Saturday, September 28, 2024

Bahaya Isi Minyak Kereta Bila Tangki Hampir Kosong!

Bahaya Isi Minyak Kereta Bila Tangki Hampir Kosong!

Ada tabiat dikalangan pemilik kereta yang perlu diberi perhatian serius seperti menunggu sehingga tangki hampir kosong sebelum mengisi semula minyak, yang dikatakan bukan sahaja merugikan dari segi kewangan, tetapi juga boleh membawa kepada masalah mekanikal yang lebih besar.

isi minyak kereta

Dalam perkongsian Zulkifli Mohamed Sharif di Facebook, dia berkata terdapat dua kesan buruk boleh berlaku kepada kereta sekiranya pemilik tidak mengubah corak pengisian semula minyak.

1. Kerosakan pada fuel pump

Salah satu risiko utama apabila menunggu hingga lampu amaran minyak menyala adalah kerosakan pada fuel pump.

Apabila tahap terlalu rendah, fuel pump akan terdedah kepada panas yang berlebihan kerana tidak cukup minyak untuk menyejukkannya.

Kos untuk menggantikan alat ini pastinya mahal dan jika anda menggunakan alat ganti aftermarket (OEM), kualitinya adalah berbeza-beza (ada yang hanya bertahan selama beberapa minggu).

2. Sistem pembakaran tersumbat

Menunggu hingga tangki kosong boleh menyebabkan kotoran yang terkumpul di bahagian bawah tangki minyak masuk ke dalam sistem bahan bakar.

Ini boleh menyumbat filter bahan bakar dan menyebabkan masalah pada enjin, yang memerlukan kos pembaikan dengan jumlah tinggi.

3. Kesan kepada catalytic converter

Apabila enjin berfungsi tanpa bekalan bahan bakar mencukupi, ia boleh menyebabkan pembakaran yang tidak lengkap.

Ini bukan sahaja mengurangkan prestasi enjin tetapi juga boleh merosakkan catalytic converter yang mahal.

Jangan tunggu sehingga lampu amaran menyala untuk mengisi minyak tetapi sebaliknya, isikan minyak apabila tangki berada pada tahap suku penuh.

Ini bukan sahaja membantu memastikan sistem bahan bakar berfungsi dengan baik, tetapi juga dapat mengelakkan kerosakan yang tidak perlu dan kos pembaikan tinggi.

Mengubah tabiat isi minyak anda boleh memberikan impak positif kepada prestasi kereta dan menjimatkan wang dalam jangka panjang.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, August 08, 2022

Trak Pikap 4X4 'Pembunuh' Di Jalan Raya!

Trak Pikap 4X4 'Pembunuh' Di Jalan Raya!

Setiap kemalangan dan kematian di jalan raya adalah tragedi. Malangnya, kemalangan membabitkan trak pikap semakin menjadi-jadi. Puluhan nyawa terkorban dalam kemalangan membabitkan jentera 4X4 yang semakin kerap berlaku.

4x4 Bertembung
Kenderaan 4x4 bertembung dijalan Kimanis, Sabah.

Apabila ia membabitkan lima sekeluarga atau pemanduan yang tidak cermat, ia lebih merungsingkan terutama apabila melibatkan trak pikap ini.

Justeru, terdapat permintaan bahawa mereka yang memandu trak pikap menjalani latihan khas atau lesen baharu bagi menangani masalah kemalangan yang 'kejam' ini.

Memang kalau ada kemalangan membabitkan kereta dan trak pikap, ia seperti menghempas bongkah batu ke atas telur.

Mangsa dalam kereta kalau memakai tali pinggang sekali pun tidak akan terselamat jika dirempuh gergasi ini. Ini kerana, trak pikap bukan kenderaan persendirian biasa.

Berat setiap pikap boleh mencecah sehingga 3.6 tan berbanding purata berat kereta biasa adalah 1.5 tan. Kereta kecil lebih ringan daripada satu tan. Lori satu tan tanpa muatan hanya dianggarkan seberat 2.7 tan tanpa muatan.

Kalau yang pernah membuat perkiraan fizik mengenai daya dan momentum akan mengetahui kesan impak, jisim dan kelajuan, mereka akan tahu betapa mengerikan pelanggaran membabitkan trak pikap.

Trak pikap seberat 3.5 tan (tidak termasuk muatan) bergerak pada kelajuan 130kmj menghempas sebuah kereta kecil seperti Alza, kadar momentum menerusi rempuhan itu adalah sangat dahsyat. Tidak mungkin pemandu dan penumpang kenderaan persendirian itu akan selamat.

Ini kerana, saiz dan kelajuan trak pikap itu terlalu kuat untuk ditahan oleh mana-mana jenis kenderaan kecuali mungkin kereta kebal.

Mengikut satu kajian, seorang pemandu kereta kecil 412 kali berkemungkinan akan maut atau cedera parah jika dilanggar kenderaan 4×4 seperti trak pikap. Data kematian membabitkan pikap hanya mengesahkan kajian ini.

Trak pikap juga mempunyai dimensi sangat berbeza berbanding kereta biasa. Ia lebih panjang dan lebar. Trak pikap boleh mencapai 21 kaki panjang dan 6 kaki 10 inci lebar.

Bayangkan, momentum dijana oleh sesuatu yang mempunyai saiz sebesar itu.

Penggunaan trak juga semakin berkembang kerana ia pilihan mudah dan murah berbanding mendapatkan lesen komersial contohnya untuk lori satu tan.

Memandu lori juga memerlukan lesen berlainan iaitu kelas E dan bukan D seperti kereta persendirian. Dan kebanyakan trak pikap digunakan untuk tujuan komersial dan bukan seperti kereta persendirian.

Laporan terbaru daripada lebih 50 negara menunjukkan jalan raya Malaysia negara kelapan paling tidak selamat.

Ia adalah masalah yang perlu diselesaikan kerana gergasi ini di jalan raya tanpa latihan pemanduan yang betul, seperti memberi kanak-kanak sepucuk pistol penuh dengan peluru hidup.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, July 27, 2022

Beza Warna Pada Minyak Petrol Tiada Kaitan dengan Prestasi!

Beza Warna Pada Minyak Petrol Tiada Kaitan dengan Prestasi!

Beberapa tahun lalu, pernah viral sebuah video yang memaparkan perbandingan warna petrol RON97 dari dua buah stesen petrol berlainan jenama dan mendakwa kedua-duanya berbeza kualiti seterusnya memberi kesan kepada kadar penggunaan bahan api.

Beza Warna Minyak Petrol

Isu ini menyebabkan jurucakap dari sebuah syarikat minyak utama tampil mengatakan bahawa, pewarna yang digunakan pada petrol tidak menjejaskan kualiti produk mereka.

Menurutnya, warna semulajadi pada petrol dan diesel adalah kuning cerah, seperti yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pewarna pada bahan api perlu ditambah untuk tujuan pengenalan kepada beberapa gred dan jenis bahan api.

Kualiti minyak petrol tidak boleh dilihat dengan sekadar melihat warnanya seperti. Warna tersebut adalah kerana tambahan dyes (pewarna) dalam minyak-minyak tersebut dan ia biasanya berbeza-beza mengikut syarikat, sebab itu warnanya berbeza.

Dyes ditambah untuk membezakan antara produk untuk tujuan2 tertentu.

Di Malaysia, RON97 diwartakan perlu diwarnakan dengan warna merah, manakala untuk RON95 ia perlu diwarnakan dengan warna kuning.

Pewarna yang digunakan dalam petrol juga tidak memberikan kesan kepada kualiti bahan api serta prestasi enjin.

Pandangan ini adalah senada dengan pakar dalam industri, yang mengatakan perbezaan warna antara petrol RON97 adalah kerana perbezaan jumlah pewarna yang digunakan, yang berkadar antara lima bahagian setiap juta (ppm) dan 18 ppm.

Kaedah suntikan pewarna, yang dilakukan secara automatik atau secara campuran pukal, juga menyebabkan perbezaan kepada ton warna. Perbezaan warna mungkin juga kerana bahan api berkenaan dibekalkan dari terminal berbeza.

Sementara itu, Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) Datuk Zulkifli Mokti, menyarankan bahawa jika seseorang itu merasakan kelainan pada prestasi bahan api, mereka perlu menghantar contoh bahan api berkenaan ke makmal kimia untuk diperiksa.

"Ambil contoh petrol berkenaan dan hantarnya untuk pemeriksaan kimia serta buat laporan kepada SIRIM dan mereka akan memeriksanya.

"Apabila berkaitan dengan warna, bercakap berkenaan prestasi, ia agak susah untuk diperkatakan. Jika ada perbezaan kecil, anda tidak akan mengetahui atau merasakannya kecuali anda menggunakan tolok.

"Agak sukar untuk mengatakan sama ada ia bagus atau tidak, sama ada ia bercampur, tirus atau tidak. Anda perlu menghantarnya ke makmal untuk diperiksa sama ada ia mempunyai masalah atau tidak."

Kesimpulannya, pewarna tidak mempunyai sebarang kesan kepada kualiti bahan api.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, August 26, 2020

Bagaimana Proses Lelong Kereta Yang Ditarik Bank?

Bagaimana Proses Lelong Kereta Yang Ditarik Bank?

Setelah tempoh 21 hari Jadual Kelima tamat, bank perlu menjual kereta yang ditarik balik untuk mendapatkan kembali "kos dan modal"nya. Pada zaman sekarang, bank akan membuat lelongan awam untuk kereta kereta yang telah ditarik balik selalunya bertempat di stor simpanan kereta yang menjadi panel bank siap dengan pelelong berlesen dengan "tukul kayu"nya.

Proses lelong kereta
Gambar hiasan.

Dulu, bank cuma perlu iklankan di surat khabar untuk "menjemput" orang ramai untuk memasukkan tender untuk membeli kereta tersebut dan kereta akan dijual kepada "pembida" yang tertinggi.

Cara yang sebegini tidak boleh lari dari ekploitasi dan manipulasi "orang dalam" kerana ada dealer yang "kam cheng" dengan pegawai, kerani atau bos akan "potong" harga orang lain asalkan harga sama atau lebih dari harga yang disebutkan dalam Jadual Kelima.

Bukanlah semuanya macam tu tapi yang penting bagi pihak bank semua prosedur perlu dipatuhi dari segi penjualan dan harga dengan dokumen yang lengkap supaya tidak menimbulkan masalah tuntutan balas dari Penyewa dikemudian hari.

Kalau harga tawaran orang ramai kurang dari harga dalam Jadual Kelima, Penyewa harus dimaklumkan tentang "harga" baru yang lebih rendah dan Penyewa diberi peluang untuk memperkenalkan individu yang boleh membeli kereta dengan harga tersebut secara TUNAI. Begitulah seterusnya sampai kereta boleh dijual.

Oleh itu, penjualan secara lelongan awam serba sedikit boleh "menghilangkan" keraguan tentang manipulasi harga walaupun kemungkinan "pakatan sulit" diantara pembida pembida "tegar" masih boleh berlaku.

Ini adalah kerana yang datang untuk membida biasanya adalah wakil wakil atau pemilik pemilik syarikat kereta terpakai dan individu individu yang yang "regular" pada setiap lelongan awam dan mereka mengenali antara satu sama lain walaupun bakal "berlawan" di medan lelongan.

Ada juga individu individu yang datang membida untuk diri sendiri dan individu individu begini selalunya akan menjadi "mangsa buli" oleh geng geng yang dah "season" dengan "pakatan" yang tidak memerlukan perancangan secara lisan.

Cukup dengan jelingan manja, naikkan kening, urut misai, garu kepala dan macam macam lagi isyarat masing masing dengan taktik "Tidak Berminat Move" atau "Potong Mamat Tu Move" atau "Up Harga Sampai Mamat Tu Kena Bayar Lebih Move" dan lain lain "Move" yang memberi kelebihan kepada pembida yang berkepentingan.

Walau apa pun, lelongan awam masih dianggap sebagai yang paling "telus" sebab "permainan" dalam lelongan awam sukar dielakkan seperti juga lelongan rumah tak berbayar.

Menurut prosedur, acara lelongan akan di iklankan di suratkhabar tempatan biasanya 14 hari dari tarikh lelongan dan Penyewa akan dimaklumkan juga tentang perkara ini seperti yang diperuntukan di Seksyen 18 (4)(a) dibawah.

Seksyen 18 (4)(a)

Jikalau penjualan bukan melalui lelongan, Bank perlu juga memberi pilihan kepada Penyewa untuk membeli kereta tersebut jika harganya adalah lebih rendah dari harga yang disebutkan dalam Jadual Kelima.

Dengan keperluan memberi Notis, Iklan dan "tempoh bertenang" yang agak lama, biasanya status tunggakan akaun akan mencecah 5 bulan atau lebih sebab kadang kadang Bank perlu menunggu kereta kereta tarik yang lain yang belum "habis edah" atau "cukup umur" untuk dilelong supaya boleh dibuat sekali gus bagi menjimatkan masa dan kos.

Seperti yang telah ditunjukkan diatas, ada tiga (3) kemungkinan yang akan berlaku pada hari lelongan iaitu:
  • Jumlah lelongan melebihi jumlah hutang;
  • Jumlah lelongan kurang dari jumlah hutang: dan
  • Tiada bidaan diterima atau kereta tak laku.

Dan anda boleh lihat sendiri langkah langkah yang diambil untuk ketiga tiga situasi tersebut.

LANGKAH SELEPAS KERETA BERJAYA DIJUAL

Setelah selesai lelongan awam, katakan kereta telah berjaya dijual dan harga jualan tidak mencukupi untuk melangsaikan hutang yang tertunggak.

Bank akan menghubungi Penyewa untuk memberitahu tunggakan yang masih ada dan meminta penyewa untuk membuat cadangan pembayaran.

Jika tiada maklumbalas dari Penyewa, Bank akan memulakan proses tindakan undang undang dengan menghantar surat atau notis tuntutan (Notice/Letter of Demand) melalui Tuan Loyar dan jika tiada maklumbalas pada masa yang ditetapkan, tindakan Saman akan dimulakan.

Untuk ulangkaji tentang proses "Surat Loyar" dan Saman, anda boleh rujuk prosesnya di Proses Tindakan Undang Undang Pinjaman Peribadi Bahagian 1 dan Proses Tindakan Undang Undang Pinjaman Peribadi Bahagian 2 untuk pemahaman yang lebih baik. Boleh rujuk pihak bank.

Setelah proses "ding dong" sana sini selesai, dianggarkan "umur" tunggakan sudah pun mencecah enam atau menghampiri tujuh bulan. Siasatan oleh team "CSI" masih berjalan untuk langkah seterusnya jika perlu.

Pada tahap tunggakan tujuh bulan, Bank sudah boleh membuat perancangan untuk mengambil tindakan undang undang yang sesuai.

NASIB PENJAMIN

Sekarang kita sampai kepada bab penjamin. Biarlah gambar yang berbicara:

Penjamin Kereta

Walau bagaimanapun, dalam Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) ada beberapa peruntukan bagi Penjamin.

Saya cuma boleh beri "terjemahan bebas" sebab ayat undang undang ini selalunya berpintal pintal supaya memberi ruang untuk Tuan Tuan Loyar membuat interpretasi masing masing dan berhujah untuk mendapat keputusan yang memihak kepada mereka.

Antara intipati Seksyen Seksyen yang ditunjukkan diatas adalah seperti berikut:

1. Penjamin adalah terikat dengan Perjanjian Sewa Beli melainkan dalam keadaan keadaan yang tertentu.

2. Tanggungjawab Penjamin masih berterusan walaupun kereta telah ditarik balik tidak kira samada kereta sudah diserahkan balik atau tidak melainkan Bank dan Penyewa ada membuat perjanjian yang baru.

3. Tanggungjawab Penjamin tidak boleh melebihi tanggungjawab Penyewa dengan apa yang diperuntukan dalam Perjanjian Sewa Beli.

4. Seseorang Penjamin yang menunaikan tanggungjawabnya dan telah membayar apa jua bayaran kepada Pemilik iaitu Bank berhak untuk menuntut balik apa yang telah dibayarnya.

5. Hak Penjamin terhadap Pemilik/Bank – Penjamin boleh melepaskan dirinya pada bila bila masa dari tanggungan jaminan hutang dengan membayar hutang Penyewa kepada Bank.

6. Apabila bayaran hutang dibuat, Penjamin berhak untuk:
  • (a) Menyaman Penyewa atas nama Pemilik/Bank atas pelanggaran Perjanjian Sewa Beli oleh Penyewa tertakluk kepada Penjamin memperuntukan pampasan atas apa jua kos dan perbelanjaan tindakan tersebut atau menyaman atas nama Penjamin sendiri jika dia mengambil pemindahan hakmilik secara sah melalui undang undang keatas Perjanjian Sewa Beli tersebut.
  • (b) Mendesak untuk mengambilalih apa jua cagaran dan sekuriti yang telah diambil oleh Pemilik/Bank keatas Penyewa untuk memastikan Penyewa menunaikan tanggungjawabnya.

7. Penjamin jika ada apa jua tuntutan yang dibuat oleh Pemilik/Bank keatasnya mempunyai hak untuk "melepaskan" dirinya dari tuntutan balas yang dibuat oleh Penyewa terhadap Pemilik/Penyewa.

8. Hak Penjamin terhadap Penyewa – Penjamin berhak untuk diberi gantirugi atau pampasan oleh Penyewa terhadap tindakan Pemilik/Bank atau jaminan yang diberi.

9. Penjamin berhak untuk memaksa Penyewa untuk membayar ansuran bulanan yang termaktub dalam Perjanjian Sewa Beli setiap kali tempoh bayarannya sampai dan untuk tujuan ini Penjamin boleh memohon kepada Mahkamah Majistret untuk mendapatkan Perintah tersebut.

Berbelit belit ayat. Tak tahulah pula ada ke tidak Penjamin yang melaksanakan haknya seperti yang diperuntukan.

Biasanya payah sikit sebab lazimnya Penjamin agak rapat dengan Penyewa seperti Suami atau Isteri dan kawan kawan atau kenalan.

Jadi, samada Penjamin tidak tahu pun hak mereka atau tidak "sampai hati" untuk "menyakiti" atau "menyinggung" perasaan Penyewa atas dasar percaya atau takut dituduh tidak percaya kepada keupayaan Penyewa untuk bertanggungjawab.

Dalam kebanyakan kes, tak boleh percaya pun. Ramai Penjamin yang kena tindakan kebankrapan.

Kalau nak saman balik Penyewa untuk bayaran yang dibayar oleh Penjamin, harapan untuk dapat balik duit pun susahlah jugak tapi bukanlah sesuatu yang mustahil.

Dari segi logik akal, kalau Bank saman pun dia tak peduli, apatah lagi kawan kawan, adik beradik, suami atau isteri atau bekas suami dan bekas isteri melainkan jumlahnya banyak yang boleh membawa kepada kebankrapan atau yang berbaloi untuk dilakukan.

Kalau jumlah yang kecil, lebih kepada membazir masa dan wang. Tuan Loyar pun mungkin malas nak layan. Itulah nasib si Penjamin.

Lagi parah kalau kereta kena "piang" atau dijual "tangan atas tangan" hingga hilang entah kemana.

Bila ada "urusniaga" jenis "sambung bayar" yang juga berisiko untuk hilang kalau tak kena gaya, Penjamin juga yang kena "share" tanggungan.

Kalau setakat "share" status kat Facebook takpelah jugak ini kena pikul "biawak hidup".

Jadi, selesailah sudah siri Prosedur Tindakan Undang Undang Bagi Pinjaman Sewa Beli khususnya untuk kereta.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: chbda

Monday, August 03, 2020

Kisah Bagaimana Jenama Lamborghini Tercipta Selepas Dihina Pemilik Ferrari

Kisah Bagaimana Jenama Lamborghini Tercipta Selepas Dihina Pemilik Ferrari

Lamborghini adalah kereta mewah ikonik yang selalu menangkap mata orang yang memandang ketika ia beraksi di jalan raya namun, syarikat yang diasaskan oleh Ferruccio Lamborghini ini mungkin tidak akan pernah wujud jika Enzo Ferrari lebih bersikap terbuka dan bukannya menghina.

Ferruccio Lamborghini

Lamborghini adalah lelaki yang dilahirkan di Itali. Dia juga adalah seorang bekas tentera dan setelah Perang Dunia ke-II, dia telah berkecimpung dalam industri pembuatan traktor setelah mendapati banyak logam yang terbiar selepas peperangan.

Menurut The Independent, ketika ayahnya, seorang petani, memerlukan sebuah mesin untuk digunakan di ladang, Lamborghini telah bertindak membina sebuah traktor dari beberapa alat ganti yang dia jumpa.

Kepakaran Lamborghini telah menjadikannya terkenal sebagai mekanik yang menjadi tempat rujukan tentera Itali.

Mereka datang ke tempatnya untuk membaiki atau memasang peralatan bagi membina mesin yang melibatkan industri ketenteraan.

Perniagaan Lamborghini dalam industri traktor telah menjadikannya antara orang yang sangat kaya dan kebanyakan duitnya dihabiskan untuk membeli beberapa kereta mewah.

Salah satu kereta yang dibeli oleh Lamborghini adalah jenama Ferrari 250GT, namun dia merasakan seperti ada masalah dengan model 250GT ini.

Terkenal sebagai seorang lelaki yang teliti, dia mendapati bahawa kereta model 250GT keluaran Ferrari mempunyai masalah di bahagian klac.

Lamborghini countach
Lamborghini Countach.

Tidak mahu masalah ini terus berulang, suatu hari Lamborghini telah memutuskan untuk berjumpa dengan Enzo Ferrari dan memberitahu masalah yang dia hadapi sepanjang membawa kereta Ferrari 250GT.

Ketika dia mencadangkan kepada Enzo Ferrari agar mereka menggunakan klac yang lebih baik bagi kenderaan kelas mewah, Lamborghini diejek oleh Enzo Ferrari.

Tidak cukup dengan itu, Lamborghini diminta untuk fokus kepada industri traktor sahaja dan jangan masuk campur urusan kereta.

Terkesan dengan hinaan tersebut, dia telah bersumpah untuk membina sebuah kereta GT dengan sasaran untuk mengalahkan populariti kereta Ferrari.

Dibantu oleh 3 bekas pekerja Ferrari, dia bereksperimen untuk membina sebuah kereta GT mewah dan berkuasa serta mampu dipandu sehingga 241km/jam.

Dari situ lahirlah Lamborghini 350GT dan ia dilancarkan pada tahun 1963 di Turin Auto Show.

Walaupun kereta ini tidak hadir bersama-sama dengan enjin, namun Lamborghini telah menerima beberapa pujian yang baik dari pakar dan pemerhati yang hadir ketika itu.

Supercar Pertama Dunia

Lamborghini Miura
Lamborghini Miura.

Sejak itu, Lamborghini tidak pernah berhenti untuk mengeluarkan kereta-kereta mewah dan pada tahun 1966, model Lamborghini Miura dihasilkan dan disebut sebagai supercar pertama dunia.

Manakala pada tahun 1970-an, Lamborghini kembali dengan Countach, sebuah kereta yang kelihatan futuristik dengan reka bentuk bukaan pintu lain dari yang lain.

Walau bagaimanapun, Lamborghini tidak mampu untuk mempertahankan jenamanya. Dia terpaksa menjual perniagaan automobilnya setelah mengalami beberapa masalah.

Jenama Lamborghini pada mulanya bertukar tangan beberapa kali sebelum akhirnya dibeli oleh Audi – sebahagian daripada kumpulan Volkswagen – pada tahun 1990-an.

Namun begitu, Lamborghini telah mengajar kita bagaimana seseorang itu bangkit setelah dihina oleh Enzo Ferrari.

Walaupun kata-kata Ferrari itu dianggap kejam, tetapi ia sedikit sebanyak telah memberi motivasi kepada Lamborghini untuk membina sebuah jenama kereta yang hingga sekarang menjadi kegilaan ramai orang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Friday, July 10, 2020

Proton Saga Anniversary Limited Edition Harga RM39,300!

Proton Saga Anniversary Limited Edition Harga RM39,300!

Mula dilancarkan pada tahun 1985 sebagai model sulung daripada jenama Proton, siapa sangka Proton Saga kini sudah berjaya berada di pasaran Malaysia selama 35 tahun berturut-turut dan pada tahun 2020 bersempena ulang tahun yang ke-35 model ini, Proton telah melancarkan model edisi terhad buat Saga yang dinamakan sebagai Proton Saga Anniversary Edition.

Proton Saga Anniversary Limited Edition Depan

Menerusi model ini, proton telah menggunakan model Saga Premium AT dan menawarkan penambahan ciri-ciri yang tidak tersedia pada model-model lain.

Bermula dengan warnanya, Proton telah memilih warna Quartz Black serta dipadankan bersama warna kuning pada bahagian gril, lip hadapan, skirt, cermin sisi serta diffuser, manakala saiz rim 15-inci masih lagi dikekalkan dan ditambah dengan warna matte grey.

Proton Saga Anniversary Limited Edition Back

Tidak hanya menawarkan kemasan warna kuning pada bahagian luar, bahagian dalam Proton Saga edisi terhad ini turut ditawarkan dengan kemasan warna yang sama pada bahagian corong penghawa dingin dan kluster meter, sekali gus menaikkan seri model ini.

Saga-interior-Full-Dashboard

Proton Saga Anniversary Edition sedia ditawarkan sebanyak 1,100 unit sahaja dengan harga bermula daripada RM39,300.

Proton Saga Anniversary Limited Edition

Difahamkan, tiada sebarang perubahan telah dibuat pada bahagian enjin dimana model ini menawarkan transmisi automatik dengan empat kelajuan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Friday, June 05, 2020

Ini Cara Pam Tayar Kenderaan Yang Betul

Ini Cara Pam Tayar Kenderaan Yang Betul

Bolehkah tayar dipam mengikut PSI (pound per square inch, paun inci persegi) maksimum seperti dinyatakan pada dinding sisi (sidewall) tayar? Ini kerana ada juga kenyataan yang mendakwa PSI maksimum bukanlah tekanan tepat yang membolehkan tayar kereta berfungsi paling optimum.

Panduan angin tayar

Faktanya, tekanan tayar yang tepat amat penting bagi kelancaran, keselamatan dan ketahanan tayar, kerana jika anda perhatikan tulisan pada dinding sisi tayar, anda pasti perasan perkataan 'Max. Press. 35 PSI'.

Nombor itu memberitahu anda tekanan sejuk maksimum yang diperlukan tayar untuk menampung beban maksimum.

Panduan tekanan tayar

Kata 'sejuk' di atas merujuk kepada situasi anda mengepam tayar pada masa ideal, iaitu ketika cuaca sejuk seperti pada waktu pagi atau selepas kereta dibiarkan beberapa jam di kawasan teduh.

Itulah masa terbaik mengepam tayar. Kebiasaannya, tekanan tayar maksimum berada dalam julat 30 dan 32 PSI.

APA BERLAKU JIKA TAYAR DIPAM MAKSIMUM PSI?

1. Karakter Pengendalian Berubah

Tayar yang dipam maksimum tidak mempunyai ruang anjalan pada dinding sisi. Tahap membelok akan bertambah baik, tetapi anda berdepan risiko ketika pembrekan jajap (threshold braking). Sekali anda membelok pantas atau mengejut, belakang kereta boleh terseret.

2. Jangka Hayat Tayar Merosot

Apabila tayar dipam terlalu banyak, getah pada bunga tayar atas akan jadi lebih menonjol dan membuatkan bahagian tengah tayar cepat haus malah, kawalan traksi juga berkurangan dan anda menghadapi risiko tayar meletup.

Jadi, apakah tekanan tayar terbaik? Apa Tekanan Tayar Optimim?

Anda boleh mengetahui tekanan tayar optimum atau seperti disarankan pengeluar pada pelekat di frem pintu, atau dalam manual pengguna. Sesetengah model menempatkan pelekat pada pintu but, glove box dan lain-lain.

Tekanan disarankan kebiasaannya antara 30 dan 35 PSI. Nombor tersebut menandakan jumlah minimum tekanan udara yang diperlukan untuk menyokong kapasiti maksimum bawa-beban kenderaan anda.

Jika berkurangan, anda akan mendapati penggunaan bahan api dan tahap pengendalian akan terjejas, termasuk mengalami masalah haus disebabkan beban lebih dan getah tayar terlalu menganjal.

Sebaliknya, apabila tayar anda dipam mengikut tekanan PSI disarankan, anda pasti menikmati prestasi dan jangka hayat tayar yang optimum.

BILAKAH MASA MENGEPAM TAYAR TERBAIK?

Bilakah masa terbaik memeriksa tekanan tayar? Sebaiknya, ikutilah 3 syarat asas ini:
  • Setiap kali mengisi minyak.
  • Setiap kali suhu berubah 10ยบ.
  • Sekali bagi setiap 30 hari.

Jika anda mahu tayar anda dipam mengikut tekanan tepat sebelum memandu, apa kata dapatkan tolok tekanan di mana-mana kedai aksesori kereta terdekat. Cara ini lebih memudahkan anda.

Tips: 30 Hari

Bagaimanakah mahu mengingat jumlah tekanan angin yang tepat? Anda mungkin tidak mahu sentiasa melihat pelekat pengingat setiap kali mahu mengisi angin.

Begini, anda cuma perlu ingat jumlah hari dalam sebulan, iaitu antara 30-31 hari. Ya, itulah jumlah tekanan angin yang perlu diisi untuk kereta.

Ia mungkin tidak setepat yang disarankan pengeluar, tetapi ia masih berada dalam julat toleran atau 'selamat' yang boleh anda praktikkan.

Jadi, tidaklah perlu risau jika terkurang atau terlebih mengepam angin tayar jika mengikuti tip ingat ini.

Malah, tips ini boleh membantu anda mengingat jumlah sebenar tekanan tayar kereta anda. Anda cuma perlu ingatkan jumlah hari dalam sebulan dan daripada jumlah itu anda mungkin dapat mengingati semula tekanan tayar sebenar kereta anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pandulaju