Thursday, June 02, 2022

Amber Heard Penipu, Johnny Depp Menang Saman Fitnah!


Selepas enam minggu perbicaraan kes saman fitnah Johnny Depp, 58, terhadap bekas isteri, Amber Heard, 36, juri yang bersidang di Mahkamah Circuit, Fairfax Country, Virginia, memutuskan bahawa pelakon Pirates of the Caribbean itu dibayar ganti rugi AS$15 juta (RM65.7 juta).

Johnny Depp Menang Saman Fitnah

Juri memutuskan Johnny Depp dibayar AS$10 juta (RM43.8 juta) dalam bentuk ganti rugi pampasan dan AS$5 juta (RM21.9 juta) dalam bentuk ganti rugi punitif.

Jumlah itu kemudiannya dikurangkan kepada AS$10.35 juta (kira-kira RM45 juta) sejajar dengan had punitif yang dibenarkan undang-undang di negeri itu.

Tujuh juri yang mendengar perbicaraan itu mendapati bahawa artikel ditulis Amber Heard pada tahun 2018 mengenai dakwaan keganasan seksual adalah fitnah dan berniat jahat.

Juri juga membuat keputusan Amber Heard dibayar ganti rugi pampasan sebanyak AS$2 juta (RM8.7 juta), dalam perbicaraan penuh kontroversi yang membabitkan pelbagai saksi dan bintang terkenal Hollywood itu.

Juri memihak kepada Amber Heard dalam satu tuntutan balasnya kepada Johnny Depp dan mengarahkannya membayar bekas isterinya itu AS$2 juta (kira-kira RM8.78 juta).

Pasangan ini bertemu pada tahun 2011 ketika berlakon filem The Rum Diary, sebelum berkahwin pada Februari 2015.

Bagaimanapun, mereka disahkan berpisah dan penyelesaian perceraian dimuktamadkan dua tahun kemudian.

Saman Fitnah

Sebelum ini, Johnny Depp memfailkan saman fitnah terhadap Amber Heard atas penulisannya untuk kolum Washington Post, dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta (RM218 juta).

Amber Heard yang juga pelakon filem Aquaman, membalas dengan memfailkan saman menuntut AS$100 juta (RM437.8 juta) dan mendakwa dirinya mengalami 'penderaan serta keganasan fizikal' daripada Johnny Depp.

Dalam keterangan kepada mahkamah, Johnny Depp menafikan beliau pernah melakukan penderaan fizikal terhadap Heard, sebaliknya mendakwa wanita itu yang sering bertindak ganas.

Melalui kenyataan yang dimuat naik di Instagram (IG) selepas keputusan itu, Johnny Depp meraikan kejayaan memenangi kes saman malu tersebut.

"Enam tahun lalu, hidup saya dan anak-anak termasuk mereka yang rapat dengan saya, juga mereka yang selama ini menyokong dan mempercayai saya, berubah sama sekali.

"Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Tuduhan jenayah palsu dan serius dikenakan terhadap saya melalui media. Ini mencetuskan kebencian ramai yang berterusan biarpun tiada dakwaan dibuat ke atas saya.

"Perkara ini memberi impak terhadap kehidupan dan karier saya. Enam tahun kemudian, juri beri kehidupan saya semula. Saya sangat rendah diri," katanya yang tersentuh dengan sokongan dan kasih sayang peminat sepanjang perbicaraan berlangsung.

Melalui kenyataan penuh emosi itu, Johnny Depp berharap usaha yang dilakukan bagi memulihkan maruahnya membantu insan lain yang mungkin berdepan situasi sama.

Johnny Depp berterima kasih kepada hakim, juri, kakitangan mahkamah dan semua pihak lain termasuk kumpulan peguam yang melakukan tugas terbaik membantunya menegakkan kebenaran.

Amber Heard Tukang Fitnah

Sementara itu, dalam kenyataannya, Amber Heard meluahkan rasa kecewa dengan keputusan juri.

"Kekecewaan yang saya rasakan hari ini tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Saya patah hati. Semua bukti yang dikemukakan tidak mencukupi.

"Saya lebih kecewa dengan impak keputusan juri ini terhadap wanita. Ini suatu 'setback' (langkah berundur) apabila wanita yang menegakkan hak namun akhirnya dimalukan.

"Ini suatu 'setback' apabila keganasan terhadap wanita tidak diberi perhatian serius.

"Saya sedih tewas kes ini. Tetapi saya lebih sedih apabila saya hilang hak yang saya fikir ada sebagai rakyat Amerika Syarikat (AS)," katanya.

TIADA PIHAK YANG MENANG

Amber Heard Liar

Kehidupan Johnny Depp dan Amber Heard tiada lagi privasi apabila kisah mereka seolah-olah 'ditelanjangkan' sepanjang prosiding berlangsung di Virginia, Amerika Syarikat (AS).

Lebih-lebih lagi apabila perbicaraan disaksikan secara langsung di seluruh dunia melalui penstriman.

Agensi berita CNN menemuramah beberapa pakar dan pemerhati industri hiburan dengan masing-masing memberi pendapat sendiri sejauh mana prosiding itu memberi kesan kepada kerjaya Johnny Depp dan Amber Heard.

Seorang 'publicist' yang enggan mendedahkan nama memberitahu, Johnny Depp mendapat sokongan padu peminat dalam media sosial terutama di platform TikTok.

Individu terbabit yang dilaporkan sudah lama mengenali Johnny Depp memberitahu, sokongan peminat sedikit sebanyak membantu Johnny Depp melangkah ke hadapan.

"Saya tidak pasti dan tidak dapat jangka apa yang membuatkan Johnny Depp nekad (mengemukakan saman fitnah). Saya percaya prosiding itu dapat membantu menaikkan semula imejnya di mata orang awam," katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, karier seni Johnny Depp agak merudum dikatakan berpunca sikap dan disiplinnya.

Johnny Depp juga dikatakan boros dan sering lewat tiba di lokasi.

Seorang lagi 'publicist' terkemuka Hollywood berpendapat baik, Johnny Depp mahupun Amber Heard, masing-masing tidak bernasib baik.

"Kedua-duanya bersalah. Wang adalah toksik dan sifat tamak boleh memusnahkan seseorang. Tiada siapa antara mereka akan menang dalam kes ini," katanya.

Ejen hiburan, Darryl Marshak, pula dipetik berkata penerbit filem mungkin keberatan mengambil pelakon yang terpalit dengan kontroversi berikutan kisah mereka terlalu menjadi perhatian umum.

"Hollywood adalah tempat pelik. Apabila anda mempamerkan keburukan, semua orang yang terbabit di dalamnya akan cuba berundur daripada api yang panas," katanya.

Bagaimanapun, Marshak dilaporkan berkata, dia yakin bakat hebat dimiliki Johnny Depp dapat membantunya kembali ke layar perak.

"Hollywood mudah memaafkan. Apabila kes mereka berakhir kelak, Johnny Depp akan kembali semula ke dalam bisnes ini. Hollywood sering berubah-ubah," katanya.

Sementara itu, wakil peguam kedua-dua pihak mendakwa, masa depan anak guam mereka terjejas teruk akibat kes saman fitnah itu.

Pasukan peguam yang mewakili Johnny Depp berkata, angkara fitnah Amber Heard dalam sebuah artikel, nama anak guam mereka digugurkan daripada sekuel keenam filem Pirates of The Carribean.

Penerbit filem itu, Jerry Bruckheimer memberitahu The Times, mereka masih belum membuat keputusan mengenai pembabitan Johnny Depp dalam sekuel akan datang.

Pasukan produksi filem itu, katanya, membuat dua skrip di mana, satu daripadanya mungkin membabitkan Margot Robbie dan satu lagi tanpa Robbie.

Kali terakhir francais itu menemui penonton adalah pada tahun 2017 menerusi Pirates of The Carribean: Deam Men Tell No Tales.

Sementara itu, seorang pengarah filem Hollywood memberitahu CNN, Johnny Depp tidak akan diberi peluang menerajui filem francais besar lagi.

"Saya yakin dia masih berpeluang membintangi filem bebas kerana Johnny Depp masih mempunyai nama dan pengikut.

"Tetapi syarikat produksi terkemuka mungkin lebih berhati-hati dengan alasan insurans yang mungkin menghentikan perlindungan ke atas aktor itu kerana bimbang dengan penerimaan orang ramai berbanding syarikat berskala kecil," katanya.

Menyentuh mengenai Amber Heard pula, pengarah itu percaya perhatian yang diberikan terhadap kes perbicaraan pasangan itu tidak membantu memulihkan kembali imej Amber Heard.

Malah, wujud petisyen yang meminta agar wanita itu digugurkan daripada sekuel filem Aquaman yang sudah selesai menjalani penggambaran.

Sementara itu bagi Amber Heard, yang kurang popular berbanding bekas suaminya, pemerhati berkata kerjaya aktres itu sukar untuk diramalkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon