Sunday, February 02, 2014

Kamlari, Sistem Jual Anak Untuk Dijadikan Hamba!

Kamlari, Sistem Jual Anak Untuk Dijadikan Hamba!

Manjita Chaudhary tidak menyangka bapanya sendiri tergamak menjualnya ketika usianya baru mencecah sembilan tahun. Lebih menyedihkan hatinya, pada usia semuda itu dia dijual kepada polis Nepal dengan harga RM80!

Jujri Tharu
Jujri Tharu (tengah) menceritakan kisahnya selepas diselamatkan.

Dia meninggalkan keluarganya di Barat Nepal dan berhijrah sejauh 200 kilometer untuk tinggal di rumah majikannya yang terletak berhampiran sempadan India.

Sebaik tiba di rumah majikannya, maka bermula episod hidup yang amat sukar bagi Manjita. Mana tidaknya, ketika kanak-kanak lain masih lena berselimut, jam 4 pagi dia sudah bangun untuk memulakan tugasnya sebagai pembantu rumah.

Dia dikehendaki menyapu, mencuci pinggan mangkuk dan memasak. Lebih memeritkan dia diarahkan melakukan tugas sama di rumah saudara-mara majikannya dan selepas jam 12 tengah malam baru Manjita dapat berehat.

“Apabila kerja saya tidak seperti yang diharapkan, isteri majikan akan memukul saya dengan periuk dan kuali, sambil mengancam hendak menjual saya pada lelaki lain,” cerita Manjita yang kini berusia 22 tahun.

“Ketika itu saya rasa amat takut, tetapi saya tidak boleh menangis di depan mereka. Saya hanya boleh menangis dalam bilik air, itupun perlahan-lahan supaya keluarga majikan tidak dengar,” katanya.

Apabila dia bertemu semula dengan ayahnya setahun kemudian, dia merayu supaya dibawa pulang. Namun ayahnya yang bekerja sebagai buruh kontrak berkata, keluarga tidak mampu untuk menyara Manjita dan adiknya.

Itu sebabnya mereka berdua dijual kepada orang kaya untuk dijadikan hamba domestik yang melakukan kerja pembantu rumah.

Hamba domestik atau gadis kamlari dalam bahasa Nepal adalah golongan yang paling lemah. Pada usia muda, ada yang semuda enam tahun mereka sudah dijual untuk dijadikan hamba domestik. Mereka juga sering menjadi mangsa keganasan fizikal dan seksual, malah ada yang dikurung oleh majikan masing-masing.

Pada Januari setiap tahun, ketika masyarakat Tharu di Nepal menyambut perayaan Maghi yang menandakan berakhirnya musim sejuk, keluarga yang miskin akan menandatangani kontrak bernilai serendah 2,500 rupee (RM80) setahun, untuk meminjamkan anak perempuan mereka menjadi pembantu rumah.

Tradisi tahunan ini sememangnya satu budaya atau amalan pelik walaupun di Nepal sendiri di mana kes perhambaan haram secara kontrak dan buruh kanak-kanak semakin meningkat. Malah, pemandangan kanak-kanak bekerja di restoran dan tapak pembinaan adalah satu perkara biasa.

Seabad lalu, keturunan Tharu yang dikatakan keturunan Buddha memiliki tanah ladang sendiri dan hidup agak terasing di dataran Terai. Walaupun ketika itu malaria melanda dataran Terai, tetapi kaum Tharu seolah-olah kebal terhadap penyakit itu yang menyerang kasta lebih tinggi dan dapat menikmati kehidupan yang baik.

Kamlari
Sebahagian daripada gadis kamlari yang diselamatkan 
dan dibebaskan daripada dunia perhambaan.

Tetapi apabila malaria dapat dihapuskan dari kawasan subur itu pada 1960, kaum Tharu yang menjadi mangsa apabila petani daripada kasta tinggi menyisihkan mereka. Akhirnya mereka hidup susah dan menjadi hamba di tanah sendiri.

Ramai ibu bapa miskin termasuk ibu bapa Manjita yang terpaksa menjual anak perempuan mereka untuk menjadi hamba domestik.

Kemiskinan ini yang akhirnya memantapkan budaya kamlari. Walaupun undang-undang sudah mengharamkan budaya ini pada 2006 tetapi ia masih berleluasa di seluruh Nepal.

Manjita sendiri menjadi gadis kamlari selama tiga tahun. Selama itu dia menahan penderitaan keganasan dan gangguan seksual, sebelum aktivis sosial dari Yayasan Belia Nepal berjumpa ayahnya dan menawarkan bantuan sokongan serta pendidikan untuk adik-beradik perempuan Manjita jika dia bersetuju menamatkan kontrak perhambaan mereka.

Hanya pada usia 12 tahun Manjita mula belajar menulis dan membaca. Kini mahasiswa perniagaan ini menjadi lebih yakin, ada keterampilan dan boleh bertutur dalam tiga bahasa.

Namun parut psikologi yang dialaminya ketika kecil terus melekat dalam dirinya. Ini membuatkan Manjita tekad untuk menjadi sukarelawan bagi membantu dan memperjuangkan hak gadis kamlari.

“Zaman kanak-kanak saya dirobek dan diragut. Itu saat yang paling buruk dalam hidup saya dan saya akan lakukan apa saja untuk menamatkan amalan yang tidak berguna ini. Saya mahu bebaskan gadis-gadis lain yang menerima nasib serupa,” katanya.

Sebenarnya budaya kamlari berasal dari barat daya Nepal dan ia masih bertahan kerana adanya permintaan daripada keluarga kaya.

Pegawai perundangan di Hak Asasi Manusia dan Perkhidmatan Sosial Kanak-kanak-Wanita Nepal (CWISH), Kamal Guragain menganggarkan ada sekurang-kurangnya 1,000 gadis kamlari di Nepal dan hampir separuh bekerja di Kathmandu.

Manjita
Manjita tekad mahu menghapuskan budaya kamlari di Nepal.

Sehingga kini tiada majikan yang dihukum kerana mengupah atau menganiaya gadis kamlari, walaupun Guragain menerima banyak gesaan untuk mendakwa majikan dan tuntutan supaya mangsa diberikan pampasan atau bayaran ganti rugi.

“Sampai sekarang kamlari masih wujud kerana majikan tidak didakwa atau dipenjarakan walaupun secara terang-terangan mereka melanggar undang-undang,” kata Guragain.

Insiden seorang gadis kamlari berusia 12 tahun meninggal dunia akibat terbakar ketika berada di rumah majikannya Mac tahun lalu, mencetuskan kemarahan banyak pihak yang menggesa kerajaan menghentikan amalan itu. Namun selepas hampir setahun berlalu, tidak banyak perubahan yang berlaku.

Ram Prasad Bhattarai, jurucakap Kementerian Wanita, Kanak-kanak dan Kebajikan Sosial sebaliknya berkata, aktivis kini terlalu provokatif dan mendesak menuntut hak.

“Kami sekarang memberi fokus kepada usaha memperkasakan gadis kamlari dengan menawarkan pendidikan dan peluang latihan sebagai jurusolek dan tukang jahit selepas kontrak mereka tamat. Tetapi kami tidak bercadang membuat serbuan dari rumah ke rumah di Kathmandu,” katanya.

Dalam satu serbuan yang dilakukan di Kathmandu, aktivis menyelamatkan seorang remaja, Jayarani Tharu, yang tidak ingat bila dia meninggalkan rumah keluarganya kerana sudah terlalu lama menjadi hamba domestik.

Majikannya yang menjalankan perniagaan perabot dan restoran membayar 6,000 rupee (RM192) setahun kepada bapanya. Ketika aktivis membantu Jayarani mengemas barang-barangnya, isteri majikannya, Ramba Uprety menangis teresak-esak.

“Saya melayannya seperti anak sendiri. Sebab itu saya tidak rasa bersalah,” kata Uprety.

Jayarani sendiri mengakui majikannya adalah orang baik, tidak pernah berkasar atau melakukan keganasan terhadapnya. Bagaimanapun, hatinya tetap terkilan setiap kali melihat guru datang ke rumah untuk mengajar dua anak majikannya, sedangkan dia terpaksa bertungkus-lumus menyelesaikan tugasan di rumah berkenaan.

“Mulanya saya sedih juga tidak dapat ke sekolah, tapi lama-kelamaan sudah jadi biasa. Saya selalu fikir, mereka bayar untuk saya buat kerja, bukan belajar. Kini saya tidak tahu apa saya boleh lakukan perubahan dalam hidup ini. Saya sudah hilang banyak masa,” katanya sedih. -AFP

BACA INI JUGA: Kanak-kanak Paling Berani Dalam Sejarah

Monday, January 27, 2014

Minum Susu Anjing Kerana Terlalu Miskin

Minum Susu Anjing Kerana Terlalu Miskin

Apabila manusia itu dibelenggu kemiskinan, apa sahaja cara akan digunakan demi untuk mencari makanan untuk mengenyangkan perut yang sedang lapar.

Shakil Ahmed Minum susu Anjing

Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di Bangladesh, menjadikan ruang internet gempar apabila fotonya sedang meminum susu dari seekor ibu anjing tersebar luas.

Kejadian itu berlaku di sebuah daerah di bahagian utara Bangladesh yang dikenali sebagai Gaibandha.

BACA INI JUGA: Masyarakat Yang Hidup Dalam Timbunan Sampah

Shakil Ahmed dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin dan dia sering kelaparan apabila ibunya meninggalkannya di rumah untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Tabiat Shakil bermula dengan meminum susu daripada ibu anjing peliharaannya sendiri, walaupun ditegur ibu bapa dan jiran, Shakil tetap melakukannya.

Biarpun kini, anjing peliharaannya itu telah mati, Shakil masih tidak dapat berhenti daripada meminum susu anjing.

Dia kini meminum susu anjing daripada ibu anjing yang ditemuinya di jalanan.

Ibu Kesal Diarah Susukan Anak Dalam Tandas

Leanna Donaldson Dennis, 18

Sementara itu, seorang ibu muda, Leanna Donaldson Dennis, 18, kesal apabila dia diarahkan untuk menyusukan bayinya di dalam tandas orang kurang upaya (OKU) sewaktu berada di Restoran Singapore Buffet Express di Clydebank, West Dunbartonshire, Scotland, baru-baru ini.

Dia yang pada ketika itu sedang menikmati makanan tengahari bersama rakannya memohon kebenaran dari pengurus restoran tersebut untuk menyusukan Pete yang berusia dua bulan.

“Bayi saya jelas kelaparan dan saya bertanya kepada pengurus tersebut, adakah saya boleh duduk di satu sudut untuk menyusukan Pete. Tetapi, dia berkata ‘tidak’ dan mengarahkan seorang pekerjanya untuk membawa saya ke tandas OKU.

“Saya berada di situ selama 20 minit dan kemudiannya keluar kerana merasakan keadaan sangat tidak bersih untuk menyusukan Pete. Kami kemudiannya membayar bil tanpa menghabiskan makanan dan menuju ke pusat membeli-belah Clyde yang lebih ‘mesra’ kepada ibu seperti saya,” ujarnya.

Di negara itu, adalah menjadi hak seorang ibu untuk menyusukan bayi di bawah usia dua tahun di tempat awam dan sebarang percubaan untuk menghalangnya dikira sebagai kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, pengurus restoran tersebut kemudiannya menjelaskan kejadian tersebut hanyalah salah faham dan memohon maaf atas perkara itu.

BACA INI JUGA: Penemuan Saintifik Susu Ibu Bukti Kebenaran Al-Quran

Sumber: Clydebankpost/Mynewshub

Thursday, January 09, 2014

Lelaki Budiman Bunuh Diri Angkara Orang BODOH!

Lelaki Budiman Bunuh Diri Angkara Orang BODOH!

Seorang lelaki yang sepatutnya diberi penghargaan kerana membantu mangsa langgar lari, dilaporkan membunuh diri kerana dituduh bertanggungjawab menyebabkan kemalangan berkenaan.

Bunuh diri

Tidak cukup dengan itu lelaki terbabit juga dituntut membayar pampasan kepada mangsa kemalangan itu.

Media tempatan semalam melaporkan Wu Weiqing, 46, dari Dongyuan di wilayah Guangdong, terlihat seorang lelaki warga emas yang cedera dilanggar ketika menaiki motosikalnya pada malam tahun baru lalu.

Isterinya berkata, Wu membantu mangsa malah membawa lelaki terbabit ke klinik berhampiran serta membayar yuran perubatan berjumlah 3,500 yuan (RM1,894).

“Wu terkejut apabila dia pula dituduh melanggar mangsa dan didesak membayar ganti rugi dalam jumlah yang tinggi,” katanya.

(Baca: Pengantin Wanita Silap Tiduri Pengapit Lelaki Di Malam Pertama)

Anak perempuannya, Wu Haiyan memberitahu bapanya memaklumkan keluarga mangsa menuntut wang untuk ‘yuran perubatan.’ “Ayah menghubungi saya mengatakan rasa tertekan dan lebih rela mati daripada terus diganggu.

“Ayah terkilan apabila orang yang dibantu menyusahkannya pula,” katanya.

Dalam keadaan tertekan, kata Haiyan, Wu memilih untuk membunuh diri bagi membuktikan dia tidak bersalah,” katanya. Mayat Wu ditemui dalam kolam berhampiran bandar itu beberapa jam kemudian.

Sementara itu, keluarga warga emas berkenaan menafikan mereka menuntut jumlah ganti rugi terlalu tinggi.

Anak sulung lelaki terbabit juga mempertikaikan mengapa Wu membawa bapanya ke hospital.

“Jika bukan dia yang mencederakan ayah saya, kenapa pula dia bersusah payah membawanya ke hospital dan membayar kos perubatannya?” soalnya. -AFP

Monday, January 06, 2014

 Keluarga Melayu Terpaksa Kongsi Hidup Dengan Ayam!

Keluarga Melayu Terpaksa Kongsi Hidup Dengan Ayam!

“Saya tidak tahu apa nasib kami sekeluarga esok kerana tanah di tepi tali air tempat kami berteduh ini pun milik orang lain.”

Keluarga Melayu Terpaksa Kongsi Hidup Dengan Ayam!

Demikian kata Azman Ahmad, 44, isteri serta anak perempuannya yang terpaksa menumpang teduh di sebuah bangsal buruk di pinggir sawah di Kampung Behor Mentaloon, di sini, selepas terpaksa keluar dari rumah pusaka keluarganya berikutan selisih faham, dua tahun lalu.

Malah, nasib Azman pada hari mendatang juga tidak menentu kerana mendakwa pemilik tanah tempat mereka menumpang juga pernah meminta mereka keluar dari situ.

Selain tinggal di bangsal yang buruk dan tidak berdinding, Azman serta isteri, Noor Azah Abdullah, 43, serta anak perempuan mereka, Nur Fatiha, 16, terpaksa berkongsi hidup dengan ayam kampung yang turut berteduh di situ.

(Baca: Adakah Anda Memiliki Budi Pekerti Dan Menghormati Orang Lain?)

Malah, sudut yang dijadikan ruang memasak di pondok itu juga hanya berlantai pasir dan berselut selain tompokan najis ayam.

Nur Fatiha yang juga satu-satunya anak mereka tidak lagi bersekolah selepas Azman tidak mampu menampung perbelanjaan harian keluarga, gagal menyediakan belanja persekolahan.

Azman berkata, pendapatannya RM200 sebulan hasil mengutip dan menjual barang lusuh dan mengambil upah menabur baja padi tidak cukup untuk menyara keluarga dan menyekolahkan anaknya.

“Di sinilah kami mandi, tidur, tukar baju malah masak pun atas tanah, Kami makan sekali saja sehari, iaitu pada waktu tengah hari, itu pun nasi lauk ikan kering. Kalau ada rezeki lebih boleh kami beli sayur dan ikan,” katanya.

Ditanya mengenai anak perempuannya, Azman berkata Nur Fatiha sudah lama tidak ke sekolah kerana kesempitan wang dan kali terakhir anaknya itu ke sekolah ialah ketika belajar di Tahun Enam.

“Kami bernasib baik sebab ada juga orang kampung yang datang membantu, ada yang bagi beras, perkakas dapur, sekurang-kurangnya ringan sikit beban kami sekeluarga,” katanya.

Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi mengesahkan keadaan keluarga terbabit sememangnya berada dalam pemerhatian mereka dan pihaknya kini sedang menyiapkan laporan mengenai bentuk bantuan yang bersesuaian untuk disalurkan.

Sumber: Berita Harian

Monday, December 16, 2013

Lelaki Sanggup Curi Kain Kapan Nak Jadi ‘Superman’!

Lelaki Sanggup Curi Kain Kapan Nak Jadi ‘Superman’!

Misteri pembongkaran beberapa kubur di daerah di Jawa Timur ini akhirnya terjawab apabila polis Cilacap menahan seorang pemuda yang mengaku ingin belajar terbang seperti Superman dan menjadi halimunan.

Resi Rookiswana @ Pamungkas
Resi dan kain kafan yang dicurinya.

Resi Rookiswana @ Pamungkas mengaku memerlukan kain kafan dari sejumlah kubur atas arahan seseorang bernama ‘ratu’ untuk menguasai ilmu itu.

“Ini untuk dibuat ilmu terbang. Saya sendirian mengambil kain kafan di kubur atas arahan ratu di Srandil,” katanya.

Antara mangsa Resi ialah Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini. Resi didakwa memenggal kepala mayat Endah selepas membongkar kubur anak dara itu.

(Baca: Kenapa Rakyat Indonesia Marah Di Panggil INDON?)

Lelaki itu semalam berdegar-degar mengakui mampu menghilangkan diri, namun apabila diminta polis menunjukkan bakatnya itu dia sekadar ketawa dan memberi alasan cuma boleh melakukannya di tempat sunyi.

“Saya mampu menghilangkan diri, tahu-tahu sudah berada di tempat lain.

“Bukan sebarang orang boleh buat begitu,” dakwanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Cilacap AKP Agus Turyadi berkata, pihaknya menahan suspek selepas mengekorinya beberapa jam.

“Kami mengekorinya sepanjang malam sebelum menahannya di tepi landasan kereta api.

“Bahan bukti termasuk peralatan digunakannya juga dirampas di situ berikutan tempat itu dijadikan rumahnya,” katanya.

(Baca: Pelik! Tradisi Membiarkan Mayat Reput Dibawah Pokok)

Menurutnya, polis merampas tulang tangan, rusuk, baju dan tali kain kafan milik seorang bayi yang juga diselongkar kuburnya.

Batu dan senjata tajam turut ditemui di rumah suspek.

Sementara itu, ketika dibawa ke balai polis, keluarga wanita yang kuburnya dibongkar suspek menyerang Resi.

Bagaimanapun mereka berjaya dihalang anggota polis bertugas.

Menurut Agus, Resi pernah dipenjara pada 2010 dan 2012 kerana mencuri motosikal. -Agensi

Friday, December 06, 2013

Wanita Ditangkap Selepas Menelefon Polis 15,000 Kali!

Wanita Ditangkap Selepas Menelefon Polis 15,000 Kali!

Polis Jepun semalam berkata, mereka menahan seorang wanita kerana menghubungi pihak berkuasa itu lebih 15,000 kali sepanjang tempoh enam bulan.

Woman arrested after calling police 15,000 times
Gambar hiasan.

Pihak berkuasa berulang kali mengunjungi kediaman wanita berusia 44 tahun itu dan memintanya agar menghentikan perbuatannya berkenaan.

Polis akhirnya terpaksa menahan wanita terbabit apabila pujukan itu tidak diendahkan.

Pegawai polis di Sakai, dekat Osaka berkata, wanita terbabit membuat 927 panggilan kecemasan dalam sehari dan perbuatannya mengganggu tugas polis.

Woman arrested after calling police 15,000 times

“Kami pergi ke kediamannya 60 kali untuk memujuknya agar tidak menghubungi kami lagi tetapi gagal.

“Akhirnya kami tidak mempunyai pilihan kecuali menahannya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pegawai polis itu berkata mereka percaya wanita terbabit mengalami kesunyian melampau.

Wanita itu menghadapi tuduhan mengganggu tugas polis yang jika disabitkan bakal berdepan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda 500,000 yen (RM15,815). -AFP

Sunday, December 01, 2013

Penjara Yang Membenarkan Anak Dan Isteri Tinggal Bersama!

Penjara Yang Membenarkan Anak Dan Isteri Tinggal Bersama!

Penjara San Pedro adalah penjara terbesar di La Paz, Bolivia dengan tahanan seramai 1,500 di dalamnya.

Penjara San Pedro

Namun, apa yang membuatkannya unik bukanlah kerana jumlah banduan di dalamnya tetapi kerana banduan di penjara ini dibenarkan untuk menjalankan kerja mereka atau bekerja di dalam penjara.

Malah, Penjara San Pedro mempunyai undang-undangnya sendiri, tanpa warden di dalamnya!.

Banduan di penjara San Pedro tinggal di dalam penjara yang mempunyai komuniti persekitaran tersendiri.

Sama seperti kehidupan biasa di luar penjara, di dalam penjara San Pedro terdapat restoran, pasar, pasar raya, salon rambut, malah hotel yang diuruskan sendiri oleh para banduan.

Banduan juga boleh mengajak keluarga mereka, isteri dan anak-anaknya untuk tinggal di dalam penjara bersama mereka.

Warden di Bolivia tidak akan campur tangan walau apapun yang terjadi antara para banduan di dalam penjara.

Seorang banduan akan dipilih secara demokrasi dan menjadi pemimpin di penjara San Pedro. Anda juga tidak akan menemui banduan yang tinggal di dalam bilik jeriji besi.

Namun, di dalam penjara ini, para tahanan perlu membayar untuk sel mereka tidak kira betapa kecil dan kotornya sel yang mereka diami.

Penjara San Pedro terbahagi kepada 8 sektor, dari yang paling kotor hinggalah yang paling mewah untuk didiami.

Banduan yang sanggup membayar dengan harga yang mahal boleh tinggal di bahagian yang mewah dalam penjara ini.

Di ruangan penjara yang mewah, para banduan boleh tinggal di dalam sel yang selesa yang dilengkapi dengan bilik mandi, dapur, TV kabel, malah jacuzzi dengan bayaran yang mahal.

Banduan yang ingin tinggal di dalam sel mewah seperti ini perlu membayar kira-kira USD$1,000 hingga USD$1,500 sepanjang penahanan mereka. Namun, ramai juga banduan miskin yang tinggal beramai-ramai dalam sebuah sel.

Banduan yang tidak memiliki wang dibenarkan bekerja seperti biasa supaya mereka mempunyai wang untuk terus tinggal di dalam penjara.

Makanan juga tidak disediakan oleh pihak penjara, jadi banduan perlu membelinya sendiri di dalam penjara ini.

Oleh kerana itu, ada banduan yang membuka kedai makan dan ada juga yang menjalankan perkhidmatan sebagai pendandan rambut atau tukang kayu. Yang lain bekerja di bawah kendalian banduan lain sebagai pekerja untuk mendapat gaji.

Kita tidak akan menyangka bahawa penjara ini adalah sebuah penjara kerana di dalamnya para banduan lelaki bekerja dan menjalankan rutin biasa, manakala isteri akan mengurus rumah tangga mereka malah kanak-kanak bebas berkeliaran di dalamnya.

Satu data menunjukkan, kira-kira 200 kanak-kanak tinggal dengan ayah mereka yang menjadi banduan di dalam penjara San Pedro.

Penjara San Pedro

Ramai yang menganggap bahawa penjara San Pedro bukanlah persekitaran yang sesuai untuk membesarkan anak-anak. Namun, keluarga mereka sebaliknya mengatakan bahawa kehidupan mereka lebih baik di dalam penjara daripada hidup di jalanan kerana diskriminasi masyarakat.

Tapi jangan anggap bahawa tinggal di dalam penjara San Pedro sentiasa aman dan damai. Banduan di dalamnya saling mencuri harta banduan lain, malah sanggup membunuh jika berlaku pergaduhan antara mereka.

Keunikan penjara ini pernah menjadi perhatian pelancong dari seluruh dunia sehinggakan penjara San Pedro menjadi tarikan pelancongan di Bolivia.

Dengan membayar 250 peso, para pelancong boleh melawat penjara ini. Malah, banduan sendiri yang akan menguruskan pelawat yang berkunjung.

Namun, ada pihak yang mengatakan bahawa pekara ini telah diambil kesempatan oleh beberapa pihak untuk menjual beli dadah.

Oleh kerana itu, sejak tahun 2009 tidak ada lagi pelancong yang dibenarkan melawat ke dalam penjara San Pedro.

Walau bagaimanapun, banduan tetap dibenarkan mengajak keluarga mereka tinggal di dalamnya bersama mereka.

-Sentiasapanas.com

Sengaja Rompak Bank Kerana 'Rindukan' Penjara!

Sengaja Rompak Bank Kerana 'Rindukan' Penjara!

Seorang lelaki tua di Illinois, Amerika Syarikat sengaja merompak bank supaya dimasukkan semula ke penjara. Lelaki yang pernah dipenjarakan ini, mengaku rindu dengan kehidupan di penjara.

Walter Unbehaun

Walter Unbehaun pernah dipenjarakan pada tahun 1963 atas pelbagai tuduhan jenayah.

Bermula dengan rompakan bank, mencuri kereta, merompak rumah orang dan kekerasan bersenjata.

Media tempatan, NBC seperti dilaporkan news.com.au, (25/11/2013), menyebutkan, Unbehaun tidak bahagia dengan kehidupannya sebagai manusia bebas. Dia dia nekad melakukan rompakan di salah sebuah bank di Illinois, awal tahun ini.

Dokumen perbicaraan menyebutkan, Unbehaun mendatangi juruwang bank dan memintanya untuk memberikan semua wang yang ada.

"Ini rompakan bersenjata. Saya tidak takut kehilangan apa-apa. Berikan saya wang yang ada di laci," ucap Unbehaun ketika melakukan rompakan.

Lelaki berumur 73 tahun ini membawa sebuah pistol yang diselitkan di pinggangnya.

"Saya hanya mempunyai masa 6 bulan untuk hidup dan saya tidak akan kehilangan apa-apa. Saya tidak mahu mencederakan anda," menurut kenyataan Unbehaun yang dipetik dari dokumen perbicaraan.

Unbehaun berjalan ke bank tersebut dengan menggunakan alat bantu jalan yang digunakannya sejak dia menjalani pembedahan tulang pinggul.

Sejak awal, menurut polis, Unbehaun memang berniat untuk ditangkap polis. Sehari selepas kejadian, dia ditangkap polis di sebuah motel di Chicago oleh agen FBI dan polis.

Dalam perbicaraan, pendakwaraya menuntut Unbehaun dijatuhkan hukuman 6-8 tahun penjara. Hukuman tersebut dianggap mampu memberikan kesan penghalang kepada Unbehaun.

"Adakah sistem tidak berlaku bagi Unbehaun. Kita tidak tahu. Tapi, yang kita tahu secara pasti adalah Unbehaun sama sekali tidak berniat untuk menjalani kehidupan tanpa melanggar undang-undang di luar penjara," ucap pendakwaraya, Sharon Fairley.

Perbicaraan Unbehaun disambung bulan depan.

Sumber: News.detik.com

Saturday, November 30, 2013

Pasangan Suami Isteri Bahagia, Rupanya Adik-Beradik!

Pasangan Suami Isteri Bahagia, Rupanya Adik-Beradik!

Dek kerana kesilapan 20 tahun lalu, sepasang suami isteri yang bahagia melayari rumah tangga terpaksa menerima berita yang menghancurkan hati masing-masing, rupa-rupanya mereka adik beradik!

Wei and Qing Chinese Couple

Kisah yang bagai dalam drama ini berlaku di wilayah Jiangxi, China. Wei dan Qing, yang menetap di pekan sama tinggal berdekatan dan saling mengenali. Wei berusia empat tahun lebih muda daripada Qing.

Mereka mula berkenalan seterusnya mengikat cinta juga bagai dalam drama cinta. Segala-galanya bermula apabila kawan-kawan sering mengejek mereka berdua kerana mempunyai wajah seiras.

Daripada situ Qing sering mengambil berat tentang Wei hingga mereka sama-sama jatuh cinta. Hubungan yang terjalin sejak alam remaja itu berjalan dengan baik hingga mereka memutuskan untuk berkahwin tahun lalu.

Sesudah berkahwin pun, kawan-kawan dan orang sekeliling masih tidak dapat berhenti daripada menegur wajah mereka sangat seiras.

Perkara itu tidak dipedulikan dan mereka hidup bahagia sebagai suami isteri.

Hinggalah baru-baru ini, Qing dan Wei akhirnya memutuskan mereka sudah bersedia untuk menimang cahayamata.

Saat berita gembira ini dikongsikan dengan keluarga, bapa Qing, Bao mula menunjukkan rasa tidak selesa dan bersikap pelik.

Akhirnya dia membuka rahsia yang selama ini menekan jiwa iaitu Wei kemungkinan besar adalah anak kandungnya juga.

Ini kerana dia pernah menjalinkan hubungan sulit dengan mendiang ibu Wei, 20 tahun dulu.

Hubungan itu hanya terhenti selepas dia berkahwin dengan ibu Qing.

Berita ini mengejutkan Wei dan Qing lalu mereka mengambil keputusan untuk melakukan ujian DNA dengan harapan ia tidak memberitahu mereka sesuatu yang sukar diterima akal.

Tapi seperti dijangka, keputusan mengesahkan mereka adalah adik beradik.

Dr. Huang Jian dari Pusat Forensik Furong mengesahkan keputusan DNA Wei dan Qing kepada media tempatan, 20 November lalu.

Begitu pun, dia menyatakan tidak tahu apakah penyelesaian yang akan dilakukan pasangan suami isteri muda yang sangat menyayangi satu sama lain itu.

Kasihan, inilah sebabnya mengapa zina diharamkan.

Ia membawa akibat yang amat buruk bukan saja pada diri sendiri tapi juga keturunan.

[Sumber]

Thursday, November 28, 2013

Baru 13 Tahun Sudah Jadi Janda!

Baru 13 Tahun Sudah Jadi Janda!

Kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulangtahun pertama perkahwinan, pasangan muda Nor Fazira Saad, 13 dan Mohd Fahmi Alias, 20, disahkan bercerai dengan talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim.

Nor Fazira Saad, 13 dan Mohd Fahmi Alias, 20

Nor Fazira berusia 12 tahun ketika dinikahkan dengan pasangannya, Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 20 tahun.

Memetik laporan Harian Metro, bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 43, berkata, beliau menerima kenyataan berkenaan walaupun pahit dan menganggap bukan jodoh anaknya untuk kekal di alam perkahwinan.

Saad turut memberitahu bahawa dia tidak mengetahui punca sebenar keretakan rumah tangga anaknya itu kerana Nor Fazira tidak banyak bercakap mengenai nasib yang menimpa dirinya.

Buat masa ini, Nor Fazira tinggal bersama bapa saudaranya di Padang Serai supaya jiwanya kembali tenang.

Harian Metro turut melaporkan kegagalan untuk menghubungi keluarga Mohd Fahmi untuk mendapatkan maklum balas.

Nor Fazira mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

Majlis pernikahan pasangan itu dilangsungkan di Masjid Kampung Padang Cina dengan mas kahwin RM1,500 serta wang hantaran RM4,552 pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin pada 2012 dan Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan terbabit.

Ia merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim dan mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Sumber: Awani

Wednesday, November 06, 2013

Lagi Pelajar Terjun Dari Bangunan Selepas Di Denda Cikgu!

Lagi Pelajar Terjun Dari Bangunan Selepas Di Denda Cikgu!

Berdasarkan rakaman CCTV, seorang kanak-kanak di Chengdu, China bernama Junjun pulang ke pangsapuri rumahnya seperti biasa pada petang, 30 Oktober lalu.

Pelajar Bunuh Diri

Dia dilihat berjalan perlahan-lahan menuju elevator dengan menundukkan kepala dan memakai beg sandang belakang.

Bagaimanapun kanak-kanak itu tidak menekan butang lima di mana rumahnya berada sebaliknya menunggu hingga tingkat 30 sebelum keluar.

20 minit kemudian, penghuni pangsapuri tersebut mendengar bunyi dentuman kuat seperti kemalangan kereta.

(Baca: Pelajar Maut Selepas Guru Arah Terjun Dari Tingkat 10!)

Ia adalah Junjun, yang terjun dari tingkat 30 lalu mati serta merta.

Di lantai tingkat di mana Junjun nekad mengakhiri riwayatnya, terkapar beg sandang belakang yang dibawa kanak-kanak itu ke sekolah setiap hari.

Sebuah buku teks bagaimanapun kelihatan terbuka di sisi beg tersebut dengan tertulis nota untuk cikgunya.

Pelajar Bunuh Diri

Rupa-rupanya, sebuah hukuman biasa yang diberikan seorang guru di sekolah benar-benar mempengaruhi emosi Junjun hingga dia tergamak mengambil jalan sesingkat itu.

Menurut gurunya ketika sesi persekolahan hari tersebut, Junjun dan lebih sepuluh murid lain telah membuat bising ketika satu pertandingan membaca diadakan.

Sebagai hukuman, murid-murid itu dberikan dua denda untuk dipilih iaitu berdiri selama sejam atau menulis sebanyak 1,000 patah perkataan yang mengutuk diri sendiri.

Pelajar Bunuh Diri

Junjun memilih hukuman kedua namun menangis sebelum pulang dan bertanya bagaimana jika dia tidak mampu menyiapkannya.

Siapa sangka, persoalan itu terlalu membebani fikirannya hingga dia menulis di nota akhir sebelum terjun, “Cikgu, saya tak dapat buat.”

Sumber: China Smack

Friday, November 01, 2013

Pelajar Maut Selepas Guru Arah Terjun Dari Tingkat 10!

Pelajar Maut Selepas Guru Arah Terjun Dari Tingkat 10!

Seorang budak lelaki di China berusia 10 tahun maut selepas bertindak terjun dari bangunan setinggi 30 tingkat kerana gagal menulis karangan kritikan terhadap dirinya sendiri seperti yang diminta oleh gurunya, lapor media tempatan kelmari.

Chinese boy, 10, jumps to death 'on teacher's order'
Gambar hiasan.

Pelajar sekolah rendah itu telah diarahkan untuk mengarang permohonan maaf sepanjang 1,000 perkataan oleh gurunya atas kesalahan berbual dalam kelas, lapor China National Radio ( CNR ) yang memetik kata jiran kepada budak terbabit.

Guru itu didakwa mengarahkan budak tersebut melompat keluar dari bangunan selepas dia gagal untuk menyelesaikan tugas seperti yang diminta.

Dalam salah satu daripada buku teksnya turut ditemui nota, 'Cikgu, saya tidak boleh melakukannya. Saya cuba untuk mengelak beberapa kali apabila saya diarahkan untuk cuba melompat dari bangunan itu."

Kanak-kanak itu kemudiannya terjun dan menghempap sebuah kereta, berdekatan dengan tempat keluarganya tinggal, lapor West China City News.

Ibu bapa kanak-kanak terbabit dan saudara-maranya telah mengadakan satu perarakan tunjuk perasaan dengan membawa sepanduk di luar pekarangan sekolah tersebut di bandar Chengdu. Sepanduk itu bertulis: 'Guru paksa anak kami terjun bangunan'.

"Siasatan polis masih dijalankan," kata seorang pegawai ibu pejabat polis Jinjiang yang enggan mengulas lanjut.

Disiplin yang ketat dikenal pasti menjadi ciri yang paling penting bagi sistem pendidikan China sementara aspek budaya dan tradisi yang menuntut penghormatan terhadap pendidik seperti guru telah meletakkan kanak-kanak dalam keadaan tertekan. -AFP

Tuesday, October 29, 2013

Video Kebodohan Panglima Kapal Perang AS!

Video Kebodohan Panglima Kapal Perang AS!

Melihat kelengkapan dan senjata lengkap tentera Amerika Syarikat (AS) sudah cukup untuk membuatkan musuh berasa gerun.

AS Navy Ship

Atas dasar itulah ada di kalangan mereka yang berasa bangga dan angkuh dengan kehebatan yang mereka miliki.

Video perbualan pegawai kapal perang AS dengan individu yang disangka berada di kapal lain nyata menggambarkan kesombongan mereka.

Kononnya, tidak ada kapal lain yang boleh menyekat perjalanan kapal perang yang ‘maha hebat’ ini.

Saksikanlah sendiri..



Hasilnya, memang memalukan kerana apa yang disangka kapal lain itu rupanya hanya sebuah rumah api.

Sumber: Mynewshub

Thursday, October 17, 2013

Tulang Muka Terpaksa Diganti Besi Titanium Akibat Dibelasah Polis!

Tulang Muka Terpaksa Diganti Besi Titanium Akibat Dibelasah Polis!

Tulang muka seorang wanita hancur apabila dia ditolak secara membabi buta oleh seorang anggota polis lelaki yang sedang bertugas pada ketika itu.

Cassandra Feuerstien, 47

Wanita itu yang berasal dari Chicago, Amerika Syarikat, Cassandra Feuerstien, 47, telah ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Seperti biasa, menerusi video berdurasi empat minit dua puluh lima saat itu, Cassandra telah dibawa ke lokap dan menjalani sesi soal siasat.

Kemudian ketika ingin kembali ke sel lokapnya, anggota polis tersebut telah menolaknya dengan kuat sehingga mukanya tersembam pada kerusi konkrit yang ada di situ.

Akibat insiden tersebut, doktor menyatakan tulang mukanya patah teruk serta tidak dapat diperbetulkan dan perlu diganti dengan besi titanium.



Sungguh pun wanita itu melakukan kesalahan, anggota polis tersebut tidak sepatutnya memperlakukan pesalahnya sedemikian rupa sebaliknya perlu menerapkan ciri-ciri profesionalisme dalam menjalankan tugasan hariannya.

Sumber: Mynewshub

Monday, October 14, 2013

Pengantin Wanita Silap Tiduri Pengapit Lelaki Di Malam Pertama

Pengantin Wanita Silap Tiduri Pengapit Lelaki Di Malam Pertama

Seorang pengantin perempuan di China yang ingin menyambut perkahwinannya dengan mengadakan seks pada awal pagi selepas majlis itu berlangsung terkejut apabila menyedari lelaki di atas katil bukan suaminya, tetapi pengapit pengantin lelaki.

Seks Malam pertama
Gambar hiasan.

Bagaimanapun, tak ada gunanya dia menyesal kerana benda sudah terjadi, lapor akhbar Xinhua.

Pengantin perempuan itu yang dikenali sebagai Huang, dikatakan pergi ke bilik mandi pada awal pagi selepas malam majlis perkahwinan.

Dia dengan seronok kembali ke bilik yang disangka biliknya dan mula meraba lelaki berkenaan yang disangka suaminya.

Sebenarnya lelaki itu ialah pengapit suaminya ketika majlis perkahwinan mereka dan dia tidak menyedari bahawa dia sudah mengadakan seks hinggalah sejurus selepas hari mula cerah.

“Tolong! Tolong, saya dirogol,” jerit wanita itu sebaik menyedari kesilapannya.

Semua penghuni rumah berkenaan mengelilinginya dan selepas perbahasan hangat, mereka memutuskan cadar kotor keluarga itu tidak boleh dibasuh secara terbuka dan pengapit terbabit perlu membayar pampasan kepada pengantin baru itu sebanyak 20,000 yuan.

Keputusan itu bagaimanapun dibantah pengapit terbabit yang mendakwa dia tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak mempunyai wang untuk diberikan kepada pasangan pengantin itu.

Pasangan berkenaan kemudian mengheretnya ke balai tetapi polis enggan menyiasat kes itu kerana berpendapat apa yang berlaku tidak mencapai tahap merogol.

Kerana kecewa, mereka kemudian memfailkan tuduhan rogol terhadap lelaki itu di Mahkamah Rakyat Bandar Napo.

Bagaimanapun, mahkamah juga menolak kes itu dengan berkata, tidak ada keganasan atau paksaan digunakan oleh pengapit berkenaan. -Agensi

BACA INI JUGA: Sejarah Hitam Selebriti Hollywood Yang Cuba Di Sembunyikan

Thursday, September 12, 2013

Wanita Malaysia Jadi Mangsa Diskriminasi Kerana Mengalahkan 10 Peserta Lelaki!

Wanita Malaysia Jadi Mangsa Diskriminasi Kerana Mengalahkan 10 Peserta Lelaki!

Peserta wanita ke angkasa lepas menjadi mangsa terbaru diskriminasi gender di Malaysia hanya kerana mempunyai kelebihan daripada peserta lelaki, susulan kejayaan Roshini Muniam melayakkan diri ke peringkat lima peserta akhir dalam pertandingan AXE Malaysia.

Pertandingan AXE Malaysia

Kontroversi diskriminasi ke atas wanita Muslim yang menyertai pertandingan ratu cantik pada Jun lalu mendapat perhatian umum, namun Roshini atau nama mesranya Rose juga menerima kesan sama apabila menerima kritikan hebat dalam Facebook selepas berjaya mengatasi 10 peserta lelaki lain dalam pertandingan tersebut.

Siswazah daripada Universiti Malaya itu dikritik pelbagai komen negatif dalam laman Facebook (https://www.facebook.com/AXEmalaysia), antaranya menggesa beliau menyertai pertandingan ratu cantik kerana ia sesuai untuk wanita.

"Banyak lagi competition untuk female only kat luar tu lady.. Don't ruin what's intended or most considered to be men only chance? Ini pertandingan je pun, beauty pageant untuk prempuan saja cuba ada lelaki try nak masuk... kecoh sedunia," komen salah seorang penggendali akaun Facebook dengan nama Geeky Fredward.

Seorang lagi penggendali akaun Facebook bernama Syed Wazien juga mempersoalkan penyertaannya, berkata: "What - a woman?! No way, hose!!!"

Pertandingan tersebut merupakan misi untuk mencari wakil Malaysia ke kem angkasa lepas di Florida, dimana wakil daripada 150 negara akan bersaing satu sama lain untuk merebut peluang ke ruang angkasa komersil.

Bagaimanapun, graduan dalam jurusan Bahasa Inggeris tersebut tidak lemah semangat sebaliknya berhasrat untuk membuktikan wanita juga mampu berjaya.

"Batu dan kayu mungkin mematahkan tulang saya, tapi kata-kata tidak akan melukakan saya.

"Saya akan buat yang terbaik untuk memenangi pertandingan ini kerana saya mahu menjadi inspirasi kepada orang biasa untuk memiliki impian dan matlamat," kata Roshini yang dipetik dalam laman Facebooknya.

Isu diskriminasi gender, ataupun seksis sering diperkatakan di Malaysia malahan di Parlimen juga telah diluluskan supaya mana-mana ahli Parlimen tidak mengeluarkan kata-kata seksis ketika perdebatan.

Antara kes-kes seksi yang mendapat perhatian umum ialah pada Mac 2011, apabila Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin berkata semasa debat dalam meluluskan Akta Perbekalan: “Bila wanita membawa kereta perlahan, mereka tidak sedar keadaan trafik. Apabila kita menghon kepada mereka, mereka jadi marah dan tunjuk isyarat tangan kepada pemandu lain”.

Selain itu, pada tahun 2007, ketika perdebatan hangat di Dewan Rakyat dengan ahli parlimen pembangkang tentang kebocoran bumbung di Parlimen, Bung Mokhtar berkata: “Mana ada bocor? Batu Gajah pun bocor tiap-tiap bulan juga.”

Pada April 2011, ahli Parlimen Pasir Mas pada ketika itu Datuk Ibrahim Ali mendakwa isteri punca suami menjadi curang, dengan berkata: “Apabila suami memerlukan si isteri dan si isteri sedang memasak, si isteri akan berkata, tunggu sekejap, saya sedang memasak. Dalam perspektif Islam, isteri harus memberi prioriti kepada keperluan suami”.

Pada April 2006, Abdul Fatah Harun (PAS-Rantau Panjang) berkata bahawa kebanyakan janda adalah miang.

Baru-baru ini, empat peserta pertandingan ratu cantik dihalang daripada menyertai pertandingan ratu cantik kerana melanggar fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang diwartakan pada 8 Februari 1996.

[Sumber]