Monday, September 19, 2022

5 Kisah Mat Kilau Yang Anda Tidak Pernah Tahu


Mat Kilau merupakan antara nama besar, sebaris dengan nama-nama individu lain yang bangkit secara terbuka menentang penjajahan British. Sejarahnya mungkin secara ringkas sudah anda ketahui, tetapi bagaimana pula dengan beberapa kisah berbeza berkaitan beliau?

Berikut adalah lima kisah berbeza berkenaan Allahyarham Mat Kilau yang jarang mahu dikongsikan.

1. Semua gerakan Mat Kilau menentang British didalangi Sultan Pahang

Identiti Mat Kilau

Menurut perspektif British - semua insiden pemberontakan melibatkan Tok Bahaman, Imam Rasu (Tok Gajah) dan anaknya Mat Kilau sebenarnya berpunca daripada gerakan sulit didalangi Sultan Pahang sendiri.

Pendapat ini menimbulkan dilema di kalangan pegawai British yang mentadbir - kerana mereka tahu mereka perlu bekerjasama dengan Sultan, tetapi dalam masa yang sama perlu berhati-hati dengan kelicikan Sultan Pahang.

Pendapat ini disokong rekod British, kerana kebanyakan mangsa gerakan pemberontakan yang mati dibunuh bukan orang Melayu, sebaliknya individu berbangsa Cina dibawah perlindungan British, orang Sikh yang berkhidmat sebagai pegawai keselamatan dan ada juga melibatkan orang British sendiri.

Selepas Tok Bahaman menyerah diri, perbincangan berkenaan hukuman yang sepadan dengan jenayah yang telah mereka lakukan dimulakan.

Tetapi ekoran kebimbangan mereka terhadap pengaruh Sultan Pahang terhadap kumpulan pemberontak tersebut, British sukar membuat keputusan.

Sehinggakan bagi menghukum Tok Bahaman, ada idea untuk beliau dihantar saja ke tanah suci Mekah. Apa yang melucukan, idea itu ditolak kerana British risau orang Melayu melihat seandainya mereka memberontak, mereka dapat buat haji percuma ditaja British.

Mat Kilau yang terlibat dalam insiden pembunuhan di kebun candu Kuala Lipis dan dua orang lelaki China di Bukit Kayu Arak, dilaporkan akan dihantar ke Pulau Andaman, lokasi di mana British membuang banduan-banduan dari India sekiranya berjaya diberkas dan dibicarakan.

2. Ayah Mat Kilau seorang yang cekap berpolitik

Dalam catatan sejarah, nama ayah Mat Kilau direkodkan sebagai 'Imam Rasu' atau gelarannya yang lebih terkenal 'Tok Gajah'. Bagi pihak penjajah yang bertungkus-lumus cuba menangkap Tok Gajah, gelaran yang mereka gunakan adalah 'Si Rasu.'

Beliau individu yang memainkan pengaruh yang sangat besar membentuk perjuangan anaknya Mat Kilau, selain daripada peranan besar dimainkan Orang Kaya Semantan iaitu Tok Bahaman (juga dirujuk sebagai Tok Rahman atau Tok Bahman).

Dalam satu operasi British, Imam Rasu menggunakan kepintarannya bermain politik di kalangan kesetiaan orang Melayu, menggunakan pengalamannya berbincang sehingga berjaya membuatkan seorang pemimpin pro-British bernama Penghulu Raja di Tembeling, Pahang berpaling tadah.

British pada ketika itu mengeluarkan arahan agar Penghulu Raja membina sekatan bagi menghalang pergerakan kumpulan pemberontak. Beliau pada awalnya menyatakan persetujuan tetapi mengamalkan sikap talam dua muka.

Benteng dibina demi memenuhi arahan, tetapi Imam Rasu, Mat Kilau dan para pengikut mereka dibenarkan Penghulu Raja untuk bermalam tidak jauh dari benteng tersebut hasil perbincangan dengan Tok Gajah. Siap mendapat perlindungan pasukan pengawal Penghulu Raja masa beradu.

Keesokannya, Tok Gajah dan pengikutnya meneruskan perjalanan ke Kelantan. Tidak jauh daripada kumpulan itu, Penghulu Raja turut bersama-sama bergerak mengekori kumpulan pemberontak tersebut dengan rombongan 30 orang lelaki, 70 orang wanita yang dikawal 17 laras senapang.

Pengkhianatan Penghulu Raja ini sangat mencabar British, kerana mereka tidak menyangka pengaruh individu pemberontak tersebut kepada orang Melayu.

Selepas British menyedari mereka dipermainkan, British mengeluarkan pengumuman bahawa Penghulu Raja dan semua pengikutnya yang berpaling tadah akan diampunkan sekiranya mereka kembali setia kepada British.

Tok Gajah berjaya memujuk Penghulu Raja untuk menggunakan pengaruh politik beliau, berjaya mengumpulkan kumpulan-kumpulan pahlawan sekitar Kelantan untuk sama-sama berjuang dengan mereka.

3. Identiti Mat Kilau menjadi polemik masyarakat

Selepas menyembunyikan diri berdekad-dekad lamanya daripada menjadi buruan British, Mat Kilau akhirnya keluar dari persembunyian pada penghujung tahun 1969.

Peristiwa ini mengejutkan semua pihak kerana majoriti berpendapat Mat Kilau telahpun mati terbunuh dalam satu insiden pertempuran dengan askar British, walaupun ada ura-ura mengatakan beliau terselamat dalam keadaan cedera parah.

Banyak pihak menafikan seorang lelaki tua yang kurus serta lebih dikenali dengan gelaran 'Mat Siam' adalah Mat Kilau yang terkenal.

Polemik mula timbul ekoran dakwaan tersebut, kerana dakwaan itu hanya bergantung kepada pengakuan individu itu semata-mata.

Kesangsian yang dipegang oleh sebilangan besar ahli masyarakat, tidak diterima ahli keluarga terdekat Mat Kilau.

Mereka tanpa rasa ragu-ragu percaya 'Mat Siam' atau apa saja gelaran yang pernah digunakannya seperti Mohamed bin Ibrahim, adalah Mat Kilau bin Imam Rasu yang sebenar.

Disahkan anaknya sendiri yang pada ketika itu sudah berusia 80 tahun, Mat Kilau ketika keluar dari persembunyian dipercayai sudah berusia 122 tahun dalam laporan akhbar. Hanya selepas penyelidikan dijalankan, angka ini diolah semula kepada 103/104 tahun.

Individu mengaku Mat Kilau itu didapati tetap mempunyai kemampuan mental yang kuat, masih sasa serta cukup memahami selok-belok urusan istana Pahang ketika dipanggil mengadap Sultan Pahang.

Kelakuan-kelakuan ini sedikit sebanyak menutup mulut mereka yang menafikan dakwaan yang timbul itu.

4. Usaha memfilemkan kisah beliau sudah lama berjalan tanpa hasil

Selepas kemunculan semula Mat Kilau daripada persembunyian serta pengesahan kerajaan negeri Pahang berkenaan identiti beliau, usaha untuk memfilemkan kisah hidup Mat Kilau mula digembar-gemburkan sekitar awal tahun 1970 - beberapa bulan sebelum beliau meninggal dunia.

Pihak yang menyuarakan minat adalah rumah penerbitan Shaw yang ketika itu dikenali sebagai Pertubohan Shaw.

Shaw ketika itu sudah mengumumkan rundingan untuk menjalinkan kerjasama dengan Studio Merdeka (atau Merdeka Filem Productions) bagi memperhalusi idea tersebut.

Bagaimanapun ekoran masih banyak tanda tanya dan kontroversi berkenaan status sebenar kesahihan identiti Mat Kilau pada waktu tersebut, idea untuk memfilemkan kisah hidup beliau tidak menemui titik permulaannya.

Hanya pada tahun 2022, sebuah filem yang digarap berdasarkan kisah hidupnya serta ada elemen ditokok-tambah bagi mengangkat penceritaan berjaya diterbitkan.

Sambutan baik orang ramai terhadap filem ini membuktikan, masyarakat kita sebenarnya peduli tentang sejarah dan legasi orang lama.

5. Allahyarham Jins Samsuddin marah Mat Kilau dipakaikan Kot

Mat kilai berkot

Allahyarham Jins Samsuddin merupakan salah satu nama lama dan besar juga orang kuat industri perfileman kita.

Selepas kemunculan semula Mat Kilau dan wujud ura-ura kisah hidupnya difilemkan, Mat Kilau mula diberikan pendedahan dan peluang untuk muncul dalam media.

Dalam salah satu laporan yang disiarkan dalam akhbar berkenaan pahlawan tersebut yang ketika itu masih hidup, dipaparkan Mat Kilau berpakaian baju kot yang jelas peninggalan British.

Tindakan itu mendapat reaksi Jins Samsuddin yang menyifatkan pemilihan pakaian itu untuk dipakaikan kepada seorang pahlawan Melayu yang mengabadikan diri menentang penjajah, sebagai satu pengkhianatan kepada Mat Kilau dan juga kumpulan pahlawan Melayu di Pahang.

Menurut Jins Samsuddin, busana yang sepatutnya dipakai mestilah melambangkan orang Melayu, bertanjak dan berkeris agar lebih kena dengan kisah hidupnya.

Jins Samsuddin mengkritik mereka yang tidak sensitif dengan isu tersebut, sanggup memakaikan pahlawan Melayu pakaian yang menjadi legasi penjajah yang telah berjaya ditinggalkan.

Tidak ada maklum balas berkenaan kritikan itu direkodkan, sama ada oleh pihak penganjur majlis ataupun dari belah keluarga Mat Kilau sendiri.

Seandainya pada masa tersebut era internet, kami yakin isu ini pasti tular dan membawa kepada perbincangan hangat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon