Wednesday, October 04, 2023

Sejarah Asas Tuntutan Sulu Terhadap Sabah


Filipina membuat tuntutan terhadap Sabah kerana Kesultanan Sulu yang berpusat di Filipina, mendakwa memiliki hak ke atas Sabah dan beberapa kawasan lain seperti Tawi-tawi, Palawan, Basilan, Jolo, Semenanjung Zamboanga dan Basilan di Filipina serta Kepulauan Spratly.

Tuntutan Sulu terhadap Sabah

Dari segi sejarah, asas kepada tuntutan Sulu ke atas Sabah adalah bersandarkan kepada perjanjian pajakan yang ditandatangani oleh Sultan Jamalul 'Azam dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent daripada Syarikat British Borneo Utara (SBBU) pada 22 Januari 1878.

Tujuan perjanjian itu adalah bagi memastikan Kesultanan Sulu tidak melakukan kekacauan di Borneo Utara.

Ia terpakai selagi pihak Overback atau wakilnya membayar wang serahan sebanyak AS$3,000 (RM14,055) setiap tahun dan hanya terbatal sekiranya pembayaran tidak dilakukan selama tiga tahun berturut-turut. Bagaimanapun, Kesultanan Sulu telah menganggap Borneo Utara adalah hak miliknya.

Pada tahun 1885, termeterai Protokol Madrid yang merupakan perjanjian antara Britain, Sepanyol dan Jerman.

Dalam hal ini, Sepanyol yang menaungi Filipina dan wilayah Kesultanan Sulu telah mengiktiraf pendudukan British dan melepaskan semua tuntutan ke atas Borneo Utara.

Pada tahun 1915, Perjanjian Carpenter telah ditandatangani antara Kesultanan Sulu dan Amerika Syarikat (AS), di mana Sultan Sulu dikatakan telah melepaskan segala kuasanya kepada pentadbiran AS.

Melalui Konvensyen Washington pada 2 Januari 1930, British dan AS yang waktu itu menjadi penaung Filipina melakukan perjanjian bagi penetapan sempadan antara Borneo Utara dan Filipina.

Dalam tempoh 1921 hingga 1930, Kesultanan Sulu sentiasa meminta SBBU agar menambahkan bayaran tahunan kepada mereka, namun ditolak.

Pada 7 Jun 1936, Sultan Jamalul Kiram II telah mangkat dan ini meredakan seketika isu tuntutan ke atas Borneo Utara, bagaimanapun sultan ini tidak meninggalkan waris yang sah menyebabkan berlaku sekali lagi pertikaian tentang bayaran tahunan sebanyak AS$5,300 (RM24,830).

Selepas Kemangkatan Sultan Jamalul Kiram II pada 7 Jun 1936, isu tuntutan ke atas Borneo Utara kembali reda menerusi keputusan Penghakiman Macaskie.

Bagaimanapun, perbalahan muncul dikalangan kerabat diraja, berkenaan penentuan hak penerimaan bayaran tahunan memandangkan sultan tersebut tidak meninggalkan waris sah.

Penghakiman Macaskie telah menyelesaikan masalah ini dengan membahagikan wang tersebut mengikut kedudukan waris dan memutuskan bahawa hak tuntutan waris Kesultanan Sulu hanyalah pada wang serahan.

Pada tahun 1946, SBBU telah menyerahkan haknya ke atas Borneo Utara kepada kerajaan British melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Jun 1946 selepas Perang Dunia Kedua.

Memasuki tahun 1950, ahli-ahli Dewan Senat Filipina turut campur tangan dalam isu Sulu dan Borneo Utara.

Tindakan British yang menolak tuntutan waris Sultan Sulu iaitu Sultan Mohamad Amirul Ombra menyebabkan mereka mendesak untuk mendapatkan sokongan kerajaan Filipina di bawah pimpinan Presiden Elpidion Quirino, namun semua tuntutan ini ditolak.

Ekoran daripada inilah anggota Dewan Senat mengemukakan cadangan agar menyelesaikan isu ini berdasarkan undang-undang, tetapi tiada tindakan daripada kerajaan Filipina.

Pada tahun 1957, menyaksikan pembatalan terhadap Perjanjian Pajakan 1878, yang disampaikan sendiri oleh Sultan Esmail Kiram pada 25 November 1957 kepada Duta British di Manila serta menyampaikan hasratnya untuk mengadakan rundingan baharu terhadap Borneo Utara.

Duta British Gabriel G.L. Clutton dilihat tidak melayan notis tersebut memandangkan Esmail Kiram tidak mempunyai kuasa menamatkan pajakan 1878 tersebut.

Pengumuman gagasan pembentukan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman untuk menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan Singapura pada 27 Mei 1961 telah menimbulkan ketakutan kepada pihak waris Sulu iaitu Puteri Tarhata Kiram.

Untuk itu, Puteri Tarhata Kiram sekali lagi membuat tuntutan ke atas wilayah Borneo Utara kepada Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina.

Tuntutan beliau telah mendapat sokongan daripada akhbar Filipina sehingga mendesak Presiden Macapagal agar menuntut Borneo Utara.

Pada 23 April 1962, Dewan Perwakilan Filipina telah meluluskan usul Resolusi Ramos yang memberi kuasa kepada Presiden Republik Filipina untuk mengambil langkah perlu bagi mendapatkan semula Borneo Utara.

Pada 30 April 1962, Presiden Macapagal mengiktiraf Esmail Kiram sebagai Putera Mahkota yang baharu dan Kesultanan Sulu sebagai pemimpin berdaulat di Borneo Utara.

Kes ini telah dibawa ke Majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 27 September 1962 untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.

Tetapi, perbincangan hanya terbatas kepada aspek keselamatan dan waris Kesultanan Sulu sahaja tanpa isu wilayah Borneo Utara.

Pada 2017, kumpulan Sulu sekali lagi mengusulkan untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah.

Pada Februari 2022, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM69.9 bilion) kepada waris kumpulan Sulu.

Perintah itu dikeluarkan selepas Malaysia didakwa melanggar Perjanjian 1887 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo selepas menghentikan pembayaran wang pemisah (pampasan) berjumlah AS$1,201 (RM5,300) sejak 2013 selepas pencerobohan bersenjata di Sabah.

Pada Januari 2023 lalu, Malaysia telah memperoleh kemenangan mengatasi individu yang mendakwa sebagai waris kepada Sultan Sulu apabila Mahkamah di Luxembourg mengetepikan perintah penahanan (attachment order) dipohon oleh pihak terbabit.

Semoga memberi manfaat.

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon