Wednesday, November 23, 2022

Sejarah Kerajaan Minoriti Di Seluruh Dunia, Kebaikan Dan Keburukannya


Kerajaan minoriti adalah sebuah kerajaan yang dibentuk oleh sesebuah parti atau beberapa parti yang tidak mempunyai kelebihan majoriti di Parlimen.

Di bawah kerajaan ini, polisi atau undang-undang hanya boleh diluluskan selepas mendapat sokongan bilangan ahli parlimen mencukupi sekaligus menggalakkan penglibatan parti-parti dalam parlimen.

Kerajaan minoriti Malaysia

Bagaimanapun, ia tidak stabil berbanding kerajaan majoriti, kerana sekiranya ahli-ahli parlimen yang menentang tidak bersetuju dengan polisi yang hendak diluluskan, mereka boleh menolak atau mengadakan undi tidak percaya terhadap kerajaan berkenaan.

Justeru, untuk mengelak perkara sebegitu berlaku, kerajaan minoriti harus membentuk perjanjian keyakinan dan bekalan dengan parti-parti tertentu atau ahli parlimen bebas.

Perjanjian ini ialah parti-parti tertentu atau bebas bersedia menyokong kerajaan minoriti dengan undi kepercayaan atau menyokong usul belanjawan kerajaan sama ada dengan mengundi sokong atau memilih berkecuali.

Namun, parti-parti ini masih mempunyai hak mengundi usul-usul yang memihak kepada mereka atau berdasarkan hati nurani mereka dalam usul perundangan.

Aturan sebegini bukan perkara baru dalam soal kerajaan minoriti. Misalnya pada tahun 2017, selepas Parti Konservatif UK gagal membentuk majoriti, mereka membuat perjanjian keyakinan dan bekalan dengan Parti Kesatuan Demokratik (DUP).

Tetapi, mampukah kerajaan minoriti yang dicadangkan itu berlaku di Malaysia?

Kerajaan minoriti memerlukan ihsan dari pihak lawan untuk meluluskan undang-undang atau polisi yang cuba dilaksanakan, sekaligus menjadikan kerajaan tersebut kerajaan yang lemah.

Ini berlaku kepada kerajaan Parti Buruh UK pada tahun 1977. Perdana Menteri ketika itu, James Callaghan berhadapan usul undi tidak percaya dari parti-parti pembangkang.

James Callaghan baru saja menjawat jawatan berkenaan selama setahun menggantikan Harold Wilson.

Untuk mengelak situasi undi tidak percaya berlaku kepada mereka, James Callaghan mengadakan perjanjian dengan Parti Liberal Demokrat yang diketuai David Steel.

Sebagai tukaran kepada sokongan dalam usul undi tidak percaya, beberapa cadangan parti berkenaan akan diterima oleh Parti Buruh.

Namun, perjanjian tersebut ditamatkan pada September 1978 dengan Parti Buruh mengumumkan tidak mengadakan pilihan raya umum pada musim luruh 1978 dan akibatnya, kerajaan James Callaghan ditumbangkan dalam usul undi tidak percaya pada Mac 1979.

Ini memaksa beliau mengadakan pilihan raya beberapa bulan selepas itu dan pada Mei 1979, Parti Konservatif yang diketuai Margaret Thatcher menduduki No 10 Downing Street.

Situasi sama turut melanda India pada tahun 1996 hingga 1998. Pada tahun itu, 13 parti kecil membentuk satu perikatan politik yang dipanggil Barisan Bersatu (UF/BB).

Pada pilihan raya umum 1996, keputusan pilihan raya menyaksikan tiada parti berjaya meraih kelebihan majoriti.

Parti Bharatiya Janata (BJP) mempunyai bilangan kerusi terbesar iaitu 161 kerusi dari 543 kerusi dan dijemput membentuk kerajaan. Hasilnya, Atal Bihari Vajpayee dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tetapi Atal Bihari Vajpayee gagal mendapat sokongan majoriti di Parlimen dan kerajaannya tumbang 13 hari kemudian.

Selepas itu, Parti Kongres yang mempunyai 140 kerusi dijemput melakukan perkara sama tetapi menolak berbuat demikian.

Ini yang membawa kepada pembentukan kerajaan BB yang disokong Parti Kongres dan Parti Komunis India-Marxist (PKI-M) dengan H.

D. Deve Gowda dilantik sebagai Perdana Menteri, bagaimanapun beliau hanya bertahan setahun (1 Jun 1996 – 21 April 1997) apabila Kongres menarik balik sokongan atas alasan tiada komunikasi antara BB dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun, Parti Kongres beralah apabila BB melantik I. K. Gujral sebagai Perdana Menteri baru.

Malangnya, I K. Gujral hanya bertahan selama setahun (21 April 1997 – 19 Mac 1998) sebelum kerajaannya tumbang gara-gara pelbagai kontroversi berlaku ketika itu yang mendorong Parti Kongres menarik diri.

Justeru, sekiranya idea kerajaan minoriti diteruskan juga, permusuhan dan perbalahan membabitkan drama politik negara takkan berakhir.

Ia akan terus dimainkan sehingga ke satu tahap dimana negara akan berada dalam keadaan pegun kerana dasar dan polisi tak boleh dibuat.

Dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang semakin hari semakin teruk, rakyat memerlukan kerajaan yang kuat.

Justeru, perlunya sebuah kerajaan yang memiliki mandat semula daripada rakyat untuk memperbaiki keadaan.

Bayangkan, dengan kerajaan sebelum ini pun ekonomi negara sudah tunggang-langgang, memperjudikan nasib dengan menyokong kerajaan minoriti yang juga menunggu masa untuk rebah adalah sangat membebankan.

Kalau anda sendiri seorang pelabur, adakah anda akan masuk melabur di Malaysia?

Itu baru masalah ekonomi, belum lagi masalah-masalah lain seperti masalah sosial dan hubungan antara kaum.

Sama-samalah kita menyuarakan dengan tegas mandat memilih kerajaan dikembalikan kepada rakyat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon