Thursday, September 26, 2024

Ramai Pekerja Berhenti Kerana Bos Yang Teruk!


Anda suka bekerja di syarikat sekarang. Kerja bersesuaian dengan minat, rakan sekerja bertanggungjawab dan gaji juga lumayan. Tetapi ada satu perkara yang mengganggu ketenteraman ketika bekerja.

Bos anda orangnya sangat sukar difahami. Emosinya tidak tentu hala. Kadang kala dia dengan senang hati mempelawa makan tengahari bersama tetapi ada masa dia mengamuk menghentak-hentak meja!

Punca berhenti kerja

Walaupun gembira bekerja di samping rakan sekerja yang baik hati, perangai bos yang kurang senang itu membuatkan anda mahu berhenti kerja.

Mungkin ada yang menganggap berhenti kerja di syarikat yang bagus hanya disebabkan bos teruk itu merugikan. Namun, siapa sahaja yang mempunyai kesabaran dan keimanan setaraf malaikat?

Mahu berhenti sebab bos atau pengurus yang teruk sebenarnya normal dan tidak merugikan malah menguntungkan pekerja itu dari segi kesihatan mental.

Merujuk kajian sebuah firma perunding kepimpinan, Development Dimensions International (DDI) di Amerika Syarikat, 57 peratus responden berhenti kerja disebabkan bos.

Manakala 37 peratus responden mempertimbangkan untuk berhenti kerja kerana pengurus.

Apa sebenarnya yang bos jahat lakukan sehingga pekerjanya berhenti kerja?

Tidak menunjukkan teladan yang baik sebagai pemimpin

Arahan yang ditetapkan oleh ketua menentukan jalan yang akan diikuti oleh pasukannya.

Sebagai pembuat keputusan, pengurus dan 'kepala' sebuah organisasi, bos mengharapkan pekerja mematuhi setiap rukun bekerja. Oleh itu, bos juga perlu melakukan perkara yang sama sebagai teladan yang baik.

Tunjukkan contoh yang baik, maka baiklah perangai pekerja. Tunjukkan contoh yang tidak baik, begitulah juga sikap pekerja.

"Alah, bos boleh. Takkan kita tak boleh!"

Jika seorang pemimpin mengharapkan pekerja mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik, bosnya juga perlu begitu.

Kalau seorang ketua mahu pekerja menghormatinya, bos juga perlu menghormati pekerjanya.

Tidak menawarkan sokongan dan pengiktirafan

Bos yang toksik hanya mementingkan keuntungan dirinya sendiri.

Mereka lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada kemajuan diri sendiri daripada menyokong dan mengiktiraf pekerjanya.

Bos yang baik pula menyokong dan mengiktiraf hasil kerja keras pekerjanya serta menyumbang kepada perkembangan kerjaya mereka.

Pengiktirafan dan penghargaan untuk pekerja cemerlang tidak memerlukan kos yang besar tetapi ia memerlukan masa, ketulusan hati dan perasaan.

Sekiranya anda seorang bos, tanyakan kepada diri sendiri – pernahkah anda menulis nota atau pesanan penghargaan kepada pekerja? Atau pernahkah anda melabur masa dan berjumpa secara bersemuka dengan pekerja untuk mengucapkan 'tahniah dan terima kasih'?

Sanggupkah anda mencemar duli dan berkhidmat kepada pekerja dengan cara ini?

Tidak berkomunikasi dengan efektif

Salah satu perangai bos yang teruk ialah tidak responsif dan tidak boleh dipercayai. Perkara ini menyebabkan pekerjanya bergelut untuk mendapatkan panduan atau cara untuk menyiapkan tugasan dengan cemerlang.

Dalam apa jua senario kehidupan, komunikasi itu ibarat oksigen. Tanpa oksigen, kita lemas atau lebih teruk, mati. Tanpa komunikasi, bagaimana organisasi mahu berfungsi?

Selain itu, bos toksik juga mempunyai tabiat komunikasi yang buruk seperti:
  • Berkomunikasi pada waktu yang salah.
  • "Hentam sahajalah!" – Bersikap halai-balai apabila ia berkaitan dengan perancangan dan penyediaan.
  • Tidak memberikan notis awal yang mencukupi bila keputusan perlu dibuat atau kerja perlu dilakukan.
  • Bertindak balas secara reaktif kepada masalah dan bukannya berkomunikasi secara proaktif untuk mengelak daripada masalah berlaku.

Pengurusan mikro dan mengongkong

Tiada siapa sukakan bos yang mempunyai mentaliti "take it or leave it".

Pada dasarnya, bos yang mempunyai mentaliti begini tidak memberi kebebasan kepada pekerjanya untuk melaksanakan tugas dengan cara mereka tersendiri.

Meskipun hasilnya tetap sama, bos itu berkeras mahu pekerja mengikut caranya.

Untuk dapat 5, pekerja boleh menggunakan formula 1+4. Tetapi bos itu tetap mahu menggunakan formula 2+3.

Keputusannya sama, cara melaksanakan sahaja yang berbeza. Jadi, apa salahnya?

Malangnya, bos yang melakukan pengurusan mikro dan terlalu mengongkong itu sama ada:
  • Tidak faham bahawa meskipun cara kerja berbeza, hasilnya tetap sama.
  • Atau, tidak peduli dan tidak mahu peduli.

Memupuk persekitaran kerja yang tidak sihat

Hasil daripada kepimpinan yang lemah akan mewujudkan persekitaran kerja yang tidak sihat. Ia bukan sahaja menambah tekanan yang tidak diperlukan tetapi juga menurunkan motivasi pekerja.

Apa yang bos teruk lakukan sehingga wujudnya persekitaran kerja yang tidak sihat?
  • Hina secara terbuka, puji disorok-sorok.
  • Memaksa pekerja bekerja berlebihan tanpa pengiktirafan atau ganjaran.
  • Menetapkan jangkaan yang tidak jelas pada hasil kerja.
  • Menabur janji palsu.
  • Merendah-rendahkan dan memecah-belahkan pekerja.
  • Tidak mewujudkan ruang untuk berbincang mengenai pertumbuhan dan perkembangan kerjaya.

Setiap perkara yang disebutkan di atas akan meningkatkan kekerapan pekerja cemerlang berhenti dan menyimpan pekerja yang tidak endah dengan perkembangan syarikat.

Setiap pekerja cemerlang yang berhenti perlu diganti. Bermula dengan pengiklanan jawatan kosong, proses temu duga dan memberi latihan bekerja, semuanya melibatkan kos yang mahal dari segi wang dan masa.

Sebagai bos, anda mahu selesa dengan keadaan syarikat yang porak-peranda atau mahu lakukan perubahan? Fikir-fikirkan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon