Monday, August 19, 2024

Sambutan Hari Malas Sedunia


Ada satu penyakit – penyakit M. Saya yakin, bukan saya seorang sahaja yang mempunyai penyakit ini. Apa itu penyakit M? Penyakit M-A-L-A-S! Biasalah, ada hari kita tidak ada mood untuk bekerja. Tetapi kita tak boleh malas-malas sebab bos bayar kita gaji untuk bekerja, bukan untuk bermalasan!

Sambutan Hari Malas Sedunia
Gambar hiasan.

Cuma, dalam setahun, ada satu hari yang kita bebas untuk bermalasan. 10 Ogos merupakan Hari Malas Sedunia.

Sambutan ini dilaporkan bermula sejak tahun 1985 untuk menggalakkan orang ramai supaya berehat dan tidak memandu dengan laju.

Asal-usul Hari Malas Sedunia mungkin sukar difahami tetapi motif sambutan hari itu diwujudkan adalah untuk beristirehat.

Menurut Economic Times, Hari Malas Sedunia mula wujud pada awal 1900-an di Amerika Syarikat (AS). Masyarakat disana pada ketika itu mewujudkan sambutan itu untuk menggalakkan orang ramai mengetepikan tanggungjawab buat sementara waktu dan menggunakan masa itu untuk berehat.

Meskipun Hari Malas Sedunia ini sebenarnya idea yang biasa-biasa sahaja, kepentingan di sebaliknya, iaitu berehat sering diambil mudah.

Di sini, kita dapat simpulkan bahawa ideologi hustle demi hasil sudah wujud ratusan tahun dahulu.

Jadi, Hari Malas Sedunia berfungsi sebagai peringatan lembut untuk mengutamakan penjagaan diri dan menikmati saat-saat tidak mahu buat apa-apa selain bermalasan di atas katil.

Mungkin ada yang mempersoalkan apa fungsinya sambutan itu sedangkan kita sudah ada dua hari hujung minggu untuk berehat?

Hari Sabtu dan Ahad mungkin bukan hari cuti untuk semua orang. Ada yang manfaatkan hari Sabtu dan Ahad untuk bekerja sambilan bagi mencari wang tambahan.

Ada juga yang terpaksa bekerja kerana bosnya ganggu pada hari minggu.

Dan, ada beberapa bidang pekerjaan hari kerja dan hari cutinya tidak mengira hari minggu atau hujung minggu. Jadi, mereka terpaksa bekerja seperti biasa pada hari Sabtu dan Ahad.

Hari riadah yang membahagiakan

Untuk meraikan Hari Malas Sedunia tidak ada pantang larangnya. Masing-masing bebas melakukan apa sahaja dengan cara tersendiri.

Bagi sesetengah orang, ia peluang untuk merebahkan diri atas katil sepanjang hari sambil menonton drama kegemaran.

Ada yang memilih untuk melakukan hobi yang sudah lama ditinggalkan akibat terlalu sibuk bekerja.

Apa sahaja yang anda lakukan pada Hari Malas Sedunia, pastikan ia menyumbang rasa kepuasan dan kebahagiaan.

Semua orang dijemput untuk merasai nikmat kemalasan agar mental dan fizikal lebih segar untuk kembali berjuang mencari wang.

Jangan ambil mudah kepentingan berehat. Ia mungkin kedengaran mudah tetapi jika tidak berehat, kesihatan mental dan fizikal anda akan terjejas.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon