Thursday, April 28, 2022

Pemakaian Pelitup Muka Di Luar Bangunan Dan Imbasan MySejahtera Tidak Lagi Wajib Bermula 1 Mei 2022


Imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam mulai 1 Mei 2022 ini, bagaimanapun, orang ramai digesa supaya mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

Wajib pakai topeng muka

Aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk antara lain melaporkan keputusan ujian pengesanan Covid-19 dan arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) kerana ia penting kerajaan untuk membantu dalam pencegahan dan kawalan wabak itu.

Sejajar dengan fasa peralihan ke endemik, MySejahtera, sebagai aplikasi kesihatan awam akan ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu.

Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes Covid-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit-penyakit lain iaitu rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi.

Pada sidang akhbar di Putrajaya, Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di luar bangunan.

Ini mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.

Walau bagaimanapun, KKM menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadhan, pasar malam dan stadium.

Pemakaian pelitup muka juga digalakkan kepada individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta individu yang berisiko tinggi.

TETAP WAJIB KETIKA DALAM BANGUNAN, TEMPAT TERTUTUP

Namun, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk e-Hailing.

Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan.

Khairy turut mengumumkan bahawa orang ramai dibenarkan masuk ke mana-mana premis tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis adalah individu positif Covid-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap.

Individu dalam tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia.

Pelitup muka bagaimanapun boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman berat di dalam bangunan tetapi ia hendaklah segera dipakai semula setelah selesai melakukan senaman tersebut.

Ia juga boleh ditanggalkan sekiranya berseorangan di dalam suatu ruang, ketika sedang makan, minum, sedang berucap atau membuat persembahan.

Sementara itu, penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak lagi diperlukan.

Mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang, maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan.

Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon