Monday, September 23, 2024

SBDJ Siri 211: Susuk Gadai Anak


Lagi sekali saya direndam rasa kecewa. Melihat pada situasi, tidak ada tanda-tanda datuk mahu menyambung ungkapan yang terputus. Dia bagaikan tidak berselera mahu mencungkil kisah silam datuk dan nenek Nonong.

Mungkin datuk terfikir begini: membuka kisah cela dan keburukan orang yang sudah mati, bukanlah kerja terpuji.

Kenapa dalam saat begini, perkara seperti itu harus muncul dalam benak datuk? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Nonong nampak resah semacam. Barangkali apa yang berlegar dalam kepala saya, itu jugalah yang bermain dalam otak Nonong.

Toyol jadi-jadian

Soalnya, siapakah di antara kami yang berani bersuara menyuruh datuk menyambung kembali cerita yang tergantung? Tentulah saya bukan orangnya. Nonong memang berhak kerana apa yang diperkatakan adalah masalah keluarganya yang berpaut erat dengan masalah dirinya.

"Memanda," lembut sekali suara Nonong.

"Aku tahu, kamu mahu tahu ceritanya," ekor mata datuk menjeling ke arah Nonong.

Saya telan air liur, diharap kelembutan suara Nonong akan menjentik keghairahan datuk menyambung cerita.

"Memang itulah yang saya harapkan."

"Baiklah," datuk memperkemaskan silanya.

"Adakah rahsia yang lebih sulit dari apa yang memanda sebutkan tadi?" Nonong mendesak.

"Ada, tapi..." datuk menarik dan melepaskan nafas.

"Kenapa memanda?"

"Beri masa untuk aku berfikir, dan mengingati nama nenek dan datuk kamu yang sebenar. Mereka lebih terkenal dengan nama gelaran 'Pawang Istana' atau 'Pawang Raja' bagi datuk kamu. Nenek kamu pula disebut 'Andam diraja' atau 'tukang andam istana'" tutur datuk dengan tenang.

"Saya ingat memanda," Nonong separuh menjerit.

Datuk tersenyum sambil merenung ke arah saya.

"Siapa namanya?"

"Datuk saya namanya Alang Basitah," penuh yakin Nonong menjawab.

"Nenek kamu pula?"

"Raja Anum Dang Sari."

"Bagus, kamu masih ingat akar umbi kamu, Nonong,"

"Aduh, manisnya senyuman gadis lanjut usia yang berat jodoh," komen saya dalam hati bila melihat sepasang kelopak bibir Nonong mengukir senyum.

Setelah Nonong berhasil memujuk datuk, saya merasakan ada perubahan yang terjadi secara spontan dalam dirinya.

Datuk bagaikan memperoleh kekuatan untuk meneruskan cerita, tidak merasa cemas atau diganggu sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kata datuk selanjutnya, Pawang Raja dan Andam Istana terus memberikan perhatian kepada anak gadis mereka jika ada majlis bertindik, berkhatan atau pernikahan. Nama ibu Nonong terus menjadi sebutan di mana-mana.

"Sebagai penari yang sedang naik, nama emak kamu jadi sebutan. Selalu diminta menarikan tarian tradisional di depan para pembesar negara dari dalam dan luar negeri, sama ada yang di undang oleh pihak istana ataupun yang mengadakan kunjungan hormat," tutur datuk.

"Selain dari istana, ke mana pula dia pergi, memanda?"

"Menyeberang Selat Melaka."

"Ke mana?" Nonong minta kepastian.

"Di mana ada perayaan raja, ada masanya ke lstana Deli, Riau, Serdang atau Batu Bara. Bila pawang Raja meninggal dunia, kegiatan andam istana mula berkurangan."

"Kenapa macam tu, memanda?"

"Sebabnya, tugas pawang dan andam mesti sama seiring. Kematian suaminya menyebabkan andam istana mengambil keputusan untuk tinggal di luar kawasan istana. Datang ke istana bila diperlukan."

Sedikit demi sedikit, datuk membuka sejarah lalu pawang raja dan pawang andam istana. Nonong mendengar penuh khusyuk kerana kedua-dua insan yang disebutkan oleh datuk adalah asal usul keturunan Nonong.

Walaupun begitu, Nonong tidak menampakkan rasa bangga atau megah dengan tugas datuk dan neneknya di dalam istana.

"Nenek kamu datang ke istana bila diperlukan. Kerana kebolehannya yang luar biasa sebagai tukang andam, kaya dengan pantang larang, kaya dengan petua, dada penuh dengan jampi serapah serta mantera nenek kamu dicari orang istana bila ada anak raja mahu bersanding atau bertindik. Dia di bawa ke istana di Langkat, Indrapura, Batu Bara di Sumatera."

"Saya minta maaf."

Biji mata datuk dan Nonong terpaku ke wajah saya. Mereka kehairanan, mengapa saya yang tidak ada sangkut paut dengan perkara yang diceritakan mesti masuk campur.

"Kenapa Tamar!" sergah datuk

"Saya musykil tuk."

"Apa yang kamu musykilkan?"

"Begini, setelah lndonesia mencapai kemerdekaan dan mengisytiharkan Negara Republik, semua sistem raja dihapuskan, Sultan tidak wujud lagi. Kenapa mesti ada sultan itu, Sultan ini di Sumatera?"

Nonong anggukkan kepala, setuju dengan pertanyaan yang saya ajukan. Datuk tersenyum senang. Perlahan-lahan dia membetulkan kedudukan kaki kirinya sambil merenung ke dada langit, melawan awan putih yang berarak lembut. Datuk menggaru pangkal tumit kaki kirinya.

"Apa yang kamu katakan itu memang betul, Sultan yang ada selepas kemerdekaan, hanya pada nama saja. Mereka tidak mempunyai kuasa, sekadar menjadi ketua adat, budaya masyarakat. Mereka boleh meneruskan adat-adat istana di kawasan yang ditentukan, seperti mengadakan upacara berkhatan, bertindik, nikah kahwin dan sebagainya," serius benar datuk memberikan penjelasan, kelopak matanya tidak berkedip merenung muka saya.

Kerana sering berulang alik ke Tanah Deli, Raja Anum mengambil keputusan untuk menetap di Deli. Secara kebetulan pula dia masih punyai pertalian darah dengan keluarga kesultanan Deli.

Dia pun membeli sekeping tanah tidak jauh dari kawasan istana.

Kerana usianya semakin tua, Kegiatan Raja Anum tidak serancak dulu.Tetapi, kalau ada yang memerlukan pertolongannya, Raja Anum tidak keberatan membantu.

Tidak dinafikan, dalam usia senja dia masih dicari orang terutama orang-orang Melayu yang masih berkampung di sekitar Medan yang mahu mengekalkan adat tradisi nenek moyang.

Raja Anum dicari bukan kerana tuanya tetapi kerana pengalamannya.

"Hebat juga nenek saya memanda."

"Begitulah kira-kiranya," balas datuk sambil ketawa kecil.

Saya juga tersenyum.

"Dalam waktu yang sama, emak kamu terus mengembangkan bakatnya dalam tarian. Kalau dulu nenek selalu dijemput ke Istana Deli tetapi awal dua puluhan selalu dijemput oleh kaum kerabat di beberapa buah negeri di Malaysia," sungguh bersemangat datuk bercakap.

"Saya tahu memanda."

"Emak dipanggil untuk memperlihatkan tarian tradisional pada harijadi sultan, bertindik, berkhatan atau pesta perkahwinan."

"Betul, itulah kelebihan yang Allah berikan kepada ibu kamu. Nenek kamu berbangga dengan kebolehan yang dimiliki oleh anak perempuan tunggalnya, nenek kamu yang memang tidak suka duduk diam membuka kedai kain," datuk berhenti bercakap kerana tersedak.

KEMBALI

Sebelum menyambung ceritanya kembali, datuk kerutkan kening sambil merapatkan sepasang kelopak mata. Barangkali, dia cuba mengingati di kawasan mana arwah nenek Nonong membuka kedai kain.

Saya lihat dua tiga kali datuk menggeleng-gelengkan kepala, barangkali, datuk tidak dapat mengingatinya. ltulah andaian saya bila melihat gerak-geri datuk di depan mata.

"Aku tak dapat menunjukkan kawasan kedai nenek kamu dulu Nonong. Apa yang aku tahu, nenek kamu juga membawa kain tenunan orang Batu Bara, Songket Palembang, batik Medan barang-barang kerja tangan ke Semenanjung. Kemudian barang-barang Semenanjung pula di bawa ke sini. Begitulah yang dibuat oleh nenek, setiap kali dia berpeluang berulang-alik dari Deli ke Semenanjung. Kadang-kadang emak kamu juga turut berbuat macam itu."

"Sambil menyelam, sambil minum air," saya mencelah.

"Kamu dengar saja, usah masuk campur," datuk melarang dan saya terdiam.

Khabarnya, kedai kain Raja Anum jadi tumpuan ramai terutama orang lelaki. Bukan kerana mahu membeli barang-barang yang dijual tetapi, mahu melihat wajah anak gadis disebut-sebut sebagai penari dan penyanyi tradisional golongan bangsawan Melayu sama ada di Tanah Semenanjung atau Tanah Sumatera.

Raja Anum pun, sedikit demi sedikit menurunkan segala ilmu dan petua menjaga badan dan kecantikan yang ada dalam dada kepada anaknya. Begitu juga dengan petua menjaga suara.

Raja Anum berpendapat kebolehan arwah suami dan dirinya harus diwarisi oleh anak gadisnya. Tradisi mendampingi golongan istana dan bangsawan harus dikuasai oleh keturunannya.

Dan perkara itu sering dibisikkan ke cuping telinga anaknya. Biar perkara itu menjadi simbol perjuangan yang mesti dilaksanakan.

Demi tujuan tersebut, apa juga rintangan, apa juga cabaran harus ditempuhi, asalkan matlamat perjuangan menjadi sebuah kenyataan.

Hinggalah pada suatu hari, kedai kain milik Raja Anum dikunjungi oleh sepasang suami isteri. Mereka membeli beberapa pasang kain songket dan selendang.

Setelah membayar semua barang yang dibeli, pasangan suami isteri mohon mahu mengadakan pertemuan khas dengan Raja Anum.

Pada mulanya, Raja Anum agak keberatan mahu memenuhi permintaan pasangan suami isteri tersebut. Dia bimbang kalau pertemuan itu mempunyai tujuan yang kurang baik.

Setelah didesak berkali-kali dengan alasan yang meyakinkan oleh pasangan suami isteri tersebut, Raja Anum akhirnya mengalah. Dia pun menetapkan pertemuan pada sebelah malam selepas waktu Isyak.

"Tidak boleh awal lagi," tanya si isteri yang berbadan langsing dan cantik dengan kain batik jawa, baju kebaya bandung.

"Kalau dapat awal lagi baik," celah si suami.

"Minta maaflah, kalau setuju itulah masa yang sesuai," Raja Anum memberi keputusan muktamad. Pasangan suami isteri itu tiada pilihan dan terpaksa akur.

Waktu yang ditetapkan oleh Raja Anum itu sesuai dengan petua orang tua-tua yang dipelajarinya. Kalau orang mengatakan hasrat mahu bertandang ke rumah pada hari Rabu, selepas waktu Zuhur, suruh orang itu datang selepas Isyak.

Kalau pada hari yang sama, orang mengatakan mahu berkunjung ke rumah pada sebelah pagi, suruh datang ke rumah selepas Asar.

Kalau tidak disesuaikan dengan keadaan dan masa yang ditetapkan oleh petua, tuan rumah akan menerima kecelakaan. Lagi pun bila diberi masa yang panjang, tuan rumah boleh membuat persediaan.

Kalau orang yang datang mempunyai niat buruk boleh menyebabkan orang yang berniat jahat membatalkan niatnya kerana bosan menantikan masa yang ditetap oleh orang yang mahu menunggu.

lni sekadar petua, entah betul entahkan tidak. Tetapi, Raja Anum tetap percaya. Baginya, setiap yang berlaku dan bakal dilakukan harus bersandar pada petua dan pantang larang nenek moyang.

Sebagai tukang andam istana, pantang larang dan petua tidak boleh ditolak begitu saja harus dipelihara serta dipraktikkan, kalau tidak ilmu yang dimiliki menjadi tawar.

"Anak daranya mana?" Tanya wanita yang wajahnya mirip wanita timur tengah, sebaik sahaja meletakkan punggungnya ke bangku rotan di ruang tamu rumah Raja Anum.

"Di bilik berlangsir, merawat muka, menjaga badan. Awak berdua ni siapa sebenarnya? Emak di depan mata tidak ditanya. Anak dara orang yang disoal," dalam manis Raja Anum menyindir tetamu.

"Begini, saya berdua ni tuan punya bangsawan Indera Pura," lelaki tinggi lampai berkulit putih merenung ke arah isterinya yang bernama Sharifah Marnis.

"Anak awak berbakat dan kami berminat untuk menjadikan dia seri panggung terkenal. Suami saya, Syed Ali Al-Idrus memang sudah lama mencari seri panggung. Seri panggung kami yang lama sudah berpindah ke bangsawan lain," kata Sharifah Marnis sambil merenung ke arah Syed Ali AI-Idrus yang secara spontan menganggukkan kepala.

"Di mana awak berdua tahu tentang kebolehan anak saya?"

"Sudah lama, bermula dari majlis bertindik kerabat Raja Selangor terus ke Johor, Perak dan Pahang. Sudah lebih dari setahun kami mengikutinya," jelas Syed Ali AI-Idrus dengan senyum berbunga.

GANTUNG

Raja Anum termenung sejenak, dalam keadaan sekarang bergantung dengan kerjaya sebagai penari istana, bukanlah masa dan ketika yang baik. Tidak boleh menjamin masa depan yang baik. Lebih-lebih lagi dengan berakhirnya kuasa pemerintah bersultan di Sumatera.

Menyandarkan harapan pada raja-raja di Tanah Semenanjung, bagaikan menahan jerat di tanah lapang, kalau nasib baik mengena, kalau tidak hampa selalu.

Lagi pun sejak akhir-akhir ini setiap negeri di Semenanjung sudah mempunyai badan kebudayaan sendiri. Jika ada perayaan atau temasya di istana, kumpulan budaya tersebut di undang untuk mempersembahkan sebarang bentuk kebudayaan pada para tetamu.

Kebanyakan ahli-ahli-kumpulan itu adalah bekas anak muridnya. Setelah diperhitungkan buruk baik, untung rugi yang mendalam, pada dasarnya tawaran itu tidak wajar ditolak.

Meskipun begitu ada beberapa bal yang harus diambil berat. Memang, sekali lalu perkara yang harus dititik beratkan itu nampak agak remeh. Tetapi, kalau terus diketepikan akan membawa padah yang kurang baik pada anaknya, juga kaum keluarganya.

"Kenapa menung panjang? Cakap saja boleh," Sharifah Mamis menguntum senyum.

Raja Anum tersentak dari lamunan. Semuanya yang bergerak dan bergolak dalam tempurung kepala lenyap dengan serta merta.

"Boleh "

"Alhamdulillah, syukur," Syed Ali AI-Idrus segera bangun.

"Dengan syarat?"

"Haaaaa ada syarat, apa syaratnya?" Perlahan-lahan Syed Ali AI-Idrus duduk di kerusi rotan.

Wajahnya nampak kurang ceria. Pasangan suami itu saling berpandangan dengan seribu kenyataan muncul di dada.

"Jamin keselamatan anak saya, jangan dipersia-siakan kebolehannya, jangan jadikan dia batu loncatan untuk kekayaan awak berdua."

"Kami tak berniat begitu, kami mahu jadikan dia anak angkat kami, cara kebetulan kami memang tidak ada anak," Sharifah Marnis luahkan apa yang dirancang di dalam hati.

"Terima kasih, ada syarat Iain lagi."

"Apa dia Raja Anum," tanya Syed Ali AI-Idrus tanpa sabar.

"Bila bermain di Semenanjung, hubungi pihak istana beritahu mereka anak saya ikut rombongan awak, bila pihak istana minta khidmatnya, awak mesti melepaskannya. Saya berikan nama-nama orang istana yang mesti awak berdua hubungi. Tidak semua orang Semenanjung mesti awak hubungi hanya beberapa negeri tertentu saja. Kalau awak berdua setuju dengan syarat itu, baru boleh saya tunaikan permintaan awak berdua."

"Setuju," jawab pasangan suami isteri itu serentak.

Seminggu kemudian anak gadis Raja Anum menjadi keluarga Bangsawan Indera Pura. Pada peringkat awal disuruh menjadi penari kemudian, sebagai penyanyi di samping menjadi pelakon pembantu dan akhirnya menjadi seri panggung dengan panggilan "Rani Cantik", kependekan dari nama sebenarnya Dang Intan Mahani.

UNTUNG

Ternyata kehadiran 'Rani Cantik' membawa keuntungan yang besar kepada pemilik 'Bangsawan Indera pura' di mana saja rombongan itu mengadakan pertunjukan, sama ada di Sumatera, Kepulauan Borneo Jawa, dan Tanah Melayu tetap mendapat sambutan yang sungguh bebat.

Nama Seri panggung 'Rani Cantik' yang kemudiannya bertukar menjadi Ani Cantik jadi sebutan di mana-mana. Jadi buah mulut orang muda. Ramai anak muda yang tidak dapat tidur lena, mengigau malam mimpi siang mengingatkan 'Ani Cantik'.

Sebagai Seri panggung, sudah tentu Ani Cantik tidak bergantung semata-mata pada bentuk tubuh, kecantikan wajah dan kemerduan suara.

Atas nasihat ibunya (Raja Anum), Ani Cantik berusaha sendiri mencari ilmu yang boleh menguntungkan dirinya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 211/284

BACA: SBDJ Siri 210: Mangsa Susuk Ibu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon