Monday, April 25, 2022

Apa Hukumnya Bersedekah Lebihan Zakat Fitrah Kepada Amil?


Soalan: Ustaz, ramai orang suka memberi lebihan duit bayaran fitrah kepada amil yang telah ditugaskan memungut zakat fitrah daripada umat Islam yang layak membayar zakat. Apakah hukumnya lebihan zakat fitrah kepada amil ini?

Lebihan Zakat Fitrah

Jawapan:

1. Selalu terjadi dalam masyarakat kita untuk menyedekahkan lebihan bayaran zakat fitrah kepada amil. Mereka kata, "Tak apa baki tu, keep the change."

2. Hukum mengenai sedekah keep the change ini pula jarang dibahaskan oleh para asatizah.

3. Sebenarnya, Nabi Muhammad SAW melarang keras para amil zakat menerima sebarang sedekah atau hadiah daripada pembayar zakat.

4. Ini berpandukan kepada sebuah hadis sahih daripada Abu Humaid as-Sa'idi r.a., dia berkata, "Rasulullah mengutus seorang laki-laki dari suku al-Azd bernama Ibnu al-Lutbiyyah untuk mengumpulkan zakat. Sekembali dari tugasnya dia berkata, "Yang ini untuk kamu dan yang ini adalah hadiah untukku." Rasulullah lalu berkata, "Mengapa ia tidak duduk saja di rumah bapanya atau di rumah ibunya kemudian dia tunggu apakah hadiah diberikan kepadanya atau tidak? Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah kalian mengambil sesuatu darinya kecuali pada hari Kiamat dia datang dengan memikulnya di atas tengkuknya. Kalau harta itu unta, maka unta itu akan bersuara, kalau lembu maka akan menguak, kalau kambing maka akan mengembik." Kemudian beliau mengangkat tangan beliau sambil berkata, "Ya Allah bukankah sudah aku sampaikan!" Beliau ulangi tiga kali." (HR Bukhari [2597])

5. Maka, para amil zakat termasuklah amil zakat fitrah, tidak boleh menerima pemberian daripada pembayar zakat, biar pun atas nama apa sekali pun. Tak kiralah, sedekah ataupun hadiah.

6. Maka dicadangkan kepada para amil zakat fitrah untuk menyediakan satu tabung sedekah umum dan jika ada pembayar yang menyatakan keep the change atau saya niat sedekah, maka masukkan ke dalam tabung itu.

7. Nanti selepas habis Ramadhan, sedekahkan tabung itu kepada pihak masjid atau mana-mana pihak yang memerlukan.

8. Lebih baik sebenarnya jika langsung ditolak pemberian itu dengan menyatakan, "Kami amil Nabi dilarang terima sedekah." Ia dapat mengelakkan sebarang fitnah.

9. Walau bagaimanapun, amil fitrah tertakluk kepada arahan daripada pihak yang melantik. Jika arahan menyatakan mereka langsung tidak dibenarkan menerima sedekah itu biar pun atas nama sedekah umum dan untuk pihak masjid sekali pun, maka hendaklah patuh.

10. Kepada para pembayar zakat fitrah dan juga zakat harta pula, sudah tahu tak boleh bagi hadiah atau sedekah, maka elakkan daripada memberi kepada amil.

11. Semoga ibadah kita menjadi lebih barakah. Aamiin.

Disediakan Oleh: Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid, Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon