Tuesday, August 04, 2015

Abby Abadi Bakal Nikahi Wartawan Harakah

Abby Abadi Bakal Nikahi Wartawan Harakah

Bekas penyanyi kumpulan Elite, Abby Abadi bakal bernikah dengan wartawan akhbar pembangkang Harakah, Muhammad Faizal Zakaria pada 14 Ogos ini.

Abby-Faizal

Dipetik dari mStar, bakal suami Abby berkata dia mahu menjadikan Abby sebagai isterinya kerana tertarik dengan sikap penyayang dan dermawannya.

"Ramai yang tidak tahu Abby sebenarnya seorang yang penyayang dan sikap suka membantu dan menderma kepada golongan susah, itu membuatkan saya tertarik hati kepadanya."

Dalam pada itu, Faizal yang juga duda anak tiga berkata, dia tidak menilai bakal isterinya itu berdasarkan cakap-cakap negatif kerana ia tidak adil.

"Saya bukan jenis mudah menilai orang daripada apa yang saya baca atau dengar dan mengenali Abby dia adalah seorang wanita yang berbeza daripada apa yang diperkatakan."

Sementara itu, Faizal turut menceritakan mereka mula menjalin hubungan cinta selepas kembali bertemu pada akhir tahun lalu.

"Saya seorang wartawan dan banyak membuat 'follow-up' dengan Abby selain pernah bertemu dengannya ketika menghadiri program yang melibatkannya atas kapasiti kerja.

"Selepas pilihan raya umum pada 2013 berakhir, kami pun tidak lagi berhubung, namun kembali bertemu setahun kemudian dalam sebuah program pada Disember tahun lalu dan mula rapat sehinggalah mengambil keputusan untuk berkahwin."

Abby dan Faizal bakal diijabkabulkan pada 14 Ogos ini di Masjid Keramat, manakala majlis kesyukuran akan diadakan pada 16 Ogos.

BACA INI JUGA: Video Sedih Kisah Cinta Sejati

Sumber: Tupai

Wednesday, June 11, 2014

Dera Suami Mental Dan Fizikal Punca Abby Abadi Kena Cerai

Dera Suami Mental Dan Fizikal Punca Abby Abadi Kena Cerai

Teka-teki mengenai pergolakan rumah tangga Abby Abadi akhirnya terjawab apabila bekas suami pelakon itu Muhammad Noor Farhan Che Bakar mendedahkan didera secara fizikal dan emosi semasa mereka bergelar suami-isteri.

Abby Abadi Kena Cerai
Kesan luka cakaran pada wajah dan lengan Muhammad Noor Farhan.

Muhammad Noor Farhan, 24, memberitahu, Abby pertama kali mencederakannya sekitar Januari lalu dengan membaling kunci motosikal ke wajahnya sehingga mengakibatkan kesan lebam selepas Abby mendapat tahu dia memberitahu seorang kenalan mereka sudah tidak mempunyai hubungan.

Dedahnya lagi, Abby sekali lagi bertindak agresif mencakar muka dan lengan kirinya pada 17 Mei lalu selepas dia enggan berbincang mengenai kes perceraian mereka yang dilafazkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sedang berjalan di mahkamah.

"Kecederaan fizikal dan emosi menjadi antara sebab utama mengapa saya menceraikan dia (Abby) dan sudah tawar hati untuk meneruskan perkahwinan ini yang memberi tekanan kepada saya sepanjang beberapa bulan ini," dedahnya kepada mStar Online ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada Rabu.

Terdahulu, Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan lafaz cerai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat Muhammad Noor Farhan pada 9 Mei lalu terhadap Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abd Manan, 37, adalah sah mengikut rukun dan syarak yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Muhammad Noor Farhan turut mendedahkan bukti gambar kesan kecederaannya pada bahagian muka dan lengan kiri akibat dicakar oleh bekas isterinya itu kepada pihak media.

Farhan report polis
Buat laporan polis.

Malah dia memberitahu telah pun membuat satu laporan di Balai Polis Ampang dekat sini pada hari sama dia dicederakan sebagai salah satu langkah keselamatan.

"Saya tidak ingin memanjangkan perkara ini dalam mahkamah tetapi sekadar membuat laporan polis untuk melindungi diri saya sekiranya apa-apa berlaku.

"Abby juga tahu saya buat laporan polis mengenai kejadian tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Noor Farhan turut mendedahkan, pergaduhan di antara mereka sering tercetus apabila Abby tidak mempunyai wang dan sering mendesaknya sehingga membuatkan dia tertekan dan tidak pulang ke rumah.

Jelas Farhan, dia kecewa apabila Abby tidak memberi peluang kepadanya untuk membuktikan diri untuk menjadi seorang suami bertanggungjawab dan Abby sering mengeluarkan kata-kata menguris perasaan kepadanya dan menambah tekanan dalam rumah tangga mereka.

"Setiap kali dia tidak mempunyai wang dia akan menyerang dan mendesak saya sehingga pergaduhan akan tercetus di antara kami malah dia sering mengatakan saya tidak mendatangkan apa-apa faedah kepadanya.

"Saya tidak pulang ke rumah kerana ingin ruang untuk memperbetulkan keadaan tetapi sikapnya yang sering memaksa dan mendesak membuatkan saya tertekan," katanya.

Abby Abadi Kena Cerai [2]
Tekanan emosi melampau kepada suami.

Bagaimanapun, Muhammad Noor Farhan enggan mengulas dakwaan kejadian berlaku akibat sikap Abby yang mengawal hidupnya sepanjang hampir setahun perkahwinan mereka.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Noor Farhan berkata, dia sudah tidak mempunyai perasaan sayang terhadap bekas isterinya itu dan tidak melihat sebarang peluang untuk mereka kembali berbaik.

Malah dia lega apabila kes perceraian tersebut selesai dengan baik apabila pihak mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuatnya menerusi SMS terhadap Abby.

"Cukuplah... Saya tidak akan rujuk kembali dengan dia kerana dia telah mencederakan saya dan perasaan sayang sudah tidak ada dalam diri saya," jelasnya.

Usaha mStar Online untuk mendapatkan kenyataan balas Abby mengenai pendedahan bekas suaminya itu tidak berjaya apabila seorang wanita yang menjawab panggilan memaklumkan Abby tidak berada bersamanya selain enggan memberi sebarang kenyataan.

"Mungkin boleh cuba menghubungi Abby esok (Khamis) tetapi sekiranya tiada sebarang balasan itu bermakna dia tidak mahu menjawab apa-apa soalan daripada media," kata wanita berkenaan.

Abby Abadi Kena Cerai [3]

Abby dan Farhan bernikah pada 9 Julai tahun lepas di Selatan Thailand dan mendapat pengesahan di Kelantan.

Pelakon siri Gerak Khas itu sebelum ini pernah melangsungkan perkahwinan dengan pelakon Norman Hakim dan dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata.

[Sumber]

Friday, July 19, 2013

Siapa Suami Baru Abby Abadi?

Siapa Suami Baru Abby Abadi?

Selepas berita perkahwinan Abby Abadi secara tiba-tiba meletup dan menjadi hangat hari ini, sudah tentu persoalan yang bermain di fikiran ramai ialah siapakah lelaki itu?


Sebelum ini pernah timbul cerita seperti Abby mungkin kembali kepada Norman tetapi tidak pula mengenai seorang lelaki baru.

Sebenarnya, lewat seminggu lalu, Abby Abadi telah memuat naik status yang membayangkan hatinya berbunga-bunga menerima kehadiran seseorang dalam hidup.

Bersama gambar sebentuk cincin yang cantik tersarung di jari manis, Abby menulis:
Sehebat mana kita merancang,
Selama mana kita menunggu,
Sekeras mana kita bersabar,
Sejujur mana kita menerima dirinya,
Jika takdir ALLAH menentukan kita bukan dengan dirinya,
Kita tidak akan bersamanya.
Jika ALLAH telah menuliskan jodoh kita dengan dirinya,
Kita tetap akan bersama dirinya,
Kerana tulang rusuk & pemiliknya,
tidak akan pernah tertukar
& akan bertemu pada saat yang tepat.
Menurut ilmuNYA,
tiada yang kebetulan melainkan semuanya telah dirancang &sebaik-baik yang dirancang dari ALLAH jua.

Ps: ‘berita bahagia’ ini akan Sy umumkan nanti… Doakan

Turut dimuat naik, gambar seorang jejaka kacak menghulurkan jambangan ros. Rentetan daripada pos ini, ada pengikut Instagram Abby meneka lelaki istimewa yang berjaya merebut hati Abby adalah seseorang yang pernah diperkenalkan Abby di laman Instagramnya sebelum itu.

Berikut kapsyen gambar Abby ketika memperkenalkan jejaka dalam usia 20-an tersebut:

Ini pembantu tadbir di #SyuhadaKasihAbadi kita. Farhan namanya, org Kelantan. Janji dah semua kerja dia buleh tolong… bgtau jer…. orite!! Sy minta jaga Sy nnti, ngeee!! hehe.. Status: Nk kahwin sgt dah dgrnyaaa.. huhu… Semoga impian terlaksana.


Hari ini, terkuaklah kisah sebenar apabila Abby mengakui sendiri, dia sebenarnya sudah 12 hari bergelar isteri.

Dan lelaki baru dalam hidupnya tak lain tak bukan, pembantu tadbir butiknya sendiri yang diperkenalkan sebelum ini.

Maknanya ketika gambar dan status atas dimuat naik, ‘nak kahwin sangat dah’ yang dimaksudkan oleh Abby pada Farhan adalah mengahwini dirinya sendiri!

Apa pun, selamat berbahagia kami ucapkan pada Abby. Semoga perkahwinan kali ini dirahmati dan memberikan kebahagiaan sampai jannah buatnya.

[Sumber]

Abby Abadi Kahwin Senyap-senyap?

Abby Abadi Kahwin Senyap-senyap?

Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi hari ini telah mengesahkan bahawa beliau telah melangsungkan perkahwinan lebih seminggu lalu.


“Ya memang betul saya sudah berkahwin,” jawapnya ringkas ketika dihubungi.

Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan sebelum ini pernah mendirikan rumahtangga bersama pelakon, Norman Hakim pada 2002 tetapi bercerai pada 2008.

Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai berita pernikahannya itu, Abby enggan mengulas lanjut.

Status di Akaun Twitter Abby Abadi.

“Pasal perkahwinan itu, saya tidak boleh ulas lanjut lagi.

"Nanti saya beritahu perkembangan kerana saya sedang memandu ke Kuala Besut,” katanya lagi.

Sementara itu, melalui laman mikro Twitternya, Abby berkata, beliau telah sah menjadi isteri.

“Dipendekkan cerita, sebenarnya sudah 12 hari dia sah menjadi suami saya.

"Maaf sebab maklumkan lambat,” katanya.

[Sumber]