Monday, April 18, 2022

Denda RM7.7 Juta Jika Tanam Guarana Di Malaysia!

Denda RM7.7 Juta Jika Tanam Guarana Di Malaysia!

Individu atau pihak di negara ini yang sengaja menanam pokok Guarana yang berasal dari Brazil boleh dikenakan denda sehingga R$10 juta Real Brazil (RM 7.7 juta).

Jabatan Pertanian Malaysia Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataannya memaklumkan, larangan itu adalah termaktub di bawah undang-undang Brazil (Access and Benefits Sharing of Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge).

Buah Guarana

Menurutnya, kerajaan Malaysia, jabatan, agensi, mana-mana syarikat atau individu yang menanam guarana adalah berisiko dikenakan tindakan perundangan oleh Kerajaan Brazil sekiranya tanaman ini dibiakkan atau dikomersialkan daripada biji benih yang dibawa masuk secara tidak sah.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan amaran, sita dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil (RM7.7 juta).

Jabatan Pertanian Malaysia sudah dimaklumkan oleh Ministry of Agriculture Livestock and Food Supply (MAPA) Brazil, melalui surat OFÍCIONº5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020 bahawa negara Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana bagi tujuan pemprosesan dan makanan manusia sahaja.

Berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan tumbuhan dari negara berisiko tinggi yang endemik kepada penyakit South American Leaf Blight (SALB) iaitu oleh kulat Microcyclus ulei kepada tanaman Hevea adalah dilarang, kecuali bagi tujuan penyelidikan.

Guarana atau nama saintifiknya Paullinia cupana adalah tanaman herba semulajadi di Lembah Amazon terutamanya di Brazil.

Lembah Amazon juga adalah kawasan penanaman getah dengan insiden serangan penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (South American Leaf Blight, SALB) yang amat tinggi.

Spora SALB yang menjangkiti tanaman getah akan menyebabkan pertumbuhan pokok getah terbantut dan tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif.

Keadaan ini boleh melumpuhkan industri getah negara yang bernilai lebih RM18 bilion setahun.

Penyakit ini mengakibatkan kegagalan industri getah di negara Brazil dan negara-negara SALB yang lain seperti Colombia, Costa Rica, Surinam dan Panama.

Berikutan larangan pengimportan guarana bagi tujuan penanaman oleh negara Brazil dan impak negatifnya kepada industri getah negara, Jabatan Pertanian tidak pernah membenarkan petani atau usahawan melaksanakan projek penanaman guarana untuk dikomersialkan di negara ini.

Ini adalah kerana sumber benih guarana yang dibawa masuk ke dalam negara ini secara haram untuk dikomersialkan adalah tidak sah dari sudut perundangan negara berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.

Penanaman guarana di Malaysia adalah berisiko membawa penyakit baharu lain seperti Colletotrichum guaranicola yang hanya dilaporkan menyerang spesis guarana.

Maklumat mengenai penyakit C. guaranicola adalah terhad dan akan menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan berlaku di Malaysia.

Selain itu, biji guarana yang sudah matang perlu diproses sebelum ekstrak guarana dapat digunakan bagi tujuan komersil.

Ini menunjukkan keperluan untuk penyediaan industri hiliran bagi pemprosesan guarana dan mendatangkan masalah kepada petani atau usahawan untuk menjual hasil tanaman selepas dituai sekiranya tiada pusat pemprosesan.

Sebelum ini tular dakwaan benih pokok ini dijual pada harga RM50 sepokok, cuba diedarkan di Sabah.

Untuk rekod, tanaman guarana masih lagi diharamkan di Sabah, malah kerajaan negeri tiada perancangan untuk membangunkan industri tanaman itu.

Guarana menjadi popular di Malaysia sebelum ini kerana dianggap mampu menjadi alternatif bagi menjana pendapatan lumayan kerana nilainya yang tinggi mencecah AS$1,600 sekilo bagi ekstrak 100 peratus.

Khasiat Guarana

Guarana atau nama saintifiknya, Paullinia cupana adalah sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil.

Pokok guarana mengeluarkan daun yang lebar dan berjambak bunganya dan terkenal dengan buahnya yang sebesar biji kopi.

Daun guarana juga dipercayai berupaya merawat kanser serviks dan mengurangkan ketagihan di kalangan penagih dadah.

Biji guarana juga dianggap sebagai alternatif kepada pembuatan tepung dan mengulas mengenai khasiat tepung guarana, produk itu dikatakan bebas gluten, 100 peratus organik, memiliki zat besi, tinggi kalsium dan DHA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hmetro

Monday, December 14, 2020

4 Jenis Kayu Paling Mahal Di Dunia

4 Jenis Kayu Paling Mahal Di Dunia

Kayu memiliki banyak manfaat serta kegunaan dalam kehidupan manusia dan sudah tidak terhitung berapa banyak jumlah rumah, kegunaan dalam pembinaan dan barangan yang telah dihasilkan dari pohon kayu.

Tidak hairanlah jika kayu adalah komoditi utama dalam dunia industri dan perdagangan di seluruh dunia.

Dari ribuan jenis kayu, berikut adalah 4 jenis kayu paling mahal yang ada di dunia.

1. African Blackwood

Kayu Termahal

Kayu ini juga di kenali sebagai tanaman berbunga dalam keluarga Fabaseae dan boleh di temui di daerah kering Afrika.

Harga kayu ini sangat mahal yang mampu mencecah harga USD$13,000 satu kubik meter.

2. Kayu Ebony (Eboni)

Kayu Termahal

Kayu yang memiliki warna hitam pekat ini termasuk salah satu kayu termahal di dunia.

Pohon ebony dapat tumbuh sehingga 40 meter tinggi dan memiliki kepadatan yang tinggi sehinggakan apabila diletakkan didalam air, ia akan tenggelam.

Kayu ebony mempunyai tekstur yang baik dan banyak digunakan sebagai perabot dengan kualiti premium.

Kerana mengandungi banyak minyak di dalamnya, ebony memiliki daya tahan yang hebat.

Selain itu, kayu ini banyak digunakan sebagai bahan untuk pembuatan alat-alat muzik seperti biola, piano dan gitar.

Di pasaran antarabangsa, harga kayu ebony mampu mencapai harga USD$13,000 satu kubik meter.

3. Kayu Gaharu/Agarwood

Kayu Termahal

Punca utama pokok gaharu amat bernilai tinggi adalah kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan produk kesukaan ramai iaitu minyak wangi.

Selain itu, ia juga boleh menghasilkan pelbagai haruman yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi sejak zaman berzaman.

Pada masa yang sama, daun pokok gaharu boleh dijadikan produk teh hijau yang menjadi kegemaran ramai kerana mempunyai aroma yang menyegarkan selain khasiatnya untuk kesihatan.

Harga kayu gaharu yang berkualiti dipasaran antarabangsa mampu mencecah harga USD$10,000 sekilogram.

4. Sandalwood/Cendana

Kayu Termahal

Sejak ratusan tahun lalu, cendana sudah dikenali sebagai tanaman berharga, kerana aroma atau baunya yang khas dan wangi, membuatkannya begitu diminati.

Wangian cendana itu menarik perhatian pedagang Cina pada 610-906 masehi untuk membeli cendana, juga para pedagang dari India, sebelum masuknya pedagang Eropah pada sekitar abad ke-15.

Harga kayu Cendana dipasaran antarabangsa mampu mencecah harga USD$20,000 sekilogram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, June 18, 2020

Potensi Halia Hitam Lumayan Di Tanam

Potensi Halia Hitam Lumayan Di Tanam

Halia Hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora, merupakan sejenis tanaman cekur yang sangat bernilai tinggi dan digunakan secara tradisional sebagai aphrodisak dan tonik serta mempunyai ciri-ciri antiradang, antigastrik dan antiobesiti yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik.

Kunyit Hitam
Halia Hitam.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan halia yang didapati di bahagian timur laut Thailand dan sangat popular di kalangan kaum lelaki kerana ia dikenali sebagai viagra semula jadi dan telah disahkan tiada kesan sampingan.

Di samping itu, halia hitam dikatakan dapat memberi kekuatan dan tambahan tenaga.

nota: Halia hitam dengan nama saintifknya Kaempferia parviflora, adalah berbeza dengan Kunyit Hitam (Curcuma Caesia).

Potensi Herba

Kebimbangan terhadap kesan sampingan akibat penggunaan bahan kimia sintetik dan tanggapan positif terhadap produk berasaskan bahan semula jadi menyebabkan peningkatan dalam industri penanaman herba.

Permintaan terhadap produk berasaskan bahan semula jadi meningkat secara mendadak dan pengusaha seluruh dunia berlumba-lumba untuk menghasilkan pelbagai produk yang didakwa berasaskan bahan semula jadi.

Produk ini dihasilkan untuk pelbagai tujuan seperti penjagaan kesihatan tambahan (suplement), ubat-ubatan, kosmetik dan penjagaan diri.

Di Amerika contohnya, permintaan terhadap produk kosmeseutikal sahaja meningkat hampir 11% setiap tahun dan nilainya pada tahun 2008 mencapai USD7 bilion.

Di Malaysia, industri pasaran produk berasaskan herba dianggar bernilai lebih daripada RM4.5 bilion dan dijangka akan terus meningkat.

Kajian

Hasil kajian di Thailand menunjukkan halia hitam mempunyai kandungan antioksida yang sangat tinggi, antidiabetik, meningkatkan kepadatan sperma dan antidepresi yang sesuai untuk kesihatan dan telah lama digunakan untuk tujuan perubatan.

Walaupun permintaan produk herba terus meningkat kebelakangan ini, penghasilan produk berasaskan halia hitam masih dipandang sepi berikutan kekurangan bahan tanaman untuk penghasilan secara berskala besar.

Peluang ini membolehkan MARDI untuk memperkenalkan tanaman halia hitam yang merupakan tanaman berpotensi dan bernilai tinggi yang perlu dieksploitasi dengan kadar segera.

Produk berasaskan halia hitam ini boleh diaplikasi dalam bentuk makanan kesihatan, makanan tambahan herba, (campuran produk bersama kopi) kosmetik dan farmaseutikal yang telah banyak dihasilkan di Thailand.

Berasaskan penemuan terdahulu oleh penyelidik Thailand, halia hitam didapati selamat untuk dimakan malah terbukti keberkesanannya serta mempunyai nilai yang tinggi dan dijangka mampu memberi keuntungan lumayan.

Ia berpotensi sebagai tanaman yang dapat memberi pulangan yang tinggi kepada negara jika dihasilkan pada skala yang besar dan selari dengan R&D yang dilakukan.

Pembangunan produk berasaskan herba dan nilai tambahnya, bukan sahaja akan menggalakkan pertumbuhan industri herba, tetapi juga menyediakan peluang penjagaan kendiri kepada orang ramai.

Permasalahan dalam pengeluaran produk halia hitam ialah tidak ramai yang mengetahui khasiat dan kebaikannya.

Secara saintifiknya, khasiat halia hitam telah dibuktikan oleh kajian yang telah dilaporkan di dalam beberapa jurnal.

Namun begitu, kekurangan bahan tanaman ini di Malaysia menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan merupakan faktor utama halia hitam tidak popular seperti tanaman lain.

Malah, aktiviti R&D di Malaysia masih tidak menghasilkan banyak produk berasaskan tanaman halia hitam walaupun banyak institusi penyelidikan dan universiti yang mengetahui potensi besar tanaman ini.

Kesukaran untuk mendapatkan rizom sebagai bahan utama dalam penghasilan produk merupakan masalah utama.

Harga rizom yang terlalu mahal mencecah sehingga RM6,000/kg telah menyukarkan pengusaha industri herba untuk mengeksploitasi dan memperkenalkan tanaman ini dalam pasaran industri herba.

(Sumber: Buletin Teknologi MARDI)

HALIA HITAM BERHARGA RM200 SEKILO!

Rizom Halia Hitam
Halia Hitam.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan halia yang didapati secara meluas ditanam di Thailand berbanding di negara ini.

Mungkin faktor itulah yang menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat kurang mengenali apatah lagi mengetahui khasiatnya.

Situasi itu turut diakui pembekal dan pengedar anak benih pokok buah-buahan dan herba, Othman Saidon.

Katanya, dari segi fizikal tanaman itu hampir serupa dengan halia biasa, namun bentuk ubinya berbeza dan berwarna ungu hitam walaupun saiz seakan-akan sama.

"Ketika ini sukar memperoleh benih halia hitam kerana ia tidak terdapat di pasaran atau nurseri. Biasanya saya mendapatkan benihnya dari Thailand pada RM200 sekilogram.

"Halia hitam mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana rizom (akar berisi) dan daunnya digunakan sebagai bahan bagi tujuan pengeluaran produk kesihatan, kosmetik, makanan tambahan dan perubatan," katanya.

Othman berkata, berbanding di Thailand, penghasilan produk berasaskan halia hitam di pasaran tempatan sangat terbatas berikutan kekurangan bahan tanaman itu dan hanya segelintir pengusaha yang menanamnya secara berskala besar.

Tidak hairanlah di negara gajah putih itu terdapat produk berasaskan halia hitam yang diaplikasikan dalam pelbagai bentuk makanan kesihatan tambahan selain kosmetik.

"Kekurangan halia hitam di negara ini menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan menjadi faktor utama ia tidak popular seperti pokok herba lain antaranya tongkat ali dan kacip fatimah."

Beliau turut mengakui halia hitam mudah ditanam sama ada di atas tanah, dalam pasu atau menggunakan beg semaian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, June 15, 2020

Postbiotik: Bahan Perangsang Pertumbuhan Haiwan

Postbiotik: Bahan Perangsang Pertumbuhan Haiwan

Industri ternakan haiwan sudah sebati dengan Akta Makanan Haiwan 2009 yang diluluskan Parlimen Malaysia, hanya membenarkan penggunaan bahan antibiotik sebagai ubat untuk merawat penyakit haiwan.

Postbiotik Haiwan
Gambar hiasan.

Namun, ia dilarang untuk digunakan sebagai bahan perangsang pertumbuhan malah larangan itu sudah lama dipraktikan di Eropah.

Sebelum penguatkuasaan akta itu, industri ayam sering mencampurkan bahan antibiotik dalam bahan makanan sebagai agen perangsang pertumbuhan haiwan ternakan.

Ia bagi memastikan kesihatan haiwan dalam keadaan baik dan membesar dalam masa singkat.

Namun, ia juga mempuanyai kesan sampingan apabila dicampurkan dalam makanan kerana antibiotik akan tertinggal dalam haiwan dan persekitaran sekali gus patogen (mikroorganisme parasit) menjadi lebih kuat, dan ini bermaksud tiada ubat yang dapat membunuh patogen itu.

Justeru, sepasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan bahan perangsang pertumbuhan haiwan dikenali Postbiotik.

Bahan tambahan makanan untuk ternakan dan ikan itu menggunakan dana penyelidikan berjumlah RM4 juta.

AQUAmate

AQUAmate adalah salah satu jenama produk yang dihasilkan secara khas sebagai agen perangsang pertumbuhan ikan.

Projek penyelidikan diketuai pensyarah Jabatan Teknologi Bioproses Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Profesor Madya Dr Foo Hooi Ling dan turut dibantu ramai pakar berpengalaman.

Ia turut merangkul pelbagai anugerah dalam dan luar negara dan turut dipatenkan di Eropah, Amerika Syarikat, Brazil, Australia, India, China dan Vietnam.

Menurut Dr Foo, penyelidikan ini adalah berkaitan bahan tambahan untuk ternakan dan ikan.

AQUAmate boleh digunakan sebagai pengganti antibiotik untuk merangsang pembesaran haiwan secara semula jadi.

Penyelidikan sejak 1999 itu adalah berkaitan makanan tambahan haiwan yang mesra alam dan semula jadi.

Ia dihasilkan sekumpulan bakteria dikenali sebagai Bakteria Asid Laktik dengan konsep sama seperti digunakan dalam minuman kultur dan penapaian makanan.

Menyentuh mengenai permulaan projek itu, ia dikhususkan untuk mencari bakteria berguna yang boleh menghasilkan bahan postbiotik baik dan berfaedah tinggi.

Postbiotik juga sudah digunakan kepada ayam daging dan ayam telur yang turut menunjukkan kesan sama seperti ikan.

Rumusan yang dapat dibuat adalah produk ­postbiotik ini sesuai untuk pelbagai jenis haiwan dan pasarannya cukup besar.

Untuk mendapatkan inovasi yang baik, sejati dan rintang kepada ujian pasaran, pastinya ia memerlukan tempoh penyelidikan yang panjang.

Oleh itu, perkara pertama yang dilakukan oleh pengkaji adalah mencari sumber bakteria yang baik dan boleh menghasilkan bahan yang berfaedah dari segi ciri-ciri.

Kemudian, ciri-ciri kebaikan bahan yang dihasilkan itu di uji sama ada ia berguna atau sebaliknya.

Aplikasi bahan penyelidikan postbiotik sudah dilakukan terhadap tikus (kajian tikus) dengan menunjukkan tanda-tanda positif.

Kesannya, ia menurunkan kolesterol darah, pertumbuhan baik, lebih cantik dan makanan yang kurang diperlukan untuk mendapat pertumbuhan yang elok dalam tempoh singkat.

Bulu haiwan lebih cantik, ayam sihat daripada aspek luar dan dalam, serta merangsang sistem imun yang tinggi.

Selain diuji pada ayam daging, ayam telur dan ikan, sel kanser menunjukkan kesan pada luaran (in vitro).

Postbiotik akan membunuh sel kanser secara khusus dengan cara yang diingini tanpa mengganggu sel badan yang baik.

Sumber Postbiotik
  • Cuka sari epal.
  • Mentega dan keju.
  • Spirulina.
  • Grape marc (sisa-sisa buah anggur, zaitun atau buah-buahan lain, bubur dan kulit).
  • Cendawan.
  • Kefir.
  • Acar.

Selain itu, kebanyakan Bakteria Asid Laktik diperoleh daripada makanan tertapai seperti tapai ubi, tapai pulut dan tempe.

Meskipun bakteria itu wujud dalam persekitaran termasuk makanan, usus manusia dan haiwan, pemilihan makanan tertapai kerana ia membabitkan isu halal.

Kajian telah mengkaji 200 jenis bakteria (kultur) dan mendapati terdapat enam jenis yang boleh menghasilkan bahan postbiotik yang baik untuk penggunaan bagi manusia dan haiwan.

Bagi mendapatkan postbiotik, bakteria daripada tapai dipencil, disaring, disimpan dan ditumbuhkan dalam bioreaktor melalui proses fermentasi.

Tempoh 24 jam digunakan untuk menghasilkan produk berkenaan dan selepas itu sel dipisahkan untuk mendapatkan postbiotik dalam bentuk cecair tanpa sel hidup.

Proses fermentasi sangat ringkas dan mudah dijalankan dalam industri, selain kos yang kurang dalam penghasilan produk, malah sangat setimpal dengan antibiotik yang biasa digunakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Monday, June 08, 2020

Kenali Temu lawak, Temu Emas, Temu Hitam, Temu Putih, Temu Pauh Dan Temu Kunci

Kenali Temu lawak, Temu Emas, Temu Hitam, Temu Putih, Temu Pauh Dan Temu Kunci

Secara fungsi, perbezaan antara temulawak (spesies temu) dan kunyit cukup signifikan dan salah satunya adalah ketika digunakan sebagai rempah dalam kuantiti yang banyak, kerana dikatakan boleh menyebabkan sakit perut, pening, mual, dan kerap membuang air.

Sebaliknya, pengambilan temulawak dalam jumlah yang banyak dianggap lebih selamat bagi usus, bahkan boleh dimanfaatkan untuk meringankan pelbagai masalah pencernaan, seperti perut kembung, sakit perut, hingga irritable bowel syndrome (IBS).

Kali ini kami ingin berkongsikan kepada pembaca beberapa jenis TEMU, yang merupakan keluarga halia (Zingiberaceae), selain temu lawak yang sudah menjadi kebiasaan bagi kita.

1. TEMU LAWAK (Curcuma xanthorrhiza)

TEMU LAWAK (Curcuma xanthorrhiza)

Temu lawak atau nama saintifiknya curcuma xanthorrhiza, adalah herba yang mengandungi curcumin dan minyak atsiri yang berkhasiat untuk menjaga kesihatan dari pelbagai penyakit, dan dikatakan jauh lebih berkhasiat dari ginseng.

Temu lawak merupakan tanaman dari spesies halia (Zingiberaceae) yang sudah banyak dimanfaatkan sebagai ubat tradisional.

Namun, kita harus tahu membezakan antara temu lawak dengan kunyit biasa (Curcuma domestica).

Kedua-duanya hampir sama bentuk, cuma temu lawak lebih gempal serta warna rizomnya lebih cerah dari kunyit yang bentuknya panjang dengan warna oren pekat.

Ciri-ciri:
  • Temu lawak merupakan tumbuhan tahunan yang hidup secara berumpun.
  • Setiap pokok biasanya mempunyai 2-9 helai daun.
  • Ketinggian pokok boleh mencapai 2.5 meter.
  • Pokok temu lawak berbunga sepanjang masa, bunganya berwarna putih atau kuning tua dan pangkal bunga berwarna ungu.
  • Rizom temulawak berwarna kuning tua dan ia mempunyai pelbagai khasiat dalam perubatan.

Khasiat Dan Kegunaan:
  • Rheumatik dan kesakitan pada otot.
  • Ubat demam ( anti-pyretic).
  • Masalah hati, demam kuning dan penyakit batu karang.
  • Penyakit kulit.
  • Menghilangkan kekejangan dan mengelaknya dari berulang.
  • Buasir dan masalah kerengsaan pada rektum.
  • Berak berdarah (bloody diarrhea) dan disentri.
  • Merawat masalah sembelit.
  • Merawat batuk dan demam pada kanak-kanak.
  • Mengatasi masalah keputihan dan jangkitan kulat seperti candida albican pada vagina.
  • Penyakit kencing manis.
  • Gastrik dan gas berlebihan.

2. TEMU KUNCI (Boesenbergia rotunda)

TEMU KUNCI (Boesenbergia rotunda)

Temu kunci juga disebut temu kecil dan dekunci, adalah tanaman herba yang tumbuh rendah serta merayap di dalam tanah, batangnya juga lebih banyak tumbuh di dalam tanah sebagai rimpang, berwarna kuning kecokelatan.

Ciri-ciri:
  • Dalam satu tahun pertumbuhannya 0.3-0.9 cm.
  • Batangnya berwarna kuning cokelat, aromatik, menebal.
  • Daun pada umumnya 2-7 helai. Daun bawah berupa pelepah daun berwarna merah tanpa helaian daun.
  • Tangkai daun tanaman ini beralur. Hujung daun runcing, permukaan halus, tetapi bahagian bawah agak berambut terutama sepanjang tulang. Warna helai daun hijau muda.

Khasiat Dan Kegunaan:
  • Anti-kanser.
  • Antu-radang.
  • Anti-bakteria.
  • Menyihatkan sistem pencernaan.
  • Meningkatkan ghairah seksual.
  • Untuk ibu bersalin.
  • Untuk kecantikan.
  • Mengandungi vitamin B6 serta B12.
  • Mencegah penuaan.
  • Merawat masuk angin.
  • Merawat keputihan wanita.
  • Merawat panas dalam badan.
  • Penambah stamina.

3. TEMU PUTIH (Curcuma zedoaria)

TEMU PUTIH (Curcuma zedoaria)

Temu putih atau juga sering disebut temu kuning, berasal dari Himalaya, India, dipercayai memiliki khasiat dan manfaat untuk kecantikan dan kesehatan tubuh. Rizomnya (isi) berwarna putih bersih.

Ciri-ciri:
  • Temu putih tumbuh mencapai sehingga 2 meter, tumbuh tidak berkelompok, daun berbentuk lanset memanjang berwarna merah lembayung di sepanjang tulang tengahnya.
  • Bunga keluar dari rimpang samping, menjulang ke atas membentuk tongkol bunga yang besar berwarna putih, dengan tepi bergaris merah tipis atau kuning.
  • Rimpangnya berwarna putih atau kuning muda, dengan rasa yang sangat pahit.

Khasiat Dan Kegunaan:
  • Ubat alergik semulajadi.
  • Anti-virus dan anti-bakteria.
  • Mencegah kanser.
  • Mengatasi Masalah Pencernaan.
  • Penawar bisa ular.
  • Meringankan rasa sakit.

4. TEMU PAUH (Curcuma amada)

TEMU PAUH (Curcuma amada)

Pokok temu pauh (Mango Ginger) adalah tanaman herba yang mengandungi pelbagai khasiat kesihatan yang hidup berumpun seperti pokok kunyit, digelar temu pauh kerana rizomnya berbau seperti bau buah pauh/mangga.

Ciri-ciri:
  • Rizom temu pauh berwarna kuning cair.
  • Daun pokok temu pauh mempunyai jalur perang pada urat tengahnya.
  • Pokoknya seperti pokok kunyit tetapi lebih besar dan mempunyai rumpun yang agak jarang (tidak padat).

Khasiat Dan Kegunaan:
  • Temu pauh dikatakan mengandungi bahan antikanser dan antibakteria.
  • Biasanya dijadikan salah satu bahan mandian herba bagi wanita lepas bersalin.
  • Ia juga diminum untuk tujuan perawatan penyakit kencing manis, darah tinggi dan untuk menurunkan paras kolesterol jahat dalam darah.
  • Jus temu pauh juga boleh mengurangkan batuk dan boleh melawaskan sistem pencernaan.
  • Ada juga yang mengatakan, pemakanan temu pauh dapat mengurangkan stres dan awet muda.

5. TEMU EMAS (Curcuma zeodoria)

TEMU EMAS (Curcuma zeodoria)

Pokok kunyit Emas atau juga dikenali sebagai Temu kuning merupakan sejenis spesies kunyit, dimana batangnya merah-kuning seperti emas, bersifat amat panas.

Ciri-ciri:
  • Tumbuhan herba jenis rizom yang kelihatan hampir serupa dengan temu hitam dan temu lawak dari pandangan luaran dengan saiz daun yang lebih kecil dan rendah.
  • Rizom kelihatan seakan kunyit makan dan temu lawak.
  • Rizom bersaiz lebih kecil dan mempunyai bau yang lebih wangi dari temulawak.
  • Ketinggian tumbuhan ini sama dengan kunyit makan, namun dapat dibezakan dengan kehadiran alur merah di permukaan daun.

Khasiat dan kegunaan:
  • Penguat Urat.
  • Tahan gigi.
  • Tahan telinga (tidak cepat pekak).
  • Pemulihan kesihatan.
  • Rawatan kulit.
  • Minuman sebagai tonik selepas bersalin.

6. TEMU HITAM (Curcuma aeruginosa Roxb)

Temu hitam (ireng)

Temu Hitam dengan nama botaninya Curcuma aeruginosa, biasa dijumpai tumbuh liar di belukar dan semak samun. Bunganya cantik berwarna putih dan sedikit ungu.

Warna isi rizom temu hitam adalah berwarna biru jernih kehijauan dan ramai yang tersalah anggap ia adalah Kunyit Hitam (Curcuma caesia).

Tinggi optimun untuk pertumbuhannya ialah 1750 dari aras laut, juga boleh ditemui pada ketinggian kurang dari itu.

Temu hitam juga dikenali sebagai temu erang, temu ireng atau temu lotong.

Ciri-ciri:
  • Tingginya dapat mencapai 2 meter tinggi. Batangnya semu dan tersusun atas kumpulan pelepah daun yang basah dan berwarna hijau.
  • Daunnya berwarna merah lembayung-kecoklatan yang berwarna lebih gelap pada sepanjang tulang daunnya.
  • Daunnya tunggal, panjang dan terdiri atas 2-9 helai.
  • Helaian daunnya berbentuk bundar memanjang, hujung dan pangkalnya runcing, berwarna hijau tua pada kiri-kanan tulang daun.
  • Panjang daun 31–84 cm, dengan lebar 10–18 cm.

Khasiat Dan Kegunaan:
  • Rizom tumbuhan ini boleh digunakan untuk merawat:
  • Meningkatkan nafsu.
  • Semput.
  • Kecacingan.
  • Masalah obesiti dan kegemukan.
  • Untuk mengembalikan kecergasan badan selepas haid dan nifas (bersalin).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, January 31, 2020

Cara Menanam Kunyit Paling Mudah

Cara Menanam Kunyit Paling Mudah

Pokok kunyit memerlukan kawasan yang mempunyai sinaran matahari melebihi 6 jam dan tanah yang tidak ditakungi air, dan sekiranya ditanam dalam pasu, pastikan pasu diletakkan pada kawasan yang terkena cahaya matahari yang cukup, kerana ia memerlukan cahaya yang penuh untuk pertumbuhan yang baik.

Pokok Kunyit

Kunyit sesuai ditanam di tanah lom, alluvium (telah di gembur) serta mempunyai pengairan dan saliran yang baik. Ia juga memerlukan PH tanah di antara 4.3 hingga 7.4. Taburan hujan di antara 1,000 hingga 2,000 mm setahun, adalah faktor pengalak untuk menghasilkan pengeluaran kunyit yang sihat.

CARA-CARA MENANAM KUNYIT

Rizom kunyit

1. Memilih Bibit

Kunyit ditanam dari cebisan rizom yang telah matang yang berukuran 4 cm. Rizom yang terpilih perlu cukup tua, sihat dan mempunyai 2 hingga 3 tunas.

Bagi memastikan hanya rizom yang terbaik dipilih, ia perlulah direndam di dalam larutan racun kulat (benomyl atau 1% larutan Bordeaux) selama 15 hingga 30 minit dan kemudian dikeringkan.

Untuk mendapatkan tunas, anda perlu mendapatkan rizom ibu kunyit atau mana-mana bahagian tunas dan balut dengan menggunakan suratkhabar yang lembap dan letakkan dikawasan yang teduh dan lembap. Lepas 2-3 minggu, tunas akan mula keluar.

Anda juga boleh meletakkan rizom kunyit diatas tanah yang telah dilembabkan dan tutup (sungkup) dengan karung atau kain yang tidak lagi digunakan. Siram diatasnya dan letakkan di bawah tempat yang teduh dan tidak terkena sinaran matahari sepanjang hari.

2. Menanam Kunyit

Kunyit tumbuh subur pada tanah gambut. Tanah yang di cangkul baik dengan elok akan menghasilkan umbi kunyit yang melimpah.

Untuk mendapatkan kunyit yang 'gemuk', gunakan tanah yang longgar dan tak padat. Pastikan tanah sentiasa lembap namun elakkan dari bertakung, dengan memastikan saliran air sentiasa dalam berkeadaan yang baik.

Rizom yang telah bertunas perlulah di tanam dalam tanah sedalam 6 hingga 8 cm dan jarak antara 1 pokok kunyit ialah antara 2-3 kaki.

Kunyit akan mula bercambah pada minggu kedua hingga minggu ke empat selepas penanaman. Daun kunyit yang berwarna hijau akan tumbuh dan mengeluarkan aroma yang wangi.

Bunga dan rizom akan mula tumbuh pada minggu ke lima dan ke tujuh dan akhirnya ia aktif membentuk kunyit selama 7 hingga 10 bulan bergantung kepada variasi kunyit.

3. Pembajaan dan Penjagaan

Kunyit memerlukan baja organik (tahi ayam) pada 3 hingga 5 hari sebelum penanaman. Baja perlulah digaul dalam tanah di batas. Selain itu, baja NPK Biru juga perlu di tabur di sekeliling pangkal rumput kunyit.

Selepas pembajaan, pangkal kunyit perlulah ditimbun tanah bagi mengurangkan hakisan baja dan mengelakkan rizom yang bercambah muncul dipermukaan tanah.

Pengurusan ladang perlu dilakukan dengan sistematik bagi mengurangkan persaingan tumbuhan dengan rumpai dan selepas 9 – 10 bulan di tanam, kunyit boleh dituai dengan menggali menggunakan cangkul.

4. Penyakit

Antara serangga yang sering di dapati menyerang tanaman kunyit adalah ulat pengorek batang (Dichrosis sp) yang menyerang bahagian pangkal akar menyebabkan tunas menjadi layu, kering dan membusuk.

Belalang hijau yang akan memakan bahagian pucuk daun menyebabkan pokok kelihatan tidak sihat.

Racun Malathion 0.1% perlu di sembur di bahagian pokok dan bahagian yang terjejas perlu dibuang bagi mengelakkan dari berjangkit kebahagian pokok yang lain.

Selain itu, Bintik Daun (Colletorichum sp) dan Reput Rizom (Phytium sp) adalah 2 lagi penyakit yang sering berlaku dihadapi oleh tanaman kunyit.

Bintik daun yang menyerang daun kunyit yang tua menyebabkan daun kunyit berwarna karat di bahagian sisi atas dan bawah daun manakala reput rizom menyebabkan kulit akar mengering, mengelupas dan membusuk.

Oleh itu, racun kimia Dithane M-45 atau campuran Bordeaux boleh digunakan dengan merendamkan benih rizom sebelum proses penanaman.

5. Menuai Hasil

Kunyit boleh dituai apabila genap 9 bulan. Cara mengetahui pokok kunyit sudah boleh dituai ialah melihat daun-daun yang sudah mula mengering.

Sekiranya anda mahu menggunakan kunyit muda, tuai apabila kunyit genap 6 bulan. Jika mahukan yang matang pula tuai setelah genap 9 bulan.

6. Bagaimana mahu mendapatkan ubi kunyit?

Apabila daun mulai menguning dan batang kunyit mulai kering, ianya petanda ubi kunyit telah matang.

Mudah sahaja, hanya korek keseluruhan tanaman termasuk bahagian akar. Ambil bahagian yang diperlukan, dan bahagian yang bertunas boleh terus ditanam semula.

CARA TANAM KUNYIT DALAM PASU

Menanam kunyit dalam pasu dengan cara yang betul memerlukan ilmu yang sesuai dan praktikal. Ini kerana pokok kunyit ini kalau tidak ditanam dengan betul, bukan sahaja akan kurang subur dan tidak berhasil tetapi akan mencacatkan permandangan.

Untuk mereka yang tinggal di bandar yang kekurangan tanah atau dimana dihalaman rumah sudah habis di simen, maka kaedah alternatif yang boleh digunakan adalah menanam di dalam pasu.

Kalau hendak menggunakan pasu boleh guna pasu biasa atau pasu plastik atau bekas plastik minyak masak dengan media tanaman yang dijual dipremis semaian.

Menanam kunyit dalam pasu biasanya umbisi tidak mahu membesar seperti menanam di kebun. Bagaimanapun, jika kena cara amalan agronominya yang betul maka ia tidak lagi menjadi masalah.

Kalau anda menanam kunyit dalam pasu dan tiada umbisinya pun tidak mengapa kerana boleh di petik daunnya untuk kegunaan masakan.

Kalau hendak tanam kunyit dalam pasu pastikan ada 3 perkara iaitu Pasu, Media Tanaman dan Benih Kunyit.

Pilih benih kunyit tua yang sihat, tidak berpenyakit dan saiz yang sesuai untuk dijadikan benih. Sebaiknya pilih benih ubi kunyit yang mempunyai tunas besar berwarna keputihan di hujung ibu kunyit atau ia adalah mata tunasnya. Warna putih-putih itu sebenarnya menunjukkan ubi kunyit itu bersedia untuk tujuan mengeluarkan daunnya.

Pastikan menyediakan saiz pasu sesuai dan media tanaman seperti jenis tanah campuran (3:2:1) yang sesuai. Tanah yang bagus untuk diisi dalam pasu adalah tanah yang mana ia mempunyai campuran tanah pasir, tanah bakar dan sabut kelapa@cocopeat.

Beli saja tanah di nursery bunga atau di pasaraya bahagian barang-barang perkebunan. Masukkan tanah ke dalam pasu dan buat lubang dalam kedalaman 2-3 inci.

Masukkan benih kunyit tadi dan pastikan mata tunas ibu kunyit yang berwarna keputihan menghala kebahagian atas. Ia kemudian ditimbus dengan paras tanah dan pastikan sentiasa disiram tetapi jangan berlebihan air sehingga akan menebabkan benih busuk.

Kebiasaaanya mata tunas kunyit tadi akan mengeluarkan tunas berdaun untuk tumbuh dalam masa 1-2 minggu. Pasu yang ada pokok kunyit boleh juga anda letakkan di bawah pencahayaan yang optimum.

Tapi untuk rumah teres atau kondominium di bandar, anda boleh meletakkannya di bawah tempat separa berbumbung seperti di tepi balkoni atau bucu bumbung. Kalau letak di tempat yang terlalu teduh menyebabkan daun yang tumbuh tidak akan lebar dan lazimnya ia akan tumbuh kecil dan kurus sahaja.

Pastikan air siraman tidak bertakung kerana pokok ini tidak suka tanah yang lembap. Sebaiknya di siram 2 kali sehari di awal pertumbuhan. Bila pokok sudah besar maka bolehlah di siram hanya sekali sehari samada di awal pagi atau petang.

Anda juga boleh menggunakan 'plant gel' dalam media tanaman dan tidak perlu disiram selalu dan kalau ditinggalkan tanpa disiram berminggu pun pokok tidak akan mati kerana gel tersebut mampu menyimpan air. Kaedah pembajaan pula cukup sekadar baja organik di awal penanaman.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, December 10, 2019

Kenapa Pokok Gaharu Sangat Mahal?

Kenapa Pokok Gaharu Sangat Mahal?

Pokok Gaharu atau nama saintifiknya Aquilaria malaccensis, adalah sejenis pokok yang hidup subur di hutan tropika dan telah dimanfaatkan oleh masyarakat dunia sejak zaman dahulu lagi, yang mana semua bahagian pokok ini, iaitu dari bahagian batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya sebenarnya telah digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi, ubat-ubatan, teh hijau dan kosmetik.

Daun Gaharu
Daun Gaharu.

Pokok gaharu terbaik didakwa daripada Malaysia dari hutan tebal tropika dimana ia telah menerima permintaan baik dari seluruh dunia.

Terdapat banyak keistimewaan pokok dan hasilan daripada gaharu, namun jumlah pengusahanya boleh dibilang dengan jari kerana tidak ramai yang berani untuk mengambil risiko walaupun diketahui hasilnya mampu memberi pulangan lumayan.

Hakikatnya, sebab tidak sabar menuai hasil adalah punca utama kebanyakan orang kita tidak berani menceburi projek itu.

Teras Gaharu

Apa yang penting bagi penanam pokok gaharu adalah bagaimana untuk mendapatkan teras dan kayu minyak gaharu dituai dan diproses untuk mengeluarkan produk air suling, minyak wangi, sabun, syampu, losen, teh dan kopi.

Proses pertama untuk mendapatkan teras dan kayu minyak gaharu adalah menebang dan meracik kayu minyak hingga nampak teras di bahagian dalam batang pokok gaharu.

Namun, ada kaedah rawatan khas memproses Inokulan untuk mendapatkan teras gaharu yang dipanggil proses ‘mencuci’ kerana perlu mengikis kayu minyak secara manual untuk mendapatkan teras di bahagian tengah.

Jika bernasib baik, pengusaha boleh menemui teras yang mempunyai reka bentuk luar biasa dan nilainya boleh mencecah sehingga RM4,300 hingga RM5,800 sekilogram.

Proses seterusnya adalah dimana batang gaharu yang dikikis tadi dimasukkan ke dalam mesin untuk dikisar dan terus dimasak di atas dapur khas selama tujuh hari.

Kayu minyak Gaharu yang dihancurkan dimasak bagi diproses untuk pengasingan minyak gaharu dan air suling, yang akan berterusan tanpa henti selama 24 jam selama tujuh hari.

Kemudian, selepas selesai proses pengasingan maka serbuk kayu gaharu akan ditapis dan dijemur untuk dijadikan setanggi atau dijual kepad pembeli dengan harga RM1,800 sekilogram.

Tetapi, perlu ada kemahiran khusus untuk melakukan semua perkara berkaitan agronomi dan aktiviti memproses pokok gaharu.

Sebatang pokok gaharu dilaporkan boleh menghasilkan 10 kilogram (kg) serbuk kayu minyak dan 48 mililiter (ml) minyak pati gaharu hasil daripada proses yang dijalankan.

Kemudian, minyak wangi gaharu dihasilkan menggunakan pati minyak gaharu yang sudah diasingkan tadi.

Selain menghasilkan minyak wangi, setitik pati gaharu juga boleh dijadikan sebagai makanan tambahan.

'Lagi Sakit Lebih Baik'

Isi Gaharu
Minyak Gaharu.

Untuk mendapatkan ekstrak minyak gaharu berkualiti, pokoknya perlu dicederakan menggunakan teknik tertentu atau disuntik bahan dipanggil inokulasi.

Lebih lama pokok ini sakit atau dijangkiti penyakit, maka kualiti minyaknya nanti menjadi lebih tinggi. Jika pokok lain memberi hasil apabila batangnya sihat, tetapi berbeza pula dengan pokok Gaharu.

Suntikan inokulasi biasanya dilakukan selepas pokok mencapai usia matang lima hingga 10 tahun ke atas dan mempunyai ukuran lilit pokok sekurang-kurangnya 15 sentimeter.

Lubang selebar enam inci akan ditebuk pada batang pokok untuk menyuntik inokulasi. Jumlah lubang ditebuk bergantung kepada kelebaran dan tinggi pokok.

Selepas setahun disuntik inokulasi, gaharu sudah terbentuk dan boleh ditebang untuk proses seterusnya iaitu mengekstrak pati minyak gaharu.

Karas dalam batang pokok yang diserang penyakit akan menyebarkan sejenis minyak bagi melindungi bahagian terjejas dan lama-kelamaan akan membentuk gaharu.

Ada dua kaedah digunakan untuk mencederakan pokok bagi mendapatkan hasil, antaranya melalui teknik semula jadi (dipanah petir atau ditimpa pokok lain), menakik, mengikat batang menggunakan dawai atau suntikan inokulasi.

Namun, kaedah untuk mencederakan pokok ini yang dinamakan inokulasi, sudah terbukti dapat menghasilkan gaharu dengan cepat serta berkualiti.

Penghasilan gaharu menerusi proses inokulasi adalah 90 peratus lebih berkesan berbanding kaedah semula jadi.

Antara bahan digunakan bagi teknik inokulasi adalah gula merah, air gaharu dan beberapa bahan mentah organik lain.

Bernilai Tinggi

Pokok Gaharu
Pokok Gaharu.

Pokok gaharu amat bernilai tinggi kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan minyak wangi bagi menghasilkan pelbagai haruman yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi sejak zaman dahulu, dengan harga setinggi RM100,00 sekilogram dipasaran dunia.

Pada masa sama, daun pokok gaharu juga dianggap amat berkhasiat dan boleh dijadikan produk teh hijau kerana mempunyai aroma yang menyegarkan selain khasiatnya untuk kesihatan.

Pati asli gaharu adalah produk yang sangat terhad dan boleh dikatakan hampir tiada persaingan.

Harganya adalah dalam lingkungan RM300 hingga RM15,000 dalam botol kecil.

Mengapa hingga RM15,000? Kerana kualiti, keaslian, ketahanan dan keistimewaannya seperti haruman kekal sehingga tiga hari dengan hanya satu calitan.

Pokok gaharu adalah tumbuhan paling dicari di hutan hujan kerana kulit dan damarnya mendapat permintaan tinggi dalam industri farmasi serta kosmetik.

Setiap pokok gaharu boleh mengeluarkan 30 mililiter (ml) minyak gaharu di mana setiap 12 ml minyak berkenaan dijual dengan harga RM600.

Sementara air suling yang diasingkan daripada pati minyak gaharu bermanfaat menghindarkan penyakit kanser, gout, alahan gatal dan paling berkesan merawat resdung.

Kopi dan teh gaharu turut membantu merendahkan tahap kolesterol, mengurangkan toksik dalam badan, masalah pelawasan dan masalah insomnia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com