Wednesday, August 17, 2022

Nenek Painah Disembunyikan Lembaga Besar!


"Masa jumpa nenek Painah Siwan di lopak air di kebun sawit berkenaan, seperti ada satu lembaga sedang menjaganya sebelum hilang selepas dilaungkan azan," kata ahli paranormal, Mohd Fitri Abdul Razak, 32.

Nenek Painah hilang

Mohd Fitri berjaya menemui wanita warga emas itu kira-kira pada jarak 300 meter di kawasan berkenaan dan kelihatan mangsa seperti batu besar yang berada di tengah-tengah lopak.

Menurutnya, dia seperti diberikan firasat untuk pergi lebih dekat bagi memastikan apa yang dilihatnya itu benar-benar batu atau wanita yang dicarinya itu.

"Selepas lembaga berkenaan hilang, nenek Painah terus rebah sebelum saya dan rakan (dikenali sebagai Jas) mendapatkannya dan memberikan makan kerana kelihatan terlalu lemah.

"Disebabkan tempat nenek itu ditemui berada di kawasan yang berpaya, saya terus mendukungnya ke kawasan lapang dan menyelimutkan badannya menggunakan kain yang kami bawa," katanya ketika dihubungi.

Mohd Fitri berkata, sebelum itu dia dan sahabatnya sudah bermalam di kawasan yang dikatakan sebagai tempat terakhir wanita warga emas berkenaan berada.

"Pada waktu malam, kami merasakan ada sesuatu yang aneh kerana selepas hampir dua jam berjalan namun masih berada di tempat yang sama.

"Lebih mengejutkan apabila bangun pagi kami berada di atas tanah lapang sedangkan pada malamnya kawasan tempat berehat penuh dengan pokok renek dan rimbun," katanya.

Katanya, kejayaan menemui nenek Painah adalah hasil daripada bantuan Allah apabila setiap langkah pencarian yang dilakukan diiringi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran termasuk Ayat Kursi.

"Ia juga hasil daripada doa yang tidak putus-putus daripada semua pihak yang terbabit secara langsung mahupun tidak supaya nenek Painah ditemui," katanya.

Tokok tambah cerita di media sosial

Nenek Painah hilang

Sementara itu, keluarga nenek Painah, kesal dan terkilan dengan tindakan pihak tertentu menokok tambah cerita kejadian itu dengan niat meraih perhatian di media sosial.

Anak mangsa, Sadiah Mohari, 42, berkata keluarganya sedih apabila ada pihak mengambil kesempatan menokok tambah cerita yang tidak benar berhubung kehilangan dan penemuan ibunya.

Katanya, semua yang dikongsikan pihak terbabit di media sosial dibuat tanpa pengetahuan dan keizinan dia sekeluarga

"Tindakan berkenaan mengganggu privasi kami sekeluarga dan berharap pihak berkenaan dapat memadam serta tidak menyebarkan video atau hantaran yang ditokok tambah itu di media sosial," katanya.

Nenek Painah dilaporkan hilang oleh anaknya apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi di kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Sayang, Rabu lalu (10/8/2022).

Susulan itu, satu pasukan SAR dilancarkan membabitkan 187 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion ke 10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat.

Sementara itu Sadiah berkata, ibunya kini dalam keadaan trauma dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan emak stabil namun di dalam mulutnya terdapat ulser yang menyukarkan emak untuk makan seperti biasa.

"Waktu ini emak hanya mampu makan bubur nasi dan kelihatan lemah kerana kekurangan tenaga," katanya.

Sadiah berkata, doktor yang melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendapati nenek Painah tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

"Kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu mencari sepanjang tempoh pencarian emak ketika dia hilang," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon