Tuesday, October 22, 2013

Pernikahan Aeril Dan Wawa Di Siasat

Pernikahan Aeril Dan Wawa Di Siasat

Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) difahamkan akan memanggil individu yang terlibat dengan pernikahan kali pertama pasangan pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang dipercayai berlaku pada 25 Februari tahun lalu.

Aeril Dan Wawa

Menurut Penolong Pengarah JAIS, sekiranya keputusan mahkamah mendapati mereka bersalah kerana bernikah tanpa kebenaran, kesemua yang terlibat dalam pernikahan pertama itu boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara mengikut enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

“Kes ini masih dalam tindakan siasatan JAIS sama ada mereka dinikahkan oleh kadi yang bertauliah atau sebaliknya. Setiap pasangan yang berhajat untuk bernikah, mereka perlu mendapatkan kebenaran terutama bakal pengantin perempuan. Undang-undang setiap negeri memerlukan pasangan berkenaan membuat permohonan untuk berkahwin.

“Tak perlu pernikahan kali kedua sekiranya pernikahan pertama itu sah mengikut hukum syarak. Dalam Islam, tak ada istilah pernikahan kali kedua. Buat masa ini, saya tak boleh beri sebarang pengesahan sama ada pernikahan pertama mereka sah atau sebaliknya kerana kes ini masih dalam siasatan.

“Begitu juga dengan status bayi mereka, saya tak boleh beri sebarang pengesahan sama ada anak itu sah taraf atau sebaliknya selagi siasatan belum selesai,” ulasnya panjang lebar menerusi akhbar Bi-Pop, semalam.

Pernikahan Aeril dan Wawa menimbulkan kekecohan selepas mereka dikatakan bernikah dua kali apabila pernikahan kali pertama tidak disusuli dengan dokumen nikah yang sah.

Mereka membuat keputusan untuk menikah kali kedua pada 4 Februari tahun ini di sebuah masjid yang terletak di Petaling Jaya.

Ini kerana ketika itu Wawa disahkan sudah hamil dua bulan dan untuk dibinkan dengan nama Aeril mereka memerlukan dokumen nikah yang sah untuk tujuan itu.

Anak mereka, Ahmad Fakharuddin Attar selamat dilahirkan pada 24 Ogos lalu di sebuah pusat perubatan swasta Kuala Lumpur.

Sumber: Mynewshub

Monday, October 21, 2013

"Wawa dan Aeril Yang Datang Buat Laporan Mengenai Kontrak MIG"

"Wawa dan Aeril Yang Datang Buat Laporan Mengenai Kontrak MIG"

"Saya keluarkan kenyataan setelah mendapat aduan daripada Aeril dan Wawa berhubung kontrak tersebut!" kata Presiden Seniman, Zed Zaidi berhubung tindakannya menyelar isi kandungan kontrak syarikat produksi, Metrowealth International Group (MIG).

Wawa dan Aeril

Menurut Zed, sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut, pihak Seniman menerusi Biro Aduan telah menerima laporan daripada pasangan suami isteri itu berhubung kontrak yang ditandatangani Wawa Zainal sepanjang bergelar artis residen MIG.

"Baru-baru ini, Wawa dan Aeril datang berjumpa saya untuk membuat laporan mengenai kontrak tersebut. Malah, saya dimaklumkan, kontrak yang ditandatangani Wawa masih berada dalam simpanan MIG.

"Saya pelik, kenapa MIG tidak memberi salinan kontrak kepada artis yang bernaung di bawah syarikatnya? Ada juga dalam kalangan artis yang tidak pernah diberi kontrak sehingga tamat kontrak mereka. Ia adalah hak artis! Bila dah timbul kes begini, mulalah bertindak mendedahkan kontrak.

"Saya tidak bertindak terburu-buru apatah lagi berada dalam keadaan tidak waras kerana saya telah mengkaji kesemua bukti yang ada terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata," katanya yang turut menghantar surat rasmi kepada MIG untuk berbincang mengenai perkara ini.

Zed juga berharap pihak MIG segera memberi tarikh untuk perbincangan itu agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya berharap, Seniman dan MIG dapat bertemu mata pada minggu hadapan. Sebagai Presiden, saya perlu menyiasat apabila menerima aduan daripada ahli Seniman.

"Pertemuan itu akan membincangkan mengenai kontrak, kandungan perjanjian di klausa 4.3 dan memohon agar salinan kontrak artis diberi ketika proses tandatangan.

"Saya dimaklumkan kebanyakan artis tidak diberi salinan kontrak ketika proses menandatangani kontrak dibuat. Jadi, untuk mengelakkan sebarang kekeliruan atau isi kandungan itu diubah, ada baiknya kontrak itu diserahkan secepat mungkin," katanya yang

Serius dalam perkara ini, Zed turut memberitahu tindakan seterusnya akan dilakukan sekiranya MIG gagal menyelesaikan perkara ini dengan lebih berhemah.

Katanya, sekiranya perbincangan bersama MIG gagal mencapai kata putus, Seniman akan membawa perkara ini ke muka pengadilan dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Saya mahu MIG memansuhkan undang-undang di klausa 4.3 yang membawa maksud di mana artis di bawah label MIG tidak dibenarkan bercinta. Ia sama seperti mencabul hak asasi manusia dalam soal peribadi.

"Sepatutnya, undang-undang sebegitu tidak perlu ada kerana ia adalah soal peribadi dan tidak boleh di campur adukkan dalam soal kerja. Soal jodoh, maut dan rezeki, semuanya di tangan Tuhan.

"Walaupun dalam kontrak tidak di hurai secara spesifik, namun ia lebih kurang sama maksudnya seperti itu. Ini adalah pengajaran kepada artis-artis baru di mana mereka perlu meneliti kontrak sebelum menandatangani," katanya yang memberitahu kontrak yang dibuat lebih menguntungkan syarikat.

Memandang serius berhubung perkara ini, Zed berkata, Seniman juga bakal mengadakan mesyuarat bersama Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) untuk membincangkan lebih lanjut berhubung isu kontrak artis.

Katanya, bukan sahaja MIG, malah hampir kesemua syarikat produksi tempatan 'mengikat' artis dengan kontrak yang mengarut.

"Saya pernah bergelar artis dan saya pernah melalui perkara ini. Satu ketika dahulu, saya ada menerima kontrak daripada produksi. Namun, dalam kontrak itu ada menyebut, sekiranya artis itu mempunyai masalah disiplin seperti lewat tiba di lokasi, produksi akan memotong gaji serta bayaran yang diterima.

"Tapi, bila saya mempersoalkannya, produksi itu gagal memberikan jawapan yang bernas. Jadi, saya tidak tandatangan kontrak itu. Saya lihat, kontrak yang dibuat lebih memihak kepada produksi sahaja sedangkan artis terus-menerus dimanipulasi.

"Saya tidak boleh membiarkan perkara ini dari terus berleluasa sehingga menimbulkan pelbagai masalah di kemudian hari. Malah, artis juga paranoid dengan kontrak mereka sendiri," katanya lagi.

Zed Zaidi Gila Glamor

David Teo

Ekoran kenyataan Presiden Seniman, Zed Zaidi yang mengatakan syarat tidak boleh bercinta di dalam kontrak syarikat pengurusan Metrowealth (MIG) sebagai melanggar hak peribadi seseorang dan ia seharusnya dimansuhkan, David Teo kemudian tampil memberi kenyataan balasnya berhubung isu tersebut.

Penerbit popular itu mendakwa Zed sebagai seorang yang gila glamor serta kacang yang lupakan kulitnya kerana mengeluarkan kenyataan tanpa membuat sebarang usul periksa terlebih dahulu.

“Saya menafikan perjanjian kontrak tersebut melanggar hak asasi manusia. Klausa 4.3 menjelaskan seseorang artis itu bersetuju membujang sepanjang kontrak tersebut. Namun jika bertemu jodoh, mereka harus mengumumkan pada pihak pengurusan dan kita anggap ia sha. Tiada apa yang perlu dipertikaikan. Bagi saya, hanya orang yang tak sedar diri saja yang akan perbesarkan isu ini,” katanya yang dipetik menerusi laporan portal Gua.

Selain itu, David juga mendedahkan Wawa Zainal ada menghubunginya beberapa minit sebelum majlis sidang media diadakan pada 11 Oktober lalu.

“Wawa hubungi saya untuk meminta maaf, 15 minta sebelum majlis sidang media itu. Bagi saya, tuan punya badan baik-baik saja dengan saya tapi orang lain pula yang lebih-lebih,” jelasnya lagi.

Penulis rasa, hal ini semakin lama menjadi semakin besar, lepas satu, satu jadi.

Jadinya, ambillah langkah proaktif dalam menyelesaikan masalah ini dengan duduk berbincang di antara satu sama lain agar semua masalah dapat diselesaikan dengan baik dan sempurna.

Sumber: SinarOnline/Mynewshub

Friday, October 18, 2013

Aeril Zafrel Nafi Wawa Tunang Orang!

Aeril Zafrel Nafi Wawa Tunang Orang!

Pelakon Aeril Zafrel menafikan dakwaan yang mengatakan isterinya, Wawa Zainal masih lagi bergelar tunangan orang sewaktu mereka dinikahkan pada Februari tahun lalu.

Aeril Zafrel Wawa Zainal

Sebaliknya, Aeril mengatakan pertunangan Wawa dengan seorang guru, Abdul Rashid @ Johari Hambali pada Jun 2010 sudah lama putus sebelum dia dan isteri menjalin hubungan cinta pada tahun sama.

(Baca: Panas! Wawa Zainal Tunangan Orang Ketika 'Bernikah' Dengan Aeril Zafrel?!)

“Wawa bukan tunangan orang. Ketika kami berkawan, pertunangannya dengan lelaki itu sudah lama putus. Mereka sudah tidak ada apa-apa hubungan.

“Malah, saya sendiri mengenali lelaki itu dan pernah berhubung dengannya ketika baru-baru berkawan dengan Wawa,” katanya yang dipetik menerusi laporan Harian Metro, hari ini.

Malah, aktor berusia 25 tahun ini juga percaya perkara ini sengaja dicetuskan oleh sesetengah pihak bagi mengeruhkan lagi keadaan di luar sana.

Aeril juga memohon semua pihak agar memberi ruang kepadanya dan juga Wawa dan berharap masyarakat di luar sana sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka sekeluarga.

Sumber: Harian Metro

Wednesday, October 16, 2013

Wawa Zainal Tayang Gambar Anak

Wawa Zainal Tayang Gambar Anak

Selepas kisah perkahwinan mereka terbongkar di media massa, nampaknya Wawa Zainal dan Aeril Zafrel kini lebih terbuka berkongsi gambar permata hati mereka di laman sosial masing-masing.

Wawa-Zainal_Ahmad Fakharuddin Attar

Wawa telah berkongsi potret wajah anak mereka, Ahmad Fakharuddin Attar di laman Instagramnya, baru-baru ini.

Anak mereka dilahirkan pada 24 Ogos lalu di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur.

(Baca: Aeril Zafrel Nafi Terlanjur Dengan Wawa Zainal?!)

Selain itu, Aeril sebelum itu juga memuat naik gambar tangan anaknya untuk tatapan peminat mereka berdua.

Aeril juga menulis di Twitter mengatakan dia tidak kisah dihina oleh mereka yang memandang serong terhadap perkahwinannya.

“Yang ingin menghina teruskanlah menghina, nak cakap apa pun cakaplah. Yang penting saya bahagia bersama anak dan isteri tercinta,” luahnya.

Wawa-Zainal_Ahmad Fakharuddin Attar

Semoga Aeril dan Wawa bahagia melayari bahtera rumah tangga dan anak mereka membesar dengan bijak dan sihat. (Mynewshub)

Tuesday, October 15, 2013

Isu Kahwin Rahsia Aeril-Wawa, Ustaz Azhar Idrus Perjelas Hukum Nikah Dua Kali

Isu Kahwin Rahsia Aeril-Wawa, Ustaz Azhar Idrus Perjelas Hukum Nikah Dua Kali

Dalam isu perkahwinan rahsia pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, satu perkara yang dipersoalkan oleh ramai pihak ialah status perkahwinannya selepas bernikah sebanyak dua kali.

Ustaz Azhar Idrus

Menurut Aeril, pernikahan kali pertama pada 25 Februari 2012 di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya hanya memenuhi hukum syarak sahaja tanpa sebarang dokumen dan berwalikan bapa Wawa.

Pernikahan kedua pula ialah untuk memenuhi syarat undang-undang negara dan seterusnya mendafftarkan perkahwinan di jabatan agama masing-masing.

Bagi menjernihkan isu ini, sebuah video mengenai isu ini telah dimuatnaik di laman YouTube di mana Ustaz Azhar Idrus memberi penjelasan mengenainya.

Menurutnya, pernikahan itu adalah sah asalkan pasangan mematuhi hukum dan syarat sah yang ditetapkan Islam walaupun bernikah sehingga dua kali.

Apapun, anda tontonlah sendiri video ini supaya lebih jelas dan faham dengan penjelasan Ustaz Azhar mengenai isu ini daripada bertindak sebagai ustaz dan ustazah ‘wannabe’ di laman sosial. -Mynewshub



Aeril Zafrel Nafi Terlanjur Dengan Wawa Zainal?!

Aeril Zafrel Nafi Terlanjur Dengan Wawa Zainal?!

"Di sini juga saya ingin menjelaskan yang memang benar saya terkena penyakit misteri. Ada pihak meragui saya. Bapa saya yang hadir pada hari ini juga boleh mengesahkannya. Adik beradik saya seramai lima orang juga terkena dengan penyakit ini," tutur Wawa sambil dipersetujui oleh bapanya.

Bekas Tunang Wawa Zainal

"Apabila saya sakit, ada individu lain yang masuk ke dalam tubuh saya dan saya menyedari perkara ini. Selama saya sakit, saya berubat di kampung halaman saya di Lahad Datu, Sabah. Akhirnya, penyakit saya pulih sebelum saya melahirkan anak saya," jelas Wawa panjang lebar.

Apabila disoal mengapakah mereka bernikah tanpa mengikut prosedur undang-undang yang sedia ada di negara ini, Aeril menjelaskan yang dia mendahulukan undang-undang Allah daripada undang-undang manusia kerana mahu sebuah hubungan yang halal di sisi Islam.

"Saya mahu hubungan saya dan Wawa menjadi hubungan yang halal di sisi Islam, sebab itu saya nikahi dia dahulu. Namun selepas itu, seperti pasangan lain, kami juga ada perancangan untuk mempunyai cahaya mata," ujar Aeril.

"Lepas saya dapat tahu Wawa hamil, saya ambil keputusan untuk bernikah sekali lagi mengikut undang-undang sebab mahu anak itu nanti 'ber-bin' nama saya. Kalau kami tak daftarkan perkahwinan kami, anak itu akan 'ber-bin' Abdullah, walhal dia anak saya. Saya mahu dia 'ber-bin' Suhairil. Namun begitu, orang ramai salah tafsir yang kami berdua terlanjur dan menganggap anak itu anak tidak sah taraf sedangkan perkara itu sebaliknya," cerita Aeril panjang lebar.

Peguam Aeril, Zulhasmi Zakaria mengulas mengenai tindakan mahkamah yang dikatakan akan diambil oleh Aeril masih dalam siasatan lagi.

"Masih belum ada keputusan lagi kerana untuk tindakan yang melibatkan mahkamah, semua perkara perlu diteliti di segenap aspek. Semuanya masih dalam siasatan lagi," jelas Zulhasmi.

*Kalaulah benar bagai dikata Aeril, tindakannya mendahulukan hukum Tuhan, kenapa agaknya Aeril 'bernikah' dengan Wawa sedangkan hukumnya haram bagi umat Islam merampas tunangan orang? Difahamkan Wawa ketika itu masih lagi terikat tali pertunangannya dengan seorang jejaka dari Lahad Datu, Sabah? Pembaca mohon pencerahan dari empunya diri..

Maksudnya: "Jangan salah seorang kamu bertunang ke atas tunangan saudaranya". Direkod oleh Malik dalam Muwatta, Syafie dalam Musnadnya, Ahmad dalam Musnadnya, Bukhari dalam Sahihnya (no: 2033) dll.

Yang dimaksudkan dalam hadis ini apabila seorang lelaki telah meminang seorang wanita, dan wanita tersebut telah menyatakan persetujuan untuk berkahwin dengannya, maka haramlah orang lain bertunang dengan wanita tersebut. Adapun jika pihak wanita belum menyatakan penerimaannya, maka tidak mengapa orang lain cuba masuk meminang. (Al-Istizkar 5/382).

Jika pertunangan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, tiba-tiba ada orang lain berkahwin dengan wanita tersebut, maka dia telah melakukan perkara dosa.

Dari sudut kesahihan perkahwinan, ada khilaf ulama:
Ada ulama menyatakan pernikahan tersebut mesti difasakhkan (dibatalkan).
Ada ulama menyebut tidak perlu difasaskhkan seperti pendapat Abu Hanifah dan Syafie.
Ada ulama membuat perincian, jika mereka telah bersekedudukan maka boleh diteruskan perkahwinan. Tetapi jika belum bersekedudukan maka hendaklah difasakhkan pernikahan.

Kesimpulan, hukum bertunang dan berkahwin dengan tunang orang adalah haram. Kecuali jika belum dipersetujui atau dibatalkan pertunangan yang pertama.

Wallahu A'lam.

-Sentiasapanas.com

Monday, October 14, 2013

Panas! Wawa Zainal Tunangan Orang Ketika 'Bernikah' Dengan Aeril Zafrel?!

Panas! Wawa Zainal Tunangan Orang Ketika 'Bernikah' Dengan Aeril Zafrel?!

Belumpun reda isu pernikahan rahsia dan melahirkan anak yang menghimpit pelakon Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, kini timbul cerita baru yang mendakwa Wawa sudah bertunang sebelum bergelar pelakon popular.

Abdul Rashid @ Johari Hambali, 39
Abdul Rashid @ Johari Hambali (kiri) bekas tunang Wawa Zainal?

Wawa, 21, didakwa bertunang dengan seorang jejaka yang berasal dari Lahad Datu, Sabah iaitu Abdul Rashid @ Johari Hambali, 39, pada Jun, 2010 selepas beberapa bulan menandatangani kontrak sebagai artis MIG Talents.

Bagaimanapun, pertunangan mereka hanya diketahui ahli keluarga Wawa dan Andul Rashid saja.

Bagaimanapun, kisah pertunangan Wawa dan Abdul Rashid mula tersebar di internet dipercayai disebarkan anggota keluarga mereka apabila cerita Wawa dan Aeril bernikah dan mempunyai anak yang didedahkan minggu lalu menjadi semakin panas dan mendapat perhatian meluas dalam media massa.

Bekas tunang Wawa yang juga seorang guru di sebuah sekolah rendah di Tawau, Sabah pada mulanya enggan membuka mulut untuk bercerita soal peribadinya bersama Wawa sebelum ini.

"Saya sebenarnya hanya mengetahui berita Wawa dan Aeril berkahwin pada Selasa lalu selepas diberitahu seseorang, tapi saya tidak menghiraukannya. Bagaimanapun, saya terkejut apabila Wawa menghubungi saya pada pagi Rabu lalu.

"Sebenarnya tujuan Wawa menghubungi saya kerana mahu meminta saya memberitahu adik perempuan saya supaya menghentikan daripada menyebarkan cerita yang pernah berlaku antara kami di internet. Wawa menangis ketika itu. Wawa pernah menumpang di rumah adik saya di Cheras ketika mula menjejak kaki di Kuala Lumpur.

"Saya tanya dia, adakah betul sudah berkahwin dan mempunyai anak? Dia cakap betul. Jadi betullah cerita yang terbongkar itu.

"Dia cakap mahu saman beberapa pihak yang mendedah cerita peribadinya itu.

"Saya cakap kenapa nak saman jika verita pernikahan dan mempunyai anak itu adalah perkara betul. Bukan kenyataan fitnah!

"Jujurnya, saya tersentak dan sebak apabila Wawa mengakui dirinya sudah berkahwin dan mempunyai anak. sedangkan pertunangan kami belum diputuskan. Saya tanya kenapa tidak berterus-terang mahu berkahwin, saya tidak kisah untuk melepaskannya.

"Saya sudah agak dari awal lagi, inilah risiko bertunang dengan seorang artis.

"Tapi, Wawa ketika itu terus menangis. Dia tidak mahu saya membocorkan cerita pertunangan kami. Saya tahu Wawa cukup sengsara dengan apa yang dihadapinya.

"Saya sebolehnya tidak mahu Wawa terseksa, apatah lagi dalam keadaan sekarang.

"Bagaimanapun, saya tidak mampu menutup mulut orang terutama kaum keluarga yang mengetahui kami masih mempunyai ikatan pertunangan.

"Saya terkejut bagaimana wartawan dapat menghidu cerita kami, malah boleh menghubungi saya. Soalnya, saya pula terpaksa bersoal jawab dengan wartawan.

"Saya sebolehnya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Saya sempat bertanya pada Wawa, siapakah lelaki yang dinikahi. Dia diberitahu suaminya adalah lelaki yang tidak disukai dulu. Dia adalah pelakon yang membintangi drama Klik bersamanya dulu. Jadi saya tahulah lelaki yang dimaksudkan adalah Aeril.

"Saya tanya lagi kenapa berkahwin dengan lelaki yang pernah dibenci, dia hanya menangis saja. Bapa Wawa juga ada menghubungi saya pada Rabu lalu, dia mohon maaf pada saya. Saya tanya kenapa tidak beritahu Wawa sudah berkahwin, dia sebalinya mempertikaikan kenapa tidak diberi nafkah bulanan. Menjadi budaya di sini, lelaki kena memberi nafkah kepada tunangannya setiap bulan.

"Saya jelaskan padanya sebelum ini saya tidak berduit, duit simpanan bekerja habis digunakan ketika datang ke Kuala Lumpur membawa Wawa pada penghujung 2009 untuk mencari penghidupan baru," katanya.

Abdul Rashid berkata, dia bertunang dengan Wawa atas desakan keluarga Wawa pada Jun 2010, iaitu selepas beberapa bulan Wawa diterima sebagai artis MIG. Bagaimanapun, keetika itu, dia belum terbabit dengan mana-mana projek filem.

Majlis pertunangan berlangsung antara keluarga sahaja di Lahad Datu, manakala mereka berdua berada di Kuala Lumpur.

Rahsia kahwin takut kontrak


Pasangan pelakon, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, mengaku bernikah kali pertama setahun lalu tanpa didaftarkan dengan Pejabat Agama Islam Daerah Petaling.

Selain tidak didaftarkan, pernikahan di rumah pengurusnya di Taman Datuk Harun di sini, pada 25 Februari tahun lalu itu juga tidak mempunyai dokumen sah.

Bagaimanapun, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, 26, dan Wawa nama sebenar, Nur Hawa Zainal Abidin, 22, bernikah kali kedua pada 4 Februari lalu selepas pelakon wanita itu disahkan mengandung.

Airel berkata, pernikahan kali kedua itu perlu dibuat untuk memudahkan proses pendaftaran bayi mereka.

“Ya, saya dan Wawa sudah bernikah pada 25 Februari 2012. Pernikahan itu memenuhi rukun nikah yang ditetapkan dan diadakan di rumah pengurus saya tetapi tidak didaftarkan dan tidak mempunyai dokumen sah.

“Bagaimanapun, apabila saya mengetahui yang Wawa mengandung, kami mengambil keputusan untuk mendaftarkan perkahwinan dengan bernikah kali kedua supaya bayi kami nanti tidak berbinkan Abdullah,” katanya pada sidang media bagi menjelaskan isu perkahwinan rahsia dan pasangan itu mempunyai seorang bayi lelaki di sini, semalam.

Turut hadir, bapa Wawa, Zainal Abidin Sulong dan peguam Aeril, Zulhasmi Zakaria.

Sisipan BH, B*POP pada 6 Oktober lalu menyiarkan laporan pernikahan rahsia dan pasangan itu kini mempunyai seorang bayi lelaki.

Selepas enam bulan bernikah kali kedua, pasangan itu dikurniakan Ahmad Fakharuddin Attar Suhairil.

Bila ditanya mengapa mereka menyembunyikan pernikahan dan sudah mempunyai anak, Wawa berkata, mereka sepakat merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum untuk tempoh dua tahun akan datang.

Isu Nikah Dua Kali Aeril Zafrel Dan Wawa Zainal Di Pertikai

Aeril Zafrel Dan Wawa Zainal

Tiada istilah nikah dua kali dalam Islam melainkan mahkamah mengesahkan pernikahan pertama tidak sah mengikut hukum syarak kata Penasihat Agama Johor, Datuk Noh Gadut mengenai pelakon Suhairil Sunari, 25, atau Aeril Zafrel dan Nur Hawa Zainal Abidin, 22, (Wawa Zainal) bernikah dua kali bagi memastikan anak mereka dibinkan dengan nama Aeril.

“Perlu diingatkan apabila sudah bernikah tanpa mengikut undang-undang negara misalnya bernikah di luar negara, pasangan terbabit perlu melakukan ‘isbat nikah’ iaitu mensabitkan pernikahan mereka dengan pihak berkuasa di negara kita.

“Mereka perlu mengemukakan semua saksi termasuk wali dan bukti mengatakan mereka sudah bernikah tahun lalu (seperti dilaporkan media) di pejabat agama.

“Ia bertujuan memastikan pernikahan itu dilakukan mengikut hukum syarak dan jika tiada masalah, pernikahan mereka boleh disahkan tanpa perlu bernikah sekali lagi.

“Bagaimanapun dalam hal ini, tindakan mereka bernikah kali kedua itu boleh menimbulkan pandangan seolah-olah tidak mengiktiraf pernikahan yang pertama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro (HM) di sini semalam.

Kata beliau, perkahwinan mengikut agama dan undang-undang negara perlu dilakukan bersama kerana undang-undang sedia ada dibentuk bagi memastikan setiap pasangan berkahwin mengikut hukum syarak sekali gus sah dalam Islam.

“Kita tidak tahu sejauh mana perkahwinan pertama (tanpa mengikut undang-undang negara) itu sah mengikut hukum syarak. Jika sah, Alhamdulillah, tapi jika sebaliknya, hubungan yang dijalinkan selama ini boleh dianggap zina, manakala anak yang dikandung atau dilahirkan boleh dikategorikan sebagai anak luar nikah.

“Dalam hal ini, mereka hanya perlu melakukan sedemikian, sekiranya mahkamah memutuskan pernikahan pertama mereka itu tidak sah,” katanya.

Kenyataan Noh Gadut dipersetujui penceramah bebas Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani yang menyifatkan tindakan bernikah dua kali itu tidak wajar dilakukan atau tidak boleh dicontohi oleh orang lain.

“Walaupun sah dari segi agama, perkahwinan ‘sembunyi-sembunyi’ mereka itu tetap dianggap tidak beradab dan berakhlak.

“Ini kerana dalam Islam sendiri perkahwinan itu bertujuan menghebahkan kepada masyarakat akan status hubungan suami isteri antara seorang lelaki dan wanita.

“Ia bertujuan mengelak timbulnya sangka buruk dan pandangan serong orang ramai seperti yang berlaku kepada mereka (Aeril dan Wawa).

“Apatah lagi melibatkan golongan selebriti yang dikenali ramai, pasangan ini sepatutnya memberi contoh baik kerana setiap tindakan mereka boleh menjadi ikutan peminat.

“Bukanlah bermakna setiap pasangan yang berkahwin perlu membuat majlis atau kenduri besar-besaran, cukup sekadar memaklumkan perkahwinan mereka kepada umum.

“Dalam hal ini (perkahwinan), paling penting, kita menjaga Allah dan hukumnya, bukannya orang termasuk majikan sehingga kita sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.

Selain itu, Ahmad Dasuki turut menegur sikap ibu bapa kepada pasangan terbabit yang sepatutnya lebih tegas dalam perkara berkenaan dan bukannya mengikut telunjuk si anak.

“Kita kena terima, bahawa kita hidup ‘menumpang’ dalam masyarakat, maka berita perkahwinan seperti ini perlu dihebahkan (dimaklumkan) bagi meraikan pasangan yang baru berkahwin.

“Jika enggan berbuat begitu, jangan duduk dalam masyarakat, duduk di dalam hutan, Tidak perlu tunggu sehingga keadaan terdesak seperti sekarang baru mengaku, kerana perkahwinan ini bukan benda yang boleh dibuat main-main,” katanya.

Sebelum ini, dalam sidang media Jumaat lalu, Aeril mendakwa sudah bernikah dengan Wawa pada 25 Februari 2012 secara sah dengan diwalikan Zainal Abidin Sulung (bapa Wawa) di rumah Shahriman Wahab (pengurus Aeril), di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, selepas Wawa mengandung dua bulan, pasangan terbabit bernikah kali kedua pada 4 Februari lalu di Masjid Jumuriah Taman Dato Harun, Petaling Jaya kerana mahu mengikut undang-undang keluarga Negeri Selangor serta memastikan anak mereka dibinkan dengan nama Aeril.

Hasil perkahwinan mereka, Aeril dan Wawa dikurniakan bayi lelaki pada 24 Ogos lalu.

Sumber: HarianMetro/BeritaHarian

-Sentiasapanas.com