Tuesday, November 01, 2022

Melawan Kejahatan Perasuah Melalui Peti Undi!


Suara reformasi bukan sekadar protes kebangkitan rakyat yang kelaparan, sebaliknya citra kebangkitan rakyat menentang wakil rakyat yang korup dan malangnya kemiskinan menjadi hiasan sebahagian besar negara Islam di dunia.

Rasuah di Malaysia

Misalnya, Indonesia yang kaya dengan penduduk - lebih 300 juta - tapi kemiskinan merantai 80 peratus daripada warganya. Korupsi, salah guna kuasa dan penindasan tidak banyak berubah berbanding era Sukarno yang memerintah sejak 1945 sehingga 1967.

Perjuangan reformasi memuncak pada 1998 apabila Indonesia gagal mengawal ekonomi dan kemiskinan. Jakarta gagal melunaskan hutang Tabung Kewangan Antarabangsa sehingga memaksa Suharto meletak jawatan.

Ekonomi merudum dan rakyat bangkit di jalanan menuntut keadilan serta kehidupan yang lebih baik. Kerajaan kerap bertukar pimpinan namun Indonesia - sehingga awal 2000 - masih keliru tentang kedaulatan dan kemanusiaan.

Rasuah Musuh No 1 Negara

Suara reformasi bukan sekadar protes kebangkitan rakyat yang kelaparan, sebaliknya citra kebangkitan rakyat menentang wakil rakyat yang korup, dengan pemerintah yang sekadar mengenyangkan peribadi.

Rakyat memberontak kerana mereka diperbodohkan oleh wakil rakyat masing-masing. Rakyat keliru kerana pemimpin yang mereka pilih akhirnya tidak mengenal orang yang mengangkat mereka ke jawatan berkenaan.

Kejahatan koruptor mempunyai kesan yang besar. Bukan sekadar pelaku yang menerima kesan dosa daripada perbuatan rasuah, juga kesulitan buat rakyat terbanyak.

Generasi terkemudian bakal menerima kesan daripada pimpinan korup yang disalah pilih oleh rakyat menerusi peti undi.

Rasuah, salah guna kuasa dan penindasan berlaku secara terbuka ketika rakyat kelaparan. Kronisme dan korupsi - istilah yang dulunya tabu - kini diperkatakan secara meluas bukan sahaja di Indonesia, juga di Malaysia.

Melawan Penyeluk Saku

Selepas 20 tahun reformasi 1998 berlalu, akhirnya berlaku pertukaran kerajaan daripada kleptokrat kepada kerajaan pilihan rakyat secara demokratik pada Mei 2018.

Malangnya demokrasi Malaysia yang masih muda tidak tahan ujian suapan wang dan kuasa apabila 22 bulan kemudian rakyat 'dipaksa' menerima pertukaran kerajaan melalui pembelotan dan transaksi habuan.

Ia berlaku tanpa sedikit pun rasa malu pada wajah-wajah wakil rakyat yang menjadi pengkhianat.

Di sebalik propaganda murahan mengenai 'kegagalan' kerajaan pilihan rakyat itu, tempoh 22 bulan berkenaan sebenarnya waktu untuk orang ramai menyaksikan pendedahan pelbagai kejahatan yang sebelum itu diselindungkan.

Kleptokrat menubuhkan syarikat menggunakan dana negara untuk mengaut keuntungan peribadi berbilion ringgit, misalnya. Juga mengenai yayasan 'kebajikan' yang luar biasa apabila kewujudannya seumpama bunian - ada pada nama, misteri pada mata.

Hari ini menentang kejahatan bukan sekadar perjuangan melawan penyeluk saku di pasar Chow Kit. Ia adalah tentang menolak kejahatan yang membudaya dan menjadi sebahagian daripada cara hidup.

Pelbagai peringkat terkait dengan isu rasuah walaupun kadar penerimaan berbeza.

Rakyat berdepan dengan 'penyamun' yang sama sekali berbeza daripada apa yang tergambar dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Penyamun kini adalah golongan yang kelihatan hebat serta suci.

Pilihlah wakil yang merakyat, bukannya tukang lawak, kaki carut, pedagang agama, anarkis dan yang seumpamanya. Apa lagi koruptor yang berselindung di sebalik agama dan bangsa.

Elak golongan yang mendirikan kilang dalil untuk menghukum orang lain seolah-olah diri mereka maksum dan terjamin ke syurga tanpa hisab. Jangan dipilih calon yang bermain banyak kolam dan memperguna agama untuk menghukum.

Setiap parti dan pakatan politik ada kekuatan dan kelemahan. Rakyat berhak memilih yang terbaik daripada sekian banyak mudarat yang timbul.

"Melawan Rasuah Adalah Menentang Kejahatan"

Slogan ini perlu jadi prinsip dalam kehidupan manusiawi. Slogan ini tidak muncul sendiri. Amalan rasuah sudah lama wujud dengan tamadun dunia.

Amalan rasuah bukan sahaja dalam kalangan pedagang bahkan penguasa politik untuk mencari dan mengekalkan kuasa. Melawan rasuah adalah menentang kejahatan.

Pengundi wajib tahu jika perasuah diberi peluang berkuasa semula, mereka akan menggunakan rasuah untuk menentang kebenaran yang sepatutnya menjadi milik rakyat.

Belum berkuasa pun sudah ada cadangan untuk menukar ketua hakim negara, peguam negara dan membebaskan tuduhan rasuah terhadap beberapa tokoh yang terpalit skandal. Ada juga yang bincang pengampunan diraja buat 'Mat Sakau' yang baru dua bulan dalam penjara. Bayangkan jika rakyat salah memilih!

Ingat: melawan rasuah adalah menentang kejahatan. Parti politik yang menentang perasuah wajar bersatu dan ketepikan ego peribadi.

Perpecahan dalam kalangan penentang rasuah akan memberi manfaat kepada perasuah itu sendiri. Jika tidak bersatu perasuah akan berkuasa dan meneruskan tradisi rasuah untuk dulu, kini dan selamanya.

Jom, kita lawan perasuah melalui peti undi!!

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon