Wednesday, July 24, 2024

Siapa Pengasas Kerja 5 Hari Seminggu?


"Siapa yang tentukan cuti hujung minggu hanya dua hari? Kenapa hari bekerja perlu dilalui selama lima hari?" Saya yakin, anda juga tertanya-tanya tentang perkara ini.

Tidak dinafikan kita semua sangat sukakan cuti hujung minggu kerana dapat berehat daripada kehidupan bekerja yang melelahkan.

Kerja 5 Hari Seminggu

Tetapi, sekiranya kita mempunyai kurang daripada lima hari bekerja timbul pula isu lain. Bayangkan, berapa banyak gaji yang diperoleh jika kita hanya kerja selama tiga hari seminggu?

Konsep lima hari bekerja, dua hari cuti ini juga sudah diamalkan selama hampir 100 tahun.

Bagi menjawab soalan siapa yang menentukan konsep ini, kita imbas kembali apa yang tercatat dalam sejarah.

Revolusi Perindustrian

Konsep cuti dua hari pada hujung minggu mula wujud pada awal abad ke-19 selepas Revolusi Perindustrian berlaku. Ketika itu, kilang besar yang mengeluarkan barangan pengguna mula dibangunkan, mengubah ekonomi pertanian tradisional menjadi perindustrian.

Apabila petani tradisional mula bekerja di kilang, ramai yang tidak suka bekerja pada waktu yang ditetapkan. Ini kerana mereka sudah biasa menyusun jadual sendiri di ladang.

Tambahan itu, pemilik kilang juga memaksa mereka bekerja tujuh hari seminggu. Perkara ini menambah kemarahan dalam kalangan petani dan pekerja kilang lain.

Mereka mula merungut dan meminta cuti bagi meluangkan masa bersama keluarga. Aduan ini akhirnya berkembang menjadi mogok buruh yang berlaku di seluruh Amerika Syarikat.

Dalam tempoh mogok itu, ketegangan antara penguat kuasa undang-undang dan buruh yang menunjuk perasaan menyebabkan ramai yang cedera dan kehilangan nyawa.

Perjuangan itu bagaimanapun berbaloi buat para pekerja kerana waktu kerja yang lebih berperikemanusiaan mula dilaksanakan.

Konsep cuti hujung minggu juga didorong amalan beragama para pekerja. Majoriti pekerja yang beragama Kristian menuntut cuti pada hari suci agama mereka, iaitu hari Ahad.

Kejayaan pekerja Kristian menuntut cuti pada hari Ahad membuatkan pekerja beragama Yahudi – yang juga tidak kurang ramainya di Amerika Syarikat – pula menuntut cuti pada hari suci agama mereka, iaitu Sabtu.

Tuntutan tersebut menyebabkan beberapa kilang menutup operasi pada kedua-dua hari Sabtu dan Ahad, demi mengelak konflik antara pekerja Kristian dengan Yahudi.

Henry Ford

Pemilik kilang Ford Motor Company yang terkemuka, Henry Ford memainkan peranan yang besar dalam penetapan waktu bekerja lima hari seminggu. Dia antara majikan terawal yang memberi pekerja kilangnya cuti hujung minggu dua hari pada awal abad ke-20.

Henry Ford mengumumkan waktu bekerja 40 jam, lima hari seminggu pada 1926, dengan cuti diberikan pada Sabtu dan Ahad setiap minggu.

Waktu bekerja baharu itu juga mengurangkan gaji pekerjanya kerana dia menggunakan sistem gaji harian. Kurang hari bekerja bermakna kurang gaji yang dibayar. Namun, ia sebuah kejayaan.

Walaupun mendapat tentangan pemilik kilang lain, Henry Ford membuktikan produktiviti syarikatnya tidak berubah, malah meningkat selepas cuti diberikan pada hujung minggu.

Tambahan lagi, dia juga ada agenda lain. Henry Ford meneruskan inisiatif tersebut kerana dia ingin menjual kereta yang dibuat kepada pekerjanya. Dia menyedari bahawa pekerjanya sendiri adalah antara pelanggan terbaiknya.

Jika ingin menjual lebih banyak kereta, dia memutuskan bahawa pekerjanya memerlukan cuti agar dapat memandu dan menikmati kereta yang dibuat.

Henry Ford juga didorong oleh keinginan untuk menarik dan mengekalkan pekerja mahir. Dia menyedari bahawa menawarkan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan boleh menjadi senjata berkuasa untuk dia merekrut pekerja yang berbakat tinggi.

Dengan inisiatif itu, syarikat Ford Motor Company berjaya memintas pesaingnya dan tumbuh menjadi syarikat permotoran yang maju sehingga hari ini.

Keseimbangan kerja-kehidupan

Pelaksanaan sistem lima hari bekerja dalam seminggu antara revolusi besar dunia pekerjaan yang memihak kepada golongan pekerja.

Ia membolehkan pekerja berehat secukupnya untuk menikmati hidup dengan lebih seimbang, baik untuk bersama keluarga, berekreasi dan menikmati hobi mahupun menjalankan aktiviti agama.

Wawasan Henry Ford yang melihat waktu rehat sebagai cara untuk menambah produktiviti pekerja perlu dicontohi lebih ramai pemilik perniagaan.

Henry Ford membuktikan, mengerah keringat pekerja sampai kering bukan cara yang sihat untuk memajukan perniagaan.

Para pekerja ialah manusia dan manusia memerlukan waktu rehat serta rekreasi untuk berfungsi dengan baik.

Selepas 98 tahun, idea penuh revolusi Henry Ford terus terbukti benar dan relevan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon