Tuesday, January 31, 2023

Kisah Kota LGBT Yang Di Lenyapkan Dari Muka Bumi!


Sejarah Laut Mati menyimpan peristiwa bencana yang amat dahsyat, sehingga bukan sahaja menimpa seluruh penduduknya malah melenyapkan terus sebuah negeri dan peradaban. Peristiwa tersebut dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Kaum yang dimaksudkan itu ialah penduduk Sodom dan Amurah.

Kisah Valley of Salt

Laut Mati ialah laut yang mempunyai air yang sangat masin, sehingga tiada suatu hidupan yang mampu hidup. Jika mandi di laut ini, kita akan mendapati badan kita terapung-apung dan tidak tenggelam, lantaran kepekatan garamnya.

Firman-Nya yang bermaksud, "Maka ketika datang azab Kami, Kami balikkan negeri itu, bahagian atas menjadi bahagian bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang (batu-batu itu) ditandakan (diarahkan) oleh Tuhanmu dan Ia tidaklah jauh daripada orang yang zalim itu." (Surah Hud 11: 8283)

Lokasi bandar Sodom dan Amurah (dalam bible disebut Gommorah) dikenal pasti oleh ahli sejarah di barat daya Laut Mati. Beberapa penemuan sejarah ditemui di kawasan itu kini suatu lembah yang digelar Valley of Salt.

Bumi di situ didapati mengandungi kandungan sulfur dan garam yang tinggi. Dipercayai azab yang diturunkan ke atas mereka daripada hunjaman batu-batu belerang, yang mana selain membunuh manusia, ia membakar bangunan batu-batu kapur (limestone), yakni bahan membina bangunan pada waktu itu.

Tanah dan abu yang dijumpai di kawasan itu mengandungi kalsium sulfat dan kalsium karbonat, hasil daripada batu kapur dan sulfur (batu belerang) yang terbakar.

Kedegilan Kaum Nabi Lut Mengundang Azab Allah

Kaum ini dalam kehidupan mereka mengamalkan perkara yang sangat keji iaitu hubungan homoseksual atau liwat dikalangan lelaki dan lesbian dalam kalangan wanita.

Rata-rata mereka berminat sesama kaum sejenis. Ditambah dengan pelbagai maksiat dan kemungkaran lain seperti penindasan, rompakan, kecurian serta rampasan harta benda dan sebagainya.

Yang kuat mendapat kuasa, manakala yang lemah menjadi korban penindasan serta penganiayaan.

Allah SWT mengutus Nabi Lut a.s. untuk berdakwah dan menyeru kaum Sodom agar kembali menyembah Allah dan meninggalkan perkara keji itu, tetapi mereka mengingkari dakwah Nabi Lut a.s.

Malah mereka suka memperolok-olokkan Nabi Lut sehingga mencabar beliau meminta didatangkan azab daripada Tuhan.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan (Kami utus) Nabi Lut. Ingatlah ketika ia berseru kepada kaumnya: 'Kenapa kamu lakukan pekerjaan keji (homoseks) yang tidak pernah dikerjakan oleh seorang jua pun sebelum kamu di muka bumi ini? Sesungguhnya kamu menyalurkan syahwatmu (nafsu seks kamu) kepada lelaki, bukan kepada wanita. Nyatalah kamu kaum yang melampaui batas.' Jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan, 'Halau mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya) dari negeri kamu ini. Sesungguhnya mereka ialah orang yang berpura-pura menyucikan diri.'" (Surah al-A’raf 7: 80-82)

"Maka jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: 'Datangkan kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.'" (Surah al-Ankabut 29: 29)

Utusan Allah SWT Datang Kepada Kaum Lut

Kemudian Allah SWT mengutus dua malaikat menjelma sebagai pemuda tampan ke negeri kaum Lut.

Ibn Kathir menyebut: Dalam kalangan ahli tafsir menyebut: Setelah para malaikat iaitu Jibril, Mikail, dan Israfil meninggalkan Ibrahim a.s., maka mereka mendatangi negeri Sodom dalam rupa pemuda yang sangat tampan, sebagai bentuk ujian dari Allah SWT atas kaum Lut dan untuk menegakkan hujjah atas diri mereka.

Sebelum itu, malaikat ini pernah bertamu ke rumah Nabi Ibrahim a.s. untuk menyampaikan berita gembira bahawa isteri baginda akan hamil dan dikurniakan cahaya mata. Malaikat itu juga telah menyatakan bahawa mereka akan ke negeri kaum Lut untuk membinasakan mereka.

Nabi Lut a.s. ialah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Ayahnya bernama Hasan bin Tareh, saudara kandung Nabi Ibrahim a.s.

Firman Allah SWT, "Dan ketika utusan Kami (para malaikat) datang kepada Ibrahim membawa khabar gembira, mereka mengatakan: 'Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk (Sodom) ini. Sesungguhnya penduduknya ialah orang yang zalim.'" (Surah al-Ankabut 29: 31)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Berkata Ibrahim: 'Sesungguhnya di kota itu ada Lut.' Para malaikat berkata: 'Kami lebih mengetahui siapa di kota itu. Kami akan selamatkan dia dan pengikutnya kecuali isterinya. Dia termasuk orang yang dibinasakan.'" (Surah al-Ankabut 29: 32)

Para malaikat itu kemudiannya meninggalkan Ibrahim dan menuju ke Sodom.

Al-Suddi berkata: Para malaikat tersebut pergi daripada tempat Nabi Ibrahim menuju ke negeri Lut. Mereka datang ke negeri tersebut pada waktu tengah hari.

Sesampainya mereka di sungai negeri Sodom, mereka bertemu dengan puteri Lut yang sedang mengambil air untuk keluarganya. Ketika itu, Lut memiliki dua anak perempuan. Puteri yang pertama bernama Raitsa dan yang kecil bernama Zaghrata.

Para malaikat tersebut berkata kepadanya, "Wahai anak perempuan, apakah ada tempat untuk singgah?" Dia menjawab: "Ya, ada tempat bagi kamu. Namun, janganlah kamu masuk sebelum aku datang lagi kepada kamu."

Dia merasa kasihan jika kaumnya memperlakukan mereka dengan tidak wajar. Lalu dia menemui ayahnya dan berkata, "Wahai ayah! Ada beberapa pemuda yang ingin bertemu denganmu di pintu masuk kota. Aku belum pernah melihat wajah yang lebih tampan dari wajah mereka. Jangan engkau biarkan kaummu mengganggu mereka dan mempermalukan mereka."

Pada waktu itu, kaum Lut telah melarangnya untuk menerima tetamu. Mereka berkata, "Biarkan kami menerima tetamu lelaki."

Mereka pun bertamu kepada Lut ketika matahari tenggelam. Lut merasa khuatir sekiranya tidak menyambut mereka, maka akan didahului oleh orang lain kerana menyangka bahawa mereka adalah manusia biasa.

Lut membawa mereka – para malaikat tersebut – tanpa diketahui oleh seorang pun kecuali isterinya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan." Surah Hud (77)

Malangnya, isteri Lut keluar menemui kaumnya dan berkata, "Di rumah Lut ada beberapa lelaki yang sangat tampan yang belum pernah aku lihat sebelumnya."

Lalu tersebarlah berita dikalangan kaumnya kedatangan lelaki-lelaki tampan di rumah Lut. Lalu mereka berkumpul di hadapan rumah baginda.

Berteriaklah mereka memanggil Lut untuk melepaskan anak-anak muda itu, agar diberi kepada mereka untuk memuaskan nafsu.

Nabi Lut tidak membuka pintu bagi mereka dan berseru agar mereka kembali ke rumah masing-masing dan jangan menggunggu tetamu yang sepatutnya dihormati dan dimuliakan.

Lalu berkatalah Nabi Lut a.s. kepada para tamunya, "Sesungguhnya aku tidak berdaya menahan orang-orang itu menyerbu ke dalam. Aku tidak memiliki senjata dan kekuatan fizikal yang dapat menolak kekerasan mereka, tidak pula mempunyai keluarga atau sanak saudara yang disegani mereka yang dapat aku minta pertolongannya, maka aku merasa sangat kecewa, bahawa sebagai tuan rumah aku tidak dapat menghalau gangguan terhadap tetamu dirumahku sendiri."

"Para utusan malaikat berkata, 'Hai Lut, sesungguhnya kami ialah utusan-utusan Tuhanmu. Mereka sekali-kali tidak akan mengganggumu. Sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikutmu pada akhir malam dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, kecuali isterimu.'" (Surah Hud 11: 81)

Pengakhiran Kaum LGBT

Nabi Lut a.s. keluar dari kampungnya bersama keluarganya iaitu kedua anak perempuannya dan tidak ada seorang pun yang mengikutinya.

Lalu ketika matahari menyingsing maka azab pun menimpa kaumnya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu." Surah Hud (82-83)

Jibril memporak-porandakan tempat tinggal mereka yang berjumlah tujuh kota, dengan hujung sayapnya. Mereka menyebut bahawa jumlah mereka adalah empat ratus orang. Ada yang mengatakan jumlah mereka empat ribu orang ditambah dengan haiwan-haiwan. Tempat-tempat dan daerah-daerah di sekitar itu juga diporak-porandakan. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 274)

Mujahid berkata, "Yang mula-mula terjatuh adalah para pembesar dari kalangan kaum Lut."

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Al-Baghawi berkata: Tatkala datang azab Kami, nescaya Kami jadikan yang di atas ke bawah. Ini kerana, Jibril memasukkan sayapnya di bawah perkampungan kaum Lut yang mengandungi lima tempat.

Padanya terdapat empat ratus ribu orang. Ada pendapat menyatakan empat ribu orang. Maka diangkat kota-kota semuanya sehingga kedengaran ahli langit bunyi kokokan ayam dan salakan anjing.

Dan tiada berubah ketika itu bekasan mereka dan tidak tersedar orang yang sedang tidur. Kemudian dibalikkannya sehingga yang di atas diterbalikkan ke bawah. (Lihat Ma'alim al-Tanzil, 4/193)

Firman Allah SWT, iaitu pada setiap batu tersebut tertulis nama orang yang akan dikenakan kepalanya sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT yang maksudnya, "Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)." Surah al-Zariyat (34)

Al-Suhaili berkata, "Ketika mereka telah pergi dari negerinya dan matahari telah terbit, turunlah kepada kaumnya azab yang dahsyat. Jibril dengan hujung sayapnya membalikkan tujuh kota. Dia jadikan bahagian atas kota itu menjadi bahagian bawah. Tempat tinggal mereka menjadi laksana laut berbau busuk yang bergelombang dengan air yang sangat masin sehingga pahit. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 260-284)

"Mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur, ketika matahari akan terbit. Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras." (Surah al-Hijr 15: 74)

Pendapat Ahli Penyelidik

Terdapat satu bab dalam Majalah al-Siyasah al-Usbu’iyyah yang menyebut: Beberapa kitab samawi menceritakan, Allah SWT telah membinasakan dua buah kota, iaitu Sodom dan Amurah, serta tiga kota lain yang berhampiran.

Allah SWT telah menghujani mereka dengan api dan belerang dari langit, sehingga tidak ada seorang pun penduduk di situ selamat, kecuali Nabi Ibrahim a.s. bersama ahli keluarganya serta Nabi Lut a.s. dan kedua-dua anak perempuannya.

Nabi Ibrahim a.s. bukan penduduk asal kota itu, tetapi secara kebetulan Baginda sedang melalui kota tersebut dari arah utara untuk mencari rumput, yang biasa dilakukan oleh kelompok nomad pada waktu itu.

Hinanya Perlakuan LGBT

Begitulah kesudahan kaum Lut yang dibinasakan dan dilenyapkan dari muka bumi yang menjadi pengajaran kepada manusia hingga ke hari kiamat.

"Dan sesungguhnya kota itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap (di lalui manusia). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman." (Surah al-Hijr 15: 76-77).

Wallahu a'lam.

sumber: (1)(2)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon