Friday, September 20, 2019

Manfaat Dan Kebaikan Berbekam Dalam Kajian Saintifik

Manfaat Dan Kebaikan Berbekam Dalam Kajian Saintifik

Banyak kajian ke atas terapi bekam secara saintifik telah dijalankan terutamanya oleh negara-negara timur tengah, China, India dan juga Malaysia dalam usaha untuk membuktikan kebaikan dan kelebihan berbekam untuk kesihatan.

Manfaat Berbekam

Antara kebaikan berbekam yang kami ingin kongsikan hasil pembacaan berkenaan kajian saintifk yang dijalankan antaranya adalah seperti berikut.

1. AntiOksidan

Bekam meningkatkan antioksida badan melalui adaptasi terhadap stres.

Kawasan bekam akan mengalami keradangan hasil tekanan darah di dalam cawan dan pengaktifan sel darah dan badan juga menjadi lebih bertenaga hasil daripada penjanaan bateri sel badan iaitu mitokondria yang membebaskan ATP (tenaga).

Manipulasi redoks mampu memberi kesan positif kepada mereka yang mempunyai masalah alergi, autoimmune, kanser, jangkitan kuman dll.

2. Mengurangkan Kesakitan

Bekam membuang “substance P” (penyebab radang) daripada saraf hujung sumber kesakitan (nociceptor). Hasilnya kesakitan akan berkurangan.

Maka sebab itu bekam sangat popular untuk mengurangkan sakit kepala, carpal tunnel syndrome, lutut, sakit belakang dll kerana ia mampu mengurangkan kesakitan dengan KETARA.

3. Memulihkan Sel

Bekam meningkatkan pemulihan sel melalui peningkatan “growth factor” hasil daripada pengaktifan sel pembekuan darah.

Vasculoendothelial growth factor (VEGF) contohnya penting untuk pembinaan salur darah baru.

FGF pula merupakan growth factor yang mempunyai pelbagai fungsi (pluripotent growth factor).

Antara fungsinya mengikut beberapa kajian ialah membina salur darah baru di jantung (angiogenesis), menyusun dan menumbuhkan sel-sel kulit, memulihkan luka dan penting bagi perkembangan sistem saraf badan.

4. Baik Untuk Kesihatan Organ Tubuh

Terdapat juga kajian menunjukkan bekam mengurangkan kerosakan buah pinggang, merendahkan gula darah, memperbaiki profil kolesterol (meningkatkan HDL, mengurangkan TG dan LDL) darah.

Terdapat juga kajian ke atas perokok yang berbekam menunjukkan saturasi oksigen yang lebih tinggi dan lebih senang bernafas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fb

Monday, March 25, 2019

Bekam Untuk Merawat Penyakit Sunnah Rasulullah SAW

Bekam Untuk Merawat Penyakit Sunnah Rasulullah SAW

Bekam atau al-hijamah (berasal dari bahasa Arab hijama yang bererti pelepasan darah kotor) adalah teknik rawatan dengan cara membuang darah kotor (racun yang berbahaya) dari dalam tubuh melalui permukaan kulit. Dalam bahasa Inggeris disebut cupping dan dalam bahasa Melayu dikenali dengan istilah Bekam.

Manfaat Bekam
Gambar hiasan.

Bekam adalah kaedah rawatan purba yang telah digunakan dalam merawat pelbagai jenis keadaan dan penyakit di dalam tubuh manusia yang telah diamalkan sejak ribuan tahun dahulu.

Selain itu, antara kelebihan lain berbekam adalah, ia sebenarnya bertujuan untuk mengeluarkan toksik, sel darah mati, sel darah rosak, radikal bebas dan kolesterol dalam darah.

JENIS BEKAM

Terdapat banyak jenis terapi bekam, walau bagaimanapun, dua jenis yang utama adalah bekam kering dan basah.

1. Bekam Kering

Bekam kering atau bekam angin adalah menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksik.

Mengikut kaedah tradisional, kulit yang dibekam akan kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas kira- kira tiga hari.

2. Bekam Basah

Bekam ini dilakukan dengan melukakan permukaan kulit menggunakan jarum tajam. Darah toksik kemudiannya dikeluarkan menggunakan alat pengamal bekam.

Setiap kali proses mengeluarkan darah toksik adalah antara tiga hingga lima minit. Darah toksik dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih.

Rawatan bekam basah digalakkan sebanyak tiga atau empat bulan sekali kerana jika darah kotor tidak dibersihkan dan hanya mengalir di sekitar saluran darah, kesannya boleh menyebabkan saluran tersumbat.

Terdapat 2 pendekatan untuk memahami mekanisme bekam, iaitu:

Dari perspektif Perubatan Tradisional Cina, bekam dipercayai mengawal aliran chi dan keseimbangan yin dan yang. Persamaan dengan akupunktur.

Dari perspektif perubatan barat, bekam dipercayai memberi tekanan fizikal yang merangsang refleks neural dan tindak balas endokrin.

Tidak Menyakitkan

Namun, ramai yang tidak berani mencubanya kerana beranggapan rawatan bekam menyakitkan, mungkin kerana mereka membayangkan proses mengeluarkan darah menggunakan pisau atau jarum tanpa diletakkan ubat bius terlebih dulu.

Mereka yang mahu berbekam hanya akan mengalami rasa sakit seakan digigit semut manakala kesan rawatan pula bergantung kepada pesakit itu sendiri.

Ada pesakit langsung tidak rasa apa-apa, ada rasa sedikit geli ketika dicucuk jarum, kerana bekam tidak menggunakan ubat bius, namun proses sedutan angin pada permulaan rawatan menjadikan kulit kebas.

Proses sedutan ini juga akan menebalkan kulit dan sebenarnya bertindak sebagai bius secara semula jadi.

Bekam buang darah

Bekam adalah rawatan yang begitu digalakkan, membabitkan proses membuang darah bertoksik yang ada di bawah permukaan kulit.

Pembuangan itu bertujuan melancarkan peredaran darah selain membuang angin dalam badan yang menimbulkan rasa tidak selesa.

Rawatan bekam juga mempunyai banyak faedah termasuklah meringankan otot yang kejang, mengatasi ketegangan berpanjangan serta membebaskan angin kotor dan toksik dalam badan.

Rawatan bekam yang merupakan amalan sunnah Rasulullah SAW mampu membantu menyelesaikan masalah kesihatan yang tidak mampu diatasi dengan rawatan perubatan moden di samping menyegar dan menyihatkan badan.

PANTANG SEBELUM DAN SELEPAS RAWATAN

SEBELUM

Makan Berat

Jangan makan berat sekurang-kurangnya dua jam sebelum berbekam. Sebaiknya berbekam dalam keadaan perut kosong.

Ini kerana apabila perut penuh, darah akan tertumpu pada bahagian perut untuk proses pencernaan.

Mandi Air Sejuk

Jangan mandi air sejuk sebelum berbekam kerana ia akan menyebabkan pengaliran darah di bawah permukaan kulit menjadi perlahan. Sekiranya perlu mandi, gunakan air suam.

Maklumkan kepada jurubekam (sekiranya ada):
  • Pengalaman berbekam.
  • Sejarah penyakit yang dialami.
  • Alahan kulit.
  • Jenis ubatan yang diambil.

SELEPAS

Mandi

Jangan mandi satu jam selepas berbekam bagi mengelakkan luka tusukan terkena air mandian seterusnya menyebabkan jangkitan bakteria yang boleh bahayakan kesihatan.

Kesan lebam

Akan hilang dalam masa dua hingga lima hari, bergantung kepada kesihatan individu.

Amalkan minum madu

Dinasihatkan minum sedikit madu untuk mengembalikan tenaga.

MERAWAT KENCING MANIS

Prosedur bekam basah atau bekam darah dilakukan mengikut syarat asas bagi membantu mengurangkan derita penyakit seperti darah tinggi, jantung, diabetes, migrain dan kolesterol dalam darah.

Namun disebabkan kurang maklumat, sebahagian besar pesakit diabetes umpamanya mengelakkan khuatir membawa kesan luka yang lebih serius.

Pesakit kencing manis mengaku mereka tidak berani melakukannya kerana terlalu percaya andaian diabetes menjadi lebih serius, selain trauma terhadap darah.

Tanpa mereka sedari, ia sebenarnya antara rawatan untuk mengurangkan masalah kencing manis dengan menurunkan paras gula dalam darah.

10 TITIK BEKAM

Terdapat 10 titik bekam tradisional mengikut sunnah pada seluruh tubuh tetapi boleh lebih banyak mengikut mengikut masalah yang dihadapi berdasarkan keperluan setiap individu.

Biarpun titik bekam boleh dilakukan diseluruh tubuh, namun rawatan itu tidak boleh dilakukan terlalu banyak untuk satu sesi. Pesakit disaran melakukannya pada kuantiti lima hingga 10 cawan untuk satu sesi rawatan.

Pesakit juga dinasihat mengambil vaksin terlebih dulu sebelum melakukan prosedur berkenaan.

Jumlah darah yang keluar dari tubuh juga tidak boleh terlalu banyak. Dianggarkan antara 50 hingga 60 mililiter (ml) sekali rawatan kerana bimbang boleh memudaratkan kesihatan.

Selain lebam dan luka mengambil masa lama sembuh, kesan lebih buruk yang tidak diingini boleh berlaku selepas prosedur bekam ialah penyakit hepatitis B dan C serta HIV yang merebak melalui darah.

Setakat ini, tiada laporan dan tidak pernah berlaku kematian kerana berbekam.

BEKAM SUNNAH RASULULLAH SAW

Daripada Ibn Abbas r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Kesembuhan (ubat) itu ada pada tiga hal: dengan minum madu, pisau hijamah (bekam), dan dengan besi panas. Dan aku melarang umatku dengan besi panas." -Riwayat alBukhari

Jadi, tidak mungkin Rasulullah SAW berbohong tentang kebenaran bahawa bekam mampu menyembuhkan sebahagian penyakit.

Justeru, di sini kami ingin kongsikan beberapa lagi info atau maklumat berkaitan dengan amalan sunnah iaitu bekam dalam Islam.

#1 – Apa Itu Bekam?

Bekam atau ‘al-Hijamah’ adalah salah satu rawatan perubatan Islam yang melibatkan proses membuang darah kotor dan bertoksik yang berada di bawah permukaan kulit. Ianya adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW.

#2 – Bilakah Waktu Dibolehkan Berbekam?

Waktu terbaik berbekam ialah pada 15, 17, 19 dan 21 bulan Qamariyah. Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Barang siapa berbekam pada tanggal 17, 19 dan 21, maka itu akan menyembuhkan semua penyakit.” — Hadis Riwayat Abu Daud

Mengenai hari-hari dalam seminggu, dari Nafi’ dari Umar r.a yang berkata.

"Wahai Nafi’ berbekamlah dengan berkat dari Allah SWT pada hari Khamis, berusahalah menghindari berbekam pada hari Rabu, Jumaat dan Sabtu. Berbekamlah pada hari Isnin dan Selasa kerana itu merupakan hari di mana Ayub disembuhkan dari penyakit dan Allah SAW menimpakan penyakit padanya pada hari Rabu, kerana sesungguhnya penyakit kusta dan belang biasanya muncul pada hari Rabu atau malam Rabu.” — Riwayat Ibnu Majah

#3 – Adakah Terdapat Pantang Larang Dalam Berbekam?

Ya. Terdapat beberapa pantang larang antaranya; tidak boleh berbekam bagi mereka yang mengalami penyakit kulit, orang tua yang lemah fizikal, kanak-kanak dehidrasi, pesakit kanser darah, sering keguguran, orang gila, pesakit Hepatitis A dan B yang parah.

Juga dilarang kepada pesakit yang baru mencuci darah, wanita hamil 3 bulan pertama, mereka yang baru menderma darah, tidak digalakkan bekam ketika sangat kenyang atau sangat lapar, wanita yang sedang haid, penyakit radang usus, ibu yang baru melahirkan anak dan lain-lain mengikut keadaan seseorang.

Antara anggota bahagian tubuh yang tidak boleh dibekam ialah mata, telinga, hidung, mulut, alat kelamin dan dubur.

#4 – Bagaimana Kaedah Bekam Menurut Islam?

Pada zaman Rasulullah SAW, bekam menggunakan kaca atau mangkuk tinggi. Manakala pada zaman Cina kuno, mereka menggunakan tanduk. Manakala orang-orang Eropah pada abad ke-18, mereka menggunakan lintah sebagai alat bekam.

Kini, zaman semakin canggih dan kaedah berbekam juga telah mengalami transformasi, iaitu menggunakan sayatan pisau, gelas udara kaca, gelas vakum – cupping set dan jarum lancet.

#5 – Apa Hikmah dan Kelebihan Bekam?

Hikmah dan kelebihan bekam, antaranya;
  • Menyahut seruan dan sunnah Rasulullah SAW.
  • Membantu melancarkan peredaran darah.
  • Mengeluarkan dan membuang angin, toksik, darah kotor, darah beku serta darah berpenyakit dalam badan.
  • Meringankan otot-otot yang kejang dan tegang, menyegarkan dan menyihatkan badan.
  • Mengeluarkan gula berlebihan yang tidak diperlukan dalam darah (untuk menyembuhkan penyakit kencing manis/diabetes).
  • Tidak memberi peluang kepada mahkhluk halus menjadikan tubuh anak Adam sebagai tempat tinggal mereka.
  • Mengeluarkan asid urik yang tidak diperlukan dalam darah (untuk menyembuhkan penyakit gout).
  • Mengeluarkan lemak/minyak berlebihan di dalam darah (untuk menyembuhkan masalah berat badan berlebihan dan masalah jerawat).
  • Membuang racun atau sihir dalam badan dan banyak lagi manfaatnya.

#6 – Adakah Orang Bukan Islam Boleh Berbekam?

Ya. Bahkan, sejarah mencatatkan bahawa penduduk di negara China sudah lama mengamalkan kaedah rawatan ini dalam pengubatan penyakit di sana, selain negara Eropah.

#7 – Selamatkah Bekam?

InsyaAllah selamat. Ini kerana kaedah ini adalah sunnah Rasulullah SAW bahkan kaedah yang dijalankan pada zaman sekarang turut diakui oleh Jabatan Kesihatan.

Namun begitu, perlu diingatkan sebelum berbekam, adalah lebih baik anda memilih tempat atau pusat rawatan bekam yang diakui oleh Jabatan Kesihatan, tidak melanggar syarak dan juru bekam yang benar-benar terlatih serta diakui kemahirannya.

Kesimpulan

Moga perkongsian ini dapat memberi pencerahan kepada kita semua mengenai salah satu sunnah Rasullah SAW yang jarang diwar-warkan.

Jika orang bukan Islam meyakini kaedah rawatan ini, mengapa kita sebagai umat Islam perlu takut dan meraguinya?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Sunday, October 30, 2016

Bekam Sebagai Kaedah Merawat Penyakit Wujud Sejak Tamadun Purba!

Bekam Sebagai Kaedah Merawat Penyakit Wujud Sejak Tamadun Purba!

Bekam adalah salah satu kaedah rawatan tradisional untuk kesihatan yang diamalkan sejak zaman purba lagi.

Bekam

Sejarah bekam sudah bermula sejak sekian lama, ribuan tahun dahulu dan dikalangan orang Islam, rawatan bekam dikenali sebagai al-Hijamah.

Namun, tahukah anda tamadun terawal manakah yang telah mengamalkan rawatan berbekam ini?

Rawatan Bekam Tamadun Mesir Purba

Pada zaman Mesir purba, terdapat ukiran hieroglyphic yang menceritakan tentang amalan berbekam seawal 3,500 tahun yang lalu.

Terdapat juga sebuah buku perubatan yang ditulis seawal tahun 1550 Sebelum Masihi.

Namun, makalah ini dipercayai dicatat semula daripada manuskrip perubatan yang jauh lebih awal.

Manuskrip perubatan Mesir purba ini jelas mencatatkan tentang penggunaan rawatan bekam.

Rawatan Bekam Tamadun China

Tiada tamadun (mungkin Islam) yang mencatatkan tentang bekam dengan begitu teliti seperti mana yang dicatatkan oleh tamadun China.

Rekod terawal tentang amalan berbekam dicatatkan sehingga seawal 3,000 tahun yang lalu, menjelaskan tentang bagaimana amalan bekam digunakan untuk menyembuhkan penyakit Pulmonary Tuberculosis.

Terdapat catatan yang merujuk kepada seorang Taoist terkenal bernama Ge Hong yang hidup sekitar 281-341 Masihi, yang terkenal dengan amalan kimia dan perubatan herbanya.

Dia dikatakan menceritakan tentang penggunaan tanduk haiwan dalam amalan berbekam untuk menyembuhkan bisul-bisul yang tumbuh di kulit manusia dalam bukunya yang bertajuk A Handbook of Prescriptions of Emergencies (Jou How Pei Jyi Fang).

Ge Hong juga memberi nama untuk amalan berbekam ini sebagai Jiaofa.

Catatan daripada Dinasti Tang yang berdiri pada abad ke 7 Masihi dahulu turut menceritakan tentang amalan berbekam dalam buku seperti Necessities of a Frontier Official (Wai Tai Mich Yao) ditulis oleh Wang Tayr.

Buku ini memperkatakan tentang penggunaan bekam yang dapat menghindarkan diri daripada sakit kepala, sakit perut dan juga pening dalam tubuh seorang pesakit.

Bekam merupakan salah satu cara perubatan tradisional China selain daripada penggunaan Akupunktur dan juga Moxibustion (rawatan api panas).

Catatan lain seperti dalam buku Supplement to Outline of Materia Medica (Ban Tsau Gang Mu Chyr Yi) yang ditulis oleh Zhao Xuemin daripada Dinasti Qin.

Catatan ini menceritakan tentang amalan berbekam yang dikatakan menggunakan cawan yang diperbuat daripada tanah liat dan buluh.

Rawatan Bekam Tamadun Islam

Dalam sejarah tamadun Islam pula, antara rekod terawal yang diperkatakan tentang amalan bekam ialah dari sebuah hadis Rasulullah SAW yang dicatatkan seperti dibawah.

"Tidaklah aku melewati sekumpulan malaikat pada malam aku diisra'kan, melainkan mereka (para malaikat) semua mengatakan kepadaku, "Hai Muhammad, engkau harus berbekam." Hadis riwayat Tirmidzi.

Juga hadis lain yang berbunyi, "Kesembuhan dapat diperoleh dengan tiga cara, Pertama, dengan meminum madu (dengan ubat herba), kedua, dengan berbekam/hijamah dan ketiga, dengan (terapi) besi panas. Dan aku tidak menganjurkan umatku untuk melakukan pengubatan dengan besi panas." Hadis riwayat Bukhari.

Selain itu, amalan berbekam turut di dapati dalam buku Al-Tibb Al-Nabawi yang merupakan sebuah kompilasi yang berbicara tentang amalan perubatan yang disandarkan kepada Rasulullah SAW, dimana terkandung juga tentang amalan berbekam.

Selain itu, ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina (980-1036 Masihi) turut dicatatkan menggunakan amalan berbekam dalam rawatannya.

Tamadun Lain

Dalam tamadun lain pula, pengamal perubatan Yunani purba iaitu Hipocrates dicatatkan menggunakan amalan berbekam sekitar tahun 400 Sebelum Masihi.

Manakala sejarahwan Yunani, Herodotus juga pernah menulis tentang kebaikan berbekam pada tahun 413 Sebelum Masihi.

Selain itu, kebaikan berbekam juga pernah dicatatkan dalam tamadun Afrika sekitar tahun 1701 Masihi.

Seorang pakar bedah, Charles Kennedy, dari Amerika Syarikat pernah mengakui tentang kejayaan bekam dalam kebanyakan rawatannya pada tahun 1826.

*Artikel ini dipetik dari Facebook ThePatriots.

BACA INI JUGA: 5 Makanan Sebagai Penyembuh Penyakit Oleh Para Nabi Dan Wali

-Sentiasapanas.com