Monday, April 18, 2022

Denda RM7.7 Juta Jika Tanam Guarana Di Malaysia!

Denda RM7.7 Juta Jika Tanam Guarana Di Malaysia!

Individu atau pihak di negara ini yang sengaja menanam pokok Guarana yang berasal dari Brazil boleh dikenakan denda sehingga R$10 juta Real Brazil (RM 7.7 juta).

Jabatan Pertanian Malaysia Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataannya memaklumkan, larangan itu adalah termaktub di bawah undang-undang Brazil (Access and Benefits Sharing of Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge).

Buah Guarana

Menurutnya, kerajaan Malaysia, jabatan, agensi, mana-mana syarikat atau individu yang menanam guarana adalah berisiko dikenakan tindakan perundangan oleh Kerajaan Brazil sekiranya tanaman ini dibiakkan atau dikomersialkan daripada biji benih yang dibawa masuk secara tidak sah.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan amaran, sita dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil (RM7.7 juta).

Jabatan Pertanian Malaysia sudah dimaklumkan oleh Ministry of Agriculture Livestock and Food Supply (MAPA) Brazil, melalui surat OFÍCIONº5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020 bahawa negara Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana bagi tujuan pemprosesan dan makanan manusia sahaja.

Berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan tumbuhan dari negara berisiko tinggi yang endemik kepada penyakit South American Leaf Blight (SALB) iaitu oleh kulat Microcyclus ulei kepada tanaman Hevea adalah dilarang, kecuali bagi tujuan penyelidikan.

Guarana atau nama saintifiknya Paullinia cupana adalah tanaman herba semulajadi di Lembah Amazon terutamanya di Brazil.

Lembah Amazon juga adalah kawasan penanaman getah dengan insiden serangan penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (South American Leaf Blight, SALB) yang amat tinggi.

Spora SALB yang menjangkiti tanaman getah akan menyebabkan pertumbuhan pokok getah terbantut dan tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif.

Keadaan ini boleh melumpuhkan industri getah negara yang bernilai lebih RM18 bilion setahun.

Penyakit ini mengakibatkan kegagalan industri getah di negara Brazil dan negara-negara SALB yang lain seperti Colombia, Costa Rica, Surinam dan Panama.

Berikutan larangan pengimportan guarana bagi tujuan penanaman oleh negara Brazil dan impak negatifnya kepada industri getah negara, Jabatan Pertanian tidak pernah membenarkan petani atau usahawan melaksanakan projek penanaman guarana untuk dikomersialkan di negara ini.

Ini adalah kerana sumber benih guarana yang dibawa masuk ke dalam negara ini secara haram untuk dikomersialkan adalah tidak sah dari sudut perundangan negara berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.

Penanaman guarana di Malaysia adalah berisiko membawa penyakit baharu lain seperti Colletotrichum guaranicola yang hanya dilaporkan menyerang spesis guarana.

Maklumat mengenai penyakit C. guaranicola adalah terhad dan akan menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan berlaku di Malaysia.

Selain itu, biji guarana yang sudah matang perlu diproses sebelum ekstrak guarana dapat digunakan bagi tujuan komersil.

Ini menunjukkan keperluan untuk penyediaan industri hiliran bagi pemprosesan guarana dan mendatangkan masalah kepada petani atau usahawan untuk menjual hasil tanaman selepas dituai sekiranya tiada pusat pemprosesan.

Sebelum ini tular dakwaan benih pokok ini dijual pada harga RM50 sepokok, cuba diedarkan di Sabah.

Untuk rekod, tanaman guarana masih lagi diharamkan di Sabah, malah kerajaan negeri tiada perancangan untuk membangunkan industri tanaman itu.

Guarana menjadi popular di Malaysia sebelum ini kerana dianggap mampu menjadi alternatif bagi menjana pendapatan lumayan kerana nilainya yang tinggi mencecah AS$1,600 sekilo bagi ekstrak 100 peratus.

Khasiat Guarana

Guarana atau nama saintifiknya, Paullinia cupana adalah sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil.

Pokok guarana mengeluarkan daun yang lebar dan berjambak bunganya dan terkenal dengan buahnya yang sebesar biji kopi.

Daun guarana juga dipercayai berupaya merawat kanser serviks dan mengurangkan ketagihan di kalangan penagih dadah.

Biji guarana juga dianggap sebagai alternatif kepada pembuatan tepung dan mengulas mengenai khasiat tepung guarana, produk itu dikatakan bebas gluten, 100 peratus organik, memiliki zat besi, tinggi kalsium dan DHA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hmetro

Monday, December 14, 2020

4 Jenis Kayu Paling Mahal Di Dunia

4 Jenis Kayu Paling Mahal Di Dunia

Kayu memiliki banyak manfaat serta kegunaan dalam kehidupan manusia dan sudah tidak terhitung berapa banyak jumlah rumah, kegunaan dalam pembinaan dan barangan yang telah dihasilkan dari pohon kayu.

Tidak hairanlah jika kayu adalah komoditi utama dalam dunia industri dan perdagangan di seluruh dunia.

Dari ribuan jenis kayu, berikut adalah 4 jenis kayu paling mahal yang ada di dunia.

1. African Blackwood

Kayu Termahal

Kayu ini juga di kenali sebagai tanaman berbunga dalam keluarga Fabaseae dan boleh di temui di daerah kering Afrika.

Harga kayu ini sangat mahal yang mampu mencecah harga USD$13,000 satu kubik meter.

2. Kayu Ebony (Eboni)

Kayu Termahal

Kayu yang memiliki warna hitam pekat ini termasuk salah satu kayu termahal di dunia.

Pohon ebony dapat tumbuh sehingga 40 meter tinggi dan memiliki kepadatan yang tinggi sehinggakan apabila diletakkan didalam air, ia akan tenggelam.

Kayu ebony mempunyai tekstur yang baik dan banyak digunakan sebagai perabot dengan kualiti premium.

Kerana mengandungi banyak minyak di dalamnya, ebony memiliki daya tahan yang hebat.

Selain itu, kayu ini banyak digunakan sebagai bahan untuk pembuatan alat-alat muzik seperti biola, piano dan gitar.

Di pasaran antarabangsa, harga kayu ebony mampu mencapai harga USD$13,000 satu kubik meter.

3. Kayu Gaharu/Agarwood

Kayu Termahal

Punca utama pokok gaharu amat bernilai tinggi adalah kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan produk kesukaan ramai iaitu minyak wangi.

Selain itu, ia juga boleh menghasilkan pelbagai haruman yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi sejak zaman berzaman.

Pada masa yang sama, daun pokok gaharu boleh dijadikan produk teh hijau yang menjadi kegemaran ramai kerana mempunyai aroma yang menyegarkan selain khasiatnya untuk kesihatan.

Harga kayu gaharu yang berkualiti dipasaran antarabangsa mampu mencecah harga USD$10,000 sekilogram.

4. Sandalwood/Cendana

Kayu Termahal

Sejak ratusan tahun lalu, cendana sudah dikenali sebagai tanaman berharga, kerana aroma atau baunya yang khas dan wangi, membuatkannya begitu diminati.

Wangian cendana itu menarik perhatian pedagang Cina pada 610-906 masehi untuk membeli cendana, juga para pedagang dari India, sebelum masuknya pedagang Eropah pada sekitar abad ke-15.

Harga kayu Cendana dipasaran antarabangsa mampu mencecah harga USD$20,000 sekilogram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, June 18, 2020

Potensi Halia Hitam Lumayan Di Tanam

Potensi Halia Hitam Lumayan Di Tanam

Halia Hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora, merupakan sejenis tanaman cekur yang sangat bernilai tinggi dan digunakan secara tradisional sebagai aphrodisak dan tonik serta mempunyai ciri-ciri antiradang, antigastrik dan antiobesiti yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik.

Kunyit Hitam
Halia Hitam.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan halia yang didapati di bahagian timur laut Thailand dan sangat popular di kalangan kaum lelaki kerana ia dikenali sebagai viagra semula jadi dan telah disahkan tiada kesan sampingan.

Di samping itu, halia hitam dikatakan dapat memberi kekuatan dan tambahan tenaga.

nota: Halia hitam dengan nama saintifknya Kaempferia parviflora, adalah berbeza dengan Kunyit Hitam (Curcuma Caesia).

Potensi Herba

Kebimbangan terhadap kesan sampingan akibat penggunaan bahan kimia sintetik dan tanggapan positif terhadap produk berasaskan bahan semula jadi menyebabkan peningkatan dalam industri penanaman herba.

Permintaan terhadap produk berasaskan bahan semula jadi meningkat secara mendadak dan pengusaha seluruh dunia berlumba-lumba untuk menghasilkan pelbagai produk yang didakwa berasaskan bahan semula jadi.

Produk ini dihasilkan untuk pelbagai tujuan seperti penjagaan kesihatan tambahan (suplement), ubat-ubatan, kosmetik dan penjagaan diri.

Di Amerika contohnya, permintaan terhadap produk kosmeseutikal sahaja meningkat hampir 11% setiap tahun dan nilainya pada tahun 2008 mencapai USD7 bilion.

Di Malaysia, industri pasaran produk berasaskan herba dianggar bernilai lebih daripada RM4.5 bilion dan dijangka akan terus meningkat.

Kajian

Hasil kajian di Thailand menunjukkan halia hitam mempunyai kandungan antioksida yang sangat tinggi, antidiabetik, meningkatkan kepadatan sperma dan antidepresi yang sesuai untuk kesihatan dan telah lama digunakan untuk tujuan perubatan.

Walaupun permintaan produk herba terus meningkat kebelakangan ini, penghasilan produk berasaskan halia hitam masih dipandang sepi berikutan kekurangan bahan tanaman untuk penghasilan secara berskala besar.

Peluang ini membolehkan MARDI untuk memperkenalkan tanaman halia hitam yang merupakan tanaman berpotensi dan bernilai tinggi yang perlu dieksploitasi dengan kadar segera.

Produk berasaskan halia hitam ini boleh diaplikasi dalam bentuk makanan kesihatan, makanan tambahan herba, (campuran produk bersama kopi) kosmetik dan farmaseutikal yang telah banyak dihasilkan di Thailand.

Berasaskan penemuan terdahulu oleh penyelidik Thailand, halia hitam didapati selamat untuk dimakan malah terbukti keberkesanannya serta mempunyai nilai yang tinggi dan dijangka mampu memberi keuntungan lumayan.

Ia berpotensi sebagai tanaman yang dapat memberi pulangan yang tinggi kepada negara jika dihasilkan pada skala yang besar dan selari dengan R&D yang dilakukan.

Pembangunan produk berasaskan herba dan nilai tambahnya, bukan sahaja akan menggalakkan pertumbuhan industri herba, tetapi juga menyediakan peluang penjagaan kendiri kepada orang ramai.

Permasalahan dalam pengeluaran produk halia hitam ialah tidak ramai yang mengetahui khasiat dan kebaikannya.

Secara saintifiknya, khasiat halia hitam telah dibuktikan oleh kajian yang telah dilaporkan di dalam beberapa jurnal.

Namun begitu, kekurangan bahan tanaman ini di Malaysia menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan merupakan faktor utama halia hitam tidak popular seperti tanaman lain.

Malah, aktiviti R&D di Malaysia masih tidak menghasilkan banyak produk berasaskan tanaman halia hitam walaupun banyak institusi penyelidikan dan universiti yang mengetahui potensi besar tanaman ini.

Kesukaran untuk mendapatkan rizom sebagai bahan utama dalam penghasilan produk merupakan masalah utama.

Harga rizom yang terlalu mahal mencecah sehingga RM6,000/kg telah menyukarkan pengusaha industri herba untuk mengeksploitasi dan memperkenalkan tanaman ini dalam pasaran industri herba.

(Sumber: Buletin Teknologi MARDI)

HALIA HITAM BERHARGA RM200 SEKILO!

Rizom Halia Hitam
Halia Hitam.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan halia yang didapati secara meluas ditanam di Thailand berbanding di negara ini.

Mungkin faktor itulah yang menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat kurang mengenali apatah lagi mengetahui khasiatnya.

Situasi itu turut diakui pembekal dan pengedar anak benih pokok buah-buahan dan herba, Othman Saidon.

Katanya, dari segi fizikal tanaman itu hampir serupa dengan halia biasa, namun bentuk ubinya berbeza dan berwarna ungu hitam walaupun saiz seakan-akan sama.

"Ketika ini sukar memperoleh benih halia hitam kerana ia tidak terdapat di pasaran atau nurseri. Biasanya saya mendapatkan benihnya dari Thailand pada RM200 sekilogram.

"Halia hitam mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana rizom (akar berisi) dan daunnya digunakan sebagai bahan bagi tujuan pengeluaran produk kesihatan, kosmetik, makanan tambahan dan perubatan," katanya.

Othman berkata, berbanding di Thailand, penghasilan produk berasaskan halia hitam di pasaran tempatan sangat terbatas berikutan kekurangan bahan tanaman itu dan hanya segelintir pengusaha yang menanamnya secara berskala besar.

Tidak hairanlah di negara gajah putih itu terdapat produk berasaskan halia hitam yang diaplikasikan dalam pelbagai bentuk makanan kesihatan tambahan selain kosmetik.

"Kekurangan halia hitam di negara ini menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan menjadi faktor utama ia tidak popular seperti pokok herba lain antaranya tongkat ali dan kacip fatimah."

Beliau turut mengakui halia hitam mudah ditanam sama ada di atas tanah, dalam pasu atau menggunakan beg semaian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, June 15, 2020

Postbiotik: Bahan Perangsang Pertumbuhan Haiwan

Postbiotik: Bahan Perangsang Pertumbuhan Haiwan

Industri ternakan haiwan sudah sebati dengan Akta Makanan Haiwan 2009 yang diluluskan Parlimen Malaysia, hanya membenarkan penggunaan bahan antibiotik sebagai ubat untuk merawat penyakit haiwan.

Postbiotik Haiwan
Gambar hiasan.

Namun, ia dilarang untuk digunakan sebagai bahan perangsang pertumbuhan malah larangan itu sudah lama dipraktikan di Eropah.

Sebelum penguatkuasaan akta itu, industri ayam sering mencampurkan bahan antibiotik dalam bahan makanan sebagai agen perangsang pertumbuhan haiwan ternakan.

Ia bagi memastikan kesihatan haiwan dalam keadaan baik dan membesar dalam masa singkat.

Namun, ia juga mempuanyai kesan sampingan apabila dicampurkan dalam makanan kerana antibiotik akan tertinggal dalam haiwan dan persekitaran sekali gus patogen (mikroorganisme parasit) menjadi lebih kuat, dan ini bermaksud tiada ubat yang dapat membunuh patogen itu.

Justeru, sepasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan bahan perangsang pertumbuhan haiwan dikenali Postbiotik.

Bahan tambahan makanan untuk ternakan dan ikan itu menggunakan dana penyelidikan berjumlah RM4 juta.

AQUAmate

AQUAmate adalah salah satu jenama produk yang dihasilkan secara khas sebagai agen perangsang pertumbuhan ikan.

Projek penyelidikan diketuai pensyarah Jabatan Teknologi Bioproses Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Profesor Madya Dr Foo Hooi Ling dan turut dibantu ramai pakar berpengalaman.

Ia turut merangkul pelbagai anugerah dalam dan luar negara dan turut dipatenkan di Eropah, Amerika Syarikat, Brazil, Australia, India, China dan Vietnam.

Menurut Dr Foo, penyelidikan ini adalah berkaitan bahan tambahan untuk ternakan dan ikan.

AQUAmate boleh digunakan sebagai pengganti antibiotik untuk merangsang pembesaran haiwan secara semula jadi.

Penyelidikan sejak 1999 itu adalah berkaitan makanan tambahan haiwan yang mesra alam dan semula jadi.

Ia dihasilkan sekumpulan bakteria dikenali sebagai Bakteria Asid Laktik dengan konsep sama seperti digunakan dalam minuman kultur dan penapaian makanan.

Menyentuh mengenai permulaan projek itu, ia dikhususkan untuk mencari bakteria berguna yang boleh menghasilkan bahan postbiotik baik dan berfaedah tinggi.

Postbiotik juga sudah digunakan kepada ayam daging dan ayam telur yang turut menunjukkan kesan sama seperti ikan.

Rumusan yang dapat dibuat adalah produk ­postbiotik ini sesuai untuk pelbagai jenis haiwan dan pasarannya cukup besar.

Untuk mendapatkan inovasi yang baik, sejati dan rintang kepada ujian pasaran, pastinya ia memerlukan tempoh penyelidikan yang panjang.

Oleh itu, perkara pertama yang dilakukan oleh pengkaji adalah mencari sumber bakteria yang baik dan boleh menghasilkan bahan yang berfaedah dari segi ciri-ciri.

Kemudian, ciri-ciri kebaikan bahan yang dihasilkan itu di uji sama ada ia berguna atau sebaliknya.

Aplikasi bahan penyelidikan postbiotik sudah dilakukan terhadap tikus (kajian tikus) dengan menunjukkan tanda-tanda positif.

Kesannya, ia menurunkan kolesterol darah, pertumbuhan baik, lebih cantik dan makanan yang kurang diperlukan untuk mendapat pertumbuhan yang elok dalam tempoh singkat.

Bulu haiwan lebih cantik, ayam sihat daripada aspek luar dan dalam, serta merangsang sistem imun yang tinggi.

Selain diuji pada ayam daging, ayam telur dan ikan, sel kanser menunjukkan kesan pada luaran (in vitro).

Postbiotik akan membunuh sel kanser secara khusus dengan cara yang diingini tanpa mengganggu sel badan yang baik.

Sumber Postbiotik
  • Cuka sari epal.
  • Mentega dan keju.
  • Spirulina.
  • Grape marc (sisa-sisa buah anggur, zaitun atau buah-buahan lain, bubur dan kulit).
  • Cendawan.
  • Kefir.
  • Acar.

Selain itu, kebanyakan Bakteria Asid Laktik diperoleh daripada makanan tertapai seperti tapai ubi, tapai pulut dan tempe.

Meskipun bakteria itu wujud dalam persekitaran termasuk makanan, usus manusia dan haiwan, pemilihan makanan tertapai kerana ia membabitkan isu halal.

Kajian telah mengkaji 200 jenis bakteria (kultur) dan mendapati terdapat enam jenis yang boleh menghasilkan bahan postbiotik yang baik untuk penggunaan bagi manusia dan haiwan.

Bagi mendapatkan postbiotik, bakteria daripada tapai dipencil, disaring, disimpan dan ditumbuhkan dalam bioreaktor melalui proses fermentasi.

Tempoh 24 jam digunakan untuk menghasilkan produk berkenaan dan selepas itu sel dipisahkan untuk mendapatkan postbiotik dalam bentuk cecair tanpa sel hidup.

Proses fermentasi sangat ringkas dan mudah dijalankan dalam industri, selain kos yang kurang dalam penghasilan produk, malah sangat setimpal dengan antibiotik yang biasa digunakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Monday, June 08, 2020

Kenali Temu lawak, Temu Emas, Temu Hitam, Temu Putih, Temu Pauh Dan Temu Kunci

Kenali Temu lawak, Temu Emas, Temu Hitam, Temu Putih, Temu Pauh Dan Temu Kunci

Secara fungsi, perbezaan antara temulawak (spesies temu) dan kunyit cukup signifikan dan salah satunya adalah ketika digunakan sebagai rempah dalam kuantiti yang banyak, kerana dikatakan boleh menyebabkan sakit perut, pening, mual, dan kerap membuang air.

Sebaliknya, pengambilan temulawak dalam jumlah yang banyak dianggap lebih selamat bagi usus, bahkan boleh dimanfaatkan untuk meringankan pelbagai masalah pencernaan, seperti perut kembung, sakit perut, hingga irritable bowel syndrome (IBS).

Kali ini kami ingin berkongsikan kepada pembaca beberapa jenis TEMU, yang merupakan keluarga halia (Zingiberaceae), selain temu lawak yang sudah menjadi kebiasaan bagi kita.

1. TEMU LAWAK (Curcuma xanthorrhiza)

TEMU LAWAK (Curcuma xanthorrhiza)

Temu lawak atau nama saintifiknya curcuma xanthorrhiza, adalah herba yang mengandungi curcumin dan minyak atsiri yang berkhasiat untuk menjaga kesihatan dari pelbagai penyakit, dan dikatakan jauh lebih berkhasiat dari ginseng.

Temu lawak merupakan tanaman dari spesies halia (Zingiberaceae) yang sudah banyak dimanfaatkan sebagai ubat tradisional.

Namun, kita harus tahu membezakan antara temu lawak dengan kunyit biasa (Curcuma domestica).

Kedua-duanya hampir sama bentuk, cuma temu lawak lebih gempal serta warna rizomnya lebih cerah dari kunyit yang bentuknya panjang dengan warna oren pekat.

Ciri-ciri:
  • Temu lawak merupakan tumbuhan tahunan yang hidup secara berumpun.
  • Setiap pokok biasanya mempunyai 2-9 helai daun.
  • Ketinggian pokok boleh mencapai 2.5 meter.
  • Pokok temu lawak berbunga sepanjang masa, bunganya berwarna putih atau kuning tua dan pangkal bunga berwarna ungu.
  • Rizom temulawak berwarna kuning tua dan ia mempunyai pelbagai khasiat dalam perubatan.

Khasiat Dan Kegunaan:
  • Rheumatik dan kesakitan pada otot.
  • Ubat demam ( anti-pyretic).
  • Masalah hati, demam kuning dan penyakit batu karang.
  • Penyakit kulit.
  • Menghilangkan kekejangan dan mengelaknya dari berulang.
  • Buasir dan masalah kerengsaan pada rektum.
  • Berak berdarah (bloody diarrhea) dan disentri.
  • Merawat masalah sembelit.
  • Merawat batuk dan demam pada kanak-kanak.
  • Mengatasi masalah keputihan dan jangkitan kulat seperti candida albican pada vagina.
  • Penyakit kencing manis.
  • Gastrik dan gas berlebihan.

2. TEMU KUNCI (Boesenbergia rotunda)

TEMU KUNCI (Boesenbergia rotunda)

Temu kunci juga disebut temu kecil dan dekunci, adalah tanaman herba yang tumbuh rendah serta merayap di dalam tanah, batangnya juga lebih banyak tumbuh di dalam tanah sebagai rimpang, berwarna kuning kecokelatan.

Ciri-ciri:
  • Dalam satu tahun pertumbuhannya 0.3-0.9 cm.
  • Batangnya berwarna kuning cokelat, aromatik, menebal.
  • Daun pada umumnya 2-7 helai. Daun bawah berupa pelepah daun berwarna merah tanpa helaian daun.
  • Tangkai daun tanaman ini beralur. Hujung daun runcing, permukaan halus, tetapi bahagian bawah agak berambut terutama sepanjang tulang. Warna helai daun hijau muda.

Khasiat Dan Kegunaan:
  • Anti-kanser.
  • Antu-radang.
  • Anti-bakteria.
  • Menyihatkan sistem pencernaan.
  • Meningkatkan ghairah seksual.
  • Untuk ibu bersalin.
  • Untuk kecantikan.
  • Mengandungi vitamin B6 serta B12.
  • Mencegah penuaan.
  • Merawat masuk angin.
  • Merawat keputihan wanita.
  • Merawat panas dalam badan.
  • Penambah stamina.

3. TEMU PUTIH (Curcuma zedoaria)

TEMU PUTIH (Curcuma zedoaria)

Temu putih atau juga sering disebut temu kuning, berasal dari Himalaya, India, dipercayai memiliki khasiat dan manfaat untuk kecantikan dan kesehatan tubuh. Rizomnya (isi) berwarna putih bersih.

Ciri-ciri:
  • Temu putih tumbuh mencapai sehingga 2 meter, tumbuh tidak berkelompok, daun berbentuk lanset memanjang berwarna merah lembayung di sepanjang tulang tengahnya.
  • Bunga keluar dari rimpang samping, menjulang ke atas membentuk tongkol bunga yang besar berwarna putih, dengan tepi bergaris merah tipis atau kuning.
  • Rimpangnya berwarna putih atau kuning muda, dengan rasa yang sangat pahit.

Khasiat Dan Kegunaan:
  • Ubat alergik semulajadi.
  • Anti-virus dan anti-bakteria.
  • Mencegah kanser.
  • Mengatasi Masalah Pencernaan.
  • Penawar bisa ular.
  • Meringankan rasa sakit.

4. TEMU PAUH (Curcuma amada)

TEMU PAUH (Curcuma amada)

Pokok temu pauh (Mango Ginger) adalah tanaman herba yang mengandungi pelbagai khasiat kesihatan yang hidup berumpun seperti pokok kunyit, digelar temu pauh kerana rizomnya berbau seperti bau buah pauh/mangga.

Ciri-ciri:
  • Rizom temu pauh berwarna kuning cair.
  • Daun pokok temu pauh mempunyai jalur perang pada urat tengahnya.
  • Pokoknya seperti pokok kunyit tetapi lebih besar dan mempunyai rumpun yang agak jarang (tidak padat).

Khasiat Dan Kegunaan:
  • Temu pauh dikatakan mengandungi bahan antikanser dan antibakteria.
  • Biasanya dijadikan salah satu bahan mandian herba bagi wanita lepas bersalin.
  • Ia juga diminum untuk tujuan perawatan penyakit kencing manis, darah tinggi dan untuk menurunkan paras kolesterol jahat dalam darah.
  • Jus temu pauh juga boleh mengurangkan batuk dan boleh melawaskan sistem pencernaan.
  • Ada juga yang mengatakan, pemakanan temu pauh dapat mengurangkan stres dan awet muda.

5. TEMU EMAS (Curcuma zeodoria)

TEMU EMAS (Curcuma zeodoria)

Pokok kunyit Emas atau juga dikenali sebagai Temu kuning merupakan sejenis spesies kunyit, dimana batangnya merah-kuning seperti emas, bersifat amat panas.

Ciri-ciri:
  • Tumbuhan herba jenis rizom yang kelihatan hampir serupa dengan temu hitam dan temu lawak dari pandangan luaran dengan saiz daun yang lebih kecil dan rendah.
  • Rizom kelihatan seakan kunyit makan dan temu lawak.
  • Rizom bersaiz lebih kecil dan mempunyai bau yang lebih wangi dari temulawak.
  • Ketinggian tumbuhan ini sama dengan kunyit makan, namun dapat dibezakan dengan kehadiran alur merah di permukaan daun.

Khasiat dan kegunaan:
  • Penguat Urat.
  • Tahan gigi.
  • Tahan telinga (tidak cepat pekak).
  • Pemulihan kesihatan.
  • Rawatan kulit.
  • Minuman sebagai tonik selepas bersalin.

6. TEMU HITAM (Curcuma aeruginosa Roxb)

Temu hitam (ireng)

Temu Hitam dengan nama botaninya Curcuma aeruginosa, biasa dijumpai tumbuh liar di belukar dan semak samun. Bunganya cantik berwarna putih dan sedikit ungu.

Warna isi rizom temu hitam adalah berwarna biru jernih kehijauan dan ramai yang tersalah anggap ia adalah Kunyit Hitam (Curcuma caesia).

Tinggi optimun untuk pertumbuhannya ialah 1750 dari aras laut, juga boleh ditemui pada ketinggian kurang dari itu.

Temu hitam juga dikenali sebagai temu erang, temu ireng atau temu lotong.

Ciri-ciri:
  • Tingginya dapat mencapai 2 meter tinggi. Batangnya semu dan tersusun atas kumpulan pelepah daun yang basah dan berwarna hijau.
  • Daunnya berwarna merah lembayung-kecoklatan yang berwarna lebih gelap pada sepanjang tulang daunnya.
  • Daunnya tunggal, panjang dan terdiri atas 2-9 helai.
  • Helaian daunnya berbentuk bundar memanjang, hujung dan pangkalnya runcing, berwarna hijau tua pada kiri-kanan tulang daun.
  • Panjang daun 31–84 cm, dengan lebar 10–18 cm.

Khasiat Dan Kegunaan:
  • Rizom tumbuhan ini boleh digunakan untuk merawat:
  • Meningkatkan nafsu.
  • Semput.
  • Kecacingan.
  • Masalah obesiti dan kegemukan.
  • Untuk mengembalikan kecergasan badan selepas haid dan nifas (bersalin).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, January 31, 2020

Cara Menanam Kunyit Paling Mudah

Cara Menanam Kunyit Paling Mudah

Pokok kunyit memerlukan kawasan yang mempunyai sinaran matahari melebihi 6 jam dan tanah yang tidak ditakungi air, dan sekiranya ditanam dalam pasu, pastikan pasu diletakkan pada kawasan yang terkena cahaya matahari yang cukup, kerana ia memerlukan cahaya yang penuh untuk pertumbuhan yang baik.

Pokok Kunyit

Kunyit sesuai ditanam di tanah lom, alluvium (telah di gembur) serta mempunyai pengairan dan saliran yang baik. Ia juga memerlukan PH tanah di antara 4.3 hingga 7.4. Taburan hujan di antara 1,000 hingga 2,000 mm setahun, adalah faktor pengalak untuk menghasilkan pengeluaran kunyit yang sihat.

CARA-CARA MENANAM KUNYIT

Rizom kunyit

1. Memilih Bibit

Kunyit ditanam dari cebisan rizom yang telah matang yang berukuran 4 cm. Rizom yang terpilih perlu cukup tua, sihat dan mempunyai 2 hingga 3 tunas.

Bagi memastikan hanya rizom yang terbaik dipilih, ia perlulah direndam di dalam larutan racun kulat (benomyl atau 1% larutan Bordeaux) selama 15 hingga 30 minit dan kemudian dikeringkan.

Untuk mendapatkan tunas, anda perlu mendapatkan rizom ibu kunyit atau mana-mana bahagian tunas dan balut dengan menggunakan suratkhabar yang lembap dan letakkan dikawasan yang teduh dan lembap. Lepas 2-3 minggu, tunas akan mula keluar.

Anda juga boleh meletakkan rizom kunyit diatas tanah yang telah dilembabkan dan tutup (sungkup) dengan karung atau kain yang tidak lagi digunakan. Siram diatasnya dan letakkan di bawah tempat yang teduh dan tidak terkena sinaran matahari sepanjang hari.

2. Menanam Kunyit

Kunyit tumbuh subur pada tanah gambut. Tanah yang di cangkul baik dengan elok akan menghasilkan umbi kunyit yang melimpah.

Untuk mendapatkan kunyit yang 'gemuk', gunakan tanah yang longgar dan tak padat. Pastikan tanah sentiasa lembap namun elakkan dari bertakung, dengan memastikan saliran air sentiasa dalam berkeadaan yang baik.

Rizom yang telah bertunas perlulah di tanam dalam tanah sedalam 6 hingga 8 cm dan jarak antara 1 pokok kunyit ialah antara 2-3 kaki.

Kunyit akan mula bercambah pada minggu kedua hingga minggu ke empat selepas penanaman. Daun kunyit yang berwarna hijau akan tumbuh dan mengeluarkan aroma yang wangi.

Bunga dan rizom akan mula tumbuh pada minggu ke lima dan ke tujuh dan akhirnya ia aktif membentuk kunyit selama 7 hingga 10 bulan bergantung kepada variasi kunyit.

3. Pembajaan dan Penjagaan

Kunyit memerlukan baja organik (tahi ayam) pada 3 hingga 5 hari sebelum penanaman. Baja perlulah digaul dalam tanah di batas. Selain itu, baja NPK Biru juga perlu di tabur di sekeliling pangkal rumput kunyit.

Selepas pembajaan, pangkal kunyit perlulah ditimbun tanah bagi mengurangkan hakisan baja dan mengelakkan rizom yang bercambah muncul dipermukaan tanah.

Pengurusan ladang perlu dilakukan dengan sistematik bagi mengurangkan persaingan tumbuhan dengan rumpai dan selepas 9 – 10 bulan di tanam, kunyit boleh dituai dengan menggali menggunakan cangkul.

4. Penyakit

Antara serangga yang sering di dapati menyerang tanaman kunyit adalah ulat pengorek batang (Dichrosis sp) yang menyerang bahagian pangkal akar menyebabkan tunas menjadi layu, kering dan membusuk.

Belalang hijau yang akan memakan bahagian pucuk daun menyebabkan pokok kelihatan tidak sihat.

Racun Malathion 0.1% perlu di sembur di bahagian pokok dan bahagian yang terjejas perlu dibuang bagi mengelakkan dari berjangkit kebahagian pokok yang lain.

Selain itu, Bintik Daun (Colletorichum sp) dan Reput Rizom (Phytium sp) adalah 2 lagi penyakit yang sering berlaku dihadapi oleh tanaman kunyit.

Bintik daun yang menyerang daun kunyit yang tua menyebabkan daun kunyit berwarna karat di bahagian sisi atas dan bawah daun manakala reput rizom menyebabkan kulit akar mengering, mengelupas dan membusuk.

Oleh itu, racun kimia Dithane M-45 atau campuran Bordeaux boleh digunakan dengan merendamkan benih rizom sebelum proses penanaman.

5. Menuai Hasil

Kunyit boleh dituai apabila genap 9 bulan. Cara mengetahui pokok kunyit sudah boleh dituai ialah melihat daun-daun yang sudah mula mengering.

Sekiranya anda mahu menggunakan kunyit muda, tuai apabila kunyit genap 6 bulan. Jika mahukan yang matang pula tuai setelah genap 9 bulan.

6. Bagaimana mahu mendapatkan ubi kunyit?

Apabila daun mulai menguning dan batang kunyit mulai kering, ianya petanda ubi kunyit telah matang.

Mudah sahaja, hanya korek keseluruhan tanaman termasuk bahagian akar. Ambil bahagian yang diperlukan, dan bahagian yang bertunas boleh terus ditanam semula.

CARA TANAM KUNYIT DALAM PASU

Menanam kunyit dalam pasu dengan cara yang betul memerlukan ilmu yang sesuai dan praktikal. Ini kerana pokok kunyit ini kalau tidak ditanam dengan betul, bukan sahaja akan kurang subur dan tidak berhasil tetapi akan mencacatkan permandangan.

Untuk mereka yang tinggal di bandar yang kekurangan tanah atau dimana dihalaman rumah sudah habis di simen, maka kaedah alternatif yang boleh digunakan adalah menanam di dalam pasu.

Kalau hendak menggunakan pasu boleh guna pasu biasa atau pasu plastik atau bekas plastik minyak masak dengan media tanaman yang dijual dipremis semaian.

Menanam kunyit dalam pasu biasanya umbisi tidak mahu membesar seperti menanam di kebun. Bagaimanapun, jika kena cara amalan agronominya yang betul maka ia tidak lagi menjadi masalah.

Kalau anda menanam kunyit dalam pasu dan tiada umbisinya pun tidak mengapa kerana boleh di petik daunnya untuk kegunaan masakan.

Kalau hendak tanam kunyit dalam pasu pastikan ada 3 perkara iaitu Pasu, Media Tanaman dan Benih Kunyit.

Pilih benih kunyit tua yang sihat, tidak berpenyakit dan saiz yang sesuai untuk dijadikan benih. Sebaiknya pilih benih ubi kunyit yang mempunyai tunas besar berwarna keputihan di hujung ibu kunyit atau ia adalah mata tunasnya. Warna putih-putih itu sebenarnya menunjukkan ubi kunyit itu bersedia untuk tujuan mengeluarkan daunnya.

Pastikan menyediakan saiz pasu sesuai dan media tanaman seperti jenis tanah campuran (3:2:1) yang sesuai. Tanah yang bagus untuk diisi dalam pasu adalah tanah yang mana ia mempunyai campuran tanah pasir, tanah bakar dan sabut kelapa@cocopeat.

Beli saja tanah di nursery bunga atau di pasaraya bahagian barang-barang perkebunan. Masukkan tanah ke dalam pasu dan buat lubang dalam kedalaman 2-3 inci.

Masukkan benih kunyit tadi dan pastikan mata tunas ibu kunyit yang berwarna keputihan menghala kebahagian atas. Ia kemudian ditimbus dengan paras tanah dan pastikan sentiasa disiram tetapi jangan berlebihan air sehingga akan menebabkan benih busuk.

Kebiasaaanya mata tunas kunyit tadi akan mengeluarkan tunas berdaun untuk tumbuh dalam masa 1-2 minggu. Pasu yang ada pokok kunyit boleh juga anda letakkan di bawah pencahayaan yang optimum.

Tapi untuk rumah teres atau kondominium di bandar, anda boleh meletakkannya di bawah tempat separa berbumbung seperti di tepi balkoni atau bucu bumbung. Kalau letak di tempat yang terlalu teduh menyebabkan daun yang tumbuh tidak akan lebar dan lazimnya ia akan tumbuh kecil dan kurus sahaja.

Pastikan air siraman tidak bertakung kerana pokok ini tidak suka tanah yang lembap. Sebaiknya di siram 2 kali sehari di awal pertumbuhan. Bila pokok sudah besar maka bolehlah di siram hanya sekali sehari samada di awal pagi atau petang.

Anda juga boleh menggunakan 'plant gel' dalam media tanaman dan tidak perlu disiram selalu dan kalau ditinggalkan tanpa disiram berminggu pun pokok tidak akan mati kerana gel tersebut mampu menyimpan air. Kaedah pembajaan pula cukup sekadar baja organik di awal penanaman.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, December 10, 2019

Kenapa Pokok Gaharu Sangat Mahal?

Kenapa Pokok Gaharu Sangat Mahal?

Pokok Gaharu atau nama saintifiknya Aquilaria malaccensis, adalah sejenis pokok yang hidup subur di hutan tropika dan telah dimanfaatkan oleh masyarakat dunia sejak zaman dahulu lagi, yang mana semua bahagian pokok ini, iaitu dari bahagian batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya sebenarnya telah digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi, ubat-ubatan, teh hijau dan kosmetik.

Daun Gaharu
Daun Gaharu.

Pokok gaharu terbaik didakwa daripada Malaysia dari hutan tebal tropika dimana ia telah menerima permintaan baik dari seluruh dunia.

Terdapat banyak keistimewaan pokok dan hasilan daripada gaharu, namun jumlah pengusahanya boleh dibilang dengan jari kerana tidak ramai yang berani untuk mengambil risiko walaupun diketahui hasilnya mampu memberi pulangan lumayan.

Hakikatnya, sebab tidak sabar menuai hasil adalah punca utama kebanyakan orang kita tidak berani menceburi projek itu.

Teras Gaharu

Apa yang penting bagi penanam pokok gaharu adalah bagaimana untuk mendapatkan teras dan kayu minyak gaharu dituai dan diproses untuk mengeluarkan produk air suling, minyak wangi, sabun, syampu, losen, teh dan kopi.

Proses pertama untuk mendapatkan teras dan kayu minyak gaharu adalah menebang dan meracik kayu minyak hingga nampak teras di bahagian dalam batang pokok gaharu.

Namun, ada kaedah rawatan khas memproses Inokulan untuk mendapatkan teras gaharu yang dipanggil proses ‘mencuci’ kerana perlu mengikis kayu minyak secara manual untuk mendapatkan teras di bahagian tengah.

Jika bernasib baik, pengusaha boleh menemui teras yang mempunyai reka bentuk luar biasa dan nilainya boleh mencecah sehingga RM4,300 hingga RM5,800 sekilogram.

Proses seterusnya adalah dimana batang gaharu yang dikikis tadi dimasukkan ke dalam mesin untuk dikisar dan terus dimasak di atas dapur khas selama tujuh hari.

Kayu minyak Gaharu yang dihancurkan dimasak bagi diproses untuk pengasingan minyak gaharu dan air suling, yang akan berterusan tanpa henti selama 24 jam selama tujuh hari.

Kemudian, selepas selesai proses pengasingan maka serbuk kayu gaharu akan ditapis dan dijemur untuk dijadikan setanggi atau dijual kepad pembeli dengan harga RM1,800 sekilogram.

Tetapi, perlu ada kemahiran khusus untuk melakukan semua perkara berkaitan agronomi dan aktiviti memproses pokok gaharu.

Sebatang pokok gaharu dilaporkan boleh menghasilkan 10 kilogram (kg) serbuk kayu minyak dan 48 mililiter (ml) minyak pati gaharu hasil daripada proses yang dijalankan.

Kemudian, minyak wangi gaharu dihasilkan menggunakan pati minyak gaharu yang sudah diasingkan tadi.

Selain menghasilkan minyak wangi, setitik pati gaharu juga boleh dijadikan sebagai makanan tambahan.

