Tuesday, July 07, 2020

Jarang Lakukan Seks Boleh Menyebabkan Sakit Mental!


Seks seharusnya dilihat secara menyeluruh, sama ada secara falsafah kehidupan, interpretasi terhadap tindak-tindak manusia, pencapaian yang lebih tinggi kepada tahap kerohanian serta kesihatan fizikal dan mental.

Jarang Seks
Gambar hiasan.

Ini bermakna, seks yang dari segi asal-usul bermakna: "dibahagi" menurut bahasa latin atau pun pembahagian manusia kepada jantina lelaki dan perempuan mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia bukan setakat pembahagian menurut gender, tetapi juga berkait rapat dengan aktiviti seksual seperti hubungan seks, fantasi seksual, perilaku seksual seperti ciuman dan berpelukan serta menjelaskan mengapa seseorang itu menjalani kehidupan sehariannya dari segi instinctual drive (dorongan naluri seks).

Seks juga amat mempengaruhi cara kehidupan dan berfikir seseorang itu, sama ada seseorang itu sedar atau tidak.

Misalnya cara kehidupan, persepsi terhadap dunia, tindakan dan tingkah laku semuanya berkaitan dengan akar-umbi seks, termasuk juga dengan kesihatan mental.

Apakah perkaitan seks dan kesihatan mental?

Seks dan kesihatan mental amat berkait rapat. Ini bermakna, kesihatan mental seseorang banyak bergantung kepada kelestarian seksualnya. Begitu juga disebaliknya.

Kajian menunjukkan apabila seseorang itu menunjukkan kepuasan seksual, maka tahap kesihatan mentalnya pun akan bertambah. Begitu juga disebaliknya pada tahap kesihatan seksual yang rendah, misalnya kemurungan akan menjejaskan tahap fungsi seksualnya

Seks, begitu juga semua kegiatan yang dilakukan oleh manusia untuk mendapatkan kepuasan kehidupan bukan sahaja bertujuan untuk menurunkan zuriat, tetapi juga boleh mempertingkatkan lagi keseimbangan sistem haemostatis atau fisiologi tubuh.

Hubungan seks yang bermakna (contoh: hubungan seks yang mencapai kepuasan sekiranya tidak sampai pun ke tahap klimaks, orgasma) boleh mempertingkatkan lagi pertahanan badan melalui kestabilan imuniti, menambahkan rembesan dadah semula jadi opiods dari otak justeru ini boleh mengurangkan kesan kesakitan, melegakan stres dan menguatkan sistem kardiovaskular. Ia juga dianggap sebagai satu aktiviti fizikal seperti bersenam.

Dari sudut psikososial pula, hubungan seks yang kerap boleh meningkatkan lagi tahap keintiman atau kemesraan di kalangan suami-isteri di dalam melayari bahtera berumah-tangga.

Ia membina keluarga yang cemerlang di atas kemesraan yang sedia wujud di antara pasangan selain menunaikan tanggungjawab untuk berjimak atau berhubungan seks sebagai tuntutan biologi yang fitrah.

Secara tidak langsung, seks yang dilakukan secara mengikut norma kehidupan yang normal bukan sahaja setakat dapat merapatkan lagi hubungan suami dan isteri, tetapi juga mendapatkan keredaan Tuhan dan merupakan satu ibadat yang diberkati lalu seterusnya mempertingkatkan lagi tahap kesihatan mental seseorang.

Kesihatan mental seseorang akan terjejas jika seseorang itu mengalami masalah gangguan seksual.

Secara umumnya, gangguan seksual boleh berlaku dari segi tiga kategori, iaitu (i) gangguan fungsi seksual, (ii) gangguan orientasi seksual serta (iii) penyimpangan seksual atau parafilia (paraphilia).

Masalah Seks Rakyat Malaysia

Gangguan fungsi seks kerap terdapat di kalangan masyarakat kita. Kajian tempatan menunjukkan bahawa prelavens gangguan ini boleh mencecah kepada 60% di kalangan samada pada kaum lelaki dan wanita.

Sebahagian besar daripada mereka yang mengalami masalah gangguan fungsi seks tidak datang berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Ini disebabkan mereka beranggapan bahawa masalah seperti ini bukanlah satu bidang yang diketahui atau diberikan perhatian oleh doktor.

Biasanya mereka lebih gemar berjumpa perawat tradisional atau pun tukang urut untuk mendapatkan rawatan yang dikatakan dapat memulih kebahagiaan rumahtangga mereka.

Selain masalah kepercayaan ini, satu faktor penting yang menghalang pesakit daripada berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan ialah perasaan malu, terutamanya di kalangan kaum wanita.

Pesakit lelaki pula lazimnya lebih sukar untuk menyuarakan masalah gangguan fungsi seks mereka kerana menganggap doktor tidak boleh banyak membantu mereka serta beranggapan ia boleh menjejaskan tahap harga diri mereka sebagai lelaki macho.

Masalah gangguan fungsi seks yang kerap terdapat di kalangan lelaki ialah kegagalan ketegangan zakar (disfungsi erektil), masalah ejakulasi terutama ejakulasi pramatang dan gangguan dorongan seks terutama masalah kekurangan dorongan seks.

Masalah yang kerap terjadi di kalangan perempuan pula ialah masalah kekurangan dorongan seks, mengelak dari melakukan hubungan seks, masalah mencapai orgasm/klimaks dan kesakitan semasa bersetubuh (dispareunia).

Terdapat juga beberapa jenis gangguan fungsi seks yang lain tetapi tidaklah begitu kerap. Masalah atau gangguan fungsi seks berlaku disebabkan oleh faktor fizikal, mental ataupun sosial, sama ada secara persendirian atau pun secara gabungan antara faktor¬faktor berkenaan.

Contohnya, penyakit diabetes (kencing manis) boleh menyebabkan disfungsi erektil. Walau bagaimanapun, faktor psikologi ataupun faktor mental juga memainkan peranan untuk menjadikan masalah ini lebih serius, berpanjangan atau kronik.

Antara faktor fizikal yang terpenting ialah ubat yang digunakan oleh doktor untuk merawat beberapa jenis penyakit. Beberapa jenis ubat telah dikenal pasti sebagai mengganggu gerak balas seksual secara khusus.

Antaranya ialah beberapa jenis ubat yang digunakan untuk merawat penyakit darah tinggi atau hipertensi seperti Methyldopa (Aldomet), Thiazide, ubat penghambat beta seperti propranolol (Inderal) dan atenolol (Tenormin).

Beberapa jenis ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental seperti ubat antipsikotik (contoh: ubat chlorpromazine, thioridazine) dan juga sebahagian daripada pesakit yang menggunakan ubat antikemurungan seperti imipramine, fluoxetine (Prozac), sertraline (Zoloft) dan lain-lain ubat jenis SSRI juga kerap menimbulkan masalah gangguan fungsi seks sebagai kesan sampingannya.

Ubat yang mengandungi hormon seperti estrogen dan progesteron dan ubat antiandrogen boleh mengganggu kehendak seksual seseorang. Dadah yang kerap disalah guna seperti heroin/morfin dan juga alkohol, penagihan rokok atau arak boleh juga mengganggu fungsi seks.

Ada beberapa orang khususnya di antara lelaki dewasa yang menyalahgunakan ubat-ubat seperti sildenafil (Viagra) dan tadalafil (Cialis) untuk meningkatkan tempoh persetubuhan tanpa menghiraukan kesan sampingan ubatan tersebut yang boleh memudaratkan alat zakar seperti gangrene atau kesan pada jantung.

Terdapat juga kes lelaki yang menggunakan dadah jenis amphetamine-type stimulants (ATS) seperti methamphetamine (yang dikenali sebagai syabu atau ice/cristal ice) untuk meningkatkan nafsu seks tanpa mengenal pasti kesan sampingan yang serius dadah tersebut iaitu tanda-tanda tidak siuman seperti halusinasi (mendengar suara ghaib atau melihat lembaga) dan pemikiran tidak waras iaitu delusi (sesuatu kepercayaan yang salah tanpa bukti seperti paranoid yang boleh menyebabkab tindakan agresif atau amuk.

Malangnya ada di antara perempuan yang menyalahgunakan dadah ATS ini sehingga membunuh anaknya semasa keadaan tidak siuman.

Selain ubat-ubatan, berbagai-bagai jenis penyakit fizikal boleh mengganggu fungsi seks. Sebagai contoh, penyakit diabetes, darah tinggi atau dislipidaemia (tinggi kolestrol di dalam darah) boleh mengganggu pengaliran darah kepada dan daripada organ seks atau pun yang mengganggu sistem saraf yang diperlukan untuk gerak balas seksual yang normal.

Pada kaum lelaki, ia boleh menyebabkan disfungsi erektil (erectile dysfunction) di mana peratusannya adalah lebih tinggi di kalangan pesakit yang lebih tua, terutama jika penyakit kronik yang tidak dikawal.

Selain penyakit fizikal, berbagai-bagai jenis penyakit mental juga boleh menyebabkan gangguan fungsi seks. Misalnya pesakit yang mengalami gangguan emosi yang menyebabkan kemurungan akan hilang minat terhadap seks.

Mereka juga kurang berupaya untuk menikmati keseronokan aktiviti seks. Pesakit yang menghidapi anzieti atau penyakit keresahan juga mungkin mengalami masalah fungsi seks disebabkan oleh tahap prestasi fungsi seks mereka.

Masalah oreintasi seksual

Masalah orientasi seksual merupakan masalah yang melibatkan bagaimana seseorang itu melihat dirinya dari segi identiti seksual.

Sebagai contoh, seseorang lelaki yang dilahirkan dengan penampilan diri sebagai seorang lelaki (dengan adanya ciri-ciri seks sekunder) akan menyatakan dirinya sebagai lelaki.

Jika seseorang lelaki berterus-terusan memikirkan dirinya sepatutnya lahir sebagai seorang perempuan (contoh: pada pendapatnya beliau dilahirkan sebagai seorang lelaki di atas muka bumi walhal beliau adalah perempuan yang sejati), maka ia akan bertindak dari segi pemikiran, emosi serta penampilannya sebagai seorang perempuan. Jika ini berlaku, lelaki tersebut mengalami transeksualisme.

Satu lagi permasalahan yang berkaitan dengan orientasi seksual ialah kehendak, fantasi serta perilaku sesama jantina yang dipanggil sebagai homoseksual.

Bagi kebanyakan pakar psikiatri pada masa kini, seseorang yang mengamalkan homoseksualiti tidak dianggap mengalami masalah kecelaruan mental (mengikut peraturan Manual Diagnostik dan Statistik., edisi ke-IV terbitan Persatuan Psikiatri Amerika, tahun 1994).

Walau bagaimanapun, pada edisi awal DSM III 1980, homoseksualiti jenis ego distonik dianggap sebagai satu penyakit psikiatri atau mental tetapi digugurkan klasifikasi tersebut pada edisi seterusnya.

Penyimpangan Seksual

Sebelum kita menjawab soalan dalam petikan di atas, apakah yang kita maksudkan sebagai perlakuan seks yang normal dan yang tidak normal? Sesungguhnya, salah satu cara untuk menentukannya adalah dengan kaedah perbandingan.

Dari sudut ilmu statistik, tingkah laku atau perlakuan seks yang amat jarang-jarang dilakukan bolehlah dianggap ganjil dan tidak normal.

Dengan menggunakan kayu pengukur ini juga, pasangan yang berjimak sambil berdiri atau berjimak setiap hari dalam seminggu, adakah ia dianggap menyimpang daripada tingkah laku? Atau adakah ia merupakan perlakuan seks yang normal?

Perlakuan seks sama ada normal atau tidak normal juga dipengaruhi oleh keadaan sekeliling, pendapat masyarakat setempat dan adat resam sesuatu kaum.

Untuk membincangkan tentang persoalan penyimpangan seksual, kita juga harus mempertimbangkan perlakuan seks normal dan perlakuan seks tidak normal dari berbagai-bagai sudut.

Oleh yang demikian, bersandarkan contoh-contoh ini, bolehlah kita mentakrifkan penyimpangan seksual, yang juga dipanggil parafilia, sebagai suatu bentuk keghairahan dan perlakuan seksual di luar tabii, iaitu tidak mengikut landasan kepercayaan agama dan di luar pendapat masyarakat umum dan adat resam serta kebudayaan sesuatu kaum itu.

Bagi seseorang parafilia, mereka hanya mendapat kepuasan dan keseronokan seksual hanya dengan cara yang menyimpang dan di luar tabii manusia.

Tabiat seks mereka adalah jelas, berlarutan dan keinginan mereka sukar dibendung daripada naluri hati, iaitu melibatkan keinginan seks dengan bahan bukan manusia (seperti dengan barangan kulit, baju dalam dan lain-lain), haiwan (seperti binatang kesayangan) atau secara kesakitan dan kehinaan.

Penyimpangan seksual berlaku apabila cara yang tidak normal, pelik dan di luar fitrah kemanusiaan diamalkan untuk memuaskan nafsu seks.

Penyimpangan ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu keinginan dan kepuasan seksual menerusi objek, kanak-kanak, binatang dan mayat, dan kaedah atau cara yang terlarang yang lain.

Penyimpangan seksual biasanya berlaku di kalangan kaum lelaki, tetapi sejak akhir-akhir ini, ia semakin bertambah di kalangan kaum wanita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon