Sekitar tahun 1999, pukul 11 malam. Selepas pulang dari kerja pada suatu malam, saya terus tidur kerana badan terlalu penat.
Sedang tidur, tiba-tiba saya terdengar suara garau memanggil nama saya.
"Din", pekikan suara kuat itu.
Saya yang terkejut terus tersedar dari tidur. Bila membuka mata saya terkejut. Dihadapan saya berdiri satu jasad manusia.
Lebih memeranjatkan, jasad itu adalah diri saya sendiri. Bagaimana jasad saya boleh ada dua?
Kemudian, lelaki berwajah saya tadi bersuara.
"Macam ini engkau Din. Hina benar diri engkau", tengking suara itu marah sambil matanya tajam memandang saya.
Saya hanya mampu memandang dengan badan menggigil ketakutan. Entah berapa lama kami saling bertentang mata saya tidak tahu. Sedar-sedar lelaki tadi terus ghaib dari mata.
Selepas lelaki itu ghaib, saya termenung. Apa yang berlaku sebentar tadi? Adakah itu mimpi?
Tidak! Saya percaya itu bukan mimpi. Saya berada dalam keadaan sedar dan itu bukan khayalan.
Malam itu tidur saya tak lena. Saya asyik terfikir tentang lelaki tadi. Kenapa dia marah dan kata diri saya hina? Apa yang cuba disampaikannya? Semakin saya mengenangkan kata-kata lelaki tadi, saya semakin takut.
Saya akui sejak zaman remaja, saya memang jahat. Ganja ibarat makanan. Arak yang diharamkan ibarat minuman saya. Kalau sehari tak teguk arak, saya resah, hati tak tenang kerana ketagihan!
Kalau bab perempuan pula, saya tak mahu mengalah. Mana-mana perempuan yang berjaya dipikat pasti lunyai saya kerjakan. Tak kira minah kilang atau bohsia. Janji saya dapat puaskan nafsu!
Gambar hiasan.
Bab sembahyang pula tak usah cakap. Kalau rasa hendak sembahyang, saya buatlah. Kalau malas saya tinggal tanpa rasa berdosa atau bersalah.
Esoknya, saya tanya pada beberapa rakan tentang kejadian malam itu. Ada yang kata saya merepek. Ada yang kata saya akan mati tak lama lagi. Kejadian itu salah satu peringatan buat saya sebelum ajal tiba.
Waktu itu saya memang takut. Bagaimana jika saya benar-benar mati? Dosa saya banyak. Apa amalan yang akan saya bawa di alam kubur nanti?
Saya berazam mahu berubah. Tapi azam saya itu berlalu seperti angan-angan kosong. Dugaan dunia dan godaan wanita terlalu kuat. Beberapa bulan kemudian saya kembali dengan tabiat lama. Saya terus hanyut dalam keseronokan dunia..
Sekitar tahun 2002
Malam itu, sekali lagi saya bermimpi. Dalam mimpi itu, saya muncul di satu tempat yang terlalu asing. Kawasan itu begitu panas. Di kiri kanan saya hanya ada gelombang api yang sangat besar dan panas. Tiada pokok atau penghuni. Hanya diri saya dan api sahaja.
Dalam keadaan tak keruan itu saya berlari menyelamatkan diri dari api yang terus mengejar. Tapi usaha saya sia-sia. Api terus mengejar saya. Bahang api terasa begitu panas. Otak saya terasa seperti menggelagak. Sukar untuk saya gambarkan. Sakit dan pedih terasa sehingga ke dalam organ badan.Dalam keadaan lemah itu, tiba-tiba muncul dua lembaga berwarna hitam yang sangat besar. Tinggi dan besarnya tak dapat saya gambarkan.
Bayangkan telapak tangannya sahaja lebih besar dari tubuh saya. Bagaimana rupa lembaga itu, saya juga tak tahu kerana lembaga itu terlalu tinggi.
Kemudian lembaga tadi menggenggam tubuh saya dengan kemas dan kejap. Saya meronta cuba melepaskan diri. Tapi saya gagal. Saya rasa seperti dipenyek-penyek.
Selepas saya ditangkap, lembaga tadi membaringkan saya di atas jaring besi yang dibawahnya api sedang marak menyala. Lembaga tadi memanggang saya hidup-hidup seperti ikan. Saya hanya meronta-ronta seperti cacing kepanasan.
"Panas! Panas! Panas!", pekik saya sambil minta dilepaskan. Tapi jeritan dan rayuan saya langsung tak diendahkan. Tubuh saya terus dipanggang. Waktu itu badan saya mula hangit. Rambut saya terbakar.
Sedikit demi sedikit kulit saya mula mencair, terbakar dan akhirnya hangus dijilat api. Kemudian, segala isi tubuh sedikit demi sedikit terlerai dari badan.
Akhirnya tubuh saya yang gemuk rentung hingga tinggal tulang saja. Sakitnya tak usah cerita. Terlalu azab dan pedih. Belum pernah saya rasa sakit begitu. Entah berapa lama saya diazab begitu saya tak pasti.
Sebaik tersedar, tubuh saya menggigil. Badan saya lemah. Baju yang saya pakai dibasahi peluh. Akibat dari mimpi itu, kerongkong saya begitu sakit hingga sukar hendak minum air atau menelan makanan.
Lebih pelik, walaupun hanya mimpi, badan saya terlekat kesan petak-petak seperti saya berbaring di atas jaring besi.
Akibat mimpi itu, saya demam hampir dua minggu. Selera makan hilang. Perasaan takut terus menyelubungi diri saya.
Tapi...sebagai manusia, kita mudah lupa diri. Setahun kemudian, mimpi itu saya lupakan. Saya kembali kepada tabiat lama.
Sekitar tahun 2010
Tahun 2010 yang lalu, sekali lagi saya bermimpi. Dalam mimpi itu saya terdengar suatu suara berkata, "Din, engkau nak ikut aku tak?", soal suara lembaga besar.
Kali ini dua lembaga besar itu datang lagi kepada saya dan membawa saya ke suatu kawasan. Tapi bukan kawasan yang menyeronokkan sebaliknya di situ tempat manusia berdosa diseksa. Adakah itu neraka? Saya tak pasti.
Gambar hiasan.
Sebaik tiba, hati saya kecut. Saya menggelatar ketakutan. Saya lihat di situ begitu ramai manusia, lelaki dan wanita. Mereka semua terpekik terlolong dalam keadaan tak keruan. Ada yang berlari, ada yang menangis dan terjerit terlolong.
Kemudian, dua lembaga tadi membawa saya ke suatu kawasan. Di situ, sekumpulan manusia sedang menyeksa diri sendiri. Di tangan mereka tergenggam kemas bara api yang merah menyala. Waktu itu mereka terjerit-jerit sambil merayu.
"Tak nak. Tak nak buat", pekik mereka.
Tapi yang peliknya, walaupun mereka menjerit begitu tapi tangan mereka menjerit begitu tapi tangan mereka bertindak sebaliknya. Bara api yang dipegang tadi dirodok ke dalam mulut.
Sebaik bara api yang merah menyala masuk ke dalam mulut, terdengarlah suara meraung kesakitan bergema.
"Sakit. Sakit", pekik mereka. Bunyinya amat menggerunkan.
Selepas dirodok bara api, mulut, leher dan kepala mereka mula hancur seperti air batu yang dicurah dengan air panas. Kemudian mereka jadi seperti sediakala. Seksaan tadi berulang lagi tanpa henti.
Saya diberitahu dua lembaga tadi, itu ialah antara seksaan kepada orang yang memakan harta anak yatim.
Selepas itu, saya diperlihatkan seksaan lain pula. Di situ berkumpul lelaki dan wanita dalam keadaan berbogel. Kemudian badan mereka dicangkuk berpuluh-puluh besi panas seperti mata kail yang disambungkan dengan rantai besi dan diikat pada seketul batu yang amat besar.
Lalu mereka disuruh menarik batu tersebut. Waktu itu saya terdengar suara mereka terpekik terlolong.
"Tak nak. Tak nak. Ya Allah ampunkan aku. Hantar aku balik ke dunia", jerit mereka bergema.
Seperti tadi, walaupun mereka menjerit dan menolak untuk menarik batu tersebut, tetapi kaki mereka tetap melangkah ke hadapan.
Bila saja rantai tadi menegang kerana menarik batu yang besar, kulit belakang dan badan mereka mula terkoyak sehingga tertanggal dari badan. Darah memercik. Batu pula seinci pun tak bergerak kerana terlalu besar.
Waktu itu terdengarlah mereka terpekik terlolong sambil memohon ampun kepada Allah.
"Sakit! Sakit! Ampunkan aku", pekik mereka.
Selepas tubuh badan hancur, mereka jadi seperti sediakala. Seksaan tadi berulang lagi tanpa henti.
Seksaan itu untuk orang yang berdosa apa, saya tidak tahu. Cuma saya diberitahu batu yang ditarik itu adalah dosa manusia tersebut semasa dia hidup di dunia. Semakin banyak dosa, semakin besarlah batu tersebut.
Selepas diperlihatkan seksaan itu, saya terus tersedar. Badan saya lemah dan menggigil ketakutan. Saya menangis semahu-mahunya.
Apa yang saya lihat itu sangat menakutkan. Dapat saya bayangkan sakitnya manusia itu diseksa.
Selepas mimpi itu berakhir barulah saya tersedar. Saya sudah jauh terpesong. Mungkin mimpi itu salah satu petunjuk dari Allah supaya saya tinggalkan segala kejahatan yang saya lakukan dulu.
Saya pernah ceritakan kepada kawan-kawan namun ada yang percaya dan ada yang tidak. Terpulanglah pada mereka. Saya tidak memaksa mereka untuk percaya.
Cuma, bila orang kata penjara dunia itu teruk dan seksa, bagi saya tidak. Jika melihat azab Allah, ia jauh lebih pedih dan menakutkan.
Mimpi ngeri itu akhirnya mengubah kehidupan saya, dari seorang yang suka berbuat dosa dan kejahatan kepada insan yang lebih baik.
Alhamdulillah, disebabkan mimpi itu, saya mampu tinggalkan segala perbuatan keji yang saya lakukan dahulu. Saya sedar Allah masih sayangkan saya.
Lagi satu, saya ceritakan mimpi ini bukan untuk glamour atau mengada-ngadakan cerita. Saya cuma mahu sampaikan kepada pembaca bahawa seksaan dan azab Allah itu amat pedih. Tak mampu kita menanggungnya.
Allah berfirman: "Sebelum (Al-Qur'an diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)". - Surah Ali Imran (ayat 4).
BACA INI JUGA:
Wajah-wajah Manusia Ketika Ajal Telah Tiba
-Sentiasapanas.com