'Lagi Sakit Lebih Baik'

Isi Gaharu
Minyak Gaharu.

Untuk mendapatkan ekstrak minyak gaharu berkualiti, pokoknya perlu dicederakan menggunakan teknik tertentu atau disuntik bahan dipanggil inokulasi.

Lebih lama pokok ini sakit atau dijangkiti penyakit, maka kualiti minyaknya nanti menjadi lebih tinggi. Jika pokok lain memberi hasil apabila batangnya sihat, tetapi berbeza pula dengan pokok Gaharu.

Suntikan inokulasi biasanya dilakukan selepas pokok mencapai usia matang lima hingga 10 tahun ke atas dan mempunyai ukuran lilit pokok sekurang-kurangnya 15 sentimeter.

Lubang selebar enam inci akan ditebuk pada batang pokok untuk menyuntik inokulasi. Jumlah lubang ditebuk bergantung kepada kelebaran dan tinggi pokok.

Selepas setahun disuntik inokulasi, gaharu sudah terbentuk dan boleh ditebang untuk proses seterusnya iaitu mengekstrak pati minyak gaharu.

Karas dalam batang pokok yang diserang penyakit akan menyebarkan sejenis minyak bagi melindungi bahagian terjejas dan lama-kelamaan akan membentuk gaharu.

Ada dua kaedah digunakan untuk mencederakan pokok bagi mendapatkan hasil, antaranya melalui teknik semula jadi (dipanah petir atau ditimpa pokok lain), menakik, mengikat batang menggunakan dawai atau suntikan inokulasi.

Namun, kaedah untuk mencederakan pokok ini yang dinamakan inokulasi, sudah terbukti dapat menghasilkan gaharu dengan cepat serta berkualiti.

Penghasilan gaharu menerusi proses inokulasi adalah 90 peratus lebih berkesan berbanding kaedah semula jadi.

Antara bahan digunakan bagi teknik inokulasi adalah gula merah, air gaharu dan beberapa bahan mentah organik lain.

Bernilai Tinggi

Pokok Gaharu
Pokok Gaharu.

Pokok gaharu amat bernilai tinggi kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan minyak wangi bagi menghasilkan pelbagai haruman yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi sejak zaman dahulu, dengan harga setinggi RM100,00 sekilogram dipasaran dunia.

Pada masa sama, daun pokok gaharu juga dianggap amat berkhasiat dan boleh dijadikan produk teh hijau kerana mempunyai aroma yang menyegarkan selain khasiatnya untuk kesihatan.

Pati asli gaharu adalah produk yang sangat terhad dan boleh dikatakan hampir tiada persaingan.

Harganya adalah dalam lingkungan RM300 hingga RM15,000 dalam botol kecil.

Mengapa hingga RM15,000? Kerana kualiti, keaslian, ketahanan dan keistimewaannya seperti haruman kekal sehingga tiga hari dengan hanya satu calitan.

Pokok gaharu adalah tumbuhan paling dicari di hutan hujan kerana kulit dan damarnya mendapat permintaan tinggi dalam industri farmasi serta kosmetik.

Setiap pokok gaharu boleh mengeluarkan 30 mililiter (ml) minyak gaharu di mana setiap 12 ml minyak berkenaan dijual dengan harga RM600.

Sementara air suling yang diasingkan daripada pati minyak gaharu bermanfaat menghindarkan penyakit kanser, gout, alahan gatal dan paling berkesan merawat resdung.

Kopi dan teh gaharu turut membantu merendahkan tahap kolesterol, mengurangkan toksik dalam badan, masalah pelawasan dan masalah insomnia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Sunday, December 08, 2019

Fungsi Penting Effective Microbe (EM) Dalam Ternakan Dan Pertanian

Fungsi Penting Effective Microbe (EM) Dalam Ternakan Dan Pertanian

Effective Microbe atau lebih dikenali dengan singkatan EM merupakan 'bakteria baik' hasil kultur campuran dari mikroorganisma hidup yang membantu merencatkan pertumbuhan bakteria patogen atau bakteria jahat yang ada di dalam sistem tumbesaran tanaman dan ternakan.

Effective Microbe (EM)
Gambar hiasan.

EM (efektif mikrob) adalah campuran bakteria semulajadi yang dihasilkan dari proses penapaian semulajadi tanpa pengubahsuaian dari segi genetik ataupun kimia, diakui selamat digunakan dan 100% organik yang digunakan di lebih 120 buah negara.

Tiga jenis mikrob tersebut (LAB, Psb, Yis) secara semulajadi bekerjasama dan menghasilkan sebatian bermanafaat seperti vitamin, hormon, enzim, asid organik, mineral, bioaktif dan bermacam-macam antioksidan apabila ia bertemu bahan-bahan organik.

Kunci utama dalam larutan EM adalah bakteria Fototropik iaitu Rhodopsuedomonas palustris — kumpulan bermanafaat dalam memecahkan molekul dan mencerna sebatian toksik.

Campuran mikrob yang unik ini menghasilkan antioksidan yang antaranya inositol, ubiquinon, saponin, polisakarida (lowmolecularpolysaccharides), polyphenol dan mineral-mineral.

Antioksidan ini membantu sistem pertahanan semulajadi yang boleh menghalang pertumbuhan bakteria-bakteria yang tidak bermanafaat.

Sifat EM

Sifat EM secara amnya ialah cecair berwarna kuning coklat, berbau enak dan berasa masam. Ianya sangat sesuai digunakan dalam bidang pertanian dan penternakan untuk meningkatkan mutu dan hasil pengeluaran.

Kesesuaian Penggunaan EM

Ianya amat sesuai digunakan pada projek pertanian dan fertigasi, ternakan ikan darat, ternakan haiwan, tempat pelupusan sampah, saluran tandas yang berbau dan sebagainya.

Sejarah Penemuan EM

EM di temui oleh Dr. Teruo Higa iaitu seorang hortikultur biologist dan mula dipasarkan di Jepun pada tahun 1982 untuk pertanian organik.

Kini, EM dihasilkan di 54 buah negara dan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang.

Mikrob-mikrob terpenting di dalam EM dan fungsinya:

Bakteria Asid Laktik (Lactic Acid Bacteria).
  • Berfungsi sebagai pelindung dengan membantutkan perkembangan mikrob dan serangga berbahaya seperti Fusanium dan Nematod.
  • Juga berfungsi sebagai bahan penggalak pengkomposan bahan-bahan organik.

Yis/Ragi (Yeast)
  • Berfungsi sebagai pengeluar hormon dan enzim yang bertindak sebagai bahan bioaktif untuk meningkatkan keaktifan sel tanaman dan akar.

Bakteria Photosintetik (Photosythetic Bacteria)
  • Berfungsi menghasilkan asid amino, asid nuklik, bahan bioaktif dan gula yang akan menggalakkan pertumbuhan tanaman.

Pertanian yang ideal mestilah merangkumi:-
  • Boleh mengeluarkan makanan yang bersih dan berkhasiat untuk kesejahteraan manusia.
  • Ekonomi dan memberi manfaat kepada petani dan pengguna.
  • Lestari dan senang dipraktikkan.
  • Aktinomisit dan kulat berfementasi.
  • Digunakan sebagai inokulum untuk meningkatkan kepelbagaian haya dalam tanah.
  • Boleh memperbaiki kualiti dan kesihatan tanah.

Kebaikan EM Dalam Pertanian:
  • EM menggalakkan pertunasan, pembesaran, penghasilan dan keranuman dalam produk tanaman.
  • Menggalakkan pembungaan dan pembuahan.
  • Menggalakkan tumbesaran, hasil dan kualiti tanaman.
  • Meningkatkan keupayaan proses fotosintesis tanaman.
  • Menukar bahan organik kepada baja dengan cepat.
  • Menambah daya tahan tumbuhan terhadap serangga dan penyakit.
  • Memulih dan menambah baik keadaan fizikal, kimia dan biologi tanah.
  • Konsep inokulasi membentuk persekitaran yang sesuai dan selesa untuk tanaman.
  • Kesan sinergi daripda organisma yang hadir.

Kebaikan EM Dalam Penternakan:
  • Mengurangkan bau busuk dalam kandang dan kolam.
  • Mengurangkan lalat, kutu dan serangga berbahaya.
  • Meningkatkan kesihatan dan daya tahan ternakan.
  • Meningkatkan kualiti produk dan kesegaran.
  • Menjadi bahan makanan tambahan kepada ternakan dan mengurangkan bau busuk dari bahan buangannya.
  • Mengurangkan kos ubatan dan rawatan ternakan.

Kebaikan EM Dalam Tasik, Kolam, Air Pancuran dan Akuarium:
  • Kolam buatan, tasik dan air pancuran memang banyak dibina di taman-taman reakrasi sebagai daya penarik selain untuk menenangkan minda, juga dapat menaikkan nilai perniagaan.
  • Kolam ini bagaimanapun akan membina ekosistemnya sendiri dan ianya dengan mudah keluar dari kestabilannya(balance).
  • Jika air terbiar statik dalam jangka masa yang lama, jentik-jentik akan mulai mendominasi, alga mula wujud dalam air dan bau yang tak menyenangkan akan terhasil seterusnya mulai busuk.
  • Ruang pengudaraan (water circulate) boleh mengurangkan masalah ini namun ianya bergantung pada kualiti air tersebut, kalsium dan alga tetap terbentuk.
  • Penggunaan EM aktif secara berkala akan menjadikan kehadiran mikrob bermanafaat mencukupi dan seterusnya mengawal alga dengan mengurangkan kehadiran nutrien dan sentiasa mengawalnya pada paras yang rendah.
  • EM aktif juga berkebolehan meneutralkan air (neutralizesalts)— dimana ia bertindak sebagai klorinator semulajadi dan menghalang pembentukan lapisan kristal di permukaan air.
  • Kadar dos adalah 1:10,000, iaitu satu bahagian EM (probac) bagi setiap 10,000 bahagian air. Dos ini disarankan diberikan bagi setiap minggu.
  • Penggunaan Mudball juga disarankan. Biarkan beberapa hari/minggu untuk EM (probac) bekerja untuk anda.
  • Jika tinggi bahan organik (sludge), kemungkinan akan terhasil suatu lapisan di permukaan dan ianya akan beransur-ansur hilang.
  • Proses Bioremediation semulajadi terjadi dan hanya biarkan EM bekerja.
  • EM adalah lowcost teknologi yang bertindak dengan cepat, berkesan dan secara signifikan menjimatkan wang anda jika diberikan dengan aplikasi yang betul.

Skop Pengunaan EM:
  • Semburan pada tanah, pokok dan kawasan persekitaran.
  • Tambah EM dalam makanan dan minuman ternakan.
  • Sembur pada najis, lantai dan bangunan ternakan.
  • Masukkan EM dalam kolam ternakan.

Kandungan BIM (EM) Tulen:
  • N - 0.5%
  • P - 0.3%
  • K - 2.2%
  • Ca - 2.0%
  • Mg - 0.4%
  • Fe - 0.03%
  • Cu - 0.5%
  • B - 0.2%

Penyedian EM-FPE (Fermented Plant Extract) Sebagai Kawalan Serangga
  • EM-FPE mengandungi berbagai jenis asid organik, bahan-bahan bioaktif dan mineral.
  • Untuk merealisasikan perkara ini, kita boleh menggunakan berbagai herba aromatik yang terdapat dipersekitaran kita.
  • Tiada kadar yang tepat dari berat tisu yang akan digunakan.
  • Bahan-bahan seperti daun kesom, neem, limau purut, serai wangi, bawang putih, cili padi dan banyak lagi boleh diuji untuk tujuan ini.
  • Ia akan dapat mengawal dan merenjatkan pembiakan serangga seperti trip, aphid, hamama, pelombong daun, pianggang, kepinding hijau, ulat ratus, kabuh lenting dan lain-lain lagi.

Bahan-bahan untuk membuat EM-FPE:
  • EM Tulen - 200ml
  • Molasses - 200ml
  • Daun Neem - 200g
  • Bawang Putih - 200g
  • Cili Padi - 200g
  • Air Sungai - 4 liter

Boleh juga menggunakan apa-apa sumber air bersih yang lain asalkan ianya bebas daripada klorin.

Kaedah Penyediaan EM-FPE (Kawalan Serangga):
  • Hancurkan semua bahan-bahan ekstrak seperti daun neem, bawang putih, cili padi dan air sungai dengan mengunakan alat pengisar.
  • Campurkan EM Tulen, molasses dan baki air sungai tadi.
  • Perap kesemua campuran ini selama 1 minggu.
  • Kemudian hendaklah ditapis dan simpan di dalam botol yang bersih.

Nisbah Sukatan (Kawalan Serangga):
  • EM-FPE = 50ml - 70ml
  • Air = 18 liter

Kaedah Penyediaan Pencairan BIM (EM) Tulen untuk Pertanian

Induk (EM Tulen) perlu diaktifkan terlebih dahulu dengan cara mencairkannya dengan kaedah pemberian cecair dan makanan kepada EM Tulen tersebut pada kadar 5%:
  • EM Tulen = 5ml
  • Molasses (Gula Merah) = 5ml
  • Air (Bebas Klorin) = 1 liter

Campurkan bahan-bahan di atas di dalam satu bekas. Kacau sehingga sebati. Perap selama 3 hingga 5 hari.

Apabila kulat putih telah terbentuk dibahagian atas permukaan campuran diatas, menunjukkan EM tersebut telah aktif dan sedia digunakan.

Kemudian siram ke atas tanah atau lakukan semburan kepada keseluruhan bahagian tanaman seperti daun, batang, bunga, buah termasuk juga di dalam polibag dan kawasan persekitaran kebun.

Kaedah dan Masa Semburan:

Lakukan semburan seminggu sekali pada awal pagi dan lewat petang. Elakkan semburan pada waktu tengahari atau pada masa pancaran matahari yang terik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, December 06, 2019

Panduan Menanam Buah Delima

Panduan Menanam Buah Delima

Delima atau Punica granatum Linn, merupakan sejenis pokok buah-buahan tropika dan sub-tropika dari keluarga PUNICACEAE, dipercayai berasal dari kawasan Afghanistan dan Himalaya dan disebarkan ke kawasan lain diseluruh dunia. Buah delima terkenal di seluruh dunia kerana bijinya yang semacam biji delima atau 'diamonds'.

Menanam Buah Delima

Nama-nama lain bagi buah delima adalah Pomegranate (English), Granatepped (Belanda), Rodi ; Rodia (Itali), Anaar (India), Zakuro (Jepun), Dalimba (Canada), Kok Mak Pi La (Laos), Granada (Sepanyol), Delima; Granada (Filipina) dan Thap thim (Thailand).

Buah delima kurang popular di tanam dan di makan di Malaysia kerana tidak banyak di tanam dan sukar untuk mendapatkan buah delima segar dipasaran.

Buah delima dimakan segar, diproses untuk dijadikan jus, diekstrak untuk minyak dan juga dijadikan makanan kesihatan.

Pokok delima merupakan sejenis pokok renek dengan ketinggian yang mampu mencapai 3-6 meter walaupun ada juga spesies yang kerdil serta berduri pada hujung ranting.

Pokok delima mempunyai dahan dengan bunga 1-5 kuntum pada hujung ranting dan agak berlilin sama ada ianya berwarna merah atau kuning. Saiz bunga kira-kira 4-5 cm panjang.

Daun delima berwarna hijau dengan susunan yang bertentangan antara daun berukuran 5 cm panjang dan 2-3 cm lebar serta mempunyai permukaan atas yang berkilat.

Buah delima berbentuk bulat dengan berwarna hijau ketika muda bertukar kepada warna kuning, merah bercampur hijau apabila masak.

Buah delima mengandungi banyak biji yang diselaputi isi manis sama ada berwarna merah atau merah jambu yang lutsinar.

Penanaman

Delima memiliki banyak jenis, yang paling popular dan tampak menarik untuk di tanam adalah jenis Delima Merah.

Namun, jika anda tidak menyukai delima jenis ini maka ada banyak alternatif yang dapat dipilih untuk di tanam, seperti delima kuning dan delima Sepanyol.

Delima boleh ditanam menggunakan biji benih yang diambil dari varieti yang baik dan buah telah cukup masak.

Kaedah paling baik adalah dengan menggunakan KERATAN BATANG yang diperolehi dengan mengetut selepas 3-4 bulan.

Bibit buah delima boleh diperolehi dengan pelbagai cara. Ada yang menggunakan teknik cangkuk, menyemai biji dan yang paling mudah membeli bibit yang sudah siap tanam di pusat pertanian.

Bibit Delima paling baik di tanam saat ketinggianya setinggi lutut orang dewasa kerana batang dan juga akar pohon akan mudah terbiasa dengan likungan hidupnya yang baru.

Menanam Pokok Delima

Setelah bahan dan juga bibit sudah di perolehi, langkan penanaman boleh dengan segera anda lakukan.

Penanaman yang baik dapat di lakukan saat cuaca tidak terlalu terik namun juga tidak saat keadaan hujan kerana becak setelah hujan. Waktu pagi merupakan masa yang tepat untuk melakukan proses ini.

Buat lubang sedalam 30cm, bergantung bibit yang di tanam, masukan ke dalam lubang tersebut dan timbun kembali menggunakan tanah yang sudah di campur sedikit pasir.

Lazimnya anak pokok delima yang ditanam menggunakan benih keratan batang lebih cepat berbuah berbanding dengan pokok dari biji benih.

Jarak penanaman buah delima disyorkan adalah 3m x 3m bergantung kepada keadaan tanah dan cara pengurusan.

Berikan baja organik dalam lubang penanaman dan pastikan kawasan mempunyai saliran yang baik. Kawalan rumpai dijalankan secara manual dan kimia.

Pembajaan dijalankan menggunakan baja tumbesaran NPK 15:15:15 bersama baja organik mengikut jadual pembajaan.

Pembajaan untuk menghasilkan bunga dan buah delima dijalankan pada tahun ke 3-4 dengan baja NPK 12:12:17:2.

Kawalan musuh dan penyakit dijalankan mengikut kadar serangan. Terdapat sejenis rama-rama dimana ianya gemar bertelur pada daun dan ulatnya akan mengorek buah delima.

Serangga penghisap daun juga menjejaskan kualiti hasil dan perlu dikawal dengan racun kimia atau kawalan secara bersepadu.

Kulat Antraknos (Collectotricum spp) juga menyerang bahagian buah dan daun pokok delima.

Buah delima yang matang perlu dipetik apabila telah cukup masak. Buah yang tidak masak adalah masam dan tidak boleh dimakan segar atau dijual kecuali ada permintaan.

Khasiat

Kajian ahli saintis makanan mendapati setiap 100 gram bahagian buah delima mengandungi 78% air, 14.5% karbohiderat, 1.6% protin, 0.1% lemak, 5.1% serabut, 0.7% mineral, vitamin dan juga tenaga.

Buah delima mengandungi bahan TANIN dan ASID CITRIK yang mempunyai sifat antioksidan dan juga dipercayai mempunyai kesan anti-tumor.

Kandungan vitamin C yang tinggi dan Asid Borik menyebabkan buah delima ini ada kesan antiseptik yang baik untuk kesihatan manusia.

Buah delima boleh dimakan segar atau diproses untuk dijadikan jus, perasa minuman, sirap, sos, sayuran ulam atau rojak (yang muda).

Khasiat jus buah delima juga merawat batuk, demam panas, ulser mulut, melawaskan sistem penghadaman serta masalah cirit birit.

Air rebusan kulit buah delima juga berkesan untuk mengubati sakit perut, rawatan sakit kerongkong dan sebagainya.

Ada yang menumbuk halus bunga delima dan dicampur dengan minyak bijan bagi dijadikan tampalan pada kesan terbakar.

Biji delima yang dikisar dan ditelan bersama jus buah dapat mengatasi masalah cacing pita.

Bahagian daun buah delima juga jika direbus dan dicampur dengan kulit boleh digunakan untuk atasi masaalah cirit birit, hilangkan bau mulut dengan berkumur dan banyak lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: animhosnan

Monday, November 04, 2019

Cara Membuat EM (Effective Microorganism), Paling Mudah Dan Murah

Cara Membuat EM (Effective Microorganism), Paling Mudah Dan Murah

EM atau Effective microorganisms adalah campuran bakteria yang dihasilkan daripada proses penapaian secara semulajadi yang terkawal, tanpa sebarang pengubahsuaian dari segi genetik ataupun kimia.

Cara Buat Effective Microorganism

EM selamat digunakan, 100% organik dan terdiri daripada bakteria fotorop, bakteria laktik asid (boleh ditemui dalam bahan tenusu), yis (yang terdapat dalam roti), aktinomiset dan kulat penapaian.

Mikroorganisma ini secara fisiologi sesuai antara satu sama lain dan hidup bersama dalam kultur cecair.

Apa Manfaat EM?

Effective microorganisms atau EM ialah campuran mikroorganisma anaerobik yang mempunyai kesan baik terhadap proses pembentukan produk pertanian.

Contohnya, bakteria asid laktik yang menggalakkan proses penapaian bahan tanaman seperti rumput untuk dijadikan silaj.

Terdapat tiga kumpulan mikroorganisma dalam cecair EM iaitu bakteria fotosintetik (Rhodopseudomonas spp.) bakteria asid laktik (Lactobacillus spp.) dan yis (Saccharomyces spp.).

Selain itu, mikroorganisma Bokashi yang terhasil daripada peraman sisa buah-buahan dan sayur-sayuran pula boleh dijadikan baja cecair, kerana ia terdapat secara semula jadi dalam persekitaran.

Apa yang menariknya, bahan makanan boleh digunakan untuk membiakkan mikroorganisma tersebut untuk dijadikan campuran mikroorganisma bermanfaat.

Bakteria baik hasil kultur campuran dari mikroorganisma hidup inilah yang sangat bermanfaat dalam membantu merencatkan pertumbuhan bakteria patogen (bakteria jahat) yang ada dalam ekosistem tanah.

Sifat EM

Sifat EM secara amnya ialah cecair berwarna kuning coklat, berbau enak dan berasa masam.

EM sangat sesuai digunakan dalam bidang pertanian dan penternakan untuk mengawal bakteria jahat, meningkatkan mutu dan hasil pengeluaran.

BOLEHKAH BUAT SENDIRI EM?

EM boleh di beli tetapi agak mahal dan ia sebenarnya boleh dibuat (kultur) sendiri dengan perbelanjaan yang murah.

Di Asia, EM telah diproses sehingga menjadi 4 jenis EM (EM1, EM2, EM3 & EM4) dan sangat berkesan bergantung kepada cara penggunaannya.

Kali ini saya akan menunjukkan cara-cara membuat sendiri EM, tapi sebelum itu, mari kita ketahui bagaimana sebenarnya EM terbentuk.

Jenis-jenis EM

EM1 mengandungi Primary lactic acid bacteria (lactic acid produced in metabolism), Yeast (Yis) dan Photosynthetic bacteria.

Semua bakteria ini berada dalam nisbah yang ideal.

EM2 pula mengandungi lebih micro-organisms daripada EM1 dan terdapat lebih daripada 10 jenis yang terdiri daripada 80 spesies.

Mikro organisma ini wujud sebagai satu konsortium. Microbes yang wujud dalam EM2 adalah photosynthetic bacteria, fungi, yeasts (yis) atau molds dan sebagainya.

EM2 dikultur dalam cecair dengan ph7 dan disampan pada ph 8.5 dan populasi micro-organisms dalam cecair dianggarkan 1 bilion cells/gram cecair.

EM2 mengandungi 90% bakteria photosynthesis dan bakinya adalah micro-organisms.

EM3 dikultur dalam medium cecair dan disimpan pada ph 8.5. Populasi micro-organisms dalam cecair adalah 1 bilion cells/gram cecair.

EM4 mengandungi 90% lactobacisslus spp. dan micro-organisms yang mengasilkan lebih lactic acid.

EM4 dikultur dalam medium cecair dengan kandungan ph 4.5. Populasi micro-organisms adalah sama seperti diatas, iaitu 1 bilion cells/gram cecair.

Perbezaan diantara EM1, EM2, EM3 dan EM4 adalah kandungan micro-organisms di dalamnya.

Jenis yang terbanyak digunakan di Asia bagi memajukan pertanian dan perikanan adalah EM4.

BAHAN-BAHAN

Bahan-bahan yang digunakan untuk mengkulturkan EM adalah:-
  • Sayuran yang dibuang, kekacang.
  • Kulit buah-buahan seperti papaya, pisang, rambutan dsbnya.
  • Dedak padi.
  • Molasses (Gula merah).
  • Air basuhan beras.

Cara-caranya:

Masukkan sayur-sayuran dan kulit buah-buahan ke dalam satu bekas (tong). Gaul supaya bercampur dan tutup rapat.

TUTUP RAPAT dan biar ia mereput selama seminggu. Bila ditutup, pada awalnya bakteria jenis aerobic akan hidup dan memakan sisa-sisa tadi dan mengeluarkan bau yang agak busuk.

Akibat ditutup rapat, bakteria aerobic akan kehabisan bekalan oksigen dan akan mati. Peranan seterusnya akan dimainkan oleh bakteria anerobic yang mampu hidup tanpa oksigen.

EM1

Lepas 1 minggu, tapis bahan pepejal yang tinggal dan cecair kekuningan yang di dapati itu adalah EM1.

EM2

Cecair EM1 dicampur semula dengan sayuran dan kulit buah-buahan yang lain dan DITUTUP RAPAT sekali lagi. Selepas 1 minggu tapis untuk dapatkan cecairnya. Itu adalah EM2.

EM3

Cecair EM2 dicampur pula dengan dedak, air basuhan beras dan Molasses (Gula merah).

Nisbah campuran adalah seperti berikut:
  • Contoh: 1 liter EM2: 1 kilo gula merah : 10 liter air.
  • Tutup rapat dan biarkan selama 1 minggu. Hasilnya adalah EM3.

EM4

EM3 dibiarkan selama 1 minggu lagi tanpa membuat apa-apa dan hasilnya adalah EM4.

EM4 yang sudah berjaya dihasilkan mampu bertahan selama 6 bulan dalam penyimpanan yang baik.

Simpan ditempat yang dingin dan tidak terkena sinaran matahari.

Apa itu MOLASSES?

Molasses adalah produk sampingan daripada proses penghasilan gula dan banyak digunakan dalam industri pertanian dan penternakan.

Terdapat beberapa jenis molasses yang berbeza berdasarkan warna, bentuk, kepekatan dan rasa.

Terdapat banyak kegunaan molasses ini, diantaranya adalah:
  • Digunakan sebagai silaj makanan ternakan.
  • Digunakan bersama EM (microbs baik) dalam mempertingkatkan kesuburan tanah.
  • Digunakan bersama baja foliar seperti rumpai dan kompos teh untuk mempertingkatkan kesuburan tanaman.
  • Molasses juga boleh dicampurkan bersama dengan baja foliar (semburan) yang dapat membantu untuk meningkat kesuburan tanaman.

Walau bagaimanapun, tidak semua penternak dengan mudah mendapatkan Molasses, namun anda boleh membuatnya sendiri dengan mudah.

Caranya:
  • Sediakan Gula merah sebanyak 500 gram dan Air bersih 500 ml.
  • Panaskan 500 ml air sehingga mendidih dan masukan 500 gram gula merah.
  • Aduk sehingga terlarut rata dalam air, kemudian sejukkan.

Kapasiti penggunaan Molasses bergantung kepada keperluan ketika anda membuat sendiri EM seperti diatas.

CARA GUNA EM

EM yang telah dihasilkan sendiri ini adalah EM pekat dan perlu dicairkan bersama dengan Molasses apabila hendak digunakan.

Ambil 2 sudu makan EM dan 2 sudu Molasses, campurkan dengan 1 liter air dan boleh digunakan dengan cara menyiram terus ke tanaman, semburan di kandang ayam atau dimasukkan ke dalam minuman ayam setiap hari.

Kaedah:
  • Sembur pada tanah, pokok dan kawasa persekitaran.
  • Tambah EM dalam makanan dan minuman ternakan.
  • Sembur pada najis, lantai dan bangunan ternakan.
  • Masukkan EM dalam kolam ternakan.

Kadar kekerapan semburan boleh dibuat seminggu sekali. Seeloknya disembur di awal pagi atau lewat petang.

Elakkan menyembur di waktu tengah hari atau ketika pancaran matahari terik. Ini agar mikrob EM tidak mati.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: PMO

Wednesday, October 30, 2019

Memahami 4 Keperluan Asas Tumbuhan Jika Anda Minat Berkebun

Memahami 4 Keperluan Asas Tumbuhan Jika Anda Minat Berkebun

Walaupun terdapat cabaran dalam berkebun tetapi menanam dan menjaga tanaman adalah tidak sukar kerana seperti kita, tanaman memerlukan beberapa keperluan asas untuk hidup dan dengan memastikan ianya mencukupi, tanaman anda akan tumbuh dengan baik da sihat.

Keperluan Asas Tumbuhan

Keperluan asas tanaman terbahagi kepada 4 iaitu air, cahaya, nutrien dan udara.

Air

Air merupakan keperluan asas utama bukan sahaja untuk tanaman malah untuk semua kehidupan.

Kepentingan air untuk tanaman juga dapat dilihat daripada peratus berat air yang terkandung di dalam tanaman iaitu 80%-90% daripada berat tumbuh-tumbuhan adalah air.

Air memainkan pelbagai peranan penting untuk tanaman dan antaranya adalah sebagai medium pengangkutan nutrien serta diperlukan juga di dalam proses fotosintesis.

Kesan kekurangan air adalah jelas terhadap tanaman iaitu tanaman menjadi layu dan tanaman juga boleh mati hanya selepas beberapa hari tanpa air.

Pastikan tanaman anda mendapat air yang mencukupi dengan menyiram sekurang-kurangnya pada setiap pagi dan petang.

Walaubagaimanapun, air yang berlebihan juga boleh memberikan kesan negatif terhadap tanaman.

Cahaya

Fotosintesis adalah perkataan utama yang dikaitkan dengan keperluan cahaya kapada tanaman.

Melalui proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan menghasilkan makanan daripada tenaga cahaya.

Melalui proses ini juga tumbuh-tumbuhan menarik karbon dioksida daripada udara dan menghasilkan oksigen untuk hidupan-hidupan lain.

Kebanyakan tanaman memerlukan cahaya yang cerah, sekurang-kurangya 4 jam cahaya terus (direct sunlight) setiap hari bagi mendapatkan pertumbuhan yang baik kerana perbezaan keamatan cahaya di antara tempat yang redup dengan tempat yang terbuka adalah amat ketara.

Cahaya yang tidak mencukupi boleh menyebabkan daun menjadi kurang hijau dan tanaman tumbuh kurus dan panjang.

Kesan kekurangan cahaya boleh dilihat dengan jelas pada waktu percambahan biji benih di mana cahaya yang tidak mencukupi menyebabkan anak benih menjadi kurus dan panjang.

Udara

Udara adalah antara keperluan asas tanaman yang tidak perlu disediakan kerana sudah tersedia kepada semua hidupan di bumi.

Di dalam udara terdapat dua komponen utama yang diperlukan oleh tanaman iaitu karbon dioksida dan oksigen.

Seperti disebut di atas, karbon dioksida diperlukan untuk menghasilkan makanan, dan oksigen pula diperlukan oleh tanaman sewaktu proses respirasi iaitu proses menukar makanan kepada tenaga.

Walaupun udara tidak perlu disediakan tetapi terdapat beberapa perkara yang berkaitan seperti pengudaraan tanaman yang perlu dipastikan mencukupi.

Pengudaraan yang baik bermaksud pengaliran udara yang baik.

Pengudaraan yang tidak baik boleh menyebabkan pertumbuhan kulat kepada tanaman.

Selain daripada itu, akar juga memerlukan pengudaraan yang baik . Pastikan tanaman anda mendapat pengudaraan yang baik dengan meletakkannya di

tempat yang mempunyai aliran udara serta gunakan media tanaman yang poros untuk memastikan pengudaraan yang baik untuk akar.

Nutrien

Keperluan asas tanaman yang keempat pula adalah nutrien. Tanaman menerima nutrien secara utama melalui akar dan mendapatnya sama ada daripada nutrien yang tersedia di dalam tanah atau yang ditambah ke dalam tanah melalui pembajaan.

Terdapat sekurang-kurangnya 13 jenis nutrien yang diperlukan oleh tanaman, yang utamanya adalah nitrogen, fosforus, dan kalium.

Setiap nutrien ini mempunyai pelbagai fungsi untuk tanaman tetapi kebiasaannya hanya baja yang mengandungi nitrogen, fosforus, dan kalium yang perlu diberikan kepada tanaman disebabkan kebanyakan nutrien-nutrie lain diperlukan dengan sedikit dan tersedia di dalam tanah.

Baja kebiasaanya mempunyai rating NPK iaitu peratus berat nitrogen, fosforus dan kalium di dalamnya.

Secara mudahnya, gunakan baja 'N' tinggi untuk menggalakkan pertumbuhan, baja 'P' tinggi untuk pertumbuhan akar, dan baja 'K' tinggi untuk pengeluaran bunga dan buah.

Bagi memudahkan pembajaan, gunakan baja yang mempunyai nilai NPK yang sama rata seperti 8-8-8 atau 16-16-16 bagi memastikan tanaman mendapat nutrien utama dengan mencukupi.

Pembajaan kebiasaannya dibuat setiap 2 minggu dan kadar pembajaan adalah bergantung kepada jenis dan saiz tanaman.

Kami berharap artikel ini adalah bermanfaat dan boleh membantu di dalam aktiviti berkebun anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kebuna

Tuesday, October 08, 2019

Menternak Landak Mampu Jana Pendapatan Lumayan

Menternak Landak Mampu Jana Pendapatan Lumayan

Penternakan landak mampu menjana pulangan lumayan, tetapi ia membabitkan modal besar dan kesabaran tinggi kerana memerlukan masa sebelum memberikan hasil, namun berbaloi kerana ia mempunyai nilai harga yang tinggi di pasaran sehingga boleh mencecah RM150 sekilogram.

Landak Raya

Ukuran seekor Landak Raya dewasa yang diambil dari kepala hingga ekor ialah 51.5- 85 cm dan beratnya diantara 4-10 kg.

Berat badan Landak Raya yang telah dibersihkan ialah diantara 7-9 kg pada umur 8- 9 bulan dan spesies ini boleh hidup di dalam kurungan selama 27 tahun.

Selain perlu mendapatkan lesen menternak, membeli dan menjual daripada Jabatan Perlindungan dan Hidupan Taman Negara (PERHILITAN), menternak landak sebenarnya sangat mudah.

Kita cuma perlu siapkan kandang yang bersesuaian bagi pasangan landak dan perlu diberi makanan berasaskan tumbuhan seperti buah atau sayur.

Ia tahan lasak dan tahan penyakit serta boleh membesar sehingga 20 kilogram, cuma perlu tunggu sehingga berusia lapan bulan.

Disebabkan ia haiwan eksotik yang payah dicari, dagingnya sentiasa mendapat perhatian dan permintaan tinggi.

Industri ini mampu memberi pulangan lumayan, malah landak mempunyai pasaran dan nilai komersial yang tinggi untuk pasaran tempatan serta luar negara.

Menurutnya, penternakan landak sesuatu yang baru, malah tidak ramai yang berani menceburinya disebabkan memerlukan modal yang besar.

Mudah Diternak

Tidak mudah dijangkiti penyakit selain mudah dijaga, haiwan eksotik ini tahan lasak kecuali jika ia luka kecil yang boleh mengundang kepada kematian serta tidak aktif.

Menternak landak jauh lebih mudah dan tidak terlalu membebankan, dan hanya perlu memberi tumpuan terhadap makanan selain menjaga kebersihan kurungan yang perlu dibersihkan setiap hari.

Makanan yang paling diminati landak ialah labu, ubi kentang, keledek selain kangkung dan perlu diberi makan tiga hingga empat kali.

Selain perlu mempunyai lesen menternak dan menjual haiwan eksotik ini, ia memerlukan kurungan yang diperbuat daripada simen sepenuhnya bagi memastikan landak tidak terlepas kerana gigi landak kuat dan mampu merosakkan jaring besi.

Seekor landak seberat 15 hingga 20 kilogram bersama induknya boleh dijual dengan harga RM3,500 hingga RM5,000 bergantung kepada harga pasaran semasa.

Landak Raya

Landak Raya atau dalam (bahasa Inggeris: Malayan Porcupine) ialah salah satu daripada haiwan yang terdapat di Malaysia. Nama saintifiknya adalah Hystrix brachyura.

Landak Raya adalah haiwan yang tergolong dalam golongan benda hidup, alam haiwan, bertulang belakang (vertebrata), kelas Mamalia.

Sebagai mamalia, Landak Raya berdarah panas, melahirkan anak, menjaga anak dan mempunyai bulu di badan. Landak Raya akan menjaga anaknya sehingga mampu berdikari.

Di Malaysia, Landak Raya (Hystrix brachyura) merupakan haiwan yang tersenarai di bawah Jadual Dua: Hidupan Liar Yang Diperlindungi; Haiwan Perburuan di dalam Akta Perlindungan Hidupan Liar No.76/72.

Memburu, membunuh, menembak, mengurung atau memiliki spesies ini atau sebahagian daripadanya atau terofinya tanpa lesen adalah suatu kesalahan. Menjerat haiwan ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Sunday, September 22, 2019

Black Soldier Fly (BSF): Makanan Tinggi Protein Untuk Ternakan Ayam

Black Soldier Fly (BSF): Makanan Tinggi Protein Untuk Ternakan Ayam

Lalat askar hitam (Hermetia illucens) atau Black soldier fly larvae (BSF), adalah sumber makanan ternakan organik yang kaya dengan sumber protien tinggi (43%) dan kalsium (35%), sangat sesuai untuk meningkatkan kadar pembesaran dan kesihatan semua jenis ternakan unggas, ayam kacuk kampung, akuakultur termasuk udang, haiwan kesayangan seperti reptilia dan burung.

Black Soldier Fly (BSF)
Black Soldier Fly (BSF).

BSF adalah sejenis lalat yang tidak dikategorikan sebagai pembawa penyakit dan tempoh hidup seekor lalat ini adalah sekitar 5 hingga 7 hari sahaja.

BSF dewasa juga tidak mempunyai mulut dan tugas bersama pasangannya hanyalah untuk mengawan dan bertelur.

Telur

Seekor BSF boleh bertelur sehingga 500 telur selama hayatnya dalam tempoh seminggu.

BSF betina akan mencari tempat-tempat yang strategik di persekitaran tempat bahan-bahan busuk agar mudah anak-anak lavanya mencari makanan.

Kebiasaannya di celah-celah rekahan, bawah daun dan berongkoi-rongkoi kecil tajam berwarna putih kekuningan.

Bergantung kepada suhu dan cuaca, telur akan menetas dalam masa 4 hari atau lebih.

Lava

Selepas menetas, lava akan merangkak ke tempat gelap dan busuk untuk makan dan sekiranya cuaca membenarkan dan makanan cukup, lava boleh matang dalam masa 20 hari.

Selepas itu ia akan segera keluar dari tempat gelap dan busuk untuk mencari tanah.

Ia akan masuk ke dalam tanah dan akan berubah menjadi pupa selepas beberapa hari. Lava boleh hidup sehingga 6 bulan sekiranya makanan masih tidak mencukupi.

Pupa

Tempoh pupa BSF adalah seminggu. Ianya keras dan akan menetaskan BSF dewasa.

Dewasa

BSF dewasa berukuran 7-10mm menyerupai penyengat kecil, tetapi tidak mempunyai mulut, berwarna hitam dan keperang-perangan. Ada juga spesies yang berwarna biru.

BSF dilahirkan samada jantan atau betina hanya untuk tujuan mengawan dan bertelur.

Sebab itu BSF tidaklah boleh dijadikan penyebab pembawa penyakit, kecuali ianya hinggap di makanan manusia yang sememangnya sudah busuk.

Manfaat BSF

Black Soldier Fly (BSF) Larva
BSF Larva.

Lava dari BSF yang matang mengandungi 45 peratus protien dan 35 peratus lemak.

Terdapat kajian dan juga telah di komersialkan beberapa alat untuk mengumpul lava matang ini dan menjadikannya makanan utama untuk industri perikanan dan penternakan ayam.

Oleh kerana sikap kerakusan lava ini, bahan-bahan buangan organik boleh dikomposkan dalam masa yang singkat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com