Monday, August 03, 2020

Kisah Bagaimana Jenama Lamborghini Tercipta Selepas Dihina Pemilik Ferrari


Lamborghini adalah kereta mewah ikonik yang selalu menangkap mata orang yang memandang ketika ia beraksi di jalan raya namun, syarikat yang diasaskan oleh Ferruccio Lamborghini ini mungkin tidak akan pernah wujud jika Enzo Ferrari lebih bersikap terbuka dan bukannya menghina.

Ferruccio Lamborghini

Lamborghini adalah lelaki yang dilahirkan di Itali. Dia juga adalah seorang bekas tentera dan setelah Perang Dunia ke-II, dia telah berkecimpung dalam industri pembuatan traktor setelah mendapati banyak logam yang terbiar selepas peperangan.

Menurut The Independent, ketika ayahnya, seorang petani, memerlukan sebuah mesin untuk digunakan di ladang, Lamborghini telah bertindak membina sebuah traktor dari beberapa alat ganti yang dia jumpa.

Kepakaran Lamborghini telah menjadikannya terkenal sebagai mekanik yang menjadi tempat rujukan tentera Itali.

Mereka datang ke tempatnya untuk membaiki atau memasang peralatan bagi membina mesin yang melibatkan industri ketenteraan.

Perniagaan Lamborghini dalam industri traktor telah menjadikannya antara orang yang sangat kaya dan kebanyakan duitnya dihabiskan untuk membeli beberapa kereta mewah.

Salah satu kereta yang dibeli oleh Lamborghini adalah jenama Ferrari 250GT, namun dia merasakan seperti ada masalah dengan model 250GT ini.

Terkenal sebagai seorang lelaki yang teliti, dia mendapati bahawa kereta model 250GT keluaran Ferrari mempunyai masalah di bahagian klac.

Lamborghini countach
Lamborghini Countach.

Tidak mahu masalah ini terus berulang, suatu hari Lamborghini telah memutuskan untuk berjumpa dengan Enzo Ferrari dan memberitahu masalah yang dia hadapi sepanjang membawa kereta Ferrari 250GT.

Ketika dia mencadangkan kepada Enzo Ferrari agar mereka menggunakan klac yang lebih baik bagi kenderaan kelas mewah, Lamborghini diejek oleh Enzo Ferrari.

Tidak cukup dengan itu, Lamborghini diminta untuk fokus kepada industri traktor sahaja dan jangan masuk campur urusan kereta.

Terkesan dengan hinaan tersebut, dia telah bersumpah untuk membina sebuah kereta GT dengan sasaran untuk mengalahkan populariti kereta Ferrari.

Dibantu oleh 3 bekas pekerja Ferrari, dia bereksperimen untuk membina sebuah kereta GT mewah dan berkuasa serta mampu dipandu sehingga 241km/jam.

Dari situ lahirlah Lamborghini 350GT dan ia dilancarkan pada tahun 1963 di Turin Auto Show.

Walaupun kereta ini tidak hadir bersama-sama dengan enjin, namun Lamborghini telah menerima beberapa pujian yang baik dari pakar dan pemerhati yang hadir ketika itu.

Supercar Pertama Dunia

Lamborghini Miura
Lamborghini Miura.

Sejak itu, Lamborghini tidak pernah berhenti untuk mengeluarkan kereta-kereta mewah dan pada tahun 1966, model Lamborghini Miura dihasilkan dan disebut sebagai supercar pertama dunia.

Manakala pada tahun 1970-an, Lamborghini kembali dengan Countach, sebuah kereta yang kelihatan futuristik dengan reka bentuk bukaan pintu lain dari yang lain.

Walau bagaimanapun, Lamborghini tidak mampu untuk mempertahankan jenamanya. Dia terpaksa menjual perniagaan automobilnya setelah mengalami beberapa masalah.

Jenama Lamborghini pada mulanya bertukar tangan beberapa kali sebelum akhirnya dibeli oleh Audi – sebahagian daripada kumpulan Volkswagen – pada tahun 1990-an.

Namun begitu, Lamborghini telah mengajar kita bagaimana seseorang itu bangkit setelah dihina oleh Enzo Ferrari.

Walaupun kata-kata Ferrari itu dianggap kejam, tetapi ia sedikit sebanyak telah memberi motivasi kepada Lamborghini untuk membina sebuah jenama kereta yang hingga sekarang menjadi kegilaan ramai orang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

2 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon