Friday, April 22, 2022

Majikan Diskriminasi Gaji, Gadis Berjaya Tuntut RM5k Selepas Lapor Ke Jabatan Buruh!


Isu perbezaan bayaran jumlah gaji antara pekerja bagi skop pekerjaan yang sama bukanlah satu masalah baharu disuarakan orang ramai, malah bagaikan tidak berkesudahan hingga menyebabkan ramai pekerja ditindas oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.

Fatin Nur Hidayah

Baru-baru ini, seorang gadis berkongsi kisahnya yang berjaya menuntut haknya sebagai pekerja di Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) setelah mendakwa menjadi mangsa penindasan majikan.

Menurut Fatin Nur Hidayah Ramli, 22, tujuannya mengambil tindakan sedemikian kerana berasa tidak puas hati dengan jumlah gaji pokok yang diterima.

Ujar Fatin bayaran RM1,000 yang diberikan tidak setimpal dengan tempoh bekerja selama 12 jam sehari sepanjang lima bulan dia bekerja di salah satu cawangan kedai menjual gajet dan alatan di Perak.

"Syarikat tu ada banyak cawangan. Kedai dekat Perak dan Johor ni dijaga oleh seorang majikan saja. Saya kerja di cawangan Perak. Kami ada group WhatsApp yang campur semua pekerja dari Johor dan Perak.

"Isu ni bermula apabila ada seorang pekerja cawangan Johor mesej tanya gaji pokok saya, jadi saya jujur saja beritahu RM1,000. Lepas tu dia cakap gaji pokok dia RM1,100. Ketika itu saya dah mula rasa pelik sebab bos kami adalah orang yang sama.

"Saya jumpa pengurus untuk tanya kenapa basic gaji lain. Manager beri alasan dia ikut arahan majikan saja. Dia juga ada cakap yang Johor ni lebih bandar berbanding Perak. Tapi hakikatnya cawangan ni dekat Ipoh, jadi tak boleh pakai alasan tu," jelas Fatin ketika dihubungi.

Demi mendapatkan jawapan setelah tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan, gadis ini mengambil inisiatif untuk menyelidik hal sebenar.

Jelas Fatin yang menetap di Klebang, Ipoh, dia cuba mencari iklan yang disebarkan oleh pengurusnya di laman sosial bagi mencari pekerja baharu.

Akhirnya, Fatin telah menjumpai jawapan kepada persoalannya setelah melihat posting jawatan kosong di Facebook.

"Saya jumpa manager buat posting untuk mencari pekerja sebab mereka memang selalu cari staff baharu. Memang dah ramai berhenti kerja pun sebelum ni. Yelah, siapa je tahan dengan gaji macam tu.

"Daripada situ kantoi apabila posting dekat group Facebook kerja kosong Perak tawarkan gaji RM1,000 tapi dekat Johor RM1,100," katanya.

Tambah Fatin, lebih membangkitkan rasa tidak puas hati apabila dia terjumpa satu lagi iklan lain di Facebook dengan tulisan bahasa Cina yang menawarkan gaji minimum RM1,400.

"Tulisan posting tu dalam bahasa Cina jadi saya tekanlah translation. Saya kumpulkan semua bukti sebelum buat aduan dekat jabatan buruh (JTKSM).

"Masa hari gaji, saya tanya semua pekerja yang sama tempat dengan saya berapa mereka dibayar.

"Rupa-rupanya memang jumlah gaji kami berbeza-beza padahal yang dapat RM1,400 tu baru kerja tiga minggu," jelas Fatin dengan rasa tidak puas hati.

Lapor JTK

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada tiga beradik ini turut berkongsi pengalamannya membuat aduan tersebut di jabatan buruh.

Malah, Fatin berjaya menerima pampasan lebih RM5,000 daripada syarikat tempat dia bekerja itu selepas JTKSM menjalankan siasatan berhubung aduannya.

Bagaimanapun Fatin menjelaskan bahawa dia dibuang kerja serta merta oleh pengurus atas arahan majikan setelah syarikat menerima surat daripada jabatan buruh.

"Dulu masa minta kerja dekat situ saya masih naif. Saya letak expected salary RM1,200 tapi pengurus cakap gaji pokok di situ RM1,000 saja.

"Saya pun tak ada tandatangan apa-apa persetujuan kerja atau offer letter masa kerja lima bulan tu. Tapi saya kemukakan slip gaji kepada jabatan buruh sebagai bukti bahawa saya adalah pekerja di sana.

"Lepas surat jabatan buruh sampai kepada syarikat, majikan arahkan manager untuk berhentikan saya. Tapi saya gelakkan manager tu dan ucap terima kasih sebab buang saya tanpa notis, jadi bolehlah tambah aduan kedua kerana dibuang kerja tanpa notis," ujarnya.

Berkenaan video yang tular di TikTok, gadis ini tidak menyangka bahawa ramai warga maya turut mengalami masalah sama.

Ujar Fatin lagi, dia dan bekas majikannya menyelesaikan isu berkenaan di mahkamah.

Fatin akhirnya menarik nafas lega apabila dia menerima pampasan sebanyak RM4364.04 bagi isu tuntutan gaji dan RM1,120 atas kesalahan dibuang kerja tanpa notis.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon