Wednesday, May 25, 2022

Salahkan Menteri Punca Pencapaian Buruk Sukan SEA, Jangan Tuding Atlet Negara!


Menteri Belia dan Sukan Malaysia, harus dipersalahkan dan bukannya atlet negara berhubung prestasi hambar negara di Sukan Asia Tenggara (SEA) tahun 2022, kerana di bawah teraju Ahmad Faizal, atlet bergelut dengan pemotongan peruntukan yang tinggi.

SUKAN SEA 2022

Kenyataan Faizal bahawa dia berasa kecewa kerana kontinjen Malaysia tidak berada di kedudukan lebih tinggi di Sukan Sea Hanoi mencerminkan kegagalan berterusan pihak menteri untuk memimpin sektor sukan negara, katanya.

Malah, kenyataan itu tiada beza dengan sikap menyalahkan atlet Malaysia.

Pihak yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas prestasi paling buruk Malaysia di Sukan SEA dalam 40 tahun ialah Menteri Belia dan Sukan sendiri, bukan para atlet Malaysia yang terpaksa berjuang di bawah keadaan serba kekurangan disebabkan kegagalan kepimpinan menteri.

Contohnya, atlet Malaysia terpaksa bertempur dalam keadaan kekurangan dana berikutan tindakan Menteri memotong hampir 80 peratus peruntukan untuk penyediaan sukan antarabangsa dalam Belanjawan 2022 berbanding Belanjawan 2018.

Selain itu, elaun latihan untuk 253 atlet turut ditamatkan manakala mereka yang terus menerima elaun menyaksikan pemotongan drastik sehingga 60 peratus.

Kekecewaan yang kononnya disuarakan menteri tidak boleh diterima sama sekali, sedangkan banyak pihak telahpun memberikan amaran di Parlimen pada November 2021 bahawa sektor sukan negara bakal berdepan kemerosotan berikutan kegagalan kepimpinan menteri belia dan sukan serta pemotongan mendadak peruntukan sukan.

Malah, beberapa cadangan untuk menyelamatkan keadaan juga tidak didengari.

Menteri belia dan sukan sepatutnya memohon maaf kepada para atlet dan semua peminat sukan Malaysia.

Sudah tiba masanya menteri belia dan sukan mengakui kegagalan kepimpinannya dan mengambil langkah-langkah membina semula kekuatan sukan negara melalui dasar perlindungan kebajikan atlet yang lebih baik bagi mencungkil dan mengekalkan lebih ramai bakat sukan Malaysia.

Ahmad Faizal sebelum ini berkata "semua rakyat Malaysia kecewa" selepas Malaysia menduduki tempat keenam dalam Sukan SEA walaupun mencapai sasaran negara untuk 36 pingat emas.

'Pencapaian terburuk sejak 63 tahun lalu'

Pencapaian diraih kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2022 disifatkan sebagai terburuk sejak temasya itu diperkenalkan pada tahun 1959, apabila mengakhiri cabaran pada kedudukan keenam keseluruhan dengan membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Malaysia berada di belakang Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina, yang juga merupakan kedudukan terendah dalam tempoh hampir 40 tahun.

Walaupun berjaya melepasi sasaran 36 emas yang ditetapkan, namun pencapaian itu bukan sesuatu boleh dibanggakan kerana Malaysia dianggap menghantar kontinjen yang besar, terdiri daripada 589 atlet.

Sejak di perkenalkan pada tahun 1959 yang ketika itu dikenali Sukan SEAP sebelum ditukar kepada Sukan SEA pada tahun 1977, hanya Thailand dan Indonesia berjaya muncul juara keseluruhan apabila temasya berkenaan berlangsung di luar negara.

Thailand muncul juara keseluruhan sebanyak 13 kali dengan tujuh kali mendominasinya di luar negara, Indonesia pula merekodkan 10 gelaran juara keseluruhan berjaya memenanginya sebanyak enam kali bukan sebagai tuan rumah.

Malaysia hanya muncul juara keseluruhan apabila menjadi tuan rumah iaitu pada edisi 2001 dan 2017 masing-masing di Kuala Lumpur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon