Tuesday, March 05, 2019

Video Gol Syahmi Syafari 'Calon' Anugerah Puskas FIFA 2019

Video Gol Syahmi Syafari 'Calon' Anugerah Puskas FIFA 2019

Hajat jutaan rakyat Malaysia untuk sekali lagi melihat anak tempatan dicalonkan bagi Anugerah Puskas akan terlaksana apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cukup serius mencalonkan gol sepakan padu Syahmi Syafari pada separuh akhir pertama Piala AFF bertemu Thailand, Disember 2018 lalu.

Gol Syahmi Syafari Puskas

Gol pertahanan kanan skuad Harimau Malaya itu sememangnya cukup cantik, ditambah dengan beberapa siri hantaran mudah antara pemain negara dengan hanya membabitkan lapan sentuhan nyata sekali ia cukup berkualiti dan mampu mencabar ratusan gol lain di seluruh dunia sepanjang 2018-2019.

Gol itu bukan saja mendapat pujian peminat bola sepak tempatan termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menganggap ia mirip jaringan legenda Brazil, Socrates, malah jaringan itu turut mencuri perhatian media serantau seperti Indonesia, Thailand dan Singapura yang percaya Syahmi mampu mengulangi kejayaan Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas 2016.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, FAM ada membincangkan dalam mesyuarat teknikal badan induk itu untuk mencalonkan gol Syahmi dengan tarikh tutup penyertaan sama ada September atau Oktober depan.

Katanya, menerusi mesyuarat awal itu, majoriti bersetuju untuk menyerahkan video dan pencalonan kepada FIFA namun ia masih lagi belum dimuktamadkan dengan keputusan rasmi dijangka diketahui pertengahan tahun ini.

“Memang ada perbincangan membabitkan pegawai teknikal FAM baru-baru ini tapi ia belum lagi muktamad.

“Disebabkan terlalu banyak isu seperti isu pasukan Perlis, persiapan skuad kebangsaan, persiapan untuk Piala Airmarine dan banyak lagi, FAM terpaksa ‘KIV’ buat sementara waktu sebelum membincangkan lagi lebih lanjut.

“Tapi dalam perbincangan awal menunjukkan tanda positif dan mungkin ia akan diumumkan beberapa bulan lagi,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut memuji jaringan Syahmi dan menyatakan FAM bersedia mencalonkannya bagi Anugerah Puskas FIFA.

Jaringan penyamaan hasil rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-28 itu mendapat pujian ramai dan dianggap tercantik dalam kempen Piala AFF 2018, yang menyaksikan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom sekadar mampu melihat bola menerjah jaring.

Untuk rekod, Malaysia negara pertama dari Asia berjaya memenangi Anugerah Puskas menerusi sepakan percuma ajaib Faiz pada 2016 yang meletakkan namanya kini sebaris dengan pemenang sebelum ini seperti Cristiano Ronaldo (2009), Neymar (2011), Zlatan Ibrahimovic (2013) dan James Rodriguez (2014).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: hmetro

Tuesday, January 10, 2017

Faiz Subri Muncul Pemain Pertama Asia Menang Anugerah Puskas Fifa

Faiz Subri Muncul Pemain Pertama Asia Menang Anugerah Puskas Fifa

Mohd Faiz Subri dari Malaysia merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016.

Faiz+Subri

Kejayaan itu justeru meletakkan namanya sebaris dengan pemenang terdahulu seperti bintang tersohor, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Penyerang Pulau Pinang berusia 29 tahun itu menerima anugerah tersebut hasil keunikan sepakan percuma yang menggegar dunia bolasepak tersebut pada majlis gilang-gemilang di Zurich, Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia).

Kejayaan meraih anugerah tersebut menggembirakan jutaan rakyat Malaysia, yang jauh beribu kilometer daripada suasana musim sejuk di bandar tasik Swiss itu.

Mohd Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

"Secara jujur, ia tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa saya akan mencapai ke tahap ini dan berada sebaris dalam kalangan pemain bola sepak bertaraf dunia di tempat yang hebat ini," katanya selepas menerima anugerah tersebut daripada bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.

Pemain Liga Super itu mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.

Mohd Faiz, yang meraih 59.46 peratus undi, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukannya, keluarga dan peminat yang menyokongnya.

"Saya juga terhutang budi kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership), yang mencalonkan jaringan saya kepada FIFA untuk dinilai," katanya.

Pemain dari Malaysia itu mengetepikan Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang meraih 22.86 peratus undi dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez dengan 10.01 peratus undi.

Ronaldo turut memenangi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA 2016.

Mohd Faiz merupakan 'arkitek' dan jaringannya disifatkan 'melanggar hukum fizik' ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Feb tahun lepas.

Jaringan luar biasa beliau itu, antara yang dianggap paling menarik sepanjang tahun lepas, telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sepakan percuma itu agak mengelirukan dengan bola pada mulanya melencong ke arah penjuru kanan gawang Pahang sebelum ia secara tiba-tiba bertukar arah menyebabkan penjaga gol, Nasril Nourdin tergamam.

Dalam pada itu, Mohd Faiz menganggap kemenangannya itu seperti mimpi menjadi kenyataan selain berasa sangat bertuah dapat bersama dengan pemain terkemuka dunia di Zurich.

Biarpun belum berpeluang menyarung jersi kebangsaan, beliau tetap berbangga dapat mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Syukur saya menang, terima kasih kepada pengundi di Malaysia dan seluruh dunia yang memilih saya. Tidak lupa juga keluarga, jurulatih dan pasukan Pulau Pinang.

"Tanpa sokongan mereka, kejayaan ini mungkin mustahil kerana saingan calon lain yang ternyata hebat," kata Mohd Faiz kepada Bernama.

Beliau turut melihat hakikat menjadi pemain Asia pertama menggondol Anugerah Puskas sebagai pencapaian terbaik dalam karier bola sepaknya.

Beliau menegaskan jaringan gol yang dilakukannya itu bukan sekadar nasib tetapi hasil latihan yang dilakukan hampir setiap hari.

Mohd Faiz seterusnya berkata kejayaan itu merupakan pembakar semangat sempena tahun baharu untuk terus memperbaiki prestasi dan mencapai kecemerlangan pada masa depan.

Sementara itu, isteri Mohd Faiz, Norzanis Hashim yang berada di Zurich memberitahu, "Walaupun saya tidak berada di dewan malam ini, namun sokongan dan doa sentiasa bersama Faiz.

"Sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai pemenang, saya sangat bersyukur doa seluruh warga Malaysia buat suami saya termakbul," katanya.

Selepas pemain tersohor Portugal, Ronaldo menerima pengiktirafan tersebut, Anugerah Puskas dimenangi pemain Turki, Hamit Altintop (2010), pemain Brazil, Neymar (2011), Miroslav Stoch dari Slovakia (2012), Zlatan Ibrahimovic dari Sweden (2013) dan pemain Colombia, James Rodriguez pada 2014.

Pemain kurang ternama dari Brazil, Wendell Lira, menggondol anugerah berkenaan pada 2015.

Tiga finalis, Mohd Faiz, Marlone dan Rodriguez - disenarai pendek daripada keseluruhan 10 jaringan tercantik bagi musim 2016.

BACA INI JUGA: Ferenc Puskás, Lagenda Bola Sepak Di Sebalik Anugerah Puskás FIFA

Sumber: bernama

Monday, December 05, 2016

Faiz Subri Pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016!?

Faiz Subri Pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016!?

Ketika bola sepak negara tidak menunjukkan tanda-tanda ke arah pencapaian lebih tinggi, Faiz Subri menjadi 'penyelamat'.

Faiz Subri

Gol Mohd Faiz Subri sememangnya nasib. Tetapi ia adalah nasib yang baik. Malah bukan saja nasib baik untuk dirinya sendiri sebagai pemain bola sepak, bahkan terbias menjadi nasib yang membanggakan seluruh Malaysia.

Kemaskini: Faiz Subri Muncul Pemain Pertama Asia Menang Anugerah Puskas Fifa

Cukuplah perdebatan tentang jaringan luar biasa Faiz sama ada nasib atau tidak. Sudah jelas ia mempunyai kelas tersendiri sehingga mendapat tempat di pentas antarabangsa.

Bola sepak Malaysia sekurang-kurangnya dikenali dunia untuk sebab yang betul. Sebab yang tidak betul ialah jika Malaysia terkenal - misalnya - kerana skandal rasuah, seks, atau penganiayaan.

Walaupun kehebatan Faiz hanya dipertaruhkan melalui rakaman video, orang luar akan sedar adanya negara Malaysia dan mampunya pemain negara ini mencipta tendangan gol begitu cantik.

Kata penyair besar Indonesia - Chairil Anwar - "Nasib adalah kesunyian masing-masing".

Dan nasib Faiz hadir dalam bentuk kegembiraan yang mengubat kekecewaan kita terhadap sukan bola sepak negara.

Sebaik dicalonkan dalam 10 penjaring gol tercantik bagi dicalonkan sebagai penerima Anugerah Puskas Fifa 2016, Faiz sudah mencipta sejarah.

Faiz Subri bukan sekadar hidangan 'nasi kandar' penyedap rasa tetapi adalah calon yang selayaknya menang Anugerah Puskas Fifa 2016.

Di kakinya ada tuah

Kini, pemain tengah berusia 29 tahun itu telah dipilih sebagai tiga calon akhir untuk merebut gelaran berprestij itu.

Faiz menyifatkan ia sebagai satu bonus dan berlapang dada untuk apa jua keputusan diumumkan pada 9 Januari depan. Semoga nasib baik memihak kepada anak kelahiran Ayer Hitam itu lagi.

Secara ringkas peminat bola sepak yang mengikuti perkembangan pemain kelahiran Kedah ini pasti tidak akan menganggap gol tersebut sebagai 'nasib', atau bahasa mudah sebagai 'tidak sengaja'.

Sepanjang perjalanan bola sepak Faiz, jaringan-jaringan yang dilakukan sebelum gol istimewa itu boleh dikatakan ada kesinambungan meyakinkan.

Di kakinya ada 'tuah' yang menyusuli bakat bola sepak itu sendiri. Kita boleh menyaksikan bagaimana gol-gol yang dihasilkan Faiz Subri sebelum ini.

Jaringan Faiz terhasil dengan kesempurnaan teknik

Seperti dinyatakan bekas jurulatih Pulau Pinang Jacksen Ferreira Tiago sebelum ini, dia selalu melihat Faiz berlatih melakukan tendangan bebas.

Kata Tiago, tendangan ala Roberto Carlos itu pernah dilakukan Faiz sama ada ketika latihan atau dalam perlawanan sebenar dan dia tidak terkejut.

Jurulatih kelahiran Brazil itu percaya, tendangan Faiz adalah hasil usahanya selama ini yang tak jemu mencuba sebelum menghasilkan keajaiban.

Untuk mengulangi lagi pastinya sukar. Sesuatu yang istimewa tidak sering berlaku walaupun menjadi lumrah manusia selalu mengharap.

Akhirnya, waktu ini bukan lagi untuk kita berdebat jaringan Faiz itu tidak disengajakan, nasib atau kebetulan.

Sekarang waktu untuk kita memberi sokongan penuh kepada pemain Malaysia pertama yang sedang mengukir nama dalam sejarah bola sepak dunia.

Faiz sudah menyingkirkan bintang dunia seperti Lionel Messi dan Neymar. Sedikit sebanyak meruntuhkan ego kehebatan Argentina dan Brazil sebagai kuasa besar bola sepak dunia.

Walaupun Brazil masih mempunyai wakil sebagai pencabar melalui Johnath Marlone Azevedo da Silva di samping cabaran pemain wanita dari Venezuela, kitalah akan menentukan nasib Faiz seterusnya.

Sebelum entah bila lagi pemain bola sepak Malaysia akan dicalonkan dan menang Anugerah Puskas Fifa lalu membanggakan negara lagi, mari kita beri undian sebanyak mungkin kepada Faiz.

Kita semua pastinya mahu melihat kelibat pemain dari Malaysia berada di atas pentas, menang Anugerah Bola Sepak Terbaik Fifa 2016 di Zurich nanti.

Jom undi Faiz Subri Finalists Fifa Puskas Award 2016.

BACA INI JUGA: Apa Itu Anugerah Puskás FIFA?

Sumber: MK

Ferenc Puskás, Lagenda Bola Sepak Di Sebalik Anugerah Puskás FIFA

Ferenc Puskás, Lagenda Bola Sepak Di Sebalik Anugerah Puskás FIFA

Seperti yang semua sudah maklum, Anugerah Puskas FIFA adalah anugerah untuk mengiktiraf gol paling cantik setiap tahun yang dijaringkan pemain dari serata dunia.

Ferenc Puskás

Persoalannya, siapa insan hebat di sebalik nama anugerah Puskás ini?

Ferenc Puskás dilahirkan pada 1 April 1927. Beliu bermain untuk Hungary dan seorang striker yang profilik. Rekod gol beliau adalah 84 gol dalam 85 perlawanan kebangsaan dan 514 gol dalam 529 perlawanan liga.

Boleh dikatakan ratio gol Ferenc Puskás adalah 1 gol dalam setiap perlawanan dan sepanjang kariernya beliau cuma bermain untuk tiga kelab; Kispect, Budapest Honvéd dan Real Madrid.

Ketika era 1950an dan 1960an, Ferenc Puskás adalah antara pemain ternama di era itu. Beliau beraksi di Real Madrid ketika usianya 31 tahun dan meninggalkan impak yang besar pada Real Madrid.

Peminat sebenarnya terkejut dengan kehadiran Ferenc Puskás di real Madrid kerana beliau sudah berusia dan pasukan Real Madrid sudah mempunyai ramai pemain bintang ketika itu.

Ferenc Puskas menepis semua kritikan itu apabila beliau menyumbat 180 gol dalam 156 perlawanan bersama Real Madrid.

Beliau juga merangkul Penjaring Terbanyak Liga Sepanyol (Trofi Pichichi) selama 4 kali berturut-turut (1959-1964) ketika bermain di Real Madrid.

Ferenc Puskás
The Legendary Trio: Alfredo Di Stéfano, Francisco Gento & Puskás Ferenc.

Real Madrid turut mengiktiraf Ferenc Puskás sebagai ‘pemain kaki kiri terbaik pernah bermain di Santiago Bernabéu’.

Ferenc Puskás turut mempunyai nama timangan yang diberi kepadanya oleh peminat iaitu Pancho dan Cañoncito pum.

Ketika di Real Madrid, Ferenc Puskás sempat bermain bersama legenda Real Madrid yang lain antaranya Alfredo Di Stéfano, Kopa, Rial, Santamaría, Gento dan Domínguez.

Ferenc Puskás juga adalah salah seorang dari The Golden Team pasukan Hungary yang merangkul pingat emas di Olimpik 1952.

Ferenc Puskás meninggal dunia pada 17 November 2006 dan sebagai tribute untuk pemain hebat ini, sebuah anugerah diberi atas namanya iaitu Anugerah Puskás FIFA, sebuah anugerah untuk mengiktiraf gol cantik dari serata dunia yang dimulakan pada tahun 2009.

Pemenang untuk anugerah Puskás yang pertama adalah Cristiano Ronaldo melalui gol knuckleball yang beliau jaringkan ketika menentang Porto ketika Ronaldo masih menyarungkan jersi Manchester United.

Ferenc Puskás

Dengan kehebatan dan abiliti beliau menjaringkan gol, memang tepat untuk meletakkan nama Puskas pada anugerah ini.

Ramai beranggapan namanya yang unik menjadikan beliau The one and only great Puskas dan nama yang tepat untuk anugerah ini.

BACA INI JUGA: George Best Lagenda MU Yang Bazirkan $100 Juta Untuk Wanita

Sumber: Thevocket

Tuesday, November 22, 2016

Jaringan Faiz Subri Tersenarai 10 Terbaik Anugerah Puskas

Jaringan Faiz Subri Tersenarai 10 Terbaik Anugerah Puskas

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) telah menyenaraikan gol Mohd Faiz Subri sebagai antara 10 jaringan tercantik untuk Anugerah Puskas 2016.

Faiz Subri

Fifa dalam laman web rasminya, www.fifa.com, memaklumkan gol Mohd Faiz itu adalah antara yang disenarai pendek bagi melalui proses awal pemilihan sebelum melalui peringkat kedua.

Selain jaringan cantik Mohd Faiz yang dilakukan pada perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Pahang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 16 Feb lepas, turut tersenarai ialah gol pemain antarabangsa, Lionel Messi dari Argentina.

Peminat bola sepak boleh membuat undian terhadap jaringan pilihan mereka bermula hari ini menerusi laman web Fifa sehingga 2 Dis ini.


Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian terbanyak akan melalui undian sekali lagi.

Jom undi FAIZ SUBRI dilaman web FIFA PUSKAS AWARD.

Pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak Fifa di Zurich pada 9 Jan 2017.

10 Gol Terbaik Anugerah Puskas FIFA 2016
  1. Mario Gaspar (Sepanyol) - 13.11.2015
    Spain V England, persahabatan antarabangsa
  2. Hlompho Kekana (Afrika Selatan) - 26.03.2016
    Cameroon V South Africa, Kelayakan Piala Negara-Negara Afrika
  3. Marlone (Brazil) - 21.04.2016
    Corinthians V Cobresal, Copa Libertadores
  4. Lionel Messi (Argentina) - 21.06.2016
    USA V Argentina, Separuh akhir Copa América Centenario
  5. Neymar (Brazil) - 08.11.2015
    Barcelona V Villarreal, La Liga
  6. Saúl Ñíguez (Sepanyol) - 27.04.2016
    Atlético Madrid V Bayern Munich, Liga Juara-Juara Eropah
  7. Hal Robson-Kanu (Wales) - 01.07.2016
    Wales V Belgium, EURO 2016
  8. Daniuska Rodríguez (Venezuela) - 14.03.2016
    Venezuela V Colombia, Kejohanan Bola sepak Wanita B-17 Amerika Selatan
  9. Simon Skrabb (Finland) - 31.10.2015
    Gefle V Åtvidaberg, Liga Allsvenskan, Sweden
  10. Mohd Faiz Subri (Malaysia) - 16.02.2016
    Penang V. Pahang, Liga Super Malaysia

BACA INI JUGA: Apa Itu Anugerah Puskás FIFA?

Sumber: BERNAMA

Friday, February 19, 2016

Apa Itu Anugerah Puskás FIFA?

Apa Itu Anugerah Puskás FIFA?

Anugerah Puskás FIFA telah diperkenalkan pada 20 Oktober 2009 oleh Fédération Internationale de Football Association (FIFA) di bawah Presiden Sepp Blatter.

FIFA+PUSKAS+AWARD

Anugerah ini diperkenalkna untuk pemain bola sepak lelaki atau wanita yang menjaringkan gol terbaik atau 'fantastik' setiap tahun.

Anugerah ini dinamakan sempena memperingati pemain lagenda Hungary, Ferenc Puskás, bekas penyerang Real Madrid pada tahun 1950an dan 1960an.

Ferenc Puskás juga merupakan sebahagian daripada pasukan gemilang Hungary pada 1950an.

Ferenc Puskás dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak paling hebat di Eropah dengan menjaringkan 84 gol dalam 85 perlawanan antarabangsa.

Ferenc Puskás adalah salah seorang daripada penjaring terbanyak pada abad ke-20 dengan 512 gol dalam 528 perlawanan.

"Penting untuk mengekalkan ingatan mereka yang bermain bola sepak yang telah meninggalkan sejarah kepada kita.

"Ferenc Puskás bukan sahaja pemain berbakat besar yang memenangi banyak anugerah tetapi beliau juga seorang lelaki yang luar biasa.

"Oleh itu, FIFA gembira untuk memberikan penghormatan kepadanya dengan mendedikasikan anugerah ini kepada beliau," kata Blatter ketika merasmikan anugerah ini di Budapest.

Faiz Subri Puskás FIFA

Anugerah ini diperkenalkan buat kali pertama pada Julai 2008 hingga Julai 2009.

Anugerah tahunan telah dilangsungkan buat kali pertama di Switzerland yang dimenangi oleh pemain Portugal, Cristiano Ronaldo.

Senarai Pemenang Anugerah Puskas FIFA

Tahun 2009
Pemain: Cristiano Ronaldo
Negara: Portugal
Perlawanan: Manchester United vs Porto, Liga Juara-Juara 2008-09 suku akhir

Tahun 2010
Pemain: Hamit Altıntop
Negara: Turki
Perlawanan: Turki vs Kazakhstan, Kelayakan UEFA Euro 2012 - Group A

Tahun 2011
Pemain: Neymar
Negara: Brazil
Perlawanan: Santos vs Flamengo, Campeonato Brasileiro Série A 2011

Tahun 2012
Pemain: Miroslav Stoch
Negara: Slovakia
Perlawanan: Fenerbahçe vs Gençlerbirliği, Süper Lig 2011–12

Tahun 2013
Pemain: Zlatan Ibrahimović
Negara: Sweden
Perlawanan: Sweden vs England, Perlawanan Persahabatan Antarabangsa

Tahun 2014
Pemain: James Rodríguez
Negara: Colombia
Perlawanan: Colombia vs Uruguay, FIFA World Cup 2014

Tahun 2015
Pemain: Wendell Lira
Negara: Brazil
Perlawanan: Goianésia vs Atlético Goianiense, Campeonato Goiano 2015

BACA INI JUGA: Ronaldo Peneraju Boikot Israel