Friday, August 17, 2018

Keberkatan Puasa Sunat Tarwiyah Dan Arafah Pada 8, 9 Zulhijjah

Keberkatan Puasa Sunat Tarwiyah Dan Arafah Pada 8, 9 Zulhijjah

Pada sepuluh hari pertama Zulhijjah disamping memperbanyakkan berzikir, istighfar, doa dan sedekah, digalakkan juga mengerjakan puasa yang mana berpuasa setiap hari daripada 10 Zulhijjah seolah-olah berpuasa setahun dan berdiri mengerjakan solat setiap malam daripadanya sebanding dengan solat di malam Lailatulqadar.

Keberkatan Puasa Sunat Tarwiyah Dan Arafah Pada 8, 9 Zulhijjah

Rasulullah SAW bersabda, “Tiada sebarang hari pun yang lebih disukai Allah dimana seorang hamba beribadat di dalam hari-hari itu daripada ibadat yang dilakukannya di dalam 10 hari Zulhijah. Puasa sehari di dalam hari itu menyamai puasa setahun dan qiamulail (menghidupkan malam) di dalam hari itu seumpama qiamulail setahun.”

Diriwayatkan dari Ibn Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Tiada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW, “Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah, di Hari Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)

Rasulullah SAW bersabda, “Celakalah orang yang tidak mendapat bahagian kebaikan dalam hari-hari sepuluh, jagalah terutama berpuasa pada hari kesembilan Zulhijjah sebab ia mengandungi kebaikan (keuntungan) yang lebih banyak dari apa yang dapat dihitung oleh ahli hitung.” (Riwayat Abu Dardaa.)

HARI PERISTIWA KELEBIHAN PUASA

1 Zulhijjah

Allah mengampuni Nabi Adam di Arafah. Sesiapa yang berpuasa pada hari ini, Allah mengampuni dosanya.

2 Zulhijjah

Allah telah mengabulkan doa Nabi Yunus dan mengeluarkannya dari perut ikan nun. Sesiapa berpuasa pada hari ini, maka seperti orang yang beribadah dan berpuasa setahun tanpa melakukan maksiat.

3 Zulhijjah

Doa Nabi Zakaria diperkenankan Allah, Sesiapa berpuasa pada hari itu, maka Allah mengabulkan doanya.

4 Zulhijjah

Nabi Isa dilahirkan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah akan menghilangkan kesusahan, kemelaratan dan kefakirannya serta pada hari kiamat bersama orang yang baik, mulia dan terhormat.

5 Zulhijjah

Nabi Musa a.s. dilahirkan dan memuliakan munajatnya. Sesiapa berpuasa pada hari itu terlepas ia daripada sifat munafik serta seksa kubur.

6 Zulhijjah

Allah membukakan pintu kebaikan untuk Nabi-Nabi-Nya. Sesiapa berpuasa pada hari itu akan dipandang Allah dengan penuh rahmat dan kasih sayang serta tidak akan diazab.

7 Zulhijjah

Pintu neraka jahanam akan dikunci dan tidak dibuka sebelum berakhir hari ke-10 Zulhijjah.

Sesiapa berpuasa pada hari ini, Allah menghindarkannya daripada 30 pintu kemelaratan dan kesukaran serta membuka 30 pintu kemudahan dan kesenangan.

8 Zulhijjah

Hari ini dinamakan “Tarwiyah” (Hari berfikir). Nabi Ibrahim bermimpi mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih puteranya Ismail. Seharian ia berfikir apakah perintah itu datangnya dari Allah atau dari syaitan.

Sesiapa berpuasa pada hari itu ia akan akan mendapat pahala yang tidak terhingga banyaknya.

9 Zulhijjah

Hari ini dinamakan “Hari Arafah” (Hari tahu). Arafah bermakna tahu atau memahami:
  • Di tempat inilah Nabi Adam a.s. mengerti jati dirinya.
  • Pada hari ini Allah memberitahu Nabi Ibrahim bahawa perintah menyembelih anak itu adalah perintah dari-Nya bukan dari syaitan.
  • Pada hari ini juga turunnya ayat al-Quran terakhir.

Sesiapa berpuasa pada hari itu akan diampunkan Allah dosanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

10 Zulhijjah

Hari Raya Aidiladha, dinamakan juga Raya Korban dan hari “Nahar” (menyembelih). Haram berpuasa pada hari ini.

Sesiapa berkorban dengan satu korban, maka setiap titisan darah yang mengalir dari leher haiwan itu, Allah akan mengampuni semua dosanya dan dosa ahli keluarganya.

Dan sesiapa memberi makan orang mukmin atau bersedekah dengan satu pemberian, maka Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat dengan selamat dan timbangannya pun menjadi lebih berat daripada Bukit Uhud.

Puasa Arafah

Puasa Hari Arafah ialah puasa pada hari ke 9 Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji.

Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat lain.

Berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim).

Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda, “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda, “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”

Niat Puasa Hari Arafah;

ﻧَﻮَﻳْﺖُ ﺻَﻮْﻡَ ﻏَﺪٍ ﻣِﻦْ ﻳَﻮْﻡِ ﺍﻟْﻌَﺮْﻓَﺔَ ﺳُﻨَّﺔً ﻟِﻠَّﻪِ ﺕَﻋَﺎﻟَﻰ

"Aku berniat puasa hari Arafah, sunat kerana Allah Ta’ala."

Rasulullah SAW bersabda lagi, “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”

Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu.

Diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith, “Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di Arafah lantas Baginda meminumnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra, “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah r.ha.).

Pendapat Ulama Tentang Puasa Arafah

1. Al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat; “Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bagi yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat beribadat di ‘Arafah.”

2. Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sebab hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).” Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji.

3. Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari tasyrik hanya untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qadha puasa di bulan Ramadhan serta puasa kifarah (denda). Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari ini (puasa sunat) adalah ditegah.

Haram Berpuasa

Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Umar ra, “Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri.” (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina, “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari Tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad r.a.).

Puasa Tambahan

Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada Hari Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Zulhijjah (Hari Arafah).

Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan Hari Arafah.

Hadis riwayat Ibni Abbas, “Siapa yang berpuasa pada hari akhir Zulhijah dan awal Muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosanya walau selama 50 tahun melakukannya.”

Betapa besarnya keistimewaan dan kelebihan puasa yang terdapat di dalam bulan Zulhijjah ini.

Jadi marilah kita di tanah air merebut peluang dan kesempatan ini dengan melakukan puasa 1-9 Zulhijjah, atau setidak-tidaknya berpuasa pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijah yang amat besar pahala dan manfaatnya dengan melakukannya seikhlas hati.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: shafiqolbu

Rebutlah Kelebihan 10 Hari Awal Zulhijjah Bagi Yang Tiada Kesempatan Menunaikan Ibadah Haji

Rebutlah Kelebihan 10 Hari Awal Zulhijjah Bagi Yang Tiada Kesempatan Menunaikan Ibadah Haji

Bagi yang tidak berpeluang pergi menunaikan haji, sebenarnya juga turut mempunyai peluang yang cukup besar untuk meningkatkan amalan dan ibadat pada bulan Zulhijjah ini.

Kelebihan 10 Hari Awal Zulhijjah

Ramai yang menganggap 10 hari awal Zulhijjah tidak penting atau nikmatnya tidak seperti berada dalam bulan Ramadan.

Hakikatnya, 10 hari awal ZuIhijjah ini sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Allah SWT sedia untuk memberikan kepada hamba-Nya pintu keredaan, keampunan dan kerahmatan.

Berikut merupakan perkongsian daripada Mufti Perlis, Profesor Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai rujukan.

5 KELEBIHAN SEPULUH HARI AWAL ZULHIJJAH

Soalan: Dr, MAZA, apakah benar bahawa sepuluh hari bulan Zulhijjah ini paling terbaik untuk kita beribadah. Tidakkah Ramadan bulan yang terbaik? Jika benar sepuluh hari Zulhijjah terbaik, apakah amalan yang patut saya lakukan?

Jawapan Dr MAZA: Memang benar, terdapat dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang memberi maksud sepuluh hari awal Zul Hijjah merupakan hari-hari yang penuh dengan kelebihan dan kurniaan Allah.

Bahkan dalam hadis, Nabi SAW menyatakan sepuluh awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang paling terbaik untuk seseorang melakukan apa-apa amalan soleh.

Berikut dalil dan perbincangan;

1. Dinyatakan Dalam Surah Al-Fajr

Menurut Ibn ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubair, Mujahid dan ramai kalangan ulama salaf dan khalaf bahawa yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam di ayat ialah sepuluh hari (awal) Zul Hijjah (lihat: Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, 2/593. Dar Tibah).

Apabila Allah bersumpah dengan sepuluh hari Zulhijjah tersebut, pasti ia mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

2. Hari Amalan Soleh Yang Paling Disukai Allah

Dalam hadis Nabi SAW: Daripada Ibn ‘Abbas, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tiada hari-hari yang amalan soleh padanya paling Allah sukai melebihi sepuluh hari ini (sepuluh hari awal Zulhijjah)." Mereka bertanya: “Sekalipun jihad pada jalan Allah?” Jawab Rasulullah SAW: Sekalipun jihad pada jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar (berjuang) dengan diri dan hartanya dan tidak mendapat semua itu kembali walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari, al-Tirmizi -lafaz di atas adalah lafaz al-Tirmizi- , Abu Daud, Ibn Majah).

Dalam riwayat al-Darimi (berstatus hasan) daripada Ibn ‘Abbas, lafaz hadis seperti berikut:

“Tiada amalan yang lebih mulia di sisi Allah dan lebih besar pahala daripada kebaikan yang seseorang lakukan pada sepuluh hari Adha (sepuluh hari awal Zulhijjah).”

Berdasarkan hadis di atas, maka sepuluh hari awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk kita melakukan amalan soleh. Pahala yang dijanjikan paling banyak.

3. Dikatakan Amalan Soleh Waktu Siang 10 Hari Zulhijjah Lebih Baik Dari 10 Hari Terakhir Ramadan

Para ulama berbincang, apakah hadis ini menunjukkan sepuluh hari Zulhijjah itu lebih afdal dari sepuluh hari terakhir Ramadan?

Dalam menilai hal ini, para ulama berbeza pendapat, ada yang berpendapat amalan soleh semasa sepuluh hari awal Zulhijjah ini lebih afdal dari semua hari termasuk sepuluh akhir Ramadan. Ada pula yang mempertahankan sepuluh akhir Ramadan itu lebih afdal.

Hasil dari perbahasan mereka, ada yang mentarjihkan bahawa amalan soleh pada waktu siang hari semasa sepuluh hari awal Zulhijjah lebih baik daripada semua hari termasuk sepuluh hari akhir Ramadan.

Sementara amalan soleh pada malam hari sepuluh akhir Ramadan lebih afdal dibandingkan semua malam termasuk sepuluh malam akhir Zulhijjah.

Alasan mereka kerana pada malam sepuluh akhir Ramadan terdapat Lailatul Qadar yang merupakan malam yang terbaik.

Sementara pada siang sepuluh hari awal Zulhijjah terdapat Hari Arafah yang merupakan hari yang terbaik (sila lihat: ‘Ali al-Qari, Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 3/1082. Beirut: Dar al-Fikr).

4. Terkumpulnya Ibadah-Ibadah Utama

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berpendapat keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah kerana terkumpul padanya segala ibadah-ibadah utama; solat, puasa, sedekah (zakat) dan haji.

Ini tidak terdapat pada waktu yang lain (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 2/459. Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Maka, sepuluh hari awal Zulhijjah merupakan satu tempoh yang mana manusia beribadah kepada Allah dalam segala bentuknya.

Ia benar-benar satu tempoh waktu pelbagai ibadah dipersembahkan oleh sekelian para hamba yang soleh.

Allah merahmati waktu tersebut dengan memberikan ganjaran yang besar kepada apa sahaja amalan soleh yang dilakukan semasa sepuluh hari berkenaan.

5. Hari Yang Paling Besar Ganjarannya

Apapun yang jelasnya, hadis Nabi s.a.w tersebut menggalakan amalan soleh pada sepuluh hari awal Zulhijjah.

Amalan soleh pada hari-hari tersebut paling disukai di sisi Allah serta paling besar ganjarannya dibandingkan hari-hari yang lain.

Perkataan ‘amalan soleh’ itu merangkupi segala perbuatan baik yang disukai Allah.

Ini termasuk solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, tahmid, takbir, tahlil, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan dan seumpamanya.

Maka, semasa tempoh sepuluh hari awal Zulhijjah ini marilah kita berusaha bersungguh-sungguh melakukan amalan yang mendapat pahala di sisi Allah.

Demikian kita wajar menjauhkan diri dari dosa sebagai menghormati hari-hari yang Allah muliakan.

Kita berusaha membanyakkan ibadah dan apa sahaja amalan baik. Ini kerana, semasa pahala meningkat, semasa itu amalan patut meningkat. Maka bergandalah amalan yang banyak dengan pahala yang besar.

Amalan yang wajib atau fardu kita perbaiki dan perindahkan.

Maka bukan sahaja solat fardu, tetapi secara berjamaah. Demikian kita boleh membayar zakat wajib dalam tempoh ini.

Meningkatkan berbuat baik kepada ibubapa, mengukuhkan lagi tarbiah untuk keluarga dan mereka yang menjadi tanggung jawab kita. Melakukan Amar Makruf dan Nahi Munkar dengan cara yang lebih baik.

Sementara amalan sunat ataupun nafilah seperti puasa sunat boleh dilakukan semasa sepuluh hari tersebut, apatah lagi pada Hari Arafah.

Demikianlah membaca al-Quran, beristighfar, berdoa, bersedekah, membantu yang memerlukan dan seterusnya apa sahaja amalan yang baik di sisi Allah, samada antara kita dengan Allah ataupun antara kita sesama hamba-hamba Allah yang lain.

Kesimpulannya, sepuluh hari ini bagaikan pesta amalan soleh yang kita wajar penuhi setiap detik di dalamnya.

Ia merupakan peluang pahala paling besar yang Allah berikan kepada kita semua.

Marilah kita berusaha merebut peluang yang hebat ini.

Semoga perkongsian ini bermanfaat, sama-samalah kita mempertingkatkan amalan dan merebut ganjaran pahala pada 10 hari awal ZuIhijjah ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, May 05, 2017

Kelebihan Dan Keistimewaan Bulan Sya'ban

Kelebihan Dan Keistimewaan Bulan Sya'ban

Perkongsian ini dipetik dari blog Dr.Asri yang menjawab persoalan penting mengenai sebilangan umat Islam yang menyatakan tentang kelebihan dan keistimewaan bulan Sya'ban.

Sya`ban

Soalan: al-Fadil Dr Asri yang dikasihi, sekarang kita berada dalam Bulan Syaaban. Apakah amalan yang patut kita lakukan. Saya dengar macam-macam pendapat. Ada kata banyak amalan Bulan Syaaban yang dibuat orang itu tidak ada dalil. Contohnya malam Nisfu Syaaban. Ada kata palsu. Ada kata memang ada dalil. Saya baca di internet pun macam-macam pandangan. Saya ingin beramal dengan amalan yang betul. Bolehkah Dr Asri huraikan? -Anisah, Bangi.

Jawapan Dr MAZA:

Saudari Anisah yang dikasihi, sikap saudari yang ingin memastikan ketepatan amalan amat dipuji. Agama ini bukan diikuti tanpa dipastikan kesahihan, atau diikuti tanpa faham. Agama berpaksikan dalil yang diiktiraf.

Sesuatu yang tidak berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan hadis-hadis yang sabit (authentic) tidak boleh disandarkan kepada Islam.

Dalam masa yang sama, tidaklah pula kita mudah menafikan sesuatu perkara dengan menyatakan ia bukan dari ajaran Islam, sebelum kita benar-benar pasti memang tidak wujud dalil dalam hal tersebut.

Mengenai soalan saudari, saya jawab berdasarkan perkara-perkara berikut;

1. Hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan pada Bulan Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak. Bahkan terdapat juga amalan-amalan Bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu, hanya ikutan yang tidak mempunyai apa-apa sumber. Ini seperti amalan sesetengah masyarakat yang membuat juadah khas Bulan Sya’ban dan seumpamanya. Banyak buku-buku yang dijual tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan hadis-hadis yang sahih.

2. Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis memang gemar membuat hadis-hadis palsu yang berkaitan dengan fadilat-fadilat. Ini seperti mereka mengada-adakan fadilat-fadilat bulan tertentu, surah tertentu dan seumpamanya. Mereka akan mengaitkannya pula dengan amalan tertentu seperti solat khusus, doa khusus, puasa khusus pada hari atau bulan yang dikaitkan dengan fadilat itu. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”.( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadis, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).

3. Antara hadis palsu yang direka mengenai bulan-bulan, “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam (meninggal 414H) (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Halab: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah).

Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab( lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5/173, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H), “Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

4. Namun tidak boleh dinafikan bahawa di sana juga terdapat hadis-hadis yang sahih mengenai kelebihan Bulan Sya’ban.

Antaranya apabila bertanya Usamah bin Zaid Nabi s.a.w mengapa baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi s.a.w menjawab, “Syaaban antara Rejab dan Ramadan, manusia lalai mengenainya. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” (Riwayat al-Nasai, dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah 4/522).

Aisyah r.aha juga menyebut, “Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Hadis-hadis yang disebut di atas dan riwayat-riwayat yang lain menunjukkan kita amat digalakkan berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan sebahagian masyarakat yang suka berpuasa pada Bulan Syaaban adalah amalan soleh.

6. Adapun Nisfu Syaaban, atau pertengahan Syaaban (15 haribulan), terdapat hadis yang sahih tentang kelebihannya di samping banyak hadis palsu mengenainya. Juga tidak terdapat hadis yang sabit mengenai amalan khusus seperti solat khas pada malam tersebut.

Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, “Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat ini bidah lagi mungkar yang jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis kedua solat berkenaan” (4/56. Beirut: Dar al-Fikr).

Al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) menyebut dalam al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudu’ah, “Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban dari pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu” (ms 72. Mekah: Maktabah Mustafa Baz).

7. Pun begitu tidak dinafikan ada hadis yang sahih Nabi s.a.w menyebut, “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Maka, sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh Nabi s.a.w, maka kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci.

Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya, “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

9. Namun begitu, janganlah kita terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum.

Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri.

Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya.

Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki.

Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Cuma, penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Kelebihan Di Bulan Rejab

sumber: drmaza

Wednesday, March 29, 2017

Kelebihan Di Bulan Rejab

Kelebihan Di Bulan Rejab

Sempena kedatangan bulan Rejab ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan baik kita dan semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang kita lakukan agar ia tidak bercanggah dengan al-Qur’an dan juga sunnah Rasulullah SAW.

Bulan Rejab

Namun begitu, apakah terdapat kelebihan atau amalan tertentu (khusus) dalam Bulan Rejab berdasarkan pendapat para ulama?

Di sini kami nyatakan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan kelebihan bulan Rejab, antaranya ialah:

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus.” [Tabyin al-‘Ajab, 9]

Imam Ibn al-Qayyim mengatakan, “Setiap hadith yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka.” [al-Manar al-Munif, 96]

Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif.” [al-Sail al-Jarrar, 297]

Imam Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW.” [Faidh al-Qadhir, 4:210]

Tarjih

Setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu.

Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.

Ini kerana, bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Amalan Dan Ibadah Yang Sering Dikaitkan Di Bulan Rejab

Amalan Dan Ibadah Yang Sering Dikaitkan Di Bulan Rejab

Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Ia merupakan bulan ketujuh dalam kalendar Hijrah.

Ibadah  Bulan Rejab

Orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan dan mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan Rejab adalah Bani Mudhar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat ALLAH menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada 12 bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut iaitu bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban." (Riwayat Bukhari)

Ternyata, Rejab termasuk antara bulan yang dimuliakan ALLAH. Justeru, ia telah tersebar dalam masyarakat bahawa terdapat amalan khas sempena Rejab yang dikatakan memiliki fadilat besar.

Hakikatnya, tidak wujud satu pun dalil sah yang menunjukkan terdapat amal ibadat tertentu sempena Rejab.

Hal ini telah diperakui tokoh ulama hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqolani dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab: tidak ada hadis sahih tentang keutamaannya (melainkan ia termasuk bulan haram), puasa dan solat malam pada Rejab yang dapat dijadikan pegangan.

Antara perkara ibadat yang dikaitkan Rejab adalah:

1. Puasa Rejab

Telah masyhur dalam masyarakat bahawa disunatkan berpuasa pada 1 Rejab, Khamis minggu pertama Rejab, Nisfu Rejab dan 27 Rejab sempena Israk Mikraj.

Bagi menguatkan hujah puasa sunat ini, maka ia disandarkan dengan beberapa riwayat palsu serta lemah berserta ganjaran pahala yang besar.

Ibnu Rajab dalam al-Mughni pula berkata, “Mengenai keutamaan puasa khusus pada Rejab, tidak ada satu pun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah mahupun golongan sahabat.”

Ada kalangan masyarakat mengamalkan puasa berterusan selama tiga bulan iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah.

Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah berkata, “Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus-menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang. Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan, baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah.”

Namun, jika seseorang itu berpuasa tanpa niat mengagungkan sebagaimana golongan jahiliah dan tidak meyakini fadilat palsu yang dikait puasa pada Rejab tersebut atau puasanya bertepatan dengan hari yang disunatkan berpuasa seperti Isnin dan Khamis, Ayyam al-Bidh (puasa pada 13, 14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) pada Rejab, maka ia dibenarkan oleh syarak.

2. Solat Rejab

Terdapat beberapa solat yang dikhususkan seperti solat pada malam pertama dan 27 Rejab serta Nisfu Rejab.

Paling diketahui ramai adalah sembahyang pada malam Jumaat minggu pertama Rejab yang dikenali sebagai solat Raghaib.

Menurut Imam al-Nawawi berkata dalam Fatawa al-Nawawi, “Solat Raghaib adalah bidaah yang tercela serta mungkar dan sangat diingkari, yang mencakupi kemungkaran sehingga ia harus ditinggalkan, ditentang dan diingkari pelakunya.

Golongan penguasa harus melarang manusia daripada melaksanakan solat ini kerana mereka adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas rakyatnya.

Golongan ulama menulis buku khusus masalah ini dengan bertujuan untuk mengingkari, mencela serta membodohkan pelakunya.

Janganlah kita terperdaya oleh perbuatan majoriti pelakunya yang banyak terdapat di negara Islam.

Jangan pula tergoda kerana solat itu tertulis seperti di dalam kitab Quut al-Qulub (karya Muhammad bin Ali bin Athiyah al-Ajami al-Makki) dan Ihya’ ‘Ulum ad-Din (karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali).

Ini kerana, kedua-dua solat itu iaitu (solat Raghaib dan Nisfu Syaaban) itu adalah bidaah yang batil.”

3. Umrah Rejab

Ada juga pandangan bahawa adalah sunat untuk mengerjakan ibadat umrah pada bulan Rejab. Namun begitu, ‘Aishah RA berkata bahawa Rasulullah SAW tidak pernah membuat ataupun menganjurkan umrah pada bulan Rejab.

Dikisahkan bahawa: Daripada Mujahid dia berkata, “Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid.

Ternyata ‘Abdullah bin ‘Umar sedang duduk di samping bilik Saydatina ‘Aishah. Kemudian beliau berkata kepadanya, ‘Berapa kali Rasulullah melakukan umrah?’ Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab, ‘Empat kali, satunya pada bulan Rejab.’ Kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya.

Dia (Mujahid) berkata, ‘Kami mendengar dia (iaitu ‘Aishah) sedang bersiwak.’ Kemudian Urwah bertanya kepada ‘Aishah, ‘Wahai ibu orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu ‘Abdurrahman?

Aishah bertanya, ‘Apa yang dia katakan?’ Aku menjawab, ‘Dia berkata bahawa Rasulullah pernah mengerjakan umrah pada Rejab.’

‘Aishah pun berkata, ‘Semoga ALLAH merahmati Abu ‘Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu umrah pun melainkan aku (yakni ‘Aishah) ikut bersama dan baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada Rejab." (Riwayat Al-Bukhari)

4. ‘Atirah Rejab

‘Atirah adalah haiwan yang disembelih pada Rejab dan diguna orang Arab jahiliah untuk mendekatkan diri kepada tuhan mereka.

Ia dilaksanakan pada 10 hari pertama Rejab dan haiwan yang biasanya digunakan untuk ritual ini adalah kambing.

Sesetengah umat Islam masih melaksanakan ‘atirah ini dengan didasari beberapa hadis seperti berikut:

a) Al-Harith bin Amru bertanya Rasulullah tentang ‘atirah. Baginda menjawab: "Sesiapa yang mahu menyembelih ‘atirah, silakan menyembelih. Sesiapa yang tidak mahu, jangan menyembelih." (Riwayat Imam al-Nasa’i)

b) Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia, kepada setiap ahlul bait diwajibkan untuk berkorban dan menyembelih ‘atirah setiap yang kalian namakan Rajaban." (Riwayat At-Tirmidzi)

Namun, hadis tersebut menunjukkan ‘atirah diizinkan pelaksanaannya pada zaman awal kedatangan Islam. Bagaimanapun, hukumnya telah dimansuhkan.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah, Daripada Abu Hurairah, "Tidak ada lagi fara’ dan juga ‘atirah.

Fara’ ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan induknya (ibu unta tersebut) akan lebih banyak melahirkan anak.

Sedangkan ‘atirah adalah kambing yang disembelih pada 10 hari pertama Rejab." (Riwayat Al-Bukhari)

5. Sambutan Israk Mikraj

Tanggal 27 Rejab adalah tarikh yang dianggap mulia dan hari kebesaran bagi kebanyakan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Hakikat yang sebenar ialah tarikh peristiwa Israk Mikraj ini tidak disepakati kalangan ulama. Ulama masih berbeza pandangan tentang perkara ini.

Al-Hafiz Ibu Hajar al-‘Asqolani berkata, “Golongan ulama berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum baginda dilantik menjadi Nabi.

Pendapat ini ganjil (syaz) kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulama berpendapat setelah baginda menjadi Nabi. Mereka juga berselisih tentang tarikh sebenar peristiwa ini.”

Imam Abu Syamah al-Syafie menegaskan, “Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa israk dan mikraj terjadi pada Rejab. Dalam hal ini, menurut ahli al-Jarh wa al-Ta’dil (ulama hadis) hal itu merupakan pembohongan.”

Pengajaran daripada perselisihan pendapat Israk Mikraj, bagi penulis apabila menyampaikan ilmu berkaitan agama, maka hendaklah kita berlaku adil dan memastikan kesahihan fakta.

BACA INI JUGA:

sumber: sh

Monday, April 20, 2015

Tiada Amalan Khusus Di Bulan Rejab, Kemuliaan Dicemari Kepalsuan

Tiada Amalan Khusus Di Bulan Rejab, Kemuliaan Dicemari Kepalsuan

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada ‘al-Ashur al-Hurum’ (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Bulan Rejab

Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)..”

Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Sya’ban.” (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117).

Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut majoriti ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis sebagai hadis maudhuk.

Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam.

Masyarakat Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan.

Antara amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.

Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab.

Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih.

Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).

Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji daripada sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian lama.

Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya, antaranya ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab ‘Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang bertajuk ‘Ada’ ma wajab min bayan wad’ al-wadda’in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)’ dan Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)’.

‘Ata; seorang ulama tabi’in menjelaskan, Nabi Muhammad SAW melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata’if al-ma’arif, hlm. 11).

Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan, “Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.

Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan.

Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain.

Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang.” (Tabyin al-‘ajab, hlm. 49).

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab’: “Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang palsu.”

Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, “Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab, namun begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk.”

Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan laporan, hadis palsu ialah:

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa’i.

iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi ‘Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin ‘Antarah, dan Farrat bin al-Sa’ib.

v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi ‘Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha’ib.

vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi ‘Iyash.

Haram menyebar hadis palsu

Al-Mughirah bin Syu’bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain.

Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka.” (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari).

Syeikh Abu Asma’ Ibrahim bin Ismail Ali ‘Asr menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab’, ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif terhadap hadis maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis.

Perkara merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan hadis palsu dalam ancaman Nabi, “Sesiapa yang berdusta terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka”.

Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah saw.

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu.” (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim).

Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan Rejab sahaja, sedangkan ia bersumberkan laporan/hadis palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw.

Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat isnin khamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.

Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu. -e-fatwa.gov.my

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: 10 Kesalahan Dalam Solat Yang Sering Dilakukan