Monday, January 25, 2021

Nobita Dan Shizuka Akhirnya Berkahwin!

Nobita Dan Shizuka Akhirnya Berkahwin!

Akhirnya, Nobita dan Shizuka melangsungkan perkahwinan dan gambar ini pastinya menggamit memori bagi mereka yang mengikut rapat siri kartun tersebut. Gambar ini adalah sebahagian momen di dalam filem Stand By Me Doraemon 2 yang awalnya dijadualkan untuk ditayangkan di Jepun pada 7 Ogos 2020, tetapi ditunda kerana gelombang virus Covid-19.

Nobita+Shizuka

Filem ini akhirnya dilancarkan di Jepun pada 20 November 2020, yang mana Nobita akan kembali menemui neneknya, yang meninggal dunia ketika dia masih bayi, ditemani oleh Doraemon, sambil memerhati dan mengikuti aktiviti neneknya tanpa disedari.

Pada satu ketika, Nobita secara diam-diam mendengar keinginan neneknya yang tersembunyi, iaitu untuk dapat melihat cucunya berkahwin pada masa akan datang.

Nobita juga pergi ke masa depan untuk menyaksikan hari perkahwinannya dengan Shizuka namun, pada hari perkahwinan itu, Nobita yang dewasa tiba-tiba melarikan diri.

Apa yang menjadi persoalan adalah, adakah Doraemon masih bersama Nobita semasa dia melangsungkan perkahwinan?

Persoalan ini turut ditanya oleh beberapa orang netizen yang lain, dan yang meminati siri kartun ini pastinya ingin melihat perkahwinan Nobita dan Shizuka bersama-sama dengan kehadiran Doraeman yang selalu menjadi tempat Nobita meluahkan rasa hatinya.

"Waktu berjalan sangat pantas, walaupun ketika saya masih kecil, hari saya ditemani oleh Nobita. Tahniah atas perkahwinan anda Nobita dan Shizuka. Kenapa Doraemon tidak ada?" tanya salah seorang netizen.

"Doraemon adalah robot dari era cucu Nobita, yang ditugaskan untuk membuat Nobita bahagia. Jadi kebahagiaan Nobita berkahwin dengan Shizuka. Sekiranya Nobita sudah gembira, Doraemon kembali pada abadnya," jawab salah seorang netizen.

Manakala yang lain pula membalas, "Pasti sedih jika Doraemon tidak ada di hari perkahwinan Nobita."

Tidak pasti ke mana perginya Doraemon, tetapi jika benar dia kembali ke abadnya dan tidak hadir di hari paling bahagia Nobita, ia pastinya sesuatu yang menyedihkan.

Namun, jawapan itu hanya mampu dijawab jika kita menonton filem Stand By Me Doraemon 2.

Mungkin kita akan tahu dimanakah Doreamon atau mungkin dia sebenarnya hadir, tetapi ditugaskan untuk mengambil gambar.

Filem ini masih belum memasuki Malaysia, tetapi akan ditayangkan terlebih dahulu di negara jiran, Indonesia.

Rumah Nobita di Tokyo bernilai RM2 juta di dunia nyata!

Nobita

Hampir semua rakyat Malaysia dibesarkan dengan siri Doraemon yang sering bermain di layar tv sewaktu cuti hujung minggu. Kita dihidangkan dengan telatah Nobita, seorang budak lelaki berkacamata yang hidupnya ditemani kucing robot dari abad ke-22, Doraemon.

Sekiranya anda adalah peminat kartun Doraemon, anda pasti sudah terbiasa dengan selok belok kehidupan mereka, termasuk tempat tinggal Nobita dan Doraemon.

Rumah Nobita sering dipotretkan dengan 'mood' yang sederhana, mempunyai 2 tingkat dengan ruang tamu, bahagian dapur dan bilik Nobita yang direka dengan konsep minimalis.

Tahukah anda, walaupun kartun ini dibuat pada tahun 1962, tetapi rumah ini masih dianggap mahal pada zaman sekarang dengan nilai rumah Nobita 70 juta yen bersamaan dengan RM2 juta!

Di dalam satu ciapan yang ditulis oleh seorang penulis novel Jepun, SOW, di akaun Twitter miliknya, @sow_LIBRA11, dia membuat bebenang khas yang mengandungi pengiraan harga rumah yang terdapat di dalam anime Jepun.

"Untuk tahun 70-an, rumah keluarga Nobi dianggap sebagai 'rumah biasa' dua tingkat yang terletak di Nerima Ward, Tokyo, yang harganya sekitar 70 juta yen.

Jumlah pembayaran pinjaman adalah sekitar 200 ribu yen sebulan. Bapa Nobita tentu mempunyai gaji yang tinggi.

"Mungkin anda akan berkata, 'bukankah mereka menyewa rumah itu?' berdasarkan harga pasaran, rumah jenis ini mungkin disewa dengan harga 160 ribu yen [RM6,407]," kata SOW.

Bukan hanya rumah Nobita, SOW juga membuat pengiraan rumah keluarga Sazae-san yang sudah 'berdiri' sejak tahun 1946 dengan harga mencecah 150 juta yen atau RM60 juta.

Kemudian rumah Usagi Tsukino, Sailor Moon, harganya lebih tinggi pada 450 juta yen atau RM18 juta.

Dan yang terakhir, rumah keluarga Nohara aka Shin chan, yang harganya 20 juta yen atau RM800,000.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Saturday, May 11, 2019

Realiti Sedih Pelukis Anime Di Jepun

Realiti Sedih Pelukis Anime Di Jepun

'Anime' adalah label yang digunakan di seluruh dunia, merujuk kepada animasi yang datang khas dari Jepun, kerana hasil kerja yang dihasilkan individu-individu berbakat dari sana yang nyata sangat kreatif termasuklah dari segi penghasilan jalan cerita.

Anime Jepun

Watak serta dunia fantasi yang mereka hasilkan mampu menguasai pemikiran masyarakat dunia, termasuklah kita di Malaysia.

Namun, hakikat sebenar proses pembikinan 'anime' ini memerlukan pengorbanan yang cukup besar daripada individu-individu yang terlibat.

Dalam kita teruja menonton karya yang mereka berjaya hasilkan, inilah kisah sebenar disebalik tabir kehidupan pengkarya anime.

Mungkin di negara kita ramai artis meletakkan impian untuk menjadi seorang pengkarya di Jepun, sebagai impian mereka dalam karier namun mereka yang berada di Jepun menghasilkan anime setiap hari menghadapi dilema yang nampaknya tidak kesudahan.

Industri anime di Jepun merupakan sebuah perniagaan yang sangat besar dengan nilai pasaran RM76 bilion setahun.

Malangnya, penggiat seni yang berkecimpung dalam bidang tersebut kebiasaannya dibayar dengan gaji yang sangat rendah, lebih layak dikatakan tidak sepadan dengan hasil kerja mereka.

Perkara ini seolah menjadi satu kebiasaan, sehingga karier dalam industri anime terkenal sebagai salah satu industri yang digelarkan sebagai 'black labor' berikutan gaji rendah ditawarkan dan tempoh kerja yang sangat panjang.

Ketidak seimbangan pendapatan di antara pengkarya dan peniaga

Statistiknya, sejak tahun 2002 sehingga kini, jumlah untung yang dijana daripada penghasilan anime semakin meningkat naik ekoran pasaran dunia yang semakin menerima karya mereka.

Walaupun begitu, pembahagian keuntungan ini tidak berlaku dengan seimbang apabila studio yang bersusah payah menghasilkan episod-episod untuk tontonan orang ramai, hanya mendapat secara purata kurang 10% daripada jumlah kutipan keseluruhan.

Oleh kerana syarikat-syarikat produksi memegang hak cipta penerbitan, penjualan produk serta hak pengedaran, lebih 90% daripada jumlah keuntungan hanya berlegar kepada syarikat-syarikat yang mengawal hak cipta sesuatu anime.

Atas sebab tersebut, studio-studio yang mendapat kontrak untuk penghasilan anime selalunya terpaksa membayar gaji yang sangat rendah kepada pekerja-pekerja. Berapa rendah? Sangat rendah dan agak mengejutkan.

Pendapatan yang tidak setimpal dengan usaha

Kita sudah sedia maklum Jepun merupakan salah sebuah negara di mana kos sara hidup mereka sangat tinggi.

Sukar untuk dibayangkan bagaimana seorang pengkarya anime yang bertindak sebagai animator atau pelukis latar belakang mampu menyara hidup dengan pendapatan yang agak rendah.

Kebiasaannya, seorang pekerja animator di Jepun dibayar sebanyak 200 yen (RM7.50) untuk setiap lukisan mewakili satu panel anime.

Secara purata bagi artis yang berkebolehan tinggi, mereka mampu menyiapkan lebih kurang 20 panel sehari menjadikan pendapatan mereka sekitar 4,000 yen (RM150) sehari atau 120,000 yen sebulan (RM4460). Ini bermakna, dalam satu tahun, purata pendapatan artis anime di Jepun adalah sekitar 1.44 juta yen.

Berapakah purata pendapatan keseluruhan pekerja di Jepun secara amnya? 3.54 juta yen setahun!

Apa yang lebih menyedihkan, kebanyakan studio anime terletak di barat Tokyo yang meletakkan standard 907 yen sejam sebagai gaji minimum untuk sebarang jenis pekerjaan.

Sekiranya kita mengambil pendapatan sehari penggiat anime sebanyak 4,000 yen bekerja selama 10 jam - ini menjadikan pendapat sejam artis anime sebanyak 400 yen jauh lebih rendah berbanding gaji minima di Tokyo.

Waktu kerja yang panjang

Kes-kes kemurungan sudah menjadi satu perkara biasa dilaporkan berlaku di kalangan penggiat seni anime Jepun. Pekerja yang melakukan kerja lebih masa sehingga mencecah 100 jam sebulan hanya untuk mendapatkan pendapatan lebih juga sudah kerap kedengaran.

Purata waktu bekerja sehari untuk industri anime di Jepun adalah 11 jam sehari dengan empat hari cuti setiap bulan dan pada 'waktu-waktu lapang', sesebuah studio anime masih mengekalkan temph kerja 6 hari seminggu, 10 jam sehari.

Hendak tahu satu fakta yang lebih memeranjatkan? Pengalaman tidak memberikan keistimewaan dalam industri anime di Jepun.

Seorang pengarah teknikal anime bernama Taiki Nishimura memberitahu, selepas dia berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 20 tahun, pendapatannya masih lagi pada purata yang serupa seperti apa yang disenaraikan di atas.

Beliau memberitahu berikutan pendapatan yang rendah, ada kalanya beliau terpaksa bekerja dalam dua anime dalam satu masa.

Walaupun begitu, untuk mendapatkan pendapatan yang mencukupi, Taiki terpaksalah melupakan waktu rehatnya bekerja tanpa henti siang malam.

Menurut Taiki, ramai di antara rakan-rakan sekerjanya yang terpaksa mengambil langkah begitu bagi memastikan wang sewa rumah mencukupi dan beliau sendiri bernasib baik sudah memiliki kediaman sendiri.

Jadi, kepada peminat-peminat anime Jepun, sekiranya selepas ini anda tonton episod-episod kegemaran, ingatlah penat lelah mereka yang berusaha sekeras mungkin menyiapkan setiap karya kepada anda.

Mungkin anda akan mendapati ada kalanya lukisan yang dibuat tampak haru-biru dan sekadar dilakukan tangkap muat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, December 19, 2017

Kebanggaan Vegeta Sebagai Putera Saiya

Kebanggaan Vegeta Sebagai Putera Saiya

Bagi peminat siri Dragon Ball Z, nama Vegeta dianggap sebagai satu watak penting yang mengembangkan keseluruhan cerita. Perkara utama yang kita tahu mengenai Vegeta adalah, dia mentakrifkan dirinya sebagai seorang pahlawan yang penuh dengan kebanggaan serta bermegah dengan kedudukan hierakinya sebagai seorang putera bagi bangsa Saiya.

Vegeta Putera Saiya

Oleh kerana itu, Vegeta sering dilihat sebagai orang yang mementingkan diri sendiri, angkuh dan tidak bersifat belas kasihan terhadap orang lain.

Hal ini ditunjukkan semasa awal pengenalan watak Vegeta. Dia menolak cadangan Nappa untuk menghidupkan semula Raditz dengan menggunakan Dragon Ball kerana menganggap kegagalan Raditz melaksanakan tugasannya dan tewas dengan pahlawan kelas bawahan (Goku) sebagai sesuatu yang memalukan).

Kepercayaannya terhadap hierarki dan lagenda Super Saiya membuatkan Vegeta percaya bahawa dialah satu-satunya dalam bangsanya sendiri yang berpotensi dan layak untuk membangkitkan semula maruah bangsanya yang sering dihina dan diperlekeh oleh Emperor Frieza dengan cara mengalahkannya.

Tetapi, apabila Vegeta tewas di tangan Goku semasa pertarungan di bumi, dia tidak dapat menanggung rasa penghinaan apatah lagi Goku dianggapnya sebagai pahlawan kelas bawahan dalam kedudukan hierarki bangsanya.

Walaupun pada masa itu Vegeta memegang posisi sebagai Putera Saiya, namun dia tetap berkhidmat di bawah pemerintahan Frieza.

Turut menjadi sebab dirinya berasa terhina kerana mempercayai bangsa mereka sebagai bangsa terkuat di dunia dengan lagenda Super Saiya.

Hatinya sentiasa mendendami Frieza yang gemar memperlekeh dan menyamakan bangsa mereka seperti monyet liar yang mempunyai nilai kehidupan yang rendah.

Kematian Vegeta (dihidupkan semula dengan Dragon Ball) di Planet Namek adalah cara yang terbaik untuk mencambahkan persaingan di antara dirinya dengan Goku.

Faktanya, dia tidak sekadar ditewaskan oleh pahlawan kelas bawahan, malah individu yang sering dilabelnya sebagai kelas bawahan itu jugalah yang berjaya bertukar menjadi Super Saiya seperti yang diperkatakan dalam legenda bangsa mereka.

Vegeta juga menundukkan maruahnya dengan merayu kepada Goku supaya mengalahkan Frieza, demi maruah bangsa Saiya!

Dan berasa terhina apabila Goku berjaya mengalahkan Frieza walaupun dia tetap berasa bangga kerana akhirnya bangsa Saiya juga yang berjaya mengalahkan Frieza.

Di akhir saga Namek, Vegeta menjadi obsess untuk mengalahkan Goku berbanding menguasai alam semesta.

Peristiwa di Planet Namek mengubah sepenuh perhatian Vegeta daripada menjadi manusia yang kebal dan menakluki dunia kepada bagaimana hendak mengatasi Goku.

Goku menjadi rival yang terhebat dalam sejarah hidup Vegeta dan untuk meraih semula kebanggaannya selaku Putera Saiya, maka Vegeta berpendapat syaratnya adalah dengan mengalahkan Goku.

Perbezaan besar di antara Goku dan Frieza dari segi keinginan Vegeta untuk membunuh tidak hanya bagaimana Goku menghancurkan kebanggaannya lebih daripada apa yang dilakukan oleh Frieza.

Tetapi disebabkan fakta bahawa Goku dianggap sebagai pahlawan kelas bawahan dalam bangsa yang sama sedangkan Frieza berada di puncak rantaian antara galaksi dengan seluruh bangsa Saiya berada di bawah pemerintahannya, yang menjadikan lebih mudah bagi Vegeta untuk menerima kenyataan bahawa Frieza mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripadanya.

Sebaliknya, fakta seorang pahlawan kelas bawahan menjadi Super Saiya amat payah diterima akal Vegeta kerana kekuatan dalam bangsa Saiya ditentukan menerusi hierarki dalam sosial masyarakat mereka.

Menyaksikan Trunks (masa depan) dan Goku bertukar menjadi Super Saiya di depan matanya sendiri telah membuakkan perasaan untuk mengatasi Goku dengan lebih mendalam lagi.

Dia tidak sanggup melihat dua orang Saiya mencapai sesuatu yang dia sendiri selaku golongan teratas dalam hierarki masyarakat Saiya tidak mampu untuk mencapainya. Terutamanya Goku.

Kerana Goku, Vegeta berlatih dengan berpusatkan kepada kebencian dan kehendaknya untuk mengalahkan Goku dan mendakwa semula dirinya sebagai Putera Saiya yang hebat.

Daripada itu, setiap kali dia berlatih dia akan fokus pada cara latihan Goku dan tidak pada villain-villain dalam siri Dragon Ball Z.

Ini ditunjukkan melalui keputusannya untuk berlatih di dalam bilik graviti pada tahap kuasa 300x graviti sebagai tindak balas latihan Goku dalam graviti bumi 100x.

Walaupun kebanggaan Vegeta mendorongnya untuk maju ke hadapan, namun kebanggaannya sebagai Putera Saiya juga menjadi kelemahannya berbanding dengan sifat merendah diri yang dimiliki oleh Goku.

Vegeta berjaya bertukar menjadi Super Saiya dalam tempoh tiga tahun latihan yang memeritkan.

Tekanan mental dan fizikal memaksa tubuhnya bertukar menjadi Super Saiya dan menjadi Super Saiya mengakibatkan mentalitinya terjejas dengan lebih teruk.

Dia menjadi lebih sombong dan dibenci tetapi itu merupakan signifikan dalam perkembangan wataknya sebagai anti hero dalam siri Dragon Ball Z ini.

Kesombongan Vegeta bukanlah sesuatu yang aneh kerana individu seperti ini, yang selalu bekerja keras untuk berjaya akan mempunyai rasa bangga diri yang terlebih terhadap diri sendiri.

Vegeta turut menyangkal ramalan Trunks masa depan yang menyatakan Vegeta akan mati dibunuh android.

Vegeta percaya bahawa dialah manusia terkuat di alam semesta apatah lagi selepas dia berjaya membunuh Android 19, membuktikan bahawa amaran Trunks tentang kedahsyatan android selama ini hanyalah khayalan semata-mata.

Namun, sekali lagi Vegeta berasa terhina apabila Android 18 mengalahkannya dengan mudah. Sekaligus membuatkannya percaya bahawa Super Saiya tidaklah kebal.

Satu lagi contoh bahawa maruah dan kebanggaannya tercemar adalah apabila Vegeta percaya selagi dia berada di tahap yang sama dengan Goku, dia akan menjadi makhluk berkuasa dan akan mampu membunuh Goku.

Ini adalah sebab mengapa Vegeta begitu terdesak untuk menjadi Super Saiya. Dia sering melihat seseorang yang mengatasinya sebagai simbol kekalahannya.

Elemen yang menarik mengenai persaingan Vegeta dan Goku ini adalah bila Vegeta berfikir mengapa Goku tidak pernah berasa jelek mengenai seseorang yang mengatasi kekuatannya setelah melakukan banyak latihan yang keras.

Ini menonjolkan perbezaan mengenai mentaliti mereka. Yang menjadikan Goku lebih baik daripada Vegeta. Vegeta berlatih keras kerana keinginannya untuk membunuh Goku dan menjadi yang terkuat memandangkan dia tidak dapat menerima hakikat pendekar kelas bawahan lebih baik daripadanya.

Sedangkan Goku berusaha keras kerana dia sukakan cabaran dan mahu meningkatkan potensi dirinya demi kebaikan orang lain.

Ini juga menjadi sebab mengapa Goku suka apabila bertemu seseorang yang lebih kuat daripadanya kerana Goku tahu, di situ terdapat batas yang perlu ditempuhi untuk menyerlahkan lagi bakatnya.

Ini juga mencerminkan sikap mereka tentang menerima bantuan daripada orang lain. Goku dengan hati yang merendah diri tidak kisah untuk menerima bantuan daripada sesiapa dalam usaha untuk menjadi pahlawan yang terkuat.

Tapi Vegeta, mempunyai mentaliti untuk tidak mempedulikan orang lain dan berpendapat orang lain akan memperlahankan dirinya.

Ini berlaku kepada Trunks. Sepatutnya Trunks boleh mempunyai potensi yang sama hebat seperti Gohan, namun sikap Vegeta yang tidak prihatin membuatkan Trunks ketinggalan jauh berbanding Gohan.

Sementara Goku begitu sabar melayani Gohan dan memberikan tunjuk ajar dalam proses latihan mereka bersama.

Menariknya, perkara utama yang menambahkan keistimewaan watak Vegeta adalah apabila dia berputus asa untuk menjadi yang terhebat di alam semesta selepas kematian Goku (dalam saga Cell).

Ini menunjukkan bahawa Goku benar-benar menjadi teras dalam membangkitkan kebanggaan Vegeta. Goku menjadi subjek yang mentafsirkan keinginan Vegeta untuk bertarung kerana Goku yang telah mencabut kebanggaan dalam dirinya.

Vegeta tidak dapat hidup dengan hakikat bahawa dia tidak akan dapat membunuh Goku dengan tangannya sendiri dan menuntut semula maruahnya. Barangkali Vegeta akan membunuh diri jikalau dia tiada anak yang perlu dijaga.

Dialah satu-satunya Saiya yang maruahnya dirobek sebegitu teruk. Vegeta yang mendendami Frieza mungkin tidak peduli jika Frieza mati, tetapi kematian Goku amat melukakan hatinya kerana beranggapan Goku pergi bersama dengan maruahnya.

Vegeta mendapat semula peluangnya untuk mengalahkan Goku (dalam saga Majin Buu, Goku kembali ke dunia untuk masa sehari) apabila dia menyerahkan jiwanya kepada Babidi.

Walaupun sihir Babidi tidak berkesan ke atas Vegeta, kerana menurutnya, kebanggaan adalah sesuatu yang tidak boleh diambil daripada seorang Saiya. Kebanggaan yang serupa yang melindungi pemikirannya untuk berasa tertewas.

Dalam point ini, itu bukan lagi mengenai kepercayaannya untuk menjadi pahlawan yang lebih hebat daripada Goku, sebaliknya meraih semula kebanggaan yang telah ditinggalkan semasa Goku mengambilnya daripadanya.

Kerana Goku, Vegeta menjadi lelaki yang tertekan dan terpaksa mengikat hubungan dengan keluarganya. Sesuatu yang Vegeta percaya, hanya orang yang lemah saja akan melakukannya.

Tetapi selepas melakukan refleksi, dia sedar bahawa dia telah menjadi lelaki yang lebih baik berbanding sebelumnya. Dia berjaya mencapai tahap yang mengatasi kebanyakan orang Saiya dalam sejarah bangsanya.

Dia berasa bertuah kerana mempunyai Goku yang menaikkan semula maruah orang Saiya dengan mengalahkan Frieza.

Dan walaupun perkara itu menyakitkan hatinya, namun Gokulah yang membuatkan dirinya menjadi pahlawan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Dan jikalau bukan kerana Goku yang memilih untuk mati semasa arc Cell, dia tidak akan mempunyai masa untuk diluangkan bersama keluarganya dan mempunyai sesuatu untuk dilindunginya. Vegeta menyedarinya, dan mulai bersyukur kerana mengenali Goku.

Menjadi sebab besar mengapa dia sanggup mengorbankan nyawanya untuk Goku dan juga keluarganya. Kerana Goku telah menjadi sahabat yang paling penting bagi Vegeta.

Tujuan utama Vegeta menyarankan Goku menggunakan Bebola Jiwa untuk membunuh Kid Buu adalah demi kebanggaannya.

Dia sedang mencuba untuk menaruh kebanggaan terhadap orang-orang di sekelilingnya. Ini adalah satu-satunya cara untuk meraih semula kebanggaannya dengan menyumbang kepada kekalahan Kid Buu tanpa perlu mengalahkan Goku.

Yang membuatkan Vegeta menerima hakikat bahawa dia tidak boleh menjadi lebih hebat berbanding Goku. Dia sedar dalam point ini, Goku adalah inspirasi utamanya.

Satu tahap kemurniaan yang Vegeta mengakui tidak akan mampu untuk mencapainya. Di mana inilah perbezaan di antara Goku dengan Vegeta dan mengapa Goku sentiasa menjadi “Nombor Satu” dalam hatinya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 6 Putera Raja Paling Kacak Di Dunia!

sumber: thepatriots

Tuesday, November 11, 2014

Berakhirnya Manga Naruto Selepas 17 Tahun!

Berakhirnya Manga Naruto Selepas 17 Tahun!

Selepas 17 tahun menabur ‘bakti’ menyelamatkan dunia, siri manga popular Jepun, Naruto hasil karya Masashi Kishimoto dilaporkan berakhir menemui pembacanya semalam menerusi komik siri terakhir diterbitkan di negara Matahari Terbit itu.

Naruto

Terkenal menerusi beberapa watak pahlawan ninja cilik dari kampung imaginasi bernama Konoha, Naruto mula terbit pada Ogos 1997 melalui majalak komik mingguan Shonen Jump terbitan syarikat Sueisha dan berterusan memaparkan 700 babak dalam 71 volume.

Manakala bagi siri anime menerusi televisyen, adaptasi Naruto itu baharu sahaja mencapai episod ke 385 disiarkan stesen TV Tokyo dan rangkaian sekutunya di seluruh dunia serta mungkin ambil masa lebih setahun lagi untuk selesai keseluruhan 700 babak berbeza.

Naruto merupakan kisah perjuangan ninja muda, Naruto Uzumaki, yang bercita-cita menjadi seorang Hokage, iaitu pemimpin tertinggi Konoha namun perjalanan wira cilik itu tidak mudah kerana tubuhnya dimasuki seekor serigala yang menjadikannya seperti raksasa.

Naruto [2]

Sehingga 2013 lalu, lebih 130 juta naskhah komik Naruto dicetak di Jepun menjadi antara terlaris di negara itu manakala peminatnya di serata dunia masih boleh ikuti kisah pahlawan fantasi itu sama ada laman internet, cakera video, filem atau novel selain siri TV.

Dalam pada itu, Kishimoto dilaporkan menerima ucapan selamat maju jaya daripada ribuan peminatnya di seluruh dunia dan lucunya, walaupun Naruto tidak diterbitkan di luar Jepun, komik ninja itu telah dialih bahasa di banyak negara termasuk Malaysia.–Agensi

Tonton Naruto Anime Online, SINI..

BACA INI JUGA: Kisah Kemahsyuran Walk of Fame Hollywood

Wednesday, May 07, 2014

Jessica Rabbit, Watak Animasi Paling Seksi

Jessica Rabbit, Watak Animasi Paling Seksi

Watak animasi dalam filem Roger Rabbit, Jessica Rabbit telah dipilih sebagai watak kartun paling seksi sepanjang zaman melalui satu undian melibatkan 1,000 peminat kartun.

Jessica Rabbit

Dalam undian pada 2009, itu Jessica menewaskan watak-watak kartun lain dengan mendapat sebanyak 37 peratus undi.

Watak kartun paling seksi kedua ialah Betty Boop yang popular dengan topi dan skirt pendeknya yang mendapat undian sebanyak 21 peratus.

Betty Boop

Dalam satu maklumbalas peminat mengenai Jessica, mereka berkata watak animasi itu merupakan seorang yang seksi, menarik serta menyukai lelaki yang mempunyai unsur kelucuan dan dia akan melakukan apa sahaja untuk suaminya.

Cadbury Caramel Bunny

Undian dikendalikan syarikat pengeluar coklat terkenal Cadbury Dairy Milk. Bagaimanapun, watak animasi Cadbury Caramel Bunny hanya menduduki tempat ketiga dengan 10 peratus.

Selain Jessice dan Betty, watak kartun lain adalah Cadbury Caramel Bunny, Cinderella (7%), Snow White (7%) dan Daphne dari filem Scooby Doo (7%).

Cinderella
Daphne Scooby Doo
Snow White

Menurut jurucakap syarikat Cadbury, tiga watak mendapat undian paling tinggi mempunyai kekuatan yang hampir sama iaitu mereka bersifat menarik dan menggoda.

Pada undian mengenalpasti sebab watak animasi itu seksi, bentuk badan mendapat undian paling tinggi dengan 28 peratus.

Mata yang menarik mendapat tempat kedua dengan 15 peratus dan suara mendapat tempat ketiga dengan 15 peratus undian.

BACA INI JUGA: Kissable Plant, Tumbuhan Paling Seksi Di Dunia!

-SENTIASAPANAS.COM