Friday, April 14, 2017

Akhirnya Azizulhasni Awang Bergelar Juara Keirin Berbasikal Dunia!

Akhirnya Azizulhasni Awang Bergelar Juara Keirin Berbasikal Dunia!

Jaguh pelumba negara, Azizulhasni Awang berjaya membuktikan bahawa saiz fizikal yang kecil bukan penghalang untuk bergelar juara dunia bagi acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong.

Azizulhasni Awang Bergelar Juara Dunia

Azizulhasni yang terkenal dengan nama jolokan 'The Pocket Rocketman' berkata, beliau tidak pernah berputus asa selama berusaha 10 tahun walaupun akur bukan mudah untuk bersaing dengan pelumba luar negara yang mempunyai saiz tubuh badan lebih tinggi dan fizikal besar.

"Setiap hari semasa sesi latihan, saya berusaha keras ke tahap maksimum. Orang mengatakan saya tidak boleh berjaya dalam sukan ini kerana saiz fizikal saya.

"Saya tahu saya bersaing dengan mereka yang bertubuh sasa dan berbadan besar," katanya dalam laman Instagram @azizulawangofficial.

Azizulhasni berkata kemenangan itu juga merupakan detik manis sepanjang kariernya kerana sebelum ini beliau hanya memperoleh pingat perak pada 2010 dan pingat gangsa pada 2015 dan 2016.

Pelumba kelahiran Terengganu itu juga pernah memenangi pingat perak dalam acara pecut pada 2009 di Poland.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu menghadapi tentangan sengit daripada lima pelumba lain sebelum mencecah garisan penamat untuk meraih pingat emas dalam perlumbaan yang diadakan di Hong Kong Velodrome Park.

Azizulhasni berkata, selain berusaha dalam latihan beliau juga tidak pernah berputus asa berdoa untuk mencapai kejayaan itu.

"Malam yang sukar saya percayai. Saya berusaha keras untuk merebut gelaran dunia ini.

"Saya pernah mendapat gangsa dan perak dua kali serta kalah hanya beberapa milimeter tetapi tidak pernah berputus asa.

"Saya percaya jika saya terus bekerja keras dan yakin pada diri sendiri, masa saya akan tiba.

"Saya berdoa kepada Allah setiap hari supaya menganugerahkan kemenangan ini.

"Saya yakin Allah mendengar dan kini Hong Kong adalah saksi kepada sejarah yang dilakar.

"Akhirnya matlamat saya untuk menjadi juara dunia menjadi kenyataan," katanya.

Azizulhasni turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sentiasa memberikan sokongan dan memberikan inspirasi untuk beliau menjadi seorang atlet yang cemerlang serta contoh kepada generasi muda.

"Terima kasih atas kata-kata semangat terutama sebelum perlumbaan dan saya berpegang kepada janji saya terhadap YB untuk membawa pulang Rainbow Jersey.

"Saya kini juara dunia," katanya.

Tonton videonya di YouTube, pecutan yang luarbiasa!

Tahniah!

BACA INI JUGA: Kontroversi! Azizulhasni Diarah Buka Sarung Tangan ‘Save Gaza’!

sumber: SH

Saturday, July 26, 2014

Kontroversi! Azizulhasni Diarah Buka Sarung Tangan ‘Save Gaza’!

Kontroversi! Azizulhasni Diarah Buka Sarung Tangan ‘Save Gaza’!

Tindakan berani penunggang lumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang menggunakan sarung tangan bertulis ‘Save Gaza’ sewaktu beraksi di Sukan Komanwel semalam mengundang rasa tidak senang pada pihak penganjur.

Azizulhasni Awang Save Gaza

Justeru, dia telah diberi amaran dan tidak dibenarkan menggunakan sarung tangan tersebut untuk acara seterusnya hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Azizulhasni menerusi akaun Facebooknya.

Azizulhasni Awang Save Gaza [2]

Menurutnya, mesej tersebut hanya luahannya dari segi kemanusiaan dan bukannya berbaur politik.

Pada masa yang sama, dia turut berterima kasih pada mereka yang menyokong tindakannya dan memohon maaf jika ada pihak yang merasakan perbuatannya itu sebagai satu kesalahan.

Azizulhasni merupakan satu-satunya wakil Malaysia ke suku akhir acara berbasikal pecut individu lelaki semalam dan berjaya menamatkan pusingan kelayakan di tempat ketujuh daripada 12 peserta dengan catatan masa 10.158s.

BACA INI JUGA: PEPSI - Pay Every Penny to Save Israel

-SENTIASAPANAS.COM