Friday, June 30, 2023

Kezaliman As-Sufyani Dan Perang Di Tanah Arab Sebelum Munculnya Imam Mahdi


Sejurus sebelum Imam Mahdi muncul, akan muncul terlebih dahulu as-Sufyani, yang dikatakan muncul di tengah-tengah Damsyik. Dia akan menjadi pemerintah di sana dan membina angkatan tentera yang kuat, ramai dan lengkap. Dia seorang yang pintar bercakap dan mendapat sokongan daripada rakyatnya dalam setiap apa yang dilakukan termasuk memerangi Imam Mahdi.

Kezaliman As-Sufyani

As-Sufyani akan dibantu oleh bapa saudaranya iaitu Kalb. Dia akan memerangi sesiapa sahaja yang berani menentangnya. Penindasan akan berleluasa di setiap pelosok dunia. Dia membunuh sesuka hati, sehingga wanita mengandung dan kanak-kanak kecil pun turut dibunuh tanpa belas kasihan.

Satu pasukan tentera as-Sufyani yang besar jumlahnya dihantar ke Kufah dan mereka memerangi penduduk Khurasan, melakukan kerosakan yang amat besar dan membunuh penduduknya dalam jumlah yang amat ramai.

Pada ketika itulah munculnya Panji-panji Hitam yang pasukan tenteranya sedikit tetapi amat kuat dan gagah. Pasukan ini berjaya menghalang pasukan tentera as-Sufyani daripada terus melakukan kerosakan.

Satu pertempuran yang sangat dahsyat berlaku mengakibatkan ramai tentera dari kedua-dua pasukan terkorban, namun ternyata yang ramai terkorban itu adalah dari pasukan as-Sufyani, menyebabkan mereka kalah dengan seteruk-teruknya.

Kebetulan pada masa itulah, seruan-seruan dari langit berulang kali menyebut-nyebutkan nama Imam Mahdi, menyebabkan beliau sudah menjadi sebutan ramai.

As-Sufyani dengan segera menghantar satu lagi pasukan tenteranya dalam jumlah yang besar dari arah Iraq untuk menghapuskan Imam Mahdi.

Mereka sampai ke Madinah lalu menghancurkan kota itu, membunuh seramai-ramai penduduknya termasuk wanita mengandung, orang-orang tua dan kanak-kanak kecil.

Akhirnya Madinah hampir-hampir menjadi kota sepi, dengan yang tinggal hanyalah binatang-binatang liar dan runtuhan-runtuhan bangunan.

Seterusnya pasukan as-Sufyani meneruskan perjalanannya ke Mekah tetapi dalam perjalanan, di kawasan berhampiran Zul Hulaifah, keseluruhan pasukan ini ditelan bumi. Tiada yang selamat melainkan dua orang yang segera menyampaikan berita buruk itu kepada as-Sufyani.

Bagaimanapun, berita buruk itu tidak menakutkan as-Sufyani walau sedikit pun.

Akhirnya dalam satu peperangan, Imam Mahdi berjaya menangkap As-Sufyani lalu menyembelihnya di tepi laut.

Kemudian Imam Mahdi memerangi Kalb pula, lalu dibunuh, sama seperti yang diperbuat kepada As-Sufyani sebelumnya.

Seluruh harta benda mereka berdua ini akan dirampas dan dimasukkan ke dalam Baitulmal.

PERANG ANTARA 3 PUTERA ARAB

"Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Yahya dan Ahmad bin Yusuf keduanya berkata; 'Telah menceritakan kepada kami Abdurrazaq dari Sufyan At Tsauri dari Khalid bin Al Khadza dari Abu Qilabah dari Abu Asma Ar Rahabi dari Tsauban dia berkata: "Rasulullah saw bersabda: "Kelak tiga orang akan berperang di perbendaharaan kalian ini (iaitu Ka'bah) dan kesemuanya adalah anak khalifah. Dan tidak ada yang menang melainkan satu orang, lalu muncullah bendera-bendera hitam dari wilayah timur, lantas mereka memerangi kamu (orang Arab) dengan suatu peperangan yang belum pernah dialami oleh kaum sebelummu. Jika kalian melihatnya, maka berbai'atlah kepadanya walaupun sambil merangkak di atas salji, kerana sesungguhnya dia adalah khalifah Allah Al Mahdi." (Riwayat Ibn Majah)

Hadis yang mashyur di atas molek dibaca dengan hadis yang lain agar kesinambungan ceritanya lebih jelas.

Dari Ummu Salamah, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda: "Manusia akan berbalah setelah kewafatan seorang Khalifah. Seorang lelaki dari Madinah akan melarikan dirinya ke Mekah. Beberapa orang Mekah akan memaksa beliau agar menerima bai'at mereka kepada beliau di antara Rukun dan Al Maqam. Satu pasukan tentera dari Syam akan dihantar menentang beliau dan mereka akan ditelan bumi di Baida' (padang pasir di antara Mekah dan Madinah). Apabila diketahui manusia, mereka datang berbondong dari Syam dan Iraq untuk membai'at beliau. Kemudian muncul pula seorang dari Kaum Quraish yang ibunya dari suku Kalb, menentang beliau dan akan ditewaskan; peperangan tersebut dinamakan Perang Kalb. Mereka yang tidak menyaksikan ghanimah peperangan itu adalah malang. Al-Mahdi akan membahagi-bahagikannya dan memerintah mengikut Sunnah Baginda SAW. Kemudian beliau wafat dan Kaum Muslimin akan mensolatkan beliau." (Riwayat Abu Daud)

Tegaknya Khilafah di Baitul Maqdis

Maka petanda munculnya Imam Mahdi adalah terjadi goncangan (gempa) dan perselisihan (kesedihan) antara manusia terlebih dahulu, maka sebelum terjadi gempa dan perselisihan akan diawali dengan tegaknya khilafah di Baitul Maqdis.

Kenapa khilafah harus di Baitul Maqdis? Kerana Baitul Maqdis merupakan benteng terakhir kaum muslimin, selain itu kota Madinah menuju fasa kehancuran.

Rasulullah SAW bersabda:

Dari Malik bin Yukhamir dari Mu'adz bin Jabal ia berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Ramainya Baitul Maqdis adalah tanda kehancuran kota Madinah, hancurnya kota Madinah adalah tanda terjadinya peperangan besar, terjadinya peperangan besar adalah tanda dari pembukaan kota Konstantinopel dan pembukaan kota Konstantinopel adalah tanda keluarnya Dajjal." (HR: Abu Daud).

MEMERINTAH SELAMA 7 TAHUN

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Dari Abu Sa'id Al Khudri ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Al Mahdi itu dari keturunanku, dahinya lebar dan hidungnya mancung, ia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi pernah dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman. Ia akan berkuasa selama tujuh tahun." (HR: Abu Daud).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Bahawasanya al-Mahdi tidak akan keluar hingga jiwa-jiwa yang tak berdosa (suci) terbunuh. Apabila jiwa-jiwa suci itu terbunuh maka penduduk langit dan bumi marah atas kematian mereka. Lalu orang-orang mendatangi al-Mahdi, mereka mengaraknya seperti seorang pengantin diarak kepada suaminya pada malam pesta pernikahannya." (Musannif Abu Syaibah)

Wallahu a'lam.

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon