga tidak disediakan oleh pihak penjara, jadi banduan perlu membelinya sendiri di dalam penjara ini.

Oleh kerana itu, ada banduan yang membuka kedai makan dan ada juga yang menjalankan perkhidmatan sebagai pendandan rambut atau tukang kayu. Yang lain bekerja di bawah kendalian banduan lain sebagai pekerja untuk mendapat gaji.

Kita tidak akan menyangka bahawa penjara ini adalah sebuah penjara kerana di dalamnya para banduan lelaki bekerja dan menjalankan rutin biasa, manakala isteri akan mengurus rumah tangga mereka malah kanak-kanak bebas berkeliaran di dalamnya.

Satu data menunjukkan, kira-kira 200 kanak-kanak tinggal dengan ayah mereka yang menjadi banduan di dalam penjara San Pedro.

Penjara San Pedro

Ramai yang menganggap bahawa penjara San Pedro bukanlah persekitaran yang sesuai untuk membesarkan anak-anak. Namun, keluarga mereka sebaliknya mengatakan bahawa kehidupan mereka lebih baik di dalam penjara daripada hidup di jalanan kerana diskriminasi masyarakat.

Tapi jangan anggap bahawa tinggal di dalam penjara San Pedro sentiasa aman dan damai. Banduan di dalamnya saling mencuri harta banduan lain, malah sanggup membunuh jika berlaku pergaduhan antara mereka.

Keunikan penjara ini pernah menjadi perhatian pelancong dari seluruh dunia sehinggakan penjara San Pedro menjadi tarikan pelancongan di Bolivia.

Dengan membayar 250 peso, para pelancong boleh melawat penjara ini. Malah, banduan sendiri yang akan menguruskan pelawat yang berkunjung.

Namun, ada pihak yang mengatakan bahawa pekara ini telah diambil kesempatan oleh beberapa pihak untuk menjual beli dadah.

Oleh kerana itu, sejak tahun 2009 tidak ada lagi pelancong yang dibenarkan melawat ke dalam penjara San Pedro.

Walau bagaimanapun, banduan tetap dibenarkan mengajak keluarga mereka tinggal di dalamnya bersama mereka.

-Sentiasapanas.com