Friday, September 11, 2015

Al Jazeera Siar Kisah Pembunuhan Altantuya Dalam 'Murder in Malaysia'!

Al Jazeera Siar Kisah Pembunuhan Altantuya Dalam 'Murder in Malaysia'!

Pagi tadi dalam program mingguan Al Jazeera 101 East telah disiarkan satu dokumentari khas dengan tajuk 'Murder in Malaysia..'

Pembunuhan Altantuya

Ianya mengisahkan tentang pembunuhan gadis Mongolia yang mana telah dijumpai dibunuh dan mayatnya telah diletupkan dengan bahan letupan C4 yang hanya dimiliki oleh pihak tentera.

Dan mendapat reaksi segera dari Putrajaya..

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah kenal, bertemu atau berkomunikasi dengan Altantuya Shaariibuu, kata Putrajaya dalam responsnya kepada sebuah dokumentari baru diterbitkan Al Jazeera berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu pada 2006.

"Perdana menteri tidak tahu, tidak pernah bertemu, tidak pernah mempunyai sebarang komunikasi dan tiada kaitan sama sekali dengan si mati.

"Kedua-dua individu yang disabitkan bukan pengawal peribadi perdana menteri. Tuduhan itu sengaja bertujuan mengelirukan dan digunakan untuk mengekalkan teori konspirasi yang tidak berasas," kata seorang jurucakap kerajaan, merujuk kepada bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

Putrajaya berkata, sepanjang proses penyiasatan polis dalam kes pembunuhan itu serta perbicaraan mahkamah yang panjang, tiada bukti Najib melakukan sebarang kesalahan.

Ia berkata, ini kerana "keseluruhan dakwaan itu satu perbuatan memburuk-burukkan yang palsu, didorong keuntungan politik".

"Musuh-musuh politik dan sekutu media mereka cuba menyerang perdana menteri dalam isu ini selama bertahun-tahun."

Kerajaan berkata, Altantuya tidak pernah terlibat dalam pembelian kapal selam Scorpene berharga berbilion ringgit oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembelian itu menjadi perhatian beberapa tahun lalu kerana didakwa melibatkan bayaran komisyen €114 juta (RM500 juta) kepada Perimekar Sdn Bhd, anak syarikat KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana isteri pembantu Najib, Abdul Razak Baginda, adalah pemegang saham utamanya.

Razak, kekasih Altantuya, dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan itu.

"Pembelian ini dirundingkan secara langsung antara kerajaan Malaysia dan Perancis. Perimekar 40% dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia (LTAT), sebuah badan berkanun kerajaan yang dihormati," kata jurucakap kerajaan itu.

"Perimekar dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk mengendalikan semua logistik, latihan dan penyelarasan bagi pihak TLDM." lapor The Malaysian Insider.

UPDATE!

Wartawan Al Jazeera dakwa diusir berhubung dokumentari pembunuhan Altantuya

Wartawan di sebalik pembikinan siri khas Al Jazeera tentang pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, dakwa telah diusir pulang ketika sedang membuat dokumentari tersebut.

Ini didedahkan dalam program mingguan Al Jazeera 101 East, dan usaha susulan terhadap misteri pembunuhan yang terus menghantui Malaysia itu.

Dalam menjalankan siasatannya itu, wartawan Australia Mary Ann Jolley, yang melaporkan berita itu untuk Al Jazeera, tiba-tiba diusir pulang pada 14 Jun dari Kuala Lumpur selepas Kementerian Dalam Negeri didakwa menganggap aktiviti beliau sebagai mempunyai "kesan negatif terhadap imej Malaysia" .

Jolley ditunjukkan berkata dalam dokumentari itu, "Saya diusir pulang dari Malaysia. Saya sedang diiringi oleh kira-kira 5 ejen kastam dan seorang lelaki dalam pakaian tentera, jadi saya sedang menaiki penerbangan saya ke Sydney."

Pengusiran Jolley itu tidak menghalang usahanya untuk mendapatkan cerita tersebut kerana dia mengesan kaitan Sirul, yang menceritakan versinya tentang apa yang berlaku pada malam Altantuya dibunuh.

Program itu telah disiarkan hari ini pada jam 6.30 pagi dengan siaran ulangan pada pukul 5.30 petang dan boleh didapati dalam talian di laman webnya lapor Malaysiakini

BACA INI JUGA: Jadi Siapa Yang Membunuh Altantuya?

Sumber: Darisungaiderhaka

Tuesday, January 13, 2015

Kes Altantuya: Azilah Dan Sirul Ke Tali Gantung

Kes Altantuya: Azilah Dan Sirul Ke Tali Gantung

Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan keputusan membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) terhadap tuduhan membunuh model Mongolia, Altantunya Shaariibu dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Azilah-Dan-Sirul-Altantuya

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang membacakan penghakiman itu, berkata mahkamah mengetepikan pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 43, kerana membunuh Altantuya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah membunuh wanita itu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan dua anggota polis berkenaan.

(Baca: Panas! Azilah Dan Sirul Dibebaskan Dari Tuduhan Membunuh Altantuya!)

Panel rayuan itu dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Hakim Suriyadi berkata selepas meneliti keterangan yang dikemukakan di mahkamah, dua anggota polis itu didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah seperti mengikut pertuduhan. Kami membenarkan rayuan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mensabit dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka,” kata Hakim Suriyadi.

Hakim Arifin mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar yang tidak hadir di mahkamah. Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memohon mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap itu.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt dan 1 pagi, keesokan harinya pada 20 Okt 2006.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013, membenarkan rayuan kedua-dua komando polis itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah kerana membunuh dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 54, yang didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas mahkamah itu memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak. –BERNAMA

Kronologi Kes Bunuh Altantuya Shaariibuu

Sembilan tahun berlalu, akhirnya kes pembunuhan berprofil tinggi melibatkan model dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu berakhir apabila Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati terhadap dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK).

Dua anggota tersebut adalah Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Menurut fakta kes, jasad wanita tersebut telah diletupkan dengan bahan letupan C4 oleh kedua-dua tertuduh bagi menghapuskan bukti.

Mengimbas kembali kes tersebut yang mendapat perhatian masyarakat Malaysia, pada 26 Oktober 2006, Cif Inspektor Azilah (tertuduh pertama) dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman ditahan berhubung kehilangan model tersebut.

Pada 6 November pula, tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar pula ditahan atas sebab yang sama. Sehari kemudian, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda juga ditahan bagi membantu siasatan.

15 November kemudian, Azilah dan Sirul dituduh di Mahkamah Majistret di Shah Alam atas pembunuhan model tersebut. Dalam dakwaan itu, mereka dituduh melakukan pembunuhan di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, Selangor, antara 10 malam pada 19 Oktober hingga 1 pagi pada 20 Oktober.

Sehari kemudian, Razak Baginda pula didakwa bersubahat dalam pembunuhan tersebut antara 9.45 pagi hingga 11.05 pagi pada 18 Oktober di tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang.

Pada 19 Jun 2007, perbicaraan bagi kes tersebut bermula buat ketiga-tiga tertuduh. Setahun selepas itu iaitu pada 31 Oktober, Mahkamah Tinggi membebaskan Razak tanpa memerintahnya membela diri selepas keputusan memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi turut memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Azilah dan Sirul Azhar dan memerintahkan mereka membela diri.

14 November kemudian, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah membuat pengesahan bahawa pendakwaan tidak akan merayu terhadap pembebasan Abdul Razak.

Awal 2009, kedua-dua tertuduh memulakan prosiding pembelaan diri. Setelah berlangsung selama empat bulan, pada 9 April, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua tertuduh setelah Mahkamah Tinggi mendapati mereka bersalah.

Sehari selepas itu, Azilah menfailkan notis rayuan terhadap hukumannya dan diikuti Sirul tiga hari selepas itu.

Empat tahun selepas itu, pada 24 Jun 2013, Mahkamah Rayuan membuat pendengaran terhadap rayuan yang dikemukakan mereka berdua.

Pada 23 Ogos tahun yang sama, mahkamah membenarkan rayuan dikemukakan Azilah dan Sirul lantas membebaskan mereka daripada pertuduhan membunuh Altantuya. Pendakwaan terus menfailkan rayuan pada hari yang sama.

Pada 23 Jun tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan. -Mynewshub.cc

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, August 28, 2013

Luahan Warga Netizen Dan Teori Konspirasi Pembunuhan Altantuya

Luahan Warga Netizen Dan Teori Konspirasi Pembunuhan Altantuya

Bagaimana rupa bekas polis Azilah Hadri dan Siru Azhar Umar? Mengapa DSP Musa Safri tidak dipanggil memberi keterangan?

Hakim perbicaraan Altantuya tersilap, bekas 
polis tidak seharusnya dijatuhkan hukuman.

Ini adalah dua soalan yang kerap ditanya di ruang siber apabila pengguna internet (netizen) memberi ulasan yang meluap-luap terhadap pembebasan dua anggota polis berkenaan daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Berikutan keputusan mahkamah hari ini, ada pelbagai kemungkinan yang tiada berpenghujung mengenai apa yang berlaku kepada kes Altantuya, yang meletakkan Malaysia di peta dunia atas sebab yang salah.

Dan soalan yang terus berada di ruang siber, siapa bunuh Altantuya?

Kebanyakan ulasan yang dibuat di talian bernada sinis dengan salah seorang netizen, Isana berkata:”Wow! Kalau begitu, Altantuya pasti masih hidup kerana tidak ada sesiapa membunuhnya. `Endless Possibilities’ hanya berlaku dalam 1Malaysia.”

Satu lagi, Rayfire mengulas,”Ya, `Endless possibilities’ untuk menipu, membunuh dah bebas! Keadilah mesti dan akan ditunjukkan oleh Yang Berkuasa.”

Sebahagian yang lain tertanya-tanya sama ada masyarakat akan dapat mengenali bagaimana rupa Azilah dan Sirul.

“Muka mereka ditutup dari hari pertama, setiap kali mereka dibawa masuk dan keluar mahkamah,” kata Mr M.

“Bagaimana mereka berdua dibenarkan menutup muka mereka sejak hari pertama? Adakah itu supaya apabila mereka dibebaskan, tidak ada sesiapa yang tahu siapa mereka dan bagaimana rupa mereka? Jika mereka tidak dibebaskan sekali pun, tidak ada siapa akan tahu sama ada mereka benar-benar digantung sebab tiada yang tahu rupa mereka! *teori konspirasi*”.

Sebahagian yang lain meluahkan rasa kecewa terhadap sistem keadilan yang memutuskan pembebasan itu walaupun ada yang kata, itu memang dijangkakan berlaku.

Netizen Angel mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sengaja tidak memanggil DSP Musa memberi keterangan di mahkamah.

“Peguam negara tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan kes itu. Dia sengaja tidak memanggil Musa Safri, pegawai khas Najib. Dia akan mengikut arahan Najib,” kata Angel dalam ulasannya.

Pihak pendakwa tidak memanggil Musa, perkara yang dibangkitkan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan hari ini, bahawa `saksi material tidak dipanggil beri keterangan, termasuk Musa’.

Altantuya dikatakan menjadi kekasih penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, tetapi, kemudian memburunya dan meminta komisen yang tinggi, kononnya atas bantuan membantu dalam urusan pembelian dua kapal selam untuk Malaysia.

Razak kemudian mengupah penyiasat upahan P Balasubramaniam untuk memerhatikan wanita itu ketika dia datang ke Malaysia.

Apabila Altantuya muncul di luar rumah Razak pada 18 Oktober 2006, polis menahannya dan itu adalah kali terakhir dia dilihat hidup.

Netizen Justice Pao memberi komen:”Sungguh memalukan! Altantuya tidak dibunuh, jadi mesti dia menjerut dan menembak dirinya di belakang kepala menggunakan alat khas, kemudian guna C4 untuk meletupkan dirinya!”

Seorang lagi netizen, Longjaafar dalam postingnya berkata:”Satu ketika dulu, seseorang kata Anwar Ibrahim menumbuk mukanya sendiri. Sama seperti ini, Altantuya bom dirinya.”

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga terkait dalam kontroversiti itu.

Satu tweet berkata,”Keputusan berunsur politik untuk melindungi Najib, Rosmah? Bekas pengawal peribadi bebas daripada pembunuhan Altantuya”.

Ramai netizen turut mengucapkan takziah kepada bapa Altantuya, Dr Setev Shaariibuu, yang mereka gelar sebagai `adalah lelaki paling sedih di dunia hari ini’. [Sumber]

Friday, August 23, 2013

Jadi Siapa Yang Membunuh Altantuya?

Jadi Siapa Yang Membunuh Altantuya?

Persoalan berhubung siapakah pembunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibu timbul kembali berikutan dengan keputusan mahkamah. Mohamad Sabu menyatakan rasa terkejut beliau berhubung pembebasan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia itu oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Azilah Dan Sirul Dibebas Tuduhan Bunuh Altantuya

Menurut Timbalan Presiden PAS itu, perkara seperti tu tidak seharusnya berlaku kerana pembebasan tersebut menambah lebih banyak persoalan yang belum terjawab.

“Saya amat terkejut dan tidak menyangka mahkamah akan membuat keputusan begini, jadi sekarang ini semua rakyat Malaysia tertanya-tanya apakah yang berlaku sekarang ini? Siapakah yang membunuh Altantuya? bagaimanakah Altantuya ini boleh terbunuh, adakah dia meletupkan dirinya sendiri atau bagaimana” kata Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu itu apabila dihubungi The Malaysian Insider.

“Seperti ada sesuatu yang tidak kena namun bila kita cuba nak suarakan keraguan nanti pihak kerajaan kata kita cuba menghina keputusan mahkamah, saya pula akan didakwa maka inilah yang rakyat kena terima maka kes ini akan dibiarkan tidak berkesudahan seperti kes lain yang melibatkan kalangan pemimpin tertinggi,” tambah beliau lagi.

Mohamad mengulas pembebasan dua bekas komando polis hari ini selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan mengubah sabitan terhadap tuduhan membunuh warga Mongolia itu pada 2006.

Panel tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan Azilah dan Sirul.

Kedua-duanya sebelum ini disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di hutan simpan, Shah Alam pada 2006.

Mereka pada ketika itu bertugas di UTK Bukit Aman dan berada dalam pasukan keselamatan Datuk Seri Najib Razak.

Najib pada ketika itu merupakan timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

Keputusan mahkamah hari ini turut mendapat perhatian dan menjadi topik bagi warga siber di Internet apabila rata-ratanya meluahkan kecurigaan.

Antara persoalan paling kerap diutarakan ialah bagaimana rupa bekas polis Azilah Hadri dan Siru Azhar Umar? Mengapa DSP Musa Safri tidak dipanggil memberi keterangan?

Dan soalan yang terus berada di ruang siber, siapa bunuh Altantuya?

Kebanyakan ulasan yang dibuat di talian bernada sinis dengan salah seorang pengguna Internet, Isana berkata: “Wow! Kalau begitu, Altantuya pasti masih hidup kerana tidak ada sesiapa membunuhnya. `Endless Possibilities’ hanya berlaku dalam 1Malaysia.”

Bapa Altantuya Mahu Pemerintah Mongolia campur tangan

"Tiba masanya pemerintah Mongolia membuat kenyataan berhubung keputusan itu."

Demikian reaksi Setev Shaariibuu, bapa kepada penterjemah dan warganegara Mongolia, Altantuya.

Setev yang dilaporkan sudah menjangka keputusan itu bercadang akan membawa kes anaknya ke peringkat lebih tinggi, bagi menegakkan keadilan untuk mendiang anak perempuannya itu.

Menurut peguamnya, Setev mahu pemerintah Mongolia terlibat dalam urusan kes ini.

"Dia akan membuat kenyataan selepas mendapat surat rasmi daripada mahkamah Malaysia atau daripada peguammnya di Malaysia Karpal Singh," katanya dipetik dari Malaysiakini.

Ketika Mahkamah mengumumkan keputusan membebaskan dua bekas anggota polis yang dituduh membunuh anaknya pada Oktober 2006, Setev dilaporkan menerima berita itu dengan perasaan sedih.

Hari ini, mahkamah membebaskan dua bekas komando polis selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan mengubah sabitan terhadap mereka atas tuduhan membunuh Altantuya.

Panel tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan bekas ketua inspektor Azilah Hadri dan bekas korperal Sirul Azhar Umar.

Kedua-duanya sebelum ini disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di hutan simpan di Shah Alam pada 2006.

Mereka pada ketika itu bertugas di Unit Tindakan Khas Bukit Aman dan berada dalam pasukan keselamatan Datuk Seri Najib Razak.

Najib pada ketika itu ialah timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

Keputusan ringkas selama lima minit yang dibacakan Tengku Maimun itu, beliau berkata hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan alibi pembelaan yang difailkan oleh Azilah.

Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, sementara Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Redzua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mewakili responden berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Sementara itu, Ketua Undang-Undang Nasional DAP, Gobind Singh Deo, berkata rayuan dibenarkan kerana kegagalan memanggil saksi material.

“Bukti terkuat sepatutnya ialah siapa yang memberi arahan dan kepada siapa ia diberikan. Bolehkah Peguam Negara beritahu kami siapa orang itu?” kata Gobind dalam akaun Twitternya.

Keputusan hakim itu menyebabkan Karpal Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak Setev, berkata beliau akan membuat tuntutan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas pegawai khasnya, DSP Musa Safri akan disapina untuk memberi keterangan dalam tuntutan sivil yang difailkan Setev, bapa Altantuya.

Peguam, Karpal Singh berkata akan mendesak tuntutan tersebut didengar tidak lama lagi. Setev memfailkan tuntutan sivil RM100 juta terhadap Abdul Razak Baginda, Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar dan kerajaan Malaysia pada Jun 2007.

Tuntutan itu ditangguhkan berikutanmemberi laluan terlebih dahulu kepada rayuan yang difailkan Azilah dan Sirul. Kedua-dua anggota polis itu dibebaskan hari ini sementara Razak yang dituduh bersubahat dengan kedua-duanya itu dibebaskan pada Oktober 2008.

“Kita kini akan memanggil perdana menteri dan Musa. Musa tidak boleh bertindak sendiri,” kata Karpal di Shah Alam, hari ini.

BACA INI JUGA: Misteri Pembunuh Suami Muncul Dalam Mimpi Isteri

-Sentiasapanas.com