Monday, May 13, 2019

Mengenang Pembunuhan Dan Huru-hara 13 Mei 1969

Mengenang Pembunuhan Dan Huru-hara 13 Mei 1969

Rencana berikut mengisahkan insiden berdarah, rusuhan 13 Mei 1969. Episod gelap ini terlalu memedihkan sehingga dianggap tabu dan rahsia. Kami singkap semula kisah ini untuk bacaan generasi rakyat Malaysia yang lahir selepas rusuhan yang berlaku 50 tahun lalu. Semoga ia menjadi pengajaran untuk hari ini dan untuk masa depan kita bersama.

Rusuhan 13 Mei

Pada tahun 1969, Malaysia bergelut dengan ancaman komunis di samping perhubungan antara kaum yang lemah. Penjajahan Jepun dan pemerintahan British memupuk ketidakpercayaan antara kaum, dan beberapa pertempuran kecil antara kaum berlaku.

Menjelang hari mengundi pada 10 Mei, dua petugas parti politik dibunuh di Pulau Pinang dan ibu kota Kuala Lumpur. Salah seorangnya jentera Umno, manakala seorang lagi dari Parti Buruh yang dikaitkan dengan komunis.

Sehari sebelum hari mengundi, ribuan orang berarak di KL untuk mengingati pekerja Parti Buruh tersebut. Keadaan di ibu kota tegang.

Keputusan awal menjunjukkan parti pembangkang DAP dan Gerakan yang didominasi bangsa Cina, menang banyak kerusi. Di Selangor - negeri terletaknya Kuala Lumpur - Dewan Undangan Negeri tergantung.

Pada 11 dan 12 Mei, penyokong parti pembangkang berarak di KL sambil menghina kaum Melayu. Tercabar dengan tindakan itu, Pemuda Umno bercadang berarak pada 13 Mei selepas waktu Maghrib.

Sekumpulan pemuda Melayu sudah berkumpul sejak dua jam. 5,000 berkumpul, tetapi keadaan terkawal. Ramai membawa kayu dan kain rentang. Segelintir membawa parang dan keris.

PEMBUNUHAN DAN HARU-BIRU DI KAMPUNG BARU

Ini adalah cerita seorang saksi mata tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969. Pada masa itu, dia merupakan pelajar tahun pertama di Universiti Malaysia (UM). Dia terperangkap sehingga 16 Mei di Kampung Baru, yang merupakan salah satu ‘kawasan panas’ rusuhan tersebut.

Kini berusia 70 tahun, dia yang berbangsa Melayu itu sudi ditemu bual dengan syarat identitinya tidak didedahkan. Akuinya, kejadian 50 tahun lalu itu masih lagi meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

“Sampai sekarang pun, bila saya ke kawasan masjid (Masjid Jamek Kampung Baru), saya terimbas balik segala apa yang pernah saya saksikan,” katanya.

Dengan mata yang bergenang, dia mengimbas semula kejadian di depan matanya apabila satu kereta yang dinaiki keluarga Cina dibakar oleh sekumpulan perusuh Melayu.

“Saya tak tahu apa yang terjadi, saya macam kena rasuk. Yang saya ingat, saya jerit, ‘Lepaskan mereka! Lepaskan mereka! Bunuh aku! Bunuh aku!’ Saya ingat saya sebut perkataan itu. Saya koyak baju dan mengamuk.

“Saya pun tak tahu kenapa saya bertindak macam itu, tapi saya tak boleh terima. Bila saya lihat dua budak kecil, seorang lelaki dan seorang perempuan, menangis dalam kereta dan kedua ibu bapanya mengggigil ketakutan, saya tak boleh terima. Apa dosa mereka? Sebab mereka orang Cina? Kenapa mereka yang dijadikan mangsa?

Ini ialah cerita saksi tersebut, seperti yang diceritakan kepada Aidila Razak dan Tham Seen Hau dari malaysiakini.

Pendaftaran kampus UM bermula seminggu sebelum 13 Mei. Saya dilahirkan pada 1949, jadi semasa saya mendaftar di kampus pada 1969 itu, saya baru 20 tahun.

Saya belum cukup umur untuk mengundi, dan saya tak pernah kisah pun. Saya lebih kisah tentang macam mana saya hendak bergerak di kampus tanpa motosikal. UM terletak jauh daripada tempat saya tinggal, kena naik dua bas. Jadi, saya kena fikir cara macam mana nak bergerak. Nak pinjam motor atau cari duit untuk beli sebiji.

Ada juga kawan-kawan yang datang dari kampung yang belum ada bilik sewa, jadi saya banyak habiskan masa ketika pilihan raya itu untuk membantu mereka cari bilik atau rumah sewa.

Saya pun tiada duit. Saya tak dapat biasiswa. Jadi sambil itu, saya juga mencari duit untuk saya bayar yuran pendaftaran semester pertama, di samping itu membantu kawan-kawan yang sekapal dengan saya. Itu sajalah yang kami bimbangkan ketika itu.

Kami langsung tak berminat tentang politik. Kami tak tahu apa terjadi masa itu. Kami cuma hendak mulakan kehidupan kami sebagai pelajar, itu saja. Itu semua sebelum insiden 13 Mei tercetus.

Perhimpunan di rumah Datuk Harun

Pada hari rusuhan tersebut, saya ada di kampus. Seorang senior beritahu suruh dapatkan beberapa orang dan pergi ke rumah Datuk Harun. Saya tanya, “Kenapa? Ada bagi duitkah? Atau makanan?”

Dia jawab, ada perjumpaan. Pada masa itu, biasalah pelajar dipanggil untuk meramaikan mana-mana majlis. Mungkin dapat nasi bungkus, atau RM5 - itu saja pun dah cukup buat kami gembira.

Tapi yang kali itu agak pelik, sebab tiada pengumuman apa-apa tentangnya. Senior saya datang, berbisik saja kepada saya. Saya tak tanya lebih-lebih, sebab hormat senior.

Kami tak ada kenderaan, jadi senior itu aturkan dengan beberapa orang yang ada motosikal. Jadi kami pergi naik lima motosikal. Masa itu antara pukul 5 ke 6 petang. Pekerja pejabat pun dah balik kerja.

Sesetengah kawan saya yang ikut itu, mereka orang kampung. Jadi mereka ingatkan dapatlah mereka keluar tengok bandar sekali. Macam itulah naifnya kami masa itu.

Sebaik sampai, saya perasan, keadaan tak macam perjumpaan biasa pun. Tak ada meja pendaftaran, tak ada jalan nak masuk ke dalam, tak ada kain rentang. Cuma ada orang yang berlegar-legar saja.

“OK-lah. Mungkin ada makanan di dalam,” fikir saya sambil berjalan masuk menuju ke perkarangan (rumah).

Tapi di dalam, lebih aneh lagi. Kebanyakan orang nampak macam bukan orang Kuala Lumpur. Mereka bercakap sesama sendiri dalam bahasa Jawa. Mereka nampak keras, tak macam kerani kerajaan yang selalu hadir di kebanyakan perjumpaan.

Senior yang jemput kami itu hilang dalam orang ramai, jadi kami pun cuba bersembang dengan orang-orang di situ. Mereka kata, “Eh, takkan kau tak tahu?”

Saya mula syak ada benda tak kena apabila saya lihat mereka agihkan lilit kepala, kain merah yang ditulis Arab La ila haillahllah. Ini dah macam orang-orang silat.

Jadi, beberapa orang kawan saya ambil keputusan untuk balik. Mereka tak gemar apa yang mereka lihat. Saya pun kata, “OK, baliklah dulu.” Tinggal kami bertiga saja.

Saya ambil lilit kepala itu. Semua orang pun ambil. Tapi apabila mereka suruh pakai lilit kepala itu, saya cakap, “Saya tak mahu pakai lilit merah ini, macam nak pergi perang saja.” Mereka balas, “Kau sepatutnya dah tahu. Memang itu yang kau patut buat pun.”

Budak muda penghantar kopi

Saya dah mula kurang senang. Kemudian saya ada nampak orang yang saya kenal. Saya tanya dia, dan dia pun kata, “Kita nak berarak”. Itulah kali pertama saya diberitahu apa yang nak jadi. Nampaknya, ada perarakan balas terhadap perarakan oleh Gerakan dan DAP sehari sebelum itu bagi meraikan kejayaan mereka.

Saya tanya dia lagi, apa rancangan sebenarnya. Dia jawab, kami semua sepatutnya berjumpa di jam besar tepi Masjid Jamek dan berdemonstrasi di seluruh tempat. Saya tanya lagi berapa orang akan terlibat, dan jawabnya, “Ramai, kita kat sini saja sudah 500”.

Saya dapat tahu ada orang datang dari Klang, Negeri Sembilan, Pudu dan Setapak untuk perarakan ini. Saya tanya dia, saya patut balik atau terus di situ? Dia jawab, “Kau balik, aku tetak”.

Pada masa itulah saya sedar, dia ada parang. Selepas itu, saya turut perasan ada senjata yang disembunyikan di pagar rumah Harun. Orang di situ makin tak tentu arah. Saya dengar ada wirid dan doa dibaca dari dalam rumah.

Saya sangat takut dan nak balik rumah, tapi tak boleh sebab mereka kunci pagar. Tak ada sesiapa boleh masuk, tak ada sesiapa boleh keluar. Bermula dari situlah, perkara paling buruk terjadi.

Ada orang tempah kopi dari kedai kopi di Jalan Gurney yang berdekatan. Jadi budak Cina ini datang hantar kopi dengan dulang, dan mereka bunuh dia. Saya tak nampak pembunuhan itu, tapi saya nampak dia dah mati.

Saya tak tahu tentang ini pada mulanya, tapi rupa-rupanya pada masa itu ada orang berbisik sesama sendiri tentang orang Melayu dibunuh orang Cina di Setapak.

Selepas itu, mereka tahan sebuah van dan bunuh orang di dalamnya. Saya mula berundur ke belakang, tapi saya nampak di belakang pun ada orang jaga.

Rasa saya, kalau sekumpulan orang berjalan bersama-sama, itu kita boleh panggil berarak. Tapi bila dibukakan pagar, mereka bukan berarak, mereka meluru. Mereka mengamuk. Rupa-rupanya, mereka terdengar cerita ada orang Melayu kena bunuh, jadi mereka meluru untuk pertahankan orang Melayu. Huru-hara jadinya.

'Lindungi kawasan ini'

Saya tak tahu nak buat apa. Kawan-kawan saya berjaya ambil Vespa mereka dan kami pergi ke masjid. Ada orang di situ, nampak macam ketua-ketua. Benda pertama dia tanya saya, sama ada saya ada lilit kepala atau tidak. Lilit kepala itu ada dalam poket saya, dia suruh saya pakai. Kemudian, dia suruh saya minum sejenis air yang sudah dijampi. Air itu sepatutnya buat saya jadi berani.

Selepas 13 Mei, ada banyak cakap-cakap tentang pendekar silat yang boleh terbang, keris dan parang sakti, tapi saya tak pernah nampak pun. Saya cuma tahu air yang saya minum itu diambil daripada kolah masjid, tempat orang berwuduk. Ramai orang cirit-birit malam itu (lepas minum air).

Orang-orang yang beri arahan di dalam masjid adalah gangster Kampung Baru. Saya tak nampak mereka di perkarangan rumah Datuk Harun sebelum itu, tapi sekarang mereka bentuk kami menjadi kumpulan pertahankan diri.

Mereka bahagi-bahagikan Kampung Baru kepada beberapa kawasan dan berkata, “Kau jaga kawasan ini”. Mereka tak kata, “Bunuh orang Cina”. Tak. Mereka suruh kami lindungi kawasan masing-masing, jangan biar sesiapa masuk. Siapa yang nak keluar boleh keluar, tapi siapa yang keluar, matilah.

Mereka bimbang sebab orang Cina sedang bergerak masuk dari Jalan Kamunting. Kampung Baru ada bersebelahan beberapa kampung Cina, jadi mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan Cina, berpindah ke masjid untuk mendapatkan perlindungan. Kelab Sultan Sulaiman dikunci kerana ia sebelah Kampung Limau, iaitu kawasan Cina.

Ada satu rumah yang cantik di bahu Jalan Campbell (kini Jalan Dang Wangi) dan Jalan Ampang, rumah itu dibakar oleh perusuh Cina. Orang Cina di sebelah sini, orang Melayu di sebelah sana.

Senjata api dan parang berkilat macam pedang

Malam itu, selepas solat Isyak, saya ditugaskan untuk berjaga di Jalan Raja Alang (jalan menuju ke masjid) bersama 20 yang lain.

Pada masa itu, saya lihat ada sekumpulan orang Cina menunggang motosikal menuju ke arah kami. Lampu masih menyala, jadi kami dapat nampak mereka bersenjata. Mereka ada pistol, senapang patah dua laras (pada masa itu, banyak orang Cina memiliki senjata memburu). Sesetengah mereka bawa parang yang berkilat macam pedang.

Saya memang kecut perut. Tiada siapa yang boleh menghalang mereka. Kami ialah baris pertahanan paling depan, tapi apa yang kami ada? Selain batang kayu, tak ada apa-apa lagi. Saya tak ada parang, tapi saya kena bertahan. Sesetengah daripada kami asah buluh runcing. Tapi setakat itu sajalah.

Mereka datang dari arah Jalan Chow Kit menuju ke masjid. Kalau mereka melepasi kami, mereka akan dapat ambil alih masjid. Terus-terang, terkencing kami dibuatnya. Kami ini muda lagi, mereka itu gangster-gangster lama. Menggeletar kami.

Kemudian, mereka membelok ke satu jalan yang menuju ke tokong Cina. Saya tak tahulah mereka belok itu kerana mereka nampak kami, atau memang awal-awal lagi mereka nak pergi ke tokong itu. Saya memang takut betul. Cuma tak menangis saja lagi.

Malam itu agak kucar-kacir. Saya ikut beberapa orang dan akhirnya tiba untuk berjaga di kawasan berdekatan sungai, setentang dengan Sekolah Lai Meng (ketika itu). Sekolah Lai Meng terletak di Jalan Ampang - kawasan Cina- sementara kami berada di seberang, di Kampung Baru.

Pada masa ini, saya sedar ada penembak hendap. Pada masa itu, orang tak tahu macam mana rupa penembak hendap, bukan macam sekarang, kamu boleh lihat dalam filem.

Kami cuma nampak orang kena tembak. Kami terkejut. Ada seorang lelaki, saya rasa dia pernah berkhidmat dalam tentera, dia kata, “Eh, ada penembak”. Dia suruh kami menyorok, jangan duduk di kawasan terbuka.

Ada beberapa orang cuba nak menyeberangi sungai untuk memeriksa di mana penembak itu bersembunyi, tapi tak dapat. Mereka ditembak. Kami jangka penembak itu ada di Sekolah Lai Meng.

Orang Cina sedang bergerak masuk dari Setapak, Jalan Campbell, Batu Road (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman). Apakah ada rancangan untuk mereka takluk Kampung Baru? Saya tak tahu.

Tapi gangster itu nampaknya mungkin tahu kerana mereka dah aturkan orang mereka untuk jaga kawasan-kawasan itu. Pada masa itu, ada kumpulan gangster yang berbilang bangsa di KL, jadi mungkin mereka dah bagi amaran sesama mereka.

Jip penuh dengan raifal

Saya di Kampung Baru selama tiga hari - 13, 14 dan 15 Mei. Banyak benda terjadi dalam masa tersebut.

Pada 13 haribulan, seorang pegawai tentera bawa masuk jip yang penuh dengan raifal di Kampung Baru. Saya ingat lagi, raifal automatik, saya pun dapat satu. Berat senjata itu. Tapi kebanyakan kami tak tahu macam mana nak guna senjata api itu, dan ramai naiki teruja hingga mereka menembak tak tentu hala sampai peluru habis cepat.

Pegawai tentera itu tak beri kami peluru, hanya apa yang ada dalam raifal itu saja. Jadi, mungkin dia bertindak ikut kepala sendiri (bukan arahan pihak atasan). Saya tak rasa perkara itu dirancang.

Saya juga lihat pegawai-pegawai keselamatan membawa keluar orang-orang kaya Kampung Baru menggunakan trak. Mereka nampak gayanya dibawa ke depot polis atau kawasan Kementerian Pertahanan di Jalan Gurney. Bertahun-tahun kemudian, saya diberitahu oleh mereka yang datang daripada keluarga yang ada ‘hubungan’ ini, mereka memang dibawa ke situ untuk dilindungi.

Rumah dan kedai dipecah masuk sejak 13 Mei lagi. Keluarga kakak ipar saya tinggal di Kampung Baru, dan saya nampak mereka di masjid. Rumah mereka dekat dengan kawasan Cina, jadi mereka lari.

Rumah mereka dipecah masuk, tapi saya rasa oleh orang Melayu. Orang Melayu pun bukannya semua baik. Malah, sesetengah rumah yang dipecah masuk itu memang jauh ke dalam Kampung Baru, jadi mustahil orang Cina yang pecah masuk. Inilah juga sebabnya kenapa kumpulan pertahanan ditubuhkan.

Kampung Melayu dikelilingi oleh kedai Cina. Apabila rusuhan itu tercetus, sesetengah orang pecah masuk ke dalam kedai Cina ini untuk musnahkan buku hutang. Tapi mereka tak tahu, tauke Cina itu bawa sekali buku hutang semasa melarikan diri.

Saya pun pecah masuk beberapa kedai. Tak ada makanan untuk keluarga yang berlindung di masjid, jadi kami pergi cari makanan di tengah-tengah malam. Saya cuba cari rokok nak curi, tapi tak ada. Dah ada orang pecah masuk lagi awal daripada kami. Tapi kawan saya jumpa seguni beras, dia bawa ke masjid. Tapi bila dibuka, garam, bukannya beras.

Banyak juga perkara kelakar sebegini terjadi di tengah-tengah pembunuhan beramai-ramai tersebut.

Seorang lagi kawan saya, kerdil saja orangnya - cukup-cukup empat kaki tinggi - dia cuba curi angsa dari rumah Cina yang berdekatan. Keluarga Cina itu bela ayam dan angsa. Angsa itu sama tinggi dengan dia, tapi dia pegang leher angsa itu, angkat dan lari.

'Bunuh aku! Bunuh aku!'

Hari kedua, mayat berapungan di Sungai Klang. Mayat Melayu, Cina dan India. Orang-orang tua di masjid kumpulkan orang untuk bawa keluar mayat Melayu, supaya dikebumikan. Tapi akhirnya, polis ambil semua mayat itu dibawa ke rumah mayat.

Saya saksikan sendiri bagaimana mereka bawa keluar mayat dari sungai berdekatan Kampung Cendana. Saya lihat mereka bawa keluar enam ke lapan jasad. Mereka periksa muka; kalau jasad lelaki mereka periksa bersunat ke tidak. Jika tak nampak macam Melayu, mereka tinggalkan dalam sungai.

Pada 15 haribulan, saya bersama seorang lelaki diarahkan untuk mengeluarkan dua mayat dari tempat pembuangan sampah. Dua perempuan Melayu: penari kabaret yang bekerja di Great Eastern Cabaret di Jalan Campbell. Kami serahkan jasad itu kepada pihak polis.

Ada satu hal yang saya tak pernah beritahu kepada sesiapa pun sebelum ini, walaupun kepada anak saya sendiri. Pada hari itu, saya nyaris dibunuh.

Ada satu keluarga Cina ini. Tak tahulah entah apa sebabnya mereka memandu dekat dengan persimpangan Jalan Campbell dengan Jalan Ampang. Mereka perlu lalui kawasan rusuhan orang Melayu.

Masih jelas wajah mereka - seorang ayah, ibu dan dua anak kecil: seorang lelaki dan seorang perempuan. Mereka dalam sebuah kereta yang kecil, Fiat 600 dengan nombor plat Perak. Perusuh mengerumuni kereta itu dan cuba menterbalikkannya.

Saya tak tahu apa yang terjadi pada saya, saya macam kena rasuk. Yang saya ingat, saya jerit: “Lepaskan mereka! Lepaskan mereka! Bunuh aku! Bunuh aku!” Saya ingat saya sebut perkataan itu. Saya koyak baju dan mengamuk.

Saya pun tak tahu kenapa saya bertindak macam itu, tapi saya tak boleh terima. Bila saya lihat dua budak kecil, seorang lelaki dan seorang perempuan, menangis dalam kereta dan kedua ibu-bapanya menggigil ketakutan, saya tak boleh terima. Apa dosa mereka? Sebab mereka orang Cina? Kenapa mereka yang dijadikan mangsa?

Sekarang pun, bergenang mata ini bila teringat pasal kejadian itu. Sampai sekarang saya tak tahu kenapa saya bertindak macam itu. Macam ada sesuatu dalam diri ini. Saya pun tak faham.

Keluarga di dalam kereta itu berjaya meloloskan diri, tapi perusuh menjadikan saya pula sebagai sasaran. Pada ketika itulah gangster Kampung Baru datang menyelamatkan saya. Mereka hentikan perusuh-perusuh itu, dan berkata, “Dia buat tindakan yang betul. Kita pun patut hentikan ini semua.”

Saya rasa, pada masa itulah saya sedar keamanan sedang dalam proses perundingan. Gangster Melayu dan gangster Cina buat pertemuan, dan berbincang tentang rundingan damai. Perkara ini tidak direkod di mana-mana, tapi saya tak ada sebab untuk mencurigainya. Pada zaman itu, gangster-gangster sangat berkuasa. Mereka boleh bakar satu KL kalau mereka mahu.

Sebenarnya, banyak cerita tentang orang saling membantu antara satu sama lain.

Ada mandur Melayu yang bekerja di sebuah bengkel di Jalan Campbell. Semasa rusuhan tercetus, satu keluarga Cina selamatkan dia dan sorokkan dia di siling mereka. Kami bantu bawa dia keluar dari rumah tersebut beberapa hari selepas itu.

Seorang tukang baiki televisyen berbangsa Cina yang kami cukup kenal, menceritakan bagaimana dia sedang membaiki televisyen untuk satu keluarga Melayu di Kampung Datuk Keramat (ketika rusuhan tercetus). Keluarga itu tak mahu biar dia keluar untuk balik ke rumah. Mereka pakaikan dia dengan persalinan Melayu dan simpan dia dalam rumah sampai keadaan beransur selamat.

Orang Cina datang

Saya dapat balik ke rumah pada 16 Mei. Emak saya hampir pengsan apabila dia nampak saya. Saya antara begitu banyak orang yang hilang dalam beberapa hari itu. Dia ingatkan saya dah mati. Dalam beberapa hari selepas itu, dia buat semua benda supaya saya tak keluar rumah. Nasib dia tak gari tangan saya.

Selepas itu, banyak hari saya tak dapat tidur. Saya akan terjaga di tengah-tengah malam, berfikir “Orang Cina datang”.

Saya ambil masa setahun sebelum saya dapat jejakkan kaki semula ke Kampung Baru. Sampai sekarang pun, bila saya pergi ke kawasan masjid itu, saya terimbas balik segala apa yang pernah saya saksikan.

Universiti tutup seminggu disebabkan rusuhan tersebut. Apabila kami pulang semula, keadaan sudah berbeza. Tak ada orang yang nak bercakap tentang apa yang dah terjadi.

Di pasar, malah di Chow Kit sekalipun, anda banyak dengar, “Minta maaf encik, tumpang lalu, tak apa, tak apa.” Orang makin berhati-hati dan sopan.

Di kampus, Persatuan Bahasa Cina akan pergi kepada Persatuan Bahasa Melayu dan Persatuan Pelajar Islam sebelum mereka menganjurkan pesta tanglung. Mereka tanya orang Melayu dulu sebelum mereka minta kebenaran universiti.

Tapi diam-diam, semua orang bersiap-siaga. Mak saya beli banyak betul parang, setiap satu untuk anak-anak lelaki dia. Sesetengah orang akan sembunyikan parang dalam kereta mereka. Kawan saya, seorang Cina, keluarganya simpan lembing sepuluh kaki di rumah mereka. Semakin ramai ikut latihan seni mempertahankan diri, dan tangkal pelindung pun semakin laku. Suasana berubah, KL dah berubah.

Saya bersekolah di sekolah mubaligh Kristian dan kebanyakan kawan-kawan sekelas saya orang Cina. Kami dah kenal sejak tingkatan satu lagi. Banyak di kalangan kami ke universiti sama. Tapi selepas 13 Mei, keadaan jadi janggal. Kami masih bercakap, tapi kemesraan itu sudah tak ada.

Satu hari, saya berjumpa mereka dan kami berbincang tentang kejanggalan tersebut. Disebabkan kami sungguh-sungguh cuba mengatasi fasa itu, kami masih menjadi kawan baik sehingga ke hari ini.

Cerita kami ini adalah salah satu cerita rakyat Malaysia yang hidup dan membesar bersama, dan berjaya mengharungi tragedi tersebut bersama-sama.

Hari ini, darah saya mendidih bila dengar orang-orang muda mengugut untuk mengulangi rusuhan 13 Mei. Saya nak tanya mereka, “Kamu di mana masa 13 Mei 1969? Dalam perut mak atau masih pakai seluar pendek?”

Saya nak beritahu mereka, “Kamu belum pernah berdepan satu kumpulan gangster yang bawa parang berkilat, meluru ke arah kamu sedangkan kamu cuma ada sebatang kayu untuk mempertahankan diri. Kamu tak tahu macam mana rasanya.”

Saya ada di sana. Saya masih dapat hidu bau darahnya. Saya dah cuba untuk lupakan sepanjang 50 tahun ini.

Pengalaman itu terlalu pahit, sampai kita cuma mahu lupakan segalanya. Sakit hati ini apabila teringatkan seorang budak muda dibunuh, hanya kerana dia menghantar kopi. Dia tak tahu apa-apa. Bila teringat hal itu, saya tak dapat terima hakikat.

Orang macam kami tak mahu bercakap tentang hal ini, kami lebih rela berdiam diri dan berharap ia takkan terjadi lagi. Satu-satunya sebab saya bercakap tentangnya adalah kerana saya merasakan dah sampai masanya. Banyak saksi kejadian itu telah meninggal dunia. Saya mahu cerita saya ini menjadi pengajaran.

Harapan saya, kejadian itu jangan pernah dibiar terjadi lagi.

SATU KAMPUNG CINA DISERANG

Semasa insiden 13 Mei 1969 tercetus, Datuk Foong Yee merupakan seorang inspektor polis percubaan.

Lima puluh tahun berlalu, pengalamannya merentasi jalan-jalan di Kuala Lumpur yang porak-peranda, masih lagi segar dalam ingatannya.

Dalam catatan pengalamannya ini, dia menceritakan semula bagaimana dia menyelamatkan keluarganya, seluruh perkampungannya dan jiran Melayunya daripada dibunuh oleh ahli kongsi gelap Cina.

Malah, dia juga berselisih dengan maut, apabila secara tidak sengaja memecut keretanya meluru ke arah sekumpulan pegawai tentera.

Kata Foong, dia masih ingat muncung pistol dihalakan ke kepalanya.

“Jika dia tarik picu, saya tak akan ada lagi di sini menceritakan semua ini,” katanya.

Pada tahun 2000, Foong bersara sebagai timbalan ketua polis Kuala Lumpur.

Ini ceritanya, seperti yang diceritakan kepada Tham Seen Hau (malaysiakini).

Pada 13 Mei, saya di Kepong Baru, mengubah suai sebuah rumah yang baru dibeli oleh ayah saya. Saya di sana seharian dengan ayah saya, mak dan adik lelaki.

Lewat petang, jiran kami balik ke rumah mereka dan menceritakan bagaimana di bandar, ada masalah tercetus sehinggakan orang Cina dan Melayu saling berbunuhan.

Kami ada satu TV lama yang kami baru pasang. Kami buka TV itu dan ada berita yang menghebahkan tentang perintah berkurung sekitar Kuala Lumpur.

Perkara pertama yang terlintas di kepala ialah kami kena balik ke Kampung Limau, ikut Jalan Batu (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman). Keluarga kami tinggal di situ, dan adik-beradik saya yang lain masih ada di situ. Jadi kami terus masuk kereta saya yang agak kecil itu, dan terus bergerak pergi.

Di tengah perjalanan ada sekumpulan lelaki Cina memegang kayu besi menghalang kereta yang lalu. Di depan saya ada sebuah kereta yang dipandu seorang Melayu. Kumpulan Cina tersebut menghentak kereta itu dengan batang besi tapi tidak apa-apakan pemandu itu.

Bila tiba giliran saya, mereka nampak kami sekeluarga Cina. Mereka bertanya kami nak ke kemana dan bila diberitahu mereka, seorang daripada mereka menegah saya jangan ke sana kerana orang Cina di sana kena bunuh, rumah pun dibakar.

Dari jauh, saya boleh nampak kepulan asap naik ke langit. Tapi saya nekad untuk teruskan perjalanan.

Kebakaran dan huru-hara

Sepanjang perjalanan banyak kereta terbakar dan benda berselerakan di atas jalan sampaikan susah untuk memandu.

Saya sampai di satu sungai kerana tak berani teruskan perjalanan. Dulu di situ, ada Klinik Reddy yang beroperasi 24 jam dan sebuah kedai kopi.

Sebuah kenderaan peronda polis lalu di hadapan kedai kopi tersebut dan tidak semena-mena, sekumpulan lelaki Cina menghentikan kenderaan tersebut dan sodok dengan paip besi.

Pada masa itu, saya sedar undang-undang sudah tak bermakna lagi. Saya perlu buat keputusan sendiri.

Saya beritahu ibu bapa saya yang saya akan tinggalkan mereka di Klinik Reddy, dan saya akan ikhtiar bagaimana untuk mendapat berita tentang keadaan adik-beradik yang lain di rumah.

Ibu bapa saya melarang, mereka merayu sambil menangis supaya saya jangan pergi. Mereka kata, kalau dah ditakdirkan anak-anak mereka yang lain terkorban, biarlah sekurang-kurangnya kami berempat terus bersama. Tapi saya kata tak boleh begitu. Saya tetap mahu pergi, biarpun mereka merayu begitu.

Saya berhenti di Balai Polis Jalan Campbell (kini Ibu Pejabat Polis Dang Wangi) untuk mendapatkan maklumat, tapi tempat itu penuh dengan orang. Huru-hara.

Dari balai polis, boleh ikut jalan semak di belakang satu bengkel di situ, jalan itu boleh bawa saya tembus terus ke Kampung Limau. Tak jauh, dalam lebih kurang 2 km saja.

Semasa saya berjalan melalui semak itu, saya nampak sekumpulan orang meluru ke arah saya, mereka dah angkat parang. Saya fikir, habislah aku kali ini. Tapi mujur seorang dari mereka kenal saya. Mereka penduduk Kampung Limau. Kata mereka, kampung belum terbakar dan mereka cuba halang orang masuk ke kampung.

Macam medan perang

Perkara pertama yang saya lakukan sesudah sampai di Kampung Limau ialah ke rumah. Adik-beradik saya semua selamat.

Tidak jauh dari rumah kami adalah Sekolah Teck Meng, satu institusi swasta Cina. Penjaga di situ tak mahu buka pagar, jadi saya umpil pagar itu guna batang besi. Saya sedar, tindakan macam itu boleh undang masalah, tapi masa itu saya dah tak fikir semua itu.

Orang kampung saya semua masuk ke sekolah itu. Tak putus-putus orang masuk, sampai tempat itu pun sesak. Keadaan masa itu, macam kita lari daripada medan perang.

Sesetengah orang sempat bawa barang-barang peribadi mereka, yang kecil-kecil. Ada bayi, ada juga perempuan mengandung. Ada banyak bilik darjah, semuanya penuh dengan orang. Keadaan kekal begitu sampai pukul 12 malam, atau mungkin lebih lama dari itu.

Pada masa itu, saya pergi ke bumbung Sekolah Teck Meng. Saya pandang ke bawah ke arah Jalan Chow Kit dan Jalan Hale (kini Jalan Raja Alang). Saya lihat, semua benda sedang terbakar.

Saya mula menangis. Saya tanya diri sendiri, “Apa yang dah terjadi sebenarnya?”

“Kenapa?”

Pistol di kepala

Foong Yee polis ketika 13 Mei
Datuk Foong Yee.

Ibu bapa saya masih di Klinik Reddy jadi saya patah balik melalui jalan semak untuk mendapatkan kereta dan selamatkan mereka. Hanya kereta saya yang bergerak di atas jalan.

Dalam perjalanan, suluhan lampu kereta saya terpancar pada dapat lihat sekumpulan orang- sesetengahnya memakai kain pelikat. Saya terfikir, “Ya Tuhan, orang-orang Melayu ini akan bunuh aku.” Saya tekan pedal minyak dan kereta meluru ke arah mereka. Mereka melompat dan saya dapat dengar mereka menjerit. Tapi saya tak berhenti.

Saya lakukan yang sama apabila ternampak satu lagi kumpulan. Disebabkan takut diapa-apakan, saya terus tekan minyak dan tak berhenti langsung. Kemudian, saya nampak sesuatu yang berkilat apabila disuluh lampu kereta saya- lencana tentera! Saya terus tekan brek kuat-kuat, kali ini saya berdoa supaya kereta berhenti.

Bila kereta saya berhenti, saya dapat rasa muncung pistol dihalakan ke kepala saya. Pada masa itu, kereta saya tak ada pendingin hawa, jadi saya buka tingkap kereta.

Pemegang senjata api tersebut teragak-agak, dia tak pasti apa nak dilakukan. Kalau dia tarik picu, saya takkan ada di sini menceritakan semua ini.

Saya keluarkan kad polis dan tunjuk pada mereka. Lelaki itu tengok kad itu dan serahkan pada seorang lagi askar. Mereka lepaskan saya.

Lega betul hati saya apabila menemui ibu dan bapa masih ada di Klinik Reddy. Mereka pun lega apabila dapat tahu semua anak-anak mereka selamat. Kami balik ke Sekolah Teck Meng.

Hujan peluru

Menjelang pagi, kami perlu pertahankan Kampung Limau. Kami balik semula ke kampung dan berjaga di sepanjang sungai, sebab orang Melayu hanya tinggal di seberang sungai.

Kami pegang senjata, kerana kami perlu berhadapan dengan perusuh. Ada yang pegang parang, ada yang pegang paip air. Saya pegang gergaji. Ayah saya tukang kayu, jadi dia memang ada semua peralatan ini.

Saya terfikir, saya kan pegawai polis. Saya tak sepatutnya berada dalam situasi yang macam ini. Tapi apa lagi pilihan yang saya ada? Tiba-tiba, kedengaran bedilan senjata api, dan lelaki di sebelah saya tumbang. Dia kena tembak di perut.

Sebahagian daripada kami bawa dia ke Jalan Batu dan tahan sebuah ambulans yang lintas di situ. Saya dapat tahu kemudian yang dia dapat diselamatkan.

Apabila saya kembali ke sungai, saya dapati banyak tembakan senjata api bertalu-talu. Saya tak tahu datangnya dari mana. Tenterakah? Atau orang kampung Melayu? Tapi kalau begitu keadaannya, kami memang takkan menang. Jadi kami berundur.

Apa kata kita bunuh saja, kata gangster Cina

Pertahanan kami sangat lemah. Pada waktu itulah sekumpulan ahli kongsi gelap datang dari Jalan Sultan. Sebahagian mereka memang pernah tinggal di Kampung Limau.

Ada dalam lebih kurang 10 ke 11 orang, tak ramai. Sesetengah daripada mereka kata, “Apa kata kita bunuh saja orang Melayu? Ada beberapa keluarga Melayu tinggal di sini”.

Bila saya dapat tahu tentang hal itu, saya terus pergi kepada mereka dan kata, “Saya rasa itu bukan idea yang bagus.

“Kalau kita tangkap mereka dan jadikan mereka tebusan, sekurang-kurangnya kalau ada orang Melayu dari seberang sungai serang kita, kita boleh boleh bawa mereka ini ke depan dan ugut untuk bunuh mereka”.

Idea saya diterima dan pada masa itu, saya fikir, buat masa itu saya dah dapat selamatkan orang-orang Melayu ini. Tapi sampai bila? Saya tahu saya perlu bawa mereka keluar dari situ, tapi macam mana caranya? Ada dalam 20 ke 30 orang Melayu.

Mujur, mereka bernasib baik, saya nampak dua trak tentera di Batu Road. Kebetulan mereka ada betul-betul di depan saya. Saya tunjuk kad polis saya dan dan tahan trak itu. Saya ceritakan mereka apa yang terjadi, minta mereka selamatkan keluarga-keluarga Melayu ini.

Saya berlari di depan trak, tapi kena menyorok-nyorok juga. Saya tak nak ahli kongsi gelap lihat saya sebagai pengkhianat yang membantu trak tentera bawa lari tebusan.

Dari jauh, saya dapat lihat orang-orang Melayu itu masuk ke dalam dua trak tersebut dan mereka pun cabut. Lepas daripada itu, barulah saya keluar semula dari bersembunyi, berpura-pura macam tak ada apa-apa yang terjadi.

Tinggalkan Kampung Limau

Selepas membantu menyelamatkan keluarga-keluarga Melayu, saya perlu fikir tentang keselamatan diri pula. Saya sangat keletihan. Tak dapat makan, tak dapat tidur, saya pun tak tahulah saya punya tenaga, semangat dan keberanian datang dari mana. Yang saya tahu, saya kena minta bantuan.

Jadi saya lari ke Balai Polis Campbell, tapi seperti semalam, tempat itu masih huru-hara. Saya nampak seorang anggota polis di situ cuba membantu apa yang dia mampu. Saya kenal dia, Gilbert Ang.

Dia pernah menjadi ketua jabatan (yang mengendalikan urusan) kongsi gelap. Pada masa itu, kumpulan kongsi gelap memang masalah besar. Saya beritahu dia saya anggota polis percubaan, dan saya perlukan kenderaan untuk bawa keluarga saya keluar daripada bahaya.

Dia pandang ke arah saya, dan berkata, “Maaf, saya tak dapat tolong kamu”.

Jadi ketika itu, saya pun ambil keputusan untuk dedahkan kepadanya tentang apa yang saya pernah buat sebelum menyertai polis.

“Kamu ingat bila kamu pernah jadi ketua jabatan kongsi gelap? Ada mamat ini yang hubungi kamu dan beri maklumat tentang aktiviti kongsi gelap kepada kamu? Beritahu kamu siapa yang terlibat dan maklumat bahawa mereka semua ini dari Kampung Limau?”

Dia jawab, “Ya. Saya ingat. Bagus maklumat yang dia bagi kepada kami dulu”.

Saya ingatkan dia bahawa pemberi maklumat tersebut tidak mahu bertemu dengannya, tapi dia ada maklumkan yang pangkal namanya ialah “FY”.

“Sayalah FY. Foong Yee.”

Terkejut Ang. Dia peluk saya dan tanya apa yang saya perlukan. Saya beritahu dia, saya perlu bawa keluarga saya keluar dari Kepong baru, dan saya juga beritahu ada juga orang Jinjang dan Kepong di Kampung Limau.

Ang beri saya satu bas. Bas Sri Jaya. Saya bawa bas itu ke Sekolah Teck Meng, dan orang di situ mula menyerang bas itu sebab mereka ingat orang Melayu datang serang mereka. Tapi bila mereka nampak saya, mereka pun bertenang.

Saya beritahu mereka, siapa yang tinggal di Kepong atau Jinjang boleh naik bas. Keluarga saya naik bas. Dalam bas, ada kira-kira 12 ke 13 orang. Ada keluarga saya (dalam enam ke tujuh orang), dan saudara-mara yang lain termasuk anak buah saya Nicholas - masa itu masih bayi- dan pengasuhnya yang bisu.

Saya terpaksa tinggalkan mereka yang lain di situ. Saya perlu selamatkan keluarga saya dulu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

50 Tahun Tragedi 13 Mei 1969

50 Tahun Tragedi 13 Mei 1969

Insiden berdarah 13 Mei 1969 yang berlaku hanya tiga hari selepas pilihan raya umum (PRU) ke-3 menjadi detik hitam yang tidak dapat dipadam dalam lipatan sejarah negara. Biarpun berpuluh tahun berlalu, 13 Mei masih digunakan sebagai senjata oleh sesetengah pemimpin politik bagi mencapai kepentingan mereka, terutama apabila tiba musim pilihan raya.

Tragedi 13 Mei

Bagi mangsa yang masih hidup, atau ahli keluarga bagi mangsa yang terkorban, trauma masih berbekas. Tragedi itu menjadi luka bisu dan tabu yang tidak sanggup mereka bicarakan.

Seperti Malaysia, beberapa negara lain turut pernah berdepan trauma seperti 13 Mei, tetapi mereka berjaya mengharungi tempoh getir itu dan menuju ke arah perdamaian.

Lihat sahaja Afrika Selatan. Setelah Nelson Mandela diangkat sebagai presiden pada tahun 1994 (setelah lama memakai topi ‘pemimpin pembangkang’), kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian bagi menangani kesan dasar aparteid.

Suruhanjaya itu menganjurkan sesi siasatan (truth-seeking) bagi memberi kedua-dua pihak- mangsa (kaum berkulit hitam) dan penindas (kaum berkulit putih) - ruang selamat untuk berkongsi pengalaman. Pihak penindas dimaafkan dengan beberapa syarat tertentu dipenuhi.

Truth-seeking adalah proses mengenal pasti kebenaran (selalunya berkenaan konflik yang terjadi dalam sesebuah negara) sebelum membenarkan penemuan tersebut diakses oleh orang awam.

Tujuan sesi ini adalah bagi memulihkan hubungan antara dua kaum tersebut yang pernah terlibat dalam hubungan mangsa-penindas pada zaman aparteid. Ia dijalankan dengan menggalakkan proses pencarian kebenaran, persefahaman, ganti rugi yang sewajarnya, kemaafan dan kepercayaan terhadap perekodan sejarah.

Di samping menyiarkan laporan terperinci beribu-ribu muka surat, pihak suruhanjaya juga terus melakukan usaha membantu mangsa dan mencadangkan polisi yang dapat membantu pemulihan pada skala nasional.

Namun, sesi itu tetap mempunyai kelemahannya tersendiri.

Bagi menggalakkan kaum penindas mendedahkan perkara sebenar, mereka dijanjikan dengan tawaran pengampunan. Hal ini mengundang pertikaian memandangkan ia bercanggah dengan hak mendapatkan keadilan dalam kalangan mangsa dan keluarga mangsa. Kerajaan Afrika Selatan dicabar di Mahkamah Perlembagaan berhubung perkara ini.

Ini berbeza dengan apa yang terjadi di Jerman selepas berakhirnya Perang Dunia kedua. Pemimpin-pemimpin Nazi yang berjawatan tinggi dihukum mati atau penjara seumur hidup dalam perbicaraan Nuremberg.

Perbicaraan itu diadakan bagi menghukum penindas yang terlibat dalam jenayah penghapusan kaum terhadap kira-kira enam juta orang Yahudi Eropah bawah kerajaan Jerman Nazi. Perbicaraan tersebut dijalankan oleh Tribunal Ketenteraan Antarabangsa yang ditubuhkan oleh Pasukan Bersekutu setelah mereka menawan Jerman.

Bagaimanapun, pendekatan yang bersifat menghukum seperti itu tidak dapat memulihkan rasa percaya antara mangsa, penindas dan penyokong mereka.

Walaupun simbol Nazi diharamkan di Jerman, negara itu terus bergelut dengan gerakan Neo-Nazi. Pada 2012, agensi perisikan Jerman menganggarkan terdapat kira-kira 6,000 pengikut Neo-Nazi di negara itu.

Konteks sosial

Jadi, model manakah yang patut Malaysia contohi bagi membebaskan diri daripada kesan rusuhan 13 Mei yang masih menghantui?

Menurut pengkaji politik dari Universiti Sunway, Wong Chin Huat, pendekatan negara luar digagaskan mengikut konteks sosial mereka dan berdasarkan pengalaman mereka sendiri. Oleh itu, pendekatan mereka mungkin tidak sesuai diambil dan dilaksanakan seratus peratus di Malaysia.

Katanya, sebab utama Jerman mampu menyahkan unsur Nazi daripada rejim lamanya kerana ketika itu mereka kalah.

Selepas penyatuan semula Jerman juga, rekod lampau berkenaan Stasi (polis rahsia Jerman timur) didedahkan dan mereka yang terlibat dengannya diharamkan daripada menjawat beberapa pekerjaan. Hal itu sama sahaja dengan pemutihan di sesetengah negara ketika era pasca-komunis.

“Bila rakyat terima sesuatu jenayah telah dilakukan kerajaan mereka, masa lalu perlu dilupakan demi membina masa depan yang berbeza,” katanya.

Di Afrika Selatan pula, jelas Wong, keadilan dapat ditegakkan memandangkan dasar aparteid memang dikutuk oleh seluruh dunia, lebih-lebih lagi orang kulit hitam merupakan kaum majoriti di situ.

Tambahnya lagi, sekiranya tindakan tegas dikenakan terhadap rejim lama Afrika Selatan, konflik etnik akan berlarutan. Oleh itu, pendekatan yang lebih lembut diambil.

Di sesetengah negara pula, “keadilan peralihan” tidak pernah dilaksanakan. Keadilan peralihan merujuk kepada langkah kehakiman dan bukan kehakiman bagi menangani pelanggaran hak asasi manusia.

Di Indonesia contohnya, penyiasatan terhadap pembunuhan beramai-ramai komunis dan orang Cina dibimbangi akan menyebabkan ketidastabilan politik dan sosial.

“Kalau tak ada keadilan peralihan ini, maka bagi mangsa, tidak adalah penamatnya. Oleh itu, tidak akan ada perdamaian dalam erti kata yang sebenarnya. Dari satu segi pula, jika keadilan peralihan ini menyebabkan pihak satu lagi (penindas) bertindak balas dengan keras, perdamaian juga tak akan dapat dicapai,” katanya.

Di Malaysia, cabaran terbesar ialah mendapatkan kebenaran. Walaupun Majlis Gerakan Negara (Mageran) telah menerbitkan kertas putih tentang rusuhan itu pada Oktober 1969, laporan itu berdepan pertikaian yang tidak putus-putus.

Berdasarkan laporan tersebut, rusuhan 13 Mei dikatakan tercetus sebagai tindak balas terhadap perarakan parti pembangkang yang tidak sensitif ketika meraikan kejayaan mereka menyapu hampir separuh kerusi DUN Selangor pada pilihan raya umum (PRU) 1969.

Bagaimanapun, cendekiawan seperti Kua Kia Soong mendakwa rusuhan 13 Mei berkemungkinan merupakan satu rampasan kuasa terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, yang menyokong timbalannya Tun Abdul Razak Hussein. Penobatan Abdul Razak sebagai perdana menteri pada 1970 dikatakan sebagai bukti yang membenarkan dakwaan tersebut.

Perbezaan laporan angka kematian turut mengundang perdebatan. Jika berpandukan laporan Mageran, 196 terkorban. Bagaimanapun, diplomat-diplomat British menganggarkan angka korban sekitar 800 orang.

Satu lagi hal yang menimbulkan perdebatan ialah perbezaan kadar kematian Cina dan Melayu- kebanyakannya akibat tembakan senjata api. Hal itu menimbulkan tanggapan bahawa wujud sikap memihak di kalangan pasukan keselamatan yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu.

Banyak yang diperjudikan

Selain itu, langkah pemulihan daripada rusuhan itu turut dikatakan bermasalah. Parlimen digantung pada 1969. Ketika parlimen bersidang semula pada 1971, Razak merupakan perdana menteri.

Razak percaya bahawa perpaduan hanya boleh dicapai melalui agihan kekayaan yang adil. Kepercayaan itu menjurus kepada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 bagi meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera.

Biarpun DEB tidak lagi dilaksanakan, semangatnya masih utuh dalam dasar-dasar lain yang memberi kelebihan kepada kaum Melayu dan bumiputera lain.

Tambah Wong, ramai bukan Melayu percaya, sekiranya tragedi 13 Mei disingkap dan dikaji semula, ia akan memberi ruang buat kerajaan menimbang semula kesesuaian dasar pro-Melayu yang diamalkan sejak selepas 1969.

Pada masa sama pula, menurutnya lagi, kebayanakan orang Melayu melihat sistem pro-Melayu sebagai asas kelangsungan hidup serta tanda dominasi etnik dan agama mereka yang perlu dipertahankan tak kira apa pun terjadi.

“Jika mengkaji semula sejarah boleh membahayakan sistem tersebut, maka mereka akan rasa perlu untuk menyembunyikan atau memesongkan fakta sejarah.

“Jika sejarah di sebalik 13 Mei itu hanya akan mencetuskan perang lebih besar, maka menyingkap dan mengkajinya semula tidak akan membawa kita lebih dekat ke arah perdamaian.

“Tapi, jika kita terus melupakan tragedi 13 Mei, bukan sahaja mangsa dan keluarga mangsa tidak akan mendapat penamat yang sepatutnya, 13 Mei akan terus dipergunakan parti-parti politik dan terus menghantui kita,” tambahnya lagi.

Atasi ketakutan dan mulakan perbincangan

Berpuluh tahun berlalu, generasi selepas 1969 membesar dengan rasa takut terhadap tragedi 13 Mei. Insiden itu tidak diceritakan dalam buku-buku sejarah, sementara mereka yang pernah melaluinya enggan berbicara tentangnya kepada generasi lebih muda kerana tidak mahu dipandang serong.

Selama berpuluh-puluh tahun, 13 Mei menjadi momok yang membuatkan rakyat risau setiap kali timbul isu tukar kerajaan. Jika disingkap semula pada tahun 1969, rusuhan itu berlaku selepas penyokong pembangkang meraikan ‘kemenangan’ mereka di Selangor, sedangkan hakikatnya ketika itu DUN tergantung.

Tetapi pada tahun 2008 dan 2018, pertukaran kerajaan berlaku secara aman di peringkat negeri dan pusat. Kerisauan tentang kemungkinan berlakunya kekecohan hanya tinggal cakap-cakap sebelum pilihan raya saja. Adakah kini kita sudah sampai ke waktu yang tepat untuk membincangkan tentang rusuhan 13 Mei?

Sepuluh tahun dahulu, bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Jerald Joseph mula menganjurkan bengkel antiperkauman dan bengkel antidiskriminasi. Baginya, perbincangan terhadap episod hitam itu perlu digalakkan bagi memastikan kita dapat melangkah selangkah lebih dekat ke arah perdamaian.

“Perdamaian adalah tentang bagaimana kita hendak mengatasi rasa curiga, salah faham, salah maklumat, dan berubah ke arah menghormati antara satu sama lain.

“Kalau langsung tak bercakap, atau tak dapat bercakap tentang ini (rusuhan), maksudnya kita belum bebas daripada terperangkap dalam sejarah silam.

“Saya rasa buku sejarah hari ini mestilah cuba mendedahkan pelaku sebenar yang terlibat dan bagaimana ia terjadi,” katanya lagi.

‘Tak ada orang nak berperang’

Dalam tiga dekad pertama selepas rusuhan berlaku, sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat tentang insiden itu di Arkib Negara hanya akan dapat menemui laporan Mageran.

Salinan-salinan surat khabar daripada tahun 1969 tak ditemui kerana dikatakan telah rosak dimakan waktu.

Tetapi perubahan sedang berlaku. Salinan-salinan rencana surat khabar dan gambar berkaitan rusuhan itu mula memasuki arkib sejak 2001, dan kini sudah boleh diakses oleh orang ramai.

Antara gambar yang boleh didapati ialah gambar sekitar kempen pilihan raya pada tahun itu, perarakan jenazah seorang pekerja daripada Parti Buruh di Kuala Lumpur (berdasarkan laporan Mageran, perarakan itu adalah penyebab kepada meningkatnya ketegangan sebelum berlangsung pilihan raya), dan gambar sekitar stadium yang menempatkan pelarian 13 Mei. Beberapa buku terbitan NGO serta transkrip daripada pengakuan lisan turut boleh didapati.

Bagaimanapun, memandangkan surat khabar lama belum disimpan secara digital, ada helaiannya yang sudah reput dan hancur apabila diselak.

Kemasukan barangan ini ke dalam arkib secara tidak langsung memberi gambaran bahawa kita semakin bersedia untuk membincangkan isu 13 Mei.

Bagi Joseph, dia percaya Malaysia sudah bersedia untuk mengguna pakai model suruhanjaya seperti di Afrika Selatan bagi mendapatkan kebenaran 13 Mei, dan seterusnya menuju ke arah langkah perdamaian yang tidak berunsurkan politik.

Pengalamannya menganjurkan bengkel-bengkel antiperkauman mengajarnya bahawa rakyat Malaysia mampu berbicara tentang kesangsian dan ketakutan yang mereka rasa terhadap kaum lain tanpa menimbulkan kesan susulan yang negatif.

“Ada yang sampai menangis semasa proses itu, tapi di akhirnya, semua berpelukan, dan mereka mula bercakap tentang penderitaan masing-masing.

“Itu juga salah satu proses perdamaian. Dah banyak usaha-usaha kecil dilakukan, sedikit demi sedikit, dan saya rasa dah tiba masanya Malaysia menyelesaikan masa silam kita tentang perkauman.

“Semua itu adalah masa lepas. Tak ada orang yang mahu ajak berperang. (Cadangan) ini hanyalah untuk kita tutup buku lama supaya tak ada lagi yang berani menggunakan 13 Mei sebagai cara mengugut rakyat Malaysia yang lain,” kata Joseph.

Kerajaan rapuh

Tidak semua berpendapat sedemikian. Helen Ting ialah seorang penganalisis politik yang pakar dalam politik identiti kebangsaan, kepelbagaian budaya dan pendidikan sejarah.

Menilai daripada keadaan politik semasa, dia percaya, sekarang bukanlah masa yang tepat untuk membincangkan isu-isu perkauman yang sensitif seperti 13 Mei.

Katanya, kerjasama Umno-PAS selepas PRU-14 memacu agenda politik yang berasaskan kaum dan agama.

“Membincangkannya sekarang dalam keadaan kerajaan terlalu ‘rapuh’ untuk berdepan dengan retorik politik perkauman yang bersifat memecah-belahkan, ia hanya akan menyimpang daripada objektif perdamaian,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan belum cukup bersedia dan beberapa kali tunduk apabila berdepan tekanan berkaitan isu bangsa dan agama.

“Saya percaya satu hari nanti, kerajaan patut mengakui pengalaman yang dialami rakyat ini, patut mengakui yang rakyat hanyalah mangsa dan tidak bersalah.

“Tapi bilakah masa itu? Itulah masalahnya. Saya tak rasa sekarang masa yang tepat,” katanya.

Menurut Ting, keadaan kini sudah berubah dengan pelaksanaan DEB berjaya meningkatkan status sosioekonomi golongan Melayu dalam kelas pertengahan.

“Mereka pun tak mahu rusuhan kaum terjadi lagi, kerana ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara dan turut memberi kesan kepada mereka.

Daripada menjadikan 13 Mei sebagai kisah peringatan, bagi Ting, cara lain boleh digunakan untuk mengelak insiden itu daripada berulang. Cara itu termasuklah penguatkuasaan undang-undang yang adil dan kawalan terhadap penyebaran berita palsu.

Naratif baru

Bagi Penganalisis politik Abdul Rahman Embong pula, mendapatkan kebenaran tentang kejadian 13 Mei 1969 merupakan satu tugas yang sukar.

“Menggali masa silam ada baik dan buruknya, terutamanya masa silam yang sensitif. Kalau kamu kata mahu cari kebenaran, macam mana kamu hendak sahkan kebenaran? Apa yang benar bagi kamu, mungkin tak diterima sebagai benar oleh pihak lagi satu,” kata profesor emeritus dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Tambahnya, dia percaya rusuhan seperti 13 Mei berkemungkinan besar tidak akan berulang memandangkan keadaan politik dan ekonomi Malaysia sudah berubah.

“Kenapa nak patah balik? Kita patut bergerak ke depan. Ya, ada kesilapan pada masa silam, tapi apa yang penting ialah masa depan. Kalau masa silam itu baru sahaja berlalu, itu lain cerita. Tapi ini sudah dekat setengah abad berlalu,” katanya lagi.

Daripada melaksanakan sesi kebenaran dan perdamaian seperti di Afrika Selatan, katanya, lebih baik kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bagi membuat pungutan suara di peringkat akar umbi tentang naratif baru Malaysia yang sepatutnya.

Ke arah perdamaian, satu topik sukar yang perlu ditangani ialah tindakan afirmatif berasaskan kaum dan kesannya terhadap perpaduan nasional.

Kata Joseph, biarpun tindakan afirmatif berasaskan kaum diterima sebagai cara untuk membetulkan ketidakstabilan pada tahun 1969, polisi seumpama itu jika dijalankan tanpa tarikh luput akan membudayakan diksriminasi kaum.

Jika mahu menuju perpaduan, polisi itu perlu diganti dengan polisi berasaskan keperluan. Biarpun menurut Abdul Rahman, polisi berasaskan keperluan tetap akan memberi kelebihan kepada orang Melayu memandangkan ramai golongan B40 terdiri daripada kaum itu, setidak-tidaknya golongan memerlukan daripada kaum lain akan turut dibantu.

Pun begitu, jika dinilai daripada reaksi rakyat terhadap keputusan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), sebarang perbincangan ke arah memansuhkan semangat DEB (dalam dasar lain) pasti akan berdepan tentangan hebat.

Bagi Wong, arah tuju sistem politik dan sosio-ekonomi negara perlu ditentukan oleh pendapat rakyat pada masa kini, bukan apa yang terjadi pada masa lepas.

Tegasnya, bagi membolehkan perbincangan sejarah dilakukan dan memperbetul sebarang ketidakadilan, rakyat perlulah bersikap ‘memahami dan berempati’, bukannya terus memilih pihak demi kepentingan peribadi sendiri.

“Paling penting, kita perlu merekod sejarah sebanyak yang boleh. Saksi dan mangsa semakin lama semakin tua, seorang demi seorang meninggal dunia.

“Kemudian, kita perlu mengkaji arkib sejarah memandangkan banyak fail di arkib negara luar mungkin sudah tidak lagi dilabelkan sulit. Bagi melakukan perkara ini, kita perlukan dana yang mencukupi,” tambah Wong.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Saturday, May 13, 2017

Kronologi Peristiwa 13 Mei 1969

Kronologi Peristiwa 13 Mei 1969

Siri peristiwa yang berlaku sewaktu rusuhan '13 Mei' telah didokumen oleh Dr Kua Kia Soong dalam bukunya bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969.

Peristiwa 13 Mei

Maklumat ini adalah berdasarkan rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan dideklasifikasi sebagai rahsia.

Kompilasi yang berdasarkan kepada pelbagai laporan asing dan laporan sulit pada masa itu yang telah dideklafisikasikan dan boleh didapati di Pejabat Rekod Awam di London yang dianggap sebagai catatan yang boleh dipercayai berhubung tragedi 13 Mei tersebut.

Malah, katanya, versi rasmi mengenai tragedi itu penuh dengan percanggahan dan maklumat yang tidak mencukupi yang boleh dipercayai.

Di bawah adalah petikan dan ringkasan kronologi peristiwa rusuhan 13 Mei yang dipetik daripada buku Dr Kua itu:

10 Mei:

Parti Perikatan yang memerintah mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum tetapi masih memperolehi majoriti mudah di Dewan Rakyat. Perikatan kalah di Pulau Pinang kepada Gerakan; Kelantan kepada PAS dan menang tipis di Perak dan Selangor.

11 dan 12 Mei:

Pada kedua-dua malam tersebut, pembangkang merayakan kemenangan mereka. Satu perarakan besar parti Gerakan diadakan untuk mengalu-alukan kepulangan pemimpin parti itu, V David yang menang kerusi Parlimen di Pulau Pinang.

13 Mei:

MCA yang kalah teruk dalam pilihanraya umum itu, mengumumkan ia akan menarik diri daripada menganggotai kabinet tetapi masih kekal dalam Perikatan.

Satu laporan wartawan asing menunjukkan ada bukti bahawa ada rancangan bagi pemuda yang digerakkan oleh elemen-elemen dalam Umno untuk mengadakan perhimpunan di kediaman Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris pada lewat petangnya. Satu perbarisan balas telah dirancang diadakan walaupun tidak mendapat kebenaran pihak polis.

Apabila orang ramai masih berhimpun di perbarisan tersebut, pergaduhan berlaku dekat Kampung Baru, di mana dua buah lori orang Cina telah dibakar. Tragedi di Kampung Baru itu merebak dengan cepat ke serata tempat di Kuala Lumpur.

Wartawan asing itu berpendapat perintah berkurung yang dikenakan tidak adil kepada semua orang.

"Di jalan-jalan dekat Jalan Hale, saya dapat melihat pemuda Melayu yang bersenjatakan parang dan buluh runcing berhimpun di kawasan yang dapat dilihat dengan jelas oleh pasukan keselamatan yang berkawal di persimpangan jalan. Manakala di Batu Road, sejumlah wartawan asing melihat anggota Regimen Askar Melayu menembak ke dalam rumah-rumah kedai orang Cina tanpa sebarang sebab.

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman terus mengatakan bahawa keganasan itu berpunca daripada tindak tanduk penyokong pembangkang selepas keputusan pilihanraya diumumkan, manakala timbalannya, Tun Abdul Razak menyalahkan pihak komunis.

14 Mei:

Rusuhan berterusan tetapi secara kecilan. Perintah berkurung hanya ditarik balik di pelbagai kawasan secara berperingkat mengikut waktu-waktu tertentu bagi membolehkan penduduk keluar membeli makanan. Pihak polis telah mengerahkan semua anggotanya bertugas dan menyerahkan tugas mengawal bahagian utara bandaraya kepada pihak tentera.

Polis berkata 44 orang terbunuh dan 150 lagi cedera pada malam sebelumnya. Satu lagi laporan menunjukkan kebanyakan mangsanya adalah orang Cina dan ia menyatakan sekurang-kurangnya 66 daripada 77 mayat di hospital besar pada 14 Mei adalah orang Cina.

Percubaan kerajaan untuk menyalahkan komunis yang mencetuskan rusuhan tersebut bagaimanapun tidak diambil serius oleh para pegawai di Pesuruhjaya Tinggi British (BHC), yang berpendapat Tunku tidak bersedia menyalahkan orangnya sendiri yang mencetuskan rusuhan tersebut, dan tidak pula menyalahkannya kepada orang CIna "secara keseluruhannya".

15 Mei:

Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat. Majlis Gerakan Negara yang diketuai oleh Tun Razak ditubuhkan. Tun Razak masih bertanggungjawab kepada Tunku, tetapi semua kuasa di bawah Peraturan Darurat diletakkan dalam tangannya.

Perintah berkurung itu ditarik balik buat sementara di Kuala Lumpur pagi itu tetapi keadaan kembali buruk dan berlaku banyak pergaduhan di sana sini. Perintah berkurung dikuatkuasakan semula tetapi bekalan makanan makin berkurangan.

Penerbitan akhbar-akhbar tempatan telah digantung sehingga peraturan penapisan digubal tetapi tiada usaha diambil untuk menyelia laporan-laporan yang dihantar keluar oleh wartawan asing.

16 Mei:

Keadaan masih tegang di Selangor di mana kereta dan rumah dibakar dan angka korban meningkat. Jumlah kematian meningkat kepada 89 orang dengan lebih 300 lagi mengalami kecederaan. Perintah berkurung 24 jam diteruskan di Selangor dan turut dikuatkuasakan di Melaka. Di Pulau Pinang dan Perak, keadaan semakin baik walaupun perintah berkurung masih dikuatkuasakan.

Tunku membuat pengumuman mengenai penubuhan Pasukan Pertahanan Negara yang akan dianggotai oleh sukarelawan. Menteri Penerangan yang baru, Datuk Hamzah Abu Samah dan Tun Razak mengadakan siding akhbar di mana mereka mengatakan punca rusuhan itu adalah peresapan komunis ke dalam parti-parti politik.

Terdapat laporan mengenai perbuatan mencuri oleh anggota tentera Melayu dan sikap mereka yang berat sebelah terhadap masyarakat Cina Malaysia. Jumlah pelarian juga meningkat.

17 Mei:

Sepucuk telegram BHC, ia menunjukkan terdapat keraguan di kalangan para pegawai British tentang angka rasmi mangsa rusuhan dan jumlah kematian yang tinggi di kalangan orang Cina. Polis menganggarkan kira-kira 100 kematian manakala para pegawai British pula menganggarkan nisbah kematian orang Cina berbanding dengan Melayu ialah kira-kira 85:15.

Tindakan menapis laporan akhbar telah mencetuskan kritikan bukan sahaja dari kalangan media tempatan tetapi juga di kalangan anggota diplomatik terutama apabila kenyataan rasmi tidak jelas dan tidak berwibawa.

Memorandum sulit BHC kepada Pejabat Asing dan Komanwel (FCO), mengakui mengenai coup d'etat atau rampasan kuasa dan kuasa telah berpindah bukan sahaja 'ke tangan orang Melayu' tetapi juga pasukan keselamatan. Ekoran itu profesionalisme pasukan keselamatan dipersoalkan.

BHC juga mencatatkan bahawa di kalangan pasukan keselamatan, Unit Simpanan Persekutuan yang pada masa ini mempunyai anggota pelbagai kaum lebih adil dan tidak bersikap berat sebelah. Manakala anggota Melayu pula bersikap diskriminasi ketika menguatkuasakan perintah berkurung.

"Diskriminasi itu berlaku, sebagai contohnya, tidak menguatkuasakan perintah berkurung di kawasan Melayu (Kampung Baru) di mana orang Melayu yang bersenjatakan parang, dsb, terus bergerak bebas, dan ada yang menyelinap keluar dan menyerang orang Cina di luar kawasan tersebut. Di kawasan orang Cina, perintah berkurung dikuatkuasakan secara ketat.

18 Mei:

Tunku memperjelaskan kenyataan awalnya bahawa kekacauan itu dicetuskan oleh komunis, dengan meletakkan kesalahan itu kepada "anasir-anasir jahat". Beliau juga mengumumkan penangguhan pilihanraya Sarawak dan sekatan terhadap pergerakan wartawan asing diteruskan.

Keadaan masih belum pulih di beberapa kawasan di ibu Negara.

19 Mei:

Tidak sampai seminggu selepas berlaku rusuhan tersebut, kuasa pemerintahan telah diserahkan kepada Tun Razak - menunjukkan adanya komplot melakukan rampasan kuasa.

"Hubungan sebenar antara Tun Razak dengan Tunku adalah tidak jelas. Di khalayak awam, Tun Razak berkata beliau bertanggungjawab terus kepada Tunku tetapi di belakangnnya, beliau menyatakan sebaliknya. Ini mungkin bermakna, telah bermula proses pelepasan jawatan Tunku sebagai Perdana Menteri".

Dilaporkan terdapat kira-kira 10,000 pelarian. Media tempatan dibenar diterbitkan dengan tapisan manakala pas perintah berkurung untuk wartawan asing ditarik balik. Beberapa ahli politik pembangkang telah ditahan.

20 Mei:

Dalam satu mesyuarat, Pesuruhjaya Tinggi Australia telah mencadangkan supaya pemimpin pembangkang diberi peranan sebagai pengaman, tetapi ditolak oleh Tun Razak dan Tan Sri Ghazali Shafie. "Mereka menganggap pemimpin pembangkang akan menggunakan peluang itu untuk kepentingan politik mereka sendiri."

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia meneruskan program memberi makanan harian kepada para pelarian di pelbagai tempat dan lebih 5,000 menerima bekalan makanan.

21 Mei:

Statistik rasmi mangsa korban ketika itu adalah seramai 137 orang (18 Melayu), 342 cedera, 109 kenderaan dibakar, 118 makanan musnah dan 2,912 orang ditahan, sebahagian besarnya kerana melanggar perintah berkurung.

23 Mei:

Dokumen yang dideklasifikasikan itu mendedahkan anggota tentera Melayu bukan sahaja baik dengan samseng Melayu tetapi juga melepaskan tembakan sembarangan ke arah rumah kedai orang Cina ketika mereka meronda di kawasan bandaraya.

"Ketika ditanya oleh wartawan asing mengenai laporan berlakunya diskriminasi kaum itu, Tun Razak menafikan semuanya. Ekoran itu, pas perintah berkurung yang dikeluarkan kepada wartawan asing ditarik balik dan mereka diarahkan tidak keluar arumah "demi keselamatan diri mereka".

Laporan seorang wartawan asing menunjukkan samseng-samseng Melayu sangat dibenci oleh penduduk Melayu yang mematuhi undang-undang di Kampung Baru.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tun Dr Ismail membayangkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri akan dipinda pada masa depan "untuk bertindak balas terhadap taktik komunis". Diumumkan 3,699 telah ditahan sepanjang krisis tersebut dan 952 adalah anggota kongsi gelap.

24 Mei:

Keamanan dipulihkan di Kuala Lumpur dan suasana di bandaraya juga semakin baik. Orang ramai kembali bekerja (di luar waktu perintah berkurung). Perintah berkurung itu masih dikuatkuasakan (dari jam 3 petang hingga 6.30 pagi hari berikutnya). Kerajaan tidak bersedia untuk mengakui bahawa pemuda Melayu yang bersenjatalah yang mencetuskan kekacauan tersebut.

27 Mei:

Tunku amat marah dengan spekulasi wartawan asing mengenai kedudukannya yang dikatakan semakin lemah dan seterusnya mengarahkan setiausaha sulitnya supaya menghantar nota bantahan kepada BHC.

28 Mei:

Satu laporan sulit BHC kepada FCO pada hari ini menyifatkan percubaan kerajaan untuk menyalahkan komunis sebagai pencetus rusuhan tersebut sebagai satu usaha untuk menjustifikasikan kuasa authoritarian yang baru.

Jun:

Keadaan kembali terkawal tetapi masih berlaku kekacauan di sana sini. Laporan BHC menegaskan keganasan berlaku lagi di satu kawasan di Kuala Lumpur pada malam 28 dan 29 Jun, di mana beberapa buah rumah telah dibakar dan lima orang terbunuh dan 25 lagi cedera. Beberapa kekacauan yang berlaku pada penghujung bulan Jun juga membabitkan kaum India.

Julai:

Berlaku satu lagi kekacauan di mana seorang anggota polis terbunuh tetapi pihak polis bertindak segera mengawalnya supaya tidak merabak ke tempat lain di Kuala Lumpur.

Pendirian tegas Tun Ismail dalam mengarahkan pasukan keselamatan bertindak tegas "tanpa memilih bulu' terhadap mana-mana kumpulan dan pengumuman Tunku mengenai penubuhan Jawatankuasa Muhibbah Negara yang dianggotai ahli politik dari semua parti politik, telah membantu mengurangkan rasa takut di kalangan rakyat.

Tun Ismail juga mengumumkan bahawa 8,114 telah ditahan sehingga Mei, terdiri daripada mereka "dari semua kaum-kaum utama". Daripada jumlah itu, 4,192 telah didakwa di mahkamah, 675 dibebaskan dengan ikatjamin, 1,552 dibebaskan tanpa syarat dan ,695 dikena tahanan pencegahan.

Keadaan di Semenanjung kembali baik semula tetapi tahap ketegangan masih tinggi di kawasan sensitif di Melaka, Perak and Selangor.

Ketegangan semakin pulih tetapi menjadi panas semula ekoran pemecatan Dr Mahathir Mohamad daripada Jawatankuasa Pusat Umno pada 12 Julai dan Tunku memperolehi semula kuasa.

Mahasiswa Melayu menghantar petisyen menuntut Tunku meletakkan jawatan dan mengadakan demonstrasi di kampus.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, May 11, 2017

Peristiwa 13 Mei 1969, Rusuhan Kaum Atau Cubaan Rampasan Kuasa?

Peristiwa 13 Mei 1969, Rusuhan Kaum Atau Cubaan Rampasan Kuasa?

Pada tahun 2007, satu buku — May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 yang ditulis oleh akademik, bekas ahli Democratic Action Party, dan bekas ahli parlimen Kua Kia Soong — telah diterbit oleh Suaram.

Peristiwa 13 Mei 1969

Berdasarkan dokumen yang baru 'declassified' di pejabat maklumat awam London, buku tersebut mengatakan bahawa rusuhan tersebut bukannya disebabkan parti pembangkang sepertimana cerita rasmi yang diberikan, tetapi rusuhan tersebut dimulakan oleh "ascendent state capitalist class" di UMNO sebagai 'coup d'etat' untuk menumbangkan Tunku Abdul Rahman.

Bagaimanapun ia hanyalah merupakan suatu pendapat sahaja atau cerita dari sebelah pihak lain yang belum lagi pernah dibuktikan kesahihan atau sebaliknya.

Apa sebenarnya yang mencetuskan rusuhan paling buruk dalam sejarah 50 tahun Malaysia, yang mengorbankan 196 nyawa (mengikut rekod rasmi), masih menjadi rahsia dan sehingga ini terdapat pelbagai versi mengenainya.

'Versi rasmi' menyebut rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti Perikatan kalah teruk.

'Semuanya karut'

Bagaimanapun, pihak pembangkang telah menyangkal kebenaran versi tersebut. Terdapat teori-teori lain yang mendakwa rusuhan itu telah dirancang untuk menggulingkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.

Kekurangan maklumat awam mengenainya menjadi batu penghalang bagi mereka yang ingin mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku.

Tetapi satu set dokumen yang baru dideklasifikasikan di London, telah membuka peluang kepada ahli sosiologi, Dr Kua Kia Soong untuk mencari kebenarannya.

Pada akhir tahun 2006, Pengetua Kolej New Era itu telah mengambil cuti belajar selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan dideklasifikasi sebagai rahsia.

Hasil kajiannya ke atas dokumen yang dideklafisikasikan itu yang telah dikompilasikan dalam buku tersebut  mendapati, rusuhan 13 Mei bukanlah berpunca daripada keganasan kaum, sepertimana yang telah digambarkan kepada rakyat Malaysia.

"Sejarah (rasmi peristiwa) 13 Mei penuh dengan karut-marut, ia tidak mendedahkan apa-apa. Ia meletakkan kesalahan itu ke atas parti pembangkang yang sebenarnya tidak benar, mereka bukan menjadi puncanya," kata Dr Kua dalam satu temubual.

"Buku saya itu menunjukkan bahawa pihak yang bertanggungjawab adalah golongan kapitalis (dalam Umno), elemen-elemen dalaman yang merancang dan melaksanakan pelan ini. Ada rancangannya berdasarkan kepada mereka yang berkumpul di kediaman menteri besar (Selangor).

"Terdapat dokumen dan laporan risikan yang menunjukkan perkara itu. Sejarah rasmi perlu mendedahkan kebenaran dan bukannya meletakkan kesalahan kepada setiap orang yang sepatutnya tidak harus dipersalahkan," kata aktivis sosial dan pendidikan itu.

Dr Kua menegaskan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu 'coup d'etat' atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu yang disokong oleh polis dan tentera untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama untuk melaksanakan agenda baru Melayu.

Plot menumbangkan Tunku

Beliau berpendapat, rusuhan itu adalah perbuatan 'samseng Melayu' yang disokong oleh ahli-ahli politik di belakang rancangan rampasan kuasa tersebut.

Sebagai contohnya, kata beliau, "sekumpulan samseng tiba-tiba muncul dari semua penjuru" pada 13 Mei untuk berkumpul di kediaman Datuk Harun dan tindak-tanduk polis dan tentera yang boleh dipersoalkan yang hanya berdiri dan memerhatikan sahaja apa yang sedang berlaku.

Tambahnya, dokumen-dokumen itu juga menunjukkan, kurang daripada seminggu selepas rusuhan tersebut, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, yang mempengerusikan Majlis Operasi Negara, diberi kuasa penuh untuk mentadbir negara satu petanda wujudnya komplot mengenainya.

Manakala perbincangan mengenai perancangan masa depan telah pun dijalankan sebelumnya, termasuk Dasar Kebudayaan Negara (diumumkan pada 1971).

Satu dokumen rahsia dari pejabat kabinet Britain yang dimuat dalam buku tersebut, menunjukkan, tidak sampai seminggu selepas rusuhan itu berlaku, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dapat mengesan apa yang sedang dirancang oleh Tun Razak 'untuk memperkukuhkan ketuanan Melayu, meminggirkan kaum Cina dan mengenepikan Tunku'.

Dr Kua turut mempersoalkan peranan anggota pasukan keselamatan dalam peristiwa berdarah 13 Mei itu.

"Malah, ketika itu, kalangan diplomatik (juga tertanya-tanya) mengapa, pada hari rusuhan itu berlaku, Razak bertemu dengan pegawai tertinggi polis dan tentera, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa," katanya.

Lebih menarik lagi, kata Dr Kua, pasukan keselamatan Malaysia adalah sebuah pasukan yang berpengalaman luas sewaktu melancarkan peperangan terhadap pengganas komunis antara tahun 1948 dan 1960 dengan reputasi tinggi.

"Merekalah yang berjaya menghapuskan penentangan komunis yang membabitkan operasi yang lebih sukar daripada mengawal rusuhan, tetapi mereka tidak dapat mengawal (rusuhan) pada 1969 selama berhari-hari, berminggu-minggu," soalnya.

Ekoran itu, Dr Kua membuat kesimpulan, "Peristiwa 13 Mei adalah satu helah untuk merampas kuasa."

"Saya bukanlah orang pertama yang berkata bahawa ia adalah satu rampasan kuasa, tetapi saya menyediakan dokumen yang menunjukkan bahawa ia adalah satu rampasan kuasa."

Jumlah korban tidak diketahui

Dokumen yang telah dideklafisikasikan itu termasuk laporan-laporan yang dibuat oleh wartawan asing yang berada di Kuala Lumpur pada masa itu, laporan kakitangan Pesuruhjaya Tinggi British yang memantau insiden tersebut dan pelbagai lagi laporan sulit dari kalangan diplomat.

Ini dianggap pertama kali satu catatan lengkap mengenai tragedi tersebut akan dapat ditatap rakyat Malaysia, kerana banyak laporan wartawan asing telah diharamkan di samping tiada akses terhadap dokumen tempatan.

Bagaimanapun, apa yang tidak dapat dipastikan dalam buku tersebut adalah satu lagi rahsia, iaitu jumlah sebenar korban tragedi tersebut.

Angka rasmi korban rusuhan 13 Mei adalah 196 orang, 180 cedera akibat senjat api dan 259 lagi cedera kerana senjata lain, 9,143 orang ditangkap dan 5,561 daripadanya didakwa di mahkamah, 6,000 kehilangan tempat tinggal dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan dan 753 bangunan telah musnah atau mengalami kerosakan.

Dokumen yang telah dideklasifikasikan dan dokumen antarabangsa yang lain pada masa itu menganggarkan jumlah korban yang lebih tinggi tetapi angka sebenarnya tidak diketahui, tetapi majoriti korban tersebut dikatakan dari kalangan orang Cina.

Dr Kua berkata, beliau berharap dapat memecahkan mitos tersebut melalui penerbitan bukunya.

"Rusuhan kaum akan berlaku bila orang Melayu tidak merasa senang, itulah sebab mengapa kita perlukan Dasar Ekonomi Baru, polisi tindakan afirmatif dan yang lain-lainnya, jika tidak orang Melayu tidak merasa senang dan rusuhan akan tercetus.

"Ini adalah mitos pertama yang kita perlu uraikan kerana dokumen-dokumen menunjukkan sesetengah mereka yang mencetuskannya (tragedi 13 Mei) bersubahat dengan pihak polis dan tentera," katanya.

Mitos kedua, kata Dr Kua, ahli akademik dan ahli teori majmuk yang memegang pandangan bahawa rusuhan akan berlaku secara semulajadi dalam negara yang rakyatnya terdiri dari berbilang kaum.

Sebaliknya, kata beliau, orang Melayu, Cina dan India tidak secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk bergaduh sesama mereka.

"Ia tidak berlaku macam itu," tambahnya lagi.

Ditanya sama ada beliau bimbang pihak berkuasa akan bertindak mengharamkan bukunya itu sepertimana yang berlaku kepada buku mengenai pergaduhan di Kampung Medan.

Dr Kua berkata, "Dalam zaman internet, apa maknanya apabila sesebuah buku itu diharamkan? Kita boleh siarkannya di laman web, anda boleh buat apa saja."

BACA INI JUGA: 'Sesuatu Yang Tidak Sopan Sedang Berlaku Di Malaysia'

sumber: malaysiakini