Monday, November 11, 2024

Benarkah Bangsa Israel Pemilik Tanah Palestin?


Kita mulakan kisah dengan singgahnya Nabi Ibrahim a.s. dan sepupunya, Nabi Lut a.s. ke sebuah negeri bernama Hebron. Di sana, baginda telah berjumpa dengan Sarah lalu berkahwin dengannya manakala Nabi Lut a.s. membawa diri ke Kota Sodom sesuai dengan perintah ALLAH.

Sejarah Bani Israel

Di Kota Sodom, terjadinya kisah bagaimana bangsa pertama di dunia yang mengamalkan homoseksual dan kemudiannya menerima bala yang tidak terperi daripada ALLAH dan satu-satunya malapetaka yang ALLAH masih tunjukkan kepada dunia, untuk memberi amaran kepada manusia bahawa ALLAH sangat melaknat hambanya yang mempunyai nafsu songsang.

Kemudian, Nabi Ibrahim a.s. membawa isterinya, Sarah ke Mesir. Baginda menetap di sana beberapa ketika dan terjadi peristwa yang kemudiannya membuatkan Nabi Ibrahim a.s. kembali ke Hebron lalu berkahwin dengan Hajar.

Daripada keturunan Hajar inilah lahirnya bangsa arab melalui Nabi Ismail a.s. Siti Hajar dan Nabi Ismail diperintahkan untuk singgah ke sebuah tempat yang kini menjadi Mekah.

Berbalik kepada Sarah, dia telah melahirkan Nabi Ishak. Nabi Ishak menetap di Hebron dan telah berkahwin dengan Rebeca. Daripada Rebeca ini, lahirnya Nabi Yakub a.s.

Nabi Yakub membesar dan berkahwin dengan dua orang wanita iaitu Leah dan Rachel. Selepas Leah melahirkan empat orang anak, Rachel menjadi cemburu dan berkat doanya kepada ALLAH, akhirnya ALLAH mengurniakan Nabi Yusof a.s. sebagai permata keluarga.

Daripada Nabi Yakub a.s. ini, lahirlah 12 orang anak yang kemudiannya menjadi 12 suku bani Israel.

ZAMAN KEGEMILANGAN BANI ISRAEL

Zaman Bani Israel pada era pemerintahan Nabi Sulaiman a.s. dianggap sebagai zaman kemuncak kegemilangan Bani Israel di tanah Palestin berasaskan tauhid dan syariat yang benar, yang mana Nabi Sulaiman a.s. memerintah Palestin bermula 963SM sehingga 923SM.

Selepas kewafatan baginda, Kerajaan Bani Israel terbahagi kepada dua kerajaan yang saling bermusuhan, dikenali sebagai Kerajaan Israel di sebelah utara Palestin yang wujud sekitar 923 SM sehingga 721 SM dan Kerajaan Yahuda (atau Yahuza atau Judah) yang memerintah sekitar 923 SM sehingga 586 SM di sebelah selatan Palestin.

Selepas kewafatan Nabi Sulaiman a.s., maka Bani Israel mula menempuh zaman kehancuran mereka. Kerajaan Israel di sebelah utara Palestin ditawan oleh golongan Assyria pada 721 SM maka lenyap kerajaan ini.

Begitu juga Kerajaan Yahuda di sebelah selatan Palestin yang turut lenyap selepas ditawan golongan Babylon pimpinan Nebuchadnezar pada 586 SM (atau 580 SM). Maka ini adalah tarikh terakhir Bani Israel pernah memerintah Palestin sepenuhnya.

Kemudian, mereka dikuasai oleh Parsi (539SM-332SM) dan Hellenic Greek (332SM-63SM) yang mana Bani Israel diberi kuasa autonomi terbatas. Kemudian kuasa autonomi ini ditarik balik ketika Rom menguasai Palestin bermula sekitar 63SM.

Jika dilihat pada garis masa pemerintahan Bani Israel di Palestin sejak penguasa pertama dari Bani Israel iaitu Raja Talut bermula sekitar 1004SM, kemudian diambil alih Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s., sehingga lenyap dua kerajaan terakhir Bani Israel pada 586SM, maka keseluruhannya adalah sekitar 400 tahun sahaja.

Itu pun membabitkan zaman pemerintahan berasaskan tauhid dan syariat yang murni bermula Raja Talut sehingga Nabi Sulaiman a.s. yang tempohnya sekitar 100 tahun.

Jadi, secara keseluruhannya, Bani Israel hanya pernah memerintah Palestin sekitar empat kurun sahaja berdasarkan sejarah mereka.

Ini berbeza dengan sejarah pemerintahan umat Islam di Palestin yang bermula sejak zaman Khalifah Saidina 'Umar al-Khattab pada 636M (15H) sehingga penjajahan Inggeris pada 9 Disember 1917M (di penghujung pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah yang berakhir secara rasminya pada 3 Mac 1924).

Tempoh pemerintahan umat Islam di Palestin meskipun kerajaan silih berganti termasuk pernah dikuasai tentera salib selama 88 tahun (1099M-1187M) adalah sekitar 12 kurun lamanya.

Maka, Bani Israel hanya menguasai Palestin selama empat kurun sedangkan umat Islam menguasainya selama 12 kurun.

Tempoh 12 kurun ini adalah masa yang begitu panjang berbeza jika dibandingkan dengan mana-mana pemerintahan yang lain. Ini juga membuktikan Islam sebagai agama yang bertolak ansur selari dengan kehendak pelbagai bangsa dan keturunan.

Pemerintahan Islam berjaya melahirkan rakyat yang sesuai menjadi penduduk di bumi terbabit dan sebagai masyarakat terbaik untuk menjaga maruah dan kemuliaannya.

Lebih menarik berdasarkan sejarah, menurut Prof Dr Mohsen Mohammad Saleh, pengkaji sejarah terkemuka yang diakui kajian mereka menyatakan bahawa majoriti penduduk Palestin sekarang adalah berasal dari kabilah Arab seperti Kan'an, Umuriyyah dan lain-lain.

Mereka menetap di Palestin sejak sebelum kedatangan Islam. Mereka disatukan dengan agama Islam dan berbahasa Arab di bawah pemerintahan Islam sekitar 12 kurun. Mereka tidak meninggalkan bumi Palestin meskipun peperangan silih berganti.

Ini berbeza dengan Bani Israel yang sudah memutuskan hubungan dengan Palestin selama sekitar 18 kurun bermula sekitar 135M sehingga sekitar 1948M.

Bahkan lebih awal lagi sejak mereka masih bersama dengan Nabi Musa a.s., mereka sudah menunjukkan sikap enggan memasuki Palestin. Disebabkan itu, mereka dihukum sesat selama 40 tahun di padang pasir Sinai.

Manakala pada zaman pemerintah Parsi menurut Prof Dr Mohsen Mohammad Saleh, meskipun orang Yahudi diizinkan pulang ke Palestin, namun hanya sebilangan kecil yang berpindah, menetap dan berjiran dengan rakyat Palestin.

Di samping sikap mereka sendiri, sebab lain yang menyebabkan mereka terputus hubungan dengan Palestin adalah penjajahan terhadap Palestin di mana penjajah terbabit menghalau orang Yahudi dari Palestin.

Contohnya, pemerintah Assyria yang diketuai Sargon II memindahkan golongan Bani Israel dari Palestin ke kota Harran, Khabur, Kurdistan dan lain-lain. Manakala kerajaan Nebuchadnezar sudah menawan sekitar 40,000 orang Yahudi terbabit.

Selain itu, kerajaan Rom pernah memerangi perusuh Bani Israel pada 66M sehingga 70M. Sekali lagi rusuhan pada 132M sehingga 135M dan berjaya menguasai Haikal Sulaiman oleh Julius Sefrus.

Pemerintah Rom pernah menghalang golongan Yahudi memasuki Bait al-Maqdis selama 200 tahun.

Namun, dalam tempoh ini, penduduk asal Palestin masih kekal di sana sejak sebelum dan selepas kewujudan Bani Israel. Mereka kekal sekitar 4,500 tahun lamanya sehingga mereka diusir keluar dari Palestin oleh regim Zionis pada tahun 1948. Kini mereka masih berjuang untuk mendapatkan semula hak mereka.

Hasil kajian yang dilakukan oleh tokoh Yahudi sendiri seperti Arthur Kostler menunjukkan lebih daripada 80 peratus Yahudi hari ini tidak mempunyai pertalian keturunan atau sejarah dengan Bani Israel dan Palestin.

Majoriti daripada mereka adalah Yahudi Khazar yang berasal dari kabilah Tatri-Turki kuno yang tinggal di Kawasan Caucasus di Selatan Rusia. Ini tempat asal mereka, bukan di Palestin.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon