Monday, February 10, 2025

SBDJ Siri 223: Di Usik Manusia Keluang


Suaranya mula bergema, macam suara singa betina sarkas yang lapar. Keluang kian banyak bertenggek di dahan pokok besar. Suara dari kumpulan keluang itu amat mengganggu sekali. Sambil berbunyi, kumpulan keluang itu terus melepaskan biji dan kulit rambutan yang dibawa dari kawasan kampung berdekatan.

Toyol jadi-jadian

Tidak memadai dengan itu, kumpulan keluang tersebut terus berak dan kencing. Kami terpaksa berhadapan dengan bau yang kurang menyenangkan.

Ada keganjilan yang cukup ketara dilakukan oleh Ali Usman. Saya tidak tahu apakah perkara yang dilakukannya itu merupakan petua atau syarat yang telah diterapkan oleh datuk kepadanya.

Setiap sepuluh kali melangkah. Ali Usman berhenti dan menoleh ke arah saya dan datuk. Sudah tiga kali dia berbuat demikian. Peliknya manusia keluang juga turut berbuat demikian.

Sepuluh langkah menuju ke depan terus terhenti. Menoleh ke arah pangkal pokok besar, macam ada sesuatu yang dilihatnya di situ, seperti menerima arahan seseorang dari pokok besar.

"Maju terus jangan menoleh ke arah kami."

Arahan dari datuk segera dipatuhi oleh Ali Usman.

"Ingat, aku bersama kamu Ali," tambah datuk lagi. Suara cukup lantang sekali.

Dari jauh Ali Usman anggukkan kepala dan mengangkat tangan. Datuk senyum kerana dia tahu Ali Usman sudah cukup bersedia. Tidak boleh diganggu gugat, tidak mudah patah semangat.

Manusia kelawar juga mengikut rentak Ali Usman. Cepat langkah Ali Usman, cepat juga langkahnya. Ali Usman angkat tangan, dia juga angkat tangan. Ali Usman anggukkan kepala, dia juga anggukkan kepala.

Saya berdepan dengan suasana yang melucukan dan memaksa saya ketawa kecil.

KETAWA

"Jangan ketawa Tamar," tegah datuk.

"Kelakuan makhluk ganjil tu macam kartun tuk."

"Biarkan, kita tunggu dan lihat."

"Tapi, dia mempermain-mainkan kita tuk," saya luahkan rasa kurang senang.

"Kita tengok sejauh mana dia mahu memperdayakan kita," kata datuk sambil menggigit bibir.

Jawapan datuk itu memang tidak menggembirakan hati. Saya dongakkan kepala ke dada langit, melihat awan putih nipis bergerak ke arah gunung di selatan.

Bila datuk meluahkan kata "Kita lihat sejauh mana dia mahu memperdayakan kita", dalam erti kata lain, datuk tidak mahu bertindak. Dia sekadar mahu menonton saja.

Perhatian kembali ditumpukan kearah Ali Usman yang terus mara penuh semangat. Begitu juga dengan manusia kelawar.

Diduga satu pertarungan hebat lagi mencemaskan pasti berlaku. Antara manusia kelawar dengan Ali Usman siapakah yang lebih hebat?

"Jangan kemana-mana. Kamu duduk di sini.”

Datuk segera bergerak ke perdu pokok Pulai patah dahan akibat di panah petir.

Dengan tenang bersandar di situ, telapak kaki jarinya menekan akar pulai yang menolak bumi. Kaki kanannya diangkat separas lutut. Ekor matanya menjeling ke arah Ali Usman dan manusia kelawar.

"Nampaknya, datuk mula membuat persiapan," cetus batin saya sambil merenung ke arahnya.

"Jangan renung aku, tengok ke arah Ali," sergah datuk.

"Baik tuk." sahut saya cemas

SASARAN

Ali Usman dan manusia kelawar kembali menjadi sasaran sepasang anak mata saya. Kalau tadi langkah mereka rancak dan penuh semangat, kini kelihatan agak lemah.

Jarak mereka antara satu sama lain kian dekat. Pada hemat saya, sepuluh tapak melangkah ke depan pasti berlaga batang hidung.

Andainya Ali Usman menjadi korban manusia kelawar, apakah tindakan selanjutnya yang akan datuk lakukan?

Mungkinkah datuk bertindak atau lepas tangan. Semuanya bagaikan diundang muncul dalam tempurung kepala.

Dalam saat genting begini, perkara yang negatif saja yang muncul. Kenapa hal-hal yang positif tidak mahu datang? Suara kalbu saya terus bergelora dan bergolak.

"Ahhhh..."

Saya terkejut, Ali Usman dan manusia kelawar, berhenti melangkah, masing-masing terpaku kaku. Mereka terpisah dalam jarak sepuluh langkah. Terfikir oleh saya untuk merenung ke arah datuk yang bersandar di pangkal pokok Pulai.

Tetapi, bila teringatkan pesannya, hasrat tersebut terpaksa dibekukan.

"Dummmm..."

Bergema ledakan yang kuat. Bumi yang dipijak terasa bergegar dan badan terlayah ke kiri dan ke kanan. Akhirnya tersembam di permukaan bumi, berpusing-pusing macam gasing dan tercampak di pangkal pukok Pulai, tempat datuk bersandar.

"Bangun Tamar."

Sedaya upaya saya berusaha untuk bangun dengan berpaut pada lutut datuk. Bila berhasil berdiri dengan sempurna, jari jemari kanan datuk menepuk bahu kiri saya tiga kali berturut-turut.

Serentak dengan itu terdengar suara datuk menyebut beberapa potong ayat dari al-Quran untuk menghalau syaitan.

"Nampaknya aku seperti dicabar."

Datuk melepaskan geramnya dengan menumbuk pangkal Pulai hingga meninggalkan bekas. Kulit pokok tersebut terkupas.

Tersentak dengan tindak-tanduk itu, saya seperti mendapat semangat baru. Apa yang dialami sebentar tadi bagaikan tidak terasa.

"Tenaga kamu dah pulih Tamar?"

MENOLEH

Soalan datuk saya jawab dengan anggukan.

Entah macam mana, seperti didorong oleh sesuatu saya menoleh ke arah Ali Usman dan manusia kelawar. Kedua-dua-nya terkapar di tanah.

Ali Usman terlentang menentang langit sedangkan manusia kelawar tertiarap dengan sepasang kakinya masih menggeletek. Macam ekor cicak yang terputus dari badan.

"Sungguh ganjil, semuanya ganjii."

Datuk mengeluh, rupa-rupanya dia juga merenung ke arah yang sama seperti saya. Kami saling berpandangan tanpa sepatah kata. Bila saya amat-amati seperti ada kabus nipis keluar dari hujung kaki manusia kelawar.

Kabus nipis itu kelihatan naik memanjang ke udara yang kemudiannya mengembang akhirnya terus menghilang. Tanah berhampiran telinga manusia kelawar nampak berlubang sebesar buah kelapa.

Otak nakal segera membuat andaian, mungkin ledakan tersebut berpunca dan situ.

"Ah... dia masih hidup, syukur."

Itu yang muncul di hati, bila melihat sepasang kaki dan tangan Ali Usman bergerak-gerak. Menggeliat macam orang terjaga dari tidur yang panjang. Beberapa minit berikutnya terus duduk.

"Ali dah duduk Tuk," kata saya.

Tiada jawapan dari datuk tetapi, sepasang anak matanya masih terpanah ke arah Ali Usman yang sedang menggerakkan kepalanya kekiri dan ke kanan.

"Mari Tamar."

Datuk pun menarik tangan saya dengan kasar. Kami terus berlari anak mendapatkan Ali Usman yang tertonggok kebingungan.

Manusia kelawar yang terkapar tidak kami hiraukan. Suara kumpulan beburung gagak yang berpadu dengan suara jeritan kelawar liar dari pepohon sekitar kawasan tersebut, tidak kami pedulikan.

"Ali bagaimana kamu?" Tanya datuk.

Tiada jawapan dari Ali Usman.

Datuk terus meletakkan telapak tangan kanannya ke dahi Ali Usman. Perlahan-lahan telapak tangannya bergerak ke atas permukaan rambut hingga ke bahagian belakang tengkuk.

Perkara sedemikian dilakukan olen datuk sebanyak tiga kali berturut-turut. Dan sebagai penamatnya, belakang Ali Usman ditumbuk dengan sekuat hati hingga tersedak dan muntah. Manusia kelawar terus mengeruh macam babi hutan kena peluru senapang kampung.

PANTAS

Dengan pantas saya merapatkan sepasang kelopak mata, tidak sanggup melihat muntah Ali Usman yang melambak di tanah.

Sebagai manusia, rasa ingin tahu membuat saya membuka kelopak mata semula. Muntah yang berwarna kekuningan bercampur kehijauan dan berlendir membuat bulu tengkuk saya meremang dan tekak jadi loya.

"Ahhhhhhh..."

Saya mengalami kejutan yang luar biasa, bersama muntah yang berlendir itu keiihatan batu-batu kerikil, tanah liat. Beberapa batang paku belanda serta serpihan tembikar.

"Muntahkan lagi, biar semua yang ada di dalam isi perut kamu keluar," lembut nada suara datuk selembut telapak tangannya mengurut belakang Ali Usman.

"Saya tak terdaya lagi," suara All Usman tersangkut-sangkut.

"Hummmmmmm..."

Datuk menarik nafas dalam-dalam. Seiring dengan tarikan nafas itu datuk terus menepuk belakang Ali Usman dengan sekuat hati.

"Weeeeekkkkkk..."

Ali Usman membongkok dan lubang mulutnya terpancut muntah air yang keruh dan berkeladak. Baunya masam sekali.

Bila muntah air tidak lagi memancut dari mulutnya, Ali Usman nampak keletihan dan tidak bermaya, lembik macam ayam berak kapur.

"Kamu letih," tanya datuk.

Ali Usman anggukkan kepala.

"Tekak kamu kering."

Macam tadi juga. Ali Usman terus mengangguk.

"Kamu dahaga?"

Ali Usman gelengkan kepala.

"Bagaimana, apakah semuanya akan berakhir?" Tersekat-sekat Ali Usman mengajukan pertanyaan. Buat seketika, datuk termenung sambil menekan-nekan pangkal dagunya dengan ibu jari kanan.

"Kalau mengikut gerak langkah, petua orang tua-tua, semuanya sudah mahu berakhir," jawab datuk selamba.

Dan secara tidak langsung memberikan khabar gembira buat saya.

"Uuuuhhhhhh..."

Serentak saya dan datuk menoleh ke arah suara tersebut. Manusia kelawar yang hampir dilupakan cuba bergerak dan berdiri. Tetapi tidak berhasil.

Suara gagak dan jeritan kelawar liar mula berkurangan. Agak lama juga datuk merenungi manusia kelawar. Kelopak bibir datuk bergerak-gerak. Tidak tahu apa yang dikatakannya.

Mungkin dia menyebut sumpah petua orang tua-tua. Mungkin juga dia membaca potongan ayat-ayat dari al-Quran. Fikir saya dalam hati.

"Ah! pedulikan dia, kita uruskan hal si Ali ini dulu. Tak guna kita membuang masa di sini, kalau kita terlalu lama di sini, nanti orang yang menunggu marahkan kita," anak mata datuk menikam wajah.

Bibir bawah saya tekan dengan gigi hingga berbekas

Apakah pertanyaan itu wajar dijawab dengan kata-kata atau dengan gerak badan? Sukar untuk saya membuat keputusan.

"Bagaimana? Apakah pendapat aku itu betul atau salah, Tamar?"

Perasaan jadi tidak tentu arah, hati berdebar semacam. Jarang sekali datuk meminta pendapat atau pandangan dari saya.

"Betul tuk," kata saya penun yakin.

"Hummmm..." suara datuk lemah.

Lagi sekali datuk mengusap wajah Ali Usman hingga ke bahagian belakang tengkuk. Kedua-dua belah sayap bahu turut menjadi mangsa jari jemari datuk.

MUNTAH

Setiap kali picit dilakukan, Ali Usman batuk terbahak-bahak, bau mulutnya busuk kesan muntah.

Dari bahu, jari-jemari datuk turun ke tengah belakang dan akhirnya singgah di bahagian pinggang. Lebih tepatnya di belikat Ali Usman yang kegelian. Dengkur manusia monyet sekejap keras sekejap lembik.

"Tamar kamu picit kedua-dua belah buah betisnya."

"Iya Tuk."

Tanpa diarahkan. Ali Usman memberikan kerjasama yang sungguh baik. Sepasang kakinya dilunjurkan. Dan buah betis yang dipadati dengan daging keras terus saya picit.

"Cuba berdiri."

Cakap datuk segera di patuhi, secara perlahan-lahan dan penuh hati-hati Ali Usman berusaha berdiri. Kali pertama gagal, kali kedua juga gagal. Kepala lututnya, seolah-olah tidak berfungsi sama sekali.

Tetapi usaha kali ketiga cemerlang sekali. Dapat berdiri seperti keadaan asal. Ali Usman boleh menghayunkan kakinya ke kiri dan ke kanan, sesuka hati.

Kegembiraan terpancar dimuka datuk dan saya menarik nafas lega.

"Saya dah pulih."

Ali Usman memberitahu datuk, seiring dengan senyuman yang berlari di kelopak bibir. Dua tiga kali, sepasang tangannya diangkat dan dijatuhkan.

"Sekarang saya boleh berjalan?"

"Nanti dulu."

"Kenapa pula?” Ali Usman kehairanan.

Datuk tidak memberikan jawapan pasti, sebaliknya mencabut keris di pinggang dan terus membongkok. Dengan hujung keris pendek dia mencungkil dan mengkuis-kuis tanah lalu dikumpulkan menjadi dua longgokan.

Dua helai daun hijau yang lebar dipetik dari ranting pokok berdekatan.

Memang diyakini, daun yang berada di tangan datuk adalah daun mengkudu hutan yang mempunyai khasiat tersendiri. Setiap urat di daun boleh dijadikan penawar sakit berbisa.

Memilih daun untuk dijadikan penawar harus pandai, mesti dipilih urat daun yang bertindih. Daunnya tidak terlalu tua, tidak pula terlalu muda. Tangkainya mesti terdapat garis-garis nipis.

PETIK

Kedudukan daun yang mahu dipetik itu mestilah mengarah ke kiblat. Dimulai dengan Bismillah dan diakhiri dengan selawat terhadap Nabi SAW.

Ciri-ciri itulah yang dilakukan oleh datuk. Saya masih buntu dan tidak dapat menduga untuk apa daun mengkudu hutan itu dipetik oleh datuk.

"Untuk apa?" tanya saya sendirian.

Bila melihat datuk membungkus dua longgokan tanah dengan daun mengkudu hutan. Tak ubah seperti membungkus nasi lemak.

"Kemari dan berdiri di depan aku."

Macam kanak-kanak tadika, Ali Usman mematuhi cakap datuk.

Saya menelan air liur. Perhatian tetap saya tumpukan pada datuk dan Ali Usman. Suara gagak dan jentan kelawar sudah pun berakhir. Di ganti dengan kicau burung.

"Lipat seluar kamu hingga paras pangkal paha," lantang suara datuk menguasai kawasan sekitar. Ali Usman pun membongkok lalu menggulung kaki seluarnya seperti yang diinginkan oleh datuk.

"Lagi apa yang mesti saya buat?" Ali Usman pula bertanya.

"Begini, semasa aku melumurkan kedua-dua lutut kamu dengan tanah, kamu bacalah surah Al-Fatihah tujuh kali. Minta pertolongan dan perlindungan dari Allah, kamu faham?"

"Faham," angguk Ali Usman.

Sebelum bungkusan berisi tanah singgah di kepala lutut Ali Usman, hujung keris kecil dicucuk ke bahagian bucu bungkusan tiga kali berturut-turut. Kemudian baru bungkusan berisi tanah dihempaskan ke kepala lutut Ali Usman.

Bila bungkusan pecah, tanah bertaburan, Ali Usman menjerit kesakitan untuk seketika. Cebisan daun pembungkus segera dikutip oleh datuk lalu dilemparkan ke arah tubuh manusia kelawar.

Sebaik saja terkena cebisan daun mengkudu hutan, manusia kelawar terus bangun terpekik terlolong, mengejutkan dan menghentikan nyanyian beburung.

"Tuk..."

Saya tidak dapat meneruskan kata-kata bila melihat datuk mengangkat tangan kiri dan mengembangkan ke lima-lima jarinya ke arah saya.

GANJIL

Gerak tangan itu bermaksud jangan bertanya kerana dia sedang menggunakan indera yang kelima untuk berhadapan dengan manusia kelawar.

Ali Usman yang sudah dipulihkan oleh datuk, berkelakuan agak ganjil seperti bersilat beradu kekuatan dengan seseorang.

Datuk berdiri kaku sambil memeluk tubuh. Perhatian tertumpu ke satu arah. Dia bagaikan memisahkan dirinya dari alam nyata untuk masuk ke alam lain.

Bila sudah demikian, secara tidak langsung membawa perubahan fizikal pada datuk. Tubuhnya menggeletar sebelum dia undur tiga tapak ke belakang untuk mencari kedudukan yang baik dan selamat.

"Haiiiiii..."

Teriakan datuk itu membuat saya terus merenung ke arahnya. Ada perubahan di wajahnya, keras tengang bercampur bengis. Rambutnya kelihatan seperti mengembang terutama yang dekat cuping telinga, hujung tengkuk dan pelipis.

Kedua-dua telinganya merah hidungnya kembang kempis. Setiap kali dia menarik dan melepaskan nafas dadanya nampak berombak. Urat dan otot ditubuh seperti membengkak.

Jika diperhatikan dengan teliti tanpa berkerdip macam ada bebayang asap keluar dari tubuhnya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 223/284

BACA: SBDJ Siri 222: Di Serang Monyet Jadian
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon