Wednesday, May 08, 2024

SBDJ Siri 197: Rahsia 4 Peti Hitam


Pada mulanya, saya tidak yakin Syam boleh menunaikan kata-katanya itu. "Boleh kami buat," ulang datuk yang meragui kemampuan Syam. "Boleh pakcik," suaranya meninggi, penuh semangat. Saya senyum sinis, mana mungkin dia boleh melakukannya, bisik hati kecil saya sambil menatap batang tubuh Syam dari atas ke bawah berkali-kali.

Toyol jadi-jadian


"Sekarang pakcik."

"Iya, sekarang, jangan bertangguh," kata datuk.

Saya terpampan, Syam melaksanakan apa yang dikatanya. Dia berlari pantas atas simen hingga sampai ke bucu dapur rumah. Semasa Syam berlari (atas simen) ulat-ulat pemakan bangkai bermunculan di kiri kanan landasan simen.

Ulat-ulat pemakan bangkai yang melompat agak tinggi, jatuh atas permukaan landasan simen yang panas. Ulat-ulat itu menggelepar lalu mati.

Sambil berlari, Syam cuba dengan sedaya upaya mengelak dari memijak hangkai-bangkai ulat atas simen. Syam berpatah balik ke arah saya dan datuk.

Cukup pantas dia bergerak dan saya kagum dengan kemampuannya yang diluar dugaan. Tiba-tiba sahaja dia sudah terpacak dihadapan kami.

"Mari Pakcik." Syam memegang pergelangan tangan kanan datuk.

"Ayuh," sahut datuk.

Dengan tenang datuk mengangkat kaki kanan, melangkah ke atas permukaan landasan simen. Saya lihat tanah dikiri kanan landasan simen berombak dan merkah.

Dari rekahan tanah itu, ulat-ulat pemakan bangkai menghulurkan kepala. Saya jadi cemas, berat rasa kaki mahu melangkah.

"Mari Tamar," Datuk segera menarik tangan kanan, saya tidak ada pilihan dan terpaksa patuh.

Atas nasihat datuk, kami terpaksa berlari sambil melompat, agar tidak terkena ulat-ulat yang cuba melompat ke atas landasan simen.

Saya merasa lega kerana ulat-ulat pemakan bangkai, mati serta merta bila jatuh atas simen yang panas. Makin hampir ke kawasan rumah, rekahan tanah makin menjadi-jadi.

Kepala ulat pemakan bangkai dengan mata yang tertonjol tersembul dalam jumlah beratus-ribu dari rekahan tanah lalu bersatu, berkeliaran dalam barisan yang rapat. Bergerak dan meloncat mengikut bunyi atau irama hentakkan kaki kami bertiga.

Akhirnya, kami sampai ke kawasan rumah yang bahagian bawah serta bahagian kaki limanya diturap dengan simen. Mungkin ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai tidak mampu menolak simen menyebabkan kumpulan ulat dan anai-anai tidak kelihatan di kawasan tersebut.

Sebelum memasuki rumah besar, saya dan datuk mengelilinginya terlebih dahulu.

Gegendang telinga menangkap bunyi berdenggung macam bunyi nyamuk, suara yang berdenggung halus itu datang dari dinding, lantai, gelegar dan tiang rumah. Semuanya itu membuat saya jadi resah.

"Jangan cakap apa-apa, Tamar." Itu yang datuk bisikan ke telinga, saya anggukan kepala sambil terus bergerak dari bucu ke bucu rumah.

Syam yang mengekori di belakang, tidak bersuara sepatah apa pun. Secara mengejut datuk berhenti melangkah, saya hampir-hampir saja melangar belakang datuk, begitu juga dengan Syam.

"Kenapa Tuk?"

"Lihat tu."

Mulut saya separuh terbuka dengan sepasang biji mata terbeliak melihat ke arah rekahan simen yang memanjang bermula dari hujung dapur kerana rekahan itu terlalu kecil dan sempit, saya yakin ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai tidak akan bermunculan disitu.

"Tak mungkin ulat-ulat itu boleh keluar dari sini."

Rupa-rupanya datuk sependapat dengan saya dan rekahan itu tidak kami pedulikan. Kami meneruskan pemeriksaan tetapi, kali ini kami berpecah.

Datuk menuju ke arah dapur, saya ke arah tangga tengah dan Syam ke tangga depan. Semuanya melangkah tunduk dengan berhati-hati merenung kepermukaan simen.

Dalam bahang panas yang kian menyengat itu, badan kami terus berpeluh.

"Pakcik mari lihat ini," jerit Syam yang berdiri kaku didepan tangga depan.

Tanpa mahu menanti arahan dari datuk, saya segera mendekati Syam. Tidak lama kemudian, datuk bergabung dengan saya dan Syam.

"Kenapa Syam?" Tanya datuk.

"Kita naik ke rumah," kata Syam.

"Naik....," datuk tidak meneruskan kata-kata. Dia gosok hujung hidung berkali-kali, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

Angin yang bertiup mengurangkan rasa panas yang mengigit tubuh.

"Kita selamat, binatang laknat tu, tak ada di sini," Syam memberikan semangat dan bunyi berdenggung hilang secara tiba-tba saja. Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi.

"Ayuh pakcik." Syam terus mendesak dan menarik tangan datuk.

Sepasang matanya tertumbuk ke wajah datuk. Dalam hati, saya mengharapkan datuk tidak akan memenuhi permintaan Syam.

"Iya Syam, kita naik sekarang." Datuk bagaikan dipukau tanpa mengucapkan sesuatu, tanpa toleh kiri kanan, datuk pun memijak mata tangga.

Saya gigit bibir sambil mengharapkan supaya tidak terjadi sebarang keburukan.

PIJAK

Saya terpaksa mengikuti kerenah mereka (datuk dan Syam). Dengan penuh debar mata tangga saya pijak dengan penuh hati-hati, saya menduga dalam kayu tangga itu penuh dengan anai-anai dan boleh patah atau relai bila dipijak.

Mata tangga pertama Mata tangga kedua dan mata tangga ketiga, selamat dipijak dan dilangkah. Tidak ada bahaya menghalang, tidak ada kecelakaan yang terjadi saya bertambah yakin dan berani melangkah dan memijak tangga hingga mata terakhir.

Bila melangkah masuk ke ruang rumah, baru hati saya benar-benar tenang. Semua kayu dan papan yang digunakan memang jenis yang baik, kerawang dan ukiran yang terdapat pada setiap pintu bilik memang menarik, penuh dengan ukiran tradisional.

Syam segera menjenguk setiap bilik dalam rumah. Datuk pula memeriksa dan menjentik jentik tiang seri, setiap kali dijentik terdengar suara seperti denggung nyamuk.

Saya bergerak dari jendela ke jendela meninjau-ninjau keadaaan pemandangan diluar. Cara kebetulan ditingkap terakhir, saya terus meninjau ke bawah ke arah kaki lima dekat sudut bahagian dapur.

Saya tersentak, dua tiga kali kelopak mata saya gosok, tidak begitu yakin dengan apa yang terpamer di depan mata. Ada sesuatu yang keluar dan bergerak dalam jumlah yang banyak dari rekahan simen.

Kerana ingin mengetahui lebih terperinci tentang benda yang bergerak itu, saya pun tidak mengalih pandangan ke arah lain.

"Allahhu akhbar." Terpancut dari kelopak bibir, degup jantung, bertambah kencang. Benda hitam halus yang bergerak itu adalah kepala ulat pemakan bangkai.

Rekahan yang kecil menjadi lebar. Ulat-ulat pemakan bangkai itu sudah berhasil meluluskan diri dari lubang (rekahan) simen lalu bergerak menuju ke arah tiang, ke arah tangga tengah dalam jumlah yang banyak hinggakan permukaan simen bagaikan dibalut dengan ulat-ulat tersebut.

Tidak lama kemudian, muncul pula barisan anai-anai, bergerak bagaikan riak air. Semuanya menuju ke arah tiang dan tangga tengah.

"Oh Tuhan, kenapa semuanya ini berlaku didepan mata saya," batin saya mula dihimpit ketakutan.

"Mungkin ada maksud tertentu dari semua kejadian ini," oleh batin saya lagi.

Rasa cemas dan takut bergolak dalam diri, cukup sukar untuk dilukiskan dengan kata-kata.

"Pakcik." Pekik Syam dari ruang tengah.

Saya segera berlari ke arahnya dan saya dapati datuk sudah pun berada disisinya.

"Lihat tu." Jari telunjuk Syam mengarah ke dinding. Biji mata datuk dan saya tertumpu ke arah tersebut.

Apa yang datuk dan saya lihat sungguh mengejutkan. Berjuta-juta anai-anai dan ulat pemakan bangkai memanjang dinding bilik, memutih dan nampak sekata.

Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai yang lemah berjatuhan dilantai. Wajah Syam cemas sekali. Datuk nampak tenang dan keresahan terus memukul tali gantung saya.

Entah apa yang mendorongnya, secara tiba-tiba Syam jadi tidak tentu arah. Sambil berlari dia memukul-mukul kepala dan dadanya, mengoyak-goyakkan baju yang dipakai.

"Syam, bawa bertenang." Datuk cuba mendamaikan perasaan Syam yang bercelaru.

Ternyata usaha datuk itu tidak berhasil, tidak diendahkan oleh Syam. Dia terus mengubah haluan, kali ini Syam berlari ke arah ruang dapur.

Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai, tindih menindih memanjat dinding bilik. Mana yang jatuh atas lantai terus berlompatan seolah-olah berpesta ria.

"Bagaimana tuk?" Tanya saya.

"Bersabar Tamar, bilik ini agak istimewa keadaannya, kau lihat keadaan di dalamnya," bisik datuk pada saya.

"Iya," saya mengangguk.

Melihat keadaan atau susunan dalam bilik itu, saya segera meramalkan bilik yang dikuasai olah ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai ini, bukannya sebarang bilik, memang bilik istimewa.

Tetapi, siapa yang tinggal di dalamnya? Adakah Syam atau bekas isterinya? Timbul persoalan dalam hati kecil saya.

PETI

Saya lihat ada empat peti yang berukuran lebar sekitar dua kaki setengah dan panjangnya kira empat kaki.

Dicat dengan warna hitam dan terletak pada setiap sudut bilik, beralaskan dengan kain dua warna, separuh hitam dan separuh merah, bahagian yang bersambung dijahit dengan benang besar berwarna kuning. Setiap peti dikunci dengan mangga tembaga besar.

Di tengah-tengah bilik terdapat sebuah pangkin (tempat tidur) yang dibuat daripada kain belacu. Ada dua biji bantal biasa dan sebiji bantal panjang yang sarungnya dari kain dua warna, hitam dan merah.

Terdapat dua dupa yang terletak di kaki pangkin di bahagian kepala bersama dengan arang. Di tepi dupa terdapat beberapa ketul kemenyan putih dan biasa.

Saya merasa pelik, lantai dibawah pangkin tidak dihampiri oleh ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai. Begitu juga dengan lantai sekitar peti hitam.

Antara jelas dengan tidak, sayup-sayup terdengar suara perempuan merintis.

"Itu suara isteri saya," kata Syam.

Dia terus merempuh saya dan datuk, hampir saja saya mahu jatuh dibuatnya.

"Pelik perangainya," saya merunggut.

"Jaga mulut," kata datuk yang dapat menangkap rungutan saya itu.

Syam terus meluru dan masuk ke bilik sebelah kanan. Tetapi, dia bagaikan tercampak keluar, macam ada sesuatu yang menendangnya dari dalam. Dia jatuh terduduk atas lantai.

Cepat-cepat Syam bangun lalu berdiri di muka bilik dengan kedua tangannya memegang jenang pintu.

Saya dan datuk segera mendekatinya. Datuk di kanan, manakala saya disebelah kiri.

"Pakcik dengarsuara isteri saya." Datuk dan saya berpandangan.

"Itu suara isteri saya," ulangnya lagi.

Bila sepasang matanya menghala ke wajah saya, cepat-cepat saya alihkan pandangan ke arah jendela yang terdedah. Ternyata diluar panas terlalu terik, tidak ada angin yang bertiup. Dedaun nampak kaku dalam sinaran matahari yang menyengat.

"Dengar suaranya pakcik," kali ini sepasang mata Syam tertumpu ke wajah datuk.

Saya nampak datuk mengangguk lemah. Memang saya mendengar suara perempuan merintih, tenggelam timbul bersama suara anai-anai dan ulat pemakan bangkai.

"Ulat-ulat dan anai-anai memakan daging isteri saya pakcik. Tolong dia pakcik," Syam merayu bersama isak tangis memanjang.

Tubuhnya menggeletar. Matanya merenung tajam ke arah anai-anai dan ulat-ulat pemakan bangkai yang merayap didinding bilik.

"Bertenang Syam, kami tak nampak apa-apa, melainkan ulat dan anai-anai memakan dan memanjat papan dinding," kata datuk.

"Huuuhhhhhh..." Syam terus mengeluh, bersama sedu, bersama air mata.

Ulat-ulat dan anai-anai yangmerayap didinding menimbulkan bunyi suara berdecut decut yang halus dan nyaring membuat saya menggigil.

"Isteri saya lari ke bilik sebelah."

Syam segera menerkam ke bilik yang menempatkan ranjang dan peti kayu yang bercat hitam. Kali ini, dia tidak terus masuk, sekadar berdiri dimuka pintu. Saya dan datuk mengekorinya.

"Ini bilik isteri saya." Tanpa diminta Syam memberi penerangan.

"Bilik untuk apa?" Secara tidak sengaja saya meningkah.

"Untuk beramal, di malam-malam tertentu dia bersemadi disini." Keterangan yang datuk ungkapkan membuat datuk menarik nafas panjang.

Saya kedutkan dahi sambil merenung ke dalam bilik. Keadaannya, tidak banyak berubah dari tadi. Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai masih berkeliaran. Malah ada yang sudah menghampiri lantai dibawah pangkin dan peti kayu hitam.

Empat penjuru dinding bilik terus dikuasai ulat-ulat pemakan mayat dan anai-anai. Apa yang berlaku di depan mata menimbulkan seribu persoalan dalam kepala saya.

BANYAK

Dari manakah datangnya binatang yang menjijikkan ini? Pertanyaan ini, bagaikan tidak mahu lekang dari dalam kepala saya.

Mungkin sudah berjuta-juta ulat dan anai-anai mati akibat tindih menindih dan berebut-rebut untuk memamah papan dinding. Namun jumlahnya, tidak juga berkurangan malah bertambah banyak.

"Pakcik tak dapat menolong kamu Syam."

Sepasang anak mata datuk tertumbuk ke wajah Syam yang nampak panik dan kecewa. Dia melagakan gigi atasnya dengan gigi bawah berkali-kali.

"Habis, pakcik mahu biarkan saya begini? Pakcik mahu membiarkan mata saya digigit ulat dan anai-anai ganjil ni."

Kata-kala yang Syam luahkan membuat datuk resah, keningnya berkedut, sekali sekala dia mengaru hujung dagu tidak gatal. Datuk bagaikan berada di dalam dilema.

"Jadi pakcik mahu balik sekarang?" Menyusul pertanyaan dari Syam, sinar matanya nampak layu.

"Begitulah kira-kiranya," jawab datuk dalam keriuhan suara ulat pemakan bangkai dan anai-anai mengunyah papan dinding.

Saya tersentak, kain dua warna penutup keempat-empat peti kayu hitam bergerak sendiri macam ada tangan halus yang menariknya.

Kain penutup terbang dari penjuru ke penjuru dinding dan akhirnya bercantum bergulung-gulung menjadi seketul tanah merah seperti kubur lalu jatuh ditengah-tengah pangkin. Terus diam disitu.

Dan tanpa berkata sesuatu Syam terus berlari ke arah dapur. Kemudian datang ke arah kami dengan sebilah parang ditangan kanan. Tangan kirinya membawa sebotol penuh minyak tanah bersama sekotak mancis.

Sudah tentu perbuatan Syam itu membuat saya jadi resah dan datuk bertambah binggung. Tetapi, kami tidak memberikan sebarang komentar terhadap tindak tanduknya itu.

"Tak mengapa, kalau pakcik nak balik, baliklah. Biar saya bunuh ulat dan anai-anai ni. Saya nak bakar sampai mampus, mana yang hidup saya nak cincang," tutur Syam, nada suaranya keras.

Dia pun menyiram minyak tanah ke atas lantai bilik, semasa mancis api dinyalakan, datuk segera menepis sehingga anak mancis bertaburan dilantai, manakala kotak mancis terpelanting ke tengah bilik.

Dalam sekelip mata, kotak mancis terus dikerumuni anai-anai. Tidak sampai lima minit, kotak mancis hancur lebur dimamah anai-anai.

"Perbuatan kamu membahayakan diri sendiri, Syam."

"Saya tak boleh tahan lagi pakcik, biar saya bunuh ulat dan anai-anai laknat ini."

"Sabar Syam." Sebaik saja Syam mengakhiri kata-kata, dia mengadu kepalanya terasa pening.

Syam segera dipimpin ke suatu sudut rumah yang belum didatangi ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai. Syam segera didudukkan di situ, datuk pun memulakan rawatan singkatnya.

Sebaik sahaja telapak tangan kiri datuk menjamah batang leher Syam, terdengar bunyi dentuman yang kuat dari bilik yang menempatkan empat peti hitam.

Syam yang kurang sihat segera bingkas lalu menerpa ke arah bilik yang berdentum. Saya dan datuk turut bergerak ke arah yang sama.

Sungguh mengejutkan, dinding bilik roboh sendiri. Seluruh ruang bilik dikuasai asap nipis bersama bau kemenyan yang semerbak. Kami bertiga tergamam.

Syam yang tadi mengadu sakit kepala nampak sihat dan bertenaga sekali. Bila bau kemenyan dan asap hilang, segala-galanya menjadi jelas.

Papan dinding yang roboh menghempap semua peti hitam hingga pecah berderai. Saya menarik nafas dalam-dalam.

"Emas," kata saya perlahan-lahan.

Dan biji mata saya menatap barang-barang kemas yang bertaburan atas lantai, begitu juga dengan kain baju dan barang-barang yang lain.

Semua barang-barang tersebut terus dikerumuni anai-anai serta ulat pemakan bangkai.

"Itu harta bekas isteri saya pakcik, mesti diselamatkan sebelum hancur," Syam segera mengangkat kaki kanannya.

"Jangan Syam," tegah datuk sambil memegang bahu Syam yang kelihatan tidak keruan. Syam patuh dengan permintaan datuk.

"Semuanya punah," Syam bagaikan mengeluh.

"Sabar," datuk terus memujuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 197/284

BACA: SBDJ Siri 196: Dikejar Ulat Bangkai
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon