Monday, April 17, 2017

Kisah Ali Baba dan 40 Penyamun Dalam Hikayat 1001 Malam

Kisah Ali Baba dan 40 Penyamun Dalam Hikayat 1001 Malam

Ali Baba (Bahasa Arab: علي بابا‎ ʿAlī Bābā ) merupakan satu watak dalam kesusasteraan Arab pada zaman pertengahan. Cerita ini diterangkan dalam kisah dongeng pengembaraan Ali Baba dan 40 Penyamun.

Ali Baba

Sebagaimana kebanyakan kisah dongeng yang diadaptasi untuk kanak-kanak, cerita asalnya lebih gelap serta lebih ganas daripada versi adaptasi.

Cerita ini mengisahkan seorang lelaki miskin tetapi jujur yang mana hasil kekayaannya membolehkan Ali Baba mengambil kesempatan terhadap rompakan si penyamun.

Kisah Ali Baba dan 40 Orang Penyamun

Ali Baba dan abangnya Kassim merupakan anak kepada seorang saudagar. Selepas kematian ayah mereka, Kassim yang tamak menikahi seorang wanita kaya dan terus hidup kaya-raya, membina kemewahan di atas perniagaan peninggalan bapanya, manakala Ali Baba pula menikahi seorang perempuan miskin dan menjadi seorang pemotong kayu.

Pada suatu hari, Ali Baba pergi memotong kayu di hutan seperti biasa dan secara kebetulan terdengar sekumpulan empat puluh orang penyamun datang ke tempat hasil rompakan mereka disembunyikan.

Tempat persembunyian itu terletak di dalam sebuah gua, yang mana mulutnya dikunci oleh kuasa sihir.

Ia dibuka dengan membaca mentera "iftah ya simsim" (seringkali ditulis sebagai "Bukalah Bijan"), dan dikunci semula dengan mentera "Ikfil ya simsim" ("Tutuplah Bijan").

Setelah para penyamun tersebut beredar, Ali Baba sendiri memasuki gua tersebut dan membawa pulang sebahagian daripada harta rompakan berupa satu peti penuh berisi syiling emas.

Ali Baba dan isterinya meminjam dacing daripada kakak iparnya untuk menyukat syiling emas tersebut.

Tanpa diketahui mereka, kakak ipar mereka sebenarnya ada membubuh sedikit lilin pada dacing tersebut untuk mengetahui apa tujuannya Ali Baba mahu meminjam dacingnya.

Dia ingin tahu apa jenis bijirin yang mahu disukat oleh adik iparnya yang miskin itu dan sangat terkejut apabila melihat sekeping syiling emas melekat pada dacingnya lantas memberitahu suaminya, abang Ali Baba yang kaya dan tamak, Kassim.

Setelah dipujuk oleh abangnya itu, Ali Baba terpaksa mendedahkan rahsia gua harta karun tersebut.

Kassim terus meluru ke gua itu dan memasuki gua tersebut dengan mentera yang betul, namun keghairahan dan ketamakannya terhadap harta karun tersebut menyebabkan Kasim terlupa akan mentera untuk keluar.

Para penyamun menemui Kassim dan membunuhnya. Setelah abangnya tidak balik-balik, Ali Baba pergi ke gua untuk mencarinya dan mendapati mayat Kassim yang dicerai-beraikan sebagai amaran kepada sesiapa sahaja yang cuba memasuki gua tersebut.

Ali Baba membawa mayat abangnya pulang dan meminta Marjina, seorang hamba perempuan yang pintar dari kediaman Kassim dan menyuruhnya membuat orang lain percaya bahawa Kassim mati secara semulajadi.

Mula-mula, Marjina membeli ubat-ubatan daripada seorang tabib, dengan mengatakan Kassim sudah sakit tenat.

Kemudian, dia berjumpa seorang tukang jahit bernama Baba Mustafa yang dibayar, ditutup matanya, dan dipimpin sehingga ke rumah Kassim.

Di situ, si tukang jahit bekerja sehari suntuk menjahit cebisan mayat Kassim menjadi satu, supaya tiada orang yang curiga. Ali Baba dan keluarga akhirnya berjaya menyempurnakan pengkebumian Kassim.

Para penyamun mendapati mayat tersebut hilang dan menyedari bahawa pasti ada seorang lagi yang tahu rahsia mereka dan terus memburunya.

Salah seorang penyamum datang ke bandar dan menemui Baba Mustafa, yang memberitahunya bahawa dia baru sahaja menjahit mayat seseorang.

Menyedari bahawa maya tersebut pastinya Kassim Baba, penyamun itu meminta Baba Mustafa menunjukkan jalan ke rumah Kassim.

Sekali lagi tukang jahit itu ditutup matanya dan kali ini dia berupaya menghafal jalan ke rumah Kassim.

Penyamun itu seterusnya menandakan pintu rumah tersebut dengan tanda pangkah dan rancangannya ialah untuk membawa kesemua penyamun datang dan membunuh kesemua yang ada dalam rumah tersebut.

Namun demikian, Marjina ternampak kelibat penyamun itu dan dia yang setia kepada tuannya mematahkan rancangan penyamun itu dengan menanda kesemua rumah di kawasan kejiranannya dengan tanda yang sama.

Apabila kesemua 40 penyamun kembali, mereka gagal mengecam rumah yang betul dan ketua penyamun yang marah membunuh penyamun yang gagal itu.

Keesokan hari, seorang lagi penyamun mencuba. Kali ini dia membuat takuk pada batu langkah di pintu hadapan rumah Ali Baba.

Marjina sekali lagi menggagalkan rancangan mereka dengan membuat takuk yang sama di hadapan pintu kesemua rumah yang lain.

Sekali lagi penyamun kedua dibunuh kerana gagal. Akhirnya, ketua penyamun sendiri pergi mencarinya. Kali ini, dia menghafal setiap inci bahagian luar rumah Ali Baba.

Ketua penyamun menyamar sebagai seorang saudagar minyak yang mahu menumpang bermalam di rumah Ali Baba, dengan membawa keldai berisi tiga puluh lapan tong minyak; salah satu daripadanya berisi minyak sebenar manakala setiap tong yang lain berisi penyamun.

Sebaik Ali Baba tidur, para penyamun merancang untuk membunuhnya. Sekali lagi Marjina membongkar rancangan tersebut serta menggagalkannya dan membunuh tiga puluh tujuh penyamun dalam tong minyak masing-masing dengan mencurahkan minyak mendidih di dalam setiap tong.

Apabila ketuanya kembali untuk memanggil orang-orang bawahannya, dia mendapati kesemuanya sudah mati dan terus melarikan diri.

Keesokan paginya, Marjina memberitahu Ali Baba mengenai penyamun di dalam tong. Mereka mengebumikan mayat penyamun tersebut dan Ali Baba yang terhutang budi memerdekakan Marjina.

Untuk membalas dendam, setelah beberapa lama ketua penyamun menyamar sebagai seorang saudagar dan berkawan dengan anak Ali Baba (yang mengambil alih perniagaan arwah Kassim), dan dijemput untuk makan malam di rumah Ali Baba.

Namun, Marjina dapat mengecam ketua penyamun tersebut dan seterusnya mempersembahkan satu tarian dengan menyembunyikan sebilah pisau di belakangnya, lalu menikam jantung ketua penyamun semasa dia sedang leka.

Ali Baba pada mulanya berasa marah akan perbuatan Marjina itu, tetapi apabila dia mendapati bahawa ketua penyamun itu memang cuba membunuhnya, dia berasa amat terhutang budi dan membalasnya dengan mengahwinkan Marjina dengan anak lelakinya.

Akhirnya hanya tinggal Ali Baba sahaja yang mengetahui rahsia gua harta karun tersebut dan bagaimana untuk memasukinya.

~tamat

Sejarah Teks Ali Baba

Sesetengah pengkritik berpendapat bahawa cerita ini ditokok-tambah di dalam Hikayat Seribu Satu Malam oleh salah seorang penterjemah Eropah, Antoine Galland, seorang orientalis Perancis abad ke-18 yang mungkin pernah mendengarnya secara lisan daripada penglipur lara Timur Tengah dari Aleppo, Syria moden.

Dalam mana-mana kes, versi teks pertama yang diketahui bagi cerita ini ialah versi Bahasa Perancis oleh Galland sendiri.

Richard F. Burton menyertakannya di dalam jilid tambahan dan bukannya koleksi utama dalam Hikayat Seribu Satu Malam versinya.

Orientalis Amerika Duncan Black MacDonald menemui manuskrip berbahasa Arab mengenai kisah lagenda itu di Perpustakaan Bodleia, namun, ia kemudian didapati merupakan satu manuskrip palsu.

Adaptasi Kisah Ali Baba

Sebuah filem komedi Malaysia, Ali Baba Bujang Lapok (1960), sangat mengikuti jalan cerita asal kisah tersebut, tetapi ditokok tambah dengan beberapa unsur anakronisme untuk menambah unsur komedi, misalnya Kassim Baba menggunakan sebuah lori untuk memunggah hasil rompakan para penyamun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia