Sunday, April 30, 2017

11 Makanan Tambah Darah Terbaik Untuk Ibu Hamil Dan Pesakit Anemia

11 Makanan Tambah Darah Terbaik Untuk Ibu Hamil Dan Pesakit Anemia

Semasa mengandung, setiap wanita memang diuji dengan pelbagai kepayahan dan masalah kesihatan yang mungkin tidak pernah dialami sebelumnya.

Tambah Darah

Antara kes yang selalu melanda ibu hamil adalah masalah kekurangan darah (hemoglobin) rendah atau anemia.

Begitu juga bagi penghidap penyakit kurang darah (anemia), antara simptomnya termasuklah pening kepala, sukar fokus, kelesuan, kelihatan pucat, rasa sesak nafas dan sering berasa sejuk atau kebas pada tangan.

Bahaya Anemia Semasa Mengandung

Anemia ketika mengandung adalah berbahaya jika tidak ditangani dan dikawal sebaiknya, kerana apabila seorang ibu mengalami ‘low hemoglobin’ atau anemia, kandungan darahnya tidak mengandungi sel darah merah yang cukup untuk membawa oksigen bagi keperluan tisu badan bagi pembentukan bayi.

Malah, ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius seperti kelahiran bayi pramatang, bayi yang kurang berat badan dan lewat perkembangan, serta kemurungan selepas bersalin (meroyan).

Oleh itu, cubalah elak dan atasinya dengan mengamalkan makanan tambah darah seperti di bawah ini.

11 Makanan Tambah Darah Untuk Ibu Hamil Dan Pesakit Anemia

Secara umumnya, kita akan diberitahu untuk makan secara sihat dengan memperbanyakkan memakan buah-buahan dan sayuran.

Tapi, adakah sayuran dan buah-buahan terbaik untuk diamalkan? Apa sebenarnya makanan tambah darah yang boleh dihidangkan dalam sajian seharian kita?

1. Tembikai

Tembikai adalah salah satu ‘super food’ dan makanan tambah darah yang kurang diketahui ramai. Istimewanya buah ini kaya dengan vitamin A.

Selain terkenal dengan memperbaiki kesihatan mata, vitamin A juga sangat berkesan meningkatkan jumlah sel darah merah. Ia dapat membantu zat besi dalam hemoglobin untuk mengikat oksigen.

2. Buah-buahan Kering

Buah-buahan kering amat sesuai sebagai snek kudapan dan makanan tambah darah ibu hamil. Tinggalkan ‘junk food’ dan beralihlah kepada kismis, kurma, prun, aprikot, dan buah tin.

Semua buah-buahan kering ini bukan sahaja sedap dan sihat, malahan ia turut memiliki kandungan zat besi yang amat baik untuk meningkatkan Hb dalam darah.

3. Ikan

Ikan mengandung asid lemak Omega-3. Ikan Salmon, contohnya, boleh meningkatkan bacaan Hb anda ketika mengandung kerana ia turut mengandungi Vitamin B-12 untuk pembentukan sel-sel darah.

Ikan juga sangat sesuai untuk diet anda kerana ia adalah makanan yang rendah nilai kolesterol.

Bagi anda yang menggemari telur ikan pula, ini berita baik untuk anda! Telur ikan juga mengandung nutrisi berkhasiat sepert protein, karbohidrat dan zat besi yang boleh membantu dalam menaikkan bilangan hemoglobin.

Pelbagaikan menu ‘seafood’ ini dalam hidangan seharian anda kerana tiram, kerang, dan hasil makanan laut lain juga tidak kurang hebat nutrisinya dalam membantu meningkatkan Hb darah.

4. Jambu Batu

Anda sangat disarankan untuk memperbanyakkan pengambilan buah-buahan kerana ia mengandungi Vitamin C.

Vitamin C ini akan membantu penyerapan zat besi ke dalam tubuh.

Menurut kajian, buah jambu batu memiliki kandungan Vitamin C sebanyak 2 kali lebih banyak dari Vitamin C yang ada di buah oren!

5. Daging Merah

Berbanding dengan daging putih dalam ayam atau burung, daging merah pada haiwan seperti kambing, kerbau, dan lembu lebih kaya dengan protein dan banyak mengandung zat besi serta mineral lain termasuk vitamin A, D, K, B2, B3, B6 dan B12, asid amino, Omega-3, dan selenium yang diperlukan oleh ibu hamil.

Kesemua mineral ini mampu meningkatan hemoglobin dengan cepat.

Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa daging merah juga mempunyai lebih kandungan lemaknya berbanding daging putih.

Oleh itu, elakkan pengambilan daging berlemak dan jangan ambil secara berlebihan kerana ia boleh meningkatkan risiko pada jantung.

6. Sayuran Berdaun Hijau

Sayuran yang mengandung zat besi yang tinggi adalah sayuran berdaun hijau terutamanya bayam. Selain itu, brokoli, kangkung, kale dan sawi juga amat membantu ibu hamil untuk mengelakkan anemia.

Selain itu, sayuran berdaun hijau juga mempunyai kandungan asid folik semulajadi yang turut membantu meningkatkan kesihatan ibu hamil.

7. Kuning Telur

Telur mengandung protein, kalsium, dan vitamin serta zat besi. Untuk kesan yang lebih baik, belilah gred telur elok dan diperkaya dengan Omega-3.

Kuning telur sangat berkesan sebagai makanan tambah darah. Cuba amalkan pengambilan telur secara teratur 2 kali sehari.

8. Kentang

Selain sayuran berdaun, kentang juga mengandung zat besi dan juga vitamin C yang membantu untuk meningkatkan penyerapan zat besi dalam tubuh.

Vitamin C juga dapat mengikat radikal bebas dan memperkuat sistem kekebalan dalam tubuh. Untuk pengetahuan anda, kentang adalah salah satu sumber terbaik zat besi untuk vegetarian.

9. Hati

Mungkin tidak semua orang berselera memakan organ dalaman. Namun, hati adalah salah satu makanan paling tinggi zat besi.

Menurut sumber, umumnya hati ayam (100gms) mengandung 9 mg zat besi.

Hati lembu mengandungi lebih kalori dibandingkan dengan jenis hati lain, namun banyak mengandungi kadar zat besi yang tinggi.

10. Roti Dan Bijirin Berserat Tinggi

Roti dan bijirin berserat tinggi seperti beras merah memiliki kandungan karbohidrat, serat semulajadi, dan zat besi untuk meningkatkan sel-sel darah.

Selain itu, menu diet seperti roti jagung, pasta, bijirin penuh serat (whole grain), ini berkesan dihidangkan kepada ibu hamil untuk menangani anemia.

11. Kekacang Dan Bijian

Sumber kekacang boleh didapati daripada sayuran seperti kacang panjang, kacang buncis, dan kacang botol.

Selain itu, anda boleh memakan kekacang sebagai snek atau kudapan, antaranya kacang almond, pistachio, walnut, atau kacang badam yang dapat dicerna secara perlahan oleh sistem pencernaan, sehingga dapat mebantu menaikkan tekanan darah.

Namun, pastikan anda tidak mengalami sebarang alahan terhadap kekacang ini.

Biji-bijian seperti kuaci, biji bunga matahari, atau biji labu juga amat bermanfaat.

Menurut rujukan, 100 gram biji labu mengandung 15 mg zat besi, iaitu 83% dari nilai anjuran harian.

Biji labu juga merupakan sumber utama asid lemak Omega 3 yang turut berfungsi membantu menurunkan kolesterol.

Dapatkan Nasihat Doktor

Selain daripada pengambilan makanan di atas, pastikan anda mengamalkan corak pemakanan yang sihat.

Pastikan anda meminum air kosong secukupnya untuk memastikan kandungan elektrolit dalam tubuh anda tidak terjejas. Hindari kafein dan makanan rapu yang berlebihan.

Jika bacaan Hb anda terlalu rendah, jangan teragak-agak untuk mengambil suplemen yang dibekalkan oleh doktor mengikut rutin yang telah ditetapkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: zuriat

Wednesday, April 26, 2017

Apa Itu Anemia, Penyakit Kurang Darah Merah

Apa Itu Anemia, Penyakit Kurang Darah Merah

Anemia, perkataan yang berasal daripada bahasa Greek yang bermaksud 'tiada darah', merujuk kepada kekurangan sel darah merah (RBC) atau hemoglobin.

Apa Itu Anemia

Anemia mengurangkan keupayaan darah untuk memindahkan oksigen ke tisu-tisu dan mengakibatkan hipoksia; kerana semua sel manusia bergantung kepada oksigen untuk hidup, lalu menimbulkan pelbagai masalah.

Hemoglobin (protein yang membawa oksigen di dalam sel darah merah) diperlukan oleh tubuh untuk memastikan oksigen yang mencukupi untuk semua tisu dan organ badan.

3 Punca Utama Penyebab Anemia:
  1. Kehilangan darah akut (mendadak) yang berketerlaluan (genting seperti dalam kes pendarahan akibat kemalangan, atau kronik (melalui kehilangan darah dalam jangka masa yang lama).
  2. Kemusnahan sel darah yang berterlaluan (hemolisis).
  3. Penghasilan sel darah merah yang kurang (hematopoiesis yang tidak berkesan).

Bagi wanita yang datang haid, kekurangan ferum dalam diet adalah kesan akibat kekurangan sel darah merah.

Simptom dan tanda-tanda Anemia

Anemia sukar dikesan bagi kebanyakan orang dan simptomnya juga tidak jelas. Biasanya, perasaan lemah atau keletihan dilaporkan. Sesak nafas dilaporkan dalam kes teruk.

Anemia yang teruk akan membawa kepada degupan jantung yang laju (palpitation) dan berpeluh; kegagalan jantung boleh terjadi jika orang yang sudah berumur mengalaminya.

Kulit dan selaput mukosa yang pucat sahaja menjadi tanda utama bagi anemia di tahap berbahaya (severe anemia), namun bukanlah merupakan tanda yang pasti.

Jenis-jenis Anemia

Anemia dikelaskan menurut saiz sel darah merah, sama ada dilakukan secara automatik atau melalui pemeriksaan mikroskop ke atas sel darah periferi (peripheral blood smear). Saiz ini digambarkan dalam min isipadu korpuskel.

Sekiranya sel lebih kecil berbanding normal (bawah 80 fl), anemia dikatakan sebagai mikrositik (microcytic), sekiranya darah bersaiz normal (80-100 fl), normositik (normocytic) dan sekiranya saiz darah lebih besar berbanding normal (lebih 100 fl), anemia ini dikelaskan sebagai makrositik (macrocytic).

Ciri-ciri lain yang boleh dilihat ketika pemeriksaan sel darah merah mungkin memberikan petunjuk untuk diagnosis yang lebih khusus contohnya, sel darah putih luar biasa mungkin menunjukkan punca dalam sum-sum tulang.

1. Anemia mikrositik

Kekurangan zat besi merupakan sebab paling kerap untuk anemia jenis ini berlaku.

Namun, anemia mikrositik juga boleh berlaku kerana penyakit-penyakit darah (hemoglobinopathies) lain seperti anemia sel sabit dan talasemia.

Anemia kerana kekurangan zat besi (ferum) berlaku apabila pengambilan zat besi dalam diet tidak mencukupi, atau penyerapannya tidak berlaku dengan sempurna. Zat besi merupakan elemen penting dalam hemoglobin.

Hemoglobin adalah sejenis pigmen yang terkandung dalam sel darah merah. Pigmen ini berfungsi sebagai tempat untuk oksigen berpaut (oxygen-binding site).

Apabila kandungan zat besi rendah, kadar hemoglobin dalam sel darah merah juga berkurang.

2. Anemia Normositik

Anemia normositik selalunya disebabkan kehilangan darah yang banyak dalam masa yang singkat, seperti terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Anemia jenis ini juga berlaku kepada pesakit yang mempunyai masalah keseimbangan hormon (hormonal imbalance), terutama kekurangan testosteron atau hipogonadisme.

Anemia sideroblastik (sideroblastic anemia) juga termasuk dalam kategori ini dan salah satu simptom untuk sindrom myelodisplastik (myelodysplastic syndrome). Sindrom ini merupakan satu kumpulan masalah yang berpunca dari sintesis sel darah merah yang tidak normal. Sindrom ini selalunya akan menjadi leukemia.

Anemia aplasia, atau kegagalan sum-sum tulang merupakan anemia yang disebabkan oleh kegagalan sum-sum tulang untuk menghasilkan sel darah.

Anemia aplasia jarang berlaku jika dibandingkan dengan anemia yang disebabkan kecacatan genetik atau gizi tidak seimbang, namun ia berkembang dan memburukkan keadaan dengan lebih cepat.

3. Anemia makrositik
  • Punca utama anemia makrositik adalah kekurangan sama ada vitamin B12 atau asid folik (atau kedua-duanya) akibat kekurangan pengambilan atau masalah penyerapan. Anemia pernisius (pernicious anemia) adalah keadaan autoimun (autoimmune) di mana tubuh kekurangan faktor intrisik yang diperlukan bagi menyerap vitamin B12 daripada makanan.
  • Ketagihan alkohol boleh menyebabkan anemia makrositik.
  • Anemia hemolitik adalah anemia di mana pelupusan atau degradasi (degradation) sel darah merah berlaku terlalu cepat. Jaundis (demam kuning) dan peningkatan tahap enzim laktat dehidrogenase (lactate dehydrogenase) merupakan simptom-simptom anemia hemolitik. Puncanya pelbagai, antaranya auto-imun, masalah genetik ataupun masalah mekanikal seperti pembedahan jantung atau sirosis hati (liver cirrhosis).

Rawatan untuk kekurangan vitamin B12 (yang menyebabkan anemia makrositik) telah ditemui oleh William Parry Murphy.

Beliau mencederakan anjing-anjing yang dijadikan eksperimen sehingga semuanya mengalami anemia, kemudian memberi mereka pelbagai ubatan dan zat makanan untuk mencari bahan yang mampu merawat anemia.

Berdasarkan kajian beliau ini, memakan hati mampu mengurangkan simptom dan akhirnya menyembuhkan anemia.

George Richards Minot dan George Hoyt Whipple akhirnya berjaya mengasingkan vitamin B12 dari hati.

Mereka bertiga kemudiannya dianugerah dan berkongsi Hadiah Nobel 1934 dalam bidang perubatan.

4. Anemia-anemia tertentu

Fanconi anemia (anemia fankoni) - penyakit keturunan.

Rawatan Anemia

Terdapat banyak jenis rawatan bagi anemia dan bergantung kepada tahap dan puncanya.

Kekurangan zat besi akibat kekurangan makanan amat jarang bagi dewasa tidak berhaid (lelaki dan wanita putus haid).

Anemia kekurangan zat besi ringan dan sederhana dirawat dengan tambahan zat besi menggunakan ferous sulfat atau ferrous gluconate. Vitamin C mungkin membantu keupayaan tubuh bagi menyerap zat besi.

Vitamin tambahan diberikan secara oral (asid folik) atau suntikan (vitamin B-12) akan menggantikan kekurangan darah merah.

Bagi penyakit anemia kronik, anemia dikaitkan dengan kemoterapi (chemotherapy), atau anemia dikaitkan dengan penyakit ginjal, sesetengah pakar klinikal memberikan ubatan recombinant protein, epoetin alfa, bagi menggalakkan penghasilan sel darah merah.

Bagi kes anemia yang teruk, atau kehilangan darah berterusan, pemindahan darah mungkin diperlukan.

Pemindahan darah kepada pesakit anemia

Secara umumnya, doktor akan cuba mengelakkan pemindahan darah kerana bukti menunjukkan pesakit akan bertambah teruk selepas menjalani pemindahan darah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Sunday, April 23, 2017

3 Punca Utama Penyakit Kurang Darah Merah (Anemia)

3 Punca Utama Penyakit Kurang Darah Merah (Anemia)

Anemia atau kurang darah merah merupakan gangguan darah yang paling biasa, puncanya adalah pelbagai dan bagi wanita-wanita yang datang haid, kekurangan ferum dalam diet merupakan kesan utama akibat kekurangan sel darah merah.

Punca Kurang Darah

Terdapat kira-kira 30% wanita yang tidak hamil pada lingkungan umur subur, 38% wanita hamil dan 14% lelaki yang berada di kawasan luar bandar mengalami kekurangan zat besi di Malaysia.

Penyakit kurang darah merah atau anemia adalah penyakit yang biasanya dialami oleh golongan wanita.

3 Punca Utama Penyakit Kurang Darah Merah (Anemia, Kekurangan Zat Besi)
  1. Kehilangan darah disebabkan pendarahan haid yang berlebihan, radang perut, kanser kolon dan usus, atau fibroid rahim.
  2. Diet yang tidak seimbang dan ketidakupayaan badan untuk menyerap zat besi disebabkan oleh gangguan atau penyakit usus. Sesetengah ubat, mineral dan makanan boleh mengganggu penyerapan zat besi.
  3. Kehamilan disebabkan peningkatan isipadu darah ibu mengandung bagi memenuhi keperluan pertumbuhan fetus.

Simptom Dan Tanda Kurang Darah

Anemia sukar dikesan bagi kebanyakan orang dan simptomnya tidak jelas. Biasanya, perasaan lemah atau keletihan dilaporkan. Sesak nafas dilaporkan dalam kes teruk.

Anemia yang teruk akan menyebabkan degupan jantung menjadi laju dan berpeluh; kegagalan jantung boleh terjadi jika orang yang sudah berumur mengalaminya.

Kulit dan selaput mukosa yang pucat biasanya menjadi tanda utama bagi anemia di tahap berbahaya (severe anemia), namun bukan merupakan tanda yang pasti.

Siapakah Yang Berisiko Mendapat Anemia?

Anda berisiko tinggi mendapat penyakit kurang darah merah atau anemia jika terdiri daripada golongan berikut:
  • Wanita yang mengalami kedatangan haid yang berlebihan.
  • Wanita yang mengandung atau menyusukan bayi.
  • Bayi, kanak-kanak atau remaja dalam fasa pertumbuhan tubuh yang pesat.
  • Individu yang kurang mengambil makanan kaya zat besi.
  • Individu yang mempunyai penyakit radang perut atau pesakit kanser kolon.
  • Ibu yang baru melahirkan anak.
  • Pesakit yang baru menjalani pembedahan.

Penyakit kurang darah merah atau anema kekurangan zat besi perlu dirawat dengan segera.

Jika penyakit anemia dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh bertukar menjadi serius dan mendatangkan pelbagai masalah kesihatan termasuk.

Masalah timbul jika dibiarkan seperti:
  • Denyutan jantung yang tidak teratur yang boleh menyebabkan sakit jantung.
  • Masalah kesihatan semasa mengandung yang boleh menyebabkan kelahiran bayi pramatang atau kelahiran bayi kurang berat.
  • Melambatkan pertumbuhan mental dan fizikal kanak-kanak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Apa Itu Hemofilia, Jenis, Punca Dan Kaedah Rawatannya

sumber: khasiataloevera