Wednesday, July 29, 2020

Skandal Kepala Darah Di China Menyedarkan Kita Betapa Pentingnya Menderma Darah


Peningkatan permintaan yang tinggi dan berterusan terhadap penjagaan kesihatan diseluruh dunia menyebabkan China berdepan dengan krisis kekurangan komoditi yang dianggap paling penting iaitu bekalan darah.

Manfaat derma darah

Apabila bekalan darah di hospital semakin tenat, dalam keadaan terdesak pesakit terpaksa mencari alternatif lain dan mendapatkan bantuan daripada ejen yang dikenali dengan panggilan 'kepala darah' yang menjual sijil bagi memberikan pesakit akses kepada bank darah kebangsaan.

Perkara ini secara tidak langsung mencetuskan pasaran gelap di tengah sistem penjagaan kesihatan China.

"Pada pesakit seperti kami, membeli darah akan menyelesaikan masalah," kata seorang warga Shanghai juga pesara kerajaan yang menghidap sindrom myelodysplastic, sejenis kanser di mana sumsum tulang tidak mampu menghasilkan sel darah secukupnya dan kehadiran sel tidak normal dalam darah atau sumsum tulang.

"Mujur juga ada kepala darah itu, kalau dia tiada, apa saya hendak buat?" soalnya dalam satu pertanyaan yang sukar untuk dijawab.

Kekurangan yang teruk ini berlaku berikutan skandal bekalan darah tercemar dan sememang­nya amat memalukan.

Kerajaan China cuba memulihkan keadaan dengan menggalakkan orang ramai menderma darah secara sukarela.

Skandal Derma Darah

Pada lewat 1980-an dan 1990-an, pihak berkuasa tempatan menggesa petani untuk menjual darah dan plasma darah mereka dan generasi awal kepala darah kemudiannya menjual darah petani ini ke hospital dan bank darah.

Akibatnya, puluhan atau ratusan ribu pesakit dijang­kiti virus HIV kesan daripada proses pemindahan darah yang tidak memberi penekanan terhadap aspek kebersihan.

Skandal kedua yang berlaku pada tahun 2011 membuat­kan keadaan menjadi lebih parah dan menyukarkan lagi laluan kempen derma darah.

Seorang wanita mendakwa bekerja dengan Persatuan Palang Merah China memuat naik gambar yang memaparkan kemewahan hidupnya di Internet.

Peristiwa itu menjejaskan imej badan kebajikan berkenaan yang membantu kerajaan mendapatkan bekalan darah daripada penduduk.

Pada pertengahan 1990-an, China menutup stesen pengumpulan darah komersial dan pada 1998, ia memperkenalkan undang-undang pendermaan darah serta mengharamkan penjualan darah.

Sebaliknya, kerajaan menggalakkan penduduk China untuk menderma darah secara sukarela dan pada masa sama, pihak berkuasa China turut mengetatkan peraturan pengumpulan plasma darah dan ujian darah.

Undang-undang China kini mengkehendaki pesakit untuk menunjukkan sijil bahawa mereka, rakan atau saudara-mara sudah menderma darah apabila mahu mendapatkan bekalan darah daripada simpanan darah negara.

Malah, sesetengah hospital tidak akan memberikan darah kepada pesakit jika mereka gagal menunjukkan sijil berkenaan.

Namun, peraturan itu memberi kesan besar kepada pesakit yang sakit teruk dan memerlukan transfusi darah secara berkala atau dalam kuantiti besar.

Ini termasuk mereka yang tidak boleh bergantung harap kepada keluarga dan kawan yang tinggal berdekatan.

Lebih menyedihkan, undang-undang China juga mengehadkan kekerapan pendermaan darah penuh di mana seseorang itu boleh menderma dua kali saja dalam tempoh setahun.

Malah, mereka juga biasa­nya tidak berkongsi bekalan darah dengan wilayah lain di China.

Untuk memenuhi keperluan dan permintaan, generasi baru kepala darah mula memainkan peranan.

Mereka memberi wang kepada orang ramai untuk menderma darah di bank darah dan menjual sijil pendermaan kepada pesakit yang terdesak.

Generasi Baharu 'Kepala Darah'

Kebaikan derma darah

Apabila ditanya mengenai urus niaganya, seorang generasi baharu 'kepala darah' dengan pantas memberitahu, dia mengenakan bayaran 1,000 yuan (RM582) bagi setiap 100 cc (100 ml) yang didermakan kepada bank darah.

Apa yang diperlukan selain wang ialah notis sehari awal, nama hospital dan jenis darah pesakit.

Memang ada tindakan dikenakan pada kepala darah ini, tetapi ia tidak mampu menghapuskan mereka.

"Jangan risau pasal polis. Kami ada di luar kebanyakan hospital dan kami kenal semua anggota polis," katanya lagi.

Ketika berbual dengannya, kelihatan dua kereta polis tidak jauh dari situ.

Seorang pesakit yang meminta nama penuh­nya dirahsiakan kerana bimbang pihak hospital tidak mahu memberikan dia tempat di wad lagi sekira­nya rahsia itu bocor, berasa bersyukur dengan kehadiran ejen 'kepala darah'.

Apabila permohonannya untuk mendapatkan transfusi darah secara berkala di salah sebuah hospital kerajaan terkemuka di Shanghai, Hong terpaksa berpindah ke hospital swasta.

Kakitangan di hospital swasta itulah yang memperkenalkan Hong dengan 'kepala darah'.

Perkhidmatan mereka memang boleh dipuji kerana menghantar sijil pendermaan darah ke tangan pesakit yang berada di hospital.

Skandal membabitkan pengurusan darah yang berlaku berulang kali memadamkan keinginan rakyat China untuk menderma.

Pada tahun 2011, tidak sampai satu peratus rakyat China menderma darah dan berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah itu sangat rendah, di tahap paling bawah dalam julat yang disarankan badan kesihatan itu.

Bagaimanapun, kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dan Perancangan Keluarga China pula berbeza kerana menurut mereka pada tahun itu (2011), jumlah penderma mencecah lima peratus dan dapat mengumpulkan 4,164 tan darah.

Namun, suruhanjaya berkenaan enggan memberikan sebarang komen apabila diminta penjelasan lanjut.

Di negara di mana sebahagian besar rakyatnya masih berkira atau keberatan untuk menderma darah, kebanyakan pendermaan yang 'sah' datang dari pelajar dan anggota tentera.

Malah, undang-undang juga menggalakkan kakitangan kerajaan untuk menderma.

Dokumen mahkamah China menunjukkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini badan kerajaan juga menggunakan khidmat ejen atau kepala darah untuk memenuhi kuota tahunan bagi pengumpulan darah daripada penduduk atau kakitangan. Peguam yang terbabit dalam kes ini menge­sahkan perkara berkenaan.

Kewujudan kuota ini membuatkan kerajaan tempatan juga terpaksa melakukan pelbagai kempen 'luar biasa' untuk mencari penderma baharu.

Tindakan kerajaan tempatan di satu daerah di wilayah Zhejiang menjadi tajuk utama akhbar suatu ketika dahulu apabila ia mencadangkan untuk menaikkan markah peperiksaan kemasukan sekolah bagi pelajar jika keluarga mereka menderma 4,000 cc darah.

Wilayah Hunan pula menawarkan insentif dengan tidak mengenakan bayaran penggunaan darah di bank darah kepada penduduk yang menderma sebanyak 900 cc darah.

Jumlah simpanan darah di kebanyakan tempat masih sedikit dan menjadi semakin rendah pada musim cuti seperti Tahun Baru Cina.

Di Changsa, wilayah Hunan, pegawai di pusat pendermaan darah berkata, jumlah simpanan darah di situ hanya satu pertiga daripada tahap selamat.

Kerana masalah ini, semua pembedahan ditangguhkan kecuali yang benar-benar terdesak dan sangat kritikal saja.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon