Saturday, August 24, 2024

Berakhirnya Perjanjian Petrodollar, Apa Kesannya Kepada Dunia?

Berakhirnya Perjanjian Petrodollar, Apa Kesannya Kepada Dunia?

Kerajaan Arab Saudi telah memilih langkah bersejarah untuk tidak meneruskan perjanjian di antara negara itu dengan kerajaan Amerika Syarikat, yang dikenali sebagai perjanjian petrodollar - menoktahkan kerjasama yang telah terjalin erat sekian lama pada bulan Jun tahun 2024.

Berakhirnya Perjanjian Petrodollar

Sistem kerjasama petrodollar muncul awal tahun 1970-an selepas berlakunya kejatuhan sistem kewangan diasaskan Bretton Woods. Sistem lama itu dirangka bagi mengikat mata wang antarabangsa kepada dollar Amerika Syarikat (USD) yang seterusnya boleh ditukar ke dalam bentuk emas.

Bretton Woods 1971

Pada tahun 1971, kerajaan Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Richard Nixon meninggalkan standard emas secara tergesa-gesa, menyebabkan ketidakstabilan pada nilai mata wang serta berlakunya naik turun nilai tanpa sebarang kawalan dapat diperkenalkan.

Untuk menstabilkan USD dan mengukuhkan kedudukan matawang mereka di peringkat global, Amerika Syarikat dan Arab Saudi mencapai perjanjian penting pada tahun 1974.

Di bawah perjanjian ini, Arab Saudi bersetuju menetapkan harga minyak keluaran mereka menggunakan nilai USD dan melaburkan lebihan hasil minyak dalam pembangunan sekuriti dikelolakan kerajaan Amerika Syarikat.

Sebagai balasan, Amerika Syarikat bersetuju untuk menyediakan sokongan ketenteraan dan ekonomi kepada Arab Saudi.

Kenapa perjanjian ini menguntungkan kedua pihak?

Di pihak Amerika Syarikat, perjanjian petrodollar memastikan berlakunya permintaan berterusan untuk matawang USD di peringkat global, yang pasti akan mengukuhkan kedudukan matawang itu sebagai mata wang rizab dunia.

Permintaan tinggi ini membantu Amerika Syarikat membiayai defisit bajetnya akibat masalah ekonomi yang melanda mereka dua dekad sebelum itu serta mengekalkan kestabilan ekonomi tanpa perlu berdepan tekanan inflasi, akibat daripada pengeluaran cetakan wang dalam jumlah yang besar.

Perjanjian petrodolar memberikan beberapa manfaat penting kepada Arab Saudi, dalam banyak aspek.

Pertama, dengan kerjasama ini Arab Saudi mempunyai jaminan keselamatan dan sokongan ketenteraan daripada Amerika Syarikat, yang pasti membantu meningkatkan keselamatan dan kestabilan politik di Asia Barat.

Hasil minyak yang dilaburkan dalam pembangunan sistem sekuriti kerajaan Amerika Syarikat bakal memberikan pulangan yang stabil dan menguntungkan, menyumbang terus kepada kestabilan ekonomi Arab Saudi sendiri.

Selain itu, perjanjian petrdollar juga membantu memperkukuhkan hubungan strategik antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat, dilihat penting dalam aspek geopolitik dan ekonomi negara tersebut.

Apakah kesan positif perjanjian ini kepada dunia?

Selain dua negara terlibat, kesan perjanjian ini juga menyumbang kepada faedah dan tak kurang juga keburukan kepada masyarakat antarabangsa.

Kita bincangkan dulu apa faedahnya sebelum ke sisi buruk perjanjian ini.

Perjanjian petrodollar mengukuhkan kedudukan USD sebagai mata wang utama dalam aktiviti perdagangan dan kewangan global, memudahkan transaksi dan aliran pelaburan antarabangsa kerana ekonomi dunia kini seakan mempunyai satu standard tetap, menyumbang kepada globalisasi ekonomi.

Dengan kitaran petrodolar melalui tindakan melaburkan hasil minyak Saudi dalam aset milik Amerika Syarikat, kecairan ekonomi pada peringkat global meningkat pesat menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan ekonomi semua negara yang ada hubungan ekonomi dengan negara itu.

Dalam aspek lebih fokus, perjanjian ini juga mengukuhkan perkongsian strategik antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi, yang dilihat telah berjaya memastikan bekalan minyak untuk kegunaan dunia stabil selain menstabilkan geopolitik di Asia Barat, yang selalunya ada saja isu dan konflik.

Apa pula keburukannya?

Walaupun ada banyak kelebihan, setiap sistem dirangka manusia pasti ada kekurangannya. Begitulah juga dengan perjanjian petrodollar ini.

Perjanjian petrodollar membawa kesan negatif kepada negara-negara selain Amerika Syarikat dan Arab Saudi. Sistem ini menyumbang kepada ketidakseimbangan ekonomi global apabila negara yang memiliki defisit perdagangan besar, terutama yang mengimport minyak terpaksa membayar dalam USD untuk melakukan transaksi.

Syarat ini telah membawa kepada peningkatan hutang luar negeri dan tekanan ekonomi kepada negara terkesan, membuatkan negara-negara sebegini terdedah kepada turun naik nilai matawang dan dasar monetari Amerika Syarikat, yang sering dikritik hanya mengutamakan nilai matawang mereka serta tidak mempedulikan kepentingan ekonomi pada tahap global.

Perjanjian yang diperkenalkan juga memperkukuhkan kebergantungan dunia terhadap minyak galian sebagai sumber tenaga utama, melambatkan usaha beralih kepada sumber tenaga yang lebih baik dan lebih penting, boleh diperbaharui.

Kebergantungan kita kepada petroleum ini tidak hanya menyumbang kepada perubahan iklim dan pencemaran yang boleh atau telah berlaku.

Oleh kerana disandarkan harga minyak kepada USD, negara-negara yang ekonominya bergantung kepada import minyak pasti menghadapi ketidakstabilan ekonomi yang agak signifikan setiap kali harga minyak global naik dan juga turun. Kita sendiri telah merasai kesannya kepada ekonomi kita.

Akhir sekali, kerjasama Arab Saudi sebuah negara Islam dengan Amerika Syarikat yang dilihat sebagai perosak utama dunia, jelas memberi pengaruh besar kepada geopolitik serantau khususnya di Asia Barat; menyebabkan ketegangan dan konflik di beberapa bahagian dunia.

Sokongan ketenteraan dan ekonomi Amerika Syarikat kepada Arab Saudi menimbulkan persaingan dan ketegangan dengan negara-negara serantau banyak kali menghalang usaha yang cuba dibuat bagi mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan negara-negara di rantau tersebut.

Apa diramal berlaku selepas ini?

Keputusan Arab Saudi untuk tidak memperbaharui perjanjian petrodollar, yang berkuat kuasa pada 9 Jun 2024 menandakan bakal berlaku perubahan ketara dalam landskap ekonomi global.

Arab Saudi kini boleh menjual minyak dalam matawang berbeza, dengan matawang seperti renminbi China, Euro, Yen dan juga mata wang digital seperti Bitcoin dikatakan boleh dijadikan alat transaksi.

Dengan berlakunya pertukaran dalam sistem lebih luas sebegini, diramal akan berlakunya pengurangan dominasi USD ke atas ekonomi dunia.

Negara pengeluar minyak pula diramal akan menyusun semula rizab tukaran asing yang menjadi aset dan serta mengubah sistem transaksi, yang dilihat berpotensi meningkatkan permintaan untuk matawang lain serta aset berbentuk digital.

Peralihan ini dikatakan mampu mempercepatkan pembangunan sistem kewangan dan platform pembayaran baru, dengan mata wang digital diselia bank pusat dikatakan bentuk matawang yang bakal diambil sebagai standard.

Lebih penting, pengakhiran perjanjian petrodolar dikatakan akan mengubah pakatan geopolitik dan perkongsian ekonomi antara negara-negara besar, khususnya selepas kita dapat melihat bagaimana Arab Saudi menyusun semula hubungan ekonomi dan keselamatannya.

Persetujuan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu menyertai pakatan BRICS (pakatan dibentuk negara pengasas Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) pada bulan Januari 2024, dilihat sebagai isyarat awal apa hala tuju kerajaan Arab Saudi selepas ini.

GELOMBANG BRICS

Kumpulan BRICS telah menyaksikan dua gelombang pengembangan sejak kemunculannya pada 2006.

Pada tahun 2011, Afrika Selatan menyertai ahli asal yang termasuk Brazil, Russia, India dan China. Pada Ogos 2023, enam ahli baharu, dijemput untuk menyertai kumpulan itu, termasuk Argentina, namun Buenos Aires menukar fikiran pada akhir Disember tahun 2023 lalu.

Lima ahli baharu, Mesir, Iran, UAE, Arab Saudi dan Ethiopia, secara rasmi menyertai kumpulan itu pada 1 Januari 2024.

Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia, bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.

MALAYSIA SERTAI BRICS

Sementara itu, Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) tidak lama lagi, kata Anwar Ibrahim.

Kami telah mengambil keputusan yang sewajarnya. Kami akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi. Sekarang kami menunggu keputusan akhir, maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan, kata beliau.

Memetik laporan NEWS.AZ, Anwar berkata sebelum ini beliau mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Menurutnya, Malaysia 'lega' dunia tidak lagi unipolar (sistem tadbir urus global dikuasai sebuah negara berkuasa penuh tanpa boleh dicabar) dan kebangkitan BRICS dan China khususnya telah menawarkan harapan terdapat semak dan imbang di dunia.

Perdana Menteri berkata Barat mahu "mengawal wacana" di dunia, tetapi "kita tidak lagi boleh menerimanya kerana mereka bukan lagi kuasa penjajah dan negara-negara merdeka harus bebas untuk menyerlahkan diri mereka".

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com