Saturday, October 26, 2013

Bantuan Sekolah RM350 Termasuk Baucer Buku

Bantuan Sekolah RM350 Termasuk Baucer Buku

Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dan baucar buku RM250 kepada pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Bantuan RM100

Beliau berkata, sebanyak RM540 juta disediakan untuk bantuan persekolahan tersebut bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa pada permulaan sesi persekolahan awal tahun.

Ia adalah tahun ketiga kerajaan menyediakan bantuan persekolahan tersebut yang akan memanfaatkan kira-kira 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

“Saya dimaklumkan terdapat ibu bapa yang secara sukarela telah menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Kerajaan amat menghargai dan menyanjungi tinggi nilai murni tersebut,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia sebanyak RM250 kepada setiap pelajar prauniversiti dan Instituisi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian.

“Langkah ini dijangka dapat memanfaat seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan sebanyak RM325 juta,” katanya.

Baucar Buku 1Malaysia diperkenalkan pada Bajet 2012.

Sumber: BERNAMA

GST Kadar 6 Peratus Dilaksanakan 1 April 2015

GST Kadar 6 Peratus Dilaksanakan 1 April 2015

Kerajaan akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 April 2015 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang dimansuhkan.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kadar GST yang akan dikenakan adalah sebanyak 6 %.

“Gst bukanlah cukai tambahan baharu realitinya kadar inflasi kini berada di paras rendah 2%. Kerajaan yakin inilah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi minimum dan terkawal,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2014 di Parlimen pada Jumaat.

Najib berkata pelaksanaan GST dapat membantu negara menangani banyak kelemahan dalam sistem pencukaian sedia ada.

“Sebagai contoh pada waktu ini sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran tanpa kita sedari, kita dah membayar dua kali cukai iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

“Dalam bahasa mudahnya dalam sistem GST pengguna perlu membayar satu kali cukai sahaja. Realitinya juga perubahan harga barangan dan perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum,” katanya.

Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, ia adalah kadar yang terendah di kalangan negara anggota ASEAN.

Untuk rekod, Singapura dan Thailand mengenakan GST pada kadar 7 peratus, manakala Indonesia, Filipina, Cambodia, Laos, ietnam dan Myanmar pula 10 peratus.

GST bagaimanapun dikecualikan bagi lima perkara, iaitu barangan makanan asas, perkhidmatan pengangkutan awam, urusan jual-beli serta sewaan rumah kediaman, perbelanjaan keatas perkhidmatan atau pembelian barangan pelajaran dan pendidikan, serta bayaran kadar pertama tarif bil air serta elektrik yang ditetapkan.

Selain itu, bagi meringankan beban rakyat, kerajaan akan memberikan RM300 (one-off) kepada semua penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Manakala 1-2 mata peratusan cukai pendapatan individu dikurangkan mulai tahun taksiran 2015.

Sektor perniagaan dan industri turut diberikan beberapa potongan cukai tertentu berikutan pelaksanaan GST.

Sumber: Mynewshub

BR1M Kini Individu Bujang Dapat RM300

BR1M Kini Individu Bujang Dapat RM300

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

BR1M

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini, berkata sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

“Pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan mencadangkan caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

“Pendek kata, secara keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000 akan menikmati bantuan sebanyak RM700,” katanya.

NaJib berkata bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 yang menerima bantuan BR1M sebanyak RM450, juga akan menerima caruman i-BR1M bernilai RM50 yang menjadikan jumlah keseluruhan BR1M sebanyak RM500.

Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 ini, kerajaan akan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 7.9 juta penerima.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Pada tahun lepas, BRIM 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini sebanyak RM250.

Sumber: BERNAMA

Friday, October 25, 2013

Bonus Setengah Bulan Gaji Untuk Penjawat Awam

Bonus Setengah Bulan Gaji Untuk Penjawat Awam

Kira-kira 1.4 juta penjawat awam akanmenerima bonus setengah bulan gaji atau minimun RM500, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bonus Kakitangan Awam

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan lagi bebangolongan pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.

“Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari2014,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Ogos lepas, sebagai persiapan Hari Raya, Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.

Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Sumber: BERNAMA

Subsidi Gula Dimansuhkan Berkuatkuasa Esok!

Subsidi Gula Dimansuhkan Berkuatkuasa Esok!

Subsidi gula sebanyak 34 sen akan dimansuhkan berkuatkuasa esok, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan dalam pembentangan Bajet 2014 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Gula

Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan jumlah pesakit diabetes di negara ini yang agak membimbangkan.

“Berdasarkan statistik, terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes,” katanya.

Diabetes
Diabetes
Pesakit diabetes.

Beliau berkata, keadaan itu jika tidak dikawal akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, mata buta dan kaki terpaksa dipotong.

“Saya menyeru supaya kita bersama-sama jaga kesihatan, kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Tambahkan manis dalam senyuman,” katanya.

Sumber: BERNAMA