Thursday, January 31, 2019

Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan pengisytiharan Ketua Negara baharu apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam satu istiadat di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong ke-16

Sebagaimana termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, baginda akan melafaz sumpah dengan disaksikan Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara.

Dengan pengisytiharan itu, Sultan Abdullah yang menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Januari 2019 lepas akan menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun bermula 1 Februari.

Mesyuarat khas itu juga akan menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Pemilihan Sultan Abdullah adalah mengikut keputusan penggiliran mengikut peruntukan perlembagaan dalam masa yang singkat, sekali gus mendokong sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia.

Kira-kira 500 tetamu jemputan terdiri daripada kerabat diraja, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ketua Hakim Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara serta dif-dif kenamaan dijangka menghadiri istiadat berkenaan.

Kali terakhir detik bersejarah seumpama itu berlaku adalah kira-kira empat dekad lepas, apabila Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh (1979-1984).

Sebelum itu, Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dijangka berangkat dari Istana Abdulaziz, Kuantan seawal 7.00 pagi ke ibu negara bagi menghadiri istiadat berkenaan.

Upacara di ibu negara akan bermula dengan keberangkatan tiba Sultan Abdullah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 8.30 pagi.

Menurut buku atur cara istiadat, rombongan diraja kemudian akan berangkat ke Dataran Parlimen bagi acara sambutan rasmi sebelum ke Istana Negara untuk istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Friday, January 11, 2019

Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Jabatan Perangkaan Malaysia

Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Jabatan Perangkaan Malaysia

Jabatan Perangkaan Malaysia sedang melaksanakan Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah (HIS/HIES) dan Kemudahan Asas bermula Januari sehingga penghujung tahun melibatkan isi rumah yang tinggal di Tempat Kediaman (TK) persendirian di seluruh negara.

Survei Survei

Objektif utama penyiasatan adalah bagi mengumpul maklumat taburan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, mengenal pasti golongan miskin dan tahap kemudahan yang dinikmati oleh isi rumah di Malaysia.

Data pendapatan itu akan digunakan kerajaan bagi penyediaan sebarang Rancangan Pembangunan di Malaysia.

Data perbelanjaan juga digunakan dalam pengiraan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) yang merupakan cara mengukur kadar inflasi negara.

Seiring dengan matlamat dan tujuan itu, data HIES amatlah penting kepada kerajaan dan agensi berkaitan dalam perancangan, pembangunan dan penggubalan dasar dan polisi negara terutama dalam program pembasmian kemiskinan dan agihan pendapatan yang lebih menyeluruh.

Selain daripada itu, data HIES merupakan bahan asas dalam pembentukan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan dan penentuan golongan miskin dan miskin tegar.

Data ini juga seterusnya akan digunakan sebagai input kepada analisis taburan pendapatan dan perbelanjaan berkaitan aktiviti ekonomi, pekerjaan dan sebagainya.

Jabatan Perangkaan Malaysia berharap, isi rumah yang terpilih dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada kakitangan pegawai Jabatan Perangkaan yang berkunjung ke tempat kediaman terpilih.

Maklumat yang dikumpul adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak-1989).

Berdasarkan Seksyen 5 di bawah akta ini, kandungan borang soal selidik yang diterima adalah sulit dan tidak boleh dihebahkan kepada jabatan lain, syarikat, individu atau mana-mana institusi di luar Jabatan Perangkaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, October 18, 2018

Malaysia Mansuhkan Hukuman Mati, Ganti Penjara 30 Tahun Minimum?

Malaysia Mansuhkan Hukuman Mati, Ganti Penjara 30 Tahun Minimum?

Individu disabitkan kesalahan yang membawa hukuman mati, kini hanya akan dikenakan penjara minimum 30 tahun bagi menggantikan hukuman berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong.

Malaysia Mansuhkan Hukuman Mati, Ganti Penjara 30 Tahun Minimum?

Pemansuhan hukuman mati di negara ini membabitkan semua kes jenayah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong.

Beliau berkata, dalam hal itu kerajaan tidak boleh memilih atau mengecualikan hukuman mati berdasarkan kes atau kesalahan tertentu.

“Saya dapat memahami perasaan mangsa, sangat memilukan. Tetapi jika kerajaan mahu menghapuskan (hukuman mati), kita tidak boleh hapuskan separuh saja.

“Kami mahu menghapuskan semua hukuman mati bagi setiap kesalahan jenayah,” katanya.

Liew Vui Keong berkata, hukuman penjara minimum 30 tahun akan dilaksanakan bagi menggantikan hukuman mati, jika pemansuhannya diluluskan Parlimen.

Selain Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di mana pesalah dikenakan hukuman mati mandatori, terdapat 17 kesalahan jenayah lain yang membawa kepada hukuman sama.

Ia termasuk melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan raja, keganasan, pembunuhan, cubaan untuk membunuh ketika menjalani penjara seumur hidup, pembunuhan mangsa ketika diculik, memiliki dan menggunakan senjata api serta merogol hingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan termasuk pembangkang dan dalam kalangan keluarga mangsa pembunuhan.

Difahamkan, rang undang-undang (RUU) bagi memansuhkan hukuman mati dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada Disember ini selepas Bajet 2019 dibahas dan diluluskan.

Tun Mahathir Pertahan Hukuman Mati

Sementara itu, Tun Mahathir Mohamad mempertahankan hukuman mati mandatori di negara ini masih kekal dan belum dimansuhkan.

Perdana Menteri berkata, walaupun ada cadangan untuk memansuhkan hukuman itu, ia tidak bermaksud hukuman berkenaan sudah dihapuskan.

“Kita perlu menunggu sehingga akta berkaitan diluluskan. Kerajaan belum meluluskan undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati,” katanya.

Rekod Jabatan Penjara

Berdasarkan rekod Jabatan Penjara Malaysia sehingga 11 Oktober 2018 lalu, terdapat 932 banduan disabitkan bersalah atau dijatuhkan hukuman mati mengikut Seksyen 39 (B) ADB 1952.

Bagaimanapun, sejak 2014 hingga kini tiada pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan di bawah seksyen itu dan mereka masih menunggu hukuman disebabkan oleh Moratorium serta tiada waran pelaksanaan hukuman mati dikeluarkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

Namun demikian, pada 10 Oktober lalu menteri telah mengumumkan bagi pihak kerajaan bahawa semua kesalahan membabitkan hukuman mati termasuk Seksyen 39 (B) ADB 1952 akan dimansuhkan dan hukuman itu tidak patut dilaksanakan.

Rang Undang-Undang pemansuhan ini akan dibentangkan di Parlimen selepas memorandum berkaitan diluluskan dalam Kabinet dan meminta Lembaga Pengampunan untuk menimbang untuk menangguhkan hukuman mati ke atas banduan.

Berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukuman berkenaan dengan segala kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang Persekutuan.

Lembaga Pengampunan juga boleh mempertimbangkan untuk melepaskan banduan yang sudah menunggu lebih 20 tahun bergantung kepada situasi.

Setakat ini, jumlah banduan yang berdepan dengan hukuman mati bagi semua kesalahan membabitkan Seksyen 39 (B) ADB 1952 ialah 1,267 orang.

Sejarah Hukuman Mati

Hukuman mati ialah hukuman yang diputuskan oleh pihak mahkamah membabitkan pesalah dibunuh sebagai balasan jenayahnya, sama ada secara pancung, tembak, gantung, suntikan maut dan sebagainya.

Hukuman mati mempunyai sejarah yang lama dalam masyarakat manusia dan pernah berlaku di hampir semua masyarakat.

Biasanya, hukuman mati dilaksanakan demi menegakkan keadilan dalam masyarakat, tetapi dari segi ketenteraan, hukuman mati ialah satu cara untuk mengawal disiplin tentera.

Contohnya, askar yang enggan bertempur atau lari daripada tugasan boleh dihukum mati. Tindakan ini adalah supaya tiada askar yang enggan berperang kerana takut.

Selain itu, hukuman mati juga merupakan satu cara untuk mengadakan kawalan sosial. Di negara yang autokratik, mereka yang mempunyai kelainan pendapat dengan kerajaan barangkali akan dihukum mati.

Contohnya di negara komunis, seseorang itu akan dibunuh sekiranya ia dianggap "anti-revolusi" ataupun pemikirannya "berbahaya kepada masyarakat".

Cara melaksanakan hukuman mati sebenarnya mengalami banyak perubahan. Pada masa sekarang hukuman mati biasanya dilaksanakan dengan kesakitan yang minimum.

Cara yang melibatkan perdarahan dan mengambil masa yang lama biasanya tidak digunakan, kerana hukuman mati bermaksud menamatkan nyawa seorang penjenayah dan tidak bermaksud menyeksanya.

Walaupun banyak negara menggunakan hukuman mati sebagai hukuman untuk jenayah berat, terdapat beberapa negara yang tidak mengamalkan hukuman mati.

Contoh negara yang tidak mengamalkan hukuman mati ialah negara-negara dalam Kesatuan Eropah. Mereka menganggap hukuman mati ialah tindakan yang melanggar hak kemanusiaan.

Di negara yang bertamadun, hukuman mati ialah satu pendekatan untuk menghapuskan jenayah dan biasanya hukuman ini hanya dikenakan kepada penjenayah berat sahaja.

Contoh bagi jenayah yang membawa kepada hukuman mati adalah seperti berikut:

Membunuh

Hukuman Mati Tentera

Kebanyakan negara akan mengenakan hukuman mati kepada mereka yang membunuh secara segaja, berdasarkan kepada prinsip pembalasan, "hutang harta dibayar harta; hutang darah dibayar darah".

Penyeludupan dadah

Di negara Asia seperti Malaysia, Singapura, dan juga China, sesiapa yang melakukan penyeludupan dadah boleh dikenakan hukuman mati.

Hukuman ini berdasarkan kenyataan dadah memberi kesan yang buruk kepada masyarakat.

Pemerdagangan manusia

Di China, penjualbelian manusia ialah satu jenayah yang membawa kepada hukuman mati.

Jenayah seks/rogol

Di negara Islam, penjenayah seks boleh dikenakan hukuman mati. Keadaan yang sama juga berlaku di Vietnam yang mengenakan hukuman mati terhadap pesalah yang merogol kanak-kanak.

Jenayah-jenayah lain

Menderhaka, menculik, penyalahgunaan senjata api, malah rasuah adalah antara kesalahan yang dikenakan hukuman mati di beberapa negara.

Pendebatan mengenai hukuman mati

Pada peringkat antarabangsa, hukuman mati bukanlah sesuatu yang diterima semua. Ada yang menyokong dan ada yang membantah, masing-masing dengan alasan etika dan juga alasan kemasyarakatan.

Dalil ontologi

Kedua-dua pihak penyokong dan penentang menuntut kepada dalil ontologi untuk menahan pendapat masing-masing.

Bagi pihak penentang, hukuman mati ialah satu bentuk pembunuhan juga dan sebagai satu bentuk pembunuhan, ia tidak lari daripada sifat kejam.

Tambahan pula, hidup dan manusia merupakan hak Tuhan, dengan alasan itu manusia tidak harus mengambil nyawa manusia kerana ia bukan hak manusia.

Bagi mereka yang menyokong hukuman mati, ia adil dikenakan kepada mereka yang melanggar hak kehidupan orang lain, yakni pembunuh. Atas prinsip pembalasan, mereka yang membunuh harus dibunuh.

Maka kesimpulannya, dari segi analisis hierarki nilai, mereka yang menyokong hukuman mati, sebenarnya telah meletakkan nilai keadilan di atas nilai "sayang kepada nyawa".

Maka, bagi mereka yang menentang hukuman mati, mereka meletakkan nilai "sayang kepada nyawa" di atas nilai keadilan.

Dalil ekonomi

Dalil ekonomi tidaklah boleh dianggap dalil yang utama dalam mendebatkan isu ini. Ekonomi di sini juga tidak merujuk kepada konsep kewangan tetapi kepada "peruntukan" dalam erti kata yang luas.

Bagi pihak yang menyokong hukuman mati, dikatakan hukuman mati adalah lebih jimat berbanding dengan hukuman seumur hidup.

Kenyataan ini adalah senang diterima kerana hukuman seumur hidup melibatkan kos penyaraan si pesalah untuk satu jangka masa yang panjang. Manakala bagi hukuman mati pula, ia tidak melibatkan kos ini.

Dikatakan bahawa lebih baik kos menyara hidup banduan seumur hidup ini dialihkan untuk kegunaan perkara yang lebih berfaedah seperti memajukan kebajikan rakyat.

Tetapi bagi pihak yang menentang hukuman mati, dikatakan hukuman mati sebenarnya menelan kos yang lebih banyak.

Penentangan ini adalah kerana hukuman mati sentiasa melibatkan proses kehakiman yang teliti dan mengambil masa yang panjang, maka kos yang ditelannya lebih banyak.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak masih belum dapat mengeluarkan statistik untuk membuktikan kesahihan hipotesis masing-masing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia | hmetro

Monday, October 01, 2018

JPN: Nama Anak Tidak Boleh Melebihi 80 Huruf!

JPN: Nama Anak Tidak Boleh Melebihi 80 Huruf!

Tidak lebih 80 aksara, itulah panjang maksimum yang dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada ibu bapa yang hendak mendaftarkan nama anak yang baru dilahirkan.

Nama terpanjang di Malaysia

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jasri Kasim berkata, selain tidak boleh memberi nama terlalu panjang, ibu bapa juga tidak digalakkan meletakkan nama-nama yang membawa maksud tidak baik.

Nama-nama singkatan seperti ‘Abd’ juga tidak dibenarkan dan mesti dieja penuh 'Abdul' atau 'Mohd' mesti dieja 'Mohamad'.

Mengikut rekod di Malaysia, nama terpanjang pada masa ini ialah 78 aksara sebanyak empat patah perkataan.

Nama Terpanjang, Terpendek Dan Popular Dalam Rekod JPN

Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah binti Airol Anizam adalah antara nama terpanjang di Malaysia seperti yang direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sementara nama paling pendek di Malaysia milik seorang wanita bernama S, yang pada mulanya disangka nama timangan, namun apabila diberitahu ia nama sebenar, semua terdiam sebelum berkata ia sesuatu yang pelik.

Bukan saja kenalan, malah suaminya sendiri terkejut apabila diberitahu namanya S ketika bertunang dengan bakal suaminya ketika itu.

'Ahmad', 'Alex' dan 'Ravi' pula adalah antara nama paling popular rakyat Malaysia yang didaftarkan JPN.

Nama-nama berkenaan paling banyak digunakan dan didaftarkan di negara Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Thursday, September 20, 2018

Najib Berdepan 25 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM2.8 Bilion

Najib Berdepan 25 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM2.8 Bilion

Bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak ditahan sebaik tiba di ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman di Menara KPJ, pagi Khamis sebelum didakwa dengan 21 pertuduhan membabitkan wang sebanyak RM2.8 bilion.

NAJIB AMLA

Selain itu, Najib, juga akan menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tangkapan dibuat pasukan siasatan Amla dan Urus Setia Ketua Polis Negara (USKPN) selepas mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

Najib akan dikemukakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Sebanyak 21 pertuduhan melibatkan 681 juta dollar Amerika (RM2.8 bilion) telah disediakan.

Sembilan pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram, lima pertuduhan melibatkan penggunaan wang haram dan tujuh pertuduhan melibatkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

Tangkapan dan pertuduhan ini dilakukan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, menurut laporan The Star, Najib tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas ditahan semalaman di lokap SPRM pada Rabu.

Bekas perdana menteri itu tiba pada pukul 9.20 pagi Khamis sambil diiringi polis.

Dipercayai beliau hadir untuk merekod kenyataan di ibu pejabat tersebut sebelum dibawa ke mahkamah.

Ini merupakan kali ketiga Najib dibawa ke mahkamah, kali pertama pada Julai ketika beliau didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan kes pecah amanah dan satu tuduhan menerima rasuah bernilai RM42 juta.

Bulan Ogos lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Friday, September 07, 2018

Larangan Merokok Di Restoran Terbuka Bakal Dikuatkuasakan?

Larangan Merokok Di Restoran Terbuka Bakal Dikuatkuasakan?

Cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengisytiharkan semua restoran terbuka sebagai kawasan larangan merokok dilihat sebagai tepat pada masanya.

Larangan Merokok Di Restoran Terbuka Bakal Dikuatkuasakan?

Perunding Keselamatan dan Kesihatan Awam, Mohd Sofian Osman menyifatkan ia selaras dengan rungutan sesetengah pengguna yang kurang selesa termasuk ketika berada bersama anak kecil di kedai makan.

"Ia pernah dicadangkan sejak 2015 lagi ketika kaji selidik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menunjukkan terdapat 5 juta rakyat Malaysia merupakan perokok dalam kalangan umur 15 tahun ke atas.

"Malah, data menunjukkan 35 peratus kematian di hospital-hospital awam adalah penyakit yang berkaitan dengan asap rokok seperti jangkitan paru-paru, kanser, jantung dan lain-lain.

"Cadangan ini tepat pada masanya selepas ramai yang menganggap hak mereka untuk menikmati udara bersih dicemari oleh perokok," katanya.

Jelasnya, KKM boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menjalankan penguatkuasaan yang lebih drastik memandangkan kuasa penuh telah diberi melalui Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Di media sosial, ramai mahu kerajaan serius dalam memastikan penguatkuasaan dijalankan dengan teliti agar perokok dikenakan tindakan sewajarnya sekiranya melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

PENIAGA TAK PERLU RISAU

Peniaga tidak perlu risau perniagaan merosot disebabkan cadangan kerajaan mengisytiharkan larangan merokok dalam restoran terbuka di seluruh negara.

Ahli Lembaga Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr Siti Nurbaya Shahrir berkata, peniaga sepatutnya lebih menjaga golongan majoriti (bukan perokok) berbanding minoriti (perokok).

Menurutnya, beberapa negara luar yang mengamalkan polisi sedemikian membolehkan peniaga mendapat lebih untung kerana jumlah pelanggan makin ramai.

“Sekarang jangan fikir keuntungan menurun atau tidak, buat dulu. Restoran memang perlu jadi kawasan larangan merokok untuk melindungi mereka yang tidak merokok.

“Kalau mereka (peniaga) risaukan pasal keuntungan, negara luar ada yang buat tapi didapati lagi ramai orang datang ke kedai mereka sebab orang yang tak merokok lebih ramai.

“Orang yang merokok kalau datang restoran, mereka duduk lama dan minum saja.

"Kalau berkeluarga, datang sekejap, beli makanan banyak.

"Jadi, pelanggan lebih ramai,” katanya.

Tambahnya lagi, bukan perokok berasa kurang selesa dengan kehadiran perokok di sekeliling mereka dan peniaga perlu juga menghormati situasi tersebut.

“Kami rasa ia mengganggu. Di Malaysia tidak ramai yang merokok, yang merokok hanya 21 peratus. Kenapa nak lebihkan mereka yang merokok dan ketepikan yang tidak merokok.

“Kita memang dah lama nantikan keputusan ini sebab merokok melibatkan umum.

"Ramai wanita dan kanak-kanak yang tidak merokok turut terjejas,” ujarnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani | astroawani2

Tuesday, August 28, 2018

Tiada Anugerah Gelaran Tun, Tan Sri Dan Datuk Bagi Tahun 2018

Tiada Anugerah Gelaran Tun, Tan Sri Dan Datuk Bagi Tahun 2018

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tidak akan memperkenankan sebarang darjah kebesaran pada Hari Keputeraan baginda yang akan disambut pada 9 September ini, menurut sumber diraja.

Tiada Anugerah Gelaran Tun, Tan Sri Dan Datuk Tahun 2018 Ini

Difahamkan, Jabatan Perdana Menteri dan raja-raja di negeri lain telah dimaklumkan bahawa Sultan Muhammad V buat kali pertamanya akan meraikan Hari Keputeraan baginda tanpa upacara itu.

Sebelum ini, jawatankuasa 'vetting' yang dipengerusikan oleh perdana menteri termasuk Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Polis Negara akan mengkaji dan mencadangkan nama penerima darjah kebesaran terutamanya Tun, Tan Sri dan Datuk.

Mereka yang dianugerahkan darjah kebesaran tersebut secara kebiasaannya akan dimaklumkan secara rasmi sekurang-kurangnya dua minggu sebelum majlis tersebut berlangsung untuk membolehkan mereka membuat persiapan termasuk latihan di istana.

"Kali ini, tiada siapa daripada mereka yang dicadangkan menerima sebarang pemberitahuan rasmi.

"Pendek kata, tidak ada senarai gelaran kehormat pada tahun ini," kata sumber.

Setakat ini, masih tidak diketahui sebab di sebalik keputusan Agong tersebut dan tiada kenyataan dibuat oleh istana atau Pejabat Perdana Menteri.

Senarai penerima darjah kebesaran itu dirasakan "luar biasa panjang" pada tahun lepas iaitu sebanyak 1,518 orang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar