Friday, December 20, 2024

SBDJ Siri 219: Rahsia Pondok Raja Susuk


Beberapa orang tempatan yang berada di situ mula beredar. Barangkali mereka tidak mahu campur tangan dalam urusan yang tidak menguntungkan itu.

"Huh, penakut."

Terdengar suara protes. Tidak tahu dari mana datangnya. Saya cuba mengesan tetapi, tidak berhasil sama sekali. Hati kecil yakin, suara itu datangnya dari lelaki berwajah keras.

Toyol jadi-jadian


Ada dua alasan yang kuat kenapa saya mengatakan suara itu datangnya dari lelaki yang berwajah keras. Pertama, dia tidak begitu suka seperti menaruh dendam pada simati. Kedua, dia seperti tidak puas hati dengan tindak tanduk si ulama berbadan kecil.

"Hummmmmm..."

Terdengar dengusan.

Kali ini saya berjaya mengesan si pendengus tersebut, Tidak lain, tidak bukan ialah lelaki berwajah keras. Dia tidak berpuas hati kerana tidak menerima penjelasan segera dari si ulama berbadan kecil.

Dan protes itu dilahirkan dengan berbagai-bagai cara untuk perhatian orang ramai terutama dari si ulama.

Apa juga yang dilakukan oleh lelaki berwajah keras, tidak dipedulikan oleh si ulama berbadan kecil. Keadaan demikian, membuatkan saya resah semacam, mungkin orang lain juga mengalami seperti apa yang saya alami.

Lelaki berwajah keras bertambah agresif. Dia bercakap ikut suka hati. Meluahkan sindiran tajam dan pedih secara tidak langsung ditujukan kepada si ulama berbadan kecil. Mulutnya cukup celupar.

Apa yang menariknya, si ulama tidak bertindak balas. Tetapi tenang dan bersahaja. Malah saya pula yang panas telinga.

"Saudara."

Semua biji mata tertumpu ke arah Pak Imam yang berdiri dengan wajah berkerut.

"Kenapa?" sanggah lelaki berwajah keras.

Dia dapat merasakan Pak Imam memperkatakan sesuatu terhadapnya. Lalu dia memusingkan tubuhnya menghadap ke arah Pak Imam. Dada dan muka mereka bertentang,

"Dengan izin Allah, tidak ada perkara pelik di muka bumi ini, Allah berhak melakukan apa saja terhadap makhluk ciptaannya, janganlah kita persoalkan kekuasaan Allah," tambah Pak Imam dalam nada suara yang keras dan lantang.

Tindakan Pak Imam itu mengejutkan datuk, Syed Hamid Al-Hadad juga si ulama berbadan kecil. Memang mereka tidak menduga Pak Imam yang banyak diam dari bercakap itu mahu mengambil dan menjalankan peranannya sendiri.

"Tidak baik mengungkit dan memperkatakan tentang orang yang sudah mati, perbuatan itu mencerminkan kerendahan akhlak diri sendiri, lagi pun perbuatan demikian di tegah oleh agama," Pak Imam menyambung kuliah singkatnya di depan para tetamu.

Tersentak dengan penjelasan Pak Imam, lelaki berwajah keras terdiam. Tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Malah tunduk terus sehingga majlis ucapan terima kasih itu selesai.

Tetapi, saya dan Harun tetap waspada, mungkin orang lain juga demikian. Mana tahu, dalam diam lelaki berwajah keras yang merasakan dirinya diperkecilkan bertindak di luar dugaan.

BERGERAK

Penduduk setempat mula bergerak. Mula bersalaman dengan ahli rombongan dari Masjid Raya, termasuk Syed Hamid Al-Hadad, Pak Imam dan datuk.

Saya dan Harun orang terakhir tidak membabitkan diri dalam acara itu, masih sendirian dan duduk mencangkung atas tunggul buruk, macam beruk jantan nanti beruk betina melintas di depan.

Saya kira kata-kata dari Pak Imam meninggalkan kesan yang mendalam pada dirinya.

"Terima kasih."

Dengan pantas ayah Ali Usman menyambar telapak tangan yang dihulurkan oleh Syed Hamid Al-Hadad. Telapak tangan mereka berlaga kulit, jari jemari bercantum erat.

Kelopak bibir mengukir senyum dalam pelukan persaudaraan sesama Islam, penuh erat, penuh mesra.

"Sepatutnya saya yang mengucapkan terima kasih kerana berusaha membawa jenazah arwah abang saya untuk dikebumikan di sini," suara ayah Usman Ali tersekat-sekat dan akhirnya menangis.

"Jangan menangis."

"Maafkan saya, semoga Allah murahkan rezeki, panjangkan umur Tuan Syed."

"Alhamdulillah, semoga Allah memberi rahmat dan petunjuk ke atas keluarga kamu," balas Syed Hamid Al-Hadad sambil menjatuhkan tangannya yang memeluk tubuh ayah Ali Usman.

Syed Hamid Al-Hadad hanya melangkah beberapa tapak ke depan sebelum berpatah semula ke arah ayah Ali Usman.

Sudah tentu perbuatan Syed Hamid Al Hadad menimbul persoalan dalam hati datuk. Mungkin juga dalam hati Pak Imam tetapi, Ali Usman tidak pula menganggap perbuatan Syed Hamid Al-Hadad sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Lelaki yang marah-marah tu, orang dari kampung mana?"

Syed Hamid Al-Hadad bertanya secara berbisik kepada ayah Ali Usman.

"Anak jati kampung ni, tinggal sebelah darat dekat sungai," balas ayah Ali Usman secara berbisik juga.

"Saya nak berjumpa dengannya."

"Haaaaa..."

Terbeliak sepasang biji mata ayah Ali Usman seketika. Tidak terdetik di dalam hatinya yang Syed Hamid Al-Hadad berminat dengan lelaki berwajah keras.

"Bawa saya berjumpa dengannya," desak Syed Hamid.

Tanpa bertangguh lagi, ayah Ali Usman membawa Syed Hamid Al-Hadad bertemu dengan lelaki berwajah keras yang termenung di tunggul buruk.

Pertemuan Syed Hamid Al-Hadad dengan lelaki berwajah keras itu berlangsung lebih dari setengah jam. Ada ketikanya, mereka kelihatan seperti bertengkar dan mahu bergaduh dan dalam masa yang sama nampak cukup mesra.

Apa yang jelas, lelaki berwajah keras tetap dengan sikap agresifnya, cepat naik darah dan bercakap dengan suara yang tinggi. Seolah-olah mahu mengheret Syed Hamid Al-Hadad dalam pergaduhan kecil.

Usahanya itu gagal, dapat dikalahkan oleh Syed Hamid Al-Hadad dengan sikap perwatakannya yang lembut dan tenang.

Walaupun ayah Ali Usman tidak melibatkan diri dalam dialog kecil antara Syed Hamid Al-Hadad dengan lelaki berwajah keras, dia tetap mengawasi keadaan.

RIWAYAT

Semasa Syed Hamid Al-Hadad menjejaki riwayat silam laki berwajah keras itu secara perbualan dari adik si mati, datuk mengambil peluang mengajak Ali Usman (lelaki empat puluhan) ke pondok pamannya, RAJA SUSUK yang terpencil di kaki bukit. Saya di ajak oleh datuk untuk menemaninya ke kaki bukit.

Pemergian saya dan datuk dipersetujui oleh Pak Imam dengan bersyarat. Harun mesti tinggal bersamanya untuk mengikuti perkembangan pertemuan Syed Hamid Al-Hadad dengan lelaki berwajah keras.

Syarat itu bukanlah syarat yang sulit buat datuk. Tetapi, bagi Harun syarat itu sungguh menyiksakan, dia harus berpisah dengan saya untuk sementara.

Perjalanan ke pondok RAJA SUSUK terpaksa melalui denai yang saya kira, laluan binatang buas yang kiri kanannya penuh dengan semak belukar.

Kami tidak boleh jalan bersaing kerana denai yang sempit muat untuk laluan seorang saja. Suasana terasa menyeramkan dibawah sinar matahari yang keras, terdengar bermacam-macam dari berbagai jenis unggas.

"Yang kita lalui ni, laluan gajah waktu malam. Kadang-kadang waktu siang begini ada harimau yang lalu, ular tedung melintas. Kalau nasib baik dapat melihat kijang."

"Oh..." itulah reaksi saya.

"Berbulan-bulan saya berulang-alik di laluan ini, tidak kira waktu, ada masanya waktu tengah malam, subuh, pagi, petang, tengah hari memujuk dia supaya bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Empat kali berulang alik belum tentu dapat bertemu dengannya," cerita Ali Usman.

Datuk tidak memberikan sebarang komentar. Dia hanya anggukkan kepala.

Saya kira bermacam-macam bergolak dalam tempurung kepala datuk, bagaikan ombak memukul pantai. Pasti, datuk tidak dapat memisahkan barang dalam bungkusan di rumah Harun dengan pondok milik RAJA SUSUK di kaki bukit, semuanya itu mungkin ada kaitannya.

"Saya pernah terserempak dengan harimau menggonggong napuh waktu tengah malam di sini," Ali Usman berhenti melangkah dan menunjukkan kepada datuk dan saya dari arah mana harimau itu muncul dan ke arah mana pula dia menghilangkan diri.

"Berhati-hati," pendek datuk bersuara.

Dan saya menoleh ke kiri, pepokok kecil bergerak macam dilanggar sesuatu. Suara unggas kian garang berbunyi bagaikan memberikan kepada kami sesuatu yang bakal muncul dari rimbunan pepokok kecil.

Saya semakin cemas, sepasang biji mata berputar melihat keadaan sekitar. Dengan tidak semena-mena kepala lutut mengeletar. Kaki terasa lemah untuk melangkah. Malah, sepasang telapak kaki bagaikan tidak berpijak di permukaan bumi.

"Subhanallah..." ucap saya lemah.

Dari celah-celah rimbunan pokok kecil terjenggul kepala harimau dengan sinar mata yang tajam dan garang. Dan dalam beberapa detik saja seluruh badan harimau dapat saya lihat dengan jelas sekali.

"Tuk...." saya bersuara.

Tiada jawapan balas yang diterima. Dedaun hutan yang tua ditolak angin melayang-layang lemah sebelum tersadai di dedaun pepokok kecil. Suara monyet liar mula kedengaran.

Ali Usman yang menjadi kepala tidak memperlihatkan rasa terkejut atau cemas. Dia nampak tenang dan bersahaja, begitu juga dengan datuk.

Harimau belang sebesar bapak lembu dengan perut yang mengelembir, terbuai ke kiri, terbuai ke kanan merintangi perjalanan kamai.

"Bagaimana..." ucap saya,

Datuk dan Ali Usman tidak memberikan sebarang reaksi. Bagi mereka harimau besar yang mengoyang-goyangkan itu bagaikan tidak wujud.

Dan harimau nampak semakin berani, kalau tadi dia merintangi jalan, kini semakin bebas bergerak. Berlegar-legar didepan kami. Suara monyet liar semakin kuat.

Setelah beberapa kali berlegar sambil menguap, harimau besar itu cuba melakukan terkaman untuk mematahkan batang leher Ali Usman. Hati saya semakin kecut. Datuk tetap berdiri tenang.

PERSOALAN

Keadaan yang tidak aman itu menimbulkan bermacam-macam persoalan dalam hati. Apakah salah seorang dari kami akan menjadi mangsa harimau? Kenapa datuk tidak melakukan sesuatu?

Berapa lama Ali Usman boleh bertahan dengan keadaan yang mencemaskan ini. Saya menggigit bibir sambil menarik nafas panjang. Harimau terus melakukan terkaman maut ke arah Ali Usman yang tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Setelah menyorot dengan teliti pergerakan harimau belang, saya dapati ada sesuatu yang aneh terjadi. Setiap kali harimau itu melakukan terkaman akan mengalami kegagalan. Hanya mampu melompat separuh jalan saja.

Harimau itu nampak seperti kehilangan tenaga dan kekuatan. Kaki belakangnya seperti tidak berfungsi untuk menolak tubuhnya yang besar itu ke arah Ali Usman yang sedang menanti di depannya.

Dalam usaha menahan serangan harimau belang berbadan besar, saya dapati Ali Usman melakukan dua perkara. Dia tidak berganjak pada tempat dia berdiri dalam kedudukan sebagai seorang jaguh silat menentang musuh.

Sepasang matanya tidak berkedip merenung ke arah anak mata harimau liar. Agaknya, kerana bosan, sering mengalami kegagalan menerkam Ali Usman, perlahan-lahan harimau itu beredar sambil mencium dedaun pepokok renik di kiri dan di kanannya.

"Kamu nampaknya, hebat sekali," kata datuk.

"Perkara begini memang selalu saya alami," Ali Usman menoleh ke arah saya dan datuk.

"Hmmmm..." pendek saja jawap datuk.

Dan perjalanan pun diteruskan. Suara jeritan monyet tidak kedengaran lagi tetapi, suara burung masih kedengaran terutama burung murai batu, merbah jambul dan kuang.

Hati kecil tetap mengharapkan tidak akan berhadapan dengan perkara yang tidak diingini. Matahari tetap ramah memancarkan cahayanya. Walau apapun, kami tetap melangkah dengan hati-hati.

"Kata arwah bapa saudara saya, semua binatang buas di kawasan ini sudah dikuasainya. Sudah diilmukan secara jauh. Semuanya sudah disusuk secara batin," ungkapan Ali Usman itu sesuatu yang mengejutkan dan saya menoleh ke arah datuk.

"Ehemmmm..."

Saya tidak tahu kenapa datuk berdehem. Mungkin ada sesuatu yang tersirat dari suara tersebut?

Apa yang pasti ungkapan yang terluah dari kelopak bibir Ali Usman menambahkan perbendaharaan pengetahuan saya. Barulah saya tahu rupanya binatang buas juga boleh disusuk. Benarkah perkara ini? Timbul pertanyaan dalam hati.

"Orang yang satu keturunan dengan paman, tidak akan dibinasakan oleh binatang buas dan mereka sering diuji. Ada syarat tertentu untuk mengatasi ujian tersebut."

"Apa syaratnya?" Dengan pantas datuk meningkah.

"Menentang anak mata binatang buas dengan tidak berkedip, ibu jari kaki kanan dibengkukkkan," jelas Ali Usman sambil berjalan. Dia tidak mahu menoleh ke arah datuk. Saya hanya memasang telinga saja.

"Kamu percaya dengan cakapnya tu?"

Langkah Ali Usman terhenti seketika. Dengan pantas dia menoleh ke arah datuk. Kerana Ali Usman berhenti secara mengejut menyebabkan saya hampir melanggarnya. Datuk tersenyum melihat gelagat saya.

"Dalam hal ini susah saya mahu menjelaskannya. Nak kata tak percaya, perkara itu macam benar," lemah benar suara Ali Usman, selemah hayunan kakinya.

"Buktinya," datuk minta kepastian.

"Pernah di suatu petang saya terserempak dengan babi hutan yang ganas terus menyerang saya. Kerana tidak ingat pesan paman, saya terus melarikan diri. Entah macam mana dalam keadaan yang kelam kabut, saya teringat cakap paman. Apa yang dicakapkannya, saya buat, mata babi hutan itu saya tentang," Ali Usman berhenti bercerita.

"Akhirnya jadi macam mana?" soal datuk.

"Bila ditentang dengan penuh rasa yakin, babi hutan itu tunduk dan undur kebelakang. Itulah sebabnya saya kata susah nak cakap, nak kata tak percaya pun tak boleh, bila percaya rasanya macam tak masuk akal," jujur benar Ali Usman menerangkan keadaan sebenar yang di alaminya.

POKOK

Penjelasan dari Ali Usman membuat datuk tersenyum panjang. Andainya, pada ketika itu ada orang bertanya tentang pendirian saya dalam hal ini, pasti saya katakan sama dengan pendapat Ali Usman. Perjalanan diteruskan ke tempat yang diingini.

Sebaik saja mendekati pokok jering besar yang tidak berbuah, dalam jarak kira-kira lima kaki, halangan baru muncul. Seekor ular tedung muncul dari rerumpun lalang berdekatan pokok jering besar. Sisiknya nampak berkilat ditampar cahaya matahari.

Ular itu duduk di tengah jalan sambil memanggungkan kepalanya. Lidahnya yang bercabang terjulur keluar, bergerak ke kanan dan ke kiri.

Ah! sungguh menyiksakan, perjalanan menuju ke rumah peninggalan RAJA SUSUK penuh dengan rintangan dan cabaran.

Kenapa datuk memilih cara ini menyelesaikan masalahnya, fikir saya dalam hati sambil merenung ke arah ular tedung yang tegak berdiri melepasi kepala kami bertiga. Tiba-tiba dengan sekelip mata ular itu hilang dari pandangan saya.

Secara otomatik saya terfikir, ular tedung tersebut, bukan ular sebarangan. Sudah pasti ular jadi-jadian dan harus dimusnahkan.

Sebaik saja saya berpendapat sedemikian ular itu menjelma kembali, betul-betul di depan Ali Usman dalam jarak yang cukup dekat, tidak sampai sepuluh kaki.

Apa yang tergambar dalam kepala saya ialah sebuah kematian yang mengerikan. Tiga manusia mati serentak dipatuk ular tedung.

"Jangan bergerak."

Terpinga-pinga saya mendengar suara datuk. Bagaikan ada kuasa ghaib, sepasang kaki Ali Usman dan saya bagaikan dipaku dibumi. Tidak bergerak walau seinci pun.

Memang ada niat untuk menoleh ke arah datuk, bila mengingatkan arahannya hasrat tersebut terpaksa dikuburkan begitu saja.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 219/284

BACA: SBDJ Siri 218: Menjunjung Songkok Hitam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon