Wednesday, August 07, 2024

SBDJ Siri 205: Dara Berat Jodoh


Perjalanan dari Belawan ke pinggir kawasan istana Kesultanan Deli tidak menjemukan. Pemandu teksi sapu yang berasal dari Tapanuli yang marganya SERIGAR, cukup ramah dan megah dengan rumpun Melayu. Malah dia menyebut beberapa nama saudara maranya yang sudah lama berhijrah ke Tanah Semenanjung.

Toyol jadi-jadian

Kebanyakan kaum kerabatnya tinggal di kawasan tinggal di kawasan Tapah, Temerloh, Kajang. Beberapa nama yang disebut memang merupakan orang penting di tanah air ketika itu.

"Berhentikan saya di rumah itu."

Jari telunjuk datuk menuding ke arah rumah papan separuh batu, berbumbung limas, terletak di hujung jalan. Halaman rumah menghijau dengan rerumput yang halus. Manakala disebelah kiri dan kanan rumah kelihatan pokok sawo matang (ciku) yang rendang dan berbuah lebat.

"Di sini pak."

"Iya."

Empat tayar teksi terpaku di bibir jalan. Saya lihat orang Tapanuli itu mengedutkan dahinya, macam mengingati sesuatu.

"Ada hubungan keluarga dengan pemilik rumah ni," tanyanya pada datuk.

"Kawan karib."

"Oh, begitu. saya kenal baik dengannya, kalau dia mahu ke seberang, selalu menggunakan kereta saya untuk ke pelabuhan. Namanya, Raja Aminuddin, perempuannya penari istana."

"Betul," kata datuk riang.

"Tapi. dia sudah meninggal dunia, kira-kira tiga bulan yang lalu. Dia mati di Pulau Pinang dan dikuburkan di sana, secara kebetulan anak perempuan sulungnya bekerja dengan konsul Indonesia di sana."

"Haaaaaa..." datuk tergamam dan kemudian mengucap panjang sambil disusuli dengan doa untuk si arwah.

"Setahu saya, isterinya saja sudah mati kerana penyakit ganjil, kira-kira lima tahun lalu. Perkara itu diberitahu kepada saya menerusi seorang kawan," suara datuk tersangkut-sangkut, wajahnya nampak pilu sekali.

Hujan rintik-rintik teius berhenti, matahari di langit kotaraya Medan mula bersinar. Awan nipis, putih bersih berarak lembut menuju ke arah tanah Brastagi. Begitulah, di dalam suasana kecerahan matahari saya dapat melihat wajah datuk yang gusar.

"Apa boleh buat, hajat saya tak tercapai. Allah sayang Aminuddin kerana itu dia dipanggil ke sisi-NYA," antara dengar dengan tidak, suara datuk sampai ke gegendang telinga saya.

"Tapi, awak boleh jumpa dengan anak bongsunya. Dia duduk di sini, isterinya orang Kota Lama dekat Kuala Kangsar, kalau tak silap saya, isterinya tak ada di rumah."

"Ke mana pula isterinya?".

"Balik ke Kota Lama."

Datuk merenung ke arah istana Kesultanan Deli (Istana Maimun) yang dibina sekitar tahun 1888. Lapan belas tahun kemudian pada tahun 1906, dibangunkan pula, Masjid Raya berhadapan dengan Istana Maimun. Keindahan kedua-dua bangunan itu begitu memukau hati dan perasaan saya.

"Anak bongsunya itu, namanya Harun Fadillah, di kalangan keluarga dipanggil RUN saja. Di mana saya nak berjumpa dengannya. Banyak benda yang mahu saya tanyakan padanya," datuk menyampaikan hasrat dihati.

"Ikut saya," orang Tapanuli itu menghulurkan budi.

"Saya tahu di mana dia berniaga, masuklah," sambungnya.

Tanpa membuang masa saya dan datuk masuk ke kereta semula. Kami dibawa berpusing-pusing seluruh Kota Medan dan akhirnya, berhenti di satu kawasan perniagaan yang terletak di Jalan Medan-Binjai.

JAMAIN

PEMANDU membunyikan hon kereta tua dua kali berturut-turut di depan sederat kedai dua tingkat, separuh batu dan papan. Seorang lelaki muda berusia sekitar 27-30 tahun muncul dipintu.

"Bang Jamain, apa hal," jerit pemuda berkulit putih, wajahnya tampan di kaki lima bangunan. Si pemandu segera keluar.

"Abang, bawakan sahabat karib ayah kamu dari semenanjung," balas si pemandu sambil membuka pintu kereta sebelah datuk.

Sebaik saja datuk berdiri atas jalanraya, si pemuda berwajah tampan segera melompat melepasi longkang.

"Syukur, Allah makbulkan permintaan ayah saya," dalam tangisan si pemuda terus bersuara. Saya terpaku melihat peristiwa yang tidak diduga.

"Berapa tambangnya bang Jamain," tanya Harun Fadillah sambil melepaskan tubuh datuk dari pelukannya.

"Tak payah, abang halalkan, rasanya cukup gembira bila dapat mempertemukan kamu dengan sahabat karib arwah ayah kamu," balas Jamain sambil jari telunjuknya menuding ke arah datuk.

"Terima kasih, semoga Allah akan memberikan rezeki yang halal untuk kamu dan keluarga," datuk segera merapati Jamain dan bersalaman.

Bila datuk bersalaman, saya juga turut berbuat demikian. Jamain masuk ke kereta.

Sebaik saja Jamain beredar, Harun Fadillah membawa saya masuk ke kedai miliknya yang menjual bermacam-macam jenis kain, termasuk kain songket Palembang dan batik Batu Bara.

Semasa saya berada di kedai, para pelanggan tidak putus-putus datang. Semuanya dilayan dengan baik dan ramah oleh para pekerja yang terdiri dari gadis cornel.

Menurut Harun Fadillah mereka berasal dari luar Kota Medan, ada yang datang dari Tebing Tinggi, Tanjung Balai dan Binjai.

"Begini, kita ke rumah, memanda. Boleh berehat, boleh makan dan sembahyang, memandang dari jauh perlu berehat. Banyak cerita yang mahu saya sampaikan pada memanda," Harun Fadillah mengemukakan cadangan.

"Kedai kamu bagaimana?"

"Tak apa, biar pekerja saya uruskan."

Harun Fadillah segera memanggil seorang pekerjanya yang berasal dari sebuah kawasan perkampungan kira-kira tiga ratus meter dan Kabanjahe.

"Saya ada tamu dan mahu pulang, jam enam tutup kedai, semua hasil jualan dan kunci kedai bawa ke rumah saya. Kamu telefon abang Jamain. sewa keretanya untuk membawa kamu ke rumah saya," satu arahan untuk pekerjanya yang berkulit hitam manis, bersongkok.

"Baik, pak," jawab sipekerja.

Dengan kereta Fiat lama milik Harun Fadillah kami menuju ke rumahnya. Sebaik saja daun pintu rumah terkuak, seorang perempuan tua menyambut kami.

"Tamu dari Tanah Melayu, kawan karib arwah ayah," Harun Fadillah memperkenalkan datuk dan saya kepada perempuan yang menjadi pembantu rumahnya. Perempuan separuh baya itu tersenyum dan anggukkan kepala.

"Saya ingat," sinar mata perempuan setengah baya nampak bercahaya.

"Arwah ayah raja selalu menyebut tentang kawan karibnya yang berkampung laman di Perak. Barangkali inilah orangnya, kalau benar saya sungguh gembira, khabarnya, orangnya serba boleh, handal dunia akhirat," biji mata perempuan separuh baya tertumpu ke arah datuk yang kelihatan serba tidak kena.

"Iya," angguk Harun Fadillah.

"Oh, syukur saya pada Allah "

"Sudahlah tu, pergi buatkan air dan siapkan makan tengahari untuk tetamu kita ini."

"Baik raja."

"Arwah ayah selalu menyuruh pembantu rumah dan pekerja di kedai memanggil saya sebagai Raja Harun Fadillah. Ayah selalu berbangga dengan keturunan rajanya yang menentang Inggeris di Tanah Melayu. Pada saya, gelaran raja sudah lama saya buang," mungkin Harun Fadillah merasakan sesuatu yang tidak kena, bila dipanggil raja oleh pembantu rumah dihadapan datuk.

"Aku tahu ayah kamu, dia cukup menjaga adat, tengok saja sampai sekarang kamu memanggil aku sebagai Memanda, kerana dia yang memaksa anak-anaknya supaya memanggil aku cara begitu."

Kata-kata yang terkeluar dari mulut datuk disambut dengan ketawa oleh Harun Fadillah bersama geleng kepala. Saya turut tersenyum.

SERAMPANG 12

MALAM itu, selesai sembahyang Isyak berjemaah, kami duduk di anjung rumah sambil melihat kerdipan bintangdan bulan didada langit kota raya Medau.

Dari arah istana terdengar ketukan gong dan gesekan biola dari anak-anak muda di halaman Istana Maimun. Angin malam membawa suara merdu ke gegendang telinga saya.

Sungguh merdu mereka mendendangkan irama Melayu Asli membawa lagu Pasir Roboh, Sayang Salmah, Seri Mersing, Serampang Dua Belas dan Damak.

Harun Fadillah memberitahu datuk yang isterinya sudah tiga minggu pulang ke kampung halaman di Sayong, dekat Kuala Kangsar. Ayah mentuanya bernama Shafie Wahab. Isterinya pulang kerana urusannya perkahwinan adik perempuan bongsunya.

"Bila dekat hari pernikahan kira-kira tiga minggu lagi saya pergilah ke Sayong."

"Bagus tu, siapa lagi pergi ke sana?" tanya datuk.

"Kakak saya yang tua dan kakak nombor dua ikut sama."

"Siang tadi Jamain bagi tahu aku, kakak sulung kamu kerja dengan konsul (Indonesia) di Pulau Pinang. Siapa namanya? Aku dah lupa. Dia tu anak kesayangan arwah bapa kamu," datuk renung muka Harun Fadillah.

"Nama sebenarnya, Dang Haryani, kami panggil dia Nonong," nada suara Harun Fadillah lembut sekali.

"Memang dia bekerja di Pulau Pinang."

“Sekarang dia bercuti, ada di sini."

"Ada di sini?" Datuk tegakkan badan.

"Iya, memanda."

"Tapi, sejak aku datang, aku tak nampak batang hidung."

"Dia pergi ke Tanjung Pura."

Bila mendengar perkataan 'Tanjung Pura," saya tersintak kerana nama Tanjung Pura tidak dapat dipisahkan dengan nama penyair besar Nusantara AMIR HAMZAH yang dilahirkan ditempat tersebut pada 28 Februari 1911.

Saya salah seorang daripada penggemarnya. Bait-bait sajak "Buah Rindu" bagaikan terpamir dalam kalbu.

Datuk dan Harun Fadillah masih bercerita tentang Nonong semasa kecil. Terbukti yang banyak tahu tentang Nonong si zaman kanak-kanak ialah datuk.

Sudah tentu dia lebih banyak bercakap dari Harun Fadillah. Dan saya berkhayal bersama alunan gesekan biola dan gendang yang tingkah meningkah dalam alunan irama Melayu asli, batin saya bagaikan terpanggil menyorot sepintas lalu tentang penyair besar itu yang mendapat pendidikan formal dalam Bahasa Belanda.

Memperolehi sarjana muda dari Sekolah Tinggi Hakim-Jakarta pada tahun 1931 dan pada tahun 1938, Amir Hamzah dinikahkan oleh Sultan Langkat dengan Puteri Sulungnya yang bernama Kamaliah.

Semasa zaman revolusi Amir Hamzah ditangkap dan dibunuh. Gugurlah penyair besar itu di Kuala Bergumut sebagai pahlawan nasional.

Alangkah beruntungnya, kalau saya berkesempatan mengunjungi tempat tersebut, fikir saya dalam hati.

"Kenapa dia bercuti ke Tanjung Pura?

BERCUTI

"KENAPA dia tidak bercuti di tempat-tempat menarik di Tanah Semenanjung?"

Suara datuk membantutkan khayalan saya tentang penyair agung. Perlahan-lahan saya gerakan lidah menolak lelangit.

Beberapa saat berikutnya, saya lemparkan pandangan ke halaman rumah menerusi pintu yang terbuka. Terasa angin malam yang bertiup masuk ke ruang rumah lalu menyentuh wajah saya. Mungkin juga wajah datuk dan Harun Fadillah.

"Dia ke rumah Khatijah kakak saya nombor dua. Dia menikah dengan orang Tanjung Pura, suaminya kerja sendiri," Harun Fadillah memberi penjelasan sambil mengosok pangkal dagu.

"Sudah ada anak?" Soal datuk sambil menyandarkan badan ke dinding.

Kaki kanannya dilunjurkan. Harun Fadillah kerutkan kening seperti ada sesuatu yang difikirkannya.

"Ada dua anak, seorang perempuan, seorang lelaki. Masing-masing berumur antara 10-11 tahun. Kakak sulung saya si Nonong cukup sayang dengan anak-anak saudaranya. Masa cutinya selalu dihabiskan dengan anak-anak saudaranya di Tanjung Pura, jarang dia berada di sini," terang Harun Fadillah.

Dari ruang dapur terdengar suara perempuan separuh baya batuk. Beberapa minit kemudian perempuan separuh baya itu diruang tamu.

"Makanan dah siap," katanya.

"Terima kasih kak, sekejap lagi kami makan."

"Kalau begitu, biarlah kakak balik dulu."

"Silakan," balas Harun Fadillah.

Dan perempuan separuh baya itu segera beredar.

Tanpa diminta, Hanin Fadillah menerangkan, sejak ayahnya meninggal dunia pembantu rumahnya tidak mahu tinggal dibilik yang disediakan. Sebaliknya dia lebih suka bemlang dari rumahnya yang kira-kira dua ratus ela dari rumahnya.

"Selalunya, dia datang selepas subuh dan balik ke rumahnya waktu begini," tutur Harun Fadillah.

Datuk anggukkan kepala, begitu juga dengan saya. Buat beberapa saat suasana dalam ruang tamu terasa sepi sekali. Masing-masing termenung dan menutup mulut.

"Maafkan aku Run."

Suara datuk memecahkan suasana dalam ruang tamu.

"Kenapa memanda?"

"Perkara yang mahu aku tanyakan ini, boleh menyinggung perasaan kamu? Soalnya boleh atau tidak aku bertanya," datuk menarik nafas dalam dan melepaskannya dengan perlahan-lahan. Saya kira hati datuk berdebar juga.

"Silakan."

Penuh keyakinan Harun Fadillah menghamburkan kata-kata. Tetapi, datuk kelihatan ragu-ragu untuk melafazkan kata-kata. Berkali-kali hujung jari kelingking kanannya mengaru-garu hujung telinga kanan. Dia bagaikan mencari sebuah keyakinan dan kekuatan dalam diri.

"Si Nonong tu, dah berumahtangga Run?"

"Belum Memanda," nada suara Harun Fadillah merendah.

"Kalau begitu, kakak sulung kamu tu dah agak berumur. Kenapalah dia berat jodoh sangat. Orangnya cantik, tak ada cacat celanya. Pelajaran juga tidak kurang, kalau tidak silap aku umurnya dah masuk angka empat. Apalah malangnya, anak angkat aku itu," Yang terbuku dikalbu datuk Iuahkan.

DILIPAT

KAKI yang dilunjurkan dilipat kembali. Seluruh muka saya menjadi sasaran biji mata datuk. Bila senyum terukir dibibir datuk, perasaan saya berdebar. Tidak tentu arah.

Macam ada sesuatu maksud tersembunyi disebalik senyuman datuk itu. Jangan-jangan orang tua ini membuat keputusan gila.

Agaknya, dia mahu menjodohkan aku dengan kakak si Harun. Siapalah mahu memperisterikan anak dara tua empat puluhan. Ramai lagi anak dara yang hampir sebaya aku boleh dicari.

Kalau tua setahun dua bolehlah juga. Ini jaraknya makan mata dua puluhan. Mana ada jalan. Sesungguhnya, bermacam-macam andaian muncul disanubari hasil daripada senyuman misteri yang dibuat oleh datuk.

"Berkawan memang ada tetapi, tidak bersungguh-sungguh. Kawan rapat pun tidak cuba masuk meminang," keluh Harun Fadillah.

"Agaknya si Nonong yang tak mahu menikah?"

"Saya tak terfikir yang kak Nonong, begitu Memanda."

"Pelik juga, agaknya belum jodoh," Datuk mententeramkan keresahan batinnya.

"Agaknya," ujar Harun Fadillah.

"Apa yang nyata, orang lelaki tidak mahu berkawan lama dengannya. Kawan-kawan lelakinya macam tidak berselera mahu menjadikan Kak Nonong sebagai ibu rumah. Macam ada sesuatu yang tidak kena pada kakak, susah hati saya memikirkan tentang diri kak Nonong."

"Pelik," keluh datuk.

Harun Fadillah menarik nafas. Jari-jemari tangan kanannya terus memicit pangkal kepala. Dan untuk kesekian kalinya datuk melunjur dan melipat kaki kanannya.

"Arwah ayah kamu tahu masalah ini, Run?"

Tiada jawapan yang datuk terima dari Harun Fadillah.

Datuk pun mengalihkan pandangan ke arah pintu rumah yang terdedah. Dan deru enjin kereta jelas kedengaran. Jam di dinding sudah menunjukkan ke angka sembilan.

"Kita makan dulu, kemudian baru kita sambung cerita," Harun Fadillah mengeluarkan cadangan. Hati kecil saya bersorak kegembiraan. Perut saya sudah terasa lapar.

"Mari."

Harun Fadillah segera bangun dan melangkah menuju ke ruang dengan diikuti oleh datuk. Saya disuruh oleh datuk merapatkan daun pintu serta menguncinya sekali.

Kemudian, saya pun turut serta ke ruang dapur untuk menjamah makan malam.

Bagi datuk, makan malamnya memadai dengan tujuh suap nasi, sedikit ikan dan sejemput sayur. Penutupnya, segelas air putih. Saya jangan kira, makan dengan sekenyang-kenyang.

Setelah selesai makan malam, kami kembali ke niang tamu menyambung semula perbualan. perbincangan yang terputus.

RUANG

SAYA merenung ke arah Harun Fadillah yang tersandar di sudut ruang tamu. Buah halkumnya nampak bergerak-gerak. Agaknya, dia menelan air liur.

Di tiga jari-jemari tangan kanannya menyentuh hujung dagu. Saya kira, dia sedang mencari kata-kata sesuai untuk pembuka mulut bagi menyambung kembali perbualan yang terputus.

Harun Fadillah seperti berada dalam suasana yang serba tidak kena. Macam ada sesuatu yang mahu dihamburkan kepada datuk. Tetapi, tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Bagaikan ada sesuatu yang menghalangnya.

"Kenapa kamu nampak resah semacam saja Run, susah sangatkah kamu nak menjawab pertanyaan aku tadi?". Datuk tatap biji mata Harun Fadillah.

"Iya," Harun Fadillah mengaku.

"Kalau kamu fikirkan perkara itu baik, jawablah. Kalau buruk kamu lupakan saja," datuk memberikan jalan penyelesaian.

"Sebelum ayah meninggal dunia, memang dia berusaha mahu mencari memanda. Dua tiga kali dia datang ke Perak. Malangnya, dia tak dapat jumpa memanda," Harun Fadillah memulakan perbicaraan dengan teratur.

"Apa hajat arwah tu, Run."

"Ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada memanda."

"Dia tak cerita kepada kamu perkara yang mahu disampaikan kepada aku," potong datuk dengan wajah serius.

Saya yang sejak tadi tunduk merenung lantai, segera angkat kepala lalu merenung ke arah mereka berdua.

"Ada memanda."

"Apa dia Run?" sepasang biji mata datuk terbeliak.

"Dia suruh saya cari memanda sampai dapat, kata arwah hanya memanda saja yang dapat menolong kak Nonong. Memanda tahu rahsia keluarga kami, sama ada buruk atau baik. Terutama tentang diri arwah emak yang dikatakan ada kaitan dengan nasib malang yang dideritai kak Nonong," Harun Fadillah berhenti bercakap.

"Itu saja pesan arwah ayah kamu Run? Suara datuk meninggi.

"Iya Memanda."

Harun Fadillah segera anggukkan kepala. Tindak-tanduknya ketika itu tidak ubah seperti orang bodoh.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 205/284

BACA: SBDJ Siri 204: Tinggallah Duka Tinggallah Sayang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